JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



03 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : LANGKAH BIJAK SEKOLAH SATU SESI

Oleh Dr. Sidek Baba
UTUSAN MALAYSIA, 03 MAC 2010


Pengumuman Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia yang juga Timbalan Perdana Menteri mengenai pendekatan sekolah satu sesi adalah sesuatu yang memberangsangkan. Masanya sudah sampai supaya konsep sekolah satu sesi dibahaskan dengan bijaksana dan strategik supaya ia menjadi satu wadah membangun potensi generasi anak-anak secara seimbang. Konsep sekolah satu sesi yang direncana oleh Kementerian Pelajaran merupakan satu hal yang amat menarik untuk diteliti dan dikaji. Realiti pendidikan di Malaysia tidak saja berjalan di arus perdana, dikendalikan oleh pihak kerajaan tetapi juga dikendalikan oleh lembaga pendidikan negeri dan swasta. Uniknya pendidikan di Malaysia, ia tidak saja menawarkan pendidikan yang berasaskan ilmu-ilmu kemanusiaan, sains dan teknologi tetapi juga membenarkan pendidikan agama. Inilah acuan yang menarik dalam memartabatkan pembangunan modal insan di Malaysia.


Sejak sebelum merdeka, pendidikan Islam yang berjalan di bawah seliaan individu, swasta dan lembaga-lembaga negeri khususnya Jabatan Agama Negeri-Negeri berkisar sekitar institusi pondok, sekolah fardu ain, sekolah Quran, Sekolah Agama Rakyat, Maahad Tahfiz dan juga madrasah. Ia menekankan pendidikan asas Islam seperti akidah, ibadah, tilawah, loghat, fikah dan seumpamanya. Asas ini amat penting bagi memberi kefahaman mengenai Islam, di samping pentingnya pembangunan diri dan kemuliaan akhlak. Dalam masa yang sama, Kementerian Pelajaran sejak tahun 1961 telah memperkenalkan subjek Agama Islam dalam pendidikan arus perdana. Ia berkembang sehingga menghasilkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi yang menawarkan lebih banyak subjek-subjek mengenai Islam kepada pelajar.

Ia menjadi saluran yang terbukti baik bagi melahirkan ahli agama dan profesional yang dapat berperanan dalam membangunkan negara dan ummah. Usaha pihak lembaga swasta dan negeri juga bergerak seiring menghasilkan pendekatan integratif dalam proses keilmuan dan pendidikan. Darinya lahir pendidikan tahfiz integratif, pendidikan Islam integratif dan lain-lain.\Pendidikan agama masa kini amat memerlukan pendekatan integratif sama ada dari segi kurikulum mahupun metodologi pengajaran dan pembelajaran. Modal Insan yang ingin kita lahirkan tidak saja menuntut penguasaan ilmu Mengurus Diri (Fardu Ain) tetapi juga menuntut penguasaan ilmu Mengurus Sistem (Fardu Kifayah). Jenis cabaran dalam kehidupan masa kini tidak saja berputar sekitar isu-isu Fardu Ain tetapi menuntut penguasaan ilmu-ilmu sains dan teknologi, kemahiran dan ilmu-ilmu kemanusiaan.

Apakah dengan memperkenalkan konsep satu sesi ini, ia mampu menampung keperluan membangun modal insan holistik. Malaysia tidak akan mampu menghasilkan modal insan berkualiti sekiranya pendidikan agama berjalan dalam sifatnya yang terbatas atau pendidikan sains dan teknologi dengan pemahaman terhadap agama yang terhad. Pendekatan integratif menjadi asas yang sangat penting dan fundamental bagi menghasilkan pendidikan negara berasaskan Acuan Sendiri. Memperkenalkan konsep satu sesi dalam pendidikan negara bakal memberi kesan terhadap pendidikan agama di waktu pagi atau petang.

