28 Februari 2011

ISU PENDIDIKAN : MEMILIH BUKU SEBAGAI HADIAH SEMPURNA


Seseorang yang penting dalam hidup bakal menyambut ulang tahun kelahiran, tetapi anda masih teragak-agak untuk mendapatkan hadiah hari jadi paling sesuai untuknya. Jadi bagaimana anda membuat keputusan? Biasanya kita mahu memberi hadiah istimewa yang akan benar-benar dihargai penerima. Penunjuk yang baik ialah hobi atau minat penerima. Sukar untuk mencarinya dalam bentuk barang, jalan terbaik ialah buku mengenai subjek hobi seseorang itu. Buku-buku hobi berilustrasi seperti memasak, memancing, pelbagai jenis sukan, pelancongan, haiwan peliharaan, jahitan dan kraftangan mudah dicari dan dijadikan koleksi bahkan boleh diturunkan ke generasi akan datang sebagai harta ilmu. Katakanlah penerima gemar menanam bunga, nashkah tentang penjagaan orkid mungkin merupakan hadiah yang dicari-cari.
Jika anda tidak pasti akan cita rasa bahan bacaan penerima, tajuk-tajuk buku popular di seluruh dunia boleh dijadikan pilihan. Misalnya ‘Rich Dad Poor Dad’ mengenai pengurusan wang yang bijak, atau ‘Who Moved My Cheese’ yang membantu pembaca berdepan dengan perubahan drastik atau buku misteri konspirasi ‘The Da Vinci Code’ yang mampu membuatkan pembaca mempertikai sejarah meskipun ia hanya novel fiksyen.

HADIAH YANG PRAKTIKAL

Buku juga hadiah paling sempurna dan relevan untuk sebarang situasi. Misalnya untuk seseorang yang terbatas pergerakannya seperti hanya di atas katil atau berkerusi roda di ruang litup kawasan yang terhad, buku menemani di kala kesepian, membuka minda di kala tiada teman berbicara dan boleh membantu mengatasi masalah sukar untuk tidur. Komik atau buku cerita berilustrasi boleh menjadi rahmat buat ibu bapa kepada kanak-kanak yang sakit, misalnya, dan terpaksa melalui pengalaman rawatan hospital yang kurang menyenangkan. Ia bukan sahaja menghiburkan jika dibaca bersama-sama malah boleh mengeratkan hubungan di antara ibu bapa dan anak. Lebih baik lagi imaginasi yang dijana semasa membaca boleh mengalih perhatian kanak-kanak daripada kesakitan yang ditanggung sekaligus menjadikannya kurang meragam. Berbanding dengan barang mainan yang akan dibuang selepas rosak, buku juga boleh disimpan hingga menginjak usia dewasa sekaligus menjadi memento kenangan abadi apabila pemberi meninggal dunia.

MENGHADIAHKAN SEMUA BUKU

Kelebihan lain buku sebagai hadiah yang mungkin agak kurang menyenangkan seseorang ialah menghadiahkannya semula. Katakanlah anda menerima sebuah buku yang terlalu teknikal atau sangat membosankan, ia boleh dihadiahkan semula ke mana-mana perpustakaan yang sesuai dengan genrenya. Di situ, ia boleh dipinjam berkali-kali dan ilmunya dapat digunakan oleh orang lain menjadikan anda secara tidak langsung, berjasa kepada masyarakat setempat.

MEMBACA LAPAN BUKU SETAHUN    
    
Berbicara tentang buku dan perpustakaan, Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Ruslin Abu Bakar ditanya BERNAMA mengenai penerimaan masyarakat Malaysia terhadap buku. Kajian terkini menunjukkan rakyat Malaysia yang berusia di antara 10 hingga 40 tahun membaca sebanyak lapan hingga 12 buah buku setahun. Dalam kajian yang sama iaitu kajian olahan semula profil membaca Malaysia 2010, turut mendapati mereka yang lebih berusia membaca secara purata enam buah buku, katanya. Secara amnya, angka ini menunjukkan peningkatan yang baik berbanding putara hanya dua buah buku seorang yang dicatatkan dalam kajian 2005.

RUTIN SATU JAM SETIAP HARI

Ruslin berpendapat jumlah buku yang patut dibaca oleh seseorang itu sebenarnya terpulang kepada individu itu sendiri. Namun beliau menyarankan agar setiap orang meluangkan sekurang-kurangnya satu jam setiap hari untuk membaca. "Sekiranya anda membaca satu jam sehari, secara purata, anda boleh menghabiskan satu buku setiap minggu. "Jika amalan ini berterusan, anda akan dapat menghabiskan empat buku sebulan atau 48 buah buku dalam masa setahun, satu jumlah yang agak mengkagumkan," katanya. Tidak dinafikan angka itu mencerminkan tabiat membaca yang cemerlang sekaligus membentuk minda masyarakat yang bijak dan terbuka. "Bentuk bahan bacaan terpulang kepada diri kita sendiri tetapi sebaiknya pilih atau baca buku ilmiah yang berkaitan dengan bidang anda dan juga bahan-bahan yang boleh membangunkan nilai diri anda sendiri. "Lagipun, nilai diri seseorang itu lebih dicerminkan melalui kualiti bahan bacaan bukan hanya menerusi jumlah buku yang dibaca," katanya.

STATUS NEGARA MAJU    

Ruslin turut menggalakkan rakyat Malaysia untuk berusaha menghasilkan karya sendiri bagi meningkatkan jumlah buku terbitan negara. ”Pada masa ini, industri penerbitan negara hanya mampu menerbitkan sekitar 15,000 judul bahan bacaan setahun yang dikira masih jauh di bawah paras standard negara maju,” tegasnya. Unesco menetapkan bahawa penerbitan buku sesebuah negara yang paling wajar adalah satu peratus daripada jumlah populasi penduduk. Syarat ini antara elemen yang dinilai untuk penstatusan negara maju. ”Ini bermakna, memandangkan jumlah populasi terkini negara ialah 28 juta orang, negara perlu aktif menghasilkan 28,000 judul dalam setahun,” jelasnya yang turut berharap agar angka itu dapat dicapai sebelum tahun 2020.

DORONGAN KEPADA BAKAL PENULIS

Bagi mencapai tujuan itu, PNM merancang untuk mengadakan Festival Penulis 1Malaysia tidak lama lagi yang bertujuan mengasah potensi penulisan buku rakyat Malaysia. Ruslin berkata selain program seperti bengkel e-book, festival itu nanti akan turut memberi tumpuan khas kepada golongan remaja yang berhasrat menjadi penulis. Selain itu, kata Ruslin, sebagai usaha merancakkan lagi industri penerbitan buku, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang berusaha mendapatkan dana bagi membolehkan bahan penulisan dibeli secara terus daripada penulis, sekaligus memudahkan penulis menerbitkan karya mereka.       Sumber daripada Majlis Industri Buku Malaysia menunjukkan nilai penjualan buku di Malaysia pada tahun 2009 ialah RM2.1 bilion yang boleh dianggap satu pencapaian yang memberansangkan. Kita juga boleh menyumbang kepada penerbitan buku dan penjualan yang lebih tinggi dengan membeli dan menghadiahkan buku kepada seseorang. Jadi cuba-cubalah fikirkan hari lahir siapa paling hampir selepas ini?

SUMBER : BERNAMA, 28 FEBRUARI 2011

BERITA DAN PERISTIWA : GURU DISIPLIN "CABUL" MURID SEBELUM ROTAN?


KUALA LUMPUR: Gara-gara mahu menjadi ‘doktor’, seorang guru disiplin sebuah sekolah menengah di Ampang, di sini, diberkas polis selepas didakwa mencabul 12 pelajar perempuan, Jumaat lalu. Difahamkan, guru lelaki berusia lewat 30-an itu mahu melakukan pemeriksaan mengenai tahap kesihatan semua pelajar terbabit terlebih dahulu sebelum merotan mereka kerana gagal hadir ke perhimpunan sekolah. Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, semua pelajar terbabit dilaporkan tidak mengikuti perhimpunan sekolah kerana mendakwa mahu menyiapkan kerja sekolah di dalam kelas.

Menurut sumber, ketika guru disiplin itu melakukan rondaan, dia melihat kumpulan 12 pelajar perempuan tingkatan tiga berkenaan berada dalam kelas sebelum memarahi mereka. Guru disiplin terbabit mahu mengambil tindakan terhadap semua pelajar berkenaan kerana tidak mengikuti perhimpunan. Biarpun semua pelajar cuba menjelaskan keadaan sebenar, guru terbabit tidak mempedulikan alasan itu, sebaliknya memberitahu akan melakukan pemeriksaan kesihatan terhadap semua mereka sebelum mengambil tindakan. Sumber berkata, guru disiplin itu dengan bersahaja memberitahu akan memeriksa tahap degupan jantung mereka.

Dia mendakwa bimbang tahap kesihatan pelajar berkenaan akan menyebabkan mereka pengsan atau mengalami masalah jika dirotan membuta tuli. Guru lelaki terbabit memegang payu dara semua pelajar perempuan berkenaan. Difahamkan, dia mengambil masa kurang daripada 10 saat untuk melakukan pemeriksaan bagi setiap pelajar pada peringkat pertama. Sumber berkata, disebabkan ketakutan, semua pelajar terbabit akur dengan tindakan guru terbabit. Guru disiplin terbabit bagaimanapun sekali lagi melakukan tindakan keji apabila dia mendakwa tidak berpuas hati dengan pemeriksaan kali pertama sebelum melakukannya sekali lagi. Kali ini, dia didakwa memasukkan tangan ke dalam baju semua pelajar perempuan terbabit. Selepas berpuas hati, guru disiplin itu merotan tangan semua pelajar dan meninggalkan kelas berkenaan.

Sumber berkata, sebaik pulang ke rumah, pelajar perempuan berkenaan mengadu perbuatan guru terbabit kepada waris. “Waris yang mendapatkan khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan berkenaan tampil membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah. Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota polis menahan guru disiplin itu berhampiran sekolah menengah berkenaan, kira-kira jam 11 pagi Sabtu lalu. Difahamkan, dia direman empat hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan (KK) iaitu menggunakan kekerasan dengan niat mencabul kehormatan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan selain penahanan guru terbabit.

KOMEN CIKGU ZUL

Andainya benar guru tersebut melakukan perbuatan itu dengan sengaja, maka guru tersebut merupakan guru yang paling malang di dunia! Sudah termaktub dalam peraturan dan pekeliling bahawa guru lelaki tidak boleh menyentuh pelajar wanita walaupun dia merupakan guru disiplin. Walau bagaimanapun, andainya semua cerita ini hanyalah fitnah disebabkan pelajar-pelajar tersebut benci dengan guru terbabit, maka golongan pelajar tersebut merupakan pelajar yang paling malang di dunia! Hal ini demikian kerana guru yang mendidik, mengasuh, dan membentuk mereka menjadi manusia yang berilmu dan bersahsiah telah difitnah dengan cara yang amat mengaibkan.

Cuma Cikgu Zul terkilan dengan akhbar yang menyiarkan berita ini, tergamak menggunakan istilah 'cabul' yang saya rasa terlalu mengaibkan untuk menghakimi perlakuan guru terbabit. Jika pun  hendak melariskan akhbar, janganlah sampai menjual maruah orang dengan tajuk-tajuk berita yang sensasi sedangkan isinya tidak seperti tajuk yang ditulis! Lantaran itu, Cikgu Zul berharap agar siasatan terperinci hendaklah dilakukan demi sebuah keadilan untuk semua. 

ISU PENDIDIKAN : JADUAL KERJA ANJAL GURU ELAK BEBAN TUGAS LEBIH


Kerajaan disaran melaksanakan waktu persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tidak menanggung beban kerja berlebihan.  Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata jadual persekolahan selama lapan jam itu dapat memenuhi waktu harian pelajar secara berkualiti, selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial. Melalui pelaksanaan itu, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, pentadbiran sekolah boleh menyusun pelbagai aktiviti berfaedah untuk mengisi jadual waktu petang setiap hari tanpa membebankan pelajar dengan pembelajaran akademik semata-mata. Antaranya, pelajar boleh menjalani aktiviti sukan dan kokurikulum, menyiapkan kerja rumah di bawah bimbingan dan pemantauan guru, mengikuti kelas tambahan bagi melonjakkan prestasi pencapaian mereka atau memasuki kelas pemulihan untuk mereka yang memerlukan bantuan.

Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kemahiran menarik pada sebelah petang seperti kelas seni untuk pelajar dalam aliran sains bagi menggalakkan lagi daya kreativiti.  Dari segi jadual kerja anjal untuk guru, disarankan sebahagian daripada mereka bertugas mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bakinya dari jam 11 pagi hingga 4 petang.  Abdul Rahman berkata, 70 peratus sekolah di negara ini sudah menjalankan sekolah satu sesi tetapi waktu persekolahan hanya dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari menyebabkan ada pelajar mengambil kesempatan ruang masa selepas itu terjebak dengan gejala sosial kerana ibu bapa bekerja.  Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya guru permulaan diberi tempoh percubaan selama enam bulan di sekolah bagi memastikan kesesuaian sebenar mereka untuk menjadi pendidik dan jika tidak, wajar dicadangkan mereka mencari kerja lain.

BERITA HARIAN
28 FEBRUARI 2011

ISU KESIHATAN : ELAKKAN PEMBAZIRAN PADA SETIAP MASA

"Rakyat Malaysia mati kerana terlebih makan, sedangkan rakyat negara lain mati kerana kebuluran"


Masih terngiang-terngiang di telinga penulis, khutbah Jumaat yang disampaikan oleh khatib di salah sebuah masjid berdekatan Malau, Jitra semasa menunaikan solat Jumaat, pada minggu lalu. Beliau dengan nada tegas menyatakan, "rakyat Malaysia mati kerana terlebih makan, sedangkan rakyat negara lain mati kerana kebuluran". Ayat ini menunjukkan betapa di Malaysia, kita bertuah kerana dapat menjalani kehidupan dengan begitu mewah. Segala-galanya mudah diperoleh sehinggakan negara kita menjadi lubuk untuk warga negara lain mencari rezeki. Disebabkan kemewahan inilah, kita boleh lihat banyak pembaziran berlaku di sana sini di Malaysia. Antaranya, ketika kenduri kahwin, pembaziran sering kali berlaku. Makanan yang dijamu untuk tetamu terlalu banyak. Memang niat awal untuk menjamu tetamu sebaik mungkin, tetapi apabila terlalu banyak membuatkan makanan terbuang begitu sahaja.

Tujuan asal mengadakan kenduri adalah untuk mendapatkan keberkatan, tetapi lain pula yang berlaku jika ia sudah menjangkau ke tahap membazir. Alangkah eloknya, jika sekiranya kenduri kahwin tersebut dapat diadakan dalam bentuk yang sederhana tanpa pembaziran tetapi pada masa yang sama meriah. Keberkatan adalah perkara paling utama, bukannya berusaha menunjuk-nunjuk kemewahan yang ada dan akhirnya pembaziran berlaku. Kemewahan yang dirasai selama ini sepatutnya mengingatkan kita betapa ramai manusia di luar sana sedang kebuluran. Justeru itu, bagi bakal pengantin yang akan mengadakan kenduri kahwin sempena cuti sekolah tidak lama lagi, adakanlah kenduri tersebut dengan sederhana tanpa pembaziran. Itu baru satu bab, belum lagi kerana terlalu mewah dengan pelbagai makanan, rakyat Malaysia menghidap pelbagai penyakit yang berpunca daripada terlebih makan seperti obesiti.

Inilah penangan terlebih makan. Bayangkan, meskipun kos sara hidup semakin tinggi, sikap rakyat Malaysia yang bermewah-mewah dan membazir tetap kekal sama. Tetap tidak berubah, membazir di sana dan sini. Kalau diadakan majlis, sambutannya sudah tentu besar-besaran. Kononnya, jika diadakan sederhana, tidak gah. Sindrom mengadakan sesuatu majlis secara besar-besaran menyebabkan wang yang digunakan dibazirkan begitu sahaja. Sedangkan, wang yang sama boleh digunakan untuk pelbagai manfaat untuk orang yang memerlukan. Sedarlah wang itu merupakan amanah dan ia seharusnya digunakan untuk perkara yang sepatutnya. Kadangkala majlis itu hanya diadakan tidak sampai sejam, tetapi dek kerana terikut-ikut dengan budaya menunjuk-menunjuk dengan mengadakan majlis secara besar-besaran, maka segala-galanya mesti sempurna. Apabila mengejar kesempurnaan, wang adalah jawapannya.

Tentatif aturcara diperbanyakkan agar nampak lebih menarik. Lagi banyak aturcara lebih mewahlah majlis tersebut. Kalau kita tengok balik, kebanyakan pembaziran tersebut boleh dielak. Dengan mengurangkan aturcara, kuranglah wang yang dibelanjakan. Ada aturcara yang jika tidak diadakan sekalipun tetap tidak menjejaskan atau mengurangkan kehebatan majlis tersebut. Itu bagi majlis yang diadakan untuk orang ramai. Bagi individu pun tidak kurang hebatnya. Merungut kos sara hidup semakin meningkat, tetapi budaya membazir tetap diteruskan. Lumrah hidup, apabila harga barangan naik, ramailah yang merungut di sana sini menuding jari ke arah pihak lain. Paling menarik situasi di Malaysia, harga barangan ditentukan oleh kenaikan harga minyak. Memang benar, di pihak kerajaan, kerajaan yang menjalankan amanahnya, bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat terutamanya dari segi ekonomi.

Penulis yakin kerajaan yang ada sekarang telah mempelajari sesuatu apabila harga minyak dinaikkan pada tahap tertinggi pada 2008 telah menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan dinaikkan sewenang-wenangnya oleh peniaga. Walhal, selepas itu, harga minyak dunia telah turun semula ke paras terendah. Malangnya, keputusan menaikkan harga minyak dan menurunkan harga minyak selepas itu tidak langsung memberi kesan positif kepada pengguna. Harga barangan dan perkhidmatan kekal tinggi. Lantaran itu, keputusan kerajaan untuk mengekalkan harga minyak RON95 meskipun terpaksa membayar lebih subsidi merupakan langkah yang tepat dalam mengawal kadar inflasi. Dari konteks ini, ia bukanlah satu pembaziran akibat terpaksa menanggung subsidi yang tinggi tetapi lebih bertujuan mengawal sektor ekonomi agar tidak terjejas. Paling penting, nasib rakyat dapat dibela.

Keputusan tidak menaikkan harga minyak seharusnya memberi peringatan kepada rakyat agar tidak melakukan pembaziran. Beringatlah, kemewahan yang kita kecapi selama ini boleh ditarik begitu sahaja jika kita tidak bersyukur. Bayangkan apa yang terjadi di Christchurch, New Zealand selepas gempa bumi melanda, penduduknya terpaksa berjimat menggunakan air dek kerana kekurangan bekalan air. Senario sebeginilah yang sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua agar mengelak diri daripada melakukan pembaziran pada setiap masa. Percayalah, jika pembaziran dapat dielakkan, banyak faedah yang bakal diterima bukan sahaja kepada individu tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.

Rohami Shafie
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.

UTUSAN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2011

ISU KESENIAN : MUZIK DAN PERJUANGAN

Oleh Ku Seman Ku Hussain


Banyak orang melihat muzik tidak lebih daripada produk hiburan yang dijaja oleh artis-artis popular. Di semua negara, muzik menjadi antara penyumbang kepada industri hiburan dan negara ini juga tidak terkecuali. Kalau melihat jauh melampaui tuntutan budaya popular, kita dapati pengaruh muzik kepada manusia bukan sahaja hiburan. Lihat sahaja bagaimana sebuah kumpulan muzik dari Ireland, Cranbberies di mana muzik mereka melampaui hiburan dalam hubungannya dengan budaya popular yang kita fahami. Lagu Zombie yang dianggap lagu wajib kumpulan Cranbberies misalnya diilhamkan daripada peristiwa ledakan bom di London pada awal 1990-an yang turut mengorbankan kanak-kanak. Cranbberies, sebuah kumpulan muzik rock tetapi memilih untuk berbicara mengenai ‘kemabukan’ manusia hingga lupa peri pentingnya nyawa manusia lain. Menurut penganalisis, kekuatan Cranbberies bukan sahaja terletak kepada muzik tetapi kejituan lirik yang menjurus kepada antiketidakadilan.

Kumpulan ini pernah menghasilkan lagu War Child yang menyuarakan nyawa kanak-kanak telah menjadi mangsa keangkuhan politik puak-puak tertentu. Cranbberies sebenarnya mendapat sokongan moral daripada beberapa kumpulan muzik hebat dunia antaranya kumpulan U2 dan The Corrs serta penyanyi Sinead O’ Connors yang kesemuanya dari Ireland. Pak Gesang yang mencipta lagu keroncong Bengawan Solo pernah berkata, beliau berjuang mencapai kemerdekaan dengan lagu-lagunya. Jangan berasa lucu kalau dikatakan lagu-lagu keroncong antara yang menyumbang kepada kemerdekaan Indonesia, selain daripada buluh runcing yang menjadi kebanggaan Sukarno. Dari sudut antropologi, keperluan muzik kepada kehidupan manusia sangat tinggi dan muzik menjadi elemen penting dalam kehidupan tradisi bagi semua kaum. Maknanya dalam hubungannya dengan masyarakat Asia, muzik ada kuasa mistiknya apabila acara ritual mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan muzik.

Beberapa fakta di atas menguatkan hujah bahawa memberi hiburan hanya sebahagian daripada peranan muzik yang sangat besar kepada manusia. Tetapi kerana yang kecil itu menonjol dan membangunkan industri hiburan, maka nilai hiburan dianggap menguasai muzik. Kita tentunya boleh berbangga kerana memiliki karyawan muzik seperti M. Nasir, Zubir Ali, Dr. Zawawi, Sohaimi Mior Hassan dan beberapa lagi yang mempunyai kecenderungan menjadikan muzik sebagai pentas membicarakan perihal sosial. Mereka berperanan sama seperti penyanyi rock veteran, Bruce Springsteen yang turut bertanggungjawab memperbaiki hubungan Jerman – Amerika menerusi lagu-lagunya terutama dari album Rising. Lagu Born in the USA dianggap sebagai sebuah lagu antiperang yang diilhamkan daripada Perang Vietnam. Sementara lagu My City of Ruins sebagai mengenang tragedi duka serangan pejuang berani mati ke atas New York dan Washington DC pada 11 September 2001. Maka bolehlah ditanya, selain mengimpikan berjaya di Juara Lagu, apakah lagi impian pencipta-pencipta lagu kita?

UTUSAN MALAYSIA
28 FEBRUARI 2011

27 Februari 2011

ISU LUAR NEGARA : KEHEBATAN MUAMMAR GADDAFI : KHEMAH, UNTA, DAN 40 PENGAWAL WANITA YANG MASIH DARA

Dialah 
“Raja Segala Raja” 
di Benua Afrika


Pada Jun 2009, pemimpin Libya, Muammar Gaddafi tiba di Rom, Itali dengan 300 ahli rombongan. Mereka menggunakan tiga buah pesawat Airbus. Seperti kebiasaan apabila melakukan lawatan ke luar negara, Gaddafi akan membawa bersama khemah gergasi Badwi yang didirikan di tengah-tengah bandar. Beliau lebih suka tidur bahkan bertemu pemimpin negara asing di khemah itu berbanding hotel mewah. Pada tahun 2007, Gaddafi bukan sahaja memacakkan khemah di kawasan lapang sebuah hotel lima bintang di Paris malah mempamerkan untanya di situ. Senarai sisi eksentrik Gaddafi seperti yang dilaporkan akhbar Britain, Daily Mail termasuklah tindakannya membawa unta gurun Sahara sebagai sebahagian daripada rombongan pengiringnya semasa beliau melawat Perancis. Gaddafi memerlukan lima buah kapal terbang untuk mengangkut semua ahli rombongannya.

Gaddafi memacakkan khemahnya di estet milik jutawan Amerika, Donald Trump di New York semasa menghadiri Perhimpunan Agung, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2009. Gaddafi mengembara dengan membawa khemah bagi menonjolkan asal-usul Badwi. Masyarakat Badwi merupakan kumpulan puak yang tinggal di kawasan padang pasir di Afrika. Apabila mereka berkelana merentas padang pasir, mereka akan mendirikan khemah bagi bermalam atau berlindung daripada cuaca buruk termasuk ribut pasir. Kain khemah itu biasanya diperbuat daripada bulu biri-biri yang ditenun dengan tangan. Dengan memakai gel dan rambut yang diwarnakan semasa tiba di Itali dua tahun lalu, Kolonel itu disifatkan media Barat mirip gaya Raja Pop, Michael Jackson. Di tengah dadanya tersemat sekeping gambar pemimpin pemberontak Libya yang telah dihukum gantung oleh penjajah Itali pada tahun 1931.

Beliau diberi sambutan negara oleh Perdana Menteri Silvio Berlusconi. Pakaian Gaddafi sememangnya sering menarik perhatian. Beliau gemar memakai jubah yang panjang berjela dan mengenakan cermin mata seperti seorang juruterbang. Beliau yang memakai topi tentera, kelip merah dan pakaian lengkap seorang kolonel tentera masih mencuri tumpuan. Namun, pasukan pengawal peribadi Gaddafi, kini berusia 68 tahun, lebih memukau. Mereka memakai uniform khaki dan beret merah sambil menggalas senapang Kalashnikov buatan Rusia. Kira-kira 42 tahun lalu, Gaddafi menggulingkan raja terakhir Libya, Raja Idris atas nama revolusi Islam. Beliau juga mengisytiharkan dirinya sebagai pelopor sosialisme Islam. Bagaimanapun, pengawal peribadi wanitanya itu tidak menyorokkan wajah mereka di sebalik burqa. Menurut Gaddafi, mereka adalah simbol kepercayaannya pada emansipasi wanita. Wanita patut dilatih untuk berlawan, jadi mereka tidak mudah dipermainkan oleh musuh, kata Gaddafi.

Semua wanita itu dikatakan telah mengangkat sumpah taat setia kepada Gaddafi dan sanggup menyerahkan seluruh hidup mereka untuk lelaki itu. Ternyata, dikatakan tiada seorang pun daripada mereka pernah meninggalkan Gaddafi baik siang mahupun malam. Gaddafi juga menegaskan semua pengawalnya masih dara iaitu syarat wajib sebelum dibenarkan bertugas dalam pasukan elit itu. Malah, pekerjaan yang dianggap berprestij itu sentiasa menjadi buruan wanita Libya. Mereka dilatih di sebuah kolej khas dan mengikuti program fizikal yang lasak. Mereka dilatih untuk menjadi pembunuh, pakar senjata api dan mahir dalam seni mempertahankan diri. Gaddafi akan membuat sendiri pemilihan terakhir, namun ada khabar angin kononnya pengawal peribadi itu turut dikehendaki melayan kehendak seksual Gaddafi. Wanita-wanita itu memakai lipstik, barang kemas, kuku yang dikilatkan bahkan kasut tumit tinggi tetapi ketangkasan mereka telah diuji berulang kali.

Pada tahun 1998, salah seorang daripada mereka terbunuh dan tujuh yang lain cedera selepas kumpulan fundamental Islam di Libya menyerang kenderaan Gaddafi. Gadis yang mati itu dikatakan merupakan pengawal kesukaan Gaddafi. Dia 'menerbangkan' dirinya untuk melindungi tubuh Gaddafi. Dia rela mati ditembusi peluru berbanding membiarkan peluru itu mengenai tuannya. Kehebatan Gaddafi adakalanya dipuji lawan dan kawan. Malah, ramai yang tertanya-tanya bagaimana Gaddafi, yang pernah dianggap oleh Barat sebagai bapa keganasan dan lelaki di sebalik pengeboman Lockerbie pada tahun 1988, diberi layanan istimewa oleh Berlusconi. Sebenarnya, tidak ramai pemimpin dunia seperti Gaddafi mengekalkan kuasa dan mengharungi pelbagai tekanan sepanjang 40 tahun pemerintahannya. Beliau menulis sendiri buku Green Book yang memaparkan pandangan politik dan teori sosialnya.

Apabila beliau berkuasa pada tahun 1969, Gaddafi sanggup menghukum musuhnya tanpa belas kasihan. Pada tahun 1970, beliau sendiri mengarahkan hukuman gantung sampai mati dilakukan di tempat awam. Pada tahun 1977, beliau hadir semasa pelajar-pelajar yang memberontak ke atas rejimnya dihukum gantung. Kuasanya bukan setakat di Libya malah diakui di seluruh Afrika. Dua tahun lalu, Gaddafi menjemput lebih 200 kerabat raja Afrika dan pemimpin puak ke bandar Benghazi yang terletak di pinggir Laut Mediterranean bagi menyokong kempen 'Penyatuan Afrika' Gaddafi. "Kita mahu tentera Afrika mempertahankan Afrika, kita mahu mata wang tunggal Afrika dan kita hanya perlukan satu pasport untuk mengembara ke seluruh negara di Afrika," beritahu Gaddafi kepada kumpulan itu yang datang dengan memakai mahkota emas dan pakaian kebesaran berwarna-warni. Selepas peristiwa itu, Gaddafi mula digelar 'Raja Segala Raja' di Afrika. 

SUMBER : KOSMO ONLINE

ISU LUAR NEGARA : SEORANG LAGI PEMIMPIN KEJI YANG DIBENCI


Dalam senyap-senyap, pemerintah Libya, Muammar Gaddafi telah mengumpul kekayaan mencecah AS$60 bilion (RM183 bilion) dengan beberapa bilion dolar wang miliknya selamat disimpan dalam beberapa akaun rahsia di negara Asia Tenggara. Jumlah tersebut meletakkan Gaddafi sebaris dengan bilionair terkaya dunia seperti taikun telekomunikasi, Carlos Slim Helu dan pengasas Microsoft, Bill Gates dengan masing-masing memiliki kekayaan AS$53.5 bilion (RM163.2 bilion) dan AS$50 bilion (RM161.7 bilion). Sebuah akhbar Britain melaporkan jumlah aset Gaddafi bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau telah mengumpulnya sejak memerintah Libya selama lebih 40 tahun. Akhbar Belanda, De Volkskrant, melaporkan sekitar AS$40 bilion (RM122 bilion) asetnya berada di Libya manakala bakinya disembunyikan di luar negara. Menurut beberapa sumber di London dan Tripoli, wang tunai yang disimpan di luar negara itu adalah khusus untuk kegunaan keluarganya.

Sebuah banglo berharga AS$16.1 juta dolar (RM49 juta) 
milik anak lelaki Muammar Gaddafi, Saif al-Islam 
(gambar kecil) di London.

Gaddafi sebenarnya bijak, jika tidak masakan beliau boleh bertahan selama lebih empat dekad. Walaupun apa pun yang berlaku kepada dirinya, beliau telah memiliki simpanan tunai dan hartanah di seluruh dunia, terutama Asia tenggara dan rantau Teluk sebagai jaminan masa depan sembilan anaknya. Sumber-sumber tersebut berkerja dengan Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang menguruskan dana negara berjumlah sekitar AS$50 bilion (RM152.5 bilion). Gaddafi mengambil beberapa langkah bijak bagi mengelak kekayaannya dibekukan seperti yang menimpa bekas presiden Tunisia, Zine El Abidine Bin Ali dan rakan sejawatnya dari Mesir, Hosni Mubarak. Antaranya, Gaddafi menyimpan wangnya dengan menggunakan akaun bank milik beberapa 'orang kepercayaannya' yang menerima 'habuan' lumayan. Hanya Gaddafi dan keluarganya yang tahu identiti kroni mereka. Kunci kepada semua ini adalah kerahsiaan dan orang kepercayaan.

Beliau memiliki beberapa kroni yang membantunya menyembunyikan kekayaannya. Gaddafi tahu orang kepercayaannya itu akan memulangkan wang miliknya selagi mereka diberi bahagian yang lumayan. Apabila anda memiliki wang berbilion-bilion dolar, perkara ini adalah mudah. Di Asia Tenggara, wang Gaddafi itu dipercayai disimpan di beberapa akaun pesisir. Hampir semua wang itu datangnya daripada pendapatan hasil minyak negara. Selain wang tunai, pemimpin berusia 68 tahun itu turut memiliki beberapa hartanah di kawasan strategik di London. Beliau membeli bangunan Portman House di London pada harga AS$249 juta (RM762 juta) dan membayar AS$193.4 juta (RM590 juta) untuk membeli sebuah bangunan yang terletak bertentangan dengan bank pusat England. Gaddafi juga memiliki kepentingan dalam UniCredit, yang merupakan antara bank terbesar di Itali, mengikut laporan sebuah stesen radio Belanda.

Dalam keghairan rakyat Libya untuk menjatuhkannya, Gaddafi dilaporkan telah mendeposit wang tunai berjumlah AS$4.8 bilion (RM14.7 bilion) kepada seorang pengurus dana peribadi di London. Seorang pengurus dana warga Switzerland yang bekerja dengan Gaddafi berperanan sebagai orang tengah dalam transaksi itu. Walau bagaimanapun,  percubaan serupa oleh Gaddafi ditolak oleh seorang pegawai kanan di sebuah firma saham di London. Pegawai berkenaan menolak untuk menguruskan dana itu setelah mengetahui sumbernya. Dalam pada itu, Amerika Syarikat dan Britain bertindak membekukan aset Gaddafi di negara masing-masing. Presiden AS, Barack Obama menandatangani perintah eksekutif untuk membekukan semua aset milik Gaddafi dan empat orang anaknya di AS. Jabatan Perbendaharaan menyatakan, sekatan terhadap Gaddafi, tiga anak lelaki dan seorang anak perempuannya itu turut melibatkan pentadbiran Libya.

Tindakan tersebut dilakukan selepas London mengumumkan bahawa para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bersepakat mengecam keganasan rejim pemerintah di Libya. Dalam satu kenyataan bersama, EU menyifatkan bahawa tindakan Gaddafi membunuh rakyatnya sendiri sebagai "langsung tidak boleh diterima". Sementara itu, Gaddafi memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk membakar seluruh Libya jika rakyat terus menentangnya. Amaran tersebut disampaikannya dalam satu ucapan di Dataran Hijau di sini semalam yang disiarkan oleh televisyen negara itu. Di hadapan saki baki penyokongnya, diktator Libya itu berkata, beliau tidak gentar untuk mati dan menyeru para penyokongnya supaya bersedia untuk mempertahankan negara. Malah, ujarnya: "Rakyat Libya sayangkan saya." Gaddafi juga turut mengumumkan bahawa orang awam yang menyokongnya akan diberikan senjata api untuk memerangi dan membunuh para penunjuk perasaan.

Tindakan tersebut dijangka akan mencetuskan pertumpahan darah besar-besaran di Tripoli. Askar-askar yang setia kepada Gaddafi dengan dibantu beberapa kereta kebal menyerang Pangkalan Udara Misrata berhampiran Tripoli. Pangkalan udara itu sebelum ini jatuh ke tangan pihak penentang. Setakat ini, mereka berjaya merampas sebahagian pangkalan tersebut selepas bertempur dengan penduduk tempatan dan unit-unit tentera yang berpaling tadah. Setakat ini, lebih 2,000 orang terbunuh manakala ribuan yang lain cedera sejak kebangkitan rakyat menentang pemerintahan rejim Gaddafi tercetus hampir dua minggu lalu.

SUMBER : KOSMO AHAD, 27 FEBRUARI 2011

26 Februari 2011

ISU ALAM SEKITAR : PEMUSNAH BUMI?

Saintis ramal asteroid Apophis 
seberat 25 tan hentam bumi 
seawal 2029


Jika mengambil kira pandangan saintis Barat bahawa kiamat bakal terjadi akibat bumi dihentam asteroid, penduduk planet ini sudah tidak punya banyak masa untuk bersedia berdepan dengan malapetaka paling dahsyat itu.  Ia disebabkan sudah banyak kali bumi terselamat dan mengelak daripada menjadi sasaran pelanggaran asteroid. Malah, tanpa disedari sejak awal bulan ini, sudah lebih 40 objek berhampiran bumi yang ditemui dan dicatatkan, termasuk ancaman tahi bintang yang melintasi bumi tetapi dapat ‘ditepis.’ Namun, apakah kemungkinan bumi untuk terus bernasib baik daripada ancaman asteroid atau merujuk batu atau himpunan batuan pejal bahan logam besi atau nikel yang dalam, pelbagai saiz ini termasuk batu gergasi? Terbaru, saintis Russia - Leonid Sokolov daripada Univesiti St Petersburg, meramalkan bumi bakal dihentam asteroid Apophis pada 13 April 2036.

Ini bukan kali pertama ramalan impak maut bakal dicetuskan Apophis kerana pada 2004, saintis Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) meramalkan asteroid ini akan menghentam bumi pada 2029. NASA turut meramalkan pertembungan hampir Apophis-bumi pada 2068.  Ringkasnya, berdasarkan kedua-dua ramalan itu, hayat bumi didakwa mereka cuma tinggal antara 18 - 25 tahun kerana impak Apophis boleh meragut jutaan nyawa selain mencetuskan kekalutan di seluruh dunia.  Menurut ramalan saintis Russia itu, asteroid sepanjang 270 meter, ukur lilit 330 meter itu dan ketinggian bangunan 90 tingkat dengan berat sekitar 25 juta tan, itu bergerak pada jarak 37,014 kilometer sejam dan dianggarkan merentasi lohong graviti pada 2029 lalu melanggar bumi tujuh tahun kemudian.  Ketua Program Objek Menghampiri Bumi NASA, Deo Yeomans, berkata pengiraan lebih tepat laluan Apophis dalam tempoh beberapa tahun sudah pasti menyaksikan usaha pakar mengeluarkannya daripada mana-mana kemungkinan perlanggaran dengan Bumi pada 2036.

“Kemungkinan senario yang berlaku adalah Apophis akan menghampiri bumi pada akhir 2012 dan awal 2013. Namun, kehadirannya pasti dipantau hebat deretan teleskop optikal di daratan serta sistem radar sofistikated.  “Andai ia berada di laluan membahayakan, NASA akan bertindak menggunakan kelengkapan serta peralatan bagi mengubah laluan Apophis dan sekali gus mengurangkan ancamannya menghentam bumi,” kata Yeomans.  Ibarat menghangatkan lagi permusuhan AS dan Russia menawan cakerawala, Ketua Agensi Angkasa Lepas Russia, Anatoly Perminov, pula menegaskan kemungkinan mengerah sebuah angkasa lepas bagi memusnahkan Apophis. Malah, penyelidik NASA, Agensi Angkasa Lepas Eropah dan China juga akan dipelawa menyertai misi Apophis. Dengan nada optimis, Perminov mengiyakan ancaman Apophis dengan mendakwa nyawa penghuni bumi kini terancam.

“Kita perlu mewujudkan satu sistem yang akan membenarkan kami menghalang satu perlanggaran, berbanding hanya duduk dan menunggu apa yang akan berlaku dan membunuh ramai,” kata Perminov. Ketika saintis dua negara itu terus bertikam lidah mengenai ancaman Apophis, ada beberapa lagi laporan penemuan asteroid yang berhampiran bumi. Terbaru, juga awal bulan ini, penemuan apa dikenali asteroid berpotensi bahaya (PHA) yang baru diumumkan dan kali ini ia juga melepasi bumi dengan selamat. Asteroid yang dilabelkan sebagai CU46 cuma 505,000 kilometer tersasar daripada laluan bumi tetapi masih dianggap sebagai terlalu hampir dalam terma astrologi. CU46 mempunyai keluasan diameter 20 meter hingga 50 meter dan objek ini berkemungkinan besar menghasilkan bebola api gergasi dan memberikan kerosakan besar jika berlanggar dengan bumi di kawasan padat.

Di sebalik ramalan maut dilontarkan saintis Russia dan Barat, ada baiknya dikaji kepentingan asteroid kepada manusia. Ini termasuk statusnya sebagai sumber asal usul sistem solar atau suria. Ini berikutan material dalam asteroid itu mewakili pembinaan blok dalam planet dan sekali gus membolehkan . Timbalan Penyiasat Misi Dawn NASA, Carol Raymond, berkata kewujudan asteroid juga akan membantu manusia lebih memahami asal usul kehidupan. Saintis tidak tidak memahami sepenuhnya bagaimana kehidupan pertama terbentuk daripada bahan organik bukan kehidupan dan asteroid mungkin membantu mereka mempelajari lebih banyak benda. Sesungguhnya manusia cuma menunggu masa sebelum pengumuman dibuat mengenai Bumi akan berdepan impak daripada asteroid yang cukup besar menyebabkan kerosakan teruk. Inilah sebabnya mengapa lebih banyak kajian perlu dibuat mengenai objek itu - bagi membantu mendalamkan pemahaman dengan harapan memberikan kita pilihan pertahanan lebih baik.

Laser tangkis ancaman

Pelbagai  idea dan kaedah diketengahkan dalam usaha mengelak bumi dilanggar asteroid. Antaranya, laser yang dikatakan boleh digunakan untuk memesongkan laluan asteroid yang berpotensi bertembung dengan bumi.  Berita ini mungkin satu kelegaan kepada pakar kaji bintang yang menunggu penuh debar ancaman Apophis atau asteroid gergasi yang diramal menghampiri bumi pada 2029 dan 2036.  “Walaupun hentaman berkemungkinan besar tidak berlaku, ia masih berpotensi memberikan malapetaka buruk,” kata Prof Madya Gregory L Matloff dari Kolej Teknologi New York.  Penyelidikan pakar fizik itu menyatakan laluan Apophis boleh dialihkan dengan memanaskan permukaannya untuk mencipta pancutan arus, yang akan mengubah laluannya dan menyebabkannya tersasar. Pasukannya sedang menghasilkan pengumpul solar - solar dua sauh untuk bertindak sebagai pemekat cahaya matahari, membakar sebahagian permukaan dan menghasilkan pancutan arus. “Bagi melakukannya, penting untuk mengetahui sedalam mana diperlukan cahaya untuk menembusi permukaan objek berhampiran Bumi (NEO). Pancaran yang menembusi terlalu dalam akan memanaskan asteroid.

“Namun pancaran yang menembusi pada kadar mencukupi, mungkin satu persepuluh milimeter akan menghasilkan arus yang boleh dikemudi dan mencapai matlamat memesongkan asteroid,” katanya. Matloff dan pasukannya membuat uji kaji dengan laser merah dan hijau untuk melihat sedalam mana mereka dapat menembusi batu asteroid, menggunakan contoh daripada tahi bintang Allende yang jatuh di Chihuahua, Mexico pada tahun 1969.  Dalam satu kajian berkaitan, seorang lagi pakar fizik, Prof Madya Lufeng Leng, menyempitkan sinaran laser merah dan mengimbas permukaan nipis contoh itu, dan mendapati perbezaan dalam kedalaman cahaya yang dipindahkan wujud, bergantung kepada kandungan material pada laluan yang dilalui sinaran itu. Hasil kajian merumuskan laser yang disasarkan daripada kedudukan angkasa lepas berhampiran NEO boleh membantu menentukan kandungan permukaan. Menggunakan maklumat itu, teknologi solar boleh memberi tumpuan lebih tepat sinaran matahari untuk menembusi permukaan asteroid dan kedalaman bersesuaian, memanaskan pada suhu tepat untuk menghasilkan pancutan arus yang akan memesongkan asteroid.

