JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



17 November 2013

ISU GLOBAL : JEPUN BERHADAPAN KRISIS SEKSUAL?

PENULIS RENCANA
HAFIZAHRIL HAMID


Setiap negara mempunyai masalahnya sendiri setiap kali berhadapan dengan para remaja terutama dalam melibatkan isu tabu seperti hubungan seks di luar nikah. Mengambil contoh Malaysia sendiri perhubungan seks sebelum berkahwin semakin menular di tahap yang membimbangkan. Kerana gagal mengawal nafsu remaja telah mengakibatkan gejala seperti seks luar nikah berleluasa dan lebih menakutkan gejala buang bayi semakin parah seolah-olah tidak ada sebarang rasa penyesalan dan takut akan hukuman Allah. Hanya akibat nikmat yang seketika remaja ini akhirnya terperangkap dalam polemik yang dicipta mereka sendiri dan membuat keputusan yang akan menghantui mereka seumur hidup. Masalah seks dan remaja bukanlah satu perkara baru dan isu ini telah menjadi masalah kronik dalam sistem masyarakat mana-mana negara di dunia sejak zaman berzaman.

Malah Amerika Syarikat (AS) sendiri sentiasa melihat perkara ini sebagai satu ancaman walaupun mereka kelihatan seperti gagah dalam menunjukkan pada dunia apa yang dilakukan mereka adalah paling betul dan demokratik. Namun sudah tentu cara mereka menyelesaikan masalah juga adalah berbeza dengan kita yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi. Mereka lebih melihat jalan penyelesaian berlandaskan akal dan nafsu semata-mata tanpa menjadikan agama sebagai rujukan. Menjadikan remaja mereka sebagai satu bahan kajian, antara yang ditekankan adalah mengawal kelahiran. Sudah menjadi kebiasaan di sekolah-sekolah AS guru mengajar anak murid mereka cara pemakaian kondom menggunakan pisang. Selain mengajar tentang wujudnya hubungan sesama jantina.

Satu lagi teknik popular adalah melawan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti seksual atau abstinence hinggalah berkahwin. Mungkin baik bagi mereka tetapi antara yang dipraktikkan adalah menandatangani sumpah mempertahankan dara, memakai cincin janji (yang juga sebagai cara mempertahankan dara si gadis). Satu lagi cara yang semakin meningkat popular di AS adalah mengadakan satu majlis yang dipanggil Father Daughter Purity Ball, yang mana ia turut melibatkan proses menandatangani komitmen oleh si bapa dalam mempertahankan anak gadis mereka terutama dalam soal kedaraan. Kita tidak nafikan mungkin apa yang dilakukan selain mewajarkan hubungan sesama jantina ada baiknya bersesuaian dengan budaya mereka. Perkara sama juga berlaku di Eropah yang kita saksikan akhirnya tidak banyak membantu para remaja. Mereka hanya 'terselamat' di alam persekolahan tetapi tidak begitu terjamin apabila menjejakkan kaki dalam dunia pekerjaan kerana bagi mereka bertukar pasangan adalah biasa dan baik untuk perhubungan dan perkahwinan dianggap jalan paling terakhir.

Tidak berminat

Bagaimanapun dalam keadaan kebanyakan negara berhadapan masalah seks di peringkat remaja, berbeza pula keadaannya di Jepun. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Perancang Keluarga Jepun (JFPA) mendapati 45 peratus gadis berusia di antara 16 hingga 24 tahun tidak berminat dalam seks malah menolaknya secara total. Malah separuh dari lelaki dalam lingkungan usia sama dalam kajian tersebut juga menunjukkan kecenderungan berkaitan. Ramai di antara mereka melihat perkara seperti perhubungan atau percintaan selain hubungan seks sebagai sesuatu yang tidak cukup menarik untuk diberi perhatian sepenuhnya. Menurut ketua JFPA, Kunio Kitamura, masalah kelahiran yang semakin meruncing di negara matahari terbit itu kini dalam keadaan sangat serius yang memungkinkan Jepun bakal berhadapan masalah kepupusan satu hari nanti.