Pendidikan agama yang diajar di sekolah agama pagi atau petang diajar juga di sekolah-sekolah arus perdana. Apakah perulangan subjek yang sama membawa kesan baik atau sebaliknya bagi pelajar. Satu aspek yang harus dikaji ialah setakat mana kesan penghayatan terhadap murid-murid dalam menghadapi cabaran sekitar kini. Ia memerlukan kajian dan penelitian supaya masa yang digunakan untuk belajar agama di sekolah agama pagi atau petang orientasinya membawa kepada pengukuhan terhadap pembinaan peribadi anak-anak. Sekolah satu sesi mengambil masa belajar yang panjang. Orientasi sekolah asrama penuh pada masa kini mengambil pendekatan sekolah satu sesi dan kesannya dari segi akademik amat baik. Bagi sekolah-sekolah yang bukan asrama penuh, beberapa pertimbangan perlu diberi supaya pelaksanaan konsep satu sesi diatur dengan bijaksana supaya kesan pendidikannya adalah holistik.

Sesetengah sekolah terutama di bandar masih memerlukan sekolah dua sesi pagi dan petang akibat prasarana tidak cukup. Sesetengah sekolah agama pagi dan petang mungkin ditutup kerana sekolah satu sesi melampaui masa yang biasanya membolehkan pelajar belajar agama. Masa yang terlalu lama bagi pelajar di sekolah menyebabkan hubungan dengan ibu yang tidak bekerja menjadi terbatas.Aspek positif yang boleh diunjurkan terhadap sekolah satu sesi ialah supaya ia tidak mengurangi komponen pendidikan Islam. Para pelajar beragama Islam boleh menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah bersama-sama dengan guru. Ruang untuk tilawah al-Quran disediakan. Makanan yang berkhasiat dapat diberikan kepada semua pelajar. Kegiatan kokurikulum dan permainan dapat berjalan dengan baik dan proses ulang kaji dan menyudahkan kerja-kerja rumah dapat berlaku di sekolah.

Apakah di tahap ini, Kementerian Pelajaran sudah mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya. Banyak aspek yang harus diambil kira seperti penjadualan subjek yang seimbang dalam jadual pengajaran-pembelajaran. Orientasi dan latihan perguruan mengendalikan konsep satu sesi. Penyediaan makanan yang seimbang dan bermutu pastinya memerlukan peruntukan yang besar. Selain itu, peranan ibu bapa dalam proses pendidikan, pengawasan terhadap pelajar dalam tempoh yang panjang, kemudahan fasiliti kokurikulum, permainan dan sukan yang seimbang, kesemuanya perlu diberi perhatian. Begitu juga, latihan amali agama Islam dan sebagainya.Pendidikan yang berkesan dalam membentuk watak anak-anak semestinya melibatkan peranan ibu bapa. Persekolahan satu sesi harus melibatkan ibu bapa secara aktif dalam hal-hal yang terizin. Tanpa pengaruh ibu bapa terhadap anak-anak, proses pendidikan akan mengalami ketempangan.

Guru-guru merupakan tenaga pendidik yang penting. Sekiranya hal-hal ini dapat diatur dengan baik, maka sekolah satu sesi akan dilihat sebagai jawapan yang memberi harapan terhadap keperluan pendidikan di zaman ini. Pendidikan dalam erti kata yang luas bukan sekadar proses memantapkan akliah atau daya kognitif dengan melalui peperiksaan semata-mata. Tetapi potensi insan yang harus digilap termasuk potensi insaniah supaya terlihat akhlak dan pekerti yang mulia. Ketangkasan jasmani yang membawa kepada disiplin yang tinggi perlu dibina supaya ia menepati maksud Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu membangun insan seimbang dan harmonis. Pendidikan di Malaysia memerlukan asas kukuh supaya pembangunan kurikulumnya menjadikan anak-anak kita pintar dan artikulatif. Dalam masa yang sama, asas integrasi harus menjadi matlamat unggul supaya perbezaan yang ada daripada latar etnik, agama dan budaya menjadi titik temu bagi pembangunan etika yang tinggi, di samping nilai-nilai murni yang membawa kesan penghayatan.

