JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



09 Oktober 2010

ISU PENDIDIKAN : UPSR DIKEKALKAN, PMR DIMANSUHKAN MULAI 2016


Perkara ini telah diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Malaysia pada 9 Oktober 2010. Keputusan ini merupakan hasil persetujuan rundingan meja bulat terakhir mengenai cadangan pemansuhan UPSR dan PMR. Perubahan ini akan dilaksanakan mulai tahun 2016. Antara perubahan yang dicadang dalam proses penambahbaikan UPSR, termasuk mengambil kira bidang utama saja dengan 60 peratus penggredan berasaskan akademik terpilih dan baki 40 peratus berteraskan kokurikulum atau sivik. Bagi UPSR, walaupun kemungkinan besar UPSR dikekalkan, bentuk dan  formatnya agak berbeza dengan penambahbaikan yang kita akan lakukan. Mengenai PMR, meja bulat bersetuju dengan cadangan mengubah bentuk (pelaksanaannya) kepada penilaian berasaskan sekolah. Tapi, Lembaga Peperiksaan perlu menyelaras ujian itu supaya tidak dilihat berat sebelah.

AYAT MAJMUK PANCANGAN

DEFINISI

1. Gabungan ayat-ayat tunggal yang tidak setara untuk membentuk ayat baru.
2. Satu ayat induk dan satu atau beberapa ayat kecil dipancangkan ke dalam ayat induk tersebut.

JENIS-JENIS

1. Ayat Majmuk Pancangan Relatif.
2. Ayat Majmuk Pancangan Komplemen
3. Ayat Majmuk Pancangan Keterangan.

AYAT MAJMUK PANCANGAN RELATIF

1. Menggunakan penanda relatif "yang"

Contoh :

AYAT 1 : Bill Clinton sedang makan nasi ayam penyet.
AYAT 2 : Nasi ayam penyet itu George Bush beli.

= Bill Clinton sedang makan nasi ayam penyet yang George Bush beli itu.

AYAT MAJMUK PANCANGAN KOMPLEMEN

1. Menggunakan kata komplemen 'bahawa" dan "untuk"

Contoh :

1. Will Smith mengumumkan bahawa dia akan berlakon filem arahan Suhaimi Baba.
2. Untuk memastikan dirinya sentiasa popular, dia sentiasa mencetuskan kontroversi.
3. Mike Tyson menegaskan bahawa dia dikhianati oleh Sapok Biki dalam perlawanan tinju semalam.

KIASAN BERPINDAH

KIASAN SANDAR

1. Dikaitkan dengan benda lain yang serupa dengan perkara yang dikiaskan.
2. Contoh : mandi kerbau, tidur ayam, pening lalat, jinak merpati

KIASAN TERUS

1. Menyatakan sesuatu perkara secara terus dengan perkara lain
2. Mempunyai makna yang berbeza dengan makna kata itu
3. Contoh : Kutu embun, mabuk darah, naik darah.

KIASAN BERANGKAP

1. Mempunyai pertentangan bunyi antara perkara yang diperkatakan dengan perkara yang dikiaskan.
2. Contoh : mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

KIASAN BERBUNGA

1. Menggunakan kata-kata yang indah
2. Juga dikenali kiasan permanusiaan atau personifikasi
3. Contoh : pohon melambai-lambai

KIASAN PEMANIS

1. Melindungi daripada memperkata sesuatu yang kurang manis
2. Merupakan bahasa halus
3. Mengelakkan orang tersinggung
3. Contoh : berbadan dua, orang rumah, ke sungai kecil

KIASAN MELOMPAT

1. Maksud yang sama dengan kata-kata tersebut
2. Contoh : tangan baju, kaki seluar, menjahit baju.

KIASAN MELARAT

1. Menyimpang jauh dari makna asal
2. Contoh : sudah berisi = Mengandung, berat tulang = Malas

KIASAN

DEFINISI

Ungkapan yang menyatakan sesuatu perkara dengan mengiaskan kepada satu perkara yang lain, sama ada menyebut perbandingan atau tidak.

FUNGSI KIASAN

1. Menjelaskan sesuatu maksud
2. Menguatkan sesuatu maksud.
3. Sebagai bahasa halus

JENIS-JENIS KIASAN

1. Kiasan asal
2. Kiasan berpindah

KIASAN ASAL

1. menerangkan sesuatu perkara dengan menggunakan perkara lain
2. menggunakan kata perbandingan iaitu seperti, bak, umpama, bagai, macam

Contoh :

1. manis seperti madu
2. hancur seperti kaca terhempas
3. merdu bak buluh perindu

KIASAN BERPINDAH

1. Kiasan yang tidak menggunakan kata perbandingan
2. Kata dicantumkan terus dengan perkara yang dijadikan perbandingan.

JENIS-JENIS KIASAN BERPINDAH

1. Kiasan Sandar
2. Kiasan terus
3. Kiasan berangkap
4. Kiasan berbunga
5. Kiasan pemanis atau gayang
6. Kiasan melompat
7. Kiasan melarat.

