JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 Februari 2012

ISU UMUM : MEWUJUDKAN LEBIH RAMAI BILIONAIR MELAYU DI MALAYSIA

Oleh Tan Sri Muhammad Ali Hashim
Timbalan Presiden, Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM).


Beberapa akhbar nasional minggu lalu melaporkan senarai warga Malaysia terkaya. Laporan yang memetik artikel majalah Malaysian Business menonjolkan Robert Kuok sebagai warga Malaysia terkaya dengan nilai harta RM45.7 bilion. Kuok diikuti Ananda Krishnan dengan RM42.9 bilion milik beliau. Daripada jumlah 10 orang terkaya dalam senarai itu terdapat cuma seorang anak Melayu, iaitu Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary di tempat kelima (RM9.5 bilion). Ini bermakna, dari segi jumlah bilangan 10 bilionair terkaya, Melayu mempunyai bahagian 10 peratus. Namun, dari segi nilai kekayaan, nilai harta Syed Mokhtar cuma merupakan 6.1 peratus daripada jumlah RM155.7 bilion yang dimiliki oleh 10 bilionair terkaya di Malaysia. Dalam senarai 40 orang warga terkaya Malaysia pula terdapat lapan orang Melayu-Muslim, iaitu cuma 20 peratus. Namun dari segi nilai harta, lapan orang Melayu- Muslim memiliki hanya RM19.9 bilion, atau 1.03 peratus daripada jumlah besar RM193.2 bilion nilai harta milik 40 warga terkaya. Jelas sekali ketinggalan dan betapa jauh terpinggirnya Melayu dalam pembahagian harta kekayaan negara berdasarkan pembahagian milik individu.

Laporan menyenaraikan individu jutawan dan bilionair terkaya menjadi satu ‘trend’ yang semakin menarik perhatian masyarakat Malaysia. Ia sebenarnya mencontohi negara kapitalis Barat, terutama Amerika Syarikat (AS), yang ghairah menjadikan jutawan dan bilionair individu sebagai ikon masyarakat menerusi senarai “Fortune 500” dan majalah Forbes. Di Barat, khasnya di AS yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalis berciri individualistik ekstrem, keghairahan menonjolkan individu terkaya sememangnya menjadi tradisi. Semua warga bisnes dan korporat akan berlumba- lumba mendapat tempat dalam senarai seperti ini. Siapa yang tidak mahu jadi kaya-raya! Memasuki dan mendapat tempat dalam senarai jutawan dan bilionair menjadi aspirasi hidup setiap warga bisnes dan korporat Amerika, iaitu dalam konteks sebuah negara sekular-materialis dengan falsafah hidup mengutamakan kebendaan. Justeru, mana-mana golongan dalam masyarakat Barat yang kecil jumlah jutawannya, akan dianggap lemah berbanding golongan lain, tidak berjaya, dipandang rendah dan disifatkan “masih belum sampai - has not arrived!”

Apakah dengan rendahnya bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim, umat Islam Malaysia harus turut memandang diri mereka kerdil, lemah dan “belum sampai” ke satu taraf ekonomi yang boleh membanggakan? Adakah kerana itu mereka ketinggalan, justeru darjat sosial mereka juga harus di pandang jauh lebih rendah daripada kaum lain? Ada bahayanya jika kita terlalu terpengaruh dengan persepsi Barat terhadap hak milik harta kekayaan peribadi dan individualistik. Kerana persepsi ini membuat ramai Melayu memberi keutamaan kepada dasar dan strategi menambah bilangan jutawan dan bilionair individu Melayu-Muslim. Kesannya, ada yang akan sanggup mencipta “ bilionair segera” dengan menswasta atau “memfaraidkan” ekuiti milik GLC kepada individu. Kerajaan juga boleh terpengaruh dengan pendekatan liberalisasi sehingga merancang untuk melepaskan pegangan dalam GLC tanpa berfikir panjang terhadap kesan sampingan yang memudaratkan kepentingan masa depan bangsa dan negara.