Oleh Hazirah Che Sab


BERITA HARIAN
20 FEBRUARI 2011

ISU PENDIDIKAN : KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI PEMANGKIN AGENDA KRITIKAL NEGARA


Usaha dan tanggungjawab Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu diberikan penghargaan dan pujian kerana disenaraikan antara kementerian yang paling kritikal dalam menjana kemajuan dan pemangkin negara. Pendekatan yang diambil oleh pihak KPT dalam segala perkara yang melibatkan kemapanan kepada kesinambungan pengajian tinggi negara dalam melahirkan masyarakat yang berilmu tinggi, progresif, berdaya saing, inovatif tinggi serta modal insan yang ulung adalah amanah yang amat berat perlu dipikul sepanjang zaman. Namun begitu, suasana institusi pengajian tinggi (IPT) sentiasa diciptakan sebagai sebuah persekitaran yang sarat dengan kedinamikan serta setanding dengan negara lain supaya penuntut akan berlumba-lumba menimba ilmu di Malaysia, begitu juga di peringkat antarabangsa. Melalui Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara, matlamat ini akan tercapai oleh kerana terdapat tujuh teras yang lebih jitu bagi memastikan ia berjaya.

Antara teras yang dijadikan pendekatan di bawah pelan ini adalah meluaskan akses dan meningkatkan ekuiti; menambah baik kualiti pengajaran dan pembelajaran; memperteguh penyelidikan dan inovasi; memperkasakan IPT; mempergiat pengantarabangsaan; membudayakan pembelajaran sepanjang hayat; dan memperkukuh sistem penyampaian KPT. Ternyata pendekatan yang digariskan seperti di atas akan memastikan KPT ditransformasi demi masa depan semua rakyat Malaysia yang bakal menerajui kepimpinan negara Malaysia yang tergolong daripada komuniti yang berilmu, berpendidikan tinggi dan berwawasan jauh pada masa akan datang. Kedudukan KPT sebagai salah sebuah kementerian yang kritikal bukan hanya terletak kepada pelan-pelan yang diperkenalkan oleh KPT tetapi turut melibatkan pembangunan modal insan kelas pertama. Dengan pasukan yang sentiasa bekerja keras dalam KPT, setiap IPT tidak mengambil sikap sambil lewa terhadap perkara tersebut.

Kepentingan melahirkan modal insan yang bergred tinggi amat mencabar tetapi mampu dilakukan oleh setiap IPT negara ini. Sokongan padu yang sentiasa diberikan oleh KPT kepada semua pihak universiti, kolej, ahli akademik, para pelajar serta kakitangan pentadbiran dapat menyuntik semangat setiap yang terlibat di dalam program tersebut untuk bersikap lebih bertanggungjawab dan holistik dalam segala hal. Kemampuan KPT bukan sahaja diukur daripada bilangan universiti yang berstatus APEX, pemilihan jawatan naib canselor, kualiti ahli akademik mahupun para graduan yang dihasilkan. KPT juga berhadapan dengan cabaran yang lebih hebat bagi memastikan setiap graduan yang tamat belajar mempunyai masa depan yang menjamin serta mencapai taraf kualiti antarabangsa dari segi kemahiran, pengetahuan, keintelektualan dan berdaya saing. Dalam erti kata yang lebih mudah, ia lain daripada yang lain sepertimana yang ada dalam pasaran kerja pada hari ini memandangkan persaingan sangat hebat untuk mendapatkan pekerjaan yang terbaik.

Sehubungan itu, usaha yang dilakukan oleh semua pihak terutamanya KPT perlu digarap dengan baik kerana para ilmuwan yang lahir dan para akademik yang berusaha gigih siang dan malam untuk memastikan anak bangsa mereka berjaya patut diutamakan. Bakal pemimpin negara yang akan dibentuk perlu mencerminkan label Malaysia yang kita miliki walaupun mereka menuntut dan diberi peluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di negara-negara luar. Peluang sebegini sememangnya tidak pernah dipersiakan oleh KPT, sebaliknya sentiasa memberi peluang kepada mereka yang layak untuk terus menimba ilmu di peringkat yang lebih tinggi. KPT memandang positif peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang melanjutkan pengajian ke luar negara dan bakal graduan inilah yang akan bekerjasama dengan KPT untuk menjana generasi dan negara yang lebih cemerlang. Sepertimana yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia pada 2 Februari 2011, UTM bakal mengambil langkah membantu mahasiswa peringkat sarjana muda bermula tahun 2020 melalui Tabung Endowmen UTM dan mereka tidak perlu bergantung kepada PTPTN lagi.

Ini adalah suatu usaha yang amat positif dan perlu disahut oleh universiti-universiti yang lain. Usaha yang dilakukan oleh UTM ini diperakui oleh Menteri KPT, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang menyambut baik perkara ini apabila UTM bersetuju mahu menganugerahkan biasiswa kepada para pelajar tersebut. Di samping mengurangkan bebanan kerajaan untuk menanggung kos pengajian tinggi negara, UTM bakal menjadi sebuah IPT yang berupaya menarik lebih ramai mahasiswa terbaik untuk melanjutkan pengajian di UTM nanti. Sehubungan itu, pihak universiti merupakan peneraju utama yang sentiasa bekerjasama dengan KPT bagi memastikan segala program berjalan lancar demi perkembangan IPT di Malaysia. Sekelumit kata yang boleh menggambarkan ketangkasan KPT apabila negara dikejutkan dengan peristiwa di Mesir adalah KPT bertindak pantas dengan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk membawa pulang para pelajar Malaysia ke tanah air bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara daripada konflik antarabangsa.

Sehingga kini, KPT dan pihak yang terlibat dalam hal ini sedang giat berusaha untuk membincangkan proses pengajian pelajar-pelajar tersebut. Sebagai sebuah kementerian yang sentiasa mengambil berat terhadap ilmu yang diperjuangkan, KPT tidak segan silu mengambil langkah yang drastik dalam perkara yang melibatkan anak bangsa Malaysia. Malah, pujian juga diberikan kepada kerajaan negeri, syarikat-syarikat swasta dan individu-individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung. Kesemua pihak terlibat wajar diberikan ucapan terima kasih kerana sanggup menggembleng usaha untuk bekerjasama dengan KPT dalam menerajui ketinggian ilmu anak bangsa Malaysia pada hari ini.

Noor Sulastry Yurni Ahmad
Pensyarah Kanan
Jabatan Antropologi dan Sosiologi
Fakulti Sastera dan Sains Sosial
Universiti Malaya

UTUSAN MALAYSIA
26 FEBRUARI 2011
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails