JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Oktober 2012

ISU SOSIAL : POLIGAMI : IKUT SYARIAT ATAU NAFSU


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


Pandangan seorang lelaki terhadap wanita lanjut umur - 35 tahun ke atas - rugi kerana tidak berpeluang hidup berumahtangga dan kupasan Fauziah Arof tidak salah dengan fenomena tersebut kerana setiap wanita memikirkan kebahagiaan daripada segala-galanya. (Syed Abdulllah Syed Othman Jamalullail, Longgarkan syarat berpoligami dan Fauziah Arof, Hanya Memudahkan Poligami, bukan misi penyelamat, Utusan Malaysia, 16 dan 17 Oktober, 2012). Bagi Fauziah, tidak salah seorang wanita yang bekerjaya lebih berhati-hati dalam memilih pasangannya kerana tidak mahu kecundang akibat tersalah pilih. Atas sikap hati-hati dan berwaspada itulah ada menyebabkan wanita sukar memperoleh pasangan lelaki yang baik kerana calon-calon semakin berkurangan ataupun tidak mahu terjerat dalam putaran berkongsi suami.

Sementara itu, bagi Syed Abdullah, seperti kebanyakan lelaki normal bercakap tentang keinginan dengan harapan dapat melihat fenomena andartu dikurangkan walaupun tidak dapat dihapuskan sepenuhnya secara mutlak. Islam memberikan kebenaran untuk berpoligami dengan syaratnya dan bukanlah sebagai terjahan naluri 'ego' kerana wujud perspektif seseorang yang berkahwin lebih dari seorang pada suatu masa 'hebat' kerana berjaya menakluki dan mencairkan hati lebih seorang wanita. Persoalan yang ditetapkan oleh agama tidak menjadi pertimbangan utama kerana konsep keadilan itu juga telah dipersimpangkan sebagai 'sama rata, sama rasa'. Contoh yang jelas ialah bagaimana Fauziah melihat keadilan itu antaranya, "pembahagian giliran, pembahagian nafkah dan sebagainya."

Bagaimanapun Fauziah melihat perspektif selanjutnya iaitu perasaan perempuan bekerjaya takutkan lelaki mengambil kesempatan atas kedudukan itu kerana pada masa sekarang memang sukar untuk mencari lelaki jujur dan ikhlas dalam perkahwinan. Wanita menjadi sedikit gusar apabila kadar penceraian kian bertambah dan ini memeritkan ramai orang kerana perkahwinan itu mudah tetapi hidup bersama hingga ke akhir hayat teramat payah. Sebelum Islam, konsep berpoligami banyak berkisar atas keinginan seseorang lelaki. Dunia seolah-olah diterajui sepenuhnya oleh lelaki dan dikenali sebagai patriarki. Apabila Islam diturunkan, poligami tidak diharamkan tetapi diletakkan syarat ketat, iaitu berlaku adil.

Islam mengadakan peraturan perkahwinan dan menggariskan batas tertentu untuk poligami dan menjadikan bilangan paling banyak (maksimum) wanita yang boleh dikahwini dalam satu-satu masa ialah empat orang dengan syarat individu itu mempunyai kemampuan yang cukup serta boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya. Islam telah menentukan keperluan individu dan masyarakat dan menentukan ukuran kepentingan kemaslahatan manusia seluruhnya. Hak lelaki berpoligami dalam lslam bukan persoalan hak lelaki ke atas wanita. Tetapi, ia adalah hak Allah SWT terhadap makhluk-Nya. Hak ini bukan dipaksakan Allah. Ia peruntukan yang diharuskan dengan bersyarat ke atas lelaki yang ingin berpoligami.

Ini bermakna, ada sebab yang munasabah Islam memberikan kelonggaran untuk lelaki berkahwin lebih seorang dan tidak boleh berlandaskan naluri seks semata-mata sebagaimana menjadi faktor lelaki masa kini menambah bilangan isteri. Apakah cadangan Syed Abdullah itu dibuat dengan alasan untuk "menyempurnakan kehidupan berumah tangga kepada setiap wanita" manakala Fauziah tidak bersetuju kelonggaran syarat kerana ramai lelaki suka mengambil kesempatan. Wanita semakin sedar, dirinya bukanlah objek yang mudah dipergunakan kerana kesedaran muncul dalam diri, tidak bererti hidup membujang itu sesuatu yang salah dan tidak bahagia.

