JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Julai 2017

CATATAN CIKGU ZUL : KEBAKARAN RUMAH PANJANG, SUBURKAN KASIH SAYANG TERHADAP RUMAH PANJANG, “RUMAH PANJANGKU NYAWA DAN SYURGA HIDUPKU”


Fenomena kebakaran rumah panjang semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Mengapakah kejadian yang menyedihkan ini terus berlaku dan berlaku walaupun pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan? Saya sendiri pernah mengalami insiden ngeri ini apabila rumah panjang kami telah lenyap dalam sekelip mata ditelan api semasa sambutan Hari Gawai Dayak pada tahun 2010. Semuanya menjadi debu dalam sekelip mata. Peninggalan lama nenek moyang semuanya hangus terbakar. Api yang marak telah membaham apa-apa sahaja tanpa rasa simpati dan kasihan. Saya masih ingat, sambutan Hari Gawai Dayak beberapa hari sebelum kebakaran itu amat meriah. Kami yang tinggal di bandar, hampir 90% balik ke kampung. Kami atur pelbagai program untuk menyerikan hari gawai. Setiap waktu yang berlalu, kami isi dengan pelbagai perkara yang menceriakan dan menghiburkan. Maklumlah, kami bukannya selalu bertemu kerana masing-masing membawa diri ke bandar untuk bekerja. Keterbatasan masa dan kesukaran memohon cuti serta kos yang banyak diperlukan untuk balik menghalang niat kami untuk kerap pulang ke kampung. Oleh sebab itu, kami cuma pulang pada bulan Jun sahaja untuk meraikan hari gawai. Pada masa itulah kami berjumpa dengan rakan-rakan sepermainan semasa zaman kanak-kanak dahulu. Pada masa itulah kami berjumpa dengan kawan yang selalu bersama-sama pergi ke hutan, bermain di tepi sungai, melastik burung, menjerat ayam hutan dan sebagainya. Walau bagaimanapun, keceriaan dan kemeriahan yang berbunga di jiwa setiap penghuni rumah panjang kami, saya sambut dengan linangan air mata sebaik sahaja menerima panggilan telefon, rumah panjang kami sudah hangus terbakar. Ya Allah, disitulah segala-galanya bermula. Di situlah juga saya mula menghirup nafas duniawi.

Saban tahun malah hampir setiap bulan kita akan membaca berita mengenai kebakaran rumah panjang di beberapa kawasan di Sarawak berlaku. Apakah kita tidak belajar daripada kejadian yang lepas-lepas? Semakin moden kehidupan kita, semakin moden rumah panjang kita, semakin ramai penghuni rumah panjang yang berpendidikan, semakin kerap pula kebakaran rumah panjang berlaku. Setiap kejadian kebakaran sesebuah rumah panjang, kerugiannya bukan sedikit kerana insiden ngeri itu melibatkan lebih daripada 20 buah keluarga. Bukan mendabik dada tentang kaum sendiri tetapi semua orang tahu akan kepintaran orang Iban menghias rumah panjang mereka, semuanya mesti seragam supaya nampak cantik. Barang-barang elektrik dan perabot dibeli mengikut kemampuan sesebuah keluarga. Bagi keluarga yang berada dan mempunyai ramai anak yang bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta, barangan yang dibeli memang mahal dan berjenama. Semuanya dibeli secara tunai. Jarang kita dengar masyarakat rumah panjang yang tinggal di kawasan pedalaman membeli barangan secara ansuran. Mereka hanya akan membeli setelah wang simpanan mencukupi. Itulah prinsipnya. Harta benda itu dikumpul tahun demi tahun, ibarat sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit. Bayangkan, apabila harta yang dibeli dengan membanting tulang empat kerat sendiri lenyap dalam sekelip mata ditelan api yang mengila.


DIMANAKAH SILAPNYA?

