JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Oktober 2009

PPSMI MUNGKIN DIMANSUHKAN LEBIH AWAL IAITU 2011

KUALA LUMPUR 20 Okt. - Pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) untuk murid tahun satu mungkin dipercepatkan setahun iaitu mulai 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaimanapun berkata, keputusan itu bergantung kepada persediaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bagi menggantikan PPSMI yang dijadual bermula 2012. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, langkah menyegerakan pemansuhan PPSMI itu hanya dapat dilaksanakan jika keperluan pengajaran dan pembelajaran bagi pelaksanaan MBMMBI siap sebelum akhir 2010.

"Kementerian sedang meneliti kemungkinan melaksanakannya (MBMMBI) mulai 2011 bagi murid tahun satu. "Namun ia bergantung sama ada bilangan guru mencukupi, kesediaan kurikulum baru dan buku teks untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dapat disiapkan sebelum akhir 2010," katanya. Timbalan Perdana Menteri menjelaskan pemansuhan PPSMI bagi murid tahun empat, tingkatan satu dan tingkatan empat pula kekal pada 2012 bagi membolehkan kementerian membuat persiapan rapi sebelum memulakan MBMMBI. Keputusan memansuhkan PPSMI adalah muktamad dan kerajaan tidak akan kembali meneruskan dasar berkenaan. Komitmen kerajaan yang bersetuju supaya PPSMI dimansuhkan tidak perlu diragui semua pihak walaupun ia hanya akan berkuat kuasa mulai tahun 2012.

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN TAMBAHAN PELAJAR

TAJUK : MENJADIKAN BAHASA MELAYU BAHASA DUNIA
PENULIS : SAHBULAH DARWI
pengarang@utusan.com.my

PERSIDANGAN Antarabangsa Bahasa Melayu Bahasa Dunia yang berlangsung di Johor Bahru selama tiga hari dan berakhir Rabu lalu, menyemarakkan lagi keyakinan untuk melihat bahasa Melayu menjadi bahasa dunia suatu hari nanti. Pada masa ini terdapat lebih kurang 6,000 bahasa yang masih digunakan tetapi hanya 20 bahasa yang bertaraf bahasa rasmi yang penuturnya berjumlah lebih 50 juta orang. Dan bahasa Melayu adalah salah satu daripada 20 bahasa itu. Jika dicampur pengguna bahasa itu di Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura serta di negara lain maka jumlah penuturnya adalah hampir 300 juta orang, menjadikannya sebagai bahasa kelima terbesar di dunia selepas bahasa Inggeris (lebih kurang 1.4 bilion penutur), Mandarin (1 bilion penutur), Hindi dan Urdu (700 juta penutur) dan Sepanyol (lebih 300 juta penutur).

Namun begitu, bukanlah bilangan jumlah penutur semata-mata yang sepatutnya dijadikan ukuran sebaliknya terdapat ciri-ciri lain yang perlu dipenuhi untuk melayakkannya dipanggil bahasa dunia. Apatah lagi, bahasa Melayu tidak terlepas daripada melalui pelbagai cabaran, hambatan dan krisis keyakinan hingga pada satu tahap ia cuba diperkecil dan dipinggirkan akibat putaran ganas politik, sosial dan ekonomi. Tokoh bahasa dan budaya, Datuk Dr. Hassan Ahmad memberi pandangan cukup menarik terhadap usaha memartabatkan bahasa Melayu agar menjadi bahasa dunia kerana jumlah penutur bahasa tidak begitu penting tetapi apa yang penting ialah pengaruh bahasa itu untuk memajukan sesuatu bangsa. Beliau berkata, sejarah menunjukkan bahasa Melayu menjadi bahasa antarabangsa apabila pemerintah zaman dahulu terutama raja dan sultan tetap tegas menggunakan bahasa Melayu dalam setiap urusan. Ia termasuk dalam soal diplomatik antara pedagang atau kuasa asing seperti Portugis, Belanda, Inggeris dan Perancis.

Melalui bukti-bukti kukuh antaranya dalam Sulalat al-Salatin atau Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang dan Hikayat Raja Pasai antara abad ke-14 hingga ke-17 jelas menunjukkan pemerintah tidak berkompromi dalam soal bahasa. Mengambil iktibar dalam aspek ini, kerajaan yang menjadi pemerintah kini perlu memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong usaha pengembangan bahasa Melayu. Bahasa Melayu sememangnya berpotensi untuk muncul sebagai bahasa utama dunia dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi jika semua pihak bersungguh-sungguh memastikan impian itu menjadi kenyataan.