JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 Januari 2011

ISU PENDIDIKAN : PENGURUSAN BAKAT, PERANAN MASA DEPAN IPT



Ketika Datuk Seri Najib Razak, membentangkan Bajet 2011 di Parlimen, satu perkara yang disentuh ialah keperluan menyuburkan bakat bagi meningkatkan keupayaan sumber manusia menyahut cabaran Model Baru Ekonomi (MBE). Mengenal, membangun dan mengurus bakat adalah faktor kejayaan asas bagi merealisasikan hasrat pembangunan ekonomi berasaskan ilmu dan teknologi tinggi. Malaysia adalah negara yang baru membangun. Kita tidak memiliki tradisi penyelidikan untuk membangun industri. Sebahagian besar industri negara bergantung kepada teknologi dan kepakaran asing. Walaupun usaha menyediakan ‘asas pembangunan teknologi tempatan’ sudah bermula sejak awal 1980-an melalui galakan penyelidikan dan pertumbuhan industri kecil dan sederhana, penerapan keupayaan membina teknologi tinggi masih terbatas. Pusat penyelidikan berasaskan pembangunan industri masih belum mampu membangun teknologi tempatan berimpak tinggi.Ringkasnya, di Malaysia bakat dalam konteks transformasi ilmu ialah ilmuwan dan penyelidik berkaliber yang umumnya terkumpul di institusi pengajian tinggi (IPT). Mereka mempunyai tugasan asas sebagai pendidik untuk pembangun sumber manusia berilmu.


Pada masa sama, mereka diperlukan untuk menjalankan penyelidikan fundamental bagi meneroka ilmu baru. Hasil penyelidikan perlu diterbitkan untuk dikongsi bersama rakan sejawat. Masyarakat juga mengharapkan mereka menjadi ‘intelek awam’ untuk menyumbangkan idea dan pandangan demi kepentingan masyarakat. Ramai yang berbakat di IPT masih kurang menyerlah. Di kalangan pembuat dan pelaksana dasar, mereka berasakan Malaysia ketandusan bakat. Ada yang percaya, untuk memastikan kejayaan MBE, kita perlu membawa bakat dari luar. Usaha mempelawa warga Malaysia yang berhijrah ke negara maju dan mengukir nama di sana, dikatakan cara yang terbaik untuk membawa pulang mereka yang berbakat! Benarkah IPT tempatan ketandusan bakat atau kita belum berjaya mengurus dan menonjolkan mereka yang berbakat? Apakah negara perlu menggubal dasar baru mengurus bakat? Persepsi ketandusan bakat di IPT perlu dihuraikan berasaskan senario berikut: 



Pertama: Kita perlu mengenali siapa ahli akademik? Mereka adalah individu yang mencapai kejayaan cemerlang dalam ijazah pertama dan mempunyai ciri berminat untuk meneroka ilmu. Keintelektualan akademik adalah prasyarat pertama menjadi ahli akademik. Berikutnya mereka perlu melakukan penyelidikan siswazah untuk memperoleh ijazah sarjana dan doktor falsafah. Ini adalah latihan pertama untuk membangun kepakaran menyelidik dan lazimnya mengambil masa antara tiga hingga lima tahun. Dalam konteks akademik, ijazah PhD adalah lesen untuk membolehkan seseorang melakukan penyelidikan tanpa bantuan penyelia. Di kebanyakan negara, ia juga menjadi lesen untuk menjadi ahli akademik. Kepakaran ahli akademik masih perlu diasah melalui penyelidikan dan penulisan. Ahli akademik dalam kepelbagaiannya, perlu mencari ‘nic’ akademik tersendiri. Berasaskan ‘nic’ ini, mereka perlu meneroka ilmu baru dan memperkenal dapatannya melalui penulisan ilmiah dan pengajaran. Dalam keadaan lazim, kepakaran hanya dikenali atau diiktiraf oleh rakan setarafnya. Sistem pengiktirafan dalam dunia akademik adalah melalui proses penilaian untuk menjadi profesor madya dan akhirnya untuk jawatan profesor. Apabila menjadi profesor, lazimnya pada usia antara 45 hingga 50 tahun, barulah seseorang akademik diiktiraf ‘pakar’ dalam bidang pengkhususannya. 

Kedua: Apakah bakat yang diharapkan untuk menyokong MBE bererti mereka yang dapat menjana produk atau perkhidmatan yang boleh dikomersialkan? Jika ini yang diharapkan, universiti bukan tempatnya mencari bakat dimaksudkan! Kerajaan perlu mencari pendekatan baru dan berstrategi untuk mencapai hasrat ini dan universiti boleh memainkan peranan penting menjayakannya. Universiti boleh menjadi tempat membangun dan pengasah bakat baru melalui program siswazah dan penyelidikan yang menjurus kepada pembangunan teknologi tinggi dalam bidang keutamaan negara. Tempat mengurus bakat perlu diwujudkan di luar sekitaran universiti!  Kerajaan menerusi kerjasama universiti, badan berkanun atau swasta perlu mewujudkan lebih banyak pusat penyelidikan bersifat pembangunan produk dalam sekitaran yang bebas dan kondusif. Kerajaan perlu menganggap proses ini adalah sebahagian pembangunan asas negara. Pada peringkat awal, tumpuan perlu diberi kepada pembangunan bakat dan infrastruktur. Matlamat akhir pastinya menghasilkan produk atau perkhidmatan berteknologi tinggi atau nilai tambah tinggi.  Dasar dan strategi pembangunan semasa sangat mengelirukan. Universiti dan ahli akademiknya dilihat sebagai sekitaran yang berupaya menghasilkan produk berteknologi tinggi. Sejumlah besar dana penyelidikan dan pembangunan (R&D) disalurkan ke universiti untuk tujuan ini. Walaupun universiti masih berupaya memikul tanggungjawab berat ini, hakikatnya secara jangka panjang ia hanya membantutkan pertumbuhan universiti ke arah kecemerlangan akademik. 





Sebahagian ahli akademik perlu berubah daripada penjana ilmu kepada penjana teknologi. Akibatnya, mereka kehilangan bakat asli dan pada masa sama, belum tentu dapat mengasah bakat baru dalam sekitaran mencabar.  Dalam menjayakan hasrat MBE dan pengurusan bakat, IPT perlu dilihat sebagai institusi yang memainkan peranan lebih luas dan bukan sekadar tempat bakat digunakan untuk menghasilkan produk berteknologi tinggi. Universiti adalah gedung ilmu yang ada sekumpulan bakat besar negara yang tugasnya untuk mencetus idea baru, membimbing perubahan dasar dan hala tuju pembangunan, pembangun dan mengasah bakat baru dan menjadi sumber ilham serta aspirasi generasi muda negara. 

Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, 

Majlis Profesor Negara 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 


BERITA HARIAN
15 JANUARI 2011

ISU ICT : PENGGUNA INTERNET PERLU ETIKA ELAK JENAYAH SIBER MEREBAK


Jenayah siber kini menjadi satu lagi ancaman kepada dunia berikutan semakin meluasnya penggunaan internet dan multimedia dalam pelbagai urusan harian. Kemunculan komputer dan internet sememangnya sebagai satu alat komunikasi terkini yang dapat memudahkan kehidupan manusia, tetapi pada masa sama boleh mengundang bahaya jika tidak dikawal dan ditangani sebaiknya. Kemunculan internet sebagai alat komunikasi terkini menjanjikan satu wadah penyebaran maklumat yang memantapkan pencapaian ilmu dan maklumat. Namun, disebabkan tiada siapa mengawal perjalanan maklumat dalam dunia siber, berjuta-juta laman web diwujudkan. Berikutan itu, paling membimbangkan kita wujudnya pelbagai macam maklumat yang tidak diketahui kesahihannya seperti idea, ideologi, propaganda dan tidak kurang pornografi disebarkan melalui internet. Jenayah siber juga boleh terjadi dalam pelbagai bentuk seperti penyelewengan, fitnah, menghina, menghasut serta pelbagai bentuk serangan secara maya yang boleh mengancam sesebuah kerajaan dan negara. Justeru, jika jenayah siber ini tidak ditangani secara cekap dan berkesan, boleh membawa banyak kemudaratan kepada masyarakat dunia. Persoalannya, sejauh mana kita dapat menangani jenayah siber secara berkesan dalam dunia tanpa sempadan ini. Jenayah siber mungkin dilakukan beribu-ribu kilometer jaraknya atau barangkali orang paling hampir dengan kita, tetapi malangnya kita sukar mengenali mereka atau dari mana mereka melakukan jenayah itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Mesyuarat Menteri-Menteri Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat (TELMIN) ASEAN, kelmarin mahu cabaran baru hasil kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) itu tidak harus dilupakan atau dipandang mudah kerana ancamannya boleh mengakibatkan kerosakan yang tidak dapat dibaiki terhadap ekonomi dan negara. 

Justeru, gesaan Perdana Menteri, supaya ASEAN mengambil langkah berkesan untuk meningkatkan keupayaan menangani ancaman jenayah siber serantau yang semakin canggih sehingga menimbulkan risiko besar kepada negara dan kerajaan perlu diberi perhatian serius semua pihak. Antara langkah wajar diambil, termasuk membina keupayaan kerajaan dalam aspek penguatkuasaan undang-undangnya serta peka terhadap ancaman siber sekarang dan pada masa depan. Beban pembuktian dalam jenayah siber adalah lebih besar jika dibanding dengan jenayah lain. Oleh itu, kepakaran forensik mengenai komputer yang selari dengan bidang perundangan dan pembuktian perlu ditingkatkan. Mengambil contoh Malaysia, walaupun negara mempunyai Akta Keterangan dan Akta Telekomunikasi untuk mendakwa mereka terbabit jenayah siber, ia bukanlah perkara mudah tanpa kecekapan dan kepakaran untuk mengemukakan bukti kukuh. Apapun, perkara lebih penting adalah mendidik rakyat menggunakan internet secara beretika berasaskan budaya Timur yang diwarisi ASEAN. Pengguna internet di kalangan penduduk ASEAN tidak wajar terlalu terikut cara Barat yang lebih menekankan soal kebebasan bersuara, berfikir dan hak sehingga membawa elemen negatif kepada masyarakatnya. Kebebasan keterlaluan atas nama hak asasi manusia dalam mengharungi dunia siber hanya merosakkan pemikiran dan mewujudkan peluang merebaknya jenayah siber. Kita percaya ASEAN mampu mendidik rakyatnya untuk menggunakan internet secara selamat dan bertanggungjawab seterusnya membawa kebaikan kepada generasi hari ini dan masa depannya.

Ruangan Minda Pengarang

Berita Harian
15 Januari 2011

ISU SOSIAL : KES BULI : APAKAH KESUDAHANNYA?


Apa silapnya?

AGAK lama kita sudah tidak dengar mengenai kes buli membabitkan pelajar sekolah sehinggalah pada Rabu lalu apabila seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong, Alor Setar, Mohd Syazwan Johari, dilaporkan dibelasah lima pelajar senior di asrama sekolah berkenaan. Mohd Syazwan mendakwa ditampar, ditumbuk, ditendang serta diheret sebelum dihempap rak kasut besi yang terjatuh menyebabkan tulang lutut kirinya retak dan terpaksa dibedah.  
Kejadian pada Ahad lalu itu, didakwa turut disaksikan pelajar lain, tetapi tidak ada seorang pun berani menolongnya. Mohd Syazwan mendakwa seorang pelajar senior marah kerana dia tidak ikut arahan apabila dipanggil ke bilik, tetapi kes ini kini dalam siasatan polis. Lima pelajar Tingkatan Tiga sekolah berkenaan sudah pun ditahan bagi membantu siasatan. 
Apapun puncanya, sama ada kecil atau besar dan sama ada ia kes terpencil atau tidak, kejadian ini tidak boleh dipandang remeh. Di sebalik pelbagai tindakan yang sudah diambil pihak berkaitan, termasuk Kementerian Pelajaran bagi menanganinya selepas beberapa kes buli sebelum ini, kejadian seumpama itu masih juga berlaku.

Apa silapnya? Tentu ada yang tidak kena hingga menyebabkan kes itu berulang lagi. Dari sini juga timbul persoalan apakah sudah jadi dengan garis panduan dan peraturan yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran sebelum ini? Mungkinkah juga selepas agak lama tidak berlaku kes seumpama itu menyebabkan pihak berkaitan mula leka terhadap tanggungjawab masing-masing?  Kita bukanlah hendak menyalahkan sesiapa, tetapi perkara ini jika tidak diingatkan, kita bimbang dan tidak mustahil kejadian itu boleh berlaku lagi. Sebab itu, semua pihak sama ada pelajar, ibu bapa, masyarakat, guru serta pihak pengurusan sekolah perlu sering ditegur dan diingatkan selalu supaya kes seumpama itu tidak berulang.  Memang kita akui bukan mudah untuk menangani kes buli, apa lagi untuk mengawal pelajar yang begitu ramai. Apa lagi sikap, latar belakang keluarga dan cara serta suasana pelajar itu dibesarkan pula tidak sama. Namun, bukan mustahil juga untuk kita menemui jalan penyelesaian yang lebih konkrit kalau isu ini ditangani bersama. 

Kasihan pembuli 

Dalam hubungan ini, saya tertarik dengan perbincangan mengenai isu itu yang disiarkan stesen Radio IKIM pada pagi Khamis lalu. Elok juga jika inti pati perbincangan itu saya muatkan dalam kolum ini untuk dikongsi dan menjadi renungan kita bersama. Antara topik yang disentuh ialah kasihan pembuli. Barangkali ramai yang tertanya-tanya mengapa perlu pembuli ini dikasihani? Bukankah mangsa buli itulah yang patut mendapat simpati. Jawapan yang diberi cukup mudah. Seorang pendengar menjelaskan memang patut kita bersimpati dengan pelajar terbabit. Mereka mungkin tidak mendapat didikan sempurna dan kasih sayang daripada keluarga.  Akibatnya, mereka juga tidak mempunyai perasaan kasih sayang terhadap orang lain. Sebab itu, amat penting ibu bapa mendidik anak dengan penuh kasih sayang. Jika mereka dibesarkan dalam suasana yang tidak harmoni dan sentiasa dimarah, diherdik, dipukul atau sebagainya, tidak mustahil perlakuan sama akan dibawa apabila mereka berhadapan dengan orang lain, terutama yang lebih muda. Seorang lagi pendengar pula berkata, pembuli mungkin juga pernah menjadi mangsa buli. Sebab itu bila menjadi senior, mereka melakukan perbuatan sama kerana mahu membalas dendam dan sikap ini berterusan hingga menjadi tradisi. Beliau menasihatkan pelajar yang melalui pengalaman dibuli agar tidak melakukan perbuatan sama semata-mata untuk membalas dendam, sebaliknya mereka seharusnya membantu dan menunjukkan kasih sayang terhadap pelajar junior.  Itulah yang dilakukannya selepas menjadi pelajar senior, walaupun pernah dibuli ketika mula memasuki asrama. Jika perasaan kasih sayang ini turut diikuti semua pelajar, tentunya tradisi membuli pelajar junior dapat dihentikan. Barangkali inilah penawar paling mujarab bagi menangani kes buli. 

Sayang biar bertempat 

Namun, kasih sayang yang keterlaluan dan tidak bertempat juga boleh merosakkan anak. Memanglah sukar untuk ibu bapa menerima hakikat anak mereka terbabit dalam kes buli atau salah laku lain di sekolah, tetapi janganlah sampai bila anak mereka melakukan kesalahan, hendak dijentik sekalipun tidak boleh.  Malah, sudah ada guru diserang dan disaman ibu bapa apabila anak mereka mengadu dipukul, walaupun pelajar terbabit melanggar disiplin sekolah. Inilah mungkin menjadi antara sebab disiplin pelajar sekarang sukar dikawal. Apa lagi, bila guru juga sudah tawar hati dan tidak mahu ambil kisah mengenai perilaku pelajar kerana bimbang diserang atau disaman ibu bapa.  Pelajar pun sudah tidak takut dengan guru lagi kerana ibu bapa menyebelahi mereka. Tidak macam zaman dulu, jangan kata hendak mengadu, tetapi jika boleh tidak mahu ibu bapa tahu kita kena rotan dengan cikgu kerana takut kena belasah di rumah pula.  Memanglah dulu lain sekarang lain dan merotan pelajar pun sudah tidak boleh lagi, tetapi ibu bapa kenalah seimbangkan antara kasih sayang dan ketegasan supaya anak tidak terlalu dimanjakan hingga merosakkan masa depan mereka. 

Mahfar Ali

BERITA HARIAN
15 JANUARI 2011