JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Januari 2011

ISU FILEM : TANGGUNGJAWAB PERKASAKAN INDUSTRI FILEM MALAYSIA


Angka ini jelas menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya yang merekodkan jumlah kutipan RM50 juta dengan 6.03 juta penonton. Senario ini adalah realiti pencapaian industri filem Malaysia dalam sektor penerbitan dan pemameran filem bagi 2010, namun begitu ia bukanlah kayu ukur atau petunjuk makro pencapaian industri filem negara. Malah, pencapaian ini juga boleh ditafsirkan sebagai cerminan terhadap usaha yang telah dijalankan Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) dalam mencorakkan landskap pembangunan industri. Sebagai agensi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) yang bertanggungjawab secara langsung dalam merencana pembangunan industri filem, FINAS sudah melaksanakan program pembangunan yang diberi nafas baru sejak 2007.  
Ia adalah berpadanan dengan strategi pelaksanaan Dasar Perfileman Negara (DFN) yang diluluskan Kabinet pada 2005. 

Usaha untuk memahatkan profil industri filem Malaysia di persada dunia tidak terhad kepada filem cereka semata-mata, tetapi merangkumi pembangunan filem dokumentari, animasi dan filem kenegaraan. Usaha memartabatkan lapangan filem ini ternyata memerlukan iltizam dan komitmen tidak berpenghujung dari segenap penggiat filem.  
Memetik hasrat Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang mahu melihat industri filem Malaysia yang berdaya saing dan mampu menembusi pasaran antarabangsa, ia adalah satu azimat yang perlu disahut dan dikongsi bersama oleh semua penggiat filem. Gagasan murni ini amat perlu dihayati dan dizahirkan bersama.  
Justeru, langkah proaktif diambil FINAS dengan mengadakan kerjasama penerbitan dokumentari dengan saluran antarabangsa seperti National Geographic, Discovery Channel International, AETN All Asia Networks dan Spacetoon International. Penyiaran dokumentari yang memaparkan keunikan dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia dapat ditonton jutaan penonton di serata dunia menerusi saluran terkemuka itu. Antara dokumentari yang berjaya mencuri tumpuan global ialah Becoming A King, Smart Tunnel, Fight Master Silat, Al-Maunah: The Malaysian Arms Heist, The Malayan Emergency dan P Ramlee: The Belated Super.  
Menerusi program kerjasama pintar ini, penerbit dan tenaga produksi tempatan yang terpilih akan dibimbing badan penyiar global mengenai kaedah pembikinan dokumentari mengikut piawaian antarabangsa. Selain itu, transaksi kepakaran dan teknologi jelas dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh syarikat produksi yang terpilih menjayakan program ini. 

Hasilnya, dua dokumentari yang diterbitkan FINAS menerusi pakatan strategik ini iaitu Amongst The Great Apes with Michelle Yeoh meraih Dokumentari Terbaik Kategori Hidupan Liar dan Fight Master Silat bagi anugerah Pengarah Dokumentari Terbaik di Asian Television Awards, Singapura baru-baru ini.  
Bagi memantapkan lagi penerbitan dokumentari negara, program khas Dokumentari Malaysia Ke Persada Dunia sudah diadakan dengan dana khas bagi membiayai projek itu. Bahagian Produksi FINAS turut terbabit menerbitkan siri dokumentari yang berkaitan dengan subjek budaya dan sejarah negara, selain penerbitan promosi yang memaparkan nilai 1Malaysia. Paling membanggakan, FINAS diberi kepercayaan menerbitkan dokumentari proses pembinaan Jabatan Pulau Pinang Kedua.  
Hasrat membawa industri ke tahap antarabangsa ini telah diterjemahkan menerusi usaha FINAS melengkapkan kemudahan peralatan perfileman dengan siapnya Studio Digital Mix Stage (SDM). Studio bernilai RM53 juta yang dibangunkan di bawah RMK-9 ini ternyata memudahkan pembikin filem melaksanakan kerja adunan muzik dengan kemudahan yang dikatakan tercanggih di rantau Asia. Pengwujudan SDM yang didirikan bersebelahan Dataran Karyawan FINAS diilhamkan sendiri oleh Dr Rais yang mahu penggiat filem tidak lagi ke luar negara menyiapkan produksi mereka.  
Langkah ini diambil selepas FINAS memperoleh peralatan seperti HD kamera, mesin penyuntingan Non-Linear dan mesin Kine Transfer. FINAS juga akan memastikan proses penambahbaikan perkhidmatan mahupun memperoleh peralatan terkini ditingkatkan bagi manfaat industri mengikut keperluan semasa. Antara filem tempatan yang menggunakan kemudahan SDM ialah Estet, Hooperz, Toyol Nakal, … Dalam Botol dan filem Senjakala. 

Filem Senjakala yang mendapat sentuhan Ahmad Idham meraih pujian media dalam pratonton filem itu. Ini jelas membuktikan kemampuan tenaga kerja SDM dalam memenuhi keperluan audio sesebuah filem. Kejayaan itu juga mematikan tanggapan negatif pihak tertentu yang melabelkan SDM sebagai projek ‘gajah putih’ dan menepis suara sumbang yang mempertikaikan keupayaan FINAS mengendalikan SDM.  
Dalam mempromosikan produk filem dan TV pula, FINAS secara konsisten bermula 2002 menyertai pasaran filem antarabangsa, MIPCOM dan MIPTV di Cannes selain Hong Kong Filmart dan Busan Filmart. Dengan kerjasama padu MATRADE dan MDeC, pengusaha filem dan drama tempatan berpeluang memasarkan produk mereka secara berkesan dan sistematik.  
Berdasarkan pemerhatian menerusi usaha pemasaran itu, filem animasi dan dokumentari Malaysia sememangnya mendapat perhatian pengedar rancangan antarabangsa. FINAS juga sudah diterima menjadi ahli Association of Film Commissioners International (AFCI) dan Asean Film Commissions Network (AFCNet) yang berjaya meletakkan profil industri filem Malaysia di peringkat global.  
Potensi industri filem Malaysia jelas diperakui sebagai kandungan kreatif yang mampu menjana pendapatan kepada ekonomi negara. Dalam inisiatif Bidang Keberhasilan Ekonomi Utama (NKEA): Kandungan Komunikasi dan Infrastruktur, kerajaan telah menggerakkan My Creative Content yang terkandung di dalamnya penubuhan Suruhanjaya Perfileman, Creative Content Assocation, Creative Content Development Agency dan banyak lagi. 

Dalam menjana industri kreatif negara, kerajaan telah menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta sebagai suntikan kewangan bagi merancakkan lagi sektor kandungan kreatif termasuk bidang perfileman.  
Pada tahun depan, filem yang bertaraf dunia bakal menemui penonton seperti filem Hikayat Merong Mahawangsa terbitan KRU Film dan filem Hanyut arahan pengarah tersohor U-Wei Haji Saari. Satu lagi petanda positif tahun ini, karyawan filem kita dilihat cuba lari dari genre komedi, seram dan aksi yang sering dihidangkan kepada penonton. Pembikin filem kita mula melebarkan kepompongnya dengan penghasilan filem berteraskan teknologi seperti Mantera dan Haq.  
Oleh yang demikian, pelbagai usaha dan perancangan sudah, sedang dan akan dilaksanakan FINAS demi kebaikan industri dan pengamalnya. Oleh itu, bersama-samalah kita mempertingkatkan kualiti kerja dan daya kreatif ke arah industri perfileman yang lebih gemilang dan berjaya pada tahun depan. Kepada penggiat filem hayati dan renungi petikan kata-kata Dr Rais ini, “Filem bukan sekadar bahan hiburan, malah memainkan peranan lebih daripada itu. Filem adalah cerminan bangsa dan jendela pemikiran kita, filem menggambarkan ketamadunan dan pencapaian sesebuah negara bangsa.” 



Oleh Mohd Mahyidin Mustakim

Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 

BERITA MINGGU
2 JANUARI 2010




INFO 
Pembangunan modal insan dan usaha merakyatkan filem 


  • Sepanjang tahun lalu, Bahagian Latihan telah mengadakan 42 bengkel perfileman, lima bengkel Masterclass dengan 765 peserta merangkumi bidang penulisan skrip, lakonan, penyuntingan dan penerbitan dengan perbelanjaan lebih RM400,000. 


  • FINAS dengan kerjasama GAFIM dan Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) turut menggerakkan siri Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM) yang berlangsung pada 20 hingga 24 Oktober lalu. FFM adalah medan rasmi pengiktirafan kerajaan terhadap dunia perfileman tanah air. 


  • Portal perfileman sinemamalaysia.com.my telah dibangunkan sejak tiga tahun lalu dengan lebih 100,000 data seperti maklumat artis, filem, pasaran filem dan banyak lagi. Portal ini menerima kunjungan 53 juta ‘hits’ (sehingga 20 Disember 2010). Portal ini diakui amat bermanfaat sebagai rujukan media dan pengamal industri secara tepat, sahih dicapai dengan mudah dan cepat. 


  • Bahagian Modal dan Insentif FINAS melalui Dana Pinjaman Filem Cereka (DPFC) telah meluluskan pinjaman berjumlah RM52.7 juta kepada 50 filem (sehingga Oktober 2010) di samping RM663 ribu bantuan kepada 42 permohonan di bawah Dana Pembangunan Seni Filem dan Multimedia. 


  • Program Memasyarakatkan Filem (PMF) diadakan di Pawagam Coliseum, Jalan Tunku Abd Rahman setiap Sabtu minggu keempat saban bulan secara percuma. Penonton akan disajikan dengan filem terbaik mengikut era dan berpeluang menemui pelakon serta mengikuti diskusi ringkas yang diadakan. 


  • Lebih 400 penonton hadir pada setiap sesi tayangan PMF. FINAS juga memperkenalkan program bulanan, Malam Bersama Bintang sejak Januari 2009 dengan matlamat yang sama - untuk membentuk generasi pelapis komuniti filem Malaysia. 


  • Kelab Pencinta Filem telah ditubuhkan bermula di London pada Jun 2007 yang disempurnakan Dr Rais bersempena Minggu Malaysia di United Kingdom. Kelab ini sudah diperluaskan di seluruh negara dengan 71 Kelab di Sekolah Menengah dan sembilan IPTA/S dengan keahlian lebih 10,000 orang. 
  • ISU KENEGARAAN : MENGUKUR POPULARITI 1MALAYSIA, TRANSFORMASI


    Mungkinkah mereka sekadar dilihat mesra di luar, tetapi di dalam hati siapa yang tahu. Atau, pertemuan mereka perlu ditafsir dengan pemikiran yang jujur bahawa kedua-duanya adalah dua rakyat Malaysia yang mempunyai cita-cita yang sama. Gagasan 1Malaysia didebat secara rasmi di Parlimen hingga di warung kopi dan diungkapkan oleh ramai orang, daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hinggalah kepada setiap rakyat tanpa mengira kedudukan. Pengisian dua gagasan ini juga diperhati dan diteliti hingga ke Rumah Putih di Washington DC dan menjadi bahan pertanyaan daripada Presiden Barack Obama hinggalah setiap pemimpin dunia yang mempunyai kepentingan politik, ekonomi dan sosial dengan Malaysia apabila mereka bertemu dengan pemimpin Malaysia. Ia dicakap oleh mereka yang yakin dengan dua gagasan baru itu selain pengkritik yang sentiasa tidak puas hati dengan apa juga idea baru diperkenalkan oleh pemerintah. 

    Dalam sosiologi, kumpulan ini adalah golongan yang ‘lembab’ untuk menerima apa juga perubahan. Kalau pesawah padi, mereka ini adalah golongan yang masih menggunakan kerbau untuk menenggala sawah sedangkan orang lain sudah lama menggunakan jentera. Ketika enjin Kubota diperkenalkan, mereka tetap mahu menggunakan kerbau, manakala selepas model jentera sudah beberapa kali mengalami perubahan, kerbau masih dilihat bekerja di tengah-tengah sawah. Ini disebabkan pemiliknya tidak mahu berubah. Mereka mahu melihat kejayaan orang lain terlebih dulu sebelum menerima apa juga perubahan. 

    Kebanyakan mereka yang enggan berubah ini biasanya bukan kerana sesuatu gagasan itu tidak baik atau tidak boleh diperbaiki sekali pun ada kelemahan, tetapi semata-mata kerana alasan politik. Tetapi, jika melabur dalam skim cepat kaya, merekalah yang berada di barisan depan. Perkataan atau kata-kata yang pernah menjadi sebutan popular di negara ini sebelum ini antaranya ialah ‘reformasi’ yakni satu bentuk tindakan politik yang mendorong penentang kerajaan mengadakan demonstrasi jalanan atas matlamat yang salah pada penghujung 90-an. ‘Wawasan 2020’, ‘penerapan nilai-nilai Islam’ dan ‘penswastaan’ ketika negara dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad, ‘anjakan paradigma’ ketika idea itu mula diperkenal dan digunakan setiap hari oleh sesiapa saja dalam ucapan dan tulisan untuk menunjukkan penuturnya mempunyai sentuhan intelektual dan responsif kepada perubahan dunia. ‘Modal insan’, ‘Islam Hadhari’ dan ‘koridor’ pula dibincang secara positif-negatif ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi dan lain-lain lagi. ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri pernah digembar-gembur dan diperkatakan secara positif-negatif di mana saja. Hari ini elemen negatif ISA kian tenggelam kerana rakyat yakin peruntukan undang-undang itu adalah benteng terakhir untuk menyelamatkan negara daripada anasir yang mengancam keselamatan rakyat dan negara. Hanya politik pembangkang saja yang mengatakan ISA itu tidak baik dan perlu dihapuskan. Agak lama dulu ‘Revolusi Mental’ sentiasa bermain di fikiran rakyat supaya mereka berubah. Ungkapan 1Malaysia akan terus diperkata dan menjadi bahan dan isu utama negara apabila berlaku perdebatan politik terutama ketika diadakan pilihan raya kecil dan menjelang pilihan raya umum akan datang nanti. 

    Hakikatnya Gagasan 1Malaysia menjadi topik perbincangan politik dan akademik. Perbincangan mengenainya dibuat hingga ke luar negara supaya ia difahami sejelas-jelasnya. Hari ini, gagasan 1Malaysia memberi kesan yang menakutkan kepada pembangkang kerana kejayaan gagasan itu memaksa mereka membuat pelbagai spekulasi kononnya 1Malaysia adalah ilham Yahudi. Mereka yang mengkritik itu lupa bahawa Gagasan 1Malaysia meletakkan penekanan kepada ‘Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan’ yang datangnya dari ilham dan pemikiran pimpinan negara yang melihat kepada realiti di negara ini. 1Malaysia menjadi satu gagasan yang kuat kerana ia memupuk jati diri bangsa Malaysia ke arah keharmonian dan kemakmuran rakyat dan negara.  
    Transformasi adalah perubahan yang dilakukan ke arah kebaikan. Walaupun perubahan sudah pun berlaku dari semasa ke semasa, transformasi adalah perubahan yang agak radikal yang melibatkan seluruh sistem dari manusia kepada institusi. Dalam tempoh singkat saja, kerajaan mencipta sesuatu yang baru yang diiktiraf sebagai transformasi menyeluruh. Kerajaan hari ini adalah kerajaan transformasi, manakala Najib akan menempa nama sebagai Bapa Transformasi Malaysia. 

    Kerajaan menjadikan transformasi untuk mengubah senario dan bentuk fizikal dan bukan fizikal di negara ini bermula dari pemikiran atau mentaliti rakyat, mengubah sistem yang tidak lagi sesuai yang masih diamalkan, cara berfikir dan bertindak dan seterusnya kepada cara membuat keputusan dan membangunkan rakyat dan negara, perlu melalui proses transformasi. Transformasi perlu dilakukan supaya kerajaan hari ini terus relevan. Sesuai dengan perkembangan individu, setiap orang secara tidak sedar atau sedar, sudah berubah. Jika dulu pakai kain, kemudian seluar pendek dan sekarang bergaya dengan tali leher dan kot, adalah perubahan penampilan diri. Mereka yang mahu berubah perlu berfikiran positif dan melakukan sesuatu yang baru. Jika sebelum ini terlalu taksub kepada kepercayaan karut, amalan itu ditinggalkan. Transformasi juga berlaku di kementerian, jabatan kerajaan, sektor swasta dan unit-unit di kilang yang meletakkan matlamat untuk meningkatkan imej, kualiti, produktiviti, pendapatan dan sebagainya. 
    Sesuai dengan makna transformasi untuk melakukan perubahan radikal, kerajaan sebenarnya mengambil keputusan berani dan mempertaruhkan masa depan politik negara kerana sedar setiap ruang digunakan pembangkang untuk mencari kesempatan politik. Setakat ini setiap lompong dalam pendekatan tidak popular kerajaan, berjaya ditampung dengan hujah yang bernas dan segala pandangan negatif dipatahkan satu persatu.  
    Pimpinan kerajaan tidak berganjak, malah tidak pernah mengaku kalah untuk memperjuangkan gagasan itu. Sekali melangkah, kerajaan tidak lagi menoleh ke belakang. Paling penting, apa yang digagaskan bukan berakhir dengan cakap-cakap dan janji kosong, tetapi diisi dengan program-program yang disusun rapi.  

    Gagasan 1Malaysia dan Program Transformasi Kerajaan (GTP) kian diterima. Semangat ini ditunjukkan dalam apa juga perkembangan daripada menyambut kemenangan perlawanan bola sepak Piala Suzuki AFF selepas mengalahkan Indonesia hinggalah perayaan menyambut kedatangan Tahun Baru 2011 yang menunjukkan keceriaan semua rakyat Malaysia yang berbeza agama dan warna kulit, tetapi berdiri dengan satu cita-cita.  
    Dengan penerimaan rakyat yang luar biasa ini, pembangkang kian kehabisan modal untuk mencari kelemahan kerajaan. Pelbagai kajian membuktikan tidak semua perubahan membuahkan kejayaan dalam konteks manusia yang begitu sukar menerima perubahan. Perubahan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berteknologi dan berpendapatan tinggi umpamanya, juga sering dilihat dari aspek negatif. Memang ada baiknya mengintai keburukannya terlebih dahulu sebelum menemui kebaikannya, tetapi adakalanya ia dieksploitasi hingga membantutkan kelancaran pelaksanaannya. Pada peringkat awalnya, ramai yang bimbang dan mempersoalkan Gagasan 1Malaysia dan transformasi ini berasaskan kepada perspektif dan kepentingan masing-masing. Ia kian reda kerana rakyat sudah pun melihat bukti kebaikannya di depan mata.  
    Seperti perutusan Tahun Baru malam kelmarin, Perdana Menteri mengajak seluruh masyarakat Malaysia menunaikan tanggungjawab bagi mencorakkan masa depan yang lebih baik demi generasi akan datang. 


    Oleh Mior Kamarul Shahid

    mkamarul@bharian.com.my

    Berita Minggu

    2 Januari 2010

    ISU PENDIDIKAN : DASAR 1 MURID 1 SUKAN HANYA UNTUK MURID YANG SIHAT SAHAJA


    Kementerian Pelajaran mengingatkan pihak pentadbir sekolah bahawa pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S) mulai tahun depan adalah dikhususkan untuk murid yang tidak mempunyai masalah kesihatan. Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud berkata, semua murid termasuk yang berkeperluan khas wajib didaftarkan untuk mengambil bahagian dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Selain itu, pihak sekolah hendaklah membuat perancangan bagi pengurusan aktiviti sukan secara sistematik supaya dapat meningkatkan penyertaan dan membantu dalam perkembangan potensi setiap murid dalam sukan. Pihak sekolah hendaklah mengoptimumkan penggunaan kemudahan, peralatan dan kepakaran yang sedia ada di sekolah atau kawasan persekitaran dengan mengutamakan keselamatan murid.


    Pada 17 Mac lalu, mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Sukan Sekolah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran telah memutuskan bahawa Dasar 1M1S akan dilaksanakan mulai tahun depan di semua sekolah kementerian. Dasar itu diwajibkan untuk tahun empat hingga tahun enam di sekolah rendah dan peralihan, tingkatan satu hingga tingkatan enam di sekolah menengah. Abdul Ghafar memberitahu, pihak sekolah digalakkan untuk mewujudkan rangkaian kerjasama dengan agensi atau pihak luar bagi program pembangunan sukan di sekolah masing-masing. Pihak sekolah hendaklah memastikan aktiviti sukan dijalankan sepanjang tahun berdasarkan aktiviti rumah sukan dan kelab sukan. Beliau berkata, buat masa ini, sistem penilaian bagi penyertaan murid itu adalah berdasarkan kepada sistem sedia ada yang berasaskan kehadiran, jawatan serta sumbangan, penglibatan dan pencapaian. Perubahan pada sistem penilaian sedia ada akan berkuatkuasa dengan murid tahun empat dan tingkatan satu mulai tahun 2012. 

    ISU WANITA : PERSEPSI TRADISIONAL KEKANGAN UTAMA WANITA


    Sejak 2003, sidang kemuncak wanita merupakan acara tahunan yang menjadi platform bagi golongan wanita menyalurkan pandangan dan keperluan mereka kepada kerajaan. Sidang Kemuncak Wanita 2010 berlangsung pada 8 hingga 9 Disember lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby dengan lebih 1,000 peserta. Bertemakan Mencabar Corak Pemikiran dan Merubah Kehidupan, persidangan tersebut membuka peluang kepada wanita Malaysia untuk mendengar pengalaman dan pandangan golongan wanita dari pelbagai negara. 

    Penceramah dari Australia yang berucap mengenai kelebihan mewujudkan jaringan, Jen Dalitz berpandangan senario cabaran gender di Malaysia dan Australia tidak jauh berbeza. ‘‘Pendekatan terbaik untuk berhadapan dengan cabaran tersebut adalah mewujudkan jaringan. Berbanding golongan lelaki, wanita lebih mampu mengawal keseimbangan di antara kerjaya dan kehidupan. ‘‘Di Australia 57 peratus daripada golongan pekerja yang dilaporkan mengalami konflik di antara kerja dan kehidupan adalah lelaki,” kata pengasas agensi kepimpinan dan pembangunan profesional Australia itu. Ketua Pegawai Eksekutif agensi konsultan gender antarabangsa 20-First, Avivah Wittenberg-Cox berkata, beberapa dekad dulu wanita memilih keluarga berbanding kerjaya. Namun, kebelakangan ini terdapat wanita yang cenderung memilih kerjaya berbanding keluarga. Trend ini menyebabkan beberapa negara maju menyaksikan kadar kelahiran yang semakin menurun sementara negara mundur mencatatkan kelahiran yang tinggi, katanya. 

    Menyentuh mengenai pasaran kerja global, Cox menambah, ketika kelembapan ekonomi di Amerika Syarikat (AS), 80 peratus daripada pekerja yang diberhentikan adalah lelaki. Sementara di Eropah, sebahagian besar daripada jawatan kosong yang diiklankan diisi oleh golongan wanita. ‘‘Di Jepun dan Korea Selatan, golongan wanita berupaya memegang jawatan pengurus. Namun, masyarakat di negara berkenaan masih mempunyai tanggapan bahawa wanita perlu berhenti kerja apabila berkeluarga. Tanggapan yang sama turut dihadapi wanita di India,” jelasnya. Beliau berkata, dominasi wanita di institusi pengajian tinggi berlaku di banyak negara. Ini dapat dilihat di AS dan Eropah di mana 60 peratus daripada graduan adalah wanita, China (53 peratus), Iran (63 peratus) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 70 peratus. Biarpun peratus wanita dalam institusi pendidikan agak tinggi, peratus yang menyertai alam pekerjaan dan berjaya ke peringkat pengurusan adalah rendah. 

    Tambah Cox, di China, kesaksamaan gender bukan satu ideologi. Di Jepun dan Korea Selatan hanya enam peratus wanita berjaya ke tahap pengurusan. Setiausaha Hal Ehwal Wanita Kemboja, Kheng Samvada berkata, antara cabaran yang dihadapi wanita Kemboja selepas era rejim Khmer Rouge adalah taraf pendidikan yang rendah dan diskriminasi ekoran pelbagai persepsi tradisional. ‘‘Faktor ini menyebabkan golongan wanita di Kemboja kurang keyakinan diri dan terpinggir dalam masyarakat biarpun jumlah golongan wanita dalam industri kerja adalah tinggi iaitu 78 peratus. Perubahan minda memerlukan masa yang panjang,” katanya. Sementara Menteri Pembangunan Komuniti, Belia dan Sukan Singapura, Yu-Foo Yee Shoon berkata, golongan wanita mewakili 57 peratus daripada pasaran kerjaya republik tersebut. ‘‘Satu kajian yang dijalankan pada 2007 mendapati golongan wanita di Singapura meraih pendapatan yang jauh lebih tinggi daripada lelaki,” jelasnya. Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Zambia di Malaysia, Michelle Manda berkata, di negara tersebut statistik penuntut wanita ke universiti adalah masih rendah iaitu 25 peratus kerana kebanyakan remaja perempuan dipaksa berkahwin ketika di sekolah menengah. 

    ‘‘Pendidikan yang rendah, kemiskinan dan faktor berkahwin pada usia terlalu muda menyebabkan wanita Zambia mempunyai kesedaran yang rendah mengenai kesihatan reproduksi sehingga ada yang memiliki anak hampir setiap tahun. ‘‘Antara usaha kerajaan untuk mengatasi masalah ini termasuklah mengadakan kelas buta huruf untuk golongan wanita dan mengadakan program kesedaran kesihatan. Kerajaan juga komited untuk membebaskan wanita Zambia daripada kepompong kemiskinan bagi meningkatkan taraf kehidupan mereka,” jelasnya. Pengalaman yang dikongsi oleh para peserta antarabangsa dalam sidang kemuncak kali ini memberikan inspirasi kepada para peserta untuk menghadapi cabaran semasa. Siling kaca yang menghalang wanita mencapai kedudukan tinggi dalam sektor pekerjaan masih wujud. Namun sudah ada wanita yang menembusi siling berkenaan melalui pendidikan, sokongan keluarga dan suasana tempat kerja yang menggalakkan.


    Antara wanita Malaysia yang paling cemerlang ialah Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz yang turut mendapat pengiktirafan di peringkat antabangsa. Paling penting, golongan wanita sendiri perlu mempunyai inisiatif, keyakinan dan kekuatan untuk mengatasi semua jenis cabaran yang menyukarkan mereka mencapai matlamat yang dihajati.

    Oleh : Rohani Ibrahim
    Utusan Malaysia
    15 Disember 2010

    ISU SOSIAL : MODEL BARU TANGANI GEJALA SOSIAL SIAP PADA 2011


    Kerajaan sedang dalam proses menggubal Model Baru Sosial bagi menangani masalah sosial di negara ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Heng Seai Kie. Beliau berkata model itu akan dibangunkan melalui usaha strategik multi-sektoral dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan. Katanya, kementerian turut menggalakkan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk melalui pemberian geran tahunan bagi melaksanakan program-program menangani masalah sosial khusus dalam bidang dan kumpulan sasaran masing-masing. Antaranya adalah menjalin perkongsian pintar dengan Yayasan Pink Triangle bagi membolehkan mereka mengurus dan memberi perkhidmatan kepada golongan yang menghidap HIV serta kerjasama dengan Yayasan Salam yang memberi kemudahan untuk remaja berisiko tingi berinteraksi dan mengembangkan potensi diri melalui minat masing-masing. Ia membolehkan remaja memenuhi masa santai dengan kegiatan berfaedah dan mengurangkan potensi terlibat dengan gejala sosial. Heng berkata, kerajaan juga telah menubuhkan tiga panel penyelaras bagi menjalankan program dan aktiviti kepada golongan sasaran iaitu belia yang diterajui oleh Kementerian Belia dan Sukan, remaja (Kementerian Pelajaran) dan kanak-kanak (Kementerian Kesihatan). Semua perkhidmatan program dan aktiviti bagi kumpulan sasaran ini dibawa ke Majlis Sosial Negara untuk pertimbangan dan diselaraskan dengan matlamat pembangunan sosial negara. 

    ISU SOSIAL : SKIM CEPAT KAYA : 3000 ORANG TELAH TERPERDAYA


    Kerana terpedaya dengan janji pendapatan yang lumayan dalam tempoh singkat melalui pelbagai skim pelaburan, lebih 3,000 orang kerugian berjuta-juta ringgit dalam masa enam bulan dari Januari hingga Jun 2010. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T. Murugiah berkata, kes terbaru yang dilaporkan ialah RM40,000 untuk perniagaan rumpai laut menggunakan mesin serba guna, Mat Kiosk yang menjanjikan pulangan sebanyak RM2,000 setiap bulan. Syarikat terbabit telah membayar RM2,000 selama tiga bulan seperti yang dijanjikan dan selepas itu gulung tikar, hilangkan diri dan akhirnya mangsa-mangsa yang terlibat dalam pelaburan ini menderita dengan kerugian lebih RM100 juta. Katanya, syarikat tersebut telah mendapatkan pinjaman daripada pihak bank untuk mendapatkan mesin yang diimport dari luar negara dan selepas kejadian itu, mereka menghilangkan diri dengan mesin tersebut sekali. Justeru, beliau meminta orang ramai menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk mendapatkan nasihat melabur seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Bank Negara dan Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri. 

    ISU FILEM : TEORI FILEM MENCELIKKAN KHALAYAK


    Sebahagian besar daripada kita barangkali pernah mendengar kenyataan begini: "Eleh... orang akademik dan pengkritik filem hanya pandai teori saja, buat filem tak tau. Orang tak tau teori lagi bagus buat filem, kutip box office lagi." Kepada yang belum mendengar kenyataan "kurang cerdik" begini, ini adalah kebiasaan, bukan saja kalangan masyarakat malah pembuat filem sendiri. Mereka yang menggerakkan industri filem telah menjauhkan diri dengan ahli teori. Malah yang lebih buruk lagi apabila sesetengah pengarah seolah-olah memusuhi ahli teori. 

    Mereka tidak melihat sumbangan teori realisme, formalisme, auteur, psikoanalisis atau marxisme sebagai satu medium wacana filem. Perdebatan atau menggunakan teropong teori-teori inilah yang menjadikan filem sebagai karya seni yang bernilai tinggi. Lebih manfaat lagi seni filem menjadi fenomena yang sihat. Perbezaan pandangan antara satu teori dengan yang lain boleh memberi alternatif kepada penonton untuk melihat dari laras teori yang menjadi pilihan mereka. Memang benar ahli teori tidak semestinya membuat filem, kerana yang membuat filem adalah pengarah. Tetapi tidak membuat filem atau tidak "pandai" membuat filem bukan bermakna tidak ada sumbangan. Di luar negara antara ahli teori dan pengarah filem saling berpaut antara satu dengan lain. Industri filem bukanlah boleh disamakan dengan kilang mengeluarkan sabun buku. Filem adalah sebuah karya seni, sama seperti muzik, lukisan dan pelbagai lagi yang memerlukan debat cerdik. 

    Seni memerlukan wacana untuk meraikan kelahiran sesebuah karya. Teori adalah salah satu yang dimanfaatkan untuk meraikan filem dan melihat hubungannya dengan realiti masyarakat. Teori filem bukanlah untuk digunakan oleh pengarah membuat filem. Tetapi digunakan oleh ahli akademik atau pengkritik untuk menyelongkar nilai estetika, naratif dan hubungan karya itu dengan sosialisasi di luar filem. Ahli teori berperanan menyuburkan pemikiran kritis khalayak filem. Semua ini menyumbang kepada pembentukan budaya filem yang sihat. Semakin banyak khalayak membahaskan karya filem, kita akan mendapat semakin banyak khalayak yang berselera tinggi terhadap filem. Khalayak yang sihat pemikirannya akan menyumbang kepada penghasilan filem yang tinggi nilainya. Pengarah filem tidak semestinya tahu teori. Tetapi mengambil tahu teori filem menjadi nilai tambah kepada pengarah supaya mereka dapat melihat perlunya teori dalam konteks pembangunan budaya filem yang sihat. 

    Seharusnya kehadiran ahli teori untuk merancakkan pembentukan budaya filem yang sihat tidak dilihat sebagai musuh. Mereka adalah penyumbang penghasilan filem yang baik sekiranya mampu meningkatkan selera khalayak kepada filem-filem bernilai tinggi. Tetapi khalayak filem negara ini sering diperbodohkan oleh produser dan pengarah dengan angka-angka. Mereka menjaja angka-angka kutipan. Mereka jenis ini tidak menjaja apa wacana pengkritik terhadap filem mereka. Menjaja angka-angka kutipan tentunya tidak menyumbang kepada satu budaya menghargai filem. Sebaliknya menjadikan penonton berselera rendah. Apa yang dilakukan oleh sesetengah produser dan pengarah negara ini adalah menutup mata fikir khalayak kepada wacana. Sebabnya mereka membangunkan industri filem tetapi bukan budaya filem. Kejayaan industri filem bermakna memberi hidangan fikir yang baik kepada khalayak. Apalah gunanya kutip berkarung-karung duit kalau itu eksploitasi ke atas khalayak berselera rendah.

    Utusan Malaysia
    13 Disember 2010

    ISU KESIHATAN : MAJLIS PERUBATAN TRADISIONAL


    Kementerian Kesihatan akan mewujudkan Majlis Perubatan Tradisonal bagi mengawal pertumbuhan serta aktiviti pengamal perubatan tradisional dan komplimentari. Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Majlis itu akan berperanaan sebagaimana Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan Majlis Pergigian Malaysia (MDC), yang mengawal para doktor serta doktor gigi dalam negara. Beliau berkata, selain penubuhan badan itu, pengiktirafan terhadap pengamal perubatan tradisonal oleh kementerian hanya diberi kepada mereka yang mempunyai asas serta diiktiraf oleh persatuan perubatan tradisional masing-masing. Itu caranya kementerian beri pengiktirafan. Untuk itu, kementerian akan ada satu majlis seperti MMC yang mengawal doktor-doktor dan MDC yang mengawal semua doktor gigi. 

    ISU SOSIAL : TUNTUTAN DUNIA "LELAKI JAMBU"


    Kisah pusat hiburan khusus untuk satu kaum iaitu Adam atau Hawa bukan lagi rahsia. Sejak beberapa tahun lalu, kerap diperkatakan tentang pusat-pusat hiburan seumpama itu. Di situ lelaki berselera lelaki bertemu. Manakala di satu pusat hiburan lain gadis atau wanita yang meminati kaum sejenis, saling bermesra. Kelab-kelab seperti itu kini umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Di sebalik percambahan itu, golongan lesbian, gay, biseksual, transeksual yang mahu dikenali sebagai LGBT memelihara eksklusif mereka.

    Jarang sekali tempat pertemuan mereka diserbu. Tidak kedengaran juga berita lelaki ditangkap ketika sedang berdua-duaan dengan lelaki atau wanita dengan wanita. Ada sumber menyebut, golongan yang mendakwa minoriti terpinggir, disalahfahami dan mudah diancam di Malaysia menjadi penghuni kondominium di kawasan tertentu yang juga eksklusif sifatnya. Sebab itu kegiatan mereka sukar ditembusi. Istilah lelaki 'jambu' misalnya telah lama berlegar di dalam masyarakat kita. Seorang teman pernah disentuh di pipi oleh lelaki yang mengagumi kecomelannya. Mungkin lelaki yang ada nama itu dan terkategori dalam VIP terangsang melihat kulit teman yang licin lantaran hilang sifat malu untuk menyentuh dan berbisik: ''Awak cute.'' Seorang lagi teman yang sememangnya 'jambu' selamba memberitahu dia disimpan seorang VIP yang sudah ada isteri. 

    Dalam menagih cinta luar biasa itu dia mengomel kerana sering ditinggalkan. ''Janji nak tinggalkan isteri, tapi tiap-tiap tahun beranak juga perempuan tu,'' rungutnya. Dia juga tidak segan bercerita tentang aktiviti seksual mereka. Agak menghairankan apabila golongan ini mahu 'percaya' bahawa diri mereka terpinggir. Siapa pula yang meminggirkan mereka. Keluarga, sahabat-handai, masyarakat atau pemimpin? Teringat filem Beautiful Boxer yang sememangnya menarik perhatian saya. Kisah benar di Thailand - negara majoriti penduduknya beragama Buddha itu memperlihatkan konflik dalaman seorang lelaki (peninju Muaythai) yang mempunyai kecenderungan menjadi wanita. Ada penentangan, kecaman dan penolakan masyarakat di sana terhadap kegilaan Parinya Charoenphol mahu menjadi perempuan sejak zaman kecilnya. Dia tidak disenangi, diejek dan tidak ada kawan lelaki. Paparan kisah Beautiful Boxer menunjukkan bahawa dunia sejagat sememangnya menolak amalan-amalan pelik seks songsang waima di mana dan apa agama mereka. Walaupun di negara yang menjadikan seks, pelacuran sebagai industri dan sumber utama menarik pelancong.

    Tentunya ada sebab jadi begitu. Yang pasti sebab-sebabnya jelas dan tidak ada yang mengelirukan. Bukan kerana amalan tersebut baru maka ia tidak dapat diterima - lantaran kisah seks sejenis disebut di dalam al-Quran semasa zaman Nabi Lut a.s. Sebaliknya kerana amalan songsang bertentangan dengan hukum alam sememangnya sentiasa mendapat penolakan lantaran sifatnya yang tidak betul sewajarnya disanggah. Sebab itu ajaran songsang Ayah Pin contohnya biar pun ada pengikut tetapi mereka dipinggirkan, sukar difahami dan yang pasti mudah mengancam orang lain walaupun tidak mudah diancam. Lantaran selesa dan berasa tidak bersalah, maka seorang pemuda berani merakamkan pengakuan bahawa dia adalah seorang gay. Bagi pemuda itu: ''Saya gay, saya ok.'' Pengendali laman web Seksualiti Merdeka sepatutnya telah menjangka reaksi rakyat negara ini kerana mengetahui bahawa norma-norma masyarakat di sini bukan seperti di negara barat. Malah di barat pun tuntutan kumpulan gay dan lesbian melalui jalan berliku sejak bertahun-tahun lamanya. Justeru tidak timbul soal menarik balik video Azwan Ismail kerana ancaman dan komen pelbagai blog.

    Ternyata gay dan lesbian yang satu ketika dulu hanya diperkatakan di asrama lelaki dan perempuan, kini menjadi trend dan pada masa yang sama penyakit masyarakat. Sedar atau tidak sedar kita hidup bersama mereka - tidak mustahil di tempat kerja, dalam keluarga atau di majlis-majlis sosial. Bagi kumpulan LGBT, mereka tidak membuat apa-apa kesalahan. Mereka tidak mengganggu orang lain. Naluri mendorong mereka menjadi begitu. Ada juga membuat ulasan, banyak lagi masalah sosial di Malaysia yang perlu dibendung berbanding nak kecoh dan mengamuk tentang hal homoseksual. Ada juga yang memuja keberanian pemuda itu membuat pengakuan jujur dia adalah seorang gay. Ada pendapat mengatakan hanya 2 peratus rakyat Malaysia terlibat dalam gejala homoseksual. Berapa peratus pula lesbian, biseksual dan transeksual? Bukankah 2 peratus pada 2010 itu mungkin angkanya adalah 0.0 peratus sebelum negara mencapai kemerdekaan? Dari 0 peratus bercambah kepada 2 peratus dan percayalah jumlah itu akan meningkat dan meningkat.

    Mengimbau persekitaran 30 tahun lalu di kampung, memang ada pak cik-pak cik yang lembut sifatnya. Ciri-ciri wanita ada pada mereka. Tetapi sehingga ke akhir hayat mereka akur dilahirkan sebagai lelaki lantas memasuki alam rumah tangga dan menyempurnakan hidup sebagai lelaki sejati. Saya pasti di mana-mana ada lelaki begitu. Di mana-mana juga ada wanita yang keras membanting tulang dan menjadi tonggak keluarga. Tetapi mereka tidak memesongkan kelembutan dan kekerasan itu sehingga menjadi naluri gay atau lesbian. Biar apa pun alasannya, kebimbangan tentang trend LGBT ada asasnya sebagaimana kerisauan meningkatkan kes-kes jenayah yang lain. Begitu juga keprihatinan kadar jenayah moral seperti seks luar nikah, sumbang mahram yang tidak boleh dinafikan sesiapa pun bahawa sedikit sebanyak menjadi punca kepincangan masyarakat. Ramai juga melihat golongan tersebut sebagai tidak berdosa, tidak merosakkan dan tidak mencetuskan apa-apa keburukan dalam masyarakat. Benarkah begitu?

    Oleh : Noraini Abdul Razak
    Mingguan Malaysia
    2 Januari 2011