JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



02 Mei 2011

ISU BAHASA : BAHASA MELAYU MENGERAT RAKYAT PELBAGAI BUDAYA

Oleh Teo Kok Seong
teokok@ukm.my
BERITA HARIAN, 27 APRIL 2011


Maklum balas kerajaan untuk meneliti kemungkinan dikembalikan Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dalam bentuk baru, iaitu penggunaan dua bahasa pengantar berlainan, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris untuk dua kelompok pelajar, menimbulkan dua reaksi yang bertentangan. Ia disenangi oleh mereka yang inginkan PPSMI diteruskan. Sebaliknya, ia tidak dipersetujui oleh mereka yang inginkan hanya bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa ilmu di negara ini. Dalam hal kemungkinan ini, bahasa, sama ada bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris ataupun yang lain, dilihat sebagai semata-mata wahana untuk menyampaikan ilmu. Justeru, penggunaan mana-mana bahasa ini serta yang lain-lain khususnya sebagai alat untuk menyatakan pemikiran, merakamkan fakta serta menukar maklumat adalah lebih daripada sudah memadai. Fungsi asas bahasa begini dapat dimainkan oleh mana-mana bahasa moden, yakni yang telah dibakukan.

Dengan kata lain, untuk sekadar menyampaikan idea atau bertanya untuk memperoleh maklumat kita boleh menggunakan mana-mana bahasa yang menjadi pilihan kita. Syarat utama dalam hal ini ialah bahasa yang digunakan itu perlu difahami bersama. Inilah satu-satunya fungsi bahasa yang diketahui umum. Akan tetapi, ia bukanlah satu-satunya fungsi bahasa yang wujud atau cara tunggal ketika kita menggunakan bahasa. Bahasa mempunyai banyak fungsi lain. Fungsi komunikasi adalah salah satu daripadanya dan sebetulnya ia adalah fungsi yang kecil saja. Sehubungan pelbagai fungsi lain ini, bahasa antaranya digunakan sebagai penanda jati diri, baik yang bersifat etnik mahupun nasional. Ia juga digunakan sebagai wahana untuk mengungkapkan budaya sesebuah kelompok itu. Bahasa adalah juga sumber perpaduan kaum dan integrasi nasional.  Ia juga adalah faktor penentu utama dalam pembentukan negara bangsa dan pembangunan negara itu sendiri. Bahasa adalah antara elemen yang paling sesuai digunakan untuk tujuan penyatuan dan pemupukan kesedaran kebangsaan, selain pelbagai tujuan kenegaraan yang lain.

Hal ini sudah terbukti di merata tempat seluruh dunia. Aspek politik bahasa inilah yang perlu diambil kira dalam isu PPSMI. Sehubungan ini, bahasa Melayu selaku bahasa negara ini, perlu dipastikan adalah faktor jati diri paling penting bagi menyatakan ciri, sifat, perasaan dan kepercayaan rakyat negara ini, yang dapat dibezakan dengan rakyat negara lain. Pernyataan begini menerusi bahasa Melayu bukan saja mampu membentuk jati diri nasional, tetapi juga semangat kebangsaan. Pada kelazimannya, semangat kebangsaan, khususnya kecintaan terhadap negara dan jati diri nasional, lebih-lebih lagi pameran citra yang sama mana-mana negara diungkapkan dalam bahasa negara berkenaan. Bahasa negara adalah pengungkapan perasaan etnonasional yang paling dasar. Sehubungan ini, malangnya elit sesetengah negara didapati lebih selesa mengungkapkan jati diri nasional mereka melalui bahasa Inggeris, jika dibandingkan dengan bahasa negara mereka sendiri.

