22 November 2018

FAKTA TERKINI : RAMAI HILANG KERJA 2025?



SUMBER : AFP (18 SEPTEMBER 2018)

Menjelang 2025, robot akan melakukan 52 peratus daripada tugas yang ada di seluruh dunia iaitu dua kali ganda daripada yang dilakukan sekarang, menurut kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF). Peningkatan mendadak itu memberi kesan kepada peranan manusia dalam tugas terbabit kerana mereka kini perlu memantapkan kemahiran. Ini bagi memastikan manusia tidak ketinggalan ekoran ‘pertukaran gelombang’ berhubung cara manusia mengendali kerja menggunakan program komputer dan mesin. Menjelang 2025 lebih separuh daripada tugas-tugas di tempat kerja sekarang akan dilakukan oleh mesin yang hari ini melakukan 29 peratus daripada tugas itu.

Secara beransur-ansur, perubahan mendadak proses mesin dan algoritma atau komputer yang direka untuk menyelesaikan masalah boleh mencipta sebanyak 133 peranan baharu di 75 juta tempat yang akan diganti, antara sekarang dan 2022,” lapor kajian tersebut. WEF yang beribu pejabat di Geneva terkenal melalui pe­nganjuran mesyuarat tahunan dalam kalangan individu kaya, ahli politik dan pemimpin perniagaan di Davos, Switzerland. Melalui laporannya, The Future of Jobs 2018, forum itu meramalkan robot akan pantas menggantikan manusia dalam bidang perakaunan, pengurusan pelanggan, industri, pos dan kesetiausahaan.

Kerja-kerja yang memerlukan kemahiran manusia seperti jualan, pemasaran dan perkhid­matan pelanggan termasuk e-dagang dan media sosial akan mewujudkan permintaan tinggi. Kajian itu mendapati, cabaran utama ialah untuk me­latih semula pekerja yang akan ditekan agar meningkatkan kemahiran terutama dalam bidang kreativiti, pemikiran kritikal dan pujukan. Kajian tersebut dilakukan terhadap pengarah kakitangan dan eksekutif kanan daripada pelbagai syarikat di seluruh dunia yang mewakili 70 peratus pengeluaran global.

Antara hari ini dan 2022, mereka percaya sektor pelancongan, pengembaraan dan penerbangan perlu melatih semula pekerja dan mengenal pasti trend keseluruhan ke arah pembelajaran sepanjang hayat dan adaptasi. Kerajaan di seluruh dunia juga dinasihatkan untuk menyediakan jaringan keselamatan bagi pekerja dan masyarakat yang diancam oleh ‘anjakan penting’ dalam kualiti dan pengekalan kerja baharu.

FAKTA TERKINI : 8 BUAH BANDAR SEMAKIN TENGGELAM



SUMBER : AFP (6 OKTOBER 2018)

Kerajaan setiap negara perlu melakukan satu pelaburan besar dalam usaha mengurangkan risiko banjir bagi melindungi bandar-bandar yang terletak berhampiran pantai di seluruh dunia. Badan kebajikan yang berpangkalan di London, Christian Aid menyatakan bahawa keadaan paras laut yang semakin meningkat ketika ini boleh menjejaskan kira-kira tiga juta penempatan. Beberapa bandar tepi pantai seperti Jakarta direkodkan tenggelam sebanyak 25 sentimeter setiap tahun manakala Bangkok, Houston dan Shanghai berisiko ditenggelami banjir dalam tempoh beberapa dekad akan datang serta keadaan diburukkan lagi dengan perancangan tidak rapi dan bencana alam.

Kajian yang dilakukan oleh badan kebajikan tersebut juga mendapati sebanyak lapan bandar tepi pantai di seluruh dunia semakin tenggelam, sekali gus menyokong kenyataan peningkatan paras laut boleh menjejaskan kehidupan. Ketua Iklim Global Christian Aid, Kat Kramer berkata, kesan perubahan iklim boleh dilihat di seluruh dunia dengan petunjuk paling jelas adalah bahagian hemisfera utara sangat panas dan keadaan itu tidak normal. Banyak bandar besar di negara-negara maju semakin terdedah dengan perubahan iklim dan adalah sangat penting untuk semua pihak memberikan mereka sokongan serta membina sistem ketahanan yang kukuh.

Seruan tersebut sejajar dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan dikeluarkan pada minggu depan berhubung gesaan terhadap kerajaan semua negara untuk meningkatkan usaha bagi menangani isu peningkatan suhu global. Panel Perubahan Iklim Kerajaan Dalaman akan memeriksa kesan yang diakibatkan oleh pemanasan global setinggi 1.5 darjah celsius iaitu di atas paras pra industri. Semua negara yang menandatangani Perjanjian Paris 2015 berusaha untuk memastikan had kenaikan suhu tidak akan melebihi dua darjah celsius menjelang hujung abad ini.

FAKTA TERKINI : LAPISAN OZON PULIH SEPENUHNYA PADA TAHUN 2060



SUMBER : REUTERS (6 November 2018)

Lapisan ozon yang melindungi hidupan bumi daripada sinaran ultra-lembayung kini pulih secara perlahan dan dijangka kembali kepada asal menjelang 2060, demikian menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Sebelum ini, sebuah lubang dilaporkan terbentuk pada lapisan ozon di atas Antartika sekitar 1980-an berikutan pelepasan bahan kimia berbahaya ke atmosfera. Lubang berkenaan mengakibatkan sejumlah besar cahaya ultra-lembayung memasuki bumi dan dikaitkan dengan peningkatan bilangan pesakit kanser kulit. Mail Online melaporkan, dalam kajian PBB, saintis mendapati sejak larangan dikenakan terhadap pengeluaran produk kimia itu, lapisan ozon yang terjejas berjaya dipulihkan pada kadar satu hingga tiga peratus dalam tempoh sedekad.

Lapisan ozon itu beransur-ansur pulih setiap tahun dan pemulihan sepenuhnya dijangkakan menjelang 2060. Perkembangan ini adalah hasil kajian penilaian Protokol Montreal yang bertempoh empat tahun, setelah larangan dikenakan pada 1987 terhadap gas buatan manusia yang merosakkan lapisan ozon pada altitud paling tinggi. Sebagai hasil daripada Protokol Montreal, lebih banyak pengurangan ozon di kawasan kutub telah dielakkan. PBB memuji kejayaan Protokol Montreal yang mengharamkan atau menghentikan pengeluaran bahan kimia berbahaya kepada ozon termasuk chlorofluorocarbons (CFCs). CFCs sebelum ini secara meluas dalam peti sejuk dan tin semburan cat yang dikatakan punca utama ehilangan lapisan ozon.

Kajian PBB juga mendapati berlaku penurunan jangka panjang dalam jumlah gas-gas tercemar ini di atmosfera dan ozon stratosfera telah pulih. Katanya, lubang ozon di Antartika dijangka beransur-ansur pulih dan kembali ke paras pada tahun 1980-an semasa tahun 2060-an. Pada kadar yang diunjurkan, Hemisfera Utara dan ozon pertengahan latitud dijangka pulih sepenuhnya pada tahun 2030 diikuti oleh Hemisfera Selatan pada tahun 2050 serta kawasan kutub menjelang 2060,” kata Pertubuhan Meteorologi Dunia dan Alam Sekitar PBB.

FAKTA TERKINI : PENCEMARAN UDARA PEMBUNUH UTAMA DI DUNIA




Sumber :
REUTERS (20 November 2018)

Pencemaran udara yang disebabkan oleh pembakaran bahan api berasaskan fosil, mampu memendekkan jangka hayat manusia pada purata selama 1.8 tahun seorang, menjadikannya pembunuh nombor satu di dunia. Zarah-zarah halus dalam udara tercemar yang disedut manusia boleh memendekkan lagi usia manusia berbanding pe­rokok sebanyak 1.6 tahun dan lebih berbahaya berbanding ancaman kesihatan lain seperti perang dan HIV atau AIDS. Indeks Kehidupan Kualiti Udara (AOLI) Universiti Chicago menunjukkan, penduduk di India, negara dengan jumlah penduduk kedua terbesar di dunia, akan melalui usia lebih singkat 11 tahun ekoran pencemaran udara yang tinggi.