Purata kelahiran di negara itu juga semakin merosot teruk dengan perbandingan 1.41 anak bagi seorang wanita. Manakala seramai 1,037, 101 bayi dilahirkan tahun lepas berbanding 1,256, 254 kematian. Jika trend ini berterusan adalah tidak mustahil jumlah penduduk negara yang seramai 127 juta itu akan merosot kepada 87 juta pada tahun 2060 dan 43 juta pada tahun 2110. Timbul persoalan apakah yang berlaku di Jepun ini merupakan cerminan apa yang berlaku di seluruh dunia. Terdapat persamaan antara apa yang berlaku di Jepun dengan apa yang berlaku di AS dan negara-negara membangun. Di kebanyakan negara orang ramai berkahwin lewat sudah menjadi trend semasa selain masalah kadar kelahiran yang semakin merosot. Selain itu semakin ramai wanita yang tidak mahu berkahwin sama ada terlalu memilih atau kerana keegoan diri selain masalah kelembapan ekonomi yang dihadapi kini menyebabkan golongan muda hanya terperap di rumah keluarga turut menjadi antara punca masalah ini berlaku.

Bagaimanapun satu masalah yang menjadi fenomena yang semakin menakutkan di Jepun berbanding negara lain adalah kegilaan mereka kepada gajet-gajet canggih. Mereka lebih gemar berkomunikasi di depan komputer atau telefon pintar berbanding berjumpa secara nyata atau pun menjalani temujanji atau makan malam bersama teman yang dilihat mampu mengubati kesunyian hidup. Remaja Jepun juga lebih berminat mengambil haiwan sebagai peliharaan daripada mempunyai teman hidup atau memiliki anak. Lebih menakutkan terdapat wanita dan lelaki yang hanya melalui fantasi seks dengan melayari pelbagai permainan di laman web. Antaranya ada di antara mereka malah turut melibatkan golongan berusia 30 tahun ke atas yang hanya boleh menikmati kemuncak seksual dengan hanya melihat paparan atau robot lelaki atau wanita yang pada kita sama seperti melihat kartun Power Rangers atau Ultraman.

Tabiat pelik ini semakin menular dan mungkin sudah sampai ke tahap bahaya kerana bagi mereka apa yang diperlukan semua sudah terhidang di depan mata sama ada melalui komputer atau telefon bimbit. Malah kerana bimbang dengan apa yang berlaku akibat penggunaan teknologi yang semakin menular, terdapat pegawai kerajaan AS semakin menggalakkan hubungan seks di kalangan remaja. Menurut Debra Hauser, presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Advocates for Youth, mengatakan kerajaan di bawah kepimpinan Barack Obama semakin galak memotong peruntukan melibatkan pengawalan seks di kalangan remaja berbanding George W. Bush. "Alasannya sudah pasti pemotongan bajet berikutan masalah ekonomi tetapi bagaimana dengan didikan remaja tentang seks terutama di zaman teknologi hanya di hujung jari," katanya

Melihat kepada kebimbangan ini, apa pula pandangan kita mengenai perkara ini di Malaysia. Apakah tanpa kita sedari perkara sama juga semakin beransur-ansur melebar di negara ini. Mungkin kita rasa perkara ini mungkin tidak serius jika ada pun. Namun adalah diharapkan jangan hanya sekadar membuat andaian sahaja kerana adalah tidak salah berbuat sesuatu untuk menanganinya supaya jangan hanya sudah terhantuk barulah nak mengadah.

SUMBER : MINGGUAN MALAYSIA
TARIKH : 17 NOVEMBER 2013

HARI : AHAD

ISU SOSIAL : KEMBALINYA GERAKAN LGBT


Pada 7 Mac 2012, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menganjurkan suatu panel perbincangan berkenaan "Diskriminasi dan Keganasan berdasarkan Orientasi Seksual dan Identiti Gender" yang berlangsung sebagai sebahagian acara tahunan sesi ke 19 Majlis Hak Asasi Manusia di  Geneva, Switzerland. Panel tersebut telah mendapat bantahan daripada Kumpulan Negara OIC bagi Hak Asasi Manusia, yang telah mengirim sepucuk surat kepada Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Laura Dupuy Lasserre bagi menyatakan kebimbangan negara-negara OIC terhadap usaha untuk memperkenalkan di dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) terma-terma serta standard-standard berkenaan Orientasi Seksual dan identiti Gender (SOGI) yang asing di dalam "bahasa" dan "penerimaan nilai-nilai sejagat" berkenaan hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual, serta dengan jelas menolak sebarang usaha untuk menjadikan orientasi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) sebagai nilai yang sepatutnya diterima semua negara anggota PBB sebagai sebahagian dari hak-hak asasi manusia sejagat.