Apakah ada pilihan alternatif bagi Melayu- Muslim menguasai syarikat berbilion ringgit tanpa melebarkan jurang kaya-miskin, juga tanpa mengakibatkan ketidakadilan meluas yang berlaku sekiranya hak milik GLC diswastakan? Paradoks ini penting diatasi dengan penuh hikmah. Kerana, berlainan dengan nilai hidup Amerika yang berciri individualistik, masyarakat Melayu yang beragama Islam adalah berciri umat jamaah. Nilai hidup berjemaah menuntut pendekatan dasar dan strategi bercorak ijtimaai yang berupaya menggembleng tenaga dan keupayaan individu, tetapi bukan untuk kepentingan peribadi semata-mata.

Islam tidak anti kekayaan, malah kuat pro-bisnes sebagai salah satu sunnah besar Rasulullah SAW. Demikian juga, Islam tidak anti harta milik peribadi. Malah harta kekayaan peribadi dan swasta dilindungi dengan tegas oleh syarak. Masyarakat Islam Malaysia telah pun menyambut seruan ini, menjadikannya falsafah dan prinsip yang diterap ke dalam pendekatan dan strategi nasional, terutama di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB). Jutawan individu diketengahkan, tetapi bukan dengan mengetepikan hak dan kepentingan masyarakat besar dan kepentingan jangka panjang generasi muda dan generasi akan datang.

Di sinilah letaknya rasional dan pertimbangan utama negara dalam menentukan supaya sebahagian daripada hak milik ekuiti negara dipegang oleh institusi amanah dan GLC. Perhatikan, dengan kehadiran GLC sebagai institusi amanah dari sejak DEB dilancar, kepentingan besar masyarakat Malaysia untuk semua kaum dan keturunan lebih terjamin, terlindung dan terpelihara. Hasil daripada DEB, keadilan ekonomi dan kesejahteraan sosial dapat kita nikmati sampai ke hari ini. Perhatikan juga betapa hak milik GLC sebagai institusi amanah berupaya memperkasa rakyat majoriti dan membela kedudukan mereka. Kehadiran GLC besar impaknya kepada pemerkasaan ummah, sekalipun semuanya bukan milik mereka secara langsung di sisi undang-undang. Sebagai bukti, daripada 20 syarikat tersenarai (PLC) di Bursa Malaysia pada 17 Februari, 2012, 8 adalah milik GLC. Nilai pasaran modal (market capitalization) 8 syarikat ini berjumlah RM304.7 bilion, iaitu 42.9 peratus daripada jumlah nilai untuk ke 20 syarikat PLC teratas. Seterusnya, GLC seperti Johor Corporation memiliki 4 syarikat PLC dalam senarai 100 syarikat terbesar. Nilai keseluruhan syarikat PLC ini berjumlah RM13.7 bilion, iaitu memberikan kumpulan JCorp kedudukan ke 25 antara syarikat PLC di Malaysia, mengatasi syarikat Nestle Bhd. Selain itu, peranan GLC sebenarnya diiktiraf di beberapa negara lain seperti China, Singapura dan Brazil.

Majalah The Economist, The World in 2012 menyatakan nilai pasaran modal Bursa China membabitkan 80 peratus milik GLC, dan di Brazil 38 peratus. China, Singapura dan Brazil berpendirian tegas tidak menciplak sepenuhnya sistem kapitalis Barat dan sedang giat membina sistem pasaran alternatif. Kenapa pula Malaysia harus menciplak Kapitalis Barat secara membabi-buta? Malangnya, nilai tinggi harta milik GLC sebagai institusi amanah langsung tidak diambil kira dalam senarai 40 warga terkaya Malaysia, kerana tumpuan masyarakat turut keterlaluan memberi keutamaan kepada harta milik peribadi. Seperti dinyatakan, ekuiti milik GLC dalam syarikat tersenarai melebihi 42 peratus, iaitu satu jumlah yang bukan kecil. Dalam kata lain, setelah diambil kira kepentingan nilai aset milik GLC yang mewakili semua warga negara, golongan majoriti rakyat Malaysia yang sebahagian besarnya bukan dari kalangan bisnes dan korporat, termasuk golongan miskin, turut mendapat tempat dan diperkasa kedudukan ekonomi dan sosial mereka.

Justeru, kedudukan kepentingan majoriti rakyat dalam ekuiti negara yang dimiliki menerusi institusi amanah GLC wajar dan wajib dipertahankan. Alangkah baiknya, untuk memantapkan lagi kepentingan rakyat jelata supaya lestari dan kekal berpanjangan, sekiranya sebahagian daripada ekuiti amanah milik GLC ini diwakafkan di bawah kendalian institusi Waqaf Korporat! Mewakafkan sebahagian ekuiti milik GLC menepati potensi wakaf sebagai penjana pembangunan umat, di samping menjanjikan hak milik kekal berpanjangan insya Allah, sekali gus menegakkan keadilan masyarakat. Mewakafkan ekuiti sebenarnya juga merupakan langkah “penswastaan”, iaitu mengikut kaedah Islamik.dah berasaskan institusi. Ia jelas menepati seruan titah Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah di Seminar Wakaf di Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara lain, Baginda berpendapat Waqaf Korporat “…adalah kaedah yang berupaya menampung lubang ketirisan yang pernah berlaku. Ia adalah jarum dan benang yang berupaya menjahit dan mencantumkan kembali DEB yang dirobek dan dikoyakkan oleh perbuatan menyimpang di masa lalu.”

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012

ISU UMUM : KUALA LUMPUR TERBAIK? ... BOLEHKAH?

Oleh Fauziah Arof


Bolehkah Kuala Lumpur (KL) menjadi antara 20 bandar raya terbaik dunia pada tahun 2020? Sebagai anak kelahiran ibu kota dan dibesarkan di sini, saya begitu tertarik dengan apa yang disasarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar dalam tempoh kira-kira lapan tahun lagi. KL sememangnya telah melalui pembangunan yang bukan sedikit. Itu perlu diakui. Saya masih ingat ketika berada di sekolah rendah dulu, bangunan Bank Negara yang berdepan dengan sekolah saya, Sekolah Rendah Kebangsaan Hishamuddin ketika itu, saya lihat sudah cukup gah dan tinggi. Dan tanpa menggunakan pengangkutan awam, saya berjalan kaki dari kuarters kerajaan di Jalan Dato Onn ke sekolah dengan rasa selamat, walaupun jalan berkenaan ketika itu agak sunyi pada awal pagi dan lewat petang, iaitu ketika pulang tamat latihan rumah sukan. Waktu itu juga Bangunan United Malayan Banking Corporation Berhad (UMBC) yang terletak di Jalan Sultan Sulaiman, berdekatan dengan Bangunan Koperasi Polis sudah dikira paling tinggi dan menjadi mercu tanda KL. Apabila bersekolah menengah pula, saya bersekolah di Sekolah Menengah Methodist Girls berdekatan dengan bangunan Kompleks Daya Bumi. Bangunan yang bercirikan rekabentuk Islam moden ini cukup dibanggakan ketika itu tetapi kini nampak suram.

Ketika itu juga, tempat menyaksikan persembahan hiburan percuma tidak banyak. Tetapi boleh dikatakan setiap minggu ada saja acara hiburan di Panggung Anniversary, yang terletak di Taman Tasik Perdana dan paling tidak di Padang Merbuk berhampiran dengan Tugu Negara. Semasa itu pun, kita boleh saksikan penggiat seni membaca puisi di perkarangan Daya Bumi atau Central Market (Pasar Seni). Sekarang ada lagikah? Semasa berada di sekolah menengah, saya mula menggunakan pengangkutan awam, bas berwarna biru (Bas Sri Jaya) setelah berpindah ke kuarters kerajaan di Brickfields. Saya melintas landasan keretapi ke perhentian bas di Jalan Bangsar untuk ke sekolah bersebelahan dengan Masjid Negara itu, yang mana basnya pergi atau balik memang sentiasa penuh macam ‘tin sardin’. Kalau boleh semua penumpang mahu dimuatkan dan kadang-kalanya ada yang tercicir ketika menurunkan penumpang lain dek kerana pemandu tidak sedar ada yang belum sempat naik. Pusat membeli-belah juga tidak banyak, yang menjadi tumpuan adalah di sekitar Jalan Tunku Abdul Rahman, Kompleks Pertama, Kompleks Campbell, Globe Silk Store dan Emporium Selangor.