Globalisasi yang datang memerlukan binaan generasi yang transformatif. Pendidikan tidak sekadar menghasilkan guna tenaga yang memiliki kepakaran dan keahlian dalam sesuatu bidang tetapi tetapi juga nilai-nilai insaniah yang akhirnya menjadikan manusia lebih manusiawi. Justeru, pengukuran mengenai kejayaan dan kecemerlangan tidak hanya bergantung kepada keputusan peperiksaan semata-mata tetapi generasi muda harus dibangunkan dengan bakat kepimpinan dan kepengikutan yang baik menerusi kegiatan kokurikulum, bakat kesukanan dan ketangkasan menerusi kegiatan ekstra kurikulum, corak penilaian yang merangkum supaya peribadi yang baik dihasilkan mampu menghadapi cabaran dan kerenah zaman.


UTUSAN MALAYSIA

ISU PENDIDIKAN : SEKOLAH KEBANGSAAN JADI PILIHAN RAKYAT

Oleh Rejal Arbee
BERITA HARIAN, 03 MAC 2011


Pandangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dua minggu lalu mengenai kemungkinan kerajaan mendapatkan bantuan swasta untuk membiayai pembinaan semula atau penambahbaikan sekolah yang daif kiranya peruntukan kerajaan tidak mencukupi menimbulkan pelbagai tafsiran sesetengah rakyat. Yang ketara ialah salah anggap oleh sebuah stesen radio swasta, BFM hingga menjadikannya satu tajuk perbincangan dengan pendengarnya Jumaat lalu, kononnya kerajaan berhasrat untuk menswastakan sekolah kebangsaan. Demikian juga Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) telah mengeluarkan kenyataan membantah sebarang langkah demikian. Kesatuan itu berpendapat kiranya benar ada usaha itu ia perlu dihadkan kepada penambahbaikan dalam infrastruktur serta peralatan saja dan tidak seharusnya menyentuh aspek akademik.

Penswastaan sepenuhnya akan ‘melonjakkan kos dan menjadikan persekolahan terlalu mahal dan di luar jangkauan golongan miskin.’  Saya kurang pasti bagaimana tanggapan salah ini boleh timbul dan berlanjutan demikian kerana apa yang disebutnya kepada akhbar di Sekolah Kebangsaan Ulu Lubai dekat Limbang, Sarawak pada 17 Februari lalu hanyalah berkisar pertimbangan membaiki kira-kira 600 sekolah daif dan kemungkinan pembabitan syarikat swasta membaiki sekolah itu kerana peruntukan kerajaan tidak mencukupi. Jadi amat menghairankan bagaimana ia boleh pula disalah tafsir oleh stesen radio itu, malah NUTP sendiri terhadap kemungkinan kerajaan menswastakan sekolah kebangsaan.  Jelas persepsi salah ini memang wujud. Maka itulah Kementerian Pelajaran sudah sepatutnya mengeluarkan kenyataan memberikan gambaran yang sebenar, iaitu apakah yang dimaksudkan Muhyiddin apabila mengesyorkan pihak swasta membiayai sesetengah sekolah.

Kiranya tidak ada penjelasan yang tegas mengenai apa sebenarnya yang dimaksudkan Muhyiddin salah sangka demikian ini tentunya akan berlarutan. Kalau dilihat daripada reaksi ramai pendengar stesen radio swasta itu yang majoritinya bukan Melayu, rata-ratanya memang mahu kerajaan menswastakan sekolah bagi membolehkan anak-anak mereka mendapat pelajaran terbaik di sekolah. Mereka rata-ratanya tidak keberatan membiayai persekolahan anak-anak kalau pun yuran sekolah akan berganda kiranya ia diswastakan sebab mereka sememangnya mampu. Tentunya bagi mereka yang mampu dan kebanyakannya pula terdiri daripada rakyat menengah berada di bandar besar bukanlah satu masalah. Tetapi bagaimana pula dengan rakyat yang tidak berkemampuan demikian yang kebanyakannya di bandar kecil dan di luar bandar. Malangnya, bagi kita di Malaysia kedudukan ini mengikut bangsa iaitu majoriti yang tidak berkemampuan demikian terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera.

