JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



22 Februari 2012

ISU KESIHATAN : RAWATAN KECANTIKAN BOLEH MEMUDARATKAN SESEORANG

Oleh Liow Tiong Lai
bhnews@bharian.com.my


Baru-baru ini Puan C pergi ke sebuah pusat rawatan kecantikan kulit di Johor untuk membuat rawatan muka. Bagaimanapun, dia terpedaya dengan pujukan pusat kecantikan itu supaya membelanjakan wang beribu-ribu ringgit bagi menjalani rawatan laser yang tersilap, menyebabkan kulit wajahnya terbakar dan meninggalkan parut. Encik L juga mengalami pengalaman sama. Dia menjalani program menguruskan badan dengan ‘suntikan tanpa jarum’ yang mengakibatkan kulit di sekeliling pinggangnya ‘ditumbuhi’ 30 kesan melecet yang akhirnya melarat menjadi luka. Malangnya, kedua-dua kisah ini sering kita dengar. Puan C dan Encik L bukan mangsa pertama pembedahan silap yang dilakukan oleh pakar terapi tidak berkelayakan supaya mereka kelihatan cantik.  Setiap tahun, Kementerian Kesihatan, Tribunal Tuntutan Pengguna dan Biro Perkhidmatan Awam MCA serta Jabatan Aduan terus menerima pelbagai aduan daripada segenap lapisan pengguna.

Kebanyakan kes ini sering dilaporkan dalam akhbar untuk meningkatkan kesedaran masyarakat, manakala pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas salun kecantikan atau pakar terapi itu.  Saya memandang berat terhadap hakikat bahawa kita terus mendengar kisah seperti disebut itu. Saya yakin lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya prosedur pembedahan kosmetik tidak bertauliah yang ditawarkan oleh doktor tidak berlesen atau tidak terlatih.  Semua prosedur kosmetik sama ada rawatan laser, suntikan, program menguruskan badan atau pembedahan plastik, hendaklah dilakukan oleh pakar profesional terlatih dan berkelayakan kerana ia memerlukan kemahiran teknikal dan membabitkan risiko ke atas pesakit. Anda tentu sekali tidak mahu mekanik kereta membedah otak anda, dan prinsip yang sama juga digunakan dalam rawatan kecantikan. Hanya doktor yang terlatih khusus seperti pakar kulit atau pakar bedah kecantikan layak menjalankan pembedahan berkenaan.

Jikalau anda berasa was-was mengenai kelayakan seseorang doktor, anda boleh menyiasat melalui bahagian ‘Daftar Perubatan’ di laman sesawang Majlis Perubatan Malaysia (mmc.gov.my).  Awas! Jangan sesekali mempercayai pakar berkelayakan sekiranya dia menjalankan operasi di pusat kecantikan atau klinik swasta! Pusat kecantikan dan klinik swasta diharamkan menjalankan pembedahan kosmetik atau kecantikan. Semua prosedur ini hanya boleh dilakukan di hospital, termasuk hospital kerajaan yang mempunyai pakar bedah plastik yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan, hospital swasta berlesen atau pusat rawatan ambulatori swasta yang berlesen. Beberapa salun kecantikan mungkin langsung tidak mempunyai doktor, sebaliknya hanya ada ahli terapi kecantikan. Ini adalah petanda yang jelas bahawa salun itu bukanlah tempat untuk menjalani sebarang bentuk prosedur yang membabitkan suntikan, laser atau pembedahan.

Pengguna hendaklah berhati-hati dengan dakwaan yang hebat atau ‘indah khabar dari rupa’ yang dibuat oleh beberapa pusat kecantikan. Dakwaan seperti ‘Turunkan berat badan 10 kilogram dalam tempoh 10 hari’ atau ‘Kulit menjadi putih serta-merta’ mudah membuat sebilangan orang terpengaruh. Isu yang membabitkan imej, seperti masalah berat badan, kulit, rambut gugur atau ukuran beberapa bahagian tertentu badan menjadikan mereka berasa rendah diri berbanding dengan ‘insan yang sempurna’ yang muncul dalam kebanyakan iklan, sekali gus membuat mereka mudah terpengaruh dengan dakwaan palsu sebagai jalan penyelesaian mudah terhadap masalah mereka.  Anda juga perlu berwaspada terhadap pakej rawatan yang terlalu murah, terutama jika pusat kecantikan itu terus mendesak anda supaya menyertai ‘promosi’ itu. Paling baik ia mungkin membazirkan wang, atau paling buruk, rawatan itu mungkin meninggalkan parut buat selama-lamanya atau memudaratkan kesihatan anda.

