Perkongsian ikhlas daripada seorang guru yang sedar bahawa ilmu itu bukannya hak mutlak seorang individu tetapi milik Allah Yang Maha Mengetahui. Ilmu itu terlalu luas dan tidak pernah ada garisan penamat bagi setiap insan yang sentiasa dahagakannya untuk dijadikan panduan serta petunjuk meredah onak dan duri kehidupan ini. Sincere sharing from a teacher who realizes that knowledge is not the absolute right of an individual but belongs to God Who Knows. Knowledge is too broad for every person.
Mengenai Saya
- CIKGU ZULKARNAIN FARIHIN @ PHILIP SELI "BAHASAKU GLOBAL BANGSAKU GLOKAL"
- SIBU, SARAWAK, Malaysia
JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI
18 September 2017
CATATAN CIKGU ZUL: MELUNASKAN HAJAT, MEMAHAT HASRAT, MENJEJAK UPSI DEMI SEGULUNG PHD
Perjalanan hidup saya tidak seindah perjalanan
hidup orang lain. Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sudah sebati
dengan asam garam hidup di bawah payung kemiskinan. Saya tidak pernah malu
untuk mengaku adakalanya kami adik beradik mengalas perut dengan bubur ubi kayu
berlaukkan tumbuh-tumbuhan hutan bertemankan cahaya pelita buatan sendiri
sambil duduk dalam satu bulatan bersama ibu dan ayah. Siangnya pula tatkala
mata masih seronok bercinta dengan mimpi, suara garau ayah telah membangkitkan
kami untuk turun bersama-sama ke kebun atau ke huma. Dalam usia yang amat muda
pada ketika itu, saya amat bertenaga meredah hutan untuk mencari bermacam-macam
benda yang boleh dijadikan santapan atau dijual bagi mendapatkan wang belanja.
Saya tidak pernah mengeluh apabila berjalan berjam-jam merentas denai sehingga
pacat bergayutan menghisap darah di kaki bersama ayah mencari rotan yang
berharga untuk dijual demi menyara keluarga. Sesekali saya bermimpi, untuk
mengubah nasib keluarga kami apabila saya besar nanti? Walau bagaimanapun, dari
usia 7 tahun hingga usia 17 tahun mimpi saya hanyalah untuk menjadi pembalak
yang berjaya kerana di rumah panjang saya itulah pekerjaan yang paling
dibanggakan. Orang yang bekerja di syarikat balak kebanyakannya berduit. Mereka
hidup mewah dan amat bergaya. Saya cuma memasang angan-angan untuk menjadi
seperti mereka.
Pada ketika itu, saya tahu pelajaran itu
penting. Oleh sebab itu, saya selalu mengulang kaji pelajaran dengan
menggunakan teknik menghafal. Saya masih ingat apabila menjelang peperiksaan
saya banyak menghabiskan masa menyediakan nota-nota penting untuk dihafal.
Apabila keputusan peperiksaan diumumkan saya selalu mendapat markah yang tinggi
bagi subjek Sejarah, Kesusasteraan Melayu, dan Geografi. Walaupun saya bukan
pelajar yang cemerlang tetapi saya berasa amat bersyukur kerana selalu berada
dalam kelompok pelajar yang terpilih. Saya sentiasa ditempatkan dalam kelas
yang terbaik dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5. Saya menjalani hidup dengan
berdikari. Apabila berada jauh dengan ibu bapa kerana bersekolah di asrama saya
memang kurang mendapat dorongan, sokongan, dan nasihat daripada orang tua saya.
Saya tahu ibu bapa saya tidak berkemampuan maka saya amat jarang balik ke
kampung jika cuti sekolah hanya seminggu atau dua minggu sahaja. Pendek kata,
saya membesar di asrama. Apa sahaja menu yang disajikan saya tidak pernah
mengeluh kerana jika saya berada di kampung pun belum tentu saya dapat merasa
makan berlaukkan ikan, ayam, dan daging pada setiap hari. Sesekali saya
teringat juga kepada ibu, ayah, dan adik beradik saya yang tinggal jauh di
pedalaman. Walau bagaimanapun, saya tidak mampu melakukan apa-apa pada ketika
itu kerana saya belum menamatkan alam persekolahan dan belum bekerja. Hanya doa
yang dapat saya kirimkan di angin lalu.
