Rakan-rakan guru yang disayangi,
Tatkala orang lain sudah lena beradu
melayan mimpi-mimpi indah di tilam empuk sambil menahan sejuk yang nyaman dan
tenteram, saya tahu ramai lagi dalam kalangan kita yang masih membaca
karangan-karangan pelajar sambil memberikan markah dan membetulkan silap dan
salah. Saya juga tahu masih ramai dalam kalangan kita yang melupakan pelukkan
nikmat isteri atau suami tercinta kerana terpaksa menyaipkan pelbagai tugas
atas nama “Saya yang menurut perintah”. Saya terlalu tahu, ribuan guru terpaksa
bersekang mata sehingga terlupa mengucapkan selamat malam kepada anak tercinta
kerana berkorban masa berfikir dan menyediakan pelbagai bahan untuk mengajar
pada hari esok yang bakal tiba. Sudah-sudahlah rakan-rakanku, pergilah beradu
dan lelapkan mata sehingga terlena. Kita harus fikirkan kesihatan diri kerana
apabila kita sakit, mereka yang mengarahkan kita bekerja itu tidak akan menjaga
dan merasai deritanya kita yang menanggung kesakitan. Kemungkinan kita akan
dimarahi kerana lama tidak datang ke sekolah kerana membebankan mereka mengatur
jadual “sit-in”. Kemungkinan juga kita akan disumpah seranah oleh kawan-kawan
seperahu yang terpaksa masuk menggantikan kita buat sementara waktu. Lihatlah
situasi yang terjadi sejak belakangan ini, semakin ramai dalam kalangan rakan-rakan kita yang menemui
ajal pada usia muda. Ajal yang menjemput mungkin takdir Ilahi. Akan tetapi, kes yang berlaku di Mukah, Sarawak baru-baru ini wajar diteliti oleh pelbagai pihak dengan penuh kesedaran dan keinsafan.
Pemergian mereka tidak ada sesiapa pun
peduli. Pihak pentadbir cuma sibuk mencari pengganti agar masalah segera
diatasi. Yang menangisi dan merasai kehilangan kita hanyalah anak-anak dan
isteri atau suami yang amat menyayangi kita. Pihak yang memaksa kita bekerja
sehingga kesihatan kita terabai, mungkin cuma datang menghantar derma
konon-kononnya terlalu kasihkan kita, tetapi disebalik itu merekalah yang
meragut nyawa kita tanpa belas kasihan semasa hayat kita bersama mereka. Benar
memang benar, tugas mengajar, menyemak, dan menyediakan alat-alat mengajar itu
tugas hakiki seorang guru seperti kita. Akan tetapi, tugas-tugas lain yang
terpikul di bahu tidak tertanggung rasanya untuk dilunaskan. Zaman teknologi
yang kian canggih mungkin menguntungkan orang di jabatan lain tetapi menyeksa
jiwa raga kita semua kerana dipaksa mengisi data dan menyempurnakan
kursus-kursus dalam talian seperti BOSOT, FROG, dan i-Think sehingga kita rasa
teramat geram. Masalah talian yang ibarat siput babi menjadikan kita semua rasa
dikhianati. Kita terpaksa bangun pukul 2:00 pagi semata-mata untuk melayari
internet. Kita kurang tidur disebabkan terpaksa mengisi data-data yang perlu
disempurnakan dengan segera atas arahan
mereka yang berpangkat dan berkuasa ke atas kita.
Rakan-rakan guru yang dihormati,
Orang kata kita cikgu ini banyak cuti.
Betulkah kita banyak cuti? Sebenarnya waktu cuti kita dicuri oleh tugas-tugas
hakiki yang terpaksa kita selesaikan. Saya sendiri merasakan waktu cuti saya
selalu dihabiskan untuk menyemak kertas-kertas peperiksaan ujian penggal yang bukannya
sedikit. Memang benar saya bercuti daripada pergi ke sekolah. Memang benar saya
bercuti kerana tidak berhadapan dengan pelajar di dalam kelas. Akan tetapi,
dirumah saya berhempas pulas mengejar tarikh akhir memasukkan markah pelajar ke
dalam sistem dalam talian. Cuti seminggu bagaikan sehari kerana terperuk di
rumah demi menyempurnakan tugas-tugas yang perlu dilangsaikan. Akan tetapi,
yang tahu cuma anak-anak kita dan isteri atau suami kita. Yang lain selalu
menyelar kerjaya kita seolah-olah mereka pernah merasai hidup seperti kita.
