Oleh Ruhaiza Rusmin
Siapa sangka
komunikasi mahasiswa dengan pengurusan tertinggi universiti hari ini semudah
memetik jari. Tiada lagi kerenah birokrasi, kekangan masa atau kesukaran untuk
berurusan kerana komunikasi maya sebagai penghubung memudahkan segala urusan. Dengan
kewujudan pelbagai laman sembang, komunikasi yang dulunya terhalang kini boleh
diakses di hujung jari pada bila-bila masa sekali gus memberi peluang
berinteraksi lebih terbuka. Malah, sokongan diberikan pengurusan universiti
yang mengikut rentak sama turut memudahkan komunikasi sedia ada. Bagaimanapun,
ia tetap mengundang persoalan, sama ada kaedah itu sesuai diaplikasikan bersama
pihak pengurusan universiti yang memegang imej profesional. Tidakkah ia
melanggar etika, profesionalisme, kredibiliti serta mencalarkan imej disandang?
Naib Canselor
Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar menyifatkan
komunikasi maya sangat praktikal dan cukup berkesan mendekati atau menyelami
kehendak mahasiswa. Sebagai institusi yang dibarisi generasi alaf baru, UiTM
perlu mengikuti aliran komunikasi moden terkini sebagai alternatif memahami
keperluan mereka. Beliau berkata, usah menimbulkan isu remeh seperti boleh
menjatuhkan imej pengurusan tertinggi sebaliknya memperakui ia paling efektif
mewujudkan hubungan serta pandangan dua hala. “Cara ini mudah, moden dan
praktikal selain berkesan membina hubungan mesra antara pihak pengurusan dan
mahasiswa. Pertikaian mengenai isu lain tidak perlu timbul kerana boleh
merosakkan manfaat utamanya. Yang penting semua pihak memperoleh kebaikan
bersama dengan perkongsian maklumat, informasi juga pengembangan idea. Ini
perkembangan positif dalam usaha merealisasikan perkembangan sosial
berlandaskan ilmu, komitmen serta tanggungjawab yang seharusnya digembleng
bersama tanpa perlu menjadikannya sensasi,” katanya.
Alaf baru ini
menyaksikan facebook dan twitter antara medium moden yang menjadi pilihan utama
menghubungkan secara terus segala permasalahan atau kemusykilan mahasiswa dan
pihak pengurusan universiti. Melaluinya, komunikasi berlangsung mudah biarpun
sesekali sekala timbul tanggapan medium berkenaan boleh mencetuskan tindakan
luar biasa mahasiswa terhadap kewibawaan pihak universiti. Beliau berkata,
masalah itu tidak akan timbul andai kata mahasiswa dan pengurusan universiti
tahu mengendalikan emosi, dan status secara berhemah. “Saya percaya mahasiswa
yang baik akan menggunakan medium ini dengan betul tanpa meletakkan kepentingan
peribadi atau emosi. Mereka golongan intelektual, apa diutarakan pastilah
menggambarkan imej yang dibawa. Malah, secara peribadi, saya suka cara ini
kerana kami boleh berkongsi pelbagai pandangan dan tidak terikat protokol.
“Zaman tertutup sudah
berlalu. Ini juga bakal memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk menjadi yang
terbaik termasuk berani melahirkan pendapat,” katanya yang masih tetap
mewujudkan batas profesionalisme dalam setiap medium digunakan. Saya memang
rapat dan bersedia menerima apa jua pandangan namun biarlah masih berlandaskan
atas perkongsian bijak dan profesional. Maksudnya, cara berhemah, menghormati,
menggunakan kata sopan dan sebagainya. Bagi yang tegar dan tidak pandai membawa
diri, saya akan mengabaikan pandangan itu, tidak perlu melayan kerana hanya
membuang masa,” katanya. Bagaimanapun, sehingga kini mereka yang berkomunikasi
semuanya tertib, beretika dan pandai menjaga pertuturan,” katanya. Medium berkenaan
juga, akuinya, menjadi penanda aras mahasiswa menilai keupayaan pensyarah serta
memudahkan kerenah birokrasi yang selalu menghimpit golongan terbabit.
“Menerusinya,
mahasiswa boleh melaporkan secara terus masalah mereka selain membantu saya
memantau pensyarah. Segala tindakan diambil bertujuan meningkatkan lagi imej
UiTM di mata dunia dan memudahkan pengurusan mendapat maklumat dan tindakan. UiTM
mengiktiraf mahasiswa sebagai aset paling berharga, justeru segala dilakukan
adalah demi kebaikan mereka,” katanya yang kini sudah mempunyai 78,000 pengikut
di facebook dan 10,000 twiteer sejak memulakannya pada 2010. Naib Canselor
Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang, berkata
cara komunikasi alaf baru membuka lebih ruang institusi mengenali potensi dan
latar belakang mahasiswa. Menurutnya, pendekatan itu biarpun dilakukan secara
rawak, ia boleh dijadikan ukuran asas menilai kebolehan dan semangat mahasiswa
untuk menjadi warga UTM.
“Ini pendekatan baru
yang sangat efektif untuk menilai peribadi, potensi dan latar belakang
mahasiswa selain menjadi budaya generasi Y. Apa salahnya jika pengurusan
universiti mengikut langkah sama? Sekurang-kurangnya interaksi dua hala boleh
menjadi pemangkin dalam melaksanakan proses pembelajaran. Ini juga proses
pembelajaran ilmu secara tidak langsung. Medium maya boleh menjadi tempat
meluahkan pandangan juga wacana pengembangan ilmu kritis,” katanya. Beliau juga
menolak tanggapan medium berkenaan boleh menjadikan hubungan pengurusan
universiti dengan mahasiswa tidak profesional. “Profesional biarlah bertempat.
Apa salahnya jika mahasiswa ingin meluahkan pendapat atau mengadu? Sekurang-kurangnya
mereka mengadu pada tempat yang betul dan tindakan mengatasinya juga dilakukan
mereka yang bertanggungjawab. Ini lebih baik daripada membiarkan mereka
memperoleh maklumat salah sekali gus menjurus kepada kekeliruan dan sebagainya.
Komunikasi boleh menjadi pemangkin terbaik mendekati mahasiswa biarpun
dilakukan secara maya,” katanya.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Harian Metro
7 Mei 2012