Setelah hampir 60 tahun merdeka, percaya atau tidak masih 90% rumah panjang di Sarawak tidak ada bekalan elektrik. Penghuni rumah panjang terpaksa berdikari membeli generator sendiri baik secara persendirian atau perkongsian seluruh penghuni rumah panjang. Walaupun ada generator bantuan kerajaan, bantuan ini tidak menyeluruh, apabila rosak, mereka harus beli sendiri kerana tidak ada bantuan untuk kerja baik pulih kerosakan. Oleh itu, masyarakat rumah panjang terpaksa membuat sistem pendawaian sendiri. Kadang kala kita yang melihat pun takut kerana pendawaian yang dibuat memang berbahaya. Apabila berlaku litar pintas masalah kebakaran memang akan berlaku. Mereka menyedari perkara ini tetapi terpaksa melakukannya kerana perlukan elektrik untuk menghidupkan televisyen, peti sejuk, dan sebagainya. Jika rumah panjang tersebut diperbuat daripada kayu, kemusnahan hanya berlaku dalam beberapa minit sahaja bak kata pepatah api, apabila kecil menjadi kawan, setelah besar menjadi lawan. Wayar yang disambung dengan pelbagai cara inilah penyebab utama kebakaran di rumah panjang. Mengapakah mereka buat sebegitu? Jawapannya mudah, mereka perlukan elektrik untuk menjadikan semua perkakas di rumah..

Satu lagi punca kebakaran rumah panjang ialah kecuaian semasa memasak di dapur. Sesebuah bilik mempunyai ruang yang amat luas. Ruang dapur biasanya di hujung sekali dan agak jauh. Apabila kaum ibu memasak air atau apa-apa saja, mereka selalu melakukan kerja-kerja lain sementara menunggu masakan tersebut. Malangnya, ramai yang leka sehingga terlupa untuk menjenguk masakan mereka. Ada yang tertidur dan apabila sedar kebakaran telahpun berlaku. Kecuaian sebegini walaupun amat dikesali tetapi sehingga kini sentiasa berulang dan berulang. Mungkinkah hal ini berlaku disebabkan mereka sudah tidak sayang kepada rumah panjang sendiri. Jika mereka sayangkan rumah panjang mereka tidak akan tergamak membiarkan diri mereka hanya tinggal sehelai sepinggang apabila rumah panjang habis dijilat api. Malangnya, rumah panjang itu milik bersama bukan milik perseorangan. Jika yang terbakar satu maka kebakaran itu akan merebak dan merebak sehingga semuanya lenyap begitu sahaja. Lebih-lebih lagi andai kejadian itu berlaku pada waktu pagi di mana semua penghuni sedang tidur lena dibuai mimpi-mimpi indah. Penghuni rumah panjang harus sedar akan hakikat bahawa rumah panjang itu merupakan hak bersama. Apa-apa sahaja yang kita lakukan kita harus fikirkan perasaan semua penghuni yang tinggal di rumah panjang itu. Kejadian kebakaran rumah panjang ini harus dipandang serius kerana kebakaran ini bukan perkara main-main yang boleh dipandang remeh. Rasa cintakan rumah panjang harus ditanam kukuh dijiwa setiap penghuni. Jika bukan kita jaga rumah panjang kita, siapa lagi? Ingatkanlah susah payah kita bekerja untuk mendapatkan wang bagi membina sebuah rumah panjang yang indah dan bersejarah itu.

Jalan penyelesaian melalui hukuman ke atas pihak yang cuai dan lalai tidak mampu untuk mengembalikan semua kerugian yang ditanggung akibat kebakaran. Tuntutan ganti rugi tidak terbayar hingga ke hujung nyawa. Pergaduhan dan perbalahan bukanlah penyelesaian terbaik kerana semua yang kita sayang telah musnah dijilat api. Oleh itu, cara terbaik ialah setiap penghuni harus bersatu dan berganding bahu untuk menjauhi segala perbuatan dan tindakan yang boleh membahayakan dan memusnahkan sesebuah rumah panjang. Rasa kasih sayang dan disiplin setiap penghuni tanpa mengira usia mampu menyelamatkan sesebuah rumah panjang daripada insiden kebakaran berantai seperti yang berlaku pada masa ini. Jika tidak, kita akan terus dihantui kejadian kebakaran rumah panjang yang tidak berkesudahan. Ingatlah, setiap kebakaran itu memang akan mengakibatkan kemusnahan. Sampai bilakah kita mahu menanggung derita dan sengsara akibat semua ini?