Menurut Maulana Wahidudin Khan, "Perintah poligami, meskipun nampaknya lazim dipraktikkan, hanya diberikan sebagai solusi bagi mengatasi masalah sosial yang serius. Poligami memberi jalur bagi jumlah perempuan yang berlebih untuk dapat menyelamatkan diri daripada anarki seksual, dan untuk dapat mempunyai kehidupan keluarga yang stabil dan layak. Ertinya, di sini bukan masalah menerima poligami ketimbang monogami, melainkan memilih antara poligami dan anarki sosial."( Antara Islam dan Barat: Perempuan di Tengah Pergumulan, 2001:240-241) Nyatalah bahawa perspektif poligami yang dibenarkan oleh Islam secara teorinya seolah-olah memberikan kelebihan kepada lelaki, tetapi jika dianalisis dalam perspektif struktur masyarakat, poligami lebih menguntungkan wanita, merupakan jalan keluar terbaik bagi menghindari masalah perempuan dan memenuhi keperluan sosial.

Poligami menimbulkan pelbagai prasangka apabila kelonggaran itu dilihat sebagai 'kontra budaya' oleh gerakan feminisme yang secara lantangnya diwujudkan oleh wanita profesional dan terlibat dalam gerakan buruh pada 1960-an. Mereka memperjuangkan persamaan gender sehingga merosakkan persekitaran moral dan kehidupan bermasyarakat kerana menilai institusi keluarga sebagai "bagasi kehidupan yang semakin berat dan sarat." Gerakan feminisme sentiasa berjuang secara bertentangan dengan kelaziman sehingga menganggap hidup keseorangan tanpa berkeluarga itu adalah perubahan yang mesti dihormati oleh semua orang. Ia adalah pilihan yang wajib dihormati. Bagi membangunkan keluarga memerlukan kesiapan mental, fizikal dan ilmu. Itulah sebabnya ada ketetapan bahawa sebelum berkahwin perlu menjalani kursus praperkahwinan, tetapi setelah berkeluarga tidak disyaratkan pula menjalani kursus keibubapaan.

Itulah sebabnya, banyak keluarga berantakan manakala perkahwinan semakin bermasalah sehingga dari segi statistiknya amat mencemaskan. Rasa takut sebenarnya punca mengapa ramai mengambil keputusan untuk melewatkan perkahwinan dan kecenderungan ini semakin membesar dalam masyarakat. Contohnya, hasil Banci Penduduk dan Perumahan 2010, 2.5 juta jumlah penduduk berusia lebih 25 tahun masih belum berkahwin, yakni 60.4 peratus adalah lelaki berbanding 39.6 peratus adalah wanita. Masyarakat masih melihat, fenomena lelaki lambat kahwin bukanlah masalah besar berbanding dengan wanita. Dapatan Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 (2004), hampir separuh lelaki memberikan jawapan faktor yang melambatkan mereka berkahwin ialah masalah kewangan (44.7%), kemudian diikuti tiada calon yang sesuai (19.3%), kerjaya (12.8%), komitmen keluarga (6.3%) dan sebab-sebab lain.

Wanita belum berkahwin kerana tiada calon yang sesuai (40%), masalah kewangan (14%), kerjaya (8.4%), selesa hidup membujang (8.4%), komitmen keluarga (7.4%) dan sebagainya. Dapatan ini memberikan pemahaman faktor calon merupakan masalah yang kritikal bagi wanita manakala bagi lelaki ialah kewangan. Lelaki mula merasakan agak perit untuk berkahwin kerana belanja kahwin semakin meningkat hingga ada ketikanya keluarga perempuan meletakkan mas kahwin melebih RM10,000 atas alasan, perlu dinaikkan kerana nilai wang semakin kecil dan kos sara hidup semakin tinggi. Perkahwinan yang mahal dan besar, penuh gemilang bukanlah jaminan memperoleh bahagia. Oleh itu, perlu realistik dalam membuat pilihan pasangan, meletakkan mas kahwin dan hantaran, majlis kenduri dan resepsi. Idealisme tidak dapat dipenuhi sepenuhnya bahkan idealisme tidak pernah menghasilkan kejayaan secara total.

