JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Oktober 2009

VARIASI BAHASA


DEFINISI VARIASI BAHASA

Perbezaan bentuk-bentuk bahasa yang digunakan
Berdasarkan situasi tertentu


JENIS-JENIS DAN CIRI-CIRI VARIASI BAHASA

DIALEK
Kelainan bahasa yang berbeza dari segi sebutan, kosa kata dan tatabahasa daripada bahasa baku.
Digunakan dalam situasi tidak rasmi
Contohnya : perhubungan kekeluargaan dan perhubungan harian
Ditentukan oleh faktor geografi dan faktor sosial


DIALEK DAERAH


Dikenali loghat daerah
Antara Dialek daerah di Malaysia ialah :

Dialek Utara – Perlis, kedah, Pulau Pinang
Dialek Perak – Perak Tengah
Dialek Kelantan
Dialek Terengganu
Dialek Pahang
Dialek Selatan – Selangor, Melaka, Johor
Dialek Negeri Sembilan
Dialek Sabah
Dialek Sarawak


DIALEK SOSIAL

Bahasa Pasar

- Bahasa campuran antara bahasa Melayu dan Bahasa Cina dan Bahasa Tamil
- Dikaitkan dengan bahasa Pijin
- Bahasa yang dipermudah untuk proses komunikasi
- Wujud daripada pergaulan masyarakat pelbagai kaum
- Mengabaikan hukum D-M (orang ini – ini orang)
- Kata ganti nama banyak dipengaruhi oleh bahasa ibunda (saya – gua, awak – lu)
- Penyebutan perkataan pelat bahasa Ibunda (orang – olang)
- Penggunaan perkataan “punya” dan “banyak”

Bahasa Slanga

- Dipertuturkan oleh sekumpulan penutur
- Penuturnya biasanya golongan remaja
- Dikenali bahasa kutu atau bahasa rocker
- Tidak rasmi, tidak baku, bersifat musiman
- Lebih rendah taraf drp bahasa standard.


BAHASA BAKU


· Bahasa standard
· Kelainan bahasa yang diterima oleh anggota komuniti bahasa
· Bahasa perhubungan penutur pelbagai dialek
· Dikaitkan dengan golongan berpendidikan tinggi dalam masyarakat
· Digunakan dalam urusan rasmi
· Bahasa rasmi negara dan bahasa persuratan


BAHASA FORMAL


· Bahasa yang digunakan dalam situasi rasmi
· Teratur, lengkap, mematuhi segala peraturan bahasa
· Tidak mengandungi kesalahan bahasa
· Tepat , jelas dan berkesan
· Contoh : bahasa baku dan bahasa istana



BAHASA TIDAK FORMAL


· Digunakan dalam situasi tidak rasmi
· Dikenali bahasa basahan, kolokial, bersama, biasa, mesra
· Termasuklah dialek, bahasa pasar, bahasa slanga, bahasa biasa, bahasa mesra, bahasa kasar

BAHASA HALUS


· Digunakan secara beradat dan bersopan santun
· Menggunakan strategi untuk melunakkan dan memaniskan percakapan
· Untuk menjaga dan menghormati perasaan orang lain
· Mewujudkan kemesraan dalam perhubungan


BAHASA KASAR


· Bahasa yang tidak sopan
· Kurang beradab dalam pertuturan
· Dikaitkan juga dengan bahasa kesat
· Diluar lingkungan frasa yang biasa digunakan


BAHASA ISTANA

· Juga dinamakan bahasa dalam
· Bahasa diraja yang digunakan khusus
· Perhubungan kebahasaan dalam golongan diraja
· Perhubungan rakyat dengan golongan diraja
· Menggunakan kata ganti diri orang dan gelaran yang berbeza semasa bercakap
· Ungkapan khusus
· Pemulukan – perbuatan menyanjung dan ditujukan kepada raja – pada suatu taraf yang lebih tinggi
· Pendinaan – merebndah-rendahkan diri apabila bertutur dengan raja.