Dalam isu PPSMI yang antaranya adalah pertikaian mengenai kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk bidang sains dan teknologi pada zaman globalisasi ini, bahasa Melayu sebetulnya memiliki warisan budaya yang amat mengagumkan untuk memikul tugas ilmiah ini. Sehubungan ini, kecemerlangan bahasa Melayu pada masa lampau sebagai lingua franca ikut menjadi landasan kuat kepada kemantapannya pada waktu kini sebagai bahasa ilmu tinggi. Dengan warisan sedemikian, bahasa Melayu adalah pilihan tepat untuk memaju rakyat dan negara Malaysia pada setiap masa, dulu, kini dan akan datang. Pada masa dulu, khususnya selepas kemerdekaan, kerajaan menggunakan kaedah pujukan untuk merayu kepada semua rakyat agar menggunakan bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara. Kaedah ini selain proses perlahan didapati kurang berkesan dalam mencorakkan perwatakan kebangsaan pada sesetengah sektor rakyat Malaysia dengan menggunakan bahasa Melayu.

Untuk masa ini dan akan datang dalam usaha menangani masalah penggunaan ini, kerajaan perlu menggubalkan dasar yang boleh menghasilkan penyatuan bahasa yang lebih cepat. Untuk ini, barangkali kaedah yang lebih keras diperlukan. Ini penting sekali untuk tujuan penyatupaduan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sehubungan ini, kerajaan perlu mengangkat hanya bahasa Melayu sebagai bahasa perantara untuk interaksi yang merentas etnik yang amat diperlukan untuk perpaduan kaum dan integrasi nasional. Bahasa Melayu saja yang mempunyai kelebihan ini di negara ini. Dalam hal ini, kerajaan perlu menggunakan bahasa Melayu saja selaku bahasa negara untuk menggerakkan seluruh rakyat untuk tujuan kenegaraan, khususnya memupuk kesedaran kebangsaan dan membentuk jati diri nasional. Jika bahasa Melayu tidak berjaya digemblengkan untuk tujuan ini, bahasa Melayu boleh dikatakan gagal berfungsi sebagai bahasa negara.

Sesungguhnya kejayaan atau kegagalan bahasa negara berfungsi dengan baik, khususnya dalam melaksanakan peranan menasionalkan rakyat, dalam erti kata mereka memiliki perwatakan kebangsaan, terletak di tangan kerajaan. Pelaksanaan Dasar Bahasa Negara adalah tanggungjawab kerajaan. Sehubungan ini, kerajaan mempunyai kuasa penuh untuk mempromosikan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.  Untuk bahasa Melayu mendukung peranan menasionalkan rakyat ini dengan lebih berkesan, ia perlu diinstitusikan dalam sistem pendidikan kebangsaan, sebagai satu-satunya bahasa untuk tujuan penyatupaduan dan kemajuan negara. Ini perlu dilakukan dengan hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk mendukung pelbagai fungsi politik.  Fungsi politik ini perlu digemblengkan melalui saluran pendidikan, yang hanya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama. Dalam konteks ini, kerajaan perlu bijak memanipulasikan bahasa Melayu, bukan saja untuk membentuk rakyat yang bangga, sayang dan setia kepada bahasa negara mereka.

Tetapi juga bagi menyalurkan pelbagai nilai kenegaraan yang lain. Untuk melakukan semua ini dengan jayanya, kerajaan perlu melestari dan mengabsahkan bahasa Melayu pada setiap masa dan sekali-sekala menjadikannya relevan dengan perkembangan semasa.  Semua ini adalah untuk memastikan maruah budaya pada bahasa Melayu sentiasa dipelihara. Dengan hanya menggunakan bahasa Melayu, kesatuan budaya seluruh rakyat Malaysia terus berada dalam keadaan utuh. Lebih penting lagi ialah bahasa Melayu sentiasa berkait rapat dengan semangat kebangsaan dan jati diri nasional.