Purata jangka hayat di negara-negara Asia Selatan yang mempunyai 1.3 bilion penduduk menurun kepada 69 tahun, lapor Bank Dunia. Kajian yang dibuat itu dipaparkan dalam laman sesawang yang turut membantu pengguna untuk mengetahui tempoh usia yang terpaksa dikorbankan akibat pencemaran udara berdasarkan negara masing-masing. Pengarah Institut Polisi universiti itu, Michael Greenstone berkata, indeks itu membantu mengubah data yang sukar difahami kepada angka penting kepada kehidupan. Penduduk China dan Indonesia adalah antara penduduk dunia yang menyedut udara zarah mikroskopik terapung yang paling banyak sekali gus menjadikan jangka hayat masing-masing berkurangan tujuh tahun dan lima setengah tahun. Beberapa kajian dilakukan sebelum ini menjurus kepada bilangan mereka yang mati secara pramatang berpunca daripada pencemaran udara.

RENCANA : SAMPAH BUKAN HARTA PUSAKA ANAK CUCU


Akhbar Utusan Online (21 November 2018)

Penulis :
Nora Farina Mohd. Halim
Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Awam, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.

Isu sampah ini bukanlah satu perkara baharu dan bukan sahaja tertumpu di negara kita. Isu sampah telah menjadi satu isu global. Pembuangan sampah secara berleluasa ini telah memberikan impak besar kepada alam sekitar. Hasil sisa bua­ngan ini bertambah dari setahun ke setahun tetapi kadar keseda­ran tentang penjagaan alam sekitar masih di tahap lama. Umum mengetahui kesan utama daripada pembuangan sampah secara berleluasa ini memberi impak yang besar kepada alam sekitar kerana menyebabkan pencemaran alam. Pencemaran ini secara tidak langsung menjadi satu punca kepada masalah ketidakseimbangan ekosistem. Kesan kepada ketidakseimbangan ekosistem ini menyebabkan kualiti udara tidak sihat, keadaan cuaca tidak menentu, pemanasan global dan lain-lain lagi.

Di negara ini, penyumbang kepada pembuangan sampah lebih tertumpu di kawasan bandar berbanding di kawasan luar bandar. Ini disebabkan oleh cara hidup penduduk di kawasan bandar yang lebih moden. Sebagai contoh, disebabkan kesibukan ibu bapa mencari rezeki untuk keluarga, mereka cenderung untuk membeli makanan dari luar yang rata-rata menggunakan plastik atau kertas untuk membungkus makanan. Kebanyakan masyarakat di Malaysia sering membuang sampah merata-rata. Ekoran itu kita dapat melihat sampah di mana-mana sahaja tidak kira di rumah, pejabat, kedai, taman rekreasi dan seumpamanya. Hal ini terjadi kerana kurangnya rasa tanggungjawab sesetengah masyarakat terhadap alam sekitar.

Jika ini dibiarkan secara berte­rusan, ia akan menyebabkan kea­daan sekeliling berbau dan akan menarik haiwan perosak seperti lalat dan tikus. Secara tidak langsung boleh membawa penyakit seperti taun. Selain itu, takungan air di kawasan pembuangan sampah boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Keadaan ini akan menjadi punca penyakit demam denggi yang boleh mengundang maut kepada manusia. Selain impak kepada alam sekitar, salah satu daripada kesan pembuangan sampah sarap merata-rata boleh menyebabkan keindahan satu-satu kawasan itu terjejas. Ia juga boleh memberi gambaran bahawa penduduk di kawasan berkenaan tidak menjaga kebersihan walaupun hanya dilakukan oleh sebahagian daripada mereka. Reputasi sesebuah negara juga boleh tercemar disebabkan oleh masalah pembuangan sampah sarap secara berleluasa.

Pelbagai langkah telah diambil untuk mengatasi masalah pembuangan sampah ini antaranya memperkenalkan konsep reduce, reuse and recycle (3R) iaitu meminimumkan atau me­ngurangkan, gunakan semula dan kitar semula sampah sarap. Contoh langkah yang diambil sekarang adalah seperti ‘hari tiada beg plastik’ di beberapa pasar raya bagi mengurangkan kadar pembuangan sampah jenis plastik. Budaya hijau turut ditekankan yang meliputi pelbagai bidang seperti bangunan hijau, rekaan hijau, pemasaran hijau dan lain-lain lagi bagi melestarikan alam sekitar. Oleh itu, semua pihak perlu berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing bagi menjamin kesejahteraan hidup masa kini serta generasi akan datang. Kerjasama daripada pelbagai pihak ini diharapkan dapat mengatasi masalah berkenaan hingga ke akar umbi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...