JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



10 Januari 2010

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

SUMBER : Utusan Malaysia
TARIKH : 08 JANUARI 2010
TAJUK : Cabaran ekonomi dekad baru
Oleh Tan Sri Dr. Sulaiman Mahbob


 
MALAYSIA memasuki dekad baru bermula tahun Masihi 2010 dan tahun Hijrah 1431 dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ekoran tergugatnya sistem kewangan negara maju. Keadaan ini diakibatkan oleh lemahnya sistem tadbir urus dan kawalan sektor bank pelaburan (investment bank) atau apa yang disebut sebagai ‘shadow banking’, khususnya di Amerika Syarikat (AS). Ia juga disebabkan oleh sifat tamak haloba (greed) dan kurang berhemah (imprudences) di kalangan pihak pengurusan. Akibatnya ekonomi Malaysia dan juga negara-negara lain terjerumus dalam keadaan pertumbuhan negatif pada tahun 2009. Kewibawaan kita untuk mengurus ekonomi negara sekali lagi diduga, selepas pengalaman pahit tahun 1997/1998. Dalam tempoh terdekat ini, ada tiga isu utama yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan ekonomi negara. Pertama, keperluan memantapkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kesan daripada kemerosotan ekonomi global dalam 2009.

Kedua, usaha memantapkan kedudukan kewangan awam atau ‘public finance’ yang mengalami defisit sejak 1998. Dan ketiga, hasrat untuk merombak beberapa dasar bagi meningkatkan daya saing negara serta membolehkan usaha mencapai model pertumbuhan berasaskan pendapatan (nilai tambah) yang tinggi. Dalam isu pertama, kita boleh menimba pengalaman dari usaha mengatasi krisis ekonomi bagi tahun 1986 dan kegawatan tahun 1997/1998. Pada tahun 1986, negara telah terjejas oleh kejatuhan harga komoditi dan kedudukan kewangan awam yang lemah. Kerajaan telah mengambil tindakan liberalisasi dan deregulasi serta mengurangkan cukai dan mengawal perbelanjaan awam bagi memperbaiki iklim pelaburan swasta. Kesannya, ekonomi tumbuh dengan sangat pesat pada kadar 8-9 peratus setahun sepanjang tempoh 1988-1997.

Semasa kegawatan tahun 1997/1998 pula, atau apa yang selalu disebut sebagai ‘East Asian financial crisis’, akibat aliran modal jangka pendek tidak terkawal (unregulated) di rantau ini serta serangan ke atas mata wang serantau dan kegiatan ‘hedge fund’, tindakan kerajaan (menerusi MTEN) untuk mengawal modal (capital control) dan penetapan mata wang (pegging of the Ringgit) serta meningkatkan permintaan agregat menerusi perbelanjaan awam dan dasar kewangan (monetary) telah berjaya menstabilkan ekonomi negara. Dengan dibantu oleh kedudukan pasaran eksport yang menggalakkan pada masa itu, Malaysia telah berjaya keluar dari kegawatan ekonomi itu berasaskan kepada ‘formula’ sendiri, tanpa menggunakan preskripsi Dana Kewangan Antarabangsa (IMF). Namun demikian, cabaran bagi mengatasi krisis ekonomi semasa (2009) menjadi lebih ketara. Kali ini, hampir seluruh ekonomi dunia, termasuk China dan India tergugat dan terperangkap dengan kelembapan dan ketidaktentuan ekonomi AS dan negara-negara maju lain, seperti Kesatuan Eropah (EU) dan Jepun.

Dari itu, sektor eksport kurang memainkan peranan untuk memantapkan proses pemulihan ekonomi negara. Dengan demikian, kesan Pakej Rangsangan Ekonomi sepenuhnya hanya berputar dalam sektor domestik. Pasaran domestik kita pula tidak sebesar pasaran dalaman China, India dan juga Indonesia. Oleh itu, ia tidak mampu memacu pertumbuhan positif bagi tahun 2009. Kedua, kerajaan akan berdepan dengan cabaran mengawal perbelanjaan dan meningkatkan hasil (revenue). Kemungkinan mengawal perbelanjaan terhad kerana beberapa jenis perbelanjaan operasi adalah wajib disediakan (locked-in expenses) seperti emolumen, gaji dan elaun, geran kepada negeri-negeri (per capitation grant) dan kerajaan tempatan, bayaran hutang awam serta beberapa subsidi yang sukar dirungkai akibat penyediaannya yang sebegitu lama sehingga menjadikannya seperti satu amalan fiskal biasa.

Usaha mengurangkan subsidi-subsidi ini perlu dibuat secara komprehensif dan dilaksanakan berperingkat-peringkat kerana penghapusannya akan menyebabkan satu kerumitan. Untuk membantu masyarakat, kerajaan telah menyediakan subsidi seperti bantuan buku sekolah, biasiswa, kos perubatan di hospital dan klinik awam yang sangat rendah, serta subsidi untuk bahan api (minyak petrol dan diesel). Manakala bagi bidang industri pula, kerajaan memberi subsidi tenaga untuk industri, baja untuk pengeluaran padi dan pengecualian dan potongan cukai (sistem galakan industri) untuk sektor pembuatan. Fikirkan bagaimana sukarnya subsidi-subsidi ini boleh dirungkai dan dikurangkan dalam masa terdekat setelah ia menjadi elemen penting dalam perkiraan cara hidup rakyat dan sistem pengeluaran negara. Namun demikian usaha mengurangkan subsidi perlu diteruskan.

Dari perspektif hasil kerajaan pula, kesungguhan kerajaan untuk mengadakan ‘Goods and Service Tax’ (GST) perlu disokong. Memang sudah sampai masanya kita mengurangkan cukai berasaskan pendapatan tetapi bergerak maju ke arah cukai berasaskan penggunaan (consumption based tax). Sebenarnya cadangan GST ini bukan baru. Ia pernah dicadangkan oleh Tun Daim Zainuddin dalam ucapan Belanjawan 1987 bagi pelaksanaan tahun 1989. Cukai GST adalah lebih cekap berbanding dengan cukai jualan dan ia kurang mempunyai unsur ‘arbitrariness’ yang terdapat dalam cukai jualan. Unsur penting dalam formula GST adalah ia jangan dikenakan kepada barangan eksport serta barangan keperluan asas seperti makanan, pendidikan, dan kesihatan. Skim ‘zero rating ' boleh dicadangkan bagi produk-produk ini.

Kita juga perlu menerima hakikat bahawa kesan GST ke atas inflasi memang wujud tetapi ia hanya berlaku pada tahun pelaksanaan sahaja dan tidak selepas itu. Jika kesannya berlarutan selepas itu, ia bukan disebabkan GST tetapi kelemahan sistem pasaran sendiri akibat tiadanya undang-undang persaingan dan perdagangan adil (fair trade) di negara ini yang boleh membendung amalan perniagaan tidak beretika. Satu cara bagi mengurangkan perbelanjaan negara adalah meneruskan peringkat kedua dasar penswastaan yang meliputi inisiatif pembiayaan swasta bagi kegiatan awam yang pada ketika ini sudah boleh dilaksanakan. Bagi dasar ini, yang pentingnya segala kelemahan pelaksanaan yang lalu perlu diperbaiki. Kawal selia yang mantap boleh menjaga kepentingan sosial, manakala pemilihan syarikat berasaskan tender terbuka mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada kerajaan dan pembayar cukai. Isu ketiga, meningkatkan daya saing dan melaksanakan pembangunan berteraskan ‘value added’ yang tinggi. Usaha ini memerlukan pengorbanan semua pihak untuk membantu melaksanakan proses transformasi sosial bagi melaksanakan beberapa perubahan dasar.

Perubahan dalam sistem subsidi, sistem kawalan harga, pembaikan sistem penyampaian (delivery system), liberalisasi, peningkatan produktiviti dan kemahiran modal insan serta memperkayakan harta intelek negara adalah antara perkara-perkara pokok dan utama yang perlu dilaksanakan secara serentak dan terancang. Satu pelan tindakan perlu disediakan bagi merencanakan apa yang perlu dibuat dan diukur bagi setiap pihak. Kita juga perlu mencari model pertumbuhan baru yang mengimbangi antara pertumbuhan pendapatan pada kadar yang tinggi dan aspek pengagihan (distribution) yang bersesuaian dengan kedudukan semasa. Dasar pengagihan perlu diteruskan kerana ia merupakan dasar jangka panjang negara yang termaktub dalam Rukun Negara (bahagian pertama) dan dalam sejarah kesefahaman antara kaum utama negara ini. Yang pentingnya pelaksanaan dasar ini perlu disesuaikan dengan keadaan semasa.

Kita juga perlu merombak struktur industri perkhidmatan kepada industri yang membawa kepakaran dan kemahiran yang canggih dan tinggi (seperti R&D, designing) serta mempunyai value added yang lebih banyak untuk meningkat dan mempelbagaikan sumber KDNK serta mencanggihkan struktur guna tenaga negara dan menghasilkan pendapatan per kapita yang lebih tinggi. Keadaan dan corak industri sedia ada kurang mewujudkan kekayaan harta intelek negara. Yang demikian akan melemahkan asas jangka panjang negara dalam bidang persaingan dan keupayaan mencapai Wawasan 2020. Cabaran-cabaran ini tidak boleh diperlekehkan. Kita perlu berfikir dan mengambil tindakan yang jitu. Kita perlu mengurangkan ‘politicking’ dan sebaliknya membantu kerajaan merencanakan pembangunan negara ke arah kestabilan ekonomi, pembangunan mapan dan kesejahteraan rakyat serta kepentingan generasi akan datang yang bakal berdepan dengan persaingan ketara di persada antarabangsa. Mereka memerlukan warisan daripada kita berbentuk infrastruktur, harta intelek, pengalaman, dan modal sosial untuk dimajukan seterusnya.

Untuk memastikan kejayaan mereka kelak, pembangunan modal insan sedia ada dan dasar pembangunan mapan (sustainability) serta asas-asas pertumbuhan ekonomi perlu diperkukuhkan lagi. Budaya persaingan yang sihat serta kerangka mental yang sentiasa ingin mencapai kecemerlangan perlu dipupuk dan disemarakkan di bangku sekolah lagi. Memandangkan kita telah melangkah masuk ambang dekad baru dan tahun baru, Hijrah dan Masehi, Malaysia mungkin tiada jalan lain selain menangani isu-isu di atas dengan penuh tabah dan keyakinan. Masyarakat kita perlu bersedia untuk ‘berhijrah’ kepada pendekatan pembangunan yang baru bagi pembangunan sosial yang lebih makmur, berimbang dan mapan.


TAN SRI DR. SULAIMAN MAHBOB ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA). Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

NISBAH 1 : 15 GURU PEMULIHAN SEKOLAH RENDAH

PUTRAJAYA 7 Jan. – Kementerian Pelajaran akan menambah bilangan guru pemulihan di sekolah rendah daripada seorang bagi setiap sekolah ketika ini kepada nisbah 1:15 berbanding murid pada tahun ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membolehkan lebih tumpuan kepada murid yang lemah dalam membaca, menulis dan mengira (3M). Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian akan menempatkan guru-guru terbaik mengajar murid-murid tahun satu di bawah program Literasi dan Numerasi (LINUS) mulai sesi persekolahan tahun ini. “Dalam masa dua bulan ini, kita akan buat satu ujian di setiap bilik darjah bagi mengenal pasti murid yang lemah penguasaan dalam 3M. “Kita akan buat ujian-ujian tertentu yang sesuai untuk memperbaiki keadaan supaya mereka dapat menguasai 3M dalam tempoh tiga tahun mereka bersekolah,” katanya. Pada masa ini, kadar literasi di sekolah rendah adalah 87 peratus dan sasaran tahun ini menumpukan peningkatan tiga peratus iaitu kepada 90 peratus. Muhyiddin berkata, program LINUS itu salah satu daripada empat sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang akan diberi tumpuan khas oleh kementerian tahun ini.

TELEFON BOLEH HALANG PENYAKIT ALZHEIMER

SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA
TARIKH : 09 JANUARI 2010


WASHINGTON 7 Jan. - Berbual menggunakan telefon bimbit didapati baik untuk kesihatan kerana gelombang elektromagnet yang dipancarkan oleh peralatan komunikasi itu boleh melindungi dan menghalang penyakit Alzheimer, menurut penemuan satu kajian yang dijalankan ke atas tikus semalam. Sekumpulan penyelidik di Universiti South Florida mendedahkan 96 tikus, kebanyakannya telah diubah secara genetik untuk menghidap Alzheimer, kepada gelombang elektromagnet yang dipancarkan dari telefon bimbit buatan Amerika Syarikat (AS). Tikus-tikus itu didedahkan kepada gelombang elektromagnet dengan frekuensi 918 megaHertz sebanyak dua kali sehari, setiap satu sesi selama satu jam dalam tempoh tujuh hingga sembilan bulan iaitu bersamaan beberapa dekad pada manusia. Tikus lebih tua yang menghidap Alzheimer, pendedahan yang lama kepada medan elektromagnet menyebabkan perkumpulan beta-amyloid di bahagian otak, iaitu sejenis pecahan protein yang berkumpul di otak penghidap Alzheimer bagi membentuk tanda-tanda penyakit itu, yang kemudian dilaporkan hilang.

Kajian itu mendapati, masalah gangguan daya ingatan pada tikus yang lebih tua juga hilang sama sekali. Kajian sama menunjukkan, tikus muda tanpa tanda-tanda masalah daya ingatan, terlindung daripada penyakit Alzheimer selepas beberapa bulan didedahkan kepada gelombang telefon bimbit. Tahap ingatan tikus normal tanpa genetik yang cenderung mendapat penyakit Alzheimer pula, didapati meningkat selepas terdedah kepada gelombang elektromagnet. Kajian tersebut merupakan yang pertama meneliti kesan pendedahan jangka panjang terhadap pancaran elektromagnet di kalangan manusia atau tikus dan penemuannya amat mengejutkan para penyelidik. "Secara terus-terang, saya memulakan kajian ini beberapa tahun lalu dengan hipotesis bahawa medan elektromagnet daripada telefon bimbit mungkin merosakkan kesihatan tikus yang menghidap Alzheimer. "Setelah mendapati keputusan awalnya memberikan kesan yang baik, saya berfikir kami akan berikan masa yang lebih kerana gelombang itu mungkin akan memberi kesan buruk kepada tikus. "Tetapi ia tidak pernah berlaku. Kami terus mendapat keputusan yang memberi kesan baik pada tikus normal atau yang menghidap Alzheimer,'' kata ketua penyelidik Gary Arendash, seorang profesor di Universiti South Florida. - AFP