JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Mac 2011

MOTIVASI : TERAP BUDAYA BERTANYA

Oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pengarah Urusann MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd/Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin)


Malu bertanya sesat jalan, tetapi ia banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kita lebih rela membiarkan diri tidak faham dan tidak tahu daripada dilabelkan bodoh serta ditertawakan. Bukan saja anak malu dan takut bertanya, orang dewasa pun sama. Budaya malu dan takut bertanya ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi hingga memberikan kesan negatif.  Di sekolah, anak malu bertanya pada guru walaupun tidak faham. Ini memberi kesan dalam pembelajaran dan menjejaskan markah dalam ujian dan peperiksaan.  Akhirnya yang disalahkan bukannya diri sendiri sebaliknya orang lain. Guru didakwa tidak pandai mengajar. Mata pelajaran dikatakan susah atau soalan peperiksaan terlalu tinggi tahapnya. Apabila masuk ke alam pekerjaan, sikap yang sama diamalkan. Kesannya, kerja tidak menepati kehendak majikan, lambat menguasai sesuatu kemahiran atau tidak dinaikkan pangkat.

Secara fitrah kita dilahirkan suka bertanya. Lihat anak kecil apabila mula pandai bercakap, macam-macam yang mereka tanya. Kadangkala penat melayani kerenah mereka malah ada ibu bapa hilang kesabaran. Tetapi, itulah cara mereka belajar iaitu dengan mencuba dan bertanya. Jika sejak kecil setiap pertanyaan anak ini dijawab dengan baik hingga mereka puas dengan jawapan diterima, ia satu ganjaran emosi yang merangsang anak terus bertanya. Lagi banyak yang ditanyakan, mereka cepat belajar malah minda mereka lebih matang berbanding kanak-kanak sebaya usia. Hasilnya bukan saja pencapaian akademik lebih baik, tetapi pelbagai peluang akan diberikan kepada anak menjadi pengawas, ketua kelas atau mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Semuanya kerana rajin dan berani bertanya. Mengurus masalah adalah ciri-ciri orang yang cemerlang.

Apabila masalah tidak diuruskan dengan baik, ia menjadi besar dan memberi tekanan kepada pelajar. Sebab itu pelajar perlu menyelesaikan setiap perkara yang tidak difahami itu dengan bertanya. Mereka yang rajin bertanya keyakinan tinggi dan mudah mendapat pekerjaan. Orang yang suka bertanya adalah orang yang mencari jawapan dan penyelesaian bukannya menunggu jawapan dan penyelesaian itu jatuh ke riba. Bertanya itu memerlukan kemahiran. Kita bertanya disebabkan kita tidak faham, tidak tahu, untuk memastikan apa yang kita faham itu benar atau bagi menambah maklumat sedia ada. Kemahiran bertanya ini sesuatu yang boleh dipelajari. Untuk bertanya kita perlu kritis terhadap diri sendiri. Tanyakan diri dengan soalan, Apa? Siapa? Bila? Di mana? Bagaimana? dan Kenapa?  Kemudian setiap soalan yang mahu ditanyakan itu hendaklah ditulis, takut lupa. Apabila guru membuka ruang, rebutlah peluang itu untuk bertanya.

Program Motivasi Alihan pelajar yang dijalankan khusus untuk pelajar ada menekankan ‘kemahiran bertanya’. Malah, kualiti jawapan yang diperoleh banyak bergantung kepada kualiti soalan yang diajukan. Jika pelajar bijak menyusun soalan, mudahlah guru membantu. Pelajar juga ditanamkan dengan keyakinan diri yang tinggi supaya berani bertanya dan jangan takut disindir.  Bertanya itu mudah apabila menjadi kebiasaan. Namun, untuk mencipta kebiasaan itu memerlukan kekuatan. Kekuatan datang apabila kita tahu caranya. Caranya pula perlu dipelajari dari mereka yang mahir. 

ISU UMUM : FAKTOR GAGAL JELAS SAMAN

Oleh ARIF ATAN
UTUSAN MALAYSIA, 4 MAC 2011


Sejumlah 17.3 juta iaitu 35 peratus daripada 49.4 juta saman yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 2001 hingga 28 Februari lalu masih belum dijelaskan oleh pesalah trafik. Kita bernasib baik kerana kerajaan begitu prihatin apabila melanjutkan tempoh bayaran saman trafik sehingga 10 Mac ini. Jika masih gagal berbuat demikian, maka pengguna kenderaan yang mempunyai saman tertunggak akan berdepan dengan masalah untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan berikutan telah disenaraihitamkan. Walaupun kerajaan telah memberi kelonggaran sejak Ogos tahun lalu untuk mereka menjelaskan saman, namun masih ramai gagal berbuat demikian. Mengapa? Sikap menyelesaikan sesuatu perkara pada saat-saat akhir begitu ketara dalam hidup sebahagian masyarakat kita. Hal ini dapat dilihat dengan peningkatan enam kali ganda daripada hari pembayaran biasa.

Sebanyak 1.5 juta saman telah diselesaikan mulai 21 Februari hingga tengah malam 28 Februari lalu. Tidak hairanlah apabila sistem tergendala kerana penggunaan melampaui keupayaan sistem. Apapun, pelbagai tanggapan timbul terhadap mereka yang mengerumuni kaunter pembayaran saman pada ketika tempoh diberi semakin menghampiri masa tamat. Ada menganggap, mereka yang membayar pada saat akhir itu adalah orang yang tidak bertanggungjawab atau suka membuat kesalahan trafik berulang kali. Namun begitu, kita harus bersikap adil terhadap sebahagian daripada mereka yang melanggar peraturan trafik dan melewatkan pembayaran saman kerana 'terpaksa'. Pertama, majoriti masyarakat kita terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah sebahagian besar yang melanggar peraturan lalu lintas. Sama ada mereka sengaja atau tidak sengaja berbuat demikian, itu soal lain.

Namun, yang nyata adalah mereka terpaksa mengutamakan keperluan diri dan keluarga atau memenuhi keperluan 'perut' terlebih dahulu. Ini kerana pendapatan yang diperoleh lazimnya jarang ada lebihnya. Tambahan pula dengan kenaikan harga barangan mutakhir ini. Hendak menabung pun sukar, apatah lagi hendak menjelaskan saman. Kedua, pengguna kenderaan yang dikenakan saman terdiri daripada pelbagai jenis kategori kesalahan trafik. Ini termasuklah kesalahan meletak kenderaan pada tempat yang bukan sepatutnya. Pada ketika pesalah trafik digesa membayar saman dalam tempoh kurang dua bulan, ada baiknya pihak berkenaan mengambil langkah bagi mengelakkan kesalahan sama diulang oleh individu sama, malah orang lain di tempat yang sama. Paling ketara ialah sejauhmana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memastikan pembangunan di kawasan masing-masing tidak menjejaskan ruang dan kelancaran trafik?

Ini kerana setiap inci tanah terutama di sekitar Lembah Kelang hendak dimajukan dengan bangunan bertingkat sama ada kompleks pejabat atau pusat beli-belah tanpa mengambil kira aspek ruang parkir dan kelancaran trafik. Penduduk semakin padat tetapi ruang yang ada semakin terhad. Tentulah hal ini tidak adil kepada pengguna kenderaan. Oleh itu, pembangunan lestari sesebuah kawasan perlu diberi perhatian. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko pengguna kenderaan dikenakan tindakan kesalahan trafik tetapi menjamin setiap rakyat hidup sejahtera tanpa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan.

ISU POLITIK : MENANGANI CABARAN GLOBAL SECARA KOLEKTIF

Oleh Jamhariah Jaafar
BERITA HARIAN,04 MAC 2011


Malaysia, Turki gesa masyarakat kekalkan keamanan, kesederhanaan, tolak tindakan ekstrem. Siapa paling layak menentukan demokrasi? Rakyat, kerajaan atau kumpulan intelektual yang berasa pendapat mereka sentiasa betul? Antara soalan yang diluahkan dalam perdebatan politik dunia yang menyaksikan beberapa kerajaan Asia Barat tumbang akibat kebangkitan rakyat menentang pemerintahan begitu lama sehingga bukan saja menjadi korup, bahkan mewujudkan kerajaan ‘anak beranak’. Persoalan juga ditujukan kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) yang sering bertindak sebagai polis dunia, sehingga setiap keputusan untuk menentukan pemerintahan seolah-olah perlu mendapat restu daripada mereka.  Krisis politik yang membawa kesan domino – Tunisia, Mesir, Libya dan dijangka berjangkit kepada Iran, Iraq malah Arab Saudi - menjadi perdebatan dunia hari ini. Justeru, apabila Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia menganjurkan Sidang Gerakan Global Untuk Keadilan, Keamanan dan Kemuliaan Insan, di Istanbul, Turki, tidak hairan krisis Asia Barat menjadi fokus, walaupun niat awal untuk mengembangkan idea Malaysia supaya semua negara dunia mengambil sikap sederhana bagi menangani isu pengganas dan keganasan.

Pendirian Malaysia ialah cabaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa hari ini perlu ditangani secara kolektif bagi memastikan setiap warga dunia mengecap keadilan, hak yang sama dan keamanan berterusan. “Penting bagi kita untuk berada dalam aman setiap masa, bukan tunduk ketakutan dan terus diselubungi kebimbangan angkara kumpulan fanatik. Kita mesti mencari jalan tengah, laluan ke arah kesederhanaan,” kata Setiausaha Agung Asean, Surin Pitsu-wan yang menyokong usaha Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sebagai negara majmuk yang memerlukan toleransi antara kaum, Malaysia antara negara paling faham erti kesederhanaan dan mencari jalan tengah dalam meleraikan segala isu termasuk membabitkan agama. “Kami faham betapa penting untuk memastikan sistem kepelbagaian berfungsi dengan baik. Malaysia bimbang dengan trend kumpulan dan negara tertentu yang sengaja mencetuskan Islamofobia.

“Usaha memperlekehkan agama Islam yang dianuti lebih 1.5 bilion umat manusia boleh mencipta jurang lebih besar antara dunia Islam dan Barat. Isu sebenar bukan di antara Islam dan bukan Islam, ia antara golongan sederhana dan ektremis semua agama, tidak kira Islam, Kristian atau Yahudi.  “Jika kita terus benarkan suara jahat ini berleluasa, ia akan mempengaruhi dan menenggelamkan suara majoriti manusia yang jauh lebih waras,” kata Perdana Menteri mendesak negara dunia membentuk gerakan global golongan sederhana, menentang dan menangani isu pengganas serta keganasan yang didukung golongan minoriti. Desakan Najib di New York September lalu, dikembangkan di Istanbul sebelum dijadual diperdebat sekali lagi di Universiti Oxford, pertengahan tahun ini. Krisis yang melanda negara Islam di Asia Barat membuatkan desakan ini semakin penting kerana suara rakyat terutama golongan muda tidak lagi boleh dipandang remeh.  

Kejatuhan kerajaan Tunisia dan Mesir, terbaru Libya menghadapi masalah sama menjadikan isu demokrasi dalam pemerintahan Islam, menokok beban kepada dilema yang dihadapi negara Islam. Pengganas, keganasan dan isu pemerintahan kuku besi di beberapa negara Islam, membuka ruang kepada Barat meneruskan serangan terhadap kewibawaan dan maruah kerajaan Islam. Najib dan Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babakan sependapat sistem pemerintahan kuku besi tidak lagi boleh dilaksanakan pada era moden, ia harus memberi laluan kepada suara majoriti yang mahukan pemerintahan lebih adil dan telus. “Dalam suasana sekular yang melampau pada suatu ketika dulu, rakyat Turki kini mula bersikap sederhana dan menerima nilai Islam. Jika dulu, memakai tudung terutama pegawai kerajaan dilarang, sekarang terserah kepada mereka untuk memilih,” kata Ali Babakan mengenai usaha Perdana Menterinya, Recep Tayyip Erdogan menerapkan nilai Islam, di negara bekas empayar Uthmaniah ini.

Daripada empayar terkenal dengan kehebatan dan keagungan Islam, Turki bertukar menjadi negara sekular apabila diisytihar menjadi republik pada 1923. Pada era sekular, nilai Islam hilang daripada pandangan – azan tidak boleh berkumandang lantang, wanita tidak boleh bertudung, rakyat bebas mengamal gaya hidup tanpa sebarang perlindungan dan garis panduan syariat Islam. “Tetapi sekarang keadaan mula berubah. Turki secara perlahan mula memberi kebebasan kepada rakyatnya,” kata Ali Babakan. Malaysia dan Turki, dua negara yang mengamal sistem pemerintahan demokrasi tetapi dengan cara berbeza. Malaysia, menggandingkan Islam dan demokrasi dalam pemerintahannya, Turki yang 99 peratus rakyatnya beragama Islam memilih sistem sekular. Bagaimanapun, kedua-dua negara berada pada satu titik pertemuan yang sama – negara Islam, mengamal sikap sederhana dan memilih demokrasi yang menjunjung pilihan rakyat.

ISU PENDIDIKAN : ANUGERAH TESIS PENDORONG PENYELIDIKAN KEUNGGULAN TAMADUN

Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
BERITA HARIAN : 04 MAC 2011


Usaha Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) dan Pusat Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) mewujudkan Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menjadi pendorong kepada pelajar pascaijazah untuk menghasilkan lebih banyak penyelidikan tentang dunia Islam. Malah anugerah itu dilihat pengiktirafan kepada lulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang berjaya menghasilkan tesis berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa masyarakat Islam negara ini.  Lebih menarik, tesis sarjana dan PhD yang dipilih akan diterbitkan dalam bentuk buku oleh penganjur. Membukukan bahan keilmuan itu dapat memperkaya dan merangsang suasana akademik di negara ini dengan percambahan ilmu, penyaluran idea dan perkongsian maklumat. Langkah itu mampu membawa dan menyebarkan khazanah ilmu dari universiti bagi manfaat dan rujukan umum.

Jika tidak, sesebuah tesis yang dihasilkan bertahun lamanya hanya dibaca beberapa individu iaitu penyelia, pemeriksa dalam dan luar universiti yang dilantik oleh sesebuah universiti. Justeru, ketika menghadiri majlis penyampaian anugerah itu kepada pemenang baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi YNY memuji usaha YNY dan ISDEV yang dilihat inisiatif penting menjayakan agenda meningkatkan kualiti penyelidikan dan memartabatkan dunia kesarjanaan khususnya di universiti negara ini. Kategori tesis PhD dimenangi Dr Munif Zarrirudin Fikri Nordin, lulusan Universiti Malaya dengan tajuk Bahasa Kepimpinan Rasulllah SAW: Analisis wacana khutbah Ghazawit al-Rasul. Manakala Radieah Mohd Nor, lulusan USM dengan tesis Prinsip-prinsip Pembangunan Berteraskan Islam dalam Mukadimah Ibn Khaldun dipilih pemenang sarjana. Dr Munif menerima pingat emas, wang tunai, trofi dan sijil bernilai RM15,000 manakala Radieah menerima hadiah sama bernilai RM10,000.

Menurut Pengerusi Panel Penilai Anugerah merangkap Pengarah ISDEV, Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh, pencalonan 2010 meningkat tiga kali ganda iaitu 36 tesis (22 PhD dan 14 sarjana). Lebih menarik, pencalonan juga datang daripada warga Malaysia yang belajar di luar negara. Muhammad Syukri berkata, banyak tesis dicalonkan penyelia atau universiti dan dengan sendirinya menunjukkan tesis itu diperakui mutunya. Tesis pemenang melalui proses saringan dan pemilihan ketat serta mencapai kualiti penyelidikan dan penulisan yang amat cemerlang. Penilaian dilakukan pakar akademik pelbagai universiti.  Pencalonan untuk anugerah itu tahun ini dibuka sehingga 31 Mei dan calon berminat mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi YNY atau ISDEV.  Menurut Muhyiddin, anugerah itu menjadi perangsang kepada ilmuwan untuk mempergiatkan usaha penyelidikan ilmiah bagi mengemukakan penyelesaian praktikal terhadap pelbagai perma-salahan kontemporari yang dihadapi masyarakat Islam masa kini.

Pendekatan ilmiah yang menggabungkan analisis ilmu Islam dengan disiplin seperti ekonomi, sains tulen, sains kemanusiaan dan sebagainya bukan saja akan memperkaya khazanah ilmu Islam, malah meningkatkan kefahaman masyarakat tentang Islam yang syumul dan progresif itu.  Beliau berharap anugerah itu menjadi antara langkah awal untuk mengembalikan keunggulan keilmuan dan kesarjanaan Islam di Malaysia khasnya dan di negara Islam lain amnya. Usaha seperti itu akan melahirkan lebih ramai sarjana dan ilmuwan muda Islam yang menjadi nadi serta penggerak kemajuan tamadun Islam. Muhyiddin turut menyentuh peranan universiti yang begitu penting dalam merealisasikan matlamat membangun dan memajukan negara. Dalam usaha kerajaan menjayakan Model Baru Ekonomi berasaskan pengetahuan, beliau mengakui peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu, kreativiti dan inovasi yang akan menyediakan landasan kukuh memacu ekonomi negara ke tahap lebih tinggi.

Muhyiddin berkata, universiti adalah medan idea baru bercambah dan penemuan baru terhasil. Oleh itu, dunia akademik perlu dirangsangkan dengan budaya kecemerlangan penyelidikan yang akan menggalakkan percambahan ilmu dan penghasilan pelbagai penemuan baru yang relevan dengan keperluan negara. Tidak dapat dinafikan kecemerlangan universiti bergantung kepada kualiti insan intelektual yang mengisi keperluan akademik universiti dan menentukan darjat kesarjanaannya. Dalam hubungan ini, beliau menekankan ukuran kualiti kesarjanaan tidak boleh dinilai semata-mata dengan jumlah makalah yang diterbitkan dalam jurnal berwasit antarabangsa atau bilangan buku yang diterbitkan penerbit tersohor. “Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana insan intelektual di universiti mampu memberi kepemimpinan moral dan intelektual kepada masyarakat; bagaimana dengan kualiti kesarjanaan yang dimiliki dan insan intelektual di universiti mampu menghasilkan penemuan baru, merungkaikan permasalahan kontemporari dan memimpin masyarakat dan negara ke arah kehidupan sejahtera.” Usaha mengiktiraf hasil penyelidikan sarjana seperti dilakukan YNY dan ISDEV mampu mengembalikan keunggulan tamadun keilmuan Islam di Malaysia seperti yang ditekankan Muhyiddin.

Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pensyarah Kanan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya

ISU EKONOMI : KEKAYAAN 40 INDIVIDU BERJUMLAH RM186.3 BILION

DARI atas kiri, Chia Song Kun, Mokhtar Albukhary, 
Mokhzani Mahathir, Nazir Razak, Rozali Ismail dan Robert Kuok.

Syed Mokhtar kekal orang Melayu paling kaya dengan aset RM7.5 bilion

Kekayaan terkumpul 40 individu terkaya Malaysia kini bernilai kira-kira RM186.3 bilion, meningkat 22 peratus atau RM33.3 bilion disebabkan peningkatan ekonomi negara sebanyak 7.2 peratus tahun lalu, iaitu tertinggi sejak 2000. Mengikut senarai individu terkaya Malaysia 2011 majalah Forbes Asia, hanya seorang ahli perniagaan baru disenaraikan antara individu terkaya Malaysia tahun ini iaitu Pengarah Urusan QL Resources Bhd, Chia Song Kun dengan kekayaan berjumlah RM1.2 bilion. Jutawan yang terbabit dalam industri pengeluaran makanan laut, memproses minyak sawit mentah dan ternakan ayam ini terus melonjak ke tangga ke-24, mengatasi nama besar yang sebelum ini berada dalam senarai 40 jutawan Malaysia.

Menurut majalah itu lagi, Tan Sri Syed Mokhtar Bukhary kekal sebagai orang Melayu terkaya di Malaysia dengan harta terkumpul berjumlah RM7.5 bilion dan menduduki tangga kelapan dalam senarai itu.  Anak bekas Perdana Menteri, Datuk Mokhzani Mahathir yang juga Pengerusi Eksekutif Kencana Petroleum Bhd berada pada tangga ke-15 dalam senarai itu dengan kekayaan sebanyak RM1.8 bilion.  Turut tersenarai ialah adik Perdana Menteri, Pengarah Urusan Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak dengan jumlah harta kekayaan sebanyak RM495 juta di kedudukan ke-36.  Pengerusi Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Tan Sri Rozali Ismail yang memiliki kekayaan berjumlah RM465 juta berada di tangga ke-37.  Menurut majalah itu kedudukan pertama dan kedua orang terkaya di Malaysia masih tidak berubah iaitu masih dimiliki Raja Gula iaitu Tan Sri Robert Kuok yang memiliki harta sejumlah RM37.8 bilion diikuti Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Communication, Tan Sri Ananda Krishnan sebanyak RM28.8 bilion.