Percubaan panel tersebut banyak mendapat inspirasi awal dari Prinsip-prinsip Yogjakarta (Yogyakarta Principles), yang merupakan satu set prinsip  berhubung orientasi seksual  dan  identiti jantina yang diwujudkan dengan hasrat  untuk memohon  piawaian undang-undang hak asasi manusia antarabangsa  bagi menangani  penyalahgunaan kuasa hak asasi manusia  golongan LGBT, dan  isu-isu  antara seks (intersexuality). Prinsip-prinsip tersebut  telah dihasilkan pada  satu mesyuarat  antara Suruhanjaya Juri Antarabangsa , Perkhidmatan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia dan  pakar-pakar hak asasi manusia  dari seluruh dunia  di Universiti Mada di Pulau Jawa  pada 6 hingga  9 November   2006. Dokumen penutup "mengandungi 29 prinsip yang didakwa diterima dengan sebulat suara oleh pakar-pakar bersama dengan  cadangan kepada kerajaan, institusi-institusi  antara kerajaan daerah,  masyarakat awam dan PBB sendiri" dinamakan sempena Yogyakarta,  wilayah  paling kecil Indonesia  (tidak termasuk  Jakarta)  yang terletak  di pulau Pulau Jawa.  Prinsip-prinsip  ini  belum diterima  oleh negara-negara dalam  satu perjanjian, maka  secara kendiri, ia bukan bahagian undang-undang hak asasi manusia  antarabangsa yang mengikat secara sah, walaupun  prinsip-prinsip tersebut bertujuan bertindak sebagai bantuan penafsiran terhadap perjanjian  hak asasi manusia.

Antara 29 penandatangan prinsip-prinsip adalah Mary Robinson,  Manfred Nowak, Martin Scheinin,  Elizabeth Evatt, Philip Alston,  Edwin Cameron, Asma Jahangir, yang kesemuanya berhasrat supaya prinsip-prinsip Yogyakarta harus diterima sebagai standard sejagat, mengesahkan standard undang-undang antarabangsa yang mengikat yang mana semua negara mesti patuhi. Walaubagaimanapun, beberapa negara anggota khususnya negara-negara OIC telah menyatakan keraguan mereka terhadap pandangan tersebut. Prinsip-prinsip tersebut, selain dari mencetuskan Resolusi 17/19 PBB berhubung hak-hak LGBT, telah menjadi sebahagian perkara yang dinyatakan di dalam Laporan Gabungan NGO Malaysia (COMANGO) bertarikh 11 Mac 2013 yang dijadikan asas semakan rekod Hak Asasi Manusia Malaysia pada 24 Oktober 2013 yang lalu. COMANGO telah secara khusus menuntut supaya seksyen 377A Kanun Keseksaan dihapuskan, selain mengesyorkan Malaysia menurut prinsip-prinsip Yogyakarta. Kesan jangka panjang tuntutan ini, yang berselindung di sebalik istilah 'diskriminasi minoriti', ialah untuk membolehkan perkahwinan sesama jenis dijalankan di Malaysia tanpa sebarang halangan undang-undang atau kawalan moral.

Berselindung

Ternyata prinsip-prinsip Yogyakarta ini merupakan satu agenda bahaya yang secara berterusan menjadi usaha yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia sejagat. Bagi negara-negara OIC khususnya, bantahan yang dinyatakan melalui surat bertarikh 14 Februari 2012 tersebut menggambarkan kegusaran yang mendalam terhadap usaha-usaha agresif untuk mengiktiraf secara terbuka hak-hak yang berlawanan dengan fitrah semulajadi manusia. Hal ini demikian oleh kerana negara-negara Islam sedar bahawa tuntutan terhadap hak-hak sedemikian melampaui garis normal kemanusiaan yang akhirnya akan membawa pada kebinasaan tamadun manusia. Amaran Qurani yang sangat jelas seperti pembalasan yang dikenakan terhadap kaum Nabi Luth a.s yang mengingkari panduan hubungan manusia secara sejahtera menjadi peringatan yang tetap relevan hingga ke akhir zaman.

Melalui Kumpulan Negara-negara OIC bagi Hak Asasi Manusia, Malaysia telah pun menyatakan undian bantahan terhadap Resolusi 17/19 berkenaan hak-hak LGBT. Malaysia sendiri menghadapi arus kempen yang kuat di dalam negara yang menunjukkan bibit-bibit sokongan terhadap hak-hak LGBT ini telah pun dipengaruhi prinsip-prinsip Yogyakarta. Sebagai contoh, susulan pengaruh prinsip-prinsip Yogyakarta tersebut juga, sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang berpengaruh di Amerika Syarikat, Human Rights Watch (HRW) berhujah undang-undang anti-liwat yang berkuatkuasa di Malaysia sudah ketinggalan zaman (archaic) kerana bertentangan dengan hak asasi manusia. Oleh itu, badan hak asasi antarabangsa itu menggesa Malaysia menghapuskan undang-undang anti-liwat yang kononnya melanggar hak privasi dan berbentuk diskriminasi serta perlu diganti dengan undang-undang baru yang membenarkan aktiviti liwat. Menurutnya, undang-undang baru itu mestilah selaras dengan prinsip-prinsip Yogyakarta, laporan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia.

