JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



11 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : TREND KEGANASAN BELIA VIETNAM


Tran Huy Hoang hanya terpaku kerana terkejut menonton visual empat remaja Vietnam menampar dan menendang seorang gadis yang melindungi dirinya menggunakan tangan. "Mengapa perbuatan pelajar perempuan ini terlalu menyamai samseng?" tanya Hoang, bapa kepada seorang gadis berusia 14 tahun. Dia berkata demikian sambil menyaksikan salah laku para pelajar perempuan berkenaan di klip video yang dirakam oleh seorang lagi remaja. Klip rakaman itu dimuat turun di laman web terkenal, YouTube. Para pelajar berkenaan bukan sahaja bertindak menampar dan menendang gadis malang itu, malah menarik baju T serta coli mangsa tersebut sehingga dia separuh bogel. Itu merupakan salah satu daripada beberapa klip yang menunjukkan keganasan para belia Vietnam hari ini. Video yang mengaibkan itu tersebar meluas di Internet sepanjang tahun lalu. Senario tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai peranan media dan keretakan nilai-nilai kekeluargaan dalam masyarakat yang terlalu pantas dikejar arus kemodenan.

"Nilai tradisi semakin terhakis manakala nilai-nilai baru tidak mencukupi bagi menggantikan yang lama," kata pakar pendidikan, Pham Toan, 80. Ahli-ahli sosiologi berkata, tiada statistik yang menunjukkan perkembangan mengenai isu keganasan, tetapi ia semakin meningkat mengikut perubahan sosial. Bagaimanapun, masalah tersebut tidak terbatas di Vietnam. "Kita perlu menerima hakikat bahawa trend keganasan belia sudah semakin popular," kata seorang profesor bidang kerja sosial di Vietnam National University, Hoang Ba Thinh. Beliau menambah, golongan muda Vietnam secara tradisi mempunyai perasaan hormat terhadap guru-guru, ibu bapa dan warga emas kerana itulah nilai-nilai Confucius. Mereka yang kaya dan miskin telah diajar mengenai nilai keringat berbanding wang, "Sekiranya sebutir beras terjatuh dari mangkuk ke lantai, orang tua dalam keluarga itu akan mengingatkan bahawa satu butir beras seumpama sebiji emas," tambahnya.

Kini, ibu bapa meluangkan masa bersama keluarga dengan lebih singkat kerana mengejar kemewahan. "Dalam masyarakat hari ini, rakyat hanya sibuk mengejar pendapatan dan membelanjakannya," katanya. Walaupun prinsip moral tradisional masih diajar di peringkat sekolah tetapi ia tidak diperkasa di rumah kerana ibu bapa menumpukan perhatian terhadap memperbaiki gaya hidup mereka sekali gus membuatkan golongan belia menjadi keliru. Selepas beberapa tahun dibelenggu kemiskinan berikutan penyatuan negara pada tahun 1975, komunis Vietnam telah mengguna pakai pasaran bebas di bawah reformasi ekonomi dikenali sebagai doi moi pada tahun 1986. Perlakuan ganas seperti bergaduh kerap berlaku dalam kalangan pelajar perempuan. Langkah tersebut telah menyaksikan kadar pertumbuhan ekonomi antara tertinggi di Asia dan pendapatan per kapita yang kini mencecah kira-kira AS$1,200 (RM3,650).

Dalam pada itu, pakar sosiologi, Trinh Hoa Binh, dari Institut Sosiologi menambah, ketika waktu perang dan tempoh kesukaran ekonomi rakyat lebih berperikemanusiaan, lebih ghairah serta sanggup berkongsi antara satu sama lain tatkala berdepan kesenangan ataupun kesukaran. Bagaimanapun katanya, rakyat pada hari ini dibebani kebimbangan untuk menyara kos hidup mereka. Sebagai contoh, kemalangan kecil melibatkan kereta mereka ataupun pandangan mencurigakan boleh mencetuskan keganasan. Ketika rakyat asing melihat Vietnam sebagai salah satu daripada negara paling selamat di Asia, penduduk tempatan pula mula bimbang dengan senario yang semakin menular di negara mereka. Manakan tidak, keganasan belia semakin menjadi tajuk hangat dalam laman berita dalam talian sepanjang tahun lepas di Vietnam iaitu hampir 20 peratus daripada 86 juta penduduk merupakan belia antara 15 hingga 24 tahun.

Dalam salah satu kes serius melibatkan belia, seorang budak lelaki berusia 15 tahun di bandar, Dalat Selatan ditikam sehingga mati oleh dua pelajar gred sembilan, lapor sebuah laman berita VNExpress. Bagaimanapun, motif pembunuhan tersebut masih belum diketahui. Menurut akhbar Lao Dong pula, terdapat kira-kira 1,600 kes keganasan dicatatkan sepanjang tahun 2009 hingga 2010 di dalam dan luar sekolah dikeluarkan Kementerian Pelajaran dan Latihan. Lebih daripada 2,400 pelajar ditegur berhubung tindakan mereka, manakala beratus lagi pelajar digantung sekolah buat sementara waktu. Masalah tersebut berpunca daripada kurangnya kemahiran pelajar menguasai ilmu kehidupan, tidak pandai mengawal diri dan mudah dipengaruhi filem ganas yang menyelesaikan sesuatu masalah melalui pergaduhan, jelas laporan itu. Kata Binh, dengan pengawasan yang lemah oleh ibu bapa, golongan belia terdedah kepada imej ganas berleluasa dalam media massa, permainan atas talian dan filem.

Vietnam juga kekurangan pertubuhan sosial yang berkesan untuk membantu menangani gejala berkenaan, kata Toan. "Saya rasa kini kami tinggal di dalam satu masyarakat yang tidak bertanggungjawab kerana orang ramai semakin berjauhan dengan komuniti dan aktiviti awam," katanya. Bagi seorang ibu, Luu Thi Mai, 36, pemerhatian ibu bapa yang betul merupakan jawapan kepada masalah tersebut. "Saya memberi dia jagaan terbaik yang diperlukannya malah, mengajar mengenai perkara betul dan salah. "Saya juga menghantar anak saya di sebuah sekolah yang baik dengan pelajar pintar," kata pegawai tersebut ketika menanti anak perempuannya di luar sekolah awam di Hanoi.







SUMBER :
RENCANA UTAMA
HARIAN KOSMO

ISU LUAR NEGARA : NEGARA KE-196 PADA PETA DUNIA IALAH SUDAN SELATAN


Barangkali agak kejam untuk mengklasifikasikan bahawa Republik Sudan adalah negara ketiga yang paling mengerikan untuk dilawati. Sudan juga signifikan dengan perang saudara. Ia juga sinonim dengan kedaifan, kelaparan dan kematian. Pangkalan utama kumpulan pemberontak dunia juga dipercayai bertapak di sini. Osama Laden dikatakan telah beroperasi selama lima tahun di Sudan. Imej negara ini sangat gelap. Pelancong juga tidak ada hati untuk singgah. Wartawan agensi antarabangsa kaget apabila dihantar membuat liputan. Bagi tentera beragama Islam, bertugas di bumi Sudan dianggap sebagai satu jihad. Hampir setengah abad, 48 juta rakyat republik ini menderita. Selepas berjaya keluar daripada cengkaman British dan mencapai kemerdekaan pada tahun 1956, pergolakan menjadi bertambah rumit. Sungguh malang apabila sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak mentah menjadi negara yang paling miskin di Afrika.

Setelah lama bergelut, akhirnya Isnin lalu, atas permintaan rakyatnya, Sudan terbahagi kepada dua. Secara rasminya, sebuah negara baru yang dinamakan Sudan Selatan diisytiharkan merdeka sekali gus akan terangkum dalam peta dunia. Dengan itu, Sudan Selatan akan menjadi negara ke-196 jika kiraan mengambil kira Republik Taiwan yang masih belum mendapat pengiktirafan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS). Atas nama rakyat (AS), saya mengucapkan selamat kepada rakyat Sudan Selatan kerana referendum yang akhirnya memihak kepada wilayah ini merdeka. “Saya secara rasminya mengiktiraf Sudan Selatan sebuah negara berdaulat dan merdeka pada Julai 2011,” kata Presiden AS, Barack Obama kepada Reuters. Referendum atau pungutan suara yang dijalankan pada 9 hingga 15 Januari lalu diadakan kesan daripada Perjanjian Navaisha antara Khartoum (kerajaan Sudan) dengan Tentera Pembebasan Rakyat Sudan (SPLA).

Memetik laporan The Telegraph UK pula, Presiden Sudan, Omar Hasan Ahmad al-Bashir atau Omar al-Bashir berkata, pihaknya menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana itu pilihan rakyat di wilayah itu. Di tanah tumpah darahnya sendiri, Presiden itu dianggap sebagai pemimpin yang serba lemah dan menyokong keganasan. Konflik antara wilayah Sudan Utara dan Sudan Selatan yang dipicu oleh pertikaian minyak di Blok 5A (di Sudan Selatan), ideologi dan perbezaan etnik telah menjadikan republik itu umpama padang jarak padang tekukur. Secara keseluruhannya, pecahan etnik di Sudan terbahagi kepada 52 peratus berkulit hitam, 39 peratus Arab, enam peratus Beja sementara bakinya adalah orang luar. Presiden Omar al-Bashir (kiri) menerima keputusan rakyat Sudan Selatan untuk berpisah daripada Sudan Utara dengan hati terbuka. Menyusuri fakta negara paling terbesar di benua Afrika ini, Sudan Utara dihuni oleh penduduk berketurunan Arab yang beragama Islam.

Wilayah selatannya dihuni oleh majoriti penduduk Kristian yang masih berpaksikan kepada fahaman animisme. Selepas satu dekad Perang Saudara Sudan Pertama (1955-1972) yang melibatkan dua wilayah ini berakhir, 11 tahun kemudian iaitu pada tahun 1983, Perang Saudara Sudan Ledakan bom bertubi-tubi dan bunyi tembakan yang bertalu-talu bergema tidak kira siang atau malam. Perang sekali lagi mendominasi negara ini selepas Presiden Sudan ketika itu, Jaafar Muhammad An-Numeiri menggariskan Piagam Sudan. Piagam itu adalah berteraskan landasan Islam seratus peratus dan mengetepikan hak bukan Islam. Ramai yang panas hati terutama kepada penduduk wilayah Selatan yang beragama Kristian. Akhirnya, perjanjian damai komprehensif atau Perjanjian Navaisha dimeterai di Nairobi, Kenya pada 2005 dan kerajaan Sudan bersetuju mengadakan referendum yang berteraskan dua perkara.

Yang pertama, menentukan pemisahan antara utara dan selatan Sudan. Sementara yang kedua, menentukan wilayah mana yang akan menguasai Abyei yang kaya dengan sumber minyak. Memasuki penamat abad ke-21, perang saudara dilihat makin reda. Namun, dunia dikejutkan dengan konflik di Darfur, barat Sudan pula. Berbeza dengan perang sebelum ini, konflik itu merujuk kepada pergaduhan sesama penduduk Islam berlainan etnik antara suku kaum Afrika dengan penduduk keturunan Arab. Pada awalnya, puak-puak ini hanya berebut sumber asli tetapi akhirnya berubah menjadi isu politik. Sengketa yang memuncak pada tahun 2003 dikatakan bermula apabila militan Arab Badwi, Janjaweed yang dirujuk sebagai tentera Mahdi, muncul. Kumpulan ini dikatakan mendapat sokongan penuh daripada Omar al-Bashir yang menentang SPLA. Antara pemimpin paling menonjol dalam SPLA ialah oleh mendiang Kolonel John Garang. Bagaimanapun, cakap-cakap politik mengatakan AS dan Israel adalah dalang di sebalik perang ini.

Peperangan memang merugikan. Ia hampir meranapkan keseluruhan Sudan yang berkeluasan 2.5 juta kilometer persegi itu. Mengikut data daripada PBB, 40 peratus rakyat Sudan hidup dalam kedaifan dan 18 peratus daripadanya hidup menganggur. Hanya 15 peratus penduduknya boleh membaca dan dua peratus sahaja tamat sekolah rendah. Pemandangan kanak-kanak atau wanita memegang senjata adalah lumrah di sana. Gejolak Sudan begitu parah. PBB turut melaporkan lebih 300,000 terkorban sementara 2.7 juta penduduk Sudan hilang tempat tinggal dan tempat-tempat awam hancur sama sekali. Konflik Darfur menambahkan lagi sengsara yang ditanggung. Kira-kira 2.5 juta penduduk menjadi pelarian, 4 juta diancam kebuluran dan penyakit sementara 200,000 nyawa melayang. Tambah menyayat hati, ribuan wanita dicabul atau dijadikan pelacur dan kanak-kanak diseksa dengan zalim. Angka kematian dalam perang ini merupakan salah satu yang terbesar selepas Perang Dunia Kedua.

Untuk perang Darfur ini juga, Setiausaha Asun PBB, Ban Ki Moon berkata, pihaknya telah menanggung kos sebanyak AS$2 bilion (RM6.2 bilion) bagi operasi pertama pasukan pengamannya. Jika kita melihat haru-biru di Mesir sungguh menakutkan, momentum yang dirasai di Sudan lebih hebat. Demonstrasi di sana sini. Hampir setiap hari mahasiswa di wilayah Khartoum dan Gezira menentang kenaikan harga barang yang melampau. Satu kajian menunjukkan jika perbalahan masih tidak berpenghujung selama 10 tahun lagi, Sudan diramal akan kerugian sebanyak lebih RM300 bilion. Pada 7 Februari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Referendum Sudan Selatan, Mohammed Ibrahim Khalil menyerahkan hasil referendum kepada Omar al-Bashir dalam satu majlis bersejarah di ibu kota Khartoum. Turut hadir ialah pemimpin Sudan Selatan, Salva Kiir. Sudan Selatan diumumkan merdeka sepenuhnya pada 9 Julai ini. Juba dijadikan ibu kota negara baru dunia itu. Bagi pemerhati politik, keputusan pemisahan antara utara dan selatan Sudan sudah diduga.

Kanak-kanak Sudan Selatan yang selama ini terjejas akibat perang saudara dijangka dapat kembali ke sekolah seperti biasa. Alasannya mudah, di utara dan selatan negara itu masing-masing mempunyai pegangan agama dan jati diri yang berbeza. Keputusan untuk membawa haluan sendiri adalah jalan yang terbaik. Memetik laporan Reuters, kemerdekaan yang diperoleh Sudan Selatan telah mendorongnya mempertimbangkan untuk bergabung dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dalam usaha mendakwa Omar al-Bashir yang melakukan jenayah perang di Darfur. Pembinaan kepada sebuah negara baru memang bukan kerja mudah. Lihat saja negara yang baru merdeka seperti Kosovo dan Timor Leste. Mereka masih merangkak. Bagi Sudan Selatan juga, banyak perkara perlu diselesaikan. Mereka sedang memikirkan mata wang sendiri, lagu dan juga bendera kebangsaan. Pekerja mereka yang selama ini menetap di kontena perlu dipindahkan. Begitu juga dengan jaringan jalan raya yang sangat teruk.

Baru-baru ini, pejabat Kementerian Perumahan Sudan mengusulkan satu usul luar biasa iaitu mahu meletakkan 10 ibu kota di Sudan Selatan dalam bentuk haiwan seperti badak dan zirafah dalam petanya. Ia juga masih di peringkat cadangan. Kedua-dua blok itu juga masih belum memutuskan bagaimana menyelaraskan masalah ekonomi termasuk pembahagian kekayaan sumber bumi. Sebelum ini, sebahagian daripada 98 peratus hasil minyak di Sudan Selatan diproduksikan di wilayah itu tetapi proses disuling dan diurus dijalankan oleh Sudan. Barangkali ia bakal diubah. Adakah Sudan Selatan yang dihuni majoriti penduduk Kristian akan membuat hubungan diplomatik dengan Israel? Jawapannya juga akan diketahui kelak. Meskipun Omar al-Bashir kelihatan sedikit kecewa dengan keputusan referendum, beliau tetap berharap Sudan Selatan yang baru merdeka itu akan terus menjadi sahabat baiknya. Dengan pengumuman Sudan Selatan sebagai sebuah negara berdaulat, maka, secara rasminya, nama Sudan digugurkan daripada daftar negara yang menaja keganasan. Anak-anak Sudan diharap juga dapat kembali ke sekolah semula seperti kanak-kanak lain.


Oleh
MAZLINA ABDUL MAJID

SUMBER
HARIAN KOSMO
11 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : TRANSFORMASI PEMBIAYAAN DUNIA AKADEMIK



Dalam hampir semua peradaban, komuniti ilmu dan sarjana sering mendapat layanan istimewa. Institusi dan kos pengajian disediakan. Malah biaya penyelidikan ditaja. Tidak salah rasanya jika dirumuskan bahawa dalam semua peradaban, kesarjanaan mempunyai kedudukan tinggi dalam masyarakat sebagai institusi penggerak minda, pembangun insaniah dan penyuluh zaman. Itulah justifikasi kebanyakan sarjana dibiaya sepanjang pembabitan dalam dunia ilmu bermula dari proses pembelajaran sehinggalah akhirnya sampai pada tahap tertinggi dari segi pengembangan idea, pengajaran, penyelidikan dan penulisan. Justeru, dalam konteks moden, dunia kesarjanaan masih sinonim dengan layanan istimewa, pelaburan besar dan penajaan, khususnya dari kerajaan dan dermawan. Memang dunia kesarjanaan penuh keanehan. Dalam keghairahan sarjana menekuni pelbagai disiplin ilmu, tidak ramai prihatin terhadap kerangka kewangan institusi ilmu.

Apabila berbicara mengenai pengurusan, sarjana biasanya melihat ke luar dengan mengemukakan pelbagai teori mengenai pengurusan organisasi swasta dan awam; jarang sekali mengenai institusi pengajian tinggi. Apabila membahaskan mengenai model kewangan, mereka mendefinisikan pelbagai sistem dari Wall Street sehinggalah sukuk; jarang sekali mengenai kaedah untuk menampung program kesarjanaan.  Realitinya, dengan ratusan pakar dalam pelbagai subdisiplin ekonomi di universiti tempatan, mereka masih mengharapkan geran dan pelbagai bentuk subsidi untuk melengkapkan peralatan komputer di makmal fakulti. Malah di kalangan selebriti penerima Anugerah Nobel masih bergantung kepada sumbangan geran untuk menaja penyelidikan dan menampung kos aktiviti kesarjanaan.  Barangkali sudah menjadi resam dalam dunia kesarjanaan moden bahawa ahli akademik yang tersohor dan dianggap cemerlang adalah di kalangan mereka yang paling berjaya mendapat geran penyelidikan paling lumayan.

Dengan kata lain, paling banyak mendapat ihsan dan bantuan pihak lain!  Itulah keanehan dunia akademia. Hal ini tidak terhad kepada universiti awam tempatan, malah di serata dunia. Sejak saya menjadi Naib Canselor UTM pada akhir 2008, persoalan ini sering ‘menghantui’ fikiran saya. Ini semakin ketara berikutan langkah kerajaan seluruh dunia mengurangkan defisit kewangan yang turut membabitkan pengurangan peruntukan kepada universiti dan aktiviti kesarjanaan.  Pada hemat saya, komuniti ilmu perlu mencari perspektif dan kerangka baru dari segi kewangan. Secara idealnya, institusi ilmu terutama universiti seharusnya menjadi model kepada sistem kewangan moden. Hal ini perlu membabitkan inovasi dalam semua aspek, termasuk kos operasi dan pembiayaan program kesarjanaan. Pada hemat saya, kerangka kewangan pengajian tinggi dan pembangunan kesarjanaan boleh ditransformasi terhadap empat komponen utama, iaitu pembiayaan pengajian, emolumen, penyelidikan dan prasarana.

Dalam konteks Malaysia, sebahagian sudah dirangka menerusi Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara menerusi dasar autonomi.  Sehubungan itu pada 2 Februari lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin, melancarkan Biasiswa Endowmen UTM yang menyediakan peluang kepada 100 mahasiswa terbaik mengikuti pengajian peringkat sarjana muda di UTM pada sesi akademik 2011/12. Biasiswa RM10,000 setahun untuk setiap penerima itu ditaja menerusi dana Endowmen UTM yang ditubuhkan pada 2010. Dijangka menjelang 2020, semua mahasiswa ijazah sarjana muda akan mendapat pembiayaan Biasiswa Endowmen.  Biasiswa Endowmen UTM bukan sekadar kemudahan penajaan pengajian malah satu inisiatif dalam kerangka untuk mentransformasi pembiayaan pengajian tinggi di Malaysia. Biasiswa Endowmen juga adalah komitmen warga akademia untuk turut menyumbang dan mewarnakan dunia kesarjanaan menerusi sumbangan pelbagai pihak untuk menyemarakkan kesarjanaan di Malaysia.

Secara tidak langsung akan mengurangkan pergantungan kepada Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN). Selain penyediaan biasiswa, dana Endowmen UTM juga akan menaja kursi profesor, menyediakan kemudahan prasarana terbaik untuk pembelajaran dan pengajaran, dan dana penyelidikan berimpak tinggi. Pada suatu tahap nanti, menjelang 2020, dana Endowmen menyumbang lebih 10 peratus daripada kos operasi universiti.  Hal ini bukan suatu khayalan. Dalam sejarah banyak universiti ternama dan tidak begitu ternama, endowmen adalah mekanisme utama pembiayaan pengajian tinggi. Universiti Al-Azhar di Mesir adalah contoh terbaik. Model ini juga dilaksanakan di Harvard, Yale, Princeton dan MIT. Selain itu, banyak sumber kewangan lain dapat dijana menerusi pelbagai aktiviti berkaitan pengajian tinggi seperti komersialisasi harta intelek, pelaburan strategi dan penyediaan kemudahan prasarana.

Ringkasnya, untuk terus memacu kesarjanaan dan institusi pengajian tinggi negara, maka pergantungan kepada geran dan sumbangan pihak kerajaan perlu dikurangkan. Pengurangan ini tidak bermakna kerajaan boleh lepas tangan untuk tidak lagi berpartisipasi dalam pembiayaan pengajian tinggi, sebaliknya menyediakan ekosistem lebih mantap bagi menyemarakkan kesarjanaan. Pembabitan pelbagai pihak untuk menyediakan dana pelbagai program dan komuniti ilmu menandakan komitmen seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama memartabatkan kesarjanaan.

Oleh :
Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia
Pengerusi Akademia bagi Program Agenda Kritikal Pengajian Tinggi

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : BERSAMA MENDIDIK ANAK BANGSA


Syukur dan tahmid ke hadrat Allah SWT serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kita bersyukur kerana pada pagi ini kita sekali lagi diberikan kesempatan untuk menghadiri perhimpunan yang amat bermakna buat kita semua. Perhimpunan ini bukan sahaja melambangkan kebersamaan kita dalam mendidik anak bangsa, malah mencerminkan kesatuan hati kita untuk melaksanakan amanah yang murni ini dengan sebaik mungkin. Pertamanya, saya ingin mengucapkan selamat memulakan tugas kepada guru-guru yang baru melangkah ke alam perguruan pada tahun ini. Di sinilah bermulanya perjuangan anda untuk mendidik anak bangsa dan mencorak masa depan negara. Memang benar, amanah yang bakal digalas adalah besar dan tugas yang menanti anda semua amat mencabar. Namun saya yakin dengan segala latihan yang diberikan dan sokongan yang bakal diterima, anda mampu untuk melaksanakan tugas ini dengan baik. Tidak lupa juga kepada guru-guru yang pernah mendidik kita.

Marilah kita kalungkan setinggi-tinggi penghargaan di atas jasa dan bakti mereka yang terus terpahat di sanubari kita. Bak kata orang, sekali menjadi guru, selamanya dikenang sebagai guru. Bahkan, hingga ke akhirnya dipanggil cikgu, curahan budinya diingat selalu. Seperti nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Uthman Awang:

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat cikgu kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat

Berada bersama dengan guru-guru pada pagi ini mengingatkan saya kepada kata-kata seorang guru yang pernah saya dengar. Bahawa dalam dunia ini, terdapat dua insan yang benar-benar gembira melihat kita berjaya. Pertamanya, ibu bapa kita; keduanya, guru-guru kita. Kita biasa melihat di kaca televisyen, di dada akhbar, atau mengalaminya sendiri di sekolah. Sebaik-baik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan, yang menitiskan air mata gembira melihat seorang murid berjaya adalah guru. Malah, banyak kisah kejayaan peribadi yang bermula dari sentuhan keramat seorang guru. Daripada anak seorang petani, menjadi Naib Canselor universiti. Daripada anak seorang buruh ladang, menjadi peguam yang terkenal. Daripada anak seorang penjaja, menjadi usahawan yang berjaya. Semua keajaiban ini tidak akan berlaku tanpa suluhan ilmu seorang guru. Maka, pastinya juga kejayaan anak-anak kita di hari esok bergantung kepada keikhlasan guru-guru hari ini memberikan pendidikan yang terbaik kepada mereka.

CABARAN BARU DUNIA PENDIDIKAN

Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, persaingan bukan lagi bersifat lokal tetapi global. Jika kita ingin menjadi sebuah negara maju, sebuah negara yang kompetitif di peringkat antarabangsa, modal insan yang kita lahirkan melalui institusi sekolah kita mestilah mampu untuk menjadi pesaing global. Maka kualiti pendidikan kita juga mestilah dinilai berdasarkan penanda aras antarabangsa. Pencapaian murid kita dalam mata pelajaran kritikal seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris mesti ditingkatkan sehingga mengatasi penanda aras antarabangsa. Begitu juga dengan pendidikan teknik dan vokasional yang seharusnya menjadi pemangkin kepada pembinaan modal insan berkemahiran tinggi. 


Perluasan pendidikan teknik dan vokasional harus berlaku secara drastik untuk menampung keperluan tenaga mahir negara yang semakin meningkat. Semua ini adalah penting dalam usaha kita untuk melonjakkan kemajuan negara dalam suasana persaingan global yang semakin sengit. Pendek kata, sektor pendidikan berada di barisan hadapan dalam memastikan cita-cita Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi menjelang 2020 menjadi realiti. Dalam upaya kita untuk menjadi sebuah negara maju, guru-guru berada di barisan paling hadapan dalam membina modal insan yang akan memacu kemajuan negara kita. Dalam hal ini, pendidikan merupakan landasan utama yang akan menentukan masa depan negara. Kukuh landasan ini, maka cerahlah peluang kita untuk mencipta masa depan yang lebih gemilang.

KOMITMEN GURU

Walaupun cabaran yang dihadapi oleh guru-guru hari ini adalah berbeza daripada apa yang ditempuhi oleh guru-guru dahulu, kunci kepada kemampuan kita untuk menjadi sebuah negara yang berjaya tetap sama. Kuncinya ialah keikhlasan guru, dedikasi guru dan kesungguhan guru untuk menggilap potensi setiap murid sehingga mereka menjadi insan yang berjaya. Alhamdulillah, berkat semangat, usaha dan dedikasi guru-guru, kita telah berjaya mencatat peningkatan yang memberangsangkan dalam keputusan peperiksaan-peperiksaan awam pada tahun lalu. Keputusan UPSR 2010 adalah yang terbaik dalam tempoh empat tahun. Kita juga bersyukur di atas peningkatan yang dicapai dalam keputusan PMR. 


Peratusan pelajar yang memperolehi semua A meningkat dari 9.51 peratus pada tahun 2009 kepada 10.21 peratus pada tahun lalu. Di sebalik angka-angka positif ini, tersirat seribu satu cerita pengorbanan dan ketabahan guru-guru. Misalnya, di Sekolah Kebangsaan Bebangan, sebuah sekolah kecil dalam daerah Kapit di Sarawak. Guru-guru, dengan bantuan pembantu murid dan warden asrama, memulakan kelas ulang kaji seawal jam 5 pagi pada setiap hari persekolahan. Walaupun jam 5 pagi adalah di luar waktu bertugas biasa, tetapi oleh kerana guru-guru percaya awal pagi adalah waktu yang terbaik untuk murid memahami dan mengingati apa yang dipelajari, mereka tetap hadir lebih awal ke sekolah untuk membimbing murid. Bagi saya, ini adalah contoh pengorbanan guru yang luar biasa. Barangkali, tidak ramai yang sanggup melakukan pengorbanan seperti itu. 


Namun, hakikatnya ada di kalangan guru-guru kita yang sanggup melakukannya. Pengorbanannya luar biasa, hasilnya pun luar biasa. Sekolah Kebangsaan Bebangan telah berjaya melonjakkan kedudukannya daripada berada dalam Band 3 pada tahun 2009, kepada Band 2 pada tahun 2010. Lonjakan yang dihasilkan hanya dalam tempoh satu tahun bagi sebuah sekolah kecil di luar bandar ini adalah sesuatu yang memberangsangkan. Untuk itu, saya mengucapkan syabas kepada Cikgu Juan a/k Jugah, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bebangan, dan semua guru serta kakitangan sekolah ini. Saya percaya setiap sekolah mempunyai cerita pengorbanan dan kejayaan masing-masing. Di sebalik kejayaan setiap pelajar, terdapat sentuhan keramat wira dan serikandi kita yang tidak didendangkan (our unsung heroes). Sekiranya kisah-kisah pengorbanan dan kejayaan mereka dihimpunkan dan wira serta serikandi kita diberikan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, saya percaya seluruh warga guru akan mendapat suntikan semangat yang segar untuk melakukan yang terbaik demi memastikan kejayaan setiap murid.

TAWARAN BARU (BAI'AH)

Perkara ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkauan. Tahun lalu saya umumkan Tawaran Baru (Bai'ah) untuk pengetua dan guru besar sebagai salah satu daripada inisiatif di bawah NKRA Pendidikan. Kita tetapkan mana-mana sekolah yang berjaya melepasi sasaran tertentu, guru besar dan guru-gurunya akan menerima ganjaran kewangan. Ganjaran kewangan berasaskan prestasi ini adalah satu perkara baru yang tidak pernah dilaksanakan dalam perkhidmatan awam di negara kita sebelum ini. Tetapi kita percaya, Tawaran Baru adalah satu idea berani yang sekiranya dilaksanakan secara telus dan adil akan menjadi dorongan paling berharga buat guru-guru untuk meningkatkan prestasi kerja masing-masing. Pada awalnya, kita sasarkan dua peratus guru besar dan pengetua akan berjaya melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan. 


Ini adalah satu jangkaan konservatif yang dibuat dengan mengambil kira kelaziman dalam trend lonjakan prestasi sekolah. Hendak seribu daya, Tawaran Baru yang kita umumkan telah memberi suntikan semangat dan dorongan yang kuat kepada guru-guru kita untuk meningkatkan prestasi sekolah masing-masing. Buktinya, setahun selepas Tawaran Baru diumumkan, kita dapati jumlah guru besar yang berjaya memimpin sekolah untuk melepasi sasaran prestasi yang ditetapkan adalah di luar jangkaan. Bukan lagi dua peratus seperti yang disasarkan, tetapi 12.1 peratus, iaitu pertambahan sebanyak 600 peratus daripada jangkaan asal. Jemaah Nazir sedang membuat pengesahan mengenai prestasi 924 orang guru besar yang telah disenarai pendek. Insya-Allah, saya akan umumkan senarai guru-guru besar yang layak menerima ganjaran dalam masa terdekat. 


Sebagai tanda penghargaan kita, guru-guru yang bersama-sama berusaha untuk melonjakkan prestasi sekolah juga akan turut menerima ganjaran seperti yang telah dijanjikan. Setiap guru besar yang layak akan menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru yang paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan selebihnya RM900 seorang. Senarai Pengetua dan guru-guru sekolah menengah yang layak menerima ganjaran di bawah Tawaran Baru ini akan saya umumkan pada pertengahan tahun ini. Apakah maknanya ini kepada kita semua? Bagi saya, guru-guru kita, dengan adanya dorongan, pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya, mereka boleh melakukan yang terbaik. Telah pun terbukti, prestasi guru-guru terbaik kita bukan sahaja memberangsangkan, malah luar biasa. Syabas saya ucapkan!

SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI

Satu lagi inisiatif di bawah NKRA Pendidikan ialah mengenal pasti dan memberi pengiktirafan kepada Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun lalu, kita telah umumkan 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi. Pada tahun ini, 30 buah sekolah lagi yang memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Namun, dalam melaksanakan program SBT ini, apa yang penting bukan jumlah sekolah yang mendapat pengiktirafan. Tetapi apakah impak sekolah ke atas pembelajaran murid dan bagaimanakah sekolah-sekolah ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan sekolah-sekolah lain. Hal ini tidak mustahil untuk dicapai. Sekolah Kebangsaan Brinchang, Cameron Highlands, hari ini telah menempa beberapa kejayaan hasil pelbagai usaha sama yang dijalin dengan Sekolah Kebangsaan Convent Kota Taiping yang merupakan salah sebuah sekolah berprestasi tinggi. 


Guru-guru kedua-dua sekolah terlibat secara bersama dalam panitia mata pelajaran yang dibentuk khusus untuk berkongsi idea tentang cara bagaimana untuk meningkatkan prestasi murid. Hasilnya, dalam peperiksaan UPSR tahun lalu, pertama kali dalam sejarah Sekolah Kebangsaan Berinchang, semua murid lulus matapelajaran Sains dan 95.5 peratus murid lulus mata pelajaran Matematik. Ini adalah contoh satu usaha yang mudah, tetapi amat berkesan untuk meningkatkan pencapaian murid. Tahniah saya ucapkan kepada warga kedua-dua sekolah ini. Melangkah ke hadapan, antara aspek yang perlu ditekankan oleh SBT ialah inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran. Autonomi yang diberikan kepada sekolah-sekolah ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menjana daya kreativiti guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang paling efektif. 


Kita ingin lihat idea-idea yang lebih berani dan segar untuk meningkatkan pencapaian murid muncul dari sekolah-sekolah berprestasi tinggi. Dalam hubungan ini, jadikan sekolah berprestasi tinggi sebagai makmal idea-idea kreatif pengajaran dan pembelajaran yang boleh dilaksanakan di dalam bilik darjah. Ini kerana matlamat akhir SBT bukan sekadar memberi pengiktirafan terhadap kecemerlangan sekolah, tetapi memastikan kecemerlangan sekolah dapat memberi impak yang positif ke atas pencapaian setiap murid. Di samping program SBT, Kementerian Pelajaran juga merintis kerjasama dengan Khazanah Nasional Bhd. melalui Yayasan Amir, iaitu sebuah badan bukan keuntungan, untuk menjayakan program Sekolah Amanah. Pada peringkat awal ini kita telah memilih 10 buah sekolah untuk dijadikan Sekolah Amanah, di mana pihak Khazanah Nasional telah memberi komitmen untuk membantu sekolah-sekolah ini meningkatkan pencapaian. Dengan adanya kerjasama awam-swasta ini, kita yakin tahap pencapaian sekolah-sekolah di negara kita akan dapat dilonjakkan lagi agar setanding dengan pencapaian sekolah-sekolah cemerlang di peringkat antarabangsa.


PROGRAM PEMBANGUNAN SEKOLAH

Dalam usaha kita untuk melonjakkan prestasi semua sekolah, kita sedar bahawa padang tidak selalunya rata. Ada sekolah yang sudah sedia cemerlang, tetapi banyak juga sekolah yang masih bergelumang dengan pelbagai kekangan untuk berjaya. Pada masa yang sama kita sedar bahawa tugas kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya. Walau apa pun latar keturunan mereka, walau di mana mereka berada, kejayaan mereka adalah tanggungjawab kita. Pastinya, impian seorang anak kecil di Sekolah Kebangsaan Balar di Gua Musang, Kelantan adalah sama nilainya dengan cita-cita seorang murid di Sekolah Kebangsaan Bukit Damansara di Kuala Lumpur. Seorang nun jauh di pedalaman, seorang lagi di tengah-tengah ibu kota. Seorang dengan serba-serbi kekurangan, manakala seorang lagi dengan segala kemudahan.


Keutamaan kita pastinya ialah untuk memastikan impian kedua-dua anak kecil ini dapat dicapai. Dalam menghadapi realiti ketiadaan padang yang sama rata, pendekatan kita mestilah berbeza. Zaman menggunakan pendekatan yang sama untuk menyelesaikan permasalahan yang berbeza telah berakhir. Untuk itu, kita telah memperkenalkan Program Pembangunan Sekolah. Di bawah program ini, lebih 160 orang jurulatih yang terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, pensyarah Institut Aminuddin Baki, pensyarah Institut Pendidikan Guru, Pengetua Cemerlang dan Guru Cemerlang telah dilantik untuk membimbing sekolah-sekolah berprestasi rendah. Sekolah-sekolah sasaran adalah yang berada dalam Band 6 dan Band 7, iaitu dua kumpulan terendah dalam senarai penarafan sekolah di negara kita.

Alhamdulillah, pendekatan secara bimbingan ini telah membuahkan hasil. Kita telah berjaya mengurangkan jumlah sekolah rendah yang berada dalam Band 6 dan Band 7 daripada 209 buah pada 2009 kepada 140 buah pada tahun 2010. Sebanyak 88 buah sekolah yang dahulunya berprestasi rendah kini telah berjaya meningkatkan prestasi masing-masing. Menariknya, 83 daripada 88 buah sekolah ini adalah sekolah-sekolah di luar bandar. Syabas saya ucapkan kepada Cikgu Jama a/k Rigong, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tampak di Sabah, Cikgu Subramaniam a/l Chellapan Guru Besar SJKT Ladang Dublin 7 di Kedah, Cikgu Ng Yong Liang, Guru Besar SJKC Kheng Chee di Pahang dan semua guru-guru besar yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah masing-masing. Jelasnya, Program Pembangunan Sekolah ini telah terbukti berjaya membantu sekolah-sekolah berprestasi rendah untuk meningkatkan pencapaian murid. Melalui proses bimbingan secara berterusan, kita telah berjaya mengatasi beberapa kekangan yang dihadapi oleh pihak sekolah. Misi kita ialah untuk memastikan setiap murid berjaya mencapai impian masing-masing.

PROGRAM LITERASI DAN NUMERASI

Kita juga menekankan tentang penguasaan literasi dan numerasi murid di peringkat awal persekolahan. Penguasaan kedua-dua kemahiran ini di peringkat awal adalah penting untuk memastikan murid tidak mengalami kesukaran mengikuti pelajaran apabila umur mereka semakin meningkat. Justeru, sebarang masalah berkaitan dengan penguasaan literasi dan numerasi perlu dikenal pasti dan diatasi segera. Untuk itu kita telah memperkenalkan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) di bawah NKRA Pendidikan. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan program ini, kita telah dapat mengenal pasti tahap kemahiran literasi dan numerasi murid dan melakukan usaha intervensi untuk membantu murid-murid yang gagal menguasainya. Berdasarkan keputusan saringan ketiga LINUS yang dilaksanakan pada bulan November 2010, 85 peratus murid Tahun 1 telah menguasai literasi dan 91 peratus menguasai numerasi. Kita percaya dengan usaha-usaha intervensi secara berterusan, tahap penguasaan literasi dan numerasi murid akan dapat dipertingkatkan.

PEMBIMBING INSAN, PEMBINA NEGARA

Dalam keghairahan kita untuk membina modal insan, jangan kita lupa tentang satu lagi matlamat utama pendidikan, iaitu untuk membangun jiwa insan. Guru-guru, seperti juga ibu bapa, adalah pembimbing dan pengasuh jiwa murid. Tugas guru bukan sekadar mencurahkan ilmu, tetapi menyuntik nilai dan makna yang murni ke dalam sanubari murid. Pastinya, pendidikan yang disulami dengan asuhan budi dan pekerti yang mulia adalah sesempurna pendidikan. Guru juga adalah pembina negara bangsa. Dalam perlumbaan kita untuk menjadi sebuah negara maju, harus kita ingat bahawa masyarakat maju yang ingin kita cipta haruslah berakar kepada nilai, budaya dan jati diri yang utuh. Untuk itu, anak-anak kita perlu diasuh supaya memahami dan menghargai susur-galur sejarah pembinaan negara kita. Bagaimana generasi terdahulu melakukan pelbagai pengorbanan untuk membina sebuah negara yang bebas dan merdeka. Bagaimana masyarakat pelbagai kaum di negara kita telah menerima antara satu sama lain sebagai saudara sewarganegara. Ini adalah antara rekod pencapaian kita yang penting dalam usaha membina sebuah negara bangsa yang bersatu padu.

Justeru, saya ingin menegaskan bahawa pengkisahan tentang sejarah pembinaan negara kita mesti disampaikan kepada murid secara jujur. Oleh sebab itu, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Mengkaji Kurikulum Sejarah yang akan mengesyorkan kepada kerajaan cadangan-cadangan untuk menambahbaik kandungan kurikulum serta pengajaran dan pembelajaran sejarah di sekolah. Tujuannya ialah supaya pembelajaran sejarah dapat melahirkan warganegara yang benar-benar memahami sejarah, bersifat patriotik dan mempunyai jatidiri yang kukuh. Hakikatnya, guru-guru menggalas tanggungjawab yang amat besar. Di bahu guru terletak amanah membangun jiwa manusia dan membina negara bangsa. Bukan calang-calang insan yang sanggup memikul tugas berat ini. Namun, saya percaya, guru-guru yang berada di hadapan saya pada hari ini memilih kerjaya guru kerana anda semua berjiwa guru. Sebagai seorang yang berjiwa guru, tugas ini sudah pasti akan digalas dengan penuh keikhlasan dan kesedaran. Jadikanlah keikhlasan guru dan keberkatan ilmu yang disampaikan sebagai sumber kekuatan kita untuk bersama-sama mencipta sebuah negara bangsa yang berjaya.


SUMBER 
UTUSAN MALAYSIA
11 FEBRUARI 2011