Maka itu kiranya penswastaan sekolah seperti yang difikirkan mereka itu berlaku akan berengganglah lagi rakyat negara ini dan bagaimana hendak mengisi usaha 1Malaysia yang dilaungkan. Sudah tidak cukup dengan kedudukan majmuk yang ada dengan perbezaan mengikut kaum, agama, adat resam dan bahasa, nanti ditokok pula dengan perbezaan berdasarkan kelas antara golongan berada dengan miskin. Lebih mengusutkan lagi perbezaan ini rata-ratanya pula mengikut bangsa.  Usaha saya menghubungi stesen radio itu ketika perbincangan mengenai isu ini di udara gagal kerana sering saja mendapat deringan menunjukkan talian digunakan. Tetapi apabila telah dapat sambungan tiada siapa pula mengangkat gagang telefon. Jadi usaha saya memberikan pandangan bercanggah dengan pandangan kebanyakan pendengar stesen radio itu tidak berjaya. Kita sekarang sudah pun mempunyai pelbagai aliran sekolah hingga kurangnya interaksi bagi kebanyakan kanak-kanak berbilang bangsa.

Maka itu majoriti murid di sekolah kebangsaan terdiri daripada anak-anak Melayu, anak-anak Cina kebanyakannya bersekolah di sekolah jenis kebangsaan Cina dan demikian pula anak-anak India mendapat pendidikan di sekolah Tamil. Keadaan yang tidak memberikan ruang untuk wujudnya pergaulan berbilang bangsa tentunya memberikan implikasi yang tidak menyenangkan pada jangka masa panjang dalam usaha memupuk persefahaman dan keharmonian antara kaum. Pergaulan antara kanak-kanak berbilang bangsa amat penting digalakkan dari kecil demi kewujudan keharmonian dan persefahaman. Pergaulan demikian ini juga penting bagi membolehkan anak Melayu biasa bertutur Inggeris dan anak bukan Melayu pula bertutur bahasa Melayu. Satu cara terbaik untuk menggalakkan usaha penyatuan supaya tidak akan wujud prasangka buruk di antara kaum ialah dengan menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan oleh ibu bapa semua bangsa tanpa mengira kedudukan mereka.

Ini bermakna semua sekolah kebangsaan sudah sepatutnya boleh menampung segala kehendak ibu bapa hingga mereka mempunyai keyakinan tinggi untuk menghantar anak-anak mereka bersekolah di situ. Sememangnya sudah bertahun kerajaan melaungkan mahu memperkasakan sekolah kebangsaan. Malangnya ia tinggal laungan saja tanpa ada usaha serius dan berkesan untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan oleh semua rakyat negara ini. Jadi apa yang perlu dilakukan? Kita tahu bukan Melayu mahu anak-anak mereka, selain daripada boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik mahukan anak-anak mereka juga fasih bahasa Inggeris selain daripada bahasa ibunda. Maka itu semua sekolah kebangsaan sepatutnya sudah boleh menyediakan kehendak ini. Ada juga yang persoalkan disiplin yang dikatakan semakin merosot di sekolah kebangsaan walhal disiplin di sekolah jenis kebangsaan Cina amat baik sekali.