Kini bandar raya KL sudah ada begitu banyak bangunan pencakar langit - Menara berkembar Petronas ketinggiannya diiktiraf rekod dunia. Pusat membeli-belah ada di mana-mana saja untuk kemudahan warga kota. Pengangkutan awamnya pun sudah melalui banyak penambahbaikan. Tidak ada lagi pemandangan bas termasuk bas mini yang hampir senget di jalan raya kerana terlebih muatan. Bas-bas pun sudah banyak dan keadaannya selesa. Dan pengangkutan utama warga kota kini adalah LRT. Berbalik kepada soal bolehkah Kuala Lumpur menjadi antara bandar raya terbaik dunia pada 2020? Perkembangan dan pembangunan yang pesat tidak bererti KL boleh mencapai status itu dalam masa yang singkat. Melihat kepada ciri-ciri bandar raya terbaik dunia, KL masih jauh untuk menepatinya. Tetapi ia tidak boleh dikatakan mustahil jika giat berusaha memperbaiki apa yang kurang, bermula sekarang.

Antara ciri-ciri itu adalah mewujudkan sistem politik stabil, kadar jenayah rendah, pengangkutan awam efisien perbankan efisien, tiada tapisan yang melampau terhadap aktiviti sosiobudaya, sistem kesihatan terbaik, tiada penyakit berjangkit, bebas pencemaran udara, sistem pendidikan terbaik termasuk banyak sekolah antarabangsa, bekalan air dan elektrik sempurna, banyak kemudahan restoran, panggung wayang, sukan dan bebas bencana alam. Perkhidmatan pengangkutan awam masih menjadi rungutan warga kota. Terutamanya teksi. Banyak lagi aduan mengenai pemandu teksi tidak mahu menghantar penumpang, memilih lokasi tertentu, meminta bayaran yang tinggi dan tidak kurang juga bersikap kasar. Sikap segelintir pemandu teksi yang sebegini bukan sahaja tidak memberi keselesaan dan kesenangan kepada warga kota, malah mengagalkan usaha-usaha lain pihak kementerian terbabit dalam mengangkat taraf KL sebagai bandar raya serba baik. Mana tidaknya, bila lain-lain kemudahan dan perkhidmatan sudah okey, teksi pula tidak okey. Kes ragut juga terus berlaku. Golongan wanita terutamanya perlu sentiasa berhati-hati bukan sahaja berjalan di tempat yang lengang tetapi di lokasi yang penuh dengan orang awam. Jenayah ragut turut membabitkan pelancong asing.

Pernah dalam satu kejadian tahun lalu, semasa kereta saya memasuki perkarangan sebuah hotel di Jalan Ampang, saya menyaksikan sendiri seorang pelancong asing wanita yang sedang berjalan di situ direntap begnya oleh pembonceng motosikal. Sudah tentu kedatangan pelancong itu ke bandar raya ini memberi satu igauan buruk kepadanya. Selain itu, beberapa kawasan di KL akan mengalami banjir kilat yang teruk walaupun hujan tak sampai 20 minit dan ini membuatkan jalan raya di bandar raya ini sesak. Dan kita akan terperangkap berjam-jam lamanya di situ. Sampai hendak berasap kepala dibuatnya. Maka untuk mencapai impian bandar raya terbaik, semua perkhidmatan dan perkara-perkara asas ini, termasuk keselamatan sewajarnya dijadikan cabaran untuk diperbaiki dan pengukur dalam mengejar status antara bandar raya terbaik dunia. Positif lah, tidak mustahil untuk mencapainya. Selain itu, sikap warga kota - dalam mengharapkan semua kemudahan dan perkhidmatan yang baik-baik semuanya, tiada maknanya jika kita sendiri yang menjadi ‘tukang’ rosaknya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012

ISU ANTARABANGSA : RETORIK KEBANGKITAN CHINA MEMUDARATKAN ASIA PASIFIK

Oleh Azmi Hassan
PENULIS ialah GeoStrategis Institut GeoSpatial UTM 
dan ahli bersekutu Majlis Profesor Negara.


Gesaan Menteri Luar Singapura, K. Shanmugam supaya Amerika Syarikat (AS) kurangkan retorik mengenai kegusaran terhadap kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dan tentera begitu menarik sekali bukan kerana teguran yang kena pada masanya tetapi kerana Singapura dianggap sebagai antara sekutu kuat AS di rantau Asia Pasifik. Lebih menarik lagi adalah kerana teguran tersebut dilakukan ketika beliau melakukan lawatan rasmi pertama ke Washington setelah menjawat jawatan tersebut tahun lepas. ‘‘Sebarang kenyataan mengenai strategi untuk membendung China, sebuah negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk, sukar untuk dipertahankan dan tidak masuk akal,” kata Shanmugam dengan begitu terus terang sekali. Nasihat sedemikian rupa tidak akan terfikir akan timbul dari Menteri Luar Filipina, Jepun atau Korea Selatan kerana keakraban ketiga-tiga negara tersebut dengan AS adalah begitu intim sekali sama juga seperti Singapura. Tetapi nampak gayanya Menteri Luar Singapura itu amat berterus terang.

Tetapi ada juga yang mengandaikan teguran Shanmugam itu lebih menjerumus kepada kepentingan ekonomi kerana China dan Singapura mempunyai hubungan dagang yang begitu sihat di antara satu sama lain. Singapura sudah pasti tidak mahu memberi isyarat kepada Beijing bahawa republik itu menyimpan syak wasangka yang tidak baik sehingga boleh menjejaskan jumlah dagangan antara dua negara. Sebenarnya kerjasama ketenteraan di antara Singapura dan AS terjalin seperti biasa malah terdapat beberapa petunjuk bahawa kehadiran tentera AS di rantau Asia Pasifik akan menjadi lebih terserlah kerana perkembangan terbaru yang berlaku bukan sahaja di Singapura tetapi Filipina. Isu tuntutan bertindih Kepulauan Spratly dan Paracel di antara Filipina dan China adalah sebab utama mengapa Manila pada ketika ini menjalin kerjasama erat dengan Washington. Terdapat desas-desus yang mengandaikan keakraban seperti ini bakal menyaksikan kewujudan semula pangkalan tentera AS setelah perjanjian Pengkalan Laut Teluk Subic dan Pengkalan Udara Clark dibatalkan dua dekad lepas.

Begitu juga dengan Singapura kerjasama tentera dengan AS tidak pernah pudar seperti yang berlaku terhadap Manila yang ada turun naiknya. Jika Manila ditakrifkan oleh Washington sebagai sekutu bukan NATO yang mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri seperti pembelian senjata tidak perlu mendapat kelulusan Kongres AS, tetapi Singapura mempunyai persefahaman ketenteraan dengan AS yang dianggap unik sekali. Perjanjian Rangka Kerja Strategik (SFA) umpamanya yang dimeterai pada 2005 adalah landasan kukuh kerjasama tentera di antara kedua-dua negara. SFA adalah lebih efektif dan hebat jika hendak dibandingkan dengan keistimewaan yang terdapat dalam kerjasama sekutu bukan NATO yang dimiliki oleh Manila. SFA di antara Singapura dan AS menggabungkan dua perjanjian sedia ada iaitu Perjanjian Kerjasama Pertahanan (DCA) dan Memorandum Persefahaman (MOU) 1990 yang antara lain membenarkan AS mengguna kemudahan tentera yang terdapat di Singapura seperti Pangkalan Udara Paya Lebar dan Pangkalan Laut Changi yang serba moden. Malah Pangkalan Laut Changi yang menjadi nadi logistik Armada Ketujuh Tentera Laut AS direka khas mengikut spesifikasi USS Kitty Hawk.