MULA MELIHAT MASA DEPAN
Saya mula melihat masa depan sebaik sahaja
keputusan SPM diumumkan. Saya masih ingat, saya turun dari kampung pada pukul 4:00
pagi menumpang perahu tambang ke pekan Song untuk mengambil slip keputusan SPM.
Sepanjang malam saya tidak tidur memikirkan apakah yang akan saya peroleh. Jika
keputusan SPM tidak elok, saya nekad untuk bekerja sebagai buruh kontrak atau
bekerja di kem balak untuk menyara keluarga. Alhamdulillah, sebaik sahaja
datang ke sekolah, saya dikhabarkan keputusan saya amat baik. Berkat doa dan ketekunan
saya mengulang kaji pelajaran, saya mendapat pangkat 1. Ibu dan ayah mengadakan
majlis bagi meraikan kejayaan saya itu. Berbekalkan keputusan itu, saya
melanjutkan pelajaran di Tingkatan Enam. Semasa di Tingkatan Enam, barulah saya
mempunyai cita-cita. Saya memang memasang angan untuk menjadi guru atau peguam.
Walau bagaimanapun, saya sedar ibu bapa saya tidak berkemampuan untuk membiayai
pengajian saya jika saya terus masuk ke universiti selepas tamat tingkatan
enam. Saya mempunyai 6 orang adik beradik yang masih kecil. Saya tidak mahu
mereka diberhentikan sekolah kerana terpaksa menanggung kos pengajian saya. Saya
tidak mahu hal itu berlaku. Saya mahu mereka bersekolah sehingga Tingkatan Lima
sekurang-kurangnya.
Keputusan STPM saya juga baik. Sebenarnya, saya
mendapat tawaran dari Universiti Malaya untuk melanjutkan pelajaran dalam
bidang undang-undang tetapi saya padamkan hasrat itu disebabkan masalah
kewangan keluarga. Saya tidak mahu ayah dan ibu terpaksa berhutang untuk
membiayai pengajian saya di universiti. Saya menjadi guru sandaran untuk tempoh
lebih kurang 5 bulan. Selepas itu, saya menghadiri ujian kelayakan masuk ke
Maktab Perguruan. Saya lulus dan dipanggil temuduga. Saya masih ingat, apabila
melihat keputusan STPM saya, pensyarah yang menemuduga saya bertanya,
“Mengapakah awak tidak memohon untuk masuk ke universiti?”. Saya jawab
pertanyaan itu dengan panjang lebar. Tanpa segan silu saya ceritakan masalah
keluarga saya yang tidak mampu sehingga penemuduga itu menasihati saya,
sekiranya awak berjaya dalam temuduga ini, awak mesti sambung pelajaran.
Teruskan cita-cita awak untuk mencapai kejayaan yang lebih cemerlang demi ibu
dan ayah awak. Balik dari temuduga saya teruskan khidmat sebagai guru sandaran
di SMK Kapit sehingga saya mendapat surat tawaran melanjutkan pelajaran di
Maktab Perguruan Batu Lintang dalam Pengkhususan Pengajian Melayu. Berbekalkan
gaji yang diterima sebagai guru sandaran saya melaporkan diri di maktab itu
untuk menjalani latihan mengajar selama 3 tahun. Saya tidak perlu menyusahkan
ibu bapa saya kerana sepanjang pengajian saya dibayar elaun oleh pihak kerajaan
sebanyak RM340.00. Itu sudah mencukupi untuk saya.
TERUS MENYAMBUNG PELAJARAN
Selepas menamatkan pengajian di maktab
perguruan, saya ditempatkan untuk berkhidmat di SMK Sacred Heart Sibu.
Segalanya bermula dengan amat indah. Saya bangga kerana saya mempunyai
pekerjaan dan gaji sendiri. Wang gaji saya, saya bahagikan kepada lima bahagian,
iaitu untuk keluarga, untuk adik beradik, untuk sewa rumah, untuk simpanan, dan
untuk kecemasan. Namun begitu, pada tahun 1998, ibu yang saya sayangi telah
pergi menghadap Ilahi. Hati saya amat hancur. Saban hari saya teringatkan ibu.
Saya kesal kerana semua angan-angan saya untuk membahagiakannya dengan wang
gaji saya tidak kesampaian. Akan tetapi, saya disedarkan oleh satu suara, hidup
ini perlu diteruskan. Saya terus mendaftarkan diri mengikuti Pengajian
Pendidikan Jarak Jauh di Universiti Sains Malaysia untuk mendapatkan segulung
ijazah. Segalanya tidaklah terlalu mudah tetapi berkat doa dan restu daripada
keluarga dan rakan-rakan, saya berjaya menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah
Sarjana Muda Sastera (Kepujian). Nikmat mengenggam segulung ijazah akhirnya
dapat juga saya rasai. Nikmat itu menjadi lebih bermakna kerana saya membiayai
pengajian menggunakan wang gaji saya sendiri. Dalam pada itu, saya teruskan
pengajian ke peringkat sarjana. Dalam kesempitan hidup tatkala gaji masih
rendah dan tidak mencukupi, saya mampu membiayai pengajian saya di peringkat
sarjana. Akhirnya, saya berjaya mengenggam segulung sarjana yang menjadi idaman
saya sejak sekian lama dalam bidang Sarjana Pendidikan Pengurusan Disiplin.
Saya terus menyimpan wang untuk meneruskan
pengajian di peringkat Doktor Falsafah. Kerjaya saya dalam bidang perguruan
mulai menampakkan sinar yang cerah apabila permohonan saya menjadi Guru
Cemerlang Bahasa Melayu berjaya. Selepas mendapat Guru Cemerlang DG44 saya
seterusnya mendapat Guru Cemerlang Bahasa Melayu DG48. Niat untuk menyambung
pelajaran yang selalu tertangguh akhirnya terlaksana pada tahun 2017. Tanggal
11 September 2017 saya mendaftarkan diri di Universiti Pendidikan Sultan Idris
sebagai pelajar Doktor Falsafah dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu. Niat
saya untuk mendapatkan PHD sebelum menjejak usia 50 tahun mungkin akan tercapai
pada tahun 2020 jika tiada aral yang melintang. Bukan mudah untuk melanjutkan
pelajaran dalam usia sebegini tetapi saya harus berusaha untuk menjadikan mimpi
menjadi realiti. Saya perlu melanjutkan pelajaran kerana tidak mahu
menghampakan harapan mendiang ibu dan mendiang ayah saya. Saya tahu mereka
tidak wujud di alam nyata tetapi saya tahu mereka sentiasa bersama-sama saya
dalam susah dan senang. Mereka sentiasa mendoakan kejayaan dan kesejahteraan
saya dari kejauhan kerana kasih sayang mereka tidak pernah luntur terhadap diri
saya. Kehilangan ayah pada 16 September 2015 seolah-olah melumpuhkan semangat
dan keinginan saya untuk meneruskan hidup. Sakit yang ditanggungnya selama
berbulan-bulan selalu merentap hati dan perasaan serta meluruhkan simpati yang
tidak tertahan. Air mata tidak pernah jemu membasahi pipi apabila melihat ayah
menahan derita terbaring mengerang kesakitan. Ya Tuhan, kenapa kami diuji
sebegini. Semua yang disayangi diambil dari sisi kami tatkala kami amat
memerlukan mereka hadir di sisi.
CEKAL MENERJAH AWAN
Setelah hilang semua kedukaan, kesedihan, dan
kepiluan akibat ditinggalkan oleh mendiang ayah, saya terus mengintai peluang
menyambung pengajan di peringkat PHD. Saya mula banyak membaca dan mengkaji
serta bertanya. Alhamdulillah, saya selalu bermesyuarat dengan
pensyarah-pensyarah universiti kerana banyak terlibat dengan pelbagai program
akademik di peringkat kebangsaan. Niat untuk menyambung pelajaran semakin
membara apabila mendengar kata-kata semangat daripada mereka. Saya lakukan
semuanya untuk diri sendiri. Jika suatu masa orang melihat dan mengiktiraf
pencapaian insan kerdil seperti diri ini, saya berasa bersyukur kerana saya
tahu Allah tidak pernah tidur. Walau bagaimanapun, niat saya bukanlah untuk
menunjuk-nunjuk kerana masih terlalu awal untuk mengukur kejayaan itu. Dalam
pertengahan perjalanan, banyak dugaan dan cabaran yang kadang-kadang melemahkan
semangat dan melunturkan keinginan. Namun begitu, jika saya tidak memulakan
langkah ke aras destinasi itu, saya tidak mungkin akan mendapat peluang yang
diberi untuk kedua kali. Jika saya terlepas peluang pada kali ini, saya akan
terus hidup dalam mimpi yang terawang-awangan di awan kegagalan. Kesusahan saya
pada masa lalu. Keperitan hidup saya masa lampau. Kemiskinan yang membalut masa
dahulu. Semuanya terus-menerus menerjah ruang fikiran.
Bagi saya, yang susah akan menjadi mudah jika
kita berusaha untuk mempermudah. Yang sukar akan menjadi senang jika kita
berusaha untuk melepaskan diri daripada cengkamannya. Saya tidak pernah
bercita-cita untuk menjadi jutawan, memiliki wang yang banyak dan harta yang
tidak akan habis tujuh keturunan kerana saya tahu saya tidak akan mampu untuk
sampai ke tahap sebegitu. Selagi masih diberikan kekuatan dan kesihatan, saya
akan terus menuntut ilmu demi untuk kepuasan diri saya. Saya tidak pernah
bermimpi untuk menjadi ahli politik kerana saya tahu saya dilahirkan ke dunia
ini untuk mengajar dan mendidik. Oleh itu, selagi masih berdaya, saya akan
terus bermusafir dan berkelana di bumi Tuhan ini untuk mencari ilmu kerana saya
tahu saya masih banyak kekurangan dan kepincangan yang perlu diperbetul. Apabila
orang bertanya, apakah tujuan saya menyambung pelajaran jika hanya untuk
menjadi guru? Jawapan saya mudah selagi kita bernama manusia, impian dan
cita-cita serta minat kita tidak sama. Semua orang mempunyai mimpi yang berbeza
walaupun tidur di atas tilam yang sama, mimpiku bukan mimpimu.
SAYA MASIH ANAK IBAN
Saya tidak boleh mengubah asal usul diri saya
yang sebenarnya. Darah Iban yang mengalir dalam badan saya yang diwarisi daripada
nenek moyang saya zaman berzaman tidak dapat ditukar. Biarpun pegangan agama
saya berlainan dengan keluarga dan saudara mara yang tersayang tetapi untuk
menyisihkan dan menjauhkan diri daripada mereka tidak akan saya lakukan. Rutin
hidup saya memang sibuk dengan kerja sehingga kadang-kadang saya mengabaikan
waktu untuk bersama keluarga tetapi hati saya tidak pernah sepi daripada
mengingati dan menyayangi. Perkara yang paling saya takuti dalam hidup ialah
apabila saya mulai lupa diri setelah terlalu jauh berlari tetapi saya yakin
hati saya selalu mendidik dan mengingatkan saya tentang diri saya yang
sebenarnya. Perjalanan hidup ini masih jauh. Banyak ranjau dan onak duri yang
perlu dirempuhi. Sepandai dan sebijak manapun saya mengelak pasti ada juga onak
yang akan mencucuk tapak kaki sehingga diri ini tersungkur mengaduh kesakitan.
Itu adalah lumrah perjalanan hidup bagi setiap insan yang berkelana di bumi
Tuhan. Ingatan terhadap kedua-dua mendiang ibu bapa saya yang sentiasa segar
dan mekar di taman hati utuh menyintai dan setia menyayangi tidak mengizinkan
saya untuk melupai asal usul kemenjadian diri ini. Saya tetap “Anak Iban” yang
pernah bergelumang lumpur, berpanas dan berhujan, tidur berselimutkan angin
dingin, makan berlaukkan garam. Ya, semua itu tidak mungkin akan dapat saya
lupakan dan tinggalkan. Saya tidak mampu. Jika saya punya kekuatan dan
kemampuan, saya ingin membuat kolaboratif antara masa lalu yang telah lama
hilang dan masa kini yang sedang saya nikmati, tetapi apakan daya saya cuma
insan biasa.
Catatan pendidik bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya, Sibu, Sarawak.
Langgan:
Catatan (Atom)