Pada waktu sama Kementerian Kesihatan mengambil tindakan dengan memperkenalkan garis panduan untuk mengawal industri kecantikan. Peraturan ini akan meliputi semua prosedur dan rawatan pembedahan kecantikan yang mewajibkan kehadiran doktor perubatan dan doktor gigih yang berdaftar. Apabila garis panduan ini siap sedia, ia akan menggariskan dengan jelas perkara yang boleh atau tidak boleh dilakukan, khususnya mengharamkan pakar perubatan atau doktor gigi yang tidak berdaftar daripada menjalankan sebarang prosedur yang membabitkan suntikan atau pembedahan laser.  Seperti biasa kami akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan serta polis untuk mengawasi salun kecantikan tidak berlesen dan mengambil tindakan bila perlu.

Kami perlukan masyarakat umum menjadi mata dan telinga dalam soal ini. Mereka yang pernah menjadi mangsa, atau mengetahui mengenai khidmat prosedur kecantikan haram ini hendaklah melaporkan kepada Kementerian Kesihatan supaya kami boleh mengambil tindakan keras bagi melindungi pengguna.  Perlindungan terbaik datang daripada anda sendiri, iaitu caveat emptor atau ‘berwaspada pembeli.’ Sekiranya anda bercadang untuk melakukan sebarang bentuk rawatan atau pembedahan untuk memperbaiki penampilan diri, anda perlu timbang keputusan dengan teliti, sama seperti jika anda menjalani rawatan perubatan.  Anda perlu bertanya banyak soalan, pertimbangkan risiko dengan kebaikan, jangan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu wakil jualan. Satu keputusan silap mungkin meninggalkan parut yang berkekalan sepanjang hayat.

Penulis ialah Menteri Kesihatan www.liowtionglai.com/blog atau twitter@liowtionglai

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
22 Februari 2012

ISU KENEGARAAN : BERSATU TANPA SATU BAHASA

TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN
Karyawan Tamu kepada Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir UUM.


Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa patriotisme pelajar-pelajar sekolah jenis kebangsaan tidak perlu dipersoalkan dan dihubungkaitkan dengan kesetiaan dan kasih sayang pada negara. Tajuk berita mengenainya: Patriotism not in one 's language, those study in vernacular school are loyal to country, says Wee ( Sunday Star 19 February 2012) "Bahasa adalah jambatan perpaduan tetapi menggunakan bahasa yang sama tidak bererti bahawa kita bersatu" katanya. Pandangan ini ada logiknya tetapi menidakkan atau menafikan peranan "Satu bahasa Satu Bangsa" untuk jalinan penghayatan perasaan kenegaraan, persefahaman, saling hormat-menghormati dan bagi pembangunan dan kesepaduan suatu bangsa dalam masyarakat berbilang kaum. Pandangan ini juga menolak kejayaan Singapura membangunkan suatu Bangsa Singapura (Singaporean Singapore) menerusi satu bahasa iaitu bahasa Inggeris walaupun bahasa ibunda masing-masing dibenarkan untuk dipelajari sebagai bahasa kedua (Dasar Dwi Bahasa).

Singapura melaksanakan dasar Bahasa Inggeris sebagai pengantar utama semua sekolah dengan tegas, berani dan tanpa tolak ansur terutama terhadap kaum Cina sendiri (lihat buku Lee Kuan Yew : My Life Long Challenge : Singapore Bilingual Journey). Keberkesanannya yang terbesar adalah menghapuskan cauvinisme Cina berpunca dari sekolah Cina yang berpotensi menjadi ancaman besar kepada ketenteraman dan keharmonian politik Singapura dari awal 60 an hingga 80an. Di Malaysia Sekolah Kebangsaan (Pengantar Melayu) tidak mencapai matlamat seperti sekolah aliran kebangsaan di Singapura (aliran Inggeris) kerana pendekatan dalam pelaksanaan dasar Bahasa Kebangsaan bermula dengan pendekatan jingoism atau fahaman perkauman Melayu yang sempit yang tidak menampakkan pendekatan liberal dan berdiplomasi supaya diterima selesa oleh bukan Melayu sebagai bahasa mereka. Pendekatan ini lebih hendak menonjolkan kebanggaan bahasa Melayu adalah hak kepunyaan orang Melayu sekalipun hasrat utama adalah untuk menjadikannya bahasa nasional atau bahasa bagi semua kaum.

Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra menganjurkan supaya Bahasa Melayu diistilahkan sebagai Bahasa Malaysia tetapi seakan ditolak oleh pejuang bahasa dan fanatik bahasa yang berpusat di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sehingga ini kesempitan dalam pendekatan ini dapat dilihat dari papan-papan iklan atau poster promosi penggunaan Bahasa Melayu di lebuh raya dan di lain-lain tempat umum yang menggunakan gambar lelaki dan wanita Melayu berpakaian Melayu. Ini memberikan gambaran penggunaan Bahasa Melayu mestilah juga menggunakan budaya Melayu atau Bahasa Melayu itu hanya terbatas kepada orang Melayu dan Islam sahaja. Kenapa tidak memakai wajah berbilang kaum dalam pakaian harian. Kempen menggalakkan penggunaannya masih memakai slogan lapuk dan beku" Gunakanlah Bahasa Melayu". Pada hakikatnya dalam interaksi seharian antara kaum sekarang ini adalah menggunakan bahasa Melayu kecuali di bidang perdagangan dan ekonomi yang tetap memerlukan penggunaan bahasa Inggeris.

Slogan ini tidak dinamik dan beku yang menunjukkan kejumudan berfikir pejuang bahasa yang bertanggungjawab yang tanpa sedar menyinggung perasaan generasi baru bukan Melayu yang telah pun menguasai dan menggunakan bahasa itu. Ketidakterbukaan sikap ini juga mempengaruhi corak pendekatan pendidikan di sekolah-sekolah kebangsaan sehingga anak anak bukan Melayu merasa terasing dan menjadi antara salah satu fakta menyebabkan orang Cina tidak mahu menghantar anak mereka ke sekolah-sekolah kebangsaan. Sesetengah sekolah ini pula agak keugamaan kerana sikap pengetua atau guru. Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew (LKY) sendiri diawal kemerdekaan negaranya telah melihat ancaman perkauman Cina dari sekolah-sekolah Cina kepada perkembangan keharmonian kaum dan kestabilan Singapura. Oleh kerana jumlah besar penduduk Singapura orang Cina maka cabaran besar yang pertama sekali dihadapi adalah dari generasi muda berpendidikan Cina yang dibudayakan oleh Bahasa Cina.

LKY dengan berani, tegas dan menggunakan tangan besinya memerangi pejuang-pejuang pendidikan Cina dan menutup sekolah-sekolah Cina, Tamil dan Melayu dan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama yang akhirnya menjadi alat paling berkesan bagi kecairan perkauman Cina. Dalam 1987, Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal sekolah Singapura. Air mata mengalir di kalangan masyarakat India apabila sekolah Tamil ditutup di Singapura pada 1982 terutama sekali di kalangan penjual-penjual akhbar Tamil yang yang penutupan sekolah itu bererti berakhirnya riwayat akhbar Bahasa Tamil di Singapura. (Men In White - hlm 611) Mengenai penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa bersama rakyat Singapura, LKY berkata " Selepas 1965, kami terpaksa membuat keputusan mengenai bahasa bersama. Jika kami menjadikan Cina sebagai bahasa bersama , maka kebudayaan Cina menjadi dominan dan akan membawa kepada perpecahan masyarakat. (Ibid hlm 613)

Tidak dapat dinafikan bahawa berikutan dengan kebangkitan Republik Rakyat Cina menuju ke arah menjadi kuasa terbesar ekonomi dunia maka dasar Singapura kini tercabar tetapi tidak mungkin Singapura mahu meleburkan asas kekuatannya seperti yang dibenarkan berlaku di Malaysia sehingga mengakibatkan tsunami 2008. LKY berjaya melahirkan rakyat Cina yang berfikiran Singapura atau Singapura yang tidak kecinaan berbanding dengan aliran pemikiran Cina Malaysia yang mengwujudkan suasana yang memaksa kepimpinan politik Cina untuk mencari populariti menerusi isu perkauman Cina. Kesilapan LKY adalah hendak menjual eksperimen kejayaan politik kosmopolitannya di Singapura ke Malaysia (Malaysian Malaysia) tanpa mempedulikan sensitiviti majoriti masyarakat tradisi Melayu. Beliau mahu melakukan apa yang dilakukannya terhadap majoriti rakyat Cina Singapura. Dalam buku Men In White halaman 610 disebutkan bagaimana LKY menghadapi golongan pejuang pejuang bahasa Cina pada 1965. LKY menulis "under the full glare of TV light I met the committees of all four chambers of commerce. I left the Chinese representative in no doubt that I would not allow anyone to exploit the Chinese language as a political issue. That put an end to their attempts to elevate the status of the Chinese"

Hal ini tidak mungkin akan dilakukan oleh LKY jika beliau tidak melihat mereka yang bersekolah Cina akan terbentuk dengan pemikiran perkauman Cina dan keperluan penggunaan satu bahasa untuk pembinaan perasaan kenegaraan atau kesetiaan kepada Singapura. Contoh kecil bahawa golongan berpendidikan Cina bersikap perkauman Cina yang menyebabkan mereka berpandangan sempit dan kecinaan jelas dalam tulisan Joceline Tan di Sunday Star 19 Februari 2012 mengenai debat Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Menurut Joceline golongan berpendidikan Cina menganggap orang Cina seperti Soi Lek dan Guan Eng sebagai pisang, kuning di luar tetapi Barat di dalam kerana mereka tidak berpendidikan Sekolah Cina tetapi hanya bersekolah Kebangsaan dan Sekolah Inggeris. Demikian juga dalam bukunya My Life Long Challenge: Singapore Bilingual Journey, LKY menyatakan bahawa orang Cina yang mendapat pendidikan Inggeris memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kedua untuk anak-anak mereka kerana menyedari hakikat bahawa Singapura berada di rantau Melayu tetapi orang China yang berpendidikan Cina tetap memilih bahasa Cina sebagai bahasa kedua.

Menafikan sesuatu bahasa membibitkan perasaan kenegaraan adalah menafikan proses pembentukan kejatian diri sesuatu bangsa. Dalam hal ini Singapura mencapai kejayaan dalam masa singkat dan boleh dijadikan contoh. Dalam masa tiga dekad (1960 -1980) , Sekolah Rendah dan Menengah pengantar Bahasa Cina tidak wujud lagi di Singapura. Dalam 1980, Nanyang Universiti dipaksa bergabung dengan Universiti of Singapura untuk menjadi National Universiti of Singapore (Lihat Men in White hlm 612). Bagaimanapun rakyat Malaysia yang mahukan suatu identiti nasional tidak seharusnya bersikap sentimen, marah atau prejudis terhadap bukan Melayu yang tidak mahu menerima Sekolah Kebangsaan atau tidak mahu menghantar anak anak mereka ke Sekolah Kebangsaan. Ini adalah sikap pengasingan diri secara sukarela yang sewajarnya dihormati dalam masyarakat berbilang kaum yang negaranya percaya kepada perpaduan menerusi integrasi. Mereka tidak mahu diserapkan dalam suatu acuan bangsa seperti yang berlaku kepada orang Cina di Indonesia atau di Thailand yang menjalankan dasar asimilasi terhadap pendatang.

Dalam kata-kata lain, kewujudan masyarakat bukan Melayu yang mahukan kebebasan untuk terus kekal dengan identiti bangsa pendatang dan tidak mahu berada dalam aliran perdana sewajarnya dibiarkan. Mereka akan dikenali dengan pertuturan dialek Bahasa Melayu yang tersendiri kerana tidak mahu menerima guru bahasa dari orang Melayu dan menolak sekolah wawasan. Ini berbanding dengan keturunan India yang bersekolah kebangsaan dari peringkat rendah. Mereka bercakap Melayu seperti orang Melayu. Golongan "pemencilan diri sukarela" ini juga akan dikenali dengan identiti pemikiran yang terasing dari aliran perdana. Dalam menangani situasi ini yang perlu adalah kerajaan Malaysia memperkasakan terus kualiti Sekolah Kebangsaan dan Pendidikan Tinggi Nasional terutama sekali dalam memantapkan pengajaran dan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar di samping Bahasa Malaysia. Saya percaya ramai orang Cina yang akan kembali menghantar anak mereka ke Sekolah Kebangsaan sekiranya Bahasa Inggeris digunakan bagi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik. Orang Cina ialah orang yang praktikal, pragmatik dan amat mementingkan nilai. Inilah yang ditakuti oleh sekolah-sekolah jenis kebangsaan.

Tidak ada ruginya kepada negara jika ada mana-mana kaum dalam masyarakat berbilang kaum mahu terpisah dari aliran nasional dengan lebih mengutamakan kemantapan bahasa dan kebudayaan sendiri. Semakin jauh kejayaan Sistem Pelajaran Kebangsaan dengan pengantar Bahasa Melayu dan kemantapan Bahasa Inggeris (Pasti akan berlaku) akan semakin nyata mereka terpisah dari aliran perdana dan akan semakin mudah mereka dikenali sebagai bangsa asing. Ini bukanlah kehendak kita tetapi pengasingan diri mereka secara sukarela. Ini berbanding dengan masyarakat Cina Indonesia yang berbahasa Indonesia sesama mereka dan terlihat sebati dengan bumiputera Indonesia dan dikenali oleh orang asing bahawa mereka adalah bangsa Indonesia. Kita sendiri merasa bangga mendengar Cina Indonesia berbahasa Indonesia. Sebuah hotel di Singapura yang pernah saya menginap, ramai pekerjanya yang terdiri dari orang Cina dan India Singapura berbahasa Indonesia dengan baik kerana sekian lama menjadi tumpuan penginapan keturunan Cina Indonesia.Maka itu kenyataan Ka Siong tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan, kemarahan atau kerisauan di kalangan rakyat di aliran perdana negara sekalipun berbeza pendapat dengan menterinya sendiri. Biarkan dan biarkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : NGO BUKAN KUASA KETIGA


Dalam kalangan cendekiawan bersetuju bahawa badan bukan kerajaan (NGO) yang cenderung memainkan isu-isu politik perlu mendaftar sebagai parti politik dan tidak berselindung di sebalik topeng mana-mana NGO. Mereka sependapat bahawa rakyat juga tidak boleh dengan mudah menganggap NGO yang cuba memainkan peranan dan isu politik sebagai Kuasa Ketiga yang dilaung-laungkan banyak pihak sekarang. Apatah lagi untuk NGO itu sendiri mengakui ia memainkan peranan sebagai Kuasa Ketiga, sedangkan hakikatnya NGO itu mungkin hanya dianggotai oleh empat atau lima orang jawatankuasanya, dan tidak sekali-kali mewakili suara rakyat terbanyak. Para cendekiawan itu menyokong kenyataan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang menasihati rakyat jangan mudah melabel NGO sebagai Kuasa Ketiga kerana NGO itu sendiri tidak mempunyai apa-apa kuasa, kerana kuasa yang sebenarnya berada di tangan rakyat.

Rais berkata demikian dalam temu bual khas dalam program popular "Kerusi Panas" Bernama Radio24, sempena pelancaran peluasan siaran stesen radio itu ke selatan tanah air di Johor Bahru, semalam. Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Lepasan Ijazah) Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Sivamurugan Pandian berkata, apa yang diungkapkan Rais memang tepat. "Sememangnya apa yang dikatakan menteri itu betul kerana ada sesetengah NGO kini berperanan seperti parti politik, menyebelahi parti politik tertentu dan mempunyai kepentingan politik. Mereka bukanlah Kuasa Ketiga yang seharusnya menjadi kuasa pengimbang yang tidak berpihak," katanya. Menurutnya, NGO seharusnya tahu membezakan antara dirinya dengan pertubuhan politik dan juga perbezaan dasar penubuhan organisasi masing-masing. Katanya, kalau hal semudah itu pun tidak dapat difahami dengan betul, bagaimana mereka hendak berperanan dengan baik dan akan hanya menimbulkan persoalan di kalangan rakyat mengapa NGO itu berperanan seperti parti politik sedangkan di negara ini sudah banyak parti politik.

Sivamurugan berkata, banyak NGO sekarang ini boleh dilihat jelas mempunyai kecenderungan sama ada kepada kerajaan atau pun pembangkang. "Kalau nak main peranan sebagai badan politik, sesebuah NGO itu perlu menjadi parti politik atau menyertainya dan tidak menjadikan NGO itu sebagai topeng untuk kepentingan politik kelompok mereka," katanya. Katanya, NGO yang berperanan sebagai "sekatan dan imbangan" tidak semestinya memilih untuk menentang kerajaan pada setiap masa, ataupun menyebelahi pembangkang dalam apa juga keadaan kerana rakyat kini bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan label. Dalam hal ini, Rais menegaskan bahawa NGO mempunyai peranan masing-masing tetapi ia bukan mutlak dan NGO juga berhak mengeluarkan pandangan mereka, namun sama ada mereka Kuasa Ketiga atau tidak, itu rakyat biasa yang menentukannya.

Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah) Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Jayum Anak Jawan pula berkata NGO perlu ada hala tujunya yang jelas dan bukan boleh bertindak seolah-olah ia juga sebuah parti politik, jika ingin dihormati rakyat. Beliau memberi contoh, kalau ia sebuah NGO alam sekitar, ia perlu fokus kepada isu alam sekitar dan jika ia NGO guaman maka ia perlu fokus kepada tujuan itu dan bukannya cuba mempolitikkan isu alam sekitar atau isu guaman untuk menunjukkan sokongan kepada mana-mana parti politik. "Sebenarnya di Malaysia ini banyak NGO. NGO yang nak menjadi seperti parti politik adalah daripada serpihan atau orang yang tidak mendapat kedudukan dalam parti. Dia kecewa lalu menubuhkan sebuah NGO yang bertindak seperti parti politik," katanya. Jayum berkata, kalau mahu dikatakan NGO itu Kuasa Ketiga, juga bukanlah mudah kerana seperti yang disebutkan oleh Rais dalam wawancara khas dengan Bernama Radio24 itu, ia mungkin tidak pun menepati syarat.

"Katakanlah NGO itu adalah institut kajian dasar yang diwakili empat atau lima orang sahaja, macam mana boleh NGO itu menjadi Kuasa Ketiga sedangkan ia tidak ada sokongan pun daripada rakyat? "Kalau ia bercakap pun, impaknya tak sampai ke mana," katanya, yang memberikan contoh sebuah NGO yang mendapat sokongan ramai dan apa yang diperkatakannya juga diberi perhatian oleh banyak pihak. Bagaimanapun, untuk menganggap NGO seperti itu sebagai Kuasa Ketiga juga tidak mudah kerana selain sokongan luas dan diberi perhatian, banyak lagi syarat lain yang perlu dipenuhi, tambahnya. "NGO yang nak jadi Kuasa Ketiga mestilah juga diterima meluas, dengan mempunyai cabang atau cawangan yang banyak, termasuk di Sabah dan Sarawak. Tapi kalau sebuah NGO alam sekitar, mana ada sokongan atau cawangan yang banyak". Pemerhati sosial dan pensyarah komunikasi massa Prof Datuk Mohd. Hamdan Adnan pula berkata Rais mengeluarkan kenyataan peringatan itu tepat pada masanya berikutan perkembangan semasa politik tanah air supaya rakyat tidak keliru dalam menyatakan sokongan khasnya pada pilihan raya umum kelak.

"Rakyat jangan terpengaruh memberi undi hanya kerana mendengar istilah Kuasa Ketiga. Harus diteliti juga sama ada pilihan yang ditawarkan itu lebih baik daripada apa yang sudah dilaksanakan selama ini oleh kerajaan yang ada," katanya. Beliau berkata, sesebuah NGO tidak akan menjadi Kuasa Ketiga atau diiktiraf sebegitu hanya kerana mempunyai pemimpin yang lantang bersuara dan mendapat publisiti, apatah lagi NGO yang membawa isu-isu sempit, yang lebih berupa isu peribadi atau yang melibatkan hanya segelintir rakyat. "Peringatan Rais bertujuan mengelak rakyat daripada keliru, apatah lagi NGO berselubung politik pun ada dan parti politik memperalatkan NGO pun banyak, semata-mata untuk meraih undi. "Jadi rakyat jangan mudah terpedaya dengan label Kuasa Ketiga...boleh jadi ia hanya gendang kosong," katanya. - BERNAMA.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : JIKA ISU INI TIDAK SELESAI, JANGAN HARAP PRU-13 BOLEH DIADAKAN

Oleh Zaini Hassan


Isu ini amat sensitif. Ia lebih sensitif daripada isu ladang lembu dan lain-lain. Jika isu ini tidak selesai, jangan diharap pilihan raya boleh diadakan. Ia membabitkan isu gaji kira-kira 1.3 juta kakitangan awam, yang kesemuanya, termasuk keluarga mereka layak mengundi. Ingat lagi kisah ‘penyapu’ di Selangor? Negeri itu jatuh antara sebabnya kerana penjawat-penjawat awam termasuk DO, ADO sehinggalah ke peringkat peon, begitu marah kerana dihina. Jangan cari pasal dengan golongan ini. Mereka ialah kumpulan pelaksana dan tulang belakang kepada dasar-dasar kerajaan. Jika mereka marah mereka boleh bertukar warna menjadi Mr. Blue atau Mr. Green seperti dalam watak filem Incredible Hulk. Dan itu amat bahaya. Dalam hal ini Perdana Menteri sememangnya cukup sedar. Satu tindakan cepat sedang diambilnya. Memang PM sendiri tahu jika isu ini tidak selesai maka Pilihan Raya Umum Ke-13 ini tidak boleh dilaksanakan. Maka itu, YAB PM telah mengarahkan sebuah jawatankuasa petugas khas (task force) semakan semula gaji duduk berbincang dengan Cuepacs mengenai hal ini, setelah Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman sendiri mengamuk.

Setakat ini sudah tiga kali task force ini berbincang. Hari ini sekali lagi rundingan akan dilangsungkan. Kali ini ia akan membabitkan cadangan lima perkara daripada Cuepacs sendiri. Omar akan mengetuai perbincangan itu bagi pihak kesatuan tersebut dengan wakil-wakil dari JPA, Pejabat Peguam Negara, Perbendaharaan dan agensi-agensi lain. ‘‘Kita mahu rundingan ini diselesaikan sebelum 30 Mac ini,” kata Omar kepada saya semalam. Omar seperti biasa cukup bertenaga. Cakapnya juga cukup tegas. Dalam rundingan itu, beliau diberi tanggungjawab dan kepercayaan oleh kumpulan 54 (pengurusan dan profesional) ke bawah untuk membawa suara dan nasib mereka ke atas. Kumpulan-kumpulan itu termasuklah: Jawatankuasa khas Gred 54 ke bawah PTD dan Pegawai Tadbir; Persatuan Pensyarah Universiti Profesor Madya Ke Bawah; Persatuan Jurutera Kebangsaan; Kumpulan Doktor-doktor Pakar Gred 54; Kumpulan Anggota Keselamatan Polis; Kumpulan Gred 54 Teknikal selain gabungan Cuepacs sendiri terdiri daripada Kumpulan Pelaksana 1 dan 2.

Hari ini saya mahu menyiarkan sepucuk surat yang dihantar kepada saya oleh seorang penjawat awam. Bunyinya agak keras. Tapi ditulis secara profesional, bernas, ada logik mengenai gaji baru mereka di bawah skim baru SBPA (Skim Baru Perkhidmatan Awam). Begini bunyi surat itu. Semoga ia menjadi iktibar kepada kita semua.

Struktur perkhidmatan di bawah SBPA terbahagi kepada empat:

* Kumpulan Premier (Strategic and key positions (Turus): KSN, KSU)

* Kumpulan Pengurusan Tertinggi (Jawatan Utama dan Gred Khas: JUSA C, B dan A)

* Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Pegawai Gred 41 hingga Gred 54)

* Kumpulan Pelaksana (Pegawai dengan kelayakan masuk PMR hingga Diploma)

Kumpulan pegawai yang mendapat kenaikan gaji paling banyak ialah kumpulan Premier dan JUSA. Difahamkan semua KSU diberikan opsyen bersara dan seterusnya berkhidmat secara kontrak. Persaraan pula dikira sehingga umur 60 tahun. Ini bermakna semua KSU akan mendapat pencen dan gaji selain daripada faedah persaraan lain seperti gratuiti. Pencen sahaja, mengikut jadual gaji SBPA untuk kumpulan ini akan menjangkau puluhan ribu ringgit. Apakah rasionalnya keputusan ini memandangkan kebanyakan KSU telah pun berada di akhir tempoh perkhidmatan? Gaji kumpulan Premier ini difahamkan sama besar atau lebih besar daripada CEO di GLC atau di perbadanan-perbadanan swasta. Isu penting SBPA ialah ketidakadilan yang amat ketara dari segi kenaikan gaji. Contohnya kumpulan JUSA C sahaja mendapat kenaikan gaji melebihi RM5,000 dengan peratus kenaikan di antara 57 peratus dan 81 peratus! Sementara kumpulan pelaksana N22 hanya mendapat kenaikan gaji di antara RM100 dan RM200 (ada yang lebih rendah) dengan peratus kenaikan di antara 3.7 peratus dan 7.5 peratus sahaja.

Difahamkan di bawah skim baru ini, Premier 1 akan menerima gaji sebanyak RM60,000 sebulan tanpa elaun; Premier 2 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 3 RM40,000 tanpa elaun dan Premier 4 RM35,000 tanpa elaun. Tunggakan pampasan adalah antara RM800,000 dan RM1 juta. Secara logiknya peratus kenaikan di antara kumpulan tidak boleh terlalu berbeza kerana ia akan meningkatkan jurang perbezaan pendapatan serta mengundang rasa tidak puas hati penjawat awam yang 80 peratus terdiri daripada kumpulan pelaksana. Ketidakpuasan hati kumpulan pelaksana ini, ditambah dengan keluarga masing-masing, mampu menumbangkan kerajaan. Sebagai rumusan SBPA telah menidakkan semua usaha kerajaan untuk menonjolkan kerajaan sedia ada sebagai a caring government. SBPA dibuat secara tergesa-gesa, tidak telus dan merupakan the biggest blunder Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam sejarah Malaysia.

Pihak JPA tidak perlu lagi memberi taklimat di sana sini mengenai SBPA tetapi mengakui bahawa SBPA sebenarnya tidak adil, tidak telus dan JPA perlu mengambil langkah positif untuk memperbaikinya. Adalah menjadi satu tindakan yang bodoh, sia-sia dan akan menjadi bahan ketawa umum dan dunia untuk masih lagi mempertahankan bahawa SBPA merupakan satu sistem saraan yang baik dan mampu membawa negara kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Kerajaan juga perlu mengambil tindakan tegas kepada mereka yang bertanggungjawab (merangka dan meluluskan tangga gaji itu) bagi menunjukkan kerajaan bertegas serta prihatin kepada kesejahteraan semua kumpulan penjawat awam dan rakyat. Dengan kepincangan SBPA yang tidak masuk akal dan tidak terfikir oleh kebanyakan penjawat awam ini patutkah Kumpulan Premier, di antaranya terlibat secara langsung dalam penggubalan SBPA, dibayar pencen beserta gaji yang sebegitu tinggi? Sekiranya dikatakan bahawa SBPA disediakan oleh pihak konsultan, maka apakah peranan kumpulan JUSA dan Premier yang merupakan pemegang strategic dan key positions dalam perkhidmatan awam? Begitu bunyi surat itu. Benar juga apa yang dijelaskan itu.

Ia umpama langit dengan bumi atau antara atap rumbia dan atap genting. Ia juga umpama strata rakyat di India, yang terlalu daif dan yang terlalu kaya. Yang mendapat imbuhan maha-besar itu hanyalah kira-kira 4,000 kakitangan berbanding 1.3 juta lain yang sedang marah. Dan difahamkan peruntukan untuk membayar kos kepada 4,000 itu merupakan 2/3 daripada keseluruhan peruntukan untuk kesemua kakitangan kerajaan. Kita berharap rundingan itu akan mencapai satu kata-putus yang menang-menang. Jika tidak, menurut Omar: ‘‘Ia akan menjadi satu isu yang amat kritikal. Dalam road show kami, kakitangan telah memberi kata dua…'' Kita berharap kata dua itu tidak seperti kata-kata Dr. David Banner sebelum dia bertukar warna menjadi Incredible Hulk: ‘‘...don‘t make me angry. You wouldn‘t like me when I’m angry. (Jangan buat saya marah. Saya tidak akan sukakan saya jika saya marah.) Saya berharap satu formula yang lebih bertamadun dapat dirangka demi kesejahteraan semua pihak, terutamanya kepada kerajaan semasa. Ingatlah YAB PM telah bekerja amat keras, janganlah kerana skim yang tidak masuk akal ini akan menyebabkan apa yang beliau usahakan rosak sebelanga.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
22 FEBRUARI 2012