UNSUR-UNSUR FRASA DALAM AYAT

UNSUR KESERASIAN MAKNA

1. Kepulangan Putera Jerico Gonzalez disambut dengan riang gembira.
2. Mat Kilau merupakan pahlawan Melayu yang gagah berani.

UNSUR MAKNA BERLAWANAN

1. Sebagai pekerja yang berpengalaman banyak peristiwa yang pahit manis yang dialaminya.

UNSUR MAKNA KESERUPAAN

1. Baju yang dipakai oleh Tyra Bank itu berwarna biru laut.

HASIL KARYAKU: APABILA LELAKI TERSENYUM

Apabila lelaki tersenyum padamu
tak semestinya dia jatuh cinta
mungkin senyumannya senyum menghina
dia jelek atau tidak suka
janganlah rasa disuka
kerana hatinya
penuh dengan dusta

Apabila lelaki tersenyum padamu
tak semestinya dia bahagia
mungkin jiwanya tenat dibalut masalah
derita dan sengsara mengelambui hidupnya
dekatilah dia
mungkin terbuka hatinya
untuk berseloka dan bercerita
suka dukanya

Apabila lelaki tersenyum
tidak semestinya dia berjaya
mungkin dia nazak ditimpa masalah
janganlah kau ucapkan tahniah
kerana ketika itu
hatinya parah bernanah
Apabila lelaki tersenyum
balaslah dengan kemesraan
agar jiwa lelakinya bisa kau takluki

kerana dia dahagakan cinta
inginkan belaian
dari seorang insan
bernama wanita

Nukilan Rasa Sang Perwira Cinta
Zul Farihin
09/10/2010




HASIL KARYAKU: JANGAN LUPAKAN AKU


jangan lupakan aku
pabila aku tiada
kerana antara kita
ada ikatannya
pertama, sayang
kedua, cinta
ketiga, kasih


jangan lupakan aku
pabila aku pergi
sebab antara kita
ada kaitannya
pertama, rindu
kedua, kumilikmu
ketiga, kubahagia
disampingmu


jangan lupakan aku
pabila aku mati
lantaran antara kita
ada ikatan suci
tidak akan terputus
walau jasadku
bersemadi

SUSUNAN YANG BETUL UNTUK PERANCANGAN BAHASA MELAYU

01. Perancangan Dasar

02. Perancangan Taraf

03. Pengekodan

04. Penilaian hasil dan pemantapan strategi

YANG SALAH DAN YANG BETUL

YANG SALAH
Di masa cuti sekolah, banyak orang balik ke kampung
YANG BETUL
Pada masa cuti sekolah, banyak orang balik ke kampung

YANG SALAH
Taylor Lautner menceburkan diri di bidang lakonan.
YANG BETUL
Taylor Lautner menceburkan diri dalam bidang lakonan.

YANG SALAH
Bersama-sama surat ini, saya lampirkan borang kaji selidik.
YANG BETUL
Bersama-sama surat ini, saya lampirkan borang kaji selidik.

YANG SALAH
Saya tidak akan mensiakan peluang ini.
YANG BETUL
Saya tidak akan mensia-siakan peluang ini.

YANG SALAH
Setengah orang tidak suka makan makanan yang manis-manis.
YANG BETUL
Sesetengah orang tidak suka makanan yang manis-manis.
Setengah-setengah orang tidak suka makanan yang manis-manis.

YANG SALAH
Di antara yang hadir ke majlis tersebut ialah Micheal Owen.
YANG BETUL
Antara yang hadir ke majlis tersebut ialah Micheal Owen.

YANG SALAH
Kerjasama di antara mereka akan diteruskan lagi.
YANG BETUL
Kerjasama antara mereka akan diteruskan lagi.

YANG SALAH
Program ini ialah hasil daripada kerjasama antara USM dan UNIMAS.
YANG BETUL
Program ini ialah hasil daripada kerjasama antara USM dengan UNIMAS

YANG SALAH
Dia belajar dari pengalaman.
YANG BETUL
Dia belajar daripada pengalaman.

YANG SALAH
Buku itu dimasukkan dalam laci.
YANG BETUL
Buku itu dimasukkan ke dalam laci.

YAKINLAH BAHAWA KEJAYAAN ITU AKAN MENJADI MILIKMU


Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Selamat mengecapi hari-hari indah di hujung minggu. Cikgu Zul percaya banyak yang sibuk mengulangkaji pelajaran pada saat ini. Cikgu Zul juga tahu kebanyakan pelajar-pelajar sekalian sedar akan kepentingan pelajaran sebagai jaminan dan pelaburan untuk masa depan mereka. Namun begitu, masih ada segelintir pula yang seolah-olah hanyut di bawa arus kelalaian dan kealpaan. Mereka seolah-olah kehilangan rentak tari sewaktu menempuhi segala cubaan dan dugaan yang mereka depani. Setiap kali diadakan ujian dan peperiksaan di sekolah, markah yang diperoleh hanyalah sekadar cukup-cukup makan sahaja. Markah yang diperoleh hanya cukup untuk membeli sehelai baju. Nak beli seluar, tak cukup pula!

Anak-anak didik yang tersayang,

Jadikan kejayaan itu milik anda. Semua orang tidak berhak untuk menafikan hak anda memperoleh kejayaan. Alangkah indahnya hidup menjadi orang yang berjaya. Namun demikian, untuk memperoleh kejayaan bukannya semudah makan keropok lekor di Warung Tok Man. Kita kena berusaha dengan sedaya upaya. Jika masa dua jam tidak mencukupi untuk mengulangkaji pelajaran. Gandakan menjadi 4 jam sehari. Insya-allah, berkat doa ibu ayah, guru-guru, dan usaha berganda daripada diri anda sendiri, kejayaan itu pasti akan jatuh jua ke riba anda.

Pada saat-saat akhir ini, Cikgu Zul cadangkan supaya anda semua belajar secara berkumpulan. Teknik ini amat berkesan untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada. Anda juga akan lebih terpimpin dan terbimbing jika belajar secara berkumpulan bersama rakan-rakan yang tersayang. Jadikanlah kawan-kawan sekelas anda sebagai sahabat dan teman yang boleh membantu anda. Percayalah, jiwa anda akan lebih tenang dan keyakinan anda akan semakin bertambah berkat kerjasama yang terjalin antara anda dengan mereka.

Sekian untuk kali ini.

Selamat belajar.


PERIBAHASA MELAYU YANG MENGGUNAKAN KATA "HATI"

PERIBAHASA 1
hati tawajud
MAKSUD
Hati yang dihadapkan semata-mata kepada Tuhan.

PERIBAHASA 2
Hati bagai baling-baling
MAKSUD
Fikiran atau pendirian yang tidak tetap.

PERIBAHASA 3
Hati bagai pelepah, jantung bagai jantung pisang, telinga bagai telinga rawah.
MAKSUD
Orang yang kurang perasaan malunya.

PERIBAHASA 4
Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
MAKSUD
Beruntung banyak sama-sama mendapat banyak, beruntung sedikit sama-sama mendapat sedikit.

PERIBAHASA 5
Hati gatal mata digaruk
MAKSUD
Perihal orang yang tidak dapat melakukan sesuatu pekerjaan yang dia sangat-sangat berjahat hendak melakukannya.



ISU PERGURUAN : BEKAS GURU SAMAN KERAJAAN MALAYSIA

Mahkamah Tinggi menetapkan tarikh 4 November 2010 untuk keputusan kes saman seorang guru terhadap Jabatan Perkhidmatan Awam dan kerajaan Malaysia kerana didakwa melakukan diskriminasi dengan memerintahkan dia dibuang kerja enam tahun lalu. Hakim Datuk Mohd. Zawawi Salleh membuat keputusan itu dalam kamarnya selepas mendengar hujahan Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan dan peguam Mohamed Hanipa Maidin yang mewakili Abdul Razak Baharudin.

Pada 4 Disember tahun lalu, Abdul Razak 51, yang pernah bertugas di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun, Klang, Selangor memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan telah melakukan diskriminasi yang bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan apabila memerintahkan dia dibuang kerja berkuat kuasa 7 September 2004 mengikut peraturan 38(g) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993. Dia juga memohon deklarasi bahawa kedua-dua defendan sewajarnya memerintahkan dia ditamatkan perkhidmatan menurut Peraturan 49(3) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan Tatatertib) 1993 dan seterusnya dibersarakan mengikut seksyen 10(5) Akta Pencen 1980. Selain itu, Abdul Razak memohon dia dibayar faedah persaraan dan bayaran pencen ke atas khidmatnya.