Waktu cuti kita kadang-kadang habis kerana terpaksa menghantar pelajar
mengikuti sesebuah pertandingan atau terpaksa menyertai perkhemahan
kokurikulum. Waktu cuti kita mungkin habis kerana perlu menghadiri bengkel atau
ceramah anjuran pelbagai pihak. Waktu cuti kita mungkin habis disebabkan arahan
pihak atasan supaya kita siapkan pelbagai fail dan membuat pelbagai dokumentasi
demi menaikkan imej dan nama sekolah dalam pelbagai pertandingan dan anugerah.
Jika pentadbir kita gila nama, maka kitalah yang terpaksa menjadi mangsa kerana
terpaksa menyiapkan pelbagai persiapan dan sistem pemfailan. Tugas kita tidak
pernah selesai, acara-acara yang perlu diraikan di peringkat sekolah memerlukan
kita untuk menjadi MC, mengatur kerusi, menghias pentas dan sebagainya sehingga
ke malam hari.
Susah kita hanya kita yang tahu. Orang
tidak nampak apabila seawal 5 pagi kita sudah membuka mata. Masa kerja kita
bermula seawal 6:30 pagi. Apabila kita masuk sahaja ke kawasan sekolah maka
tugas kitapun bermula. Kita terpaksa berhadapan dengan pelajar-papelajar yang
mempunyai masalah disiplin. Kita terpaksa memanggil ibu bapa apabila pelajar
sakit dan menunggu sehingga mereka datang. Kerja pembersihan kelas kita
terpaksa tangani sehingga kita tidak tahu yang mana satu harus didahulukan.
Semua perkara kita harus ambil tahu. Jika pelajar pengsan akibat tidak makan.
Kita terpaksa belikan makanan. Orang awam tidak tahu berapa banyakkah duit yang
kita keluarkan demi membantu pelajar-pelajar kita sebab jiwa kita jiwa guru.
Semua pengorbaban itu kita tidak canang-canangkan kerana saya tahu golongan
guru ini jiwanya amat kental dan sabar. Selagi masih mampu bekerja mereka akan
terus bekerja. Bukan sedikit dalam kalangan kita terutamanya guru wanita yang
bekerja sambil menahan air mata akibat sikap segelintir pelajar yang kurang
rasa hormat terhadap mereka. Bukan sedikit dalam kalangan kita yang dimarah dan
diancam pada setiap hari akibat mengajar pelajar di kelas yang memang tidak
masuk ajar. Kertas latihan yang kita fotostat guna sendiri dijadikan alat
membuat kraftangan oleh golongan yang culas dan langsung tidak menghargai semua
usaha kita. Mereka lipat kertas tersebut sehingga menjadi tumbuh-tumbuhan,
kapal terbang, burung, dan sebagainya. Hancur luluh hati kita. Usaha kita tidak
dihargai oleh anak-anak yang tidak sedar diri dan tidak tahu betapa pentingnya
ilmu untuk mengubah hidup.
Rakan-rakan guru yang dikasihi,
Ada kalanya kita pening memikirkan sikap
dan pandangan orang sekeliling. Masyarakat selalu menyerang guru dengan
pelbagai cara yang tidak diketahui apakah tujuan dan objektifnya. Karenah ibu bapa yang memandai-mandai mengata
itu dan ini terhadap profesion kita jangan difikirkan sangat. Kutukan dan
cacian masyarakat yang kian membarah terhadap kerjaya kita biarkanlah terdampar
di pantai degil sehingga berbau dan berulat. Tugas kita cuma menyampaikan ilmu.
Jangan dimarah anak-anak itu jika perangainya biadap. Jangan dimarah anak-anak
itu jika mereka malas belajar. Jangan dimarah anak-anak itu jika mereka tidur
di dalam kelas. Lihatlah pengalaman kawan-kawan kita, apabila kita memarahi,
kita akan menjadi mangsa pembohongan mereka apabila bercerita kepada ibu bapa
mereka.Kita mungkin rotan sekali di tapak tangan tetapi mereka mungkin tambah
lagi jumlah sehingga menjadi 10 kali. Ibu bapa mereka ghairah menjaja cerita di
media sehingga terlupa pada bakti yang dicurahkan kepada anak-anak mereka. Rasa
membuak-buak untuk menyaman guru menyebabkan mereka alpa jasa dan bakti kita
dalam mendidik dan mengasuh anak-anak mereka. Benar memang benar, tugas kita
dibayar gaji yang diterima pada setiap bulan tetapi itu bukanlah alasan untuk
menjaja aib dan khliaf kita yang belum terbukti betul pada realitinya.
