JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Februari 2012

ISU UMUM : JADIKAN NABI MUHAMMAD SAW SEBAGAI SUMBER IKUTAN

Oleh MOHD. AYOP ABD RAZID


Esok, 5 Februari 2012, umat Islam akan menyambut Maulidur Rasul, iaitu hari mengingati kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Namun, tujuan Maulidur Rasul bukanlah untuk mengingati keputeranaan baginda semata-mata tetapi perkara paling penting ialah ingatan dan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW mestilah dizahirkan dalam bentuk mengikuti segala akhlak dan ajaran Nabi yang mulia itu. Nabi Muhammad SAW adalah insan kamil yang memiliki akhlak dan peribadi bersumberkan wahyu. Pada diri baginda terpancar akhlak terpuji yang menjadi sumber ikutan umat (uswatun hasanah). Sejak kecil lagi baginda telah ditarbiyah (dididik), dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT. Masyarakat jahiliyah Mekah yang menyembah berhala serta mengamalkan budaya hidup yang tidak berakhlak turut mengurniakan gelaran 'Al-Amin' kepada baginda. Baginda diutus sebagai Rasul untuk membawa rahmat kepada sekalian alam (rahmatan lil-alamin) seperti maksud firman Allah: "Dan tiadalah kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam" (surah al-Anbiya:107). Misinya adalah membina masyarakat rabbani yang dinaungi 'Nur Ilahi' (cahaya ketuhanan).

Baginda juga diutus ke alam ini untuk menyempurnakan budi pekerti yang mulia (makarimu'l akhlaq). Akhlak baginda adalah pancaran daripada nilai-nilai al-Quran sebagaimana kata isterinya, Aisyah r.a. bahawa akhlak Nabi adalah umpama al-Quran yang bergerak (Kana Khuluquhul Quran). Justeru, selaku umat Islam, kita dituntut mencontohi akhlak Rasulullah SAW. Terdapat banyak sifat dan akhlak mulia Nabi yang boleh dipelajari, dihayati dan diamalkan. Antara sifat-sifat kekuatan diri baginda yang patut dijadikan ikutan ialah tawaduk, pemalu, siddiq, amanah, fatanah, tabah, sabar, syukur, pemaaf, bertakwa, beristiqamah, ikhlas, khusyuk, zuhud, qanaa dan lemah lembut. Nabi juga memiliki al-hikmah (kebijaksanaan) dan Al-Iffah (pengawasan diri). Nabi juga menjadi contoh ikutan dalam beribadah. Dalam beribadah dan beramal sholeh, baginda mengajar tentang al-ihsan seperti mana maksud hadis baginda: "beribadatlah seolah-olah kamu melihat Allah, dan jika tidak dapat merasai demikian hadirkan hatimu seolah-olah kamu diperhatikan-Nya". 'Al-ihsan' merangkumi segala bentuk kebaikan yang dibuat oleh manusia semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT.

Antara contoh amalan ibadah Nabi yang perlu diikuti ialah bersolat wajib secara berjemaah di masjid, memperbanyakkan solat sunat di rumah, beristiqamah solat tahajjud, gemar melakukan iktikaf, banyak berpuasa sunat, sentiasa berzikir, berdoa dan bertaubat, kuat berjihad, istiqamah dalam beramal, banyak membaca al-Quran, melazimkan siwak (bersugi), berjanggut, berserban dan berjubah. Para pendakwah (da'i) patut mencontohi kesabaran yang tinggi serta keteguhan jiwa yang dimiliki baginda ketika menyampaikan risalah Allah kepada manusia. Baginda sentiasa berinteraksi dengan masyarakat dengan cara yang maaruf. Rasulullah suka membalas kejahatan dengan kebaikan. Antara sifat-sifat baginda ketika bergaul dan berhubung dengan masyarakat ialah mengasihi anak-anak yatim, mengasihi kanak-kanak, mengasihi orang miskin dan menghormati orang tua. Baginda juga sentiasa membimbing dan mengasihi yang muda, berkelakuan baik terhadap haiwan, membalas pemberian orang, sentiasa memberi salam dan menziarahi orang sakit. Rasulullah juga mengajarkan aspek tasamauh atau bertoleransi. Nabi bergaul secara maaruf dengan pelbagai kaum dan penganut agama lain. Rasulullah pernah mengizinkan delegasi Kristian dari Najran yang datang ke Madinah melakukan ibadat mereka di satu sudut Masjid Madinah.

Baginda berpesan kepada para sahabatnya jangan merosakkan hubungan dengan orang bukan Islam kecuali mereka menentang Islam atau merobek maruah umat Islam. Untuk membina masrakat Islam yang kukuh, Rasulullah sangat menekankan aspek ukhwah Islamiah atau persaudaraan Islam tanpa mengira warna kulit atau taraf sosial. Umat Islam diajar tidak menyakiti saudaranya sama ada melalui tangan atau lidahnya. Orang Muslim juga diharamkan menumpahkan darah saudara Muslimnya serta diharamkan menceroboh harta benda dan kehormatannya. Nabi juga mengajar umat Islam membantu meringankan kesusahan saudara Muslimnya dan membantu golongan miskin. Nabi menegah umat Islam mendedahkan aib atau keburukan saudara Muslimnya supaya keburukannya ditutup Allah di dunia dan di akhirat kelak. Nabi Muhammad SAW merupakan pendidik yang cukup unggul dalam membangun peribadi insan. Antara sifat-sifat Rasulullah sebagai pendidik yang boleh dijadikan contoh ialah murabbi, mualim dan muaddib. Nabi menjadikan al-Quran sebagai sumber tarbiyah serta bersifat sabar dan menggunakan pelbagai kaedah dalam mendidik.

Dalam mengurus dan mengendalikan rumah tangga Rasulullah sentiasa bergaul secara maaruf dengan isteri dan ahli keluarganya. Baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta bersifat berlemah lembut terhadap isteri-isterinya. Baginda tidak pernah memukul dan menghina isteri-isterinya, sebaliknya bersifat sabar dengan kerenah isteri serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan. Dari segi kepemimpinan, Rasulullah adalah seorang pemimpin agung yang memiliki sifat-sifat kepimpinan yang tinggi. Kepemimpinan baginda sangat menekankan aspek integriti seperti amanah, bertanggungjawab, telus dan jujur. Baginda memiliki kemampuan untuk menyusun strategi, bersifat berani, tegas dan berprinsip tetapi dalam masa yang sama baginda bersifat pemaaf dan pemurah. Selain itu, baginda sentiasa mengamalkan syura, menegakkan keadilan, mengutamakan umat serta sanggup menanggung kesusahan bersama pengikut. Sebagai pemimpin umat, baginda tidak mengharapkan penghormatan dan pujian melainkan mengharapkan keredaan Allah semata-mata.

Kesimpulan, di tengah-tengah arus masyarakat yang semakin subur dengan sifat-sifat mazmumah (keburukan), maka wajarlah umat Islam kembali mencontohi akhlak Rasulullah SAW seperti maksud firman Allah SWT: "Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta pula menyebut dan banyak mengingati Allah" (Al Ahzab:21)

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : TAIKUM PEMOTORAN DUNIA

Oleh NIZAM YATIM
s2@utusan.com.my


Apabila kita menulis mengenai taikun pemotoran dunia, satu sifat yang paling menonjol di kalangan mereka ialah tidak berputus asa walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam merealisasikan impian. Mereka tidak pernah menjadikan ejekan, pelbagai masalah dan bencana alam sebagai halangan. Bagi mereka setelah sesuatu keputusan dibuat, tumpuan utama adalah bergerak dengan pantas dan bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita tersebut. Mereka juga bersikap fleksibel dan bersedia mengubah strategi perniagaan atau memperbaiki produk yang dihasilkan sesuai dengan kehendak pengguna. Ekoran sikap itu, mereka telah berjaya memajukan syarikat sehingga menghasilkan pulangan kewangan yang lumayan. Wang yang diperoleh itu kemudiannya disalurkan untuk aktiviti-aktiviti kebajikan dan bagi menikmati kehidupan ini.