RUMAH PANJANGKU, 
NYAWA DAN SYURGA HIDUPKU

Secara peribadi saya melihat kejadian sebegini berpunca daripada kurangnya nilai kasih sayang terhadap rumah panjang dalam jiwa setiap penghuni. Kasih sayang merupakan nilai yang harus disemai dalam diri kita. Orang yang memiliki rasa kasih dan sayang yang tinggi akan berusaha menjaga dan memelihara hak milik mereka dengan sebaik-baiknya. Mereka  tidak akan melakukan sesuatu yang boleh mengkhianati rasa kasih dan cinta mereka terhadap apa-apa sahaja yang mereka ada. Jika kita berjaya menyemai nilai kasih sayang terhadap rumah panjang ini dalam jiwa setiap penghuni, masalah kecuaian yang mengakibatkan kebakaran ini mungkin dapat diminimumkan. Penghuni rumah panjang yang sayangkan rumah panjang mereka akan berusaha sedaya upaya memastikan kediaman mereka indah dan selamat daripada sebarang ancaman. Jika semua penghuni rumah panjang berdisiplin, saya yakin bencana kebakaran rumah panjang dapat kita atasi. Kasih sayang yang melimpah terhadap rumah panjang sendiri mampu membangkitkan semangat dan keinginan untuk menjaga dan memelihara serta mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sesama penghuni. Sesungguhnya, kaum Iban bukan sahaja dikenali kerana tarian ngajat dan perayaan gawai dayak malahan rumah panjang merupakan identiti kita yang harus dikekalkan.

Alangkah sedihnya hati apabila melihat peninggalan nenek moyang kita hangus dibaham api durjana. Kita pun tahu bukan mudah untuk mereka memperoleh semua itu. Mereka jaga dan pelihara bagaikan menjaga nyawa mereka sendiri. Mereka sanggup mengembara ke merata-rata tempat untuk membawa pulang harta benda yang diwarisi kepada ahli keluarga dari satu keturunan ke satu keturunan. Akan tetapi, apabila sampai ke tangan kita semuanya musnah begitu sahaja, yang tinggal hanya abu dan debu, yakini apabila ditiup angin semuanya berterbangan jauh meninggalkan kita. Tiada lagi kenangan. Tiada lagi tanda. Tiada lagi warisan. Dan, bukannya mudah untuk mencari ganti kerana setiap ahli keluarga yang telah pergi meninggalkan kita memang memiliki kreativiti dan keistimewaan yang tidak dapat kita tandingi. Oleh itu, saya menyeru agar masyarakat Iban yang masih tinggal di rumah panjang, berhati-hatilah terutama semasa melakukan kerja-kerja yang boleh membawa kepada kebakaran. Sikap cuai dan lalai hanya akan membawa kemusnahan dan setiap kemusnahan hanya menghadiahkan rasa sayu dan pilu yang diserikan dengan linangan air mata kesedihan. Jangan sampai kecuaian kita membunuh ikatan silaturrahim yang terjalin erat sesama penghuni.

Ayuh kita sama-sama menjaga dan memilihara rumah panjang kita dengan satu hati, satu jiwa, satu nyawa kerana itulah identiti masyarakat kita yang perlu dipertahankan. Kita bina rumah panjang kita dengan rasa kasih sayang yang melaut luasnya. Kita jaga rumah panjang kita dengan penuh tanggungjawab dan disiplin. Semua perbuatan yang boleh mengakibatkan kemusnahan haruslah kita lenyapkan melalui permuafakatan dan persepakatan yang berlandaskan rasa hormat-menghormati. Walau secantik manapun banglo yang kita diami di bandar, hati tetap juga terpaut untuk kembali ke rumah panjang apabila tibanya Hari Gawai Dayak.  Walau semoden manapun ruang tamu rumah kita di kota, tetap juga ingin berehat bertemankan api pelita di rumah panjang kerana disitulah bermulanya diri kita. Cinta pertama amat payah untuk ditinggalkan. Sejauh manapun kaki melangkah, jiwa dan selera kita tidak pernah lupa untuk teringat kisah-kisah indah yang kita lalui di rumah panjang. Kita tidak pernah bosan untuk kembali ke rumah panjang walaupun masa yang diambil ada kalanya sampai berjam-jam kerana itulah diri kita yang sebenarnya. Formula terbaik untuk mengelakkan kebakaran rumah panjang ialah kita harus suburkan rasa kasih dan sayang dalam jiwa setiap penghuni yang masih mendiami rumah panjang. Jangan sampai kita menangis lagi!

Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin

Sibu, Sarawak.