Perkongsian dalam keluarga mestilah bermula dengan keazaman kuat membina keluarga bahagia dengan menepis ego dan merapatkan jurang perbezaan psikologi. Tidak perlu terikut-ikut dengan gaya perkahwinan selebriti dan nilai budaya feminisme, kerana pengaruh itulah banyak menjadikan pasangan rapuh dan rawan penceraian. Apa pun, sepatutnya kita perlu menyatakan pendirian yang sederhana dalam menanggapi masalah poligami ini. Kita tidak perlu melenting kuat dan menolak serta-merta sekiranya poligami menjadi pilihan terakhir bagi menyelesaikan masalah keluarga mahupun masalah sosial. Pasti ada hikmah yang terkandung di dalamnya. Kita juga tidak boleh menerima secara total implementasi poligami yang mempunyai peluang besar untuk disalah guna oleh kaum lelaki dan disalah erti maksud sebenar tujuan poligami. Perlu ada sebab musabab kuat yang tidak boleh dicari jalan keluarnya bagi membolehkan poligami dilaksanakan.

Kalaulah persekitaran itu dapat dicemerlangkan, maka fenomena berkahwin di lewat tempoh kesuburan berjaya dikurangkan. Persoalan poligami bukanlah masalah besar kerana seorang suami akan merasakan dosa yang besar apabila gagal berlaku adil ke atas isteri-isterinya. Poligami mempunyai kemanisannya jika berjalan secara bijaksana, tetapi kebanyakannya menjadi 'neraka' jika ia diasaskan atas keinginan seksual dan berlangsung tanpa restu isteri pertama. Kemampuan kewangan haruslah menjadi ukuran kerana sebagai seorang lelaki, adalah dayus jika mengharapkan isteri menyara kehidupan berkeluarga, kecualilah dalam keadaan suami berhadapan dengan penyakit dan kecacatan fizikal (atau mental). Lelaki mestilah kembali menjadi kelompok yang kuat, sihat dan perkasa (fizikal dan mental) bukan hanya bermain sandiwara memikat wanita cantik dan berkerjaya.

Maka setiap orang yang berhasrat berpoligami, sama ada atas alasan lewat usia dan keinginan berkeluarga serta cabaran budaya atau masyarakat hendaklah menghormati apa sebenarnya institusi keluarga. Ia bukanlah perhitungan berdasarkan idealisme semata-mata, ia amalan yang amat memerlukan kesabaran, kebijaksanaan dan hakisan sempadan ego diri.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Oktober 2012

ISU PENDIDIKAN : PENGAJIAN TINGGI SATU PILIHAN


Rencana ini ditulis oleh :
DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN
Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.
Beliau boleh dihubungi melalui emel mkhaled.mohe@gmail.com


Pengajian tinggi adalah sebahagian proses pendidikan yang bermula daripada peringkat rendah dan menengah. Sistem pendidikan negara pada masa ini mewajibkan pendidikan rendah dan menengah dan kerajaan membiayai sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tersebut. Pengajian tinggi pula adalah bersifat pilihan apabila individu boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan. Ia adalah pelaburan yang boleh meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk bersaing merebut peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih baik.

George Psacharopoulos yang merupakan pakar Bank Dunia melalui kajian bertajuk "Returns To Investment In Higher Education: A European Survey" menyatakan keputusan untuk memilih pengajian tinggi merupakan satu pelaburan kepada individu dan pulangan yang diperolehi oleh individu hasil daripada pengajian tinggi juga adalah lebih besar iaitu 10.2 peratus (%) berbanding 7.9% oleh masyarakat. Maka, adalah wajar individu membiayai sebahagian pelaburan itu daripada ditanggung keseluruhannya oleh pembayar cukai (orang awam). Pendidikan percuma anjuran parti pembangkang telah memberi isyarat yang salah dari segi harga pendidikan yang menyebabkan over-education kerana pengguna membuat keputusan yang tidak betul dari segi pelaburan pendidikan.

Kos pengajian tinggi harus dikongsi bersama oleh pembayar cukai dengan individu kerana pengajian tinggi mempunyai ciri quasi public goods. Walaupun begitu, di negara kita ketika ini di peringkat pengajian tinggi, kerajaan memberi subsidi bagi yuran yang dikenakan kepada pelajar. Umpamanya, kos program pengajian perubatan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sebelum subsidi adalah sebanyak RM166,000 tetapi pelajar hanya membayar yuran sebanyak RM9,000 sahaja, yang mana 94.6 peratus diberikan subsidi oleh kerajaan. Bagi program kejuruteraan pula, kadar yuran yang sepatutnya adalah RM61,200, manakala yuran yang dibayar pelajar hanya RM5,600 iaitu 90 peratus diberi subsidi oleh kerajaan. Bagi program farmasi pula kos sebenar adalah dalam lingkungan RM51,000 dan pelajar hanya perlu membayar yuran RM6,800. Malah, yuran yang dikenakan oleh IPTA ini juga tidak pernah dinaikkan sejak 1990-an lagi.

Secara keseluruhannya, lebih 90% pembiayaan IPTA adalah bersumberkan dana awam (cukai). Pokoknya, falsafah di sebalik pembayaran yuran pengajian tinggi sebenarnya sebagai tanda penghargaan kepada nilai ilmu dan keilmuan. Ia sangat penting dalam meletakkan kepentingan dan nilai pengajian tinggi pada tempatnya. Bagi negara maju, mereka juga mula mengenakan yuran pengajian di institusi pengajian tinggi awam masing-masing, antaranya United Kingdom bermula 1998. Namun bagi meringankan beban pelajar, kerajaan Britain memperkenalkan skim pinjaman pelajar. Langkah ini juga diikuti beberapa negara Eropah lain seperti Austria, Perancis, Ireland, Sepanyol, Belgium, dan Belanda. Kadar yuran yang dikenakan juga berbeza mengikut negara dari serendah 50 Euro sehinggalah 1,302 Euro. Begitu juga dengan Maghribi di mana Menteri Pengajian Tinggi dalam laman sesawang Morocco World News pada 23 Julai 2012 mengumumkan keputusan kerajaannya untuk menghentikan pengajian tinggi percuma.

Sungguhpun terdapat negara seperti Finland, Denmark dan Norway, yang dikatakan menawar pendidikan tinggi secara percuma, namun negara-negara ini mempunyai struktur cukai pendapatan yang paling tinggi di dunia. Kadar cukai pendapatan individu di negara itu adalah antara 6.5 hingga 55.4% dan mereka juga melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (goods and services tax - GST) dan Value-added Tax (VAT) sekitar 23 hingga 25% yang belum lagi diamalkan di Malaysia. Pendapatan perkapita setahun negara-negara itu juga adalah jauh lebih tinggi berbanding Malaysia yang mana Finland mempunyai pendapatan perkapita setahun sebanyak AS$48,420, Denmark AS$60,390, dan Norway sebanyak AS$88,890, manakala pendapatan perkapita Malaysia hanya AS$8,420.

Pendapatan per kapita hasil daripada cukai yang tinggi ini digunakan untuk membiayai pengajian tinggi. Ini menunjukkan sebenarnya tidak wujud istilah pendidikan percuma di mana-mana negara kerana pasti akan ada pihak yang membiayainya. Dalam erti kata lain, pendidikan percuma di Finland, Denmark dan Norway dibiayai oleh dana awam sepenuhnya melalui kadar cukai yang tinggi tetapi Malaysia dengan kadar cukai 0-26% masih mampu memberikan subsidi yuran sehingga 95% kepada lebih 500,000 pelajar IPTA setahun. Hujah yang menjadikan Turki sebagai contoh negara yang memberi pendidikan percuma adalah tidak tepat sama sekali. Turki sebenarnya turut mengenakan yuran pengajian di peringkat tertiari dan pasca siswazah, dan keadaannya sama seperti Malaysia.