KIICHIRO TOYODA

BELIAU ialah pengasas syarikat pengeluar kereta terbesar dunia, Toyota Motor Corporation pada 1937. Usahawan Jepun yang dilahirkan pada 1894 ialah anak kepada Sakichi Toyoda, pemilik syarikat Toyoda Automatic Loom Works yang terbabit menghasilkan mesin tenun automatik. Kiichiro telah membuat keputusan untuk mengubah syarikat itu menjadi pengeluar kenderaan dengan kereta pertama yang dihasilkan adalah Toyoda Standard Sedan AA. Bagaimanapun, selepas mengeluarkan kereta itu, nama Toyoda yang bermaksud sawah padi yang subur tidak lagi digunakan kerana tidak mahu dikaitkan dengan aktiviti pertanian cara lama. Sebaliknya, Kiichiro memilih nama Toyota yang dipilih setelah syarikat itu menganjurkan satu pertandingan bagi mencari nama baru. Nama Toyota yang disifatkan lebih sedap untuk disebut turut dikaitkan dengan maksud membawa kekayaan dan tuah.

Pada 1947, di bawah kepimpinan beliau, Toyota telah mengeluarkan kereta dan trak bersaiz kecil iaitu Toyopet SA, Toyopet SB, Toyopet Stout dan Toyopet Crown. Kiichiro meletak jawatan pada 1950 dan meninggal dunia pada 1952 ketika berusia 57 tahun. Setelah kematiannya, segala pengurusan syarikat diambil alih oleh Taizo Ishida dari 1950 hingga 1961 dan Fukio Nakagawa dari 1961 hingga 1967. Ketika pengurusan mereka, kenderaan keluaran Toyota telah memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS). Pada 1967, pengurusan syarikat diambil alih oleh sepupu Kiichiro, Eiji Toyoda. Beliau memegang jawatan Presiden dari 1967 hingga 1981 dan Pengerusi dari 1981 hingga 1994. Eiji yang merupakan seorang jurutera telah melakukan rombakan secara menyeluruh dengan meniru kaedah pengeluaran kereta secara besar-besaran yang dipelopori syarikat Ford di AS. Antara model kereta yang dikeluarkan pada zamannya ialah Toyota Corolla dan Lexus.

KARL FRIEDRICH BENZ

BELIAU ialah pengasas sebuah lagi syarikat pengeluar kereta di Jerman, Mercedes-Benz pada 1886. Syarikat itu terlibat menghasilkan kereta, bas dan trak. Beliau yang dilahirkan pada 1844 adalah jurutera yang berkemahiran dalam mereka bentuk enjin kenderaan. Tokoh ini juga diiktiraf sebagai orang pertama di dunia yang mencipta enjin yang digerakkan dengan menggunakan bahan api petrol. Ketika berusaha menghasilkan kenderaannya yang pertama, beliau sering diejek oleh orang ramai kerana dianggap gila untuk menghasilkan kereta yang ‘tidak ditarik oleh kuda’. Kenderaan pertama yang dikeluarkan syarikat itu adalah Benz Motorwagen yang mempunyai tiga tayar dan digerakkan menggunakan enjin petrol. Kenderaan itu telah diedarkan oleh sebuah syarikat lain iaitu Daimler Motoren Gesellschaft. Beliau bersara pada 1906 dan meninggal dunia pada 1929 ketika berusia 84 tahun. Pada 2011, sebuah drama mengenai kisah hidup beliau dan isteri, Bertha Benz turut ditayangkan di Jerman.

FRANZ JOSEF POPP

JURUTERA ini ialah pengasas syarikat pengeluar kenderaan Jerman, Bayerische Motoren Werke (BMW) AG pada 1917. Nama asal syarikat itu adalah Rapp-Motorenwerke yang terlibat menghasilkan enjin kapal terbang ketika Perang Dunia Pertama. Beliau yang dilahirkan pada 1886 di Vienna, Austria telah menjadi Pengarah Besar syarikat itu sehingga 1942. Di bawah terajunya, BMW terlibat menghasilkan enjin yang dipasang pada bot dan kenderaan pertanian termasuk trak dan traktor. Langkah itu terpaksa dilakukan kerana selepas Perang Dunia Pertama, syarikat-syarikat negara itu tidak lagi dibenarkan mengeluarkan enjin kapal terbang. Kereta pertama yang dihasilkan BMW adalah Dixi 3/15 pada 1928 hasil daripada kerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar kereta lain. Ia kemudiannya diikuti dengan 3/20PS pada 1932. Pada 1933, BMW juga mengeluarkan kereta dengan nama 327, 328 dan 335 yang diiktiraf paling moden pada zaman itu.

SOICHIRO HONDA

BELIAU yang dilahirkan di Hamamatsu, Jepun pada 1906 ialah pengasas Honda Motor Company Limited. Beliau menghabiskan zaman kanak-kanak dengan membantu bapanya yang membuka bengkel membaiki basikal. Pada usia 15 tahun tanpa sebarang pendidikan formal beliau berhijrah ke Tokyo untuk belajar sambil bekerja selama enam tahun sebagai mekanik kereta sebelum kembali ke kampung halaman untuk membuka perniagaan membaiki kereta sendiri pada usia 22 tahun. Pada umur 31 tahun, beliau mula mereka bentuk gelang omboh untuk digunakan di dalam enjin kecil dengan niat untuk menjualnya kepada syarikat Toyota. Reka bentuk itu kemudiannya ditolak oleh Toyota sehingga menyebabkan beliau terpaksa menghasilkan reka bentuk baru. Beliau mengikuti kelas kejuruteraan secara sambilan bagi mendapat idea-idea baru untuk menghasilkan gelang omboh itu. Dana yang digunakan bagi membiayai pengajiannya dan membuat reka bentuk baru adalah hasil daripada wang gadaian barangan kemas milik isterinya, Sachi Honda. Setelah berusaha selama dua tahun, beliau akhirnya memenangi kontrak untuk menghasilkan gelang omboh untuk Toyota.

Bagaimanapun syarikat pengeluar gelang omboh itu musnah dalam satu kejadian gempa bumi. Berikutan kekurangan dana, syarikat itu terpaksa dijual kepada Toyota.  Beliau kemudiannya bangkit kembali dengan menubuhkan Institut Penyelidikan Teknikal Honda yang berperanan mereka bentuk enjin motosikal. Pada 1948, ketika berusia 42 tahun, beliau secara rasmi menubuhkan Honda Motor Company Limited dengan memegang jawatan Presiden. Produk pertama yang dihasilkan adalah motosikal Honda Cub. Sejak itu, perniagaan syarikat itu berkembang pesat dengan pendapatan berbilion dolar. Pada 1964, syarikat itu menjadi pengeluar terbesar motosikal dunia mengatasi syarikat Triumph dan Harley-Davidson. Pada 1963, syarikat itu telah mengeluarkan trak kecil T360 dan kereta sport S500. Soichiro bersara pada 1973 ketika berusia 67 tahun. Bagaimanapun, sehingga akhir hayat, nasihat beliau sentiasa diberi perhatian oleh pihak pengurusan syarikat. Selepas bersara, beliau memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan menerusi Yayasan Honda. Beliau dan isteri, Sachi turut menghabiskan masa lapang dengan memandu kapal terbang, bermain ski dan mengembara dengan belon udara panas. Beliau yang diiktiraf sebagai ‘Henry Ford Jepun’ meninggal dunia pada 1991 ketika berusia 84 tahun.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
4 FEBRUARI 2012