JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Februari 2012

ISU EKONOMI : CONTOHI PRINSIP NIAGA YNNA

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my


Rakyat  Malaysia yang sering berurusan dengan syarikat dari Amerika Syarikat (AS) dan Jepun mungkin tidak mengenali YNNA Holding sebuah konglomerat terbesar yang berpangkalan di Maghribi. Syarikat itu ditubuhkan oleh Miloud Chaabi, 83. Beliau diiktiraf oleh majalah Forbes sebagai individu keenam terkaya di Afrika pada 2011 dengan kekayaan sebanyak AS$3 bilion. Konglomerat yang ditubuhkan pada 1948 dengan nama Kumpulan Miloud Chaabi telibat dalam pelbagai jenis perniagaan termasuk hartanah, rangkaian hotel Ryad Mogador, pasar raya besar Aswak Assalam, keluli, air mineral, simen dan tenaga boleh diperbaharui. Pada 1986, konglomerat itu telah ditukar nama kepada YNNA Holding. YNNA adalah perkataan dalam bahasa Berber bermaksud 'Ibu'. Ini selaras dengan prinsip konglomerat itu yang melihat hubungannya dengan anak- anak syarikatnya seperti hubungan ibu dan anak, berbeza dengan budaya kebanyakan syarikat Maghribi lain yang lebih kepada sifat kebapaan yang tegas dan bersifat dominan. Sebenarnya, konglomerat itu dikagumi ramai kerana dapat berkembang tanpa sokongan langsung daripada pihak istana, ahli politik dan golongan elit perniagaan, sehingga Miloud sering digelar 'tokoh perniagaan yang berjaya hasil daripada usahanya sendiri'.

Kejayaan konglomerat itu berkembang pesat turut menarik perhatian pegawai-pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang kehairanan bagaimana syarikat yang berasaskan kepada etika perniagaan Islam dapat semaju itu. Komen pegawai-pegawai terbabit terkandung dalam kabel diplomatik Konsulat AS di Casablanca pada 2006 yang didedahkan oleh Wikileaks. Antara faktor pegawai-pegawai AS menyifatkan YNNA berasaskan kepada etika perniagaan Islam adalah disebabkan ia tidak menjual arak dan rokok di semua pasar raya besar dan hotel miliknya dan syarikat itu paling lantang menentang pemberian rasuah bagi mendapat projek. Konglomerat itu turut membiayai semua pelaburan menggunakan dana dalaman dan enggan membuat pinjaman bank kerana tidak mahu membayar 'kadar bunga' tinggi sebanyak lapan peratus yang bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam. Anak beliau, Omar Chaabi yang diminta mengulas etika Islam yang dipegang syarikat itu menegaskan ia bukan semata-mata kerana mematuhi ajaran agama sebaliknya disebabkan ia adalah sesuatu yang praktikal untuk diamalkan. "Kita boleh menjual banyak barangan, oleh itu, kenapa kita perlu menjual barangan (arak dan rokok) yang boleh merosakkan orang ramai. "YNNA juga tidak membuat pinjaman bank kerana penggunaan dana dalaman akan membolehkan kos projek yang dijalankan lebih murah berbanding pesaing," tegasnya yang juga Naib Presiden syarikat itu.

Sementara itu, Omar yang ditanya mengenai adakah YNNA yang kini hanya menjalin kerjasama dengan syarikat di Asia Barat dan Afrika akan memperluaskan kerjasama dengan syarikat Malaysia berkata, pihaknya bersedia berbuat demikian. "Sikap keterbukaan kerajaan Maghribi kini membolehkan lebih banyak jalinan kerjasama perdagangan dapat dilakukan, bukan sahaja dengan Malaysia malah negara-negara ASEAN lain," ujarnya. Omar telah melawat Malaysia selama tiga hari berakhir Rabu lalu bagi meninjau peluang kerjasama untuk membina kilang pemasangan kereta dan menubuhkan bank Islam pertama di Maghribi. Sepanjang tempoh itu, beliau melawat kilang pemasangan kereta milik Proton Holdings Berhad di Shah Alam, Selangor dan mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kanan Affin Islamic Bank Berhad. Beliau juga melawat Taman Halal Pedas, Negeri Sembilan dan mengadakan kunjungan hormat ke atas Penasihat Proton, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya. Langkah meninjau peluang perniagaan itu adalah susulan kepada kerjasama YNNA dengan Konsortium Usahawan Makanan dan Industri Asas Tani Sdn. Bhd. (Komita).

Kerjasama itu melibatkan penyenaraian produk terpilih Malaysia di tujuh cawangan rangkaian pasar raya besar, Aswak Assalam yang dimiliki oleh YNNA. Dari 15 hingga 20 Disember lalu, pasar raya itu turut menganjurkan Minggu Karnival 1Malaysia Best bagi mempamerkan pelbagai produk Malaysia termasuk rempah ratus, madu, sos, murtabak, rempeyek, cip pisang, kayu gaharu, bunga daun getah dan batik. Ketika karnival itu, Omar telah menyampaikan Anugerah Rakan Import Pertama 2011 kepada Komita sebagai pengiktirafan terhadap komitmen yang dimainkan oleh konsortium itu dalam memasarkan produk usahawan bumiputera Malaysia ke rangkaian pasar raya tersebut. Omar ketika diminta mengulas penyenaraian produk Malaysia terbabit melahirkan perasaan bangga kerana kerjasama itu memberi peluang kepada pengimport Maghribi untuk membawa masuk pelbagai produk bagi kegunaan penduduk tempatan. "Lagi pun sekarang, permintaan terhadap produk halal begitu menggalakkan termasuk daripada kalangan bukan Islam kerana ia dikaitkan dengan aspek kesihatan pengguna. "Pihak kami percaya dengan harga yang berpatutan dan berkualiti, ia sama sekali tidak menghalang produk Malaysia untuk menembusi pasaran Maghribi," katanya yang merupakan lulusan dalam bidang pemasaran dari Universiti San Francisco, AS.

Adalah diharapkan kerjasama YNNA dengan syarikat tempatan dapat ditingkatkan lagi bagi membolehkan usahawan Malaysia menjadikan Maghribi sebagai batu loncatan untuk menembusi pasaran di benua Afrika. Sikap YNNA untuk tidak terlalu mengharapkan bantuan kerajaan dan tidak berkompromi dengan prinsip-prinsip Islam seharusnya dijadikan contoh oleh usahawan bumiputera. Jika konglomerat itu boleh berkembang pesat dengan mempunyai 18,000 pekerja di enam negara termasuk Mesir, Tunisia, Jordan, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Equatorial Guinea tanpa hilang jati diri budaya dan prinsip keislaman, kenapa kita tidak boleh?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 FEBRUARI 2012

ISU SOSIAL : AKHLAK BURUK RUNTUHKAN PERADABAN BANGSA

Pandangan IKIM
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,
Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan
Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Kemajuan dan tamadun yang tinggi merupakan sesuatu yang dicita-citakan oleh semua bangsa. Pembinaan tamadun atau peradaban bangsa tidak boleh berlaku secara sekelip mata dan ia merupakan suatu proses yang memakan masa. Mengekalkannya juga bukan tugas mudah. Kekuatan dalam aspek pertahanan negara, ekonomi dan politik merupakan asas dan elemen utama untuk membina dan mengisi peradaban itu sendiri. Bangsa yang terjajah walaupun menikmati kemajuan secara fizikal masih tidak boleh dianggap sebagai bangsa yang berperadaban kerana kedaulatan serta maruah bangsa dan negara adalah prasyarat dalam pembentukan sesebuah negara. Peradaban dan tamadun merupakan nikmat sekali gus amanah yang perlu dipelihara, dipertahankan dan dikekalkan tanpa noktah masa. Di sinilah letaknya peranan akhlak yang sewajarnya menjadi teras kepada pembinaan tamadun, yang juga menjadi kubu pertahanan kepada pembangunan fizikal walaupun ia hanya dapat dilihat dan disentuh oleh mata hati.

Gaya hidup moden sebahagian daripada tanda bertamadunnya sesebuah bangsa atau negara. Namun, jika akhlak tidak dijadikan sebagai amalan dan darah daging, maka kemajuan fizikal boleh rosak dan mereput dari dalam. Rasuah, pecah amanah, penipuan adalah contoh-contoh perilaku yang berupaya merosakkan isi kepada tamadun. Kita perlu belajar daripada pengalaman lepas, bagaimana empayar Melaka yang sangat maju dan terbilang itu boleh jatuh tanpa mengambil masa yang lama. Sedangkan kubu pertahanan dan tembok yang melindungi kota Melaka amat kukuh dan ampuh. Malah dikhabarkan juga tahap persenjataan dan kekuatan tentera kesultanan Melayu Melaka juga bukan calang- calang hebatnya. Kekuatan dalam aspek fizikal sebenarnya masih tidak boleh dibandingkan dengan kesetiaan rakyat dengan sepenuh hati terhadap pemimpin dan juga negaranya. Dan itulah yang berlaku pada empayar Melaka lebih lima abad yang lalu. Bukan disebabkan rapuhnya tembok dan kubu pertahanan kota Melaka, tetapi adalah disebabkan wujudnya petualang dan pengkhianat bangsa seperti Si Kitul, Raja Mendaliar dan Laksamana Khoja Hassan yang sanggup bersekongkol dalam menabur fitnah dan mengadu-domba.

Walaupun tragedi malang ini terbalas dengan hukuman bunuh terhadap mereka, tetapi ia belum cukup untuk membayar kerugian yang terpaksa diterima oleh bangsa dan kesultanan Melayu secara keseluruhannya. Pengkhianatan ini menyebabkan harga diri bangsa Melayu menjadi murah, kedudukan mereka direndahkan dengan penjajahan yang berlaku sehingga beratus-ratus tahun lamanya. Faktor sama juga adalah antara penyebab kepada keruntuhan kerajaan Turki Uthmaniyah walaupun tidak dinafikan terdapat faktor lain yang menyebabkan keruntuhan tersebut berlaku. Pemimpin yang sangat leka pada hal-hal keduniaan dan pemabuk, pegawai dan pembesar yang gilakan kuasa dan sanggup melakukan apa sahaja untuk menjaga kepentingan peribadi termasuk menyelewengkan kuasa dan rasuah, merupakan contoh anasir atau agen yang menyebabkan kebobrokan negara berlaku dari dalam.

Yang lebih malang lagi mereka tidak menjaga sistem ketenteraan dan pertahanan mereka dengan serius. Pemilihan dalam barisan pimpinan ketenteraan tidak disaring mengikut tradisi yang mengutamakan potensi dan kualiti, tetapi lebih kepada pertimbangan dan budi bicara. Kronisme yang berlaku di peringkat yang lebih rendah juga lebih merapuhkan kubu pertahanan. Antaranya memberi kenaikan pangkat kepada anak-anak pegawai atasan yang secara langsung menafikan individu lain yang lebih layak dan memiliki disiplin dan kemahiran ketenteraan yang tinggi. Bukan itu sahaja, hiburan dan arak lebih mendapat tempat dan sebaliknya, masjid- masjid menjadi lengang tanpa majlis-majlis ilmu, dakwah dan kerohanian. Malah, mereka lebih memberi tempat kepada perkara- perkara yang khurafat dan orang agama bersikap tidak komited terhadap ajaran al-Quran dan Sunah. Akhlak adalah salah satu komponen yang terkandung dalam agama Islam selain akidah dan syariah. Peranan akhlak amat penting sehinggakan antara tujuan undang-undang digubal adalah untuk menjaga akhlak manusia.

Sebagai agama yang sempurna dan melihat akhlak sebagai sebahagian daripada nyawa bagi kelangsungan kehidupan manusia secara teratur dan harmoni, maka agama Islam telah meletakkan adab dan akhlak dalam setiap dimensi kehidupan manusia. Bermula dengan akhlak hamba dengan Penciptanya, kemudian akhlak manusia dengan diri sendiri, ibu bapa dan ahli keluarga, sehinggalah kepada akhlak terhadap negara dan persekitaran individu, agama Islam telah mengajar manusia bagaimana untuk hidup secara berakhlak. Malah, agama Islam turut mengajar umatnya menunaikan hak selain manusia seperti binatang, pokok dan bahagian- bahagian bumi ini sebagai sebahagian daripada akhlak dan adab Islamiah. Jika setiap individu memahami fungsi akhlak dalam kehidupan dan mengamalkannya, nescaya setiap orang akan dapat hidup dengan aman dan setiap pekerjaan dapat dilaksanakan dengan lancar. Seterusnya, pembangunan kebendaan dapat dibina dengan penuh integriti.
Individu yang berakhlak juga bukan sahaja tidak akan menjadi punca kegelisahan orang lain tetapi dengan akhlak yang baik turut menggambarkan jati diri yang kukuh. Inilah pengajaran yang diperlihatkan oleh Sultan Abdul Hamid II yang tegas menolak tawaran pihak Yahudi yang berjanji untuk memberikan wang 150 juta pound sterling emas sekiranya baginda bersetuju dengan permohonan pihak Yahudi untuk membentuk negara mereka di Palestin. Rumusannya, akhlak baik yang diamalkan oleh tiap individu dan rakyat akan membantu kelangsungan pembangunan negara membina peradaban. Selanjutnya akan memastikan peradaban bangsa terus kekal kelangsungannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 FEBRUARI 2012