Semakin hari semakin ramai dalam kalangan
kita yang mengundur diri dari profesion mulia ini dengan mengambil keputusan
bersara awal. Istilah keramat “bersara awal” sentiasa menjadi bahan perbualan
antara kita. Kita bukan takut berhadapan dengan realiti tetapi kita kecewa.
Rasa kecewa itu ibarat sembilu yang menusuk jantung pengorbanan kita sehingga
membawa kesakitan yang tidak tertahan. Kita ada persatuan yang menjadi saluran
untuk bersuara dan menyampaikan hasrat hati kita tetapi suara itu tidak terlalu
kuat dan hebat untuk membela nasib kita terutama dalam soal-soal berkaitan
dengan beban tugas guru. Semakin banyak dasar, semakin kerap pemimpin bertukar,
semakin banyak beban yang terpaksa kita galas. Lantaran itu, kita berlalu pergi
dengan berat hati memutuskan ikatan perkahwinan dengan profesion yang amat kita
minati ini. Orang akan berkata semua kerjaya ada cabaran dan rintangannya.
Orang akan berkata semua kerjaya ada masalah dan pancarobanya. Orang akan
berkata kita ini terlalu dibelai dan dimanja sehingga dijentik sedikit kita
melenting. Akan tetapi, golongan yang berkata itu mungkin hanya melihat luaran
kita yang tampak indah, bersih, dan kemas sesedap mata memandang. Mereka tidak
masuk ke jiwa dan nurani kita yang berkecamuk dengan pelbagai rasa bersalah
untuk menyiapkan itu dan ini atas arahan orang yang berkuasa ke atas kita.
Semakin ramai ilmuan yang kita hasilkan semakin banyak mata yang akan melihat
silap kita dan menghentam kerjaya kita. Itulah hakikat yang tidak boleh kita
kikis dan tepis. Profesion kita tidak lagi dipandang mulia oleh anak-anak
bangsa yang kita didik dan asuh sehingga mempu menakluki duniawi.
Rakan-rakan seperjuanganku,
Sebelum saya noktahkan warkah ikhlas dari
hati ini, saya ingin menyeru agar kita terus setia menabur bakti kepada bangsa
dan pertiwi. Jika bukan kita yang memulakan, negara yang dicintai ini akan
hancur musnah kerana semua golongan yang berjaya pada hari ini, kitalah yang
menjana dan menempanya. Kita suburkan hati mereka yang kering kontang dengan
renjisan ilmu sehingga tanah itu menjadi subur dan mengeluarkan hasil yang amat
membanggakan negara bangsa. Securam manapun jalan yang dilalui kita harus juga
melaluinya dengan berhati-hati kerana tugas kita sungguh murni dan sungguh
suci. Sepahit manapun hempedu cabaran yang didepani, kita harus juga
mendepaninya dengan tabah san sabar kerana tugas kita ini sungguh mulia untuk memajukan
bangsa dan negara. Jangan sesekali kita menyerah kalah kerana kita merupakan
warga terpilih untuk berbakti menggunakan laluan ini. Nikmati hari-hari kita yang
sarat mengundan beban dengan senyuman manis yang bisa mencairkan hati sesiapa
sahaja yang memandang. Kita mungkin tidak dianugerahkan dengan pingat yang
membawa gelaran Datuk atau Tan Sri seperti artis-artis popular (Yang terlalu
banyak jasa kepada negara) di duniawi tetapi insyallah kita dijanjikan pahala
berganda sebagai bekalan di akhirat. Jangan sedih-sedih. Jangan
merintih-rintih. Jangan mengganggap diri disisih. Selagi kita bersatu kita akan
terus kuat dan gagah menghadapi segalanya. Yang penting, jangan benci kepada
kerjaya kita. Sayangilah profesion mulia ini kerana profesion ini tidak pernah
bersalah terhadap sesiapa. Yang salahnya manusia yang mencipta pelbagai
peraturan dan dasar-dasar sehingga melemahkan semangat kita. Akan tetapi,
siapakah kita yang boleh menyalahkan mereka?
Catatan Pendidik Bangsa
Zulkarnain Farihin
Sibu Sarawak