Turki hanya menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah tinggi dari gred 1 hingga 12 (dari umur 6 - 18 tahun). Gred 1-4 adalah sekolah rendah; gred 5-8 adalah sekolah menengah; dan gred 9-12 adalah sekolah tinggi). Malaysia juga menawarkan pendidikan percuma di peringkat sekolah rendah dan menengah dari darjah 1 hingga tingkatan 6 atas (dari umur 7-18 tahun) sama seperti Turki. Pada masa sama, sebahagian besar pelajar Turki terpaksa memohon pinjaman menerusi Higher Education Credit and Dormitories Institution yang ditubuhkan pada 1961 dan kadar faedah yang dikenakan berdasarkan Indeks Harga Pengguna (CPI) yang mengikut kadar inflasi semasa. Kadar purata CPI untuk 2010 ialah 8.58% dan tahun 2011 ialah 6.46%. Kadar faedah tambahan sebanyak 2.5% daripada kadar asas CPI akan dikenakan kepada pelajar yang gagal membuat bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Sebagai rumusan, pelaksanaan pengajian tinggi percuma akan melibatkan implikasi-implikasi yang memerlukan pertimbangan rasional agar tindakan tersebut tidak menjejaskan hala tuju negara dalam mencapai status negara maju menjelang 2020. Di samping itu, pengajian tinggi percuma tidak boleh dilaksanakan ke atas IPTS kerana ia adalah entiti perniagaan yang berasaskan keuntungan. Situasi ini, akan menyebabkan tumpuan masyarakat akan beralih kepada IPTA. Kualiti pengajian tinggi negara juga boleh jatuh kerana faktor percuma akan menghilang nilai sebenar ilmu dan sikap kebertanggungjawaban pelajar. Sehubungan itu, pada masa ini, kerajaan belum bersedia memberi pengajian tinggi percuma kerana jika dilaksanakan kerajaan terpaksa mengenakan bebanan cukai yang tinggi terhadap rakyat. Maka di sinilah letaknya kepentingan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sebelum penubuhan PTPTN, kerajaan hanya mampu menyediakan biasiswa untuk sekitar 26,000 orang pelajar sahaja setahun. Ini bermaksud, ramai pelajar yang layak ke IPT tidak mendapat penajaan khususnya dalam kalangan mereka yang miskin dan berpendapatan sederhana.

Namun, hari ini, PTPTN berjaya meningkatkan akses kepada pengajian tinggi di mana pada 2011 sahaja, sejumlah 227,209 orang berjaya melanjutkan pengajian di peringkat pengajian tinggi dengan bersumberkan pembiayaan PTPTN. Kerajaan melihat cadangan untuk memberikan pendidikan percuma dan menghapuskan PTPTN adalah satu lagi janji yang populis tanpa mengkaji implikasinya. Tindakan pemansuhan PTPTN sebenarnya akan memberi kesan amat besar kepada pelajar dan negara kerana ia akan:

i. Mengehadkan akses kepada pengajian tinggi dalam kalangan pelajar miskin;

ii. Menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS;

iii. Menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai kos sara hidup pelajar IPTA/IPTS, yang mana bagi pelajar IPTA hanya sekitar 15 - 30% pinjaman PTPTN digunakan untuk membayar yuran, manakala 70 - 85 % digunakan bagi menanggung kos sara hidup. Bagi pelajar IPTS pula, 70% digunakan untuk yuran dan 30% untuk sara hidup; dan

iv. Merencatkan usaha bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi negara menjelang tahun 2020

Oleh itu, kerajaan akan mengekalkan pembiayaan PTPTN. Sehingga 31 Ogos 2012, PTPTN meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2,031,259 pelajar yang layak dengan komitmen sehingga pelajar tamat pengajian berjumlah RM45.4 bilion. Jumlah ini amat tinggi tetapi komitmen ini adalah pelaburan besar negara untuk manfaat rakyat dan pembangunannya.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Oktober 2012