Bangsa-Bangsa Bersatu dan Deklarasi Vienna yang mengiktiraf hak-hak asasi manusia termasuk melakukan aktiviti seks luar tabie atas dasar suka sama suka. Prinsip-prinsip tersebut juga telah mula mendapat tempat dalam kalangan segelintir NGO Hak Asasi Manusia dan beberapa parti politik di Malaysia. Penganjuran Seksualiti Merdeka misalnya, jelas mendapat inspirasi dari usaha-usaha di peringkat global untuk mendapatkan "hak dan pengiktirafan" bagi golongan LGBT, atas dasar kononnya teguran atau tindakan untuk memandu golongan ini disifatkan sebagai "diskriminasi" dan "tekanan sosial' terhadap mereka. Mereka juga merasakan sepatutnya dibenarkan untuk bebas memilih orientasi seks, meskipun orientasi tersebut berlawanan dengan fitrah keagamaan dan kacamata ketamadunan manusia.
Malaysia seharusnya memimpin usaha menentang perkembangan yang sangat berbahaya ini. Sehingga kini, sebanyak 14 negara di dunia yang telah mengiktiraf dan mempunyai undang-undang perkahwinan sejenis. Seperti yang dilaporkan agensi Reuters, 13 November baru-baru ini menyaksikan Hawaii menjadi negeri terkini di dalam Amerika Syarikat yang mengiktiraf perkahwinan sejenis apabila gabenornya Neil Abercrombie menandatangani rang undang-undang untuk mengesahkan keizinan tersebut. Ternyata Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan masalah yang sangat serius yang bakal menghancurkan sisa-sisa kemanusiaan yang masih ada padanya.

Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, Malaysia perlu terus mengekalkan kedaulatannya dengan tidak tunduk terhadap tekanan antarabangsa melalui penerimaan terhadap prinsip-prinsip Yogyakarta dan lain-lain instrumen yang digunakan untuk menerbitkan hak-hak songsang mereka yang berjuang di sebalik gagasan hak asasi manusia sejagat. Peranan Islam sebagai agama negara dan tugas Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam berdasarkan sumpah jawatan pada Jadual Keempat, Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, ditambah dengan penerimaan prinsip-prinsip Rukun Negara yang jauh sekali menerima hak dan aktiviti songsang seperti yang dituntut golongan LGBT ini, sepatutnya menzahirkan keunikan dan kemampuan Malaysia untuk mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat tanpa mengorbankan nilai agama, budaya setempat dan realiti negara. Malah hal ini adalah seperti mana yang telah dipersetujui bersama melalui Persidangan Hak Asasi Manusia 1993 di Vienna berkenaan kepentingan mengambil kira faktor-faktor tersebut di dalam menuntut sesebuah negara untuk patuh dengan hak-hak asasi manusia sejagat.

Secara khususnya, pada bulan Mac depan, kerajaan Malaysia perlu tegas menolak beberapa syor negara-negara seperti Jerman, Belanda dan Austria yang mahukan Malaysia menghapuskan undang-undang anti-liwat dan mengiktiraf hak-hak LGBT, sebagaimana yang dizahirkan di antara 232 syor-syor pada sesi UPR baru-baru ini. Malaysia perlu meneruskan sikap dan pendirian konsisten menolak pengiktirafan hak-hak LGBT sebagaimana yang telah ditegaskan ketika menolak Resolusi 17/19 PBB dan ketika menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada November tahun lepas. Selain itu, wujud keperluan segera untuk Malaysia memulakan gerakan menghapuskan prinsip-prinsip Yogyakarta 2006 yang sangat berbahaya terhadap kelangsungan tamadun kemanusiaan. Malah, gerakan ini sangat mendesak oleh kerana prinsip sedemikian, tanpa ramai yang menyedari, telah dimaktubkan di negara Islam terbesar di dunia, Indonesia yang juga merupakan jiran terdekat rumpun melayu-Islam dan negara anggota OIC.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
TARIKH : 17 NOVEMBER 2013

HARI : AHAD