Kenapa perkara ini boleh berlaku dan tidakkah keadaan tidak menyenangkan ini boleh dibaiki?  Juga dikatakan bukan Melayu tidak begitu senang dengan keghairahan pengajaran agama walaupun hanya untuk murid Islam hingga menjadi penghalang bagi mereka memilih sekolah kebangsaan. Apakah hal ini tidak boleh diselidiki kebenarannya dan diatasi?. Demikian juga dikatakan guru di sekolah jenis kebangsaan lebih dedikasi dan prihatin terhadap murid-murid mereka dengan memberikan pelajaran terbaik di sekolah. Ini dikatakan tidak begitu ketara di sekolah kebangsaan kerana terdapat mereka yang menjadi guru bukan kerana minat tetapi kerana terpaksa sebab gagal mendapat pekerjaan lain. Kiranya ini betul apa yang perlu dilakukan ialah menjadikan profesion keguruan sebagai suatu profesion pilihan seperti dulu dengan menyediakan apa saja yang perlu untuk menjamin kedudukan demikian.    

Kiranya ia memerlukan peningkatan pendapatan guru supaya setimpal dengan profesion lain, maka laksanakannya. Ini tentunya akan dapat menggalakkan mereka yang lebih berdedikasi memilih kerjaya ini.  Apa yang dinyatakan di sini hanyalah beberapa perkara yang harus dilakukan kerajaan kiranya serius mahu memperkasakan sekolah kebangsaan dan menjadikannya sekolah pilihan untuk semua rakyat negara ini. Kalau tidak, biarlah keadaan sekarang ini berlarutan dan usaha memupuk perasaan saling menghormati, persefahaman dan keharmonian antara rakyat berbilang kaum ini berterusan terbantut.

Penulis ialah Felo Kanan UKM

ISU SOSIAL : 1 KES PERCERAIAN BERLAKU SETIAP 15 MINIT DI MALAYSIA


Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.  Beliau berkata, jumlah itu meningkat setiap tahun kerana kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri, termasuk mengabaikan solat. Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggung jawab sebagai suami dan isteri, katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul: Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia di sini hari ini. Mashitah berkata, JAKIM akan memperbanyakkan lagi program pemantapan keluarga yang menerapkan kesedaran terhadap peranan suami dan isteri, kemahiran keibubapaan, pendidikan serta pengurusan ekonomi keluarga.  Setakat ini, JAKIM telah menganjurkan sebanyak 900 program kekeluargaan dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri-negeri dalam usaha untuk memperkasakan institusi rumah tangga.

BERITA HARIAN, 3 MAC 2011

ISU AGAMA : PLURALISME AGAMA BOLEH DI BARAT, TIDAK BOLEH DI MALAYSIA

Oleh Nurhaizal Azam Arif
BERITA HARIAN
03 MAC 2011


Kebelakangan ini isu berkaitan pluralisme menjadi topik perbualan hangat. Pernyataan secara tiba-tiba mengenai ‘haram atau halal’ pluralisme ini boleh mengundang kekeliruan masyarakat. Pelbagai perspektif diutarakan mengikut kefahaman masing-masing. Sesetengah berpendapat pluralisme menjadi ancaman kepada Islam dan sesetengah pula berpendapat sebaliknya, iaitu pluralisme patut diterima kerana cara ini dapat membincangkan mengenai ciri-ciri agama masing-masing bagi mencari kefahaman dan mengenali kelainan serta persamaan. Pada pendapat saya, dalam membahaskan isu pluralisme ini, kajian secara menyeluruh dari pelbagai perspektif perlu dilakukan oleh mereka yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan dari sudut Islam, sosiologi dan politik bagi membuat rumusan yang sesuai untuk kefahaman masyarakat dan kesesuaian mengikut konteks negara kita.

Kajian sejarah dan latar belakang kemunculan pluralisme ini perlulah difahami untuk mengelak daripada pemahaman yang salah. Hasil analisis saya ada dua pandangan yang popular berkaitan konsep pluralisme ini. Pertama, pluralisme melihat dan mengiktiraf semua agama adalah sama, dan kumpulan yang kedua melihat pluralisme agama ini sebagai toleransi agama atau kepelbagaian agama. Konsep ini sebenarnya hanyalah ciptaan masyarakat Barat dan juga mereka yang bukan beragama Islam. Pandangan pluralisme melihat dan mengiktiraf semua agama adalah sama rata-rata ditentang oleh umat Islam dan juga Kristian kerana pandangan ini tidak selari dengan konsep kebenaran mutlak agama yang sesebuah agama tidak memungkinkan mengiktiraf agama lain. Konsep ini jelas tidak sesuai dan bertentangan bagi negara kita yang berpegang teguh dengan Islam, manakala pandangan pluralisme sebagai toleransi agama bukan saja menerima toleransi kepelbagaian tetapi membuka peluang berinteraksi dengan lebih mendalam dengan agama lain bagi tujuan memahami tentang perbezaan masing-masing secara terbuka. Pendekatan ini juga sebenarnya tidak perlu bagi negara kita.

Dari sudut amalan masyarakat majmuk dalam konteks negara kita, Malaysia mengamalkan kebebasan beragama di samping menjaga agama Islam sebagai agama rasmi negara. Amalan keagamaan seperti hari keraian sesuatu agama cukup dihormati dengan menetapkan cuti perayaan agama sebagai cuti umum negara. Sehinggakan golongan minoriti beragama Hindu yang meliputi cuma sekitar 10 peratus penduduk negara diberi penghormatan cuti bagi dua upacara besar mereka iaitu Deepavali dan Thaipusam. Toleransi dan sensitiviti agama di negara kita sudah berada pada tahap yang membanggakan. Saya rasa tiada sebuah negara lain di dunia memberi penghormatan dan meraikan perayaan agama seperti yang kita lakukan.  Pluralisme yang diketengahkan di Barat terutama di Amerika Syarikat dipelopori bagi membuka peluang masyarakat di sana untuk mengenali agama lain dengan tujuan untuk mengubah stereotaip masyarakat yang lebih didominasi oleh kaum kulit putih Kristian kepada masyarakat yang inklusif yang menerima kepelbagaian serta menghapuskan prejudis, konflik agama dan diskriminasi terhadap warna kulit, jantina, agama dan perbezaan lain.

Sekiranya konsep itu mahu diterap secara bulat-bulat ke dalam konteks Malaysia, kekeliruan dan permasalahan akan timbul kerana kita seolah-olah memberi ubat kepada orang yang salah, sakit tidak hilang, penyakit lain pula yang akan timbul terkena kesan sampingan. Ini adalah kerana latar belakang, permasalahan, sejarah, dan falsafah hidup berbeza antara negara kita dengan negara lain. Kita perlu melihat dari kaca mata kita sendiri mengenai keperluan dan kesesuaian dari sudut konteks negara kita yang mempunyai nilai yang berlandaskan Islam dan budaya Timur. Amalan tanpa kajian dan padanan yang sesuai mungkin akan membawa kepada hasil yang tidak selari dengan masyarakat di negara kita. Oleh itu saya melihat konsep pluralisme yang berasaskan toleransi dan dialog itu menjadi satu keperluan di Eropah dan Amerika Syarikat yang berhadapan dengan Islamofobia tetapi tidak perlu bagi negara kita yang telah sekian lama menerima kepelbagaian dan hidup bersama dalam masyarakat majmuk.

Berkaitan keperluan untuk berdialog antara agama, Islam sebenarnya sudah cukup menerangkan perbezaan antara Islam dengan agama yang lain. Kandungan al-Quran sendiri banyak menceritakan sifat dan ciri-ciri kaum tertentu seperti Yahudi, Kristian, dan golongan lain supaya umat Islam dapat berhadapan dan bergaul dengan mereka secara jelas. Tidak dinafikan ada konflik antara agama di Malaysia, tetapi masih pada tahap minimum dan terkawal. Apa yang kita amalkan selama ini sebenarnya sudah mendahului pluralisme.

Penulis ialah Pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan, Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia