JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



25 Julai 2013

ISU SOSIAL : RATU CANTIK DENGAN 1000 ALASAN


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Kita tidak akan habis memperkatakan polemik isu salah atau tidak penyertaan gadis Islam dalam pertandingan ratu cantik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'. Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh". Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun. Si penganjur pun satu hal. Maka keluarlah kenyataan untuk sekali lagi 'menghalalkan' penyertaan gadis-gadis Islam itu sebagai kononnya "anda tidak perlu memperagakan pakaian renang, cukup sekadar pakaian sukan".

Eh! kalau sebahagian besar peserta bukan Islam terbabit memakai pakaian renang, hampir terdedah payu dara manakala sebilangan lagi pakaian sukan, tidakkah janggal atur cara pertandingan itu? Seingat penulis, tidak ada kriteria pemilihan pemenang finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 yang sekadar untuk peserta yang tutup aurat. Akan pasti terpalit isu halal haram ke atas peserta ratu cantik Islam itu. Suatu masa lalu kita didedahkan dengan satu fatwa berkaitan hukum wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik. Fatwa ini dikeluarkan oleh Allahyarham Datuk Haji Ishak Baharom, bekas mufti Selangor sekitar 1997 dan disahkan oleh Sultan Selangor.

Fatwa ini dikeluarkan ekoran sekitar tahun itu banyak pertandingan ratu cantik yang telah dijalankan. Dan yang menyedihkan serta memalukan apabila terdapat ramai wanita yang beragama Islam tidak terlepas menyertainya. Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain. Atas dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan diperlihatkan kepada umum. Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.

Walaupun tidak ada undang-undang khusus yang mengharamkan peserta Islam dalam pertandingan ratu cantik, tetapi fatwa yang dikeluarkan dan diwartakan adalah undang-undang yang mengikat. Contohnya fatwa berkaitan yang telah diwartakan oleh Wilayah Persekutuan pada Februari 1996 memperuntukkan, "Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik." Berdasarkan kepada nas-nas yang dikemukakan, umat Islam di Malaysia bersetuju memutuskan bahawa menyertai dan menganjurkan peraduan ratu cantik adalah haram di sisi Islam. Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.

Lihatlah betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu. Isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan' ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak? Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.

Inilah kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri. Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung. Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya. Yang penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita. Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.

Wanita hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain. Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik. Penganjur Miss World Malaysia 2013, Datuk Anna Lim perlu konsisten - dengan berpegang kepada pendirian membatalkan penyertaan empat gadis Islam terbabit. Kita sudah muak dengan kedangkalan yang ditunjukkan daripada ungkapan-ungkapan yang keluar daripada mulut gadis-gadis Islam kacukan ini.

UTUSAN MALAYSIA
25 JULAI 2013

ISU SOSIAL : KESAN BURUK PENAGIHAN ARAK, DADAH, DAN SHISHA


TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Kepekaan dan keberanian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui wujudnya masalah disiplin dalam kalangan atlet sukan dari sudut pengambilan minuman keras dan bahan terlarang harus disambut baik oleh semua pihak. Tindakan untuk menyiasat dan mengkaji punca permasalahan adalah pendekatan yang proaktif demi untuk merancang dan melaksanakan sistem dan proses yang lebih mantap dalam pengurusan sukan di negara ini. Kes rogol yang membabitkan pegawai pengiring wanita pasukan bola baling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) adalah rentetan peristiwa malang yang mungkin menjadi pengajaran supaya budaya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Budaya mencegah yang meletakkan sistem dan prosedur yang proaktif sebagai mengelak sebarang kemungkinan kejadian gejala anti sosial yang mengundang jenayah daripada berlaku dalam institusi sukan negara. Cadangan Menteri berkenaan untuk menetapkan bahawa pegawai pengiring pasukan sukan perlu dilantik dalam kalangan mereka yang lebih berusia juga adalah rasional kerana mereka yang lebih berusia akan dapat mengawal mereka yang di bawah seliaannya dengan lebih cekap dan adalah lebih proaktif jika pegawai pengiring terdiri daripada golongan gender yang sama. Bertitik tolak daripada itu isu penggunaan barang terlarang atau doping seperti steroid yang dilaporkan oleh akhbar ini pada 10 Julai 2013 juga perlu diambil perhatian berat supaya ia dapat dikekang bukan sahaja di peringkat awam malah kemungkinan penularannya membabitkan atlet negara pada masa akan datang.

Satu usaha bersepadu perlu dijalankan untuk memberi penerangan kepada golongan muda berkaitan penyalahgunaan bahan steroid kerana akibatnya amat serius seperti strok serangan sakit jantung dan darah tinggi secara senyap. Agensi penguat kuasa perlu bertindak segera mengekang penjualan bahan steroid secara terbuka dengan mengetatkan perlaksanaan undang-undang untuk membawa penjual dan pengedar bahan steroid ke muka pengadilan. Kementerian Penerangan dan Multimedia disarankan supaya mengambil tindakan proaktif untuk menghalang syarikat yang menjual steroid di laman sesawang sebagai langkah membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Jika ia terbukti mampu membawa keburukan kepada pengguna maka Akta Farmasi 2010 serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (CDCR) di mana perdagangan steroid dikawal di Malaysia di bawah Akta Racun 1952 perlu dipinda untuk menambah peruntukan denda maksimum yang sedia ada kepada jumlah yang lebih tinggi. Klinik yang terlibat membekal dan menjual steroid secara berleluasa perlu memberhentikan aktiviti mereka sekiranya mereka sedar bahawa tindakan tersebut mengundang bahaya kepada pelanggan manakala pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera ke atas klinik-klinik yang tidak beretika yang beroperasi menjual dan membekal bahan steroid tanpa kawalan tersebut.

Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan juga perlu diteliti dan satu rumusan yang menyeluruh perlu dicari segera seperti isu e-cigarette, shisha dan penghiduan gam kerana kesemuanya tidak terangkum dalam Akta Dadah Berbahaya tetapi menjurus kepada masalah yang sama iaitu penagihan. Demikian juga isu shisha yang telah diharamkan di Perlis oleh Majlis Fatwa Perlis. Cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penggunaan shisha adalah langkah yang wajar. Tindakan Majlis Perbandaran Kota Bahru yang menguatkuasakan larangan jualan peralatan shisha mengikut Undang-undang Kecil Pengawasan, Penyeliaan Makanan 1987 (Pindaan 2003) yang tidak membenarkan penggunaan dan penawaran alat tersebut di premis yang dilesenkan adalah satu langkah yang perlu dituruti.

Ini adalah kerana peralatan shisha adalah mirip kepada peralatan penagihan dadah ganja dan jika tidak dibendung akan mengakibatkan penularan penyalahgunaan dadah ganja dalam kalangan belia. Lebih membimbangkan lagi adalah tabiat menghidu gam yang merupakan satu perbuatan yang menyumbang kepada penyakit sosial yang semakin berleluasa pada masa kini, yang melibatkan pelbagai peringkat umur sehinggalah kalangan pelajar sekolah. Perbuatan ini memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan seseorang terutama di bahagian otak sehingga boleh mengundang maut. Menurut peruntukan undang-undang menghidu gam bukanlah merupakan suatu kesalahan malah sumbernya iaitu gam merupakan bahan yang sah di sisi undang-undang untuk kegunaan harian.

Namun demikian sekiranya tabiat menghidu gam ini tidak dibendung lebih awal, ia akan membawa akibat yang lebih besar bukan sahaja kepada kesihatan, malah akan menjerumuskan individu tersebut ke arah penagihan dadah, seterusnya menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia memandang serius perkembangan ini dan berharap semua pihak berkuasa terutamanya masyarakat awam supaya sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mengekang apa sahaja gejala yang mengundang bahaya kepada kita, terutama yang membabitkan belia warisan negara. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah dan sudah patah baru hendak melantai.

UTUSAN MALAYSIA

25 JULAI 2013