Penulis ialah Timbalan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

ISU KENEGARAAN : HAYATI PERLEMBAGAAN TUNJANG KEUTUHAN KAUM

Oleh Shamrahayu A Aziz
BERITA HARIAN, 26 APRIL 2011


Beberapa perkembangan semasa seperti persoalan yang dikemukakan kepada kerajaan mengenai cadangan meminda peruntukan berkaitan Islam di dalam Perkara 3(1) mendorong saya untuk berkongsi dengan pembaca beberapa isu berkaitan falsafah atau prinsip Perlembagaan negara. Perlembagaan adalah ‘manifesto’ negara yang mengetengahkan ideologi dan falsafah atau prinsip untuk diamalkan selepas negara mencapai dan menikmati kemerdekaan. Peruntukan yang dimuatkan di dalam dokumen Perlembagaan ini bukan saja meletakkan ideologi berkenaan semata-mata, tetapi ia juga mengetengahkan beberapa perkara yang menjadi paksi kepada kemantapan falsafah negara. Peruntukan Perlembagaan sebagai ideologi negara digarap sedemikian rupa untuk mewarnai watak dan sifat serta seterusnya membentuk jati diri negara ini. Semuanya adalah hasil daripada sifat tolak ansur dan toleransi pelbagai kaum.

Ia juga bukan hanya pengorbanan, masa dan tenaga, malah air mata dan darah, rakyat dan pemimpin terdahulu. Oleh itu, pembinaan negara bangsa bagi negara yang kita cintai ini amat bergantung kepada prinsip asas yang diperkenalkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.  Walaupun ramai daripada kalangan pembaca yang mempunyai pandangan sendiri mengenai falsafah negara, saya hanya ingin serlahkan prinsip yang tersurat secara harfiah di dalam Perlembagaan dan bukan perkara yang tersirat. Insya-Allah akan saya huraikan prinsip yang tersirat kemudian nanti. Mungkin memahami apa yang tersurat adalah langkah awal untuk setiap kita memahami dasar yang diperkenalkan Perlembagaan. Selain daripada itu, ia adalah lebih mudah dan tidak begitu teknikal bagi pembaca awam. Antara prinsip asas yang ada dalam Perlembagaan ialah, keluhuran atau ketinggian Perlembagaan, Islam sebagai agama negara, jaminan terhadap kedudukan Raja-Raja Melayu, jaminan keistimewaan Melayu dan pengisytiharan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya percaya ramai rakyat Malaysia menghargai peruntukan Perlembagaan yang berkaitan dan berusaha untuk menjadikan pengorbanan, cita-cita dan harapan rakyat dan pemimpin terdahulu sebagai tanggungjawab mereka.  Namun, seperti disedari semua, atas alasan ‘masa sudah berubah’ beberapa isu berkaitan perkara berkenaan sudah dipersoalkan secara sewenang-wenang dan ada ketikanya dengan cara ‘panas’. Ini sebenarnya tidak harus berlaku kerana prinsip itu sudah jelas dan tetap (enshrined) di dalam undang-undang tertinggi negara.  Berbalik kepada ideologi dan falsafah negara, agama Islam yang bersemadi di dalam Perkara 3(1) adalah perkara pokok yang menjadi identiti negara. Peruntukan ini mencerminkan kedudukan agama di dalam negara ini. Kedudukan Islam seperti dimuatkan di dalam Perkara 3(1) adalah manifestasi sejarah dan kehendak masyarakat Malaya yang tidak boleh dipandang remeh. Menerusi peruntukan itu, sehingga kini Malaysia sudah mengekalkan identiti Islam dan negara kita dikenali di seluruh dunia sebagai sebuah negara Islam yang progresif.

Ketika kerajaan diajukan persoalan sama ada mempunyai cadangan bagi meminda peruntukan berkenaan, saya (mungkin ramai lagi rakyat Malaysia) berasa agak terkilan. Perasaan ini lahir kerana saya tidak dapat membayangkan rakyat Malaysia yang sering mempersoalkan perkara yang begitu jelas disebut dan ia adalah peruntukan yang tetap di dalam Perlembagaan. Adakalanya saya tertanya-tanya kepada diri sendiri, kenapa agaknya ada segelintir rakyat Malaysia yang masih lagi bersifat sedemikian. Adakah mereka masih belum memahami perkara yang sebenar mengenai kedudukan Islam. Saya fikir pembaca mempunyai jawapan yang pelbagai kepada persoalan yang bersarang di minda saya ini. Walau apa alasan untuk menimbulkan persoalan ini, mereka yang bertanya seolah-olah tidak ada perkara lain yang lebih penting untuk diajukan. Seperti yang saya sebut di atas, kedudukan Islam ini sudah begitu jelas dan tetap.

Seperti yang dimaktubkan: “Islam adalah agama bagi Persekutuan...” dan fasal ini tidak menggunakan perkataan ‘rasmi’.  Sudah terlalu banyak penulisan akademik dan perbahasan tertentu mengenai kedudukan Islam dari segi sejarah dan perundangan yang sudah disebarluaskan kepada masyarakat. Oleh itu, saya tidak nampak kewajaran untuk persoalan berkenaan dikemukakan oleh mana-mana pihak.  Walau apapun juga motif persoalan ini ia adalah perlakuan membuang masa dan menampakkan sifat tidak sensitif mereka yang bertanya. Saya tidak menafikan hak kebebasan sesiapapun untuk mengajukan soalan, tetapi ia adalah persoalan ‘menjolok sarang tebuan’ yang mendatangkan lebih banyak keburukan daripada kebaikan. Perkara sebegini lebih baik dielakkan oleh semua pihak.  Sekiranya mereka yang membuat persoalan mengenai pindaan kepada Perkara 3 menghayati kisah, masalah, sensitiviti masyarakat Islam dan keputusan mahkamah di negara ini (sama ada di dalam lipatan sejarah dan keadaan kini) mengenai kedudukan Islam di dalam Perlembagaan, saya agak mereka harus berfikir seratus kali sebelum mengajukannya.

Sebagai pengakhir kata, suka saya sebut bahawa pengisytiharan mengenai falsafah, sifat dan watak negara banyak terkandung di dalam Perlembagaan. Oleh itu, ia menuntut kesungguhan seluruh rakyat Malaysia, walau apa kaum dan agama untuk menghayatinya. Fahamilah semua prinsip ini dengan hati yang terbuka dan bersandarkan realiti dan sejarah. Sekiranya ada perkara yang perlu dipersoal, perhalusi dan kajilah terlebih dulu sebelum diasak dan digoyah nikmat keamanan yang kita ada.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

ISU BAHASA : SIAPA BERANI DAULATKAN BAHASA MELAYU?

Oleh Azman Anuar


Dalam beberapa hari lalu, pemimpin masyarakat bercakap semula tentang bahasa kebangsaan. Cerita tentang bahasa ini sekejap tenggelam, sekejap timbul. Masa isunya timbul, tak ada pun tindakan berkesan dari segi undang-undang diambil untuk perbetulkan mana yang salah. Isu berlalu begitu sahaja dengan janji-janji akan dilakukan. Apabila isu bahasa kebangsaan dibangkitkan kembali, ada pihak dipersalahkan dan ada pihak lain mempertahankan pendiriannya. Jarang-jarang ada pihak yang mahu mengaku kelemahan sendiri. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sejak 1956 diamanahkan sebagai institusi penjaga kedaulatan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu. Memang itu pun tugas, fungsi dan agenda yang perlu dimainkan oleh badan berkanun itu hingga kini. Dahulu, DBP tempat lahirnya pejuang sastera dan bahasa Melayu yang hebat. Hari ini, tak ramai yang muncul ke hadapan untuk mengangkat kembali tugas utama DBP – mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Mereka yang berjiwa besar untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini pasti masih ada di dalam bangunan tinggi berbumbung lambang buku gergasi itu. Kecuali, kalau-kalau ada pegawai DBP yang kurang bersemangat atau sudah tidak rasa apa-apa terhadap peranan utama mereka kepada negara dan bangsa. DBP tidak boleh menampakkan kepada orang ramai bahawa badan berkanun itu sudah letih apabila segala teguran dan permintaannya tidak dihormati oleh pihak lain. Malah beberapa kali Akta DBP dipinda tetapi masih tidak diberi kuasa penguatkuasaan. Yang ada kuasa seperti dimiliki oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pun tidak dimanfaatkan. Selagi DBP tidak ada kuasa menghukum, entah bila kita akan dapat melihat semua jabatan kerajaan dan sektor swasta benar-benar menghormati penggunaan bahasa kebangsaan dalam segala urusan masing-masing. Tambahan pula sekarang bagaikan ada gelombang membuatkan orang ramai ‘malu-malu’ untuk menggunakan bahasa kebangsaan dengan betul.

Kita tahu punca dan faktor pendorongnya. Pemimpin kerajaan yang terdiri daripada orang Melayu sendiri pun kadang kala tak banyak membantu mendaulatkan bahasa kebangsaan. Kalau begini keadaannya, sampai bila DBP harus menggunakan pendekatan mendidik dan berlembut? Sudah 55 tahun DBP memainkan peranannya dan hampir 54 tahun negara kita merdeka – tetapi kedudukan bahasa kebangsaan masih di takuk lama. Melayu, Cina, India, Iban, Kadasan dan kaum-kaum lain masih mengguna bahasa tunggang-langgang. Apa tindakan DBP terhadap kian banyak kesalahan bahasa misalnya pada papan iklan premis perniagaan. DBP mungkin menjawab ia tugas PBT dan PBT pula boleh memberi pelbagai alasan. Masing-masing cuba lepas tangan. Hal ini yang kita dengar dan perhatikan saban tahun tanpa penyelesaian. Agaknya siapa yang berani mengubah kelemahan dan kegagalan kita hari ini supaya semua rakyat menghormati dan mendaulatkan bahasa kebangsaan?

UTUSAN MALAYSIA
28 APRIL 2011

ISU KESIHATAN : NASI LEMAK OH NASI LEMAK!


Ramai yang berasa lega apabila Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan untuk menangguhkan peraturan mengehadkan penjualan nasi lemak di kantin sekolah. Kata beliau, satu kajian yang mendalam perlu dilakukan untuk memastikan sama ada nasi lemak menjadi punca utama masalah obesiti di kalangan murid sekolah. Baru-baru ini isu pemakanan nasi lemak yang menjadi makanan kesukaan ramai itu telah menjadi bahan perbincangan apabila ia dikatakan menjadi faktor utama kepada kegemukan kanak-kanak. Lantas dicadangkan supaya nasi lemak dikeluarkan daripada menu di kantin sekolah. Jika perlu dibenarkan hanya untuk dijual dua hari sahaja dalam masa seminggu. Cadangan arahan baru itu telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak. Ada yang mengatakan cadangan itu sangat baik dilaksanakan dan tidak kurang pula yang menentangnya. Kedua-dua pihak mempunyai alasan yang tersendiri.

Bagi menguatkan hujah mereka menyelitkan pelbagai fakta dan data serta disokong melalui kajian-kajian yang berkaitan dengannya. Sebelum kita menetapkan fikiran sama ada menyokong atau menentang cadangan itu, elok kita buat sedikit kajian tentang isu obesiti dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan obesiti atau masalah kegemukan itu? Secara amnya obesiti bererti pengumpulan lemak berlebihan yang menimbun di dalam badan seseorang. Pada masa kini obesiti dianggap sebagai suatu penyakit dan ia terjadi apabila tisu-tisu lemak menjadi berlebihan. Obesiti yang melampau boleh mengganggu dan mencederakan organ-organ di dalam badan dan seterusnya boleh mendatangkan masalah kesihatan yang lebih serius. Masalah obesiti tidak hanya berkisar dari aspek kesihatan tetapi dikaitkan dengan persepsi terhadap kecantikan dan keanggunan. Di kalangan sebahagian kaum remaja, soal kegemukan menjadi masalah yang cukup besar.

Mereka ingin tampil sebagai manusia yang sempurna yang sering kali dikaitkan dengan memiliki tubuh badan yang ramping dan langsing. Fenomena ini semakin disemarakkan melalui iklan di media massa terutama melalui televisyen dan akhbar yang selalu menonjolkan watak wanita langsing sebagai ikon dan lambang keanggunan dan kejelitaan. Oleh itu muncullah pelbagai jenis petua dan ramuan ubat-ubatan termasuk minuman dan makanan yang boleh menguruskan dan merampingkan tubuh badan. Nampaknya perniagaan ini sangat laris dan membawa keuntungan yang besar kepada golongan peniaga. Persepsi tentang obesiti atau kegemukan ini juga turut dikongsi bersama oleh remaja lelaki. Sebahagian daripada mereka juga merasa takut menjadi gemuk kerana gemuk yang berlebihan akan menyukarkan mereka menarik minat atau perhatian para gadis yang menjadi idaman mereka. Ramai daripada remaja lelaki yang menginginkan untuk mendapat susuk tubuh badan yang sasa dan kelihatan ‘macho.’

Siapakah sebenarnya yang tergolong dalam kalangan obesiti ini? Sesungguhnya mereka yang dimaksudkan itu pada umumnya dikaitkan dengan berat badan yang dua kali lebih berat berbanding dengan ukuran yang ideal mengikut kiraan Indeks Jisim Tubuh atau BMI. Ia adalah ukuran untuk mengira jumlah lemak dalam badan. Nilai BMI adalah berbeza mengikut umur dan jantina, sebagai contoh jika anda remaja lelaki yang berusia 14 tahun maka BMI anda adalah di antara 22.62 hingga 27.63. Sekiranya berlebihan daripada angka tersebut anda boleh dianggap berada dalam golongan obes. Apakah sebenarnya faktor utama yang membawa kepada berlakunya obesiti ini? Pada umumnya makanan yang berlebihan dan kandungan zat makanan yang tidak seimbang merupakan faktor utama kepada masalah ini. Makan berlebihan boleh menyebabkan kandungan kalori tidak dapat dibakar sepenuhnya.

Akibatnya kalori yang berlebihan itu akan tersimpan di dalam badan dalam bentuk lemak. Lemak yang berlebihan inilah yang menyebabkan tubuh badan menjadi obes atau gemuk. Obesiti juga boleh berlaku disebabkan oleh faktor genetik yang diturunkan daripada generasi sebelumnya. Kerap kita bertemu ibu bapa gemuk mempunyai kecenderungan memiliki anak-anak yang gemuk juga. Satu lagi faktor yang boleh menyebabkan obesiti ini ialah kegagalan fungsi sistem pengawal yang mengatur perilaku makan yang terletak pada bahagian otak yang dipanggil ‘hipotalamus.’ ‘Hipotalamus’ merupakan suatu kumpulan inti sel yang kompleks mempunyai hubungan dengan bahagian-bahagian lain dari otak dan kelenjar di bawah otak. Sekiranya ‘hipotalamus’ yang mempengaruhi penyerapan makanan iaitu ‘hipotalamus lateral’ atau HL yang berfungsi menggerakkan nafsu makan lebih kuat atau dominan daripada ‘hipotalamus ventromedial’ atau HVM iaitu yang menghalang atau mengurangkan nafsu makan maka seseorang akan menjadi rakus atau pelahap makan.

Keadaan ini menjadikan seseorang itu makan secara berlebihan dan akibatnya boleh menyebabkan obesiti itu. Ramai yang berpendapat satu daripada kaedah untuk mengawal masalah kegemukan ialah melalui kerap beriadah atau bersukan. Mereka yang kurang bersukan boleh menyebabkan kekurangan angka metabolisme basal atau tingkat tenaga yang diperlukan untuk mempertahankan fungsi minimum tubuh tidak digunakan sepenuhnya. Kebiasaannya semasa melakukan aktiviti sukan kalori akan terbakar, semakin banyak bersukan maka semakin banyaklah kalori yang hilang. Pada dasarnya dengan bersukan boleh menurunkan berat badan kerana ia dapat membakar kalori dan membantu mengatur fungsi metabolisme normal. Kebiasaannya tubuh badan yang sihat sering dikaitkan dengan faktor pemakanan. Diet pemakanan yang seimbang dan mengambil makanan yang berzat akan dapat menghasilkan tenaga dan membantu tubuh badan berfungsi dengan lebih baik.

Tabiat mengambil pemakanan yang manis, berkarbonat dan berlemak tinggi termasuk makanan segera boleh mendatangkan penyakit dan menyebabkan berlakunya pertambahan berat badan. Daripada keterangan di atas ternyata bahawa nasi lemak bukannya satu-satunya faktor yang menyebabkan berlakunya obesiti. Nasi lemak yang mengandungi sambal, ikan bilis, udang, kacang, timun dan telur akan dapat memberikan zat makanan yang terdiri daripada protein, karbohidrat, vitamin E dan zat besi. Kandungan zat ini boleh memberikan tenaga dan membantu pertumbuhan badan yang sihat. Pengumuman Menteri Pelajaran untuk mengkaji isu obesiti yang dikaitkan dengan nasi lemak sangat dialu-alukan.

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD. DOM
ialah bekas Ketua Pengarah Pelajaran.

ISU PENDIDIKAN : SASTERA MELAYU JADI SUBJEK TUNGGAL


Kesusasteraan Melayu harus dijadikan mata pelajaran tunggal dan bukannya dijadikan sebahagian daripada komponen subjek Bahasa Melayu seperti sekarang. Sasterawan Negara, Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh berkata, sudah tiba masanya Kementerian Pelajaran mengambil langkah yang lebih progresif untuk memperbaiki cara pelaksanaan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah. Kita harus sedar subjek ini (Kesusasteraan Melayu) sebenarnya bercampur dengan subjek Bahasa Malaysia yang juga mempunyai bahagian seperti tatabahasa, pemahaman dan penulisan. Jadi, seseorang guru bahasa tidak semestinya mampu menguasai seni kesusasteraan. Pengasingan akan mempermudah kerja mencari guru yang pakar dan mahir dalam bidang sastera untuk menumpukan perhatian sepenuhnya dalam subjek kesusasteraan. Pengkhususan dalam pengajaran bidang sastera akan melahirkan generasi muda yang lebih menguasai dan menghayati sesuatu kesusasteraan.

Muhammad berkata, kerajaan harus memastikan maktab perguruan dan universiti menghasilkan lulusan yang baik dalam bidang kesusasteraan supaya bakal guru sastera merupakan mereka yang betul-betul mahir dan menguasai bidang itu dengan sepenuhnya. Dalam pada itu, beliau berkata, generasi muda harus dipupuk untuk menjiwai kesusasteraan dan bukannya menghafal laras dan teori yang diajar dalam subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah. Sastera Melayu tradisi merupakan satu warisan kebudayaan yang amat tinggi nilainya dan sastera Melayu terbahagi kepada dua bentuk utama iaitu dalam bentuk lisan dan tulisan. Generasi muda sebenarnya perlu sedar bahawa tiada siapa lagi yang dapat memikul beban untuk mempertahan dan memperkembang sastera Melayu kerana zaman Usman Awang dan sasterawan terkemuka negara yang lain telah hampir tiada dan ada yang sudah tamat perjuangan mereka.

UTUSAN MALAYSIA
2 MEI 2011