Sebab itu ramai penganalisis agak berbelah bahagi dengan teguran Shanmugam yang pada asasnya keras dan telus tetapi sebenarnya agak berlapik-lapik dan mempunyai maksud tersirat yang berbagai-bagai. Pangkalan Laut Changi dikatakan bakal menerima kehadiran kapal tempur pesisir (LCS) AS sebagai salah satu usaha AS mengekang pengaruh China di Laut China Selatan dan Lautan India. Memang benar kewujudan SFA telah memudahkan kehadiran LCS tetapi tidak dapat dinafikan pemangkinnya adalah retorik kebangkitan China. Tetapi perlu diungkitkan kembali kehadiran LCS AS tidak kira sama ada di Laut China Selatan, Lautan India atau Selat Melaka adalah satu isu yang agak sensitif. Pada 2004 umpamanya AS mahu memperkenalkan Inisiatif Serantau Keselamatan Maritim (RMSI) yang antara lain membenarkan penggunaan LCS tentera Marin AS sebagai usaha untuk menghapuskan kegiatan lanun di Selat Melaka. RMSI gagal dilaksanakan ekoran bantahan dari negara pesisir iaitu Malaysia dan Indonesia walaupun disokong kuat oleh Singapura.

Tetapi nampak gayanya dengan menggunakan retorik kebangkitan China dan usaha AS untuk memberi tumpuan kepada rantau Asia Pasifik, kehadiran tentera AS bermula dari Filipina dan seterusnya merentasi Singapura sehingga ke Jepun dan Korea Selatan bakal menjadi lebih rancak. Ditambah pula dengan berita bahawa bajet pertahanan China dijangka akan meningkat dengan mendadak dan jauh melampaui gabungkan bajet pertahanan semua negara Asia Pasifik, maka sudah pasti retorik kebangkitan China tidak akan terhenti dengan begitu sahaja. Kadar pertambahan bajet pertahanan China dianggarkan akan meningkat sehingga 19 peratus setiap tahun sehingga 2015 adalah satu jumlah pertambahan yang agak besar. Berita mengenai bajet pertahanan China sememangnya agak menggerunkan dan ditokok tambah pula dengan retorik AS, maka saranan Shanmugam sebenarnya tidak selari dengan apa yang sedang berlaku. Memang ada kebenaran apabila beliau akur keperluan retorik AS ada kaitannya dengan keadaan politik tempatan AS yang sedang melalui proses pemilihan calon Presiden. Tetapi hakikatnya adalah yang akan merasa bahang dan merana akibat retorik tersebut adalah rantau Asia Pasifik dan bukannya pengundi di AS.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012

ISU PERKHIDMATAN AWAM : CUEPACS TUNTUT KENAIKAN GAJI ANTARA RM700 HINGGA RM2,500

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500. Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA). Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500). Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred. Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4. ''Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar. Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula," katanya. Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam. Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah. Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
23 Februari 2012

KOMEN CIKGU ZUL

Bunyi permintaan ini memang sedap didengar. Akan tetapi, mungkinkah mimpi-mimpi ini akan menjadi realiti atau hanya sekadar mimpi di siang hari? Jika hendak dicongak, hati yang terluka kerana tersisih selama ini, jumlahnya mungkin tindak terhitung dengan mengangkat dan melipat jari kaki selama 50 kali. Jumlahnya terlalu banyak dan untuk membiarkan mereka terus-terusan bermakan hati memang agak kejam dan tidak berperikemanusiaan. Namun begitu, itulah dasar yang telah ditetapkan. Biar kita lihat, dalam dunia pendidikan. Pemberian jawatan Guru Akademik Tingkatan Enam yang memang bercelaru. Awalnya, mereka yang berkhidmat 5 tahun ke atas secara automatik dilantik dengan syarat mengajar Tingkatan Enam selama 3 tahun. Pada tahun 2011, syarat yang dikenakan lagi pelik, sesiapa sahaja yang sudah dilantik pada tahun 2004, jika memohon boleh diterima menjadi Guru Akademik walaupun tidak pernah mengajar Tingkatan Enam. Bagaimanakah dengan guru-guru yang belum layak tetapi sudah mengajar tingkatan enam sehingga 10 tahun? Bukankah hak mereka ini sudah dinafikan oleh KPM dengan syarat yang ditetapkan itu? Pernahkah kita terfikir bahawa mangsa kepada semua ini ialah pelajar-pelajar kita? Kenapa kita menafikan pengalaman dan kebolehan guru dalam memberikan kenaikan pangkat? Ini merupakan senario yang melukakan bagi yang mengalami dan merasai.