BAHASA BIASA

· Bahasa pertuturan harian oleh masyarakat biasa
· Struktur ayat mudah digunakan
· Tidak mengikut peraturan tatabahasa
· Mudah difahami
· Unsur singkatan dan kependekan digunakan
· Terdapat kata-kata kurang sopan
· Terdapat percampuran kod


BAHASA MESRA

· Bahasa berbentuk lisan
· Digunakan oleh orang yang ada hubungan rapat
· Mesra antara satu sama lain
· Menggunakan nama sendiri bagi kata ganti nama diri
· Kata gelaran yang tidak lengkap
· Unsur kependekan dan percampuran kod
· Penggunaan unsur partikel –lah.

INTEGRITI

Adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Kepercayaan dan keyakinan diperoleh melalui nilai-nilai integriti. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak daripada pemimpin sehingga semua peringkat tanpa mengira kedudukan.

Bersikap jujur terhadap sesuatu tindakan dan percakapan.

Bercakap benar walaupun perkara yang disampaikan itu pahit dan sukar diterima.

Berusaha memperbaiki kesilapan. Setiap perkara atau tindakan yang gagal atau salah perlu diperbaiki bagi mendapatkan hasil yang sempurna.

Menepati janji dan masa adalah sifat mulai yang dituntut dalam agama Islam. Memungkiri janji boleh mengikis kepercayaan dan kesetiaan.

Menerima kritikan dan teguran dengan hati yang terbuka walaupun perkara ini sukar diterima oleh sesetengah pihak. Segala kritikan dan teguran perlu dijadikan iktibar dan panduan untuk membetulkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan

Kelayakan dan kemampuan perlu diberi keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran tidak sah.

Mengetepikan kepentingan peribadi dalam segala tindakan dan perlakuan. Kepentingan negara perlu diletakkan mengatasi segala kepentingan lain. Sifat ingin mengutamakan diri, keluarga dan kelompok tertentu perlu dijauhi.

MERITOKRASI

Meritokrasi merupakan satu hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi peluang untuk memacu pembangunan negara. Dalam keadaan tertentu terdapat pihak yang kurang bernasib baik atau ketinggalan seperti masyarakat yang tinggal di kawasan pendalaman, estet-estet dan perkampungan baru adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk membantu golongan tersebut.. Meritokrasi menekankan persaingan secara terbuka berasaskan kriteria-kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria-kriteria tersebut berhak dipilih. Dalam melaksanakan prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan prestasi dan budaya cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang. Dalam aspek pemerolehan kerajaan, pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat yang berjaya hendaklah memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan. Dalam pemilihan syarikat, kontraktor, pemberi khidmat, perunding dan sebagainya wajar dilaksanakan melalui persaingan yang menitikberatkan kepada setiap pihak yang bersaing membuktikan potensi yang kecemerlangan masing-masing dan serta memberi tawaran terbaik merangkumi harga, produk, perkhidmatan dan hasil yang dijanjikan. Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi cabaran globalisasi/liberalisasi.

NILAI-NILAI 1 MALAYSIA

Terdapat lapan nilai yang diterapkan oleh YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dalam konsep ‘1 Malaysia’. Nilai-nilai murni ini diharap dapat menyatu padukan rakyat Malaysia dengan fikiran dan tindakan yang menjurus kepada satu matlamat iaitu untuk negara. Lapan nilai-nilai tersebut adalah:

1. Budaya kecemerlangan
2. Ketabahan
3. Rendah hati
4. Penerimaan
5. Kesetiaan
6. Meritokrasi
7. Pendidikan
8. Integriti

DEFINISI 1 MALAYSIA

Konsep 1 Malaysia menurut penjelasan YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak:

“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People. Dan kita mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik dalam negara kita”

'Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama”.

SEPINTAS LALU MENGENAI 1 MALAYSIA

Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama perlu menganggap diri mereka sebagai bangsa Malaysia yang berfikir dan bertindak ke arah mencapai satu matlamat. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.

Konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri, adalah langkah yang bertepatan dengan suasana dan cita rasa rakyat. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Prinsip-Prinsip Rukun Negara

1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Perkara asas yang perlu diwujudkan dalam semangat perpaduan adalah perasaan hormat menghormati, keikhlasan dan sikap saling mempercayai antara kaum. ‘1 Malaysia’ juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagai mana slogan YAB Perdana Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.

1 Malaysia’ memerlukan kepimpinan dan rakyat yang berintegriti tinggi. Sifat jujur, berkebolehan, bercakap benar, telus, ikhlas dan amanah amat penting untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara.

