JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



08 Januari 2012

ISU PENDIDIKAN : BERIKAN SAINGAN DI PERINGKAT GLOBAL

Oleh Ruhaiza Rusmin


Meskipun masih awal untuk menjangka peristiwa yang mewarnai dunia pendidikan negara sepanjang 2012, masyarakat mengharapkan ia mampu membawa sinar lebih baik demi menjana usaha bersepadu pembangunan negara. Biarpun tahun lalu ada beberapa isu kontroversi, institusi pendidikan negara masih relevan dan positif. Pastinya, wacana dunia pendidikan berharap institusi pengajian tinggi mampu melonjakkan pencapaiannya melahirkan ahli akademik berwibawa manakala graduannya lebih cemerlang untuk mencipta nama sebaris dengan institusi ternama dunia. Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris, Profesor Dr Zakaria Kasa, berkata dunia pendidikan perlu melakukan anjakan paradigma lebih positif dan konsisten untuk memasuki satu frasa baru yang mencabar. Dengan meletakkan sasaran agar institusi pengajian tinggi mampu bersaing lebih hebat dalam bentuk akademik dan penyelidikan, beliau berkata institusi perlu melipatganda­kan usaha mencapai wawasan ditetapkan. Dalam mengemudi dunia pendidikan tinggi hari ini, banyak perlu dilaksanakan bagi memastikan institusi ini terus gagah dan memberi persaingan kepada institusi di peringkat global. Ia bukan mudah, namun boleh dilakukan dengan kesung­guhan dan iltizam tinggi malah sejarah juga membuktikan institusi tempatan mampu melahirkan pakar akademik serta hasil penyelidikan berwibawa.

Institusi pengajian juga bakal berdepan cabaran sengit terutama memenuhi harapan masyarakat meng­hasilkan hasil produk berkualiti, menepati piawaian antarabangsa dan paling utama tersenarai dalam kedudukan prestij dunia. Beliau mengharapkan hasrat mewujudkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial menjadi kenyataan bagi mengangkat taraf institusi lain setara lima universiti pe­nyelidikan sedia ada. Bagi mahasiswa, mereka pasti mengharapkan tahun baru membawa anjakan lebih dinamik selepas tahun lalu dipenuhi beberapa insiden memalukan terutama membabitkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AuKu). Yang Dipertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM), Iqbal Ismat Nordin, berkata mereka mengharapkan isu sensitif dan salah faham itu selesai bagi memberi peluang menonjolkan kewibawaan sebagai bakal pemimpin. Menurutnya, pindaan AuKu juga bakal membawa perubahan besar terhadap dunia pendidikan negara kerana universiti serta mahasiswa bakal melangkah ke frasa lebih terbuka dalam menangani isu politik. Sebelum ini, universiti menjadi tempat larangan keras berpolitik bagi mahasiswa, namun dengan pindaan itu, ia satu pembaharuan yang baik. Bagaimanapun, pindahan itu diharap tidak menjadikan mahasiswa cenderung keterlaluan terhadap politik hingga melupakan tanggungjawab sebenar.

Beliau turut menjangka kerajaan mengambil langkah proaktif sebagai jaminan institusi pengajian tinggi tidak tercemar dengan pengaruh dan budaya politik luar. “Keseluruhannya, kami mengharapkan dunia pendidikan tinggi tidak lagi tercemar dengan insiden memalukan yang bukan saja boleh meng­gugat kewibawaan jati diri serta institusi selain mengikis persepsi negatif dilemparkan,” katanya. Manakala sektor pendidikan sekolah juga menjangkakan institusi pendidikan akan menjadi lebih komprehensif dengan pelbagai pelaksanaan dasar yang menekankan peranan guru sebagai pemangkin kecemerlangan pelajar. Guru sekolah di ibu kota, Syed Khairul Azwi Syed Mokhtar, berkata pendekatan mesra pelajar yang dibangun­kan merangkumi aspek fizikal dan mental dapat mencungkil potensi pelajar dalam akademik dan kokurikulum, antara­nya melalui pengenalan ‘Satu Murid Satu Sukan’. Menurutnya, keseimbangan itu menjadi wadah terbaik membentuk peribadi dan jati diri generasi muda selain memberi peluang guru memperkasakan kemahiran mendidik. “Meskipun dunia pendidikan sering dibayangi polemik terutama isu berkaitan guru, itu bukan alasan kami tidak mampu memberikan yang terbaik kepada pelajar. “Kami berharap pengorbanan ini mendapat perhatian pihak terbabit dengan pemberian insentif tertentu bagi menaikkan lagi semangat guru dan meng­iktiraf pengorbanan mereka,” katanya

