Oleh Khaled Nordin
BERITA HARIAN, 13 APRIL 2011
Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U edisi ketujuh sudah berakhir awal bulan lalu. Karnival dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran ini satu manifestasi dan komitmen kerajaan melalui kaedah 'outreach' untuk memberi maklumat peluang pendidikan tinggi kepada semua lapisan masyarakat. Dijayakan 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA), lebih 100 institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) terpilih, agensi di bawah KPT serta Kementerian Pelajaran, yayasan negeri dan agensi pembiayaan pendidikan. Malah, karnival ini kesinambungan kepada kejayaan program dianjurkan sejak 2005, dahulunya dikenali Program Pendidikan KPT Bersama Rakyat. Pada tahun ini KPT mengekalkan tagline iaitu ‘Jom Masuk U’ bertemakan ‘1Malaysia: Pendidikan Untuk Semua.’ Sambutan karnival ini amat memberangsangkan dan difahamkan, jumlah pengunjung ketara meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Jika tahun lalu, jumlah pengunjung dicatatkan 220,000 orang, tetapi tahun ini mencecah ke angka 300,000 pengunjung. Tidak dinafikan, sambutan amat menggalakkan ini disebabkan kelainan dan perubahan dibawa oleh karnival pada tahun ini. Buat julung kalinya, Karnival Jom Masuk U berperanan sebagai ‘One Stop Centre’ atau Pusat Sehenti Bermaklumat menguruskan permohonan dan pemilihan ke Institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TEVT) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA). Langkah ini bertepatan dengan usaha menggalakkan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memasuki pasaran kerja memiliki kemahiran tinggi seterusnya meningkatkan pekerja mahir daripada 28 peratus kepada 40 peratus menjelang 2020. Sebanyak 3.3 juta peluang pekerjaan baru akan diwujudkan di bawah Aktiviti Ekonomi Utama Nasional atau NKEA menjelang 2020 dan 60 peratus daripadanya pekerjaan berkemahiran tinggi.
Daripada jumlah itu, negara memerlukan 679,977 pekerja mahir pada peringkat diploma. Sehubungan itu, KPT sudah mengambil langkah mengarusperdanakan pengajian diploma sama ada pada peringkat IPTA mahupun politeknik. Beberapa pendekatan strategik sudah dikenal pasti untuk menarik pelajar lepasan SPM mengikuti pengajian diploma. Ini dilakukan melalui meningkatkan jumlah pengambilan pelajar dan memperkenalkan program diploma yang baru selaras dengan keperluan Program Transformasi Ekonomi (ETP). Dalam soal pengambilan pelajar di IPTA, jumlah pengambilan pengajian diploma pada tahun ini sudah ditambah 5.44 peratus menjadi 22,927 tempat berbanding 21,744 pada tahun lalu, manakala politeknik pula, jumlah pengambilan turut bertambah kepada 51,000 tempat, iaitu meningkat 23 peratus berbanding 41,382 tempat saja pada tahun lalu. Jika digabungkan jumlah pengambilan diploma pada peringkat IPTA dan politeknik, jumlah pengambilan diploma secara keseluruhan pada tahun ini membabitkan 74,000 tempat.
Sebagai usaha tambahan bagi menggalakkan penyertaan dalam pengajian diploma khususnya peringkat politeknik, tempoh pengajian akan dipendekkan untuk pelajar cemerlang iaitu hanya dua tahun setengah berbanding tempoh asal tiga tahun. Pelajar lepasan SPM juga berpeluang memohon pengajian peringkat asasi pada tahun ini yang menyediakan 16,640 tempat berbanding 14,090 tempat pada tahun lalu, iaitu penambahan 2,550 tempat. Hari ini terdapat universiti yang memperluaskan inisiatif CSR ini dengan menyediakan program pradiploma bagi tujuan mengimbangi ketiadaan pelajar dalam sesuatu bidang, mengatasi masalah keciciran sesuatu kaum dan memberi peluang kedua. Sebagai contoh, UiTM sudah memperkenalkan Pra Diploma-Program Mengubah Destini Anak Bangsa, Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan program Pra Diploma Pertanian dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui program Pra-Diploma Kejuruteraan.
Seperti kita sedia maklum, Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 akan berlangsung pada 16 April ini. Seperti negeri lain, Sarawak tetap diberikan keutamaan dalam soal pendidikan khususnya pengajian tinggi. Malah, Sarawak harus berbangga kerana memiliki beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) yang dapat menjana modal insan tempatan untuk pembangunan dan kemajuan negara. Selain memiliki IPTA seperti Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Sarawak, Negeri Bumi Kenyalang ini juga mempunyai 36 IPTS sama ada pada peringkat universiti mahupun kolej swasta. Dengan wujudnya rangkaian IPT ini di seluruh Sarawak, ia dapat membuka akses kepada pengajian tinggi khususnya masyarakat tempatan di sana. Kini, 22,319 anak Sarawak sedang mengikuti pengajian di 20 IPTA seluruh negara sehingga 31 Disember 2010. Selain di universiti, ramai yang mengikuti pengajian peringkat Kolej Komuniti mahupun Politeknik.
Dalam konteks Kolej Komuniti, terdapat 465 pelajar sedang mengikuti pengajian di Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Kolej Komuniti Cawangan Betong dan Kolej Komuniti Cawangan Santubong. Pada peringkat politeknik pula, seramai 6,309 orang pelajar dari Sarawak sedang mengikuti pengajian di seluruh Malaysia. Daripada jumlah ini, 2,901 orang pelajar berada di Politeknik Kuching dan 2,374 di Politeknik Mukah. Insya-Allah, Politeknik Metro di Betong akan dibina pada tahun hadapan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Politeknik ini akan memberi fokus kepada kursus yang berkaitan dengan hospitaliti, perakaunan dan teknologi maklumat (IT). Kita percaya perkembangan ini membuktikan masyarakat tempatan Sarawak sememangnya tidak ketinggalan dalam arus perdana pengajian tinggi di negara. Walau bagaimanapun, diharapkan penyertaan masyarakat di Sarawak dalam pengajian tinggi akan dapat dipertingkatkan dari masa ke semasa ke arah melahirkan modal insan tempatan (indigenous human capital) yang berkualiti untuk keperluan negara.
Penulis ialah Menteri Pengajian Tinggi