1 Malaysia memerlukan pemimpin yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi. Pemimpin cemerlang dan komited sewajarnya memiliki kebolehan yang tinggi dalam merancang, mengatur strategi, menilai prestasi dan menepati masa dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.
Kesungguhan dan komitmen terhadap tugas dan tanggungjawab menjadi asas atau senjata paling ampuh dalam mencapai sesuatu kejayaan. Negara memerlukan rakyat yang berdedikasi dan komited untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh iltizam, azam dan tekad demi kepentingan dan kemajuan negara.
Malaysia juga memerlukan pemimpin yang mesra rakyat dan sanggup berkorban masa, tenaga dan kewangan serta mengetepikan kepentingan peribadi demi negara Malaysia. Pemimpin yang bekerja dengan penuh dedikasi dan hati yang ikhlas akan mendapat sokongan dan dihormati oleh semua lapisan masyarakat.

Semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri. Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik. Semua kaum perlu menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati secara bersama. Malaysia adalah negara kita di mana tidak ada masyarakat atau kaum yang akan dipinggirkan daripada menikmati pembangunan dan pembelaan daripada kerajaan.

1 Malaysia adalah pemangkin kepada pengwujudan negara bangsa yang dapat membina Malaysia sebagai negara yang mempunyai sikap kesamaan dan kekitaan di kalangan rakyat. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai integriti, kebolehan, dedikasi dan kesetiaan.
Pemimpin dan rakyat perlu memahami dan menghayati lapan nilai 1Malaysia, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integiti.

PUNCA-PUNCA DAN KESAN-KESAN RASUAH


Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperoleh apa-apa yang dikehendakinya itu. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap ‘pilih kasih’ dalam tindakannya. Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab “al-risywah”. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Di negara ini, dari segi undang-undang semua perkataan “ memberi dan menerima suapan” adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Biasanya, rasuah dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Kebiasaannya orang yang melakukan budaya ini tidak memikirkan kesan buruk yang akan terjadi, sebaliknya mereka hanya memikirkan keuntungan kepada diri mereka.

Terdapat pelbagai punca yang boleh dikenal pasti mengakibatkan gejala rasuah ini semakin berleluasa. Antaranya ialah, akibat arus modenisasi. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan memudahkan terjadinya rasuah. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat juga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Perlumbaan moden memperlihatkan para kontraktor berlumba-lumba mendapatkan tender. Mereka juga akan berusaha untuk memenangi hati pegawai pengurusan atau pembuat keputusan. Rasuah diberikan sebagai jalan pintas untuk mendapatkan tender, mempercepatkan bayaran, melepaskan hukuman atau tindakan jika gagal atau lambat menyiapkan projek dan sebagainya.

Selain itu, gejala rasuah turut berpunca dari kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lembap menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya rasuah. Oleh itu tidak hairanlah andai gejala rasuah semakin kerap berlaku. Selain itu, faktor sosial dan budaya turut menyumbang berlakunya gejala rasuah. Masyarakat majmuk di Malaysia mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Hari yang baik ini memberi kesempatan kepada perasuah dan penerima rasuah melakukan rasuah sama ada diminta, disogok atau diumpan tanpa disedari.

Gejala rasuah sememangnya akan meninggalkan pelbagai implikasi terhadap pelbagai pihak. Oleh kerana itu, perbincangan mengenai rasuah adalah penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah, tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan. Kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan orang awam terhadap cerdik pandai negara kita. Disamping itu, gejala rasuah turut akan memburukkan lagi taraf kemiskinan rakyat kerana sumber-sumber yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin diselewengkan. Justeru bagi mengelak berlakunya keadaan sedemikian adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam membanteras isu ini hingga ke akar umbi.


Selain itu, rasuah turut akan mewujudkan pemerintahan yang lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan, maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah. Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir. Akibatnya, ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.

Laporan rasuah oleh Transparency International pada 2005 melaporkan bahawa Malaysia telah jatuh 16 tangga dalam tempoh 10 tahun ini dari tempat ke-23 pada tahun 1995 ke tempat 39 pada tahun 2004. Menyedari akan hal ini, maka tidak hairanlah pihak kerajaan bertungkus-lumus dalam usaha membasmi peningkatan kadar gejala rasuah di negara ini. Antara lengkah bagi mengatasi gejala rasuah ini ialah, mewujudkan badan pencegahan rasuah. Pada tahun 2008, Kerajaan dan Parlimen telah bersetuju supaya sebuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam usaha pencegahan rasuah serta untuk memperbaiki persepsi kebebasan dan ketelusan dalam pelaksanaan fungsi-fungsi Suruhanjaya. SPRM akan turut disokong oleh mekanisme memeriksa dan mengimbangi dalam memastikan Suruhanjaya bertindak selaras dengan kehendak perundangan, negara dan aspirasi masyarakat. Suruhanjaya ini mula beroperasi secara rasmi pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR) Malaysia.

Natijah akhirnya, rasuah merupakan suatu jenayah atau kesalahan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 1997. Rasuah dianggap jenayah kerana perbuatan ini melanggar etika sesuatu bidang pekerjaan malah secara tidak langsung si pelakunya mengambil atau ‘mencuri’ hak orang lain. Justeru seharusnya langkah kerajaan dalam membendung gejala rasuah ini wajar disokong oleh semua pihak memandangkan rasuah mampu meninggalkan implikasi terhadap semua pihak. Sesungguhnya, tanpa rasuah segala urusan pembangunan dapat berjalan dengan lancar. Keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat juga akan dapat dipertahankan dan semua rakyat tanpa mengira kedudukan dan bangsa akan hidup dengan aman.

SEKAPUR SIRIH SEULAS PINANG BUAT RENUNGAN


Assalamualaikum dan salam sejahtera sebagai pembuka bicara.


Manusia dan bahasa ibarat lagu dan irama yang saling melengkapi antara satu sama lain. Jadi, kewujudan bahasa memang seiring dengan kewujudan manusia di dunia pinjaman yang fana ini. Tanpa bahasa manusia umpama melukut ditepian gantang kerana kehadirannya tiada membawa apa-apa makna sebab tidak diketahui susur galur keturunannya. Sesungguhnya, manusia dikenali dari bahasa bukannya nama, pangkat, kedudukan serta kemewahan yang ditonjolkannya di muka bumi ini. Andai lenyap bahasa maka lenyaplah keturunan dan terkuburlah sejarah peradabab penuturnya. Itulah lambang kepentingan bahasa. Biar kita lihat, jika Bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan negara Malaysia diperlekeh dan dipandang rendah oleh orang Malaysia sendiri, nescaya masa depan Bahasa Melayu akan terus dipersoalkan dan menimbulkan pelbagai polimek dalam kalangan pejuang-pejuang bahasa Melayu. Oleh itu, kita mesti melihat perkara ini dengan mata hati dan bukannya kepala lutut kerana perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukannya tugas segelintir rakyat Malaysia tetapi tanggungjawab kesemua 25 juta penduduk Malaysia. Ingatlah, jika kita berbangsa Iban, bukan maknanya kita dinafikan hak untuk mendaulatkan Bahasa Iban tetapi Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan kita yang harus diangkat sehingga ke persada dunia. Kita tidak perlu malu bertutur dalam Bahasa Melayu kerana itulah bahasa yang mendewasakan dan mematangkan kita. Bahasa yang mempunyai penutur yang ketiga terbanyak di dunia. Mengapa kita harus berasa rendah diri apabila bertutur dalam bahasa yang melambangkan identiti kita sendiri. Oleh itu, Cikgu Zul mengajak semua pembaca blog ini supaya insaf sejenak dan berfikir sekejap apa yang telah kita lakukan untuk memartabatkan bahasa Melayu? Apakah dengan mengadakan demonstrasi untuk menuntuk pemansuhan PPSMI itu dikatakan perjuangan untuk menaikan martabat Bahasa Melayu? Apa yang pasti, kita tidak harus berjuang bersendirian kerana Bahasa Melayu itu kepunyaan semua rakyat Malaysia. Bahasa Melayu bukan milik Amerika kerana mereka ada bahasa mereka sendiri. Siapa lagi yang kita harus harapkan untuk memperjuangkan bahasa Melayu kalau bukan kita. Ingatlah, "Bahasa Jiwa Bangsa".