Sepanjang tahun lalu, pelbagai rentetan peristiwa mewarnai perjalanan dunia pendidikan negara dengan polemik serta kejutan tersendiri. Antara pendekatan paling ‘mengejutkan’ ialah bantuan RM100 kepada 5.5 juta pelajar sekolah rendah dan menengah bagi meringankan bebanan ibu bapa selain pemansuhan yuran sekolah. Ini menjadikan Malaysia negara pencipta sejarah di kalangan negara Asean melaksanakan pendekatan berkenaan. Golongan mahasiswa juga memperoleh habuan sama apabila menerima bantuan baucar RM200 untuk diagih­kan kepada pelajar yang layak untuk tempoh tiga bulan dari 1 Januari sehingga 31 Mac depan. Isu percanggahan mengenai kedudukan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menemui noktah akhirnya apabila kerajaan muktamad menamatkannya dengan pengumuman pada 4 November lalu. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah akan dilaksanakan dalam bahasa Malaysia sepenuhnya pada 2016, manakala di sekolah menengah pada 2021.

Biarpun ada segelintir pihak beranggapan ia masih relevan terutama dalam memartabatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kala­ngan pelajar, dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) menggantikan PPSMI adalah kekal. Manakala antara catatan kontroversi yang menjadi bualan panas ialah pindaan seksyen 15 AuKu yang dianggap segelintir pihak sebagai ‘kemenangan peribadi’ kepada mahasiswa. Mahkamah Rayuan pada 31 November lalu memutuskan peruntukan dalam AuKu yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam serta luar negara, adalah tidak sah dan bercang­gah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
HARIAN METRO
2 JANUARI 2012

ISU IPT : APAKAH YANG PATUT DICARI OLEH PELAJAR IPT?

Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@bharian.com.my


Agak sukar difahami apakah sebenarnya matlamat mutlak seseorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) lebih-lebih lagi di Malaysia. Jika hasrat mereka untuk menuntut ilmu setinggi yang mungkin, mereka sudah pun berada di tempat yang diidam-idamkan. Tetapi, jika mengejar kebebasan, institusi seperti itu, bukanlah tempatnya. Mereka sepatutnya mendaftar sebagai ahli parti politik dan bolehlah naik ke pentas rakyat untuk berucap sepuas-puas hati. Isunya hari ini mereka mahu mencapai cita-cita untuk menjadi manusia yang berjaya dan pada masa sama mengejar kebebasan. Apakah makna kebebasan bagi mereka? Apakah seseorang yang boleh meluahkan apa saja yang terbuku di benak fikiran mereka atau bertindak apa saja tanpa pedulikan orang sekeliling, meliputi maksud kebebasan? Apakah kebebasan bermakna memberi hak kepada sesiapa juga untuk melakukan apa saja tanpa mengambil kira kepentingan atau sensitiviti orang lain.

Apakah dengan memperalatkan slogan kononnya mahu memperjuangkan keadilan bermakna mereka ini tidak boleh dijentik oleh undang-undang kerana mereka adalah spesies masyarakat yang memperjuangkan kebebasan? Dalam konteks yang lebih luas, kebebasan juga bermakna seseorang itu boleh pergi ke mana saja tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan diri, tidak ada gangguan atau ugutan atau sekatan jalan raya berpunca daripada demonstrasi jalanan yang boleh mencetuskan keganasan. Di Malaysia, tidak ada orang boleh mengatakan mereka hidup terkongkong, tidak boleh melakukan apa saja kerana terlalu banyak larangan. Seseorang pelajar mewakili semua kaum perlu berfikir bagaimana mereka boleh melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi sekiranya tidak wujud keadilan dan kebebasan di negara ini.  Jika seseorang itu mempunyai kelulusan dan layak memasuki universiti tetapi hak mereka dinafikan atas apa alasan sekali pun, mereka mungkin mempunyai alasan mengatakan mereka tidak dilayan dengan adil. Setiap individu di negara ini mempunyai hak membuat pilihan.

Untuk memasuki universiti awam umpamanya mereka diberi pilihan menamakan beberapa buah universiti mengikut keutamaan yang mereka inginkan berasaskan kepada keputusan peperiksaan masing-masing. Puluhan ribu pelajar yang diterima masuk ke universiti setiap tahun adalah mereka daripada latar belakang yang berbeza.  Tidak pernah kita dengar pihak universiti menolak permohonan seseorang kerana mereka anak kepada pengikut sesebuah parti politik. Sebelum memasuki universiti, mereka bermula dari sekolah rendah dan kemudian menengah. Mereka diuji menerusi peperiksaan. Membenarkan setiap rakyat bersekolah seterusnya ke universiti adalah hak paling istimewa diberi kepada setiap warga negara selain hak beragama dan sebagainya. Hari ini mereka berada di menara gading, institusi yang menjadi tempat idaman sebahagian besar rakyat. Tidak semua orang berpeluang menuntut ilmu di universiti. Jika tidak melalui proses pendidikan dari peringkat bawah secara bebas, mustahil mereka boleh menempatkan diri di universiti.

Malangnya, ada segelintir pelajar begitu mudah dipengaruhi terutama dengan klise Barat yang popular. Pelajar seperti inilah yang menimbulkan masalah. Di dalam kelas, mereka adalah pelajar yang setaraf pelajar lain, tetapi bila semangat mereka dikocakkan, mereka menjadi manusia yang kononnya mempunyai idealisme tinggi. Hakikatnya, mereka tidak tahu pun apakah sebenar yang mereka perjuangkan. Bagi rakyat, kumpulan pelajar ini menempa risiko terhadap masa depan mereka. Tidak ada markah untuk demonstrasi. Kita bersyukur kerana sebahagian besar pelajar di negara ini menumpukan perhatian terhadap pelajaran. Mereka insaf dengan kegetiran hidup keluarga mereka di kampung dan berazam mengubah nasib keluarga. Sudah tentulah sikap mereka ini tidak seperti segelintir pelajar yang agresif.  Kumpulan ini menyuarakan pandangan yang radikal dan terlalu politikal, Anehnya, mereka memperjuangkan perkara yang tidak ada kaitan dengan hidup dan masa depan mereka. Mereka sanggup melakukan ugutan kerana menganggap kezaliman dilakukan oleh kerajaan. Mereka berbaring atas jalan kononnya untuk menunjukkan perjuangan mereka lebih mulia daripada segala-galanya, bila cuba disuraikan, mereka sanggup melakukan apa saja dan kemudian mencari kesalahan orang lain.

Inilah yang berlaku ke atas kira-kira 70 pelajar yang mengadakan demonstrasi dekat Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim pada 1 Januari lalu. Polis bertindak demikian selepas pelajar berkenaan bertindak kasar dan tidak mengendahkan amaran supaya bersurai. Akhirnya, polis menahan 17 mahasiswa, termasuk seorang penuntut wanita kerana menyertai demonstrasi haram itu. Apakah tujuan pelajar berkenaan membawa keranda? Keranda adalah simbol untuk mengangkat jenazah atau mayat. Keranda untuk siapa? Adalah sangat mengelirukan jika demonstrasi itu semata-mata diadakan atas alasan menuntut kebebasan akademik. Tidak pernahkah mereka mempersoalkan di mana mereka menuntut sekarang? Ia sebenarnya menjawab kepada persoalan mereka. Mereka mendesak kerajaan memansuhkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan membebaskan seorang rakan mereka yang ditahan polis. Walaupun ia akan dipinda kerana terlalu banyak desakan, tapi AUKU tidak pernah membawa bala kepada negara pun.

Pelajar itu pula bukan ditahan sesuka hati, dia ditahan untuk siasatan kerana melakukan kesalahan yang melampau. Tentulah tidak munasabah jika seseorang menurun bendera yang tertera gambar pemimpin dan kemudian memijaknya, dibiarkan begitu saja. Tentulah pihak berkuasa ingin tahu bagaimana peristiwa di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 17 Disember 2011 itu berlaku dan mengapa mereka berbuat demikian. Mungkinkah mereka yang rakus itu bukan rakyat negara ini yang tidak tahu budaya dan adat resam masyarakat Malaysia. UPSI tidak boleh dipersalahkan, tetapi yang menjadi onarnya adalah segelintir pelajar yang dihasut oleh pihak tertentu supaya melakukan apa saja kononnya atas dasar memperjuangkan hak pelajar, sebenarnya mereka mengambil kesempatan untuk menghuru-harakan keadaan politik negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
8 JANUARI 2012

ISU UMUM : HARI-HARI TERAKHIR SEORANG INSAN BERNAMA ANWAR IBRAHIM


Nama Recep Tayyip Erdogan, Perdana Menteri Turki kembali popular. Sejak beberapa hari ini, namanya terus disebut-sebut bukan atas alasan kewibawaan atau karismanya. Tetapi jalan politik yang beliau tempuh yang mahu disamakan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Erdogan, pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki ini pernah dipenjara selama 10 bulan. Tetapi bukan atas tuduhan liwat tetapi dakwaan menanam kebencian dalam beragama kerana mengubahsuai sajak nukilan Ziya Gokalp. Abdullah Gul yang menjawat jawatan Perdana Menteri sementara, kemudiannya meminda undang-undang untuk membolehkan Erdogan kembali menyertai politik dan mengambil alih jawatan Perdana Menteri. Sebuah kisah happy ending yang menarik bagi seorang politikus. Memang Erdogan sudah kepalang popular di Malaysia. Erdogan pun menjadi label untuk kumpulan pro Anwar dalam saf kepimpinan Pas. Anwarlah yang menggamatkan nama Erdogan apabila beliau tiba-tiba menyusup ke Kedutaan Turki di Kuala Lumpur atas alasan diancam bunuh pada Jun 2010.

Ini sehinggakan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Turki pada Mac tahun lalu dilihat ada kaitan dengan tindakan Anwar itu. Ada yang melihat lawatan itu bakal dihantui dengan isu Anwar. Tetapi layanan dan kemesraan yang ditunjukkan oleh Erdogan serta Abdullah (atas kapasitinya sebagai Presiden) tidak membayangkan ada rasa curiga dan kecewa. Malah stesen telivisyen Turki membuat siaran langsung pertemuan Najib-Erdogan. Kedua-duanya membahasakan diri sebagai 'brother'. Erdogan sendiri menyifatkan lawatan rasmi Najib sebagai sesuatu yang dinanti-nantikan setelah tempoh 28 tahun. Kedua--dua pemimpin dalam majlis formal dan tidak formal sangat akrab. Itulah realitinya. Kini menjelang 9 Januari, gamat lagi kisah Erdogan yang kononnya telah mempelawa Anwar untuk mendapatkan perlindungan di Turki. Entah benar, entah tidak. Ramai yang percaya tanpa memeriksa fakta bahawa antara Anwar dan Erdogan itu jauh berbeza, macam langit dengan bumi.

Malah Anwar menyebut, bukan sahaja Turki tetapi beberapa negara Arab yang lain telah mempelawanya tempat perlindungan. Dalam ceramahnya beliau juga menyebut telah mendapat pelawaan untuk berucap di Istana Turki dan acara tajaan cucu Mahatma Ghandi. Dulu semasa isu liwat mulai hangat, Anwar turut menggunakan nama ulama Dr. Yusuf Qardawi. Kemudian bekas peguam beliau sendiri, Zulkifli Noordin mendedahkan bahawa fatwa ulama terkenal itu tidak tepat kerana dipengaruhi oleh maklumat yang hanya menyebelahi Anwar. Kenyataan syok sendiri menjual nama pemimpin dan tokoh-tokoh terkenal dunia memang sudah biasa dilakukan Anwar, sama juga kali ini dalam ceramah jelajah seluruh negara untuk kempen bebaskan Anwar. Apa yang mahu dihairankan kerana beliau pernah mahu disamakan dengan Mahatma Ghandi, Aung Suu Kyi dan banyak lagi pejuang rakyat tersohor dunia. Lebih mengejutkan, ada pengikutnya mahu menyamakan Anwar dengan Imam Mahdi.

Memang Anwar terlalu bagus dalam hal mempromosi dan mengagung-agungkan diri. Kisah beliau mempengerusikan mesyuarat Kabinet semasa memangku jawatan Perdana Menteri sentiasa diulang-ulang dalam ceramahnya. Kedudukan sebagai ahli lembaga pengarah sebuah perbadanan di Bahrain, sentiasa menjadi ulam ucapannya untuk menunjukkan betapa pentingnya peranan beliau di dunia Arab. Cuma yang jarang didengar ialah peranannya sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor. Ramai orang bukan sahaja terpikat tetapi juga terpukau. Mereka tak peduli dengan fakta. Karakter sesumpahnya terlalu halus untuk disedari oleh orang kebanyakan sehinggakan suara kesedaran dari ramai kenalan lamanya yang mahu membetulkan keadaan pun tidak didengar. "Anwar memang hebat tapi mungkin ini ceramah yang terakhir. Tak rugi kita berjaga sampai pagi," luah seorang hadirin sebaik sahaja Anwar menghabiskan ceramahnya di kawasan perumahan padat penduduk di Subang Jaya pada Jumaat.

Walaupun jam sudah menunjukkan pukul 12.20 pagi, tetapi Anwar tidak terlihat keletihan. Semangatnya luar biasa dengan ucapan yang berapi-api. Tenaganya tahap super kerana mampu berdiri berjam-jam dan bergerak pula sekurang-kurangnya ke tiga lokasi ceramah pada satu malam. Mungkin terinspirasi dengan kehadiran kira-kira 2,000 orang, Anwar begitu bersemangat berkeluh-kesah mengenai nasib dirinya. Anwar hanya menghentikan ceramahnya apabila beberapa kumpulan mula meninggalkan majlis kerana sudah terlalu lewat. Kempen bebaskan Anwar ini akan bersambung di Terennganu, Pahang, Pulau Pinang dan berakhir di tiga lokasi di Kuala Lumpur pada malam Ahad. Daripada kempennya ini, Anwar menjangkakan dapat mengumpul 100,000 orang. Hasilnya nanti Anwar mahu memperlihatkan kebangkitan rakyat, sama seperti kebangkitan rakyat yang memenangkan Parti AK dalam pilihan raya seterusnya membebaskan Erdogan dan mengangkatnya sebagai Perdana Menteri. Sebab itu, beliau bersungguh-sungguh mempromosikan idea Perdana Menteri sementara. Sebab itu, beliau bermati-matian mahu seberapa ramai rakyat dikumpulkan di Kuala Lumpur.

Melalui bantuan Pas, angka itu memang boleh dicapai. Perhimpunan itu diharap oleh Anwar menjadi titik-tolak untuk kebangkitan rakyat, apatah lagi beliau tahu dirinya akan disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara. Sekurang-kurangnya pada peringkat ini (dipenjara), sepintas lalu nasibnya seakan-akan sama dengan Erdogan. Untuk kisah seterusnya, apa pula yang akan dilakukan oleh Ketua Pembangkang ini? "Anwar di dalam penjara, Anwar di luar penjara, ia tidak penting. Yang paling penting, rakyat perlu tumbangkan UMNO," katanya yang sentiasa diulang-ulang dalam setiap ceramahnya. Anwar bukan saja-saja mahu memetik dan mempopularkan kisah perjuangan Erdogan itu. Beliau bukan saja-saja berbaik-baik dengan Erdogan. Strategi ini mungkin telah lama diatur tetapi apakah rakyat Malaysia akan membenarkannya? Beliau tahu sama ada dipenjara atau tidak, ia tidak menguntungkan Barisan Nasional (BN). Lantas, apa untungnya BN kalau benar pendakwaan kes liwat ke atas pembantunya sendiri ini satu konspirasi kerajaan? Dan soalan lebih penting, apakah nanti kita akan mempunyai bekas banduan sebagai Perdana Menteri, yang dibebaskan daripada penjara atas campur tangan politik bukan kerana prinsip keadilan?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
8 JANUARI 2012