JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Disember 2009

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Bahang Perubahan Iklim
Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA

Belum pun bermulanya Sidang Kemuncak Perubahan Iklim anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 7-18 Disember ini di Copenhagen, Denmark, bahangnya sudah terasa di kalangan 192 negara (termasuk Malaysia) yang akan menghadirinya. Negara-negara anggota Komanwel di Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) 2009 yang berakhir baru-baru ini telah memberikan isyarat jelas akan keinginan kuat perkumpulan itu untuk melihat persidangan perubahan iklim PBB menghasilkan satu perjanjian yang terikat daripada segi undang-undang. Mereka berpendapat bahawa jika sekadar pakatan iklim yang berasaskan ikatan politik, ia tidak memadai kerana adalah sukar untuk menentukan tahap kesungguhan di kalangan negara-negara maju.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu sesi perbincangan mengenai perubahan iklim berkata banyak negara anggota Komanwel terutamanya negara-negara membangun pulau kecil menjadi mangsa perubahan iklim. Dalam pencelahan mereka, sebilangan mereka menyatakan bahawa jika pemanasan global berterusan, rangkaian kepulauan mereka pasti akan terbenam. "Bagi mereka, ia bukan hanya sekadar masalah, ia adalah soal hidup dan mati," kata Najib kepada wartawan Malaysia pada hari pertama sidang kemuncak yang dirasmikan oleh Ratu England, Ratu Elizabeth II. Bahkan mesyuarat demi mesyuarat diadakan daripada rundingan perubahan iklim di Bonn, Jerman pada 1-12 Jun dan disambung semula pada 10-14 Ogos 2009, kemudian diteruskan di Bangkok, Thailand yang diadakan 28 September - 9 Oktober sehingga yang terakhir sebelum sidang kemuncak diadakan di Barcelona, Sepanyol pada 2-6 November 2009. Banyak persoalan yang timbul terutamanya isu pengurangan penggunaan bahan karbon dioksida dan komitmen negara maju. Tetapi adakah sidang ini merupakan peluang terakhir menyelamatkan bumi sebagaimana diuar-uarkan?

Laporan daripada Rangkaian Dunia Ketiga (TWN), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpusat di Pulau Pinang menyatakan rundingan terakhir anjuran PBB yang diadakan di Barcelona pada awal November lepas tidak menunjukkan sebarang kemajuan bermakna dan hanya membawa lebih banyak kebuntuan kepada isu-isu penting yang dirundingi. Peserta Persidangan Rangka Kerja PBB ke atas Perubahan Iklim (Parties to the UN Framework Convention on Climate Change atau UNFCCC) gagal merapatkan perbezaan antara negara maju dan membangun. Namun dari suatu sisi, rundingan di Barcelona membantu negara-negara anggota memperjelaskan pendirian dan membolehkan mereka membuat keputusan dalam isu-isu penting di Copenhagen nanti. Ini termasuklah menubuhkan dana yang dipertanggungjawab di bawah UNFCCC dan sebuah badan yang akan memutuskan isu pemindahan teknologi. Namun perbezaan dalam beberapa isu penting dan utama masih tidak berubah yang tidak membawa petanda positif kepada sidang kemuncak di Copenhagen.

Pertama isu Protokol Kyoto, perjanjian di bawah UNFCCC yang merupakan isu keterikatan undang-undang dalam sasaran pengurangan bahan keluaran gas rumah hijau untuk negara maju. Namun daripada media menunjukkan hampir kesemua negara maju memutuskan untuk mengabaikan Protokol Kyoto dan perkara ini dilihat dalam rundingan di Bangkok pada awal Oktober dan disahkan di Barcelona. Mereka mengelak bertanggungjawab mengikut keterikatan undang-undang seperti dalam Protokol Kyoto (KP) dan melengah-lengah masa dengan mahu menubuhkan perjanjian baru pula. Negara-negara membangun menjelaskan dalam rundingan di Bangkok bahawa mereka tidak akan menerima sebarang penubuhan perjanjian baru dan negara maju harus kekal dengan KP dan berunding dengan serius di Copenhagen ke arah komitmen kedua (yang bermula pada 2013) untuk pengurangan bahan keluaran seterusnya.

Kedua, negara maju tidak begitu komited dengan pengurang bahan keluaran. Negara membangun mahukan pengurangan agregat sekurang-kurangnya sebanyak 40 peratus menjelang 2020 berbanding dengan 1990. Angka terkini daripada data UNFCCC menunjukkan komitmen negara maju hanya berkisar antara 11-23 peratus dan 11-17 peratus (tidak termasuk Amerika Syarikat). Negara sedang membangun begitu kecewa dengan komitmen negara maju yang tidak membentuk asas kepada hasil yang memulihara alam sekitar pada sidang kemuncak di Copenhagen nanti. Ketiga, usaha-usaha yang dilakukan dalam pengurangan bahan keluaran sentiasa mempertanggungjawab negara membangun dan miskin. Ini adalah suatu perlanggaran kepada prinsip-prinsip dan peruntukan-peruntukan UMFCC dan Pelan Tindakan Bali yang diamalkan pada 2007. Negara maju di sesi rundingan di Barcelona bercadang mengaburkan perbezaan antara perbezaan tanggungjawab pengurang bahan keluaran yang terikat dengan undang-undang oleh negara maju dengan pengurangan bahan keluaran yang didukung wang dan teknologi oleh negara membangun dan miskin.

Usaha-usaha yang dilakukan termasuklah meminta negara membangun dan miskin mematuhi prosedur pengesahan dan pelaporan bahan keluaran yang sama dengan negara maju. Mereka juga inginkan negara membangun yang "maju" mematuhi sasaran pengurangan bahan keluaran yang sama. Ini adalah di antara usaha-usaha yang dilakukan negara maju dan ternyata ia tidak dipersetujui dalam sesi rundingan di Bali atau tidak terdapat dalam mana-mana peruntukan UNFCC. Dalam isu berhubung dengan pemindahan teknologi, terdapat keengganan daripada pihak negara maju untuk menubuhkan sebuah badan eksekutif di bawah payung UNFCCC bagi memutuskan isu-isu berhubung teknologi dan kesan daripada pemindahan teknologi. Sebuah kumpulan penasihat yang dicadangkan negara maju masih tidak mencukupi kerana tidak banyak perkembangan mengenai pemindahan teknologi yang dicapai. Kelima, terdapat perbezaan antara "wawasan yang dikongsi" dan matlamat jangka panjang sejagat untuk pengurangan bahan keluaran. Sesetengah negara maju mengesahkan cadangan untuk pemotongan bahan keluaran sebanyak 50 peratus menjelang 2050 berbanding dengan 1990. Namun apa yang tidak dinyatakan ialah ini mengkehendaki negara membangun untuk memotong sebanyak 20 peratus dalam syarat mutlak dan 60 peratus dalam syarat per kapita.

Nampaknya beban pemotongan lebih kurang tetapi bagaimana dengan isu pemindahan teknologi dan kewangan yang membolehkan negara membangun berkembang. Tiada komitmen daripada negara maju. Jumlah bantuan dari segi kewangan haruslah dibincangkan dan diselesaikan dahulu sebelum sebarang pemotongan bahan keluaran di pihak negara membangun. Sanggupkah negara maju melaksanakan tanggungjawab ini? Perkara-perkara di atas ini adalah beberapa isu yang harus diselesaikan jika Sidang Kemuncak Copenhagen ini ingin mencapai kejayaannya. Walaupun apa pun hasil atau keputusannya sama ada perjanjian sepenuhnya antara negara maju dan membangun atau rangka kerja perjanjian atau keputusan meneruskan perundingan dengan protokol dan sidang perubahan iklim lain, aspek-aspek alam sekitar, ekuiti dan keseimbangan Utara-Selatan (negara maju dan membangun) harus diberikan perhatian sewajarnya. Tidak keterlaluan jika dikatakan ini peluang untuk kita menyelamatkan bumi.

PENULIS adalah pensyarah di Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia

RENCANA ILMIAH UNTUK BACAAN ANDA

Persatuan belia perlu sokongan
Oleh ANUAR AHMAD

Berdasarkan statistik penduduk negara, sehingga akhir tahun 2008, jumlah penduduk Malaysia yang berumur antara 15 hingga 40 tahun adalah seramai 11.2 juta orang atau 41 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia yang berjumlah 27.2 juta orang (Statistik Penduduk Malaysia, 2008). Kumpulan terbesar ini juga di istilah sebagai golongan belia, tidak syak lagi merupakan penyumbang utama di dalam sektor ekonomi, sosial dan politik negara. Rata-rata kumpulan ini belum lagi berada di peringkat pimpinan tertinggi di dalam semua sektor tetapi merupakan aktor-aktor yang akan menentukan kejayaan atau juga menggagalkan perancangan dasar negara ini. Tahun lalu kepimpinan belia telah diraikan di dalam Majlis Anugerah Belia dan Persatuan Belia Negara yang dilangsungkan di Putrajaya. Ramai yang telah berjaya menerima pelbagai anugerah sebagai tanda pengiktirafan kerajaan kepada kegiatan belia negara. Mereka sekarang tentunya terus berbakti untuk pembangunan negara.

Bagaimanapun kejayaan ini bukanlah kejayaan mutlak kepada makna kejayaan pembangunan belia di seluruh negara. Laporan Institut Integriti Malaysia 2008 menunjukkan daripada sejumlah 11.1 juta belia di negara ini hanya dua juta sahaja atau kurang daripada 18 peratus sahaja yang belia berdaftar sebagai ahli persatuan belia. Tentulah jika diperincikan yang aktif adalah kurang separuh daripada jumlah yang mendaftar sebagai ahli persatuan. Malah laporan Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina) pada 2006 menunjukkan bahawa sebenarnya kurang 2.8 peratus atau 300,000 orang sahaja belia sahaja yang benar-benar aktif di dalam persatuan belia di seluruh negara. Jumlah ini sebahagian besarnya datang dari program Rakan Muda yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Mengapa kebanyakan belia kini tidak berminat untuk aktif berpersatuan berbanding belia era 1960-an dan 1970-an. Penelitian dan kajian lalu berkaitan penglibatan di dalam persatuan belia mendapati tiga punca utama kelesuan ini yang perlu diteliti secara serius oleh kepemimpinan tertinggi di peringkat Kementerian Belia dan Sukan serta kepimpinan persatuan belia. Pertama, pengaruh politik kepartian di dalam persatuan belia. Secara prinsipnya, persatuan belia seharusnya berbeza dengan ideologi politik kepartian.

Mereka harus bertindak dan beraksi sebagai sebuah organisasi sivil yang berteraskan kebajikan, sukan, keagamaan, kesukarelaan, pendidikan dan sebagainya. Bagaimanapun persatuan belia hari ini sangat terikat sepenuhnya dengan kumpulan parti politik khususnya di pihak parti pembangkang. Kesannya sangat mendalam sehingga kebanyakan belia yang tidak minat berpolitik hilang minat untuk menganggotai persatuan belia. Selain itu persatuan belia yang berpengaruh dikuasai hampir sepenuhnya oleh pengaruh ahli politik atau proksi mereka. Malah terdapat juga beberapa persatuan belia yang diterajui sendiri oleh ahli politik yang jelas mempunyai kepentingan politik apatah lagi menampakkan kecenderungan untuk beraksi seperti sebuah parti politik. Malah jika diteliti kepimpinan belia peringkat negeri dan daerah, kita boleh menyenaraikan puluhan pemimpin politik yang aktif berada di dalam persatuan belia di pelbagai peringkat. Malah apa yang mendukacitakan, kepimpinan politik di pelbagai peringkat ini menggunakan platform persatuan belia untuk memantau pemimpin muda yang dikhuatiri memberi cabaran kepada penerusan jawatan politik mereka. Mana-mana pemimpin muda atau ahli persatuan belia yang aktif pastinya akan 'dipancung' supaya mereka tidak menjadi pesaing di dalam kerjaya politik peringkat daerah, bahagian mahupun negeri.

Faktor kedua ialah kegagalan pihak berkuasa menguruskan persatuan belia dengan dasar pembangunan belia. Hal ini bermula akibat kebimbangan pihak berkuasa melihat kelesuan persatuan belia sekitar tahun 1980-an. Maka beberapa kajian ahli akademik menunjukkan semakin banyak persatuan belia tidak lagi mendapat sokongan golongan belia khususnya di kawasan bandar. Selain kepimpinan persatuan belia yang lemah, sistem pengurusan juga lemah. Begitu juga dengan laporan kewangan yang didapati tidak sempurna dan tidak memuaskan hati pihak Kementerian Belia dan Sukan walaupun kebanyakan persatuan terlibat mendapat geran tahunan kerajaan melalui KBS. Suasana ini menyebakkan bermulanya usaha kementerian untuk mengambil alih dan mengemaskinikan sistem pengurusan persatuan belia di peringkat daerah dan negeri.

Malah Gerakan Belia 4B yang satu masa dahulu pernah dianggap sebagai model persatuan belia yang berjaya juga telah lesu dan hilang taringnya. Bagi menyelesaikan masalah ini pihak Kementerian Belia dan Sukan telah melaksanakan pelbagai program yang menelan belanja jutaan ringgit yang dipusatkan dan diuruskan terus di kementerian. Antara yang paling popular ialah Program Rakan Muda yang masih dilaksanakan sehingga hari ini. Ringkasnya, pelaksanaan program belia yang berbentuk top-down nampaknya kurang berjaya menarik minat para belia. Selain terpaksa berbelanja besar, program yang dianjurkan untuk pembangunan belia juga dilihat lebih bertujuan untuk meramaikan bilangan belia di dalam majlis semata-mata. Biasanya belia hanya dijemput atau diminta untuk menjadi peserta sesuatu program yang telah disusun lebih awal. Tindakan sebegini dilihat sebagai memperkecilkan keupayaan belia untuk diberikan pengalaman sebagai pemimpin pelapis negara pada masa akan datang. Cubalah tinjau program khidmat masyarakat yang dilaksanakan oleh jabatan berkaitan belia, biasanya akan lebih ramai pegawai yang mengurus dan menjadi urus setia, para belia dijemput untuk mengambil bahagian secara ad-hoc dan menghadiri majlis perasmian dan makan-makan sahaja.

Pihak Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelajaran, IPTA dan IPTS harus lebih terbuka untuk memberikan peluang dan pengalaman kepada belia menguruskan segala hal berkaitan pembangunan belia. Kalau tidak, pasti belia akan 'lari' untuk melakukan aktiviti lain yang mereka rasa lebih rapat dengan mereka. Oleh kerana bukan belia yang menganjurkan program untuk belia, maka tidak mungkin belia akan merasa itu adalah program dan agenda mereka. Pada mereka itu adalah agenda orang lain atau agenda politik semata-mata. Faktor ketiga mengapa belia kurang berminat dengan persatuan belia ialah kegagalan pemimpin belia memahami dan meremajakan persatuan mereka dengan kehendak dan cita rasa belia masa kini. Maklumlah umur kebanyakan pemimpin belia biasanya sudah di 'ambang senja' sebagai seorang belia. Pemimpin belia rata-rata di kalangan orang yang minat berpolitik telah berumur antara 35 hingga 40 tahun. Zaman keremajaan mereka sudah tamat sedangkan ahli-ahli yang masih muda dahagakan pemikiran yang lebih remaja. Ketidakmampuan pemimpin belia menghayati perubahan ini akan menyebabkan ahli-ahli baru berundur atau menjadi ahli tidak aktif.

Malah diketahui juga ada di kalangan pimpinan belia 'berpolitik' cenderung untuk melantik kalangan kroni mereka, tapi ahli persatuan belia inginkan ketelusan dalam pengurusan persatuan belia. Ahli-ahli baru persatuan belia sekarang lebih suka kepada sukan lasak, muzik hip hop dan Indie, fesyen yang sangat berbeza dengan orang lama. Kemahiran ICT mereka juga berbeza. Pemimpin belia jika setakat hanya menguasai asas dalam komputer tidak akan digemari dan popular. Pemimpin belia harus mahir seperti juga ahli belia remaja yang mahir dengan trend blog, twitter, facebook, myspace serta berbagai bentuk inovasi baru perkomputeran. Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2006 telah pun dilaksanakan sepenuhnya. Akta ini antara lain bertujuan meningkatkan integriti belia bila para pemimpin yang melebihi umur 40 tahun tidak lagi layak bertanding untuk sebarang jawatan dalam persatuan belia di semua peringkat. Selain itu, melalui Akta ini juga segala urusan pentadbiran belia diharap akan menjadi semakin cekap dan tersusun. Bagaimanapun kewujudan akta ini masih belum berjaya memecahkan kelesuan di kalangan remaja untuk menjadi ahli belia. Mungkin ada benarnya imej 'Mat Skema' dan 'Mat Baju Batik' yang begitu popular sedikit masa lalu di kalangan pemimpin dan ahli persatuan belia sudah tidak diminati lagi oleh remaja hari ini.

Walaupun jumlah wang diperuntukkan telah bertambah kepada aktiviti belia berbanding dulu, wujudnya akta yang menyokong perjuangan belia serta kemudahan ICT yang semakin baik, kelesuan penglibatan generasi muda semakin terasa. Semangat belia perlu disemarakkan kembali. Konsep dan definisi perjuangan belia perlu diteliti semua. Campur tangan dan pengaruh politik dalam persatuan belia harus ditolak. Biarlah persatuan belia berjuang demi semangat pembangunan belia. Mereka ini perlu diberi peluang untuk berlatih supaya lebih bersedia untuk menjadi pemimpin satu hari nanti.

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Akademik Kolej) Pusat Perkembangan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia