15 Disember 2012

ISU SOSIAL : GUNA CBM SELESAI ISU PEMBANTU RUMAH


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI


Isu penderaan pembantu rumah dan terbaru dakwaan penyeksaan sekumpulan warga asing sebagai pekerja bukannya perkara baru mahupun boleh diperkecilkan mana-mana pihak. Bagi individu, ia satu penganiayaan yang melampau terhadap manusia lain, melanggar norma masyarakat dan paling utama memburukkan nama Malaysia di mata dunia. Sejak kebelakangan ini, banyak pendedahan dibuat melibatkan penderaan malahan pembunuhan pembantu rumah warga asing khususnya di kalangan agensi dan majikan bukan Melayu. Baru-baru ini pula, sebuah daripada agensi tersebut disiasat kerana dipercayai melakukan kesalahan pemerdagangan manusia melibatkan 105 wanita warga asing, Indonesia, Kemboja dan Filipina di Klang.

Antara punca masalah, penderaan dan penganiayaan dalam kalangan agensi dan majikan terbabit mungkin akibat perbezaan budaya, agama dan juga bahasa. Pekerja Indonesia contohnya, mungkin tidak memahami bahasa Inggeris sementara majikan pula tidak memahami bahasa ibunda pekerja, umpama itik bercakap dengan ayam. Pihak agensi pula cuma sekadar 'tangkap muat' sahaja bagi memenuhi permintaan dan mengambil bayaran tanpa mempedulikan aspek kualiti dan kemampuan pekerja mahupun apa jua masalah yang dihadapi majikan selepas pembantu rumah diserahkan. Belum lagi mengambil kira kumpulan warga asing yang dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial bagi memenuhi permintaan dengan segera.

Ada antara mereka ditipu dengan bermacam-macam janji tetapi akhirnya menjadi pelayan pelanggan (GRO), pelacur dan segala macam 'pe' lagi yang bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi lebih utama lagi, memusnahkan hidup warga asing terbabit. Tidak kurang juga yang memang menjadi pembantu rumah seperti dijanjikan tetapi tidak pula dibayar, namun tidak boleh 'bising' kerana mereka masuk dan bekerja secara haram. Ada pula di kalangan pekerja asing yang dibawa masuk secara haram ini tidak diperiksa sehabisnya pihak agensi sehingga membawa masalah kepada majikan seperti lari, mencuri, menculik anak mahupun berkomplot bersama rakan senegara untuk merompak atau melakukan jenayah lain. Tidak kira bagaimana situasi yang dihadapi, sama ada ejen di negara asal menipu, ejen di negara ini menipu, pekerja menipu majikan dan bermacam lagi masalah, akhirnya nama Malaysia juga yang menjadi busuk.

Maka, tidak hairanlah bila semakin ramai rakyat di negara asal mereka membenci negara ini dan membuat bermacam bantahan dan demonstrasi seperti yang sering berlaku di Jakarta, Indonesia setiap kali kes baru didedahkan media. Pada ketika persatuan agensi-agensi tersebut mula menuding jari antara satu sama lain, timbul cadangan agar semua urusan kemasukan warga asing diuruskan antara kerajaan dengan kerajaan (GTG) sahaja. Bukan sekadar memantau kos sebenar untuk setiap pekerja yang dibawa masuk tetapi lebih utama menjamin keselamatan serta pemantauan hubungan majikan dan pekerja asing agar kedua-duanya tidak teraniaya. Lebih penting lagi, urusan terus GTG akan membolehkan pemantauan rapi secara telus dan berkala oleh agensi kerajaan kedua-dua negara bagi memastikan majikan menjaga pekerjanya dan pekerja pula menjalankan tanggungjawab setimpal dengan upahnya.

Walaupun mungkin terlalu awal untuk mengambil alih keseluruhan fungsi agensi pekerja asing, kerajaan Malaysia dan juga negara-negara terbabit perlu menimbangkan memulakan inisiatif GTG khusus untuk sektor pembantu rumah yang dilihat paling banyak berlaku kes penganiayaan. Bagi Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling, senario yang semakin teruk itu sebenarnya sudah ada penyelesaian tersendiri di peringkat ASEAN. "Antara negara-negara ASEAN, kita mempunyai kaedah dikenali sebagai Confidence Building Measure (CBM) bagi membolehkan kerjasama antara dua atau lebih kerajaan menyelesaikan masalah atau isu-isu berbangkit antara mereka. "CBM mempunyai lima 'trek' yang mana trek pertama untuk urusan rasmi antara pemimpin dan kerajaan negara-negara dalam ASEAN sementara trek dua hingga lima adalah untuk urusan tidak rasmi," jelasnya.

Menurut beliau, mengikut prosedur, peringkat pertama trek satu CBM melibatkan ketua-ketua negara, peringkat kedua antara kementerian-kementerian terbabit dan peringkat ketiga pula antara pegawai-pegawai yang bertanggungjawab dalam isu tersebut. Tegasnya, trek satu CBM amat sesuai dijadikan sebuah platform untuk GTG dalam menyelesaikan masalah pembantu rumah warga asing di Malaysia di samping menyekat aktiviti pemerdagangan orang. "Langkah ini lebih baik daripada diberikan 100 peratus kepada pihak ketiga (agensi) kerana akan menimbulkan permasalahan lain yang sukar diselesaikan kelak. "Elok jika ada campur tangan secara terus GTG kerana kerajaan negara-negara terlibat tiada matlamat keuntungan seperti pihak ketiga tetapi lebih kepada tanggungjawab sosial ke atas rakyat mereka," ujarnya.

Tambahnya, akibat fokus kepada keuntungan di kalangan pihak ketiga itu juga akhirnya pekerja asing dan majikan mereka yang menjadi mangsa. Oleh itu, Mohamad Faisol berharap pemimpin Malaysia dan negara ASEAN lain mengaplikasikan kaedah CBM dalam isu pekerja asing dan mungkin boleh meluaskannya untuk menyelesaikan isu-isu lain melibatkan kehendak sosial rakyat mereka.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Disember 2012

13 Disember 2012

ISU UMUM : KHABAR ANGIN 12.12.12 : SATU LAGI STIGMA NEGATIF DUNIA



Khabar angin yang bertiup kencang mengatakan dunia akan berakhir pada 21 Disember 2012 apabila kitaran 5125 tahun yang dikenali sebagai ‘Long Count’ dalam kiraan kalendar Mayan mulai meresahkan penduduk dunia. Rusia antara negara yang cukup kuat berpegang kepada pemikiran mistik telah mengambil langkah awal berjaga-jaga menjelang tarikh keramat itu. Bermula minggu lepas, kerajaan Rusia memutuskan untuk menamatkan ceramah mengenai kiamat. Menterinya memberitahu, beliau mempunyai akses kepada kaedah pemantauan yang bakal berlaku di Bumi kerana yakin dunia tidak akan berakhir Disember ini walaupun Rusia terpaksa berhadapan dengan bencana alam seperti ribut salji, ribut ais, tornado, banjir, masalah pengangkutan dan makanan, masalah elektrik serta bekalan air. Jaminan serupa turut dikeluarkan oleh doktor kebersihan Rusia yang menyangkal khabar angin berhubung dunia bakal berakhir tidak lama lagi.

Di Perancis pula, pihak berkuasa merancang untuk menghalang akses ke gunung Bugarach di selatan negara itu untuk memastikan pelawat tidak datang lagi ke sana bagi melindungi kawasan yang dikatakan suci dan bertuah itu menjelang akhir zaman. Sementara itu, paderi di Gereja Ortodoks Ukraine baru-baru ini juga ada memberi jaminan yang kiamat pasti tiba tetapi bukan berdasarkan kepada kalendar kaum Mayan yang mengatakan dunia bakal berakhir pada bulan ini. Di Mexico yang mempunyai penduduk kaum Mayan paling ramai dijangkakan akan mengadakan satu perayaan kebudayaan Mayan pada 21 Disember ini untuk membuktikan segalanya akan bertukar baik selepas itu menjelang tahun 2013. Di Ulan-Ude pula, kawasan di rantau Buryatiya, rakyatnya dilaporkan melakukan pembelian secara panik dengan membeli stok makanan dan menyimpan lilin kerana percaya pada tarikh itu mereka akan hidup dalam kegelapan. Ini merupakan arahan yang dikeluarkan oleh sami Tibet yang dikenali sebagai Oracle Shambhala melalui siaran televisyen Rusia.

Dalam pada itu, minggu lalu, penggubal undang-undang di Moscow, Mikhail Degtyaryov  turut menggesa supaya stesen televisyen utama Rusia menghentikan stigma negatif dari terus menyiarkan berita mengenai hari pengakhiran dunia. “Anda akan dapat rasakan yang dunia berakhir ini hanyalah merupakan projek komersial semata-mata.  “Lihat saja berapa ramai rakyat yang ditipu dan terpaksa berkejar-kejar untuk mendapatkan barangan runcit dan barangan lain. Ini hanya untuk keuntungan perniagaan semata-mata,” kata Mikhail. Untuk tiga minggu pertama menjelang tarikh akhir dunia itu, Rusia hanya cuba membuat jenaka pedas terhadap rakyatnya sendiri termasuk cubaan peniaga yang menaikkan harga barangan runcit ke peringkat tidak masuk akal.

SUMBER
Sinar Harian
12 Disember 2012

ISU UMUM : KIAMAT BERLAKU 21 DISEMBER 2012?



Dunia sains sendiri tidak dapat memberi pengesahan atau kesahihan berhubung hari kiamat bakal berlaku walaupun merujuk kepada kalendar Mayan, dunia bakal berakhir pada 21 Disember ini. Walaupun kaum Mayan telah membuat kesimpulan mereka secara astrologi, tetapi banyak kepercayaan lain memberi pandangan berbeza-beza mengenai hari kiamat. Musim sejuk 2012, pembangunan dan tanda-tanda akhir dunia mungkin menyokong khabar angin mengenai tarikh terakhir dunia mengikut kalendar Mayan.

Kebanyakan agama percaya Tuhan mempunyai sistem penghakiman dan kepercayaan tersendiri dalam setiap kes. Misalnya, ketika hari kiamat berlaku dan bumi sedang dimusnahkan, orang-orang alim akan dibawa ke syurga dan terus tinggal di sana. Walaupun begitu, masih ramai lagi yang meramalkan hari kiamat akan datang tanpa berlaku sebarang insiden. Hakikatnya, tarikh terakhir dalam kalendar Mayan turut menjadi punca ramai yang memberi perhatian kerana tarikhnya sudah terlalu hampir.

Manakala agama Yahudi pula mempunyai spesifikasi terakhir mengenai tarikh hari kiamat iaitu ia bakal berlaku dalam bulan Oktober 2240. Orang Yahudi percaya setiap 1,000 tahun akan ada hari untuk Tuhan dan mereka percaya segala-galanya akan kembali kepada Tuhan di antara 1 Januari 2001 dan 31 Disember 3000. Bagi penganut agama Kristian pula, mereka juga tidak dapat memberikan tarikh-tarikh tertentu mengenai hari kiamat sebaliknya percaya jika iman semakin berkurang, keganasan meningkat, berlaku peperangan di dunia dan bencana alam yang memuncak sebelum kemunculan Tuhan di muka bumi ini.

Ramai pemimpin agama dunia pula melihat kadar jenayah yang semakin meningkat, tsunami yang berlaku kebelakangan ini, gempa bumi, ribut taufan dan peperangan yang semakin banyak berlaku menunjukkan tanda-tanda kiamat bakal berlaku. Pada tahun 2005, La Vos De Aztlan melaporkan yang perbuatan "lama dan baru" merupakan kepercayaan agama kaum Mayan yang ada kaitan dengan akhir zaman. Kalendar kaum Mayan adalah menggunakan astrologi dan mereka yang lebih awal tahu untuk mengesan bintang di langit. Mereka juga berjaya mengkaji sistem dalam alam semesta yang kemudiannya dapat dikesan saintis semula beratus-ratus tahun kemudian.

Selain itu, kalendar kaum ini pula berdasarkan penjajaran planet Zuhrah yang berhubung dengan bumi atau kedudukan bintang  tertentu dan hubungan mereka kepada planet dan sistem solar. Bagaimanapun, setakat ini, kalendar mereka terbukti paling tepat kerana telah menzahirkan kewujudan bintang dan sistem solar beribu-ribu tahun dahulu. Sementara itu, kaum mereka juga meramalkan masa tidak dapat lagi diukur selepas 21 Disember ini kerana ia tidak akan lagi menjadi konsisten dalam corak yang sama seperti hari ini. Secara ringkasnya, apabila bumi berputar pada kelajuan yang berbeza, hari-hari di bumi akan bertukar menjadi lebih panjang atau lebih pendek.

Begitu juga jika orbitnya yang mengelilingi matahari berubah, tempoh setahun juga tidak terjadi secara statistik. Perubahan ini secara tidak langsung menjadi punca dalam satu hari tidak lagi terdiri daripada 24 jam dan tahun tidak lagi menjadi 365 hari. Menurut Kajian Kajibumi Amerika Syarikat (AS), dalam tahun 1900-an terdapat 110 gempa bumi yang cukup besar berlaku sehingga menyebabkan 1,000 orang maut. Setiap tahun, kejadian gempa bumi berlaku semakin meningkat menyebabkan mereka percaya angka kematian juga bakal meningkat tahun demi tahun. Ribut taufan dan ribut tropika juga semakin banyak dapat dikesan kebelakangan ini. Menurut Jabatan Taufan AS, taufan lebih kerap berlaku pada penggal pertama tahun 1900 dan ia juga meningkat tahun demi tahun sehingga 39 peratus pada separuh kedua.

Kebelakangan ini, laporan berita dari CNN turut menunjukkan rekod ribut taufan melanda AS terutama sekali lagi pada tahun 2005. Satu lagi fenomena semulajadi yang sedang berlaku ketika ini telah menguatkan lagi teori kaum Mayan mengenai nasib bumi ialah pemanasan global atau secara khususnya ais di muka bumi mula mencair. Media ada melaporkan ais yang beku selama 100,000 tahun akan mula mencair akhir abad ini sementara air di Artik juga mencair dua kali ganda lebih cepat di seluruh dunia.

Bob Corell yang merupakan salah seorang pihak berkuasa dunia mengandaikan dalam 25 tahun atau 30 tahun akan datang, paras laut akan meningkat  10 inci dan meningkat lagi tiga kaki dalam tempoh 100 tahun akan datang. Katanya, senario ini akan menyebabkan semua kawasan rendah dunia akan terjejas dan dipercayai ketika itu negara Belanda bakal hilang akibat tenggelam. Dalam pada itu, pada 23 Ogos 2005, pasukan Teknologi Harian India ada mendedahkan laporan mengenai keseluruhan planet bumi ini. Mereka mendakwa, plat anjakan tektonik, gunung berapi, gempa bumi, tanah runtuh dan tsunami semakin meningkat dalam kadar yang tidak pernah dilihat sebelum ini. “Banjir dan kemarau juga berlaku dengan keadaan yang luar biasa sekali,” menurut laporan itu.

Hakikatnya, semua ini berlaku kerana ia menjadi sebahagian daripada kitaran semulajadi sistem solar. Sama juga seperti setiap musim panas, ais akan mencair dan kenaikan suhu bumi boleh menjadi sebahagian daripada perubahan dalam sistem solar. Sejak akhir-akhir ini, menjelang 21 Disember, terlalu banyak spekulasi hari kiamat muncul hakikatnya tiada siapa dapat meramalkan tarikh sebenar hari pembalasan itu. Kita sendiri tahu, sistem solar serta planet ini hidup dan kitaran yang berlaku wujud sejak berbilion-bilion tahun dahulu. Kita juga tahu dunia melalui kitaran dan pernah lari sedikit dari paksinya dan agak mustahil musim baru boleh bermula untuk membetulkan fenomena semulajadi bumi ini.

Sesuatu perubahan memang boleh berlaku pada 21 Disember ini tetapi kita akan kembali menarik nafas lega apabila kalendar beralih ke abad yang baru. Orang ramai yang menyimpan bekalan makanan dan melakukan persediaan untuk menghadapi ‘hari kiamat’ di seluruh dunia ialah manusia yang jenis paraoid dalam kuasa. Menjelang 2010 lagi ramai penduduk dunia mula bersikap paranoid tetapi tanpa bukti saintifik yang kukuh, masa sendiri akan menukar ramalan yang dibuat oleh kaum Mayan itu.

SUMBER
Sinar Harian
12 Disember 2012

10 Disember 2012

ISU IPT : MAHASISWA MALU BERTANYA


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Sunggutan mengenai tahap pencapaian mahasiswa kita yang sentiasa sederhana sudah lama kedengaran malah graduan yang naik ke pentas dengan keputusan cemerlang juga boleh dibilang jari. Biarpun berjaya menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi dengan peluang sama rata, tidak semua menggunakan kesempatan itu untuk mengubah pencapaian diri. Tambah menyedihkan lagi, biarpun memasuki alam pengajian tinggi, mereka masih dikongkong dengan sikap pasif seperti di alam persekolahan. Adakah sikap itu menjadi punca mereka gagal mencapai kecemerlangan? Dan, benarkah tanggapan yang dilemparkan masyarakat bahawa mahasiswa kita sukar diubah?

Pensyarah Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Salina Nen berkata, memang ada kebenarannya apabila masyarakat melabelkan sikap mahasiswa kita masih di takuk lama dan sukar diubah. Beliau berkata, tanggapan itu bukan dibuat secara suka-suka namun didorong perasaan tidak yakin apabila melihat sikap mahasiswa hari ini. “Saya percaya masyarakat tidak mudah membuat persepsi itu, tapi mereka membuat penilaian berdasarkan senario semasa. Cuba lihat bagaimana reaksi dan sikap sebahagian besar mahasiswa kita sewaktu di menara gading? Mereka malu bertanya, jarang berkomunikasi secara ilmiah serta mengamalkan sikap serba tahu biarpun sebenarnya tidak tahu. Apa yang berlaku itu sudah pasti mempengaruhi pemerhatian masyarakat kerana mereka sendiri yang membenarkan diri dinilai sebegitu. Cuba mahasiswa menunjukkan sikap sebaliknya, sudah tentu penilaian masyarakat juga berbeza,” katanya.

Biarpun dalam setiap majlis konvokesyen, masih ada graduan memperoleh keputusan cemerlang peratusannya masih kecil berbanding keputusan sederhana. Pencapaian itu mencerminkan bagaimana lewa dan cuai mahasiswa memanfaatkan peluang di depan mata dengan tidak belajar bersungguh-sungguh. Lebih memeritkan, sikap pasif yang hanya mengharapkan belas ihsan pensyarah atau rakan lain menjadikan mereka mudah berpuas hati. Beliau berkata, mahasiswa di menara gading seharusnya akur mereka sudah memasuki satu frasa baru yang mengkehendaki mereka berubah sikap. “Di sini (menara gading) semuanya perlu dilakukan sendiri, usah bermimpi adanya bantuan dari orang lain untuk mencapai sesuatu. Universiti adalah frasa peralihan alam persekolahan, justeru warganya perlu bijak berdikari, lebih matang, rasional serta memandang jauh ke depan, bukan mengambil jalan mudah.”

“Mahasiswa perlu mengemudi arah masa depan mengikut perancangan sendiri,” katanya mengakui kebanyakan tenaga pengajar juga berasa tertekan dan kecewa dengan sikap ditonjolkan itu. Kami (tenaga pengajar) sentiasa mengharapkan sesi pembelajaran berlangsung dalam komunikasi dua hala, wujudnya interaksi bagi mencambah pengetahuan baru dan kritis. Malangnya, ia tidak berlaku kerana kebanyakan mahasiswa seperti ‘tidur’ dan tidak mahu memberi reaksi memberangsangkan. Berbanding mahasiswa asing, reaksi mereka berbeza. Berani bertanya, suka berdebat, mampu memberi buah fikiran biarpun salah dan sebagainya. Kami tertanya-tanya mengapa mahasiswa kita tidak begini. Dalam ribuan mahasiswa, hanya sekelumit yang aktif manakala lain hanya membatu,” katanya.

Bukan mahu menidakkan kemampuan mahasiswa kerana yakin mereka yang terpilih adalah dari golongan bijak. Bagaimanapun, beliau berpendapat sikap pasif itu berpunca dari keengganan diri menerima keadaan baru dan selesa dengan persekitaran lama. “Mahasiswa kita boleh berubah dan melakukan kejutan namun mereka kebanyakannya malas selain selesa dengan persekitaran sedia ada. Mereka berpendapat, aktif dalam kuliah tidak boleh membantu untuk memperoleh keputusan baik berbanding sesi mengulang kaji. Memang merugikan kerana berdasarkan kajian, aktif bertanya dalam kuliah juga mampu menyumbang kepada peningkatan pemahaman dan pencapaian mahasiswa dalam peperiksaan,” katanya.

Mahasiswa yang aktif dalam kuliah mahupun aktiviti, juga katanya mempunyai banyak kelebihan tersembunyi. “Antaranya lebih kenali pensyarah yang boleh membantu mereka memperoleh sedikit kelebihan berbanding tidak dikenali. Hubungan mesra boleh terjalin selain pemahaman mengenai sesuatu subjek juga lebih mendalam. Malangnya kelebihan ini jarang mahu direbut kerana beranggapan jika banyak bertanya, bermakna mereka kurang bijak atau khuatir mengganggu perjalanan kelas. Dan, berdasarkan pemerhatian, mereka yang pasif ini memang akan bermasalah dari segi membina pemahaman, pembinaan jati diri selain sukar memperoleh keputusan baik,” katanya.

Mengulas tanggapan sikap itu ada kaitan dengan sistem pendidikan sekolah, beliau tidak meletakkan kesalahan seratus peratus padanya. “Sebagai mahasiswa, mereka harus tahu alam pengajian di universiti cukup berbeza. Perlu ada keinginan sendiri, bijak menyesuai diri dengan persekitaran dan sebagainya. Tiada lagi istilah ‘manja’ atau perlu ditatang sentiasa. Universiti tempat persediaan untuk melangkah alam dewasa. Jika dalam tempoh itu mereka masih sama dan terus mengekalkan sikap keanak-anakan, apakah mereka mampu berdepan cabaran lebih hebat selepas itu,” soalnya.

Pensyarah juga diharap dapat menggunakan pendekatan berbeza bagi menarik perhatian mahasiswa supaya lebih proaktif dalam dewan kuliah. “Ada kalanya cara pembelajaran pensyarah yang pasif juga gagal memikat perhatian mahasiswa menjadikan mereka kurang berminat. Untuk itu, kedua-dua pihak perlu peka dan saling berusaha menghidupkan suasana supaya proses pembelajaran menjadi lebih seronok dan memberi manfaat bersama,” katanya. Begitupun masih belum terlambat untuk memperbetulkan keadaan dan berharap mahasiswa alaf baru mesti berani bangkit melakukan anjakan minda dan keluar dari kepompong keselesaan. “Biarpun senario mahasiswa pasif sudah lama, mereka boleh mengubah keadaan dengan berani memulakan langkah pertama. Setiap orang boleh berubah kecuali mereka yang mahu gagal saja tidak mahu melakukannya,” katanya.

Sumber
Harian Metro
10 Disember 2012

ISU IPT : DILEMA GRADUAN, LIHAT DULU KEUTAMAAN


Rencana ini ditulis oleh :
Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my


Kita selalu mendengar keluhan dan rintihan graduan baru betapa sukarnya mencari pekerjaan walaupun mempunyai segulung ijazah. Ternyata segulung ijazah yang diperoleh selepas berhempas pulas itu belum mampu menambat perhatian majikan menawarkan pekerjaan. Pandangan skeptikal majikan masih tidak berubah tebal dengan andaian mereka tidak kompetitif, kurang matang, tidak sabar dan ego.  Akibatnya, graduan baru seperti keterlaluan menagih belas ihsan majikan demi mengharapkan satu pekerjaan. Persoalannya, adilkah graduan dilabel begitu sedangkan mereka belum diberi peluang bekerja? Bagaimana pula perasaan graduan baru apabila permohonan kerjaya ditolak tanpa pertimbangan?

Graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nur Izwa Nadhirah Kalal, 23, berkata dia amat kecewa majikan membuat andaian salah kemampuan graduan baru. Menurutnya, biar pun majikan memegang kuasa autonomi, mereka usah mendiskriminasikan pemilihan pekerja. “Semua graduan selepas tamat pengajian mahukan pekerjaan, namun menghadapi kerenah segelintir majikan yang tidak memahami memang mengecewakan. Mereka (majikan) perlu memberi peluang sama rata kepada kami, bukan menggunakan isu graduan baru tidak pandai bekerja sebagai alasan. Persoalannya, benarkah graduan baru tidak boleh bekerja atau majikan hanya melihat sekilas lalu atau mendengar cakap orang lain,” katanya. Sebagai graduan baru, mereka bersemangat untuk bekerja, malangnya bukan semua mahu melihat kesungguhan mereka sebaliknya lebih suka mengkritik.

Ditanya tidak bolehkah mereka menerima kritikan, dia berkata, tiada masalah asalkan ia untuk kebaikan. “Malangnya kebanyakan kritikan berbaur negatif dan seperti mahu meletak kesalahan pada kami seperti tidak boleh buat kerja, mahu gaji tinggi dan besar kepala. Mereka seharusnya melihat dulu keupayaan dan kebolehan kami sebelum membuat andaian itu. Sesiapa pun mahukan yang terbaik, malangnya penerimaan majikan sebaliknya,” katanya beranggapan apabila graduan baru tanpa pengalaman mengajukan permintaan, seolah-olah mereka megah dengan ijazah dimiliki. Saya tidak fikir graduan baru sentiasa bermegah dengan ijazah yang ada sebaliknya hanya mahu penjelasan. Malangnya persepsi majikan pula sebaliknya dan menganggap kami besar kepala. Akhirnya, permohonan ditolak menyebabkan kami terpaksa berhempas pulas mencari majikan lain,” katanya.

Isu majikan enggan ‘mempercayai’ kemampuan graduan bukan baru biar pun sokongan penambahbaikan diri dan kemahiran semakin dipelbagaikan.  Pengenalan modul bagi membina pengukuhan kemahiran insaniah seperti komunikasi dan jati diri antara pendekatan diperkenalkan bagi membantu graduan. Bagaimanapun, isu tiada pengalaman, kursus tidak relevan selain kelemahan kemahiran diri masih tetap dijadikan alasan mengukur kemampuan graduan terbabit. Akibatnya, mereka terpaksa menerima pekerjaan tidak setimpal kelulusan atau terpaksa menjadi penganggur terhormat. Katanya, biar pun majikan mempunyai kuasa memilih pekerja, ia harus dilakukan dengan adil. “Majikan belum lagi melihat kebolehan kami tapi sudah dinilai sebegitu. Adilkah? Betul, majikan ada kuasa memilih tapi berilah peluang atau menilai kami sewaktu tempoh percubaan. Jika tidak boleh, barulah ambil tindakan. Kalau semua majikan begitu, sampai bila pun kami tetap tidak memperoleh pekerjaan. Sia-sialah segala ilmu dan penat kami belajar,” katanya.

Rakannya, Nor Hashimah Hashim, 23, mengakui isu gender juga masalah besar bagi graduan baru. Menurutnya, kalangan majikan berpendapat, graduan wanita tidak boleh melaksanakan tugasan dengan baik terutama jika membabitkan tugasan berbentuk fizikal berat. “Ini juga satu masalah bagi graduan baru kerana ada majikan meletak persepsi bahawa tenaga dan kebolehan graduan wanita hanya terhad dalam lingkungan tertentu. Situasi ini menyebabkan permohonan kami ditolak biar pun dari segi kelayakan tiada masalah. Jika graduan baru lelaki berdepan cabaran penolakan, kami (graduan wanita) juga berdepan dilema sama malah mungkin lebih hebat,” katanya.

Dia tidak menafikan ada majikan prihatin dan tidak kisah isu remeh temeh, namun jumlahnya masih sedikit. “Setiap tahun, lambakan graduan baru bertambah. Jika hanya sebahagian kecil saja diterima, itu tidak mencukupi,” katanya yang bagaimana pun mengakui ada graduan baru ‘bermasalah’. Mungkin kerana yang bermasalah inilah kami dicop serupa dan menerima tempias negatif. Tapi, saya beri jaminan, bukan semua begitu. Majikan usah termakan momokan dilemparkan hanya kerana seorang dua yang bermasalah,” katanya.  Dia juga berpendapat graduan baru hari ini berdepan konflik hebat meneruskan kehidupan. “Dulu terpilih masuk universiti, masa depan sudah terjamin, kini sebaliknya berlaku. Universiti bukan lagi jaminan anda akan memperoleh kehidupan yang baik sebaliknya mengundang cabaran lebih hebat. Dengan sekeping ijazah, anda perlu bersaing dengan ribuan ijazah milik graduan lain semata-mata mahu memperoleh satu pekerjaan,” katanya.

Sumber
Harian Metro Online
10 Disember 2012

ISU UMUM : ANTARA TRANSFORMASI EKONOMI DAN RASUAH


Rencana ini ditulis oleh :
ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Dan Felo Penyelidik Institut Keusahawanan dan Koperasi, Universiti Utara Malaysia

\

Perdana Menteri Greece, Antonia Samaras ketika ditemu bual oleh akhbar Jerman baru-baru ini, telah mengungkapkan perkataan transformasi yang "menakjubkan" bagi menggambarkan pembaharuan yang bakal beliau laksanakan untuk berusaha mencipta kejayaan Greece. Ini tidak menghairankan kerana sejak tiga tahun kebelakangan ini Greece telah terjerumus ke lembah krisis ekonomi paling teruk dalam sejarahnya. Tidak ada cara lain yang boleh dilaksanakan bagi memulih semula ekonominya selain melaksanakan transformasi yang menakjubkan. Akibat krisis ekonomi, Greece dibelenggu jumlah hutang yang terlalu tinggi. Jumlah hutang inilah yang perlu diurus secara mampan agar Greece tidak selama-lamanya menjadi sebuah negara yang miskin di dunia.

Diakui, krisis ekonomi yang teruk melanda Greece telah menyebabkan Greece jatuh ke kedudukan yang lebih rendah dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012. Greece berada di kedudukan ke-94, lebih bawah daripada negara seperti Bulgaria dan sudah semestinya terlalu jauh berbanding negara kita yang berada di kedudukan ke-54 indeks rasuah tersebut. Bagi negara-negara yang berada di kedudukan tertinggi seperti Denmark, Finland, New Zealand, Sweden, Singapura, Switzerland, Australia dan Norway rata-rata negara-negara ini adalah negara maju ekonominya. Dengan perkataan mudah, salah satu strategi yang paling ampuh untuk membanteras gejala rasuah pada tahap terbaik adalah dengan menjayakan transformasi ekonomi secara besar-besar sehingga mencapai taraf negara maju.

Di Malaysia, kerajaan telah meletakkan batu asas yang kukuh dengan memperkenalkan transformasi ekonomi melalui Model Baru ekonomi (MBE) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tambahan lagi, transformasi ekonomi disokong dengan Program Transormasi Kerajaan (GTP). Kerajaan juga telah, sedang dan akan melaksanakan tujuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang antaranya menangani kos sara hidup rakyat dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar. Kesemua ini telah banyak membantu menangani rasuah seperti mana yang disasarkan dalam NKRA menangani rasuah. Secara logiknya, negara yang kaya dan kekayaan ini diagihkan secara saksama kepada seluruh rakyat akan menjadikan kehidupan rakyatnya lebih selesa berbanding negara-negara lain. Ada juga negara yang kaya raya melalui hasil bumi seperti minyak dan gas, namun, rakyatnya serba miskin angkara agihan kekayaan negara yang tidak dibuat dengan adil dan saksama.

Negara-negara inilah yang kita boleh lihat sejak kebelakangan ini berada dalam keadaan yang kacau bilau dengan rakyatnya memberontak saban hari. Pada asasnya, bekas pemimpin negara tersebut terlalu tamakkan kekayaan negara dan hasil kekayaan tersebut dibolot oleh dirinya, keluarga dan kroni-kroni. Apabila majoriti rakyat adalah miskin, maka mahu tidak mahu mereka terdesak untuk melakukan kesalahan seperti rasuah dan penyelewengan kuasa. Dengan perkataan lain, seseorang pemimpin negara berperanan besar selaras amanah yang diberikan kepadanya untuk memajukan ekonomi negara dan pada masa yang sama mengagihkan kekayaan tersebut secara saksama meliputi seluruh rakyatnya tidak kiralah sama ada penyokong mahupun pihak-pihak yang menentangnya.

Pemimpin tersebut pula sudah semestinya disokong oleh satu sistem tadbir urus negara yang baik seperti sistem kehakiman yang cekap dan terdapat jurang hubungan di antara kerajaan dan komuniti bisnes. Umpamanya di Malaysia penubuhan 14 Mahkamah Seksyen Khas Rasuah telah mempercepatkan penyelesaian kes rasuah di samping mengurangkan kes yang dibuang ekoran tidak cukup bukti. Selain itu, kerajaan sebagai pemudah cara komuniti bisnes seperti usaha yang dilaksanakan oleh Unit Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) telah banyak mengurangkan hubungan kerajaan terlibat secara langsung dalam perniagaan. Tambahan lagi, konsep pemudah cara telah merancakkan lagi sektor swasta sebagai tulang belakang ekonomi Malaysia. Suatu ketika dahulu, kerajaan berperanan utama dalam merancakkan ekonomi Malaysia tetapi peranan ini telah diambil alih oleh sektor swasta.

Apabila peranan peneraju ekonomi negara diketuai oleh sektor swasta, ia telah mengurangkan peluang pihak-pihak tertentu untuk terlibat dalam gejala rasuah. Satu perkara yang cukup menarik yang berlaku di Malaysia sejak akhir-akhir ini adalah rakyat Malaysia semakin mengambil berat peranan Jabatan Audit Negara. Laporan Ketua Audit Negara pula ditunggu-tunggu oleh rakyat sebagai pembayar cukai negara. Perkara ini tidak pernah berlaku sepuluh tahun yang lalu. Ketika itu, rakyat tidak begitu mengambil berat tentang Laporan Ketua Audit Negara. Sikap rakyat yang semakin prihatin telah menyebabkan tansformasi sektor awam ke arah lebih berakauntabiliti kepada rakyat berbanding dahulu. Kerja-kerja yang dahulunya disiapkan berbulan-bulan lamanya kini telah berjaya disiapkan dalam tempoh beberapa jam sahaja telah berjaya meningkatkan produktiviti negara seterusnya mengurangkan kes-kes rasuah di kalangan kakitangan awam.

Kecekapan dan keberkesanan (E&E) sektor awam telah banyak membantu melonjakkan keyakinan para pelabur sedia ada dan bakal pelabur yang ingin melabur di Malaysia. Cuba bayangkan dengan kombinasi transformasi ekonomi yang menakjubkan dan E&E sektor awam beserta tadbir urus kerajaan yang baik akan menghasilkan sebuah negara yang maju, aman dan adil pengagihan ekonominya, seterusnya gejala rasuah dapat ditangani sebaik mungkin.

Sumber
Utusan Malaysia
10 Disember 2012

ISU PENDIDIKAN : KREATIVITI, INOVASI DALAM PENDIDIKAN


Rencana ini ditulis oleh :
Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom


Ada yang bertanya kepada saya jika kreativiti dan inovasi penting dalam pendidikan, mengapa ia tidak dijadikan sebagai mata pelajaran dan kurikulumnya diajar dalam bilik darjah. Jawapannya, kreativiti dan inovasi tidak boleh diajar tetapi ia boleh diterap secara tidak langsung melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara terancang. Dengan kata lain apa sahaja mata pelajaran kedua-dua elemen itu boleh diajar oleh guru melalui pendekatan pengajaran yang berpusat kepada murid atau student centre. Pengajaran berpusat kepada murid maksudnya pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan secara dua hala iaitu guru mengajar dan murid belajar. Guru dikehendaki sentiasa mencabar keupayaan berfikir muridnya dengan menggunakan pelbagai teknik mengajar dan alat bantu pengajaran yang menarik minat murid.

Mempelbagaikan aktiviti pembelajaran seperti kuiz, forum, syarahan, bahas, membuat projek, kerja berkumpulan dan tugasan luar bilik darjah sangat digalakkan. Aktiviti tersebut akan menggalakkan murid berfikir, berbincang, membuat rujukan, menyediakan nota dan menghasilkan tugasan tersebut. Ini akan menggalakkan percambahan idea dan dapatan baru yang melibatkan unsur-unsur kreativiti dan inovasi di kalangan murid. Sesungguhnya murid yang kreatif dan inovatif akan menjadi seorang yang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri. Inilah ciri-ciri murid yang perlu kita lahirkan untuk menjadi warganegara bagi menghadapi cabaran masa depan terutama dalam memasuki era 2020. Bagi menanganinya tidak menghairankan mengapa kerajaan berbelanja besar dalam Bajet 2013 untuk pendidikan.

Di samping itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 juta kepada Kementerian Pelajaran bagi melaksanakan aktiviti latihan guru yang berfokus kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau high order thinking skills. Apakah sebenarnya definisi kreativiti dan inovasi itu. Kreativiti ialah suatu bentuk proses pemikiran yang mendorong mengeneralisasi idea baru. Ia melibatkan kombinasi antara idea baru dan idea lama yang diproses semula, membuat pemilihan dan menukar ganti menjadi suatu yang baru. Sementara itu, inovasi pula merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baru dan yang lebih baik. Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baru dan menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.

Sebagai contoh jika dulu penggunaan telefon bimbit hanya sebagai alat perhubungan tetapi kini melalui inovasi ia digunakan sebagai alat hiburan, internet, kamera, penyampai maklumat, memberi pandu arah perjalanan dan membuat pelbagai pengiraan. Guru memainkan peranan penting bagi menerapkan kedua-dua elemen dalam pengajaran mereka. Sebagai penyampai ilmu guru perlulah memiliki kemahiran tinggi bagi melakukan transformasi dalam menjana minda murid agar menjadi lebih dinamik. Mempunyai kemahiran sedemikian akan menjadikan guru berada di tahap teratas dan akan disanjung oleh muridnya. Kualiti guru sedemikian akan membolehkan muridnya menguasai berbagai kemahiran lain seperti berfikir aras tinggi, penyelesaian masalah, berkomunikasi dan berkolaborasi dengan baik.

Peranan pengurusan sekolah tidak kurang pentingnya dalam merealisasikan elemen kreativiti dan inovasi dalam kalangan warganya. Dengan perkataan lain pengurusan sekolah juga mesti kreatif dan inovatif agar menjadi organisasi pembelajaran yang bermaklumat, menggalakkan pengembangan pengetahuan baru, berbudaya saintifik, penggunaan teknologi serta ICT secara meluas dan penggunaan tenaga sumber secara maksimum. Pengetua dan Guru Besar bersama pengurusan tertinggi di sekolah bertanggungjawab bagi mencetuskan budaya kreativiti dan inovasi sama ada di kalangan guru atau murid. Sekolah mestilah menjadi institusi yang menggalakkan tercetusnya pendapat dan idea baru. Bagi mewujudkan suasana tersebut sekolah perlu mengurangkan kerenah birokrasi dalam pengurusan dan memberi ruang kebebasan berkarya kepada warganya.

Pihak pengurusan juga perlu menjadikan iklim sekolah yang sentiasa ceria, bersih, kemas dan bermaklumat. Sikap terbuka, mesra dan berperanan sebagai penyelesai masalah akan menjadikan guru dan murid merasa gembira dan selamat semasa mengikuti aktiviti pembelajaran. Bagi mewujudkan suasana sedemikian pengurusan sekolah perlulah memastikan berlaku sistem komunikasi dua hala, pengaliran maklumat lebih demokratik, stail kepimpinan yang berhemah dan pembangunan insan yang harmoni. Kepimpinan sekolah hendaklah terdiri daripada mereka yang berkebolehan dalam menguruskan organisasi pembelajaran. Selain mendapat latihan, berpengalaman dan pengetahuan yang luas dalam bidang pendidikan mereka perlu mempunyai dorongan dan komitmen yang kuat bagi membawa perubahan kepada sekolah.

Perlu ada visi dan misi, strategi dan perancangan yang baik. Bagi memastikan kejayaan perancangan tersebut mereka perlu mendapat sokongan dan kerjasama yang padu daripada seluruh warga sekolah termasuk ibu bapa. Mempunyai ciri budaya sekolah yang menggalakkan kreativiti dan inovasi akan mendorong semangat belajar yang tinggi di kalangan murid, mempunyai daya usaha sendiri dan sentiasa berusaha mengembangkan potensi ke arah yang lebih baik. Dengan bimbingan dan sokongan guru-guru yang dedikasi, terlatih dan profesional usaha yang dilakukan oleh murid akan membuahkan kejayaan nanti. Keberkesanan sekolah akan terserlah jika mereka dapat menggunakan teknologi dan ICT dalam pengurusan dan dalam bilik darjah. Sebenarnya teknologi tidak dilihat sebagai alat semata-mata tetapi boleh menjadikan sistem pengurusan lebih efisien dan berkesan.

Penggunaan ICT secara meluas dapat membina imej baru dalam pengurusan organisasi yang berprestasi tinggi. Ia akan menjadikan sekolah lebih berdaya saing dan menjadi lebih produktif. Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam majlis Perhimpunan Khas Guru Malaysia pada 3 November lepas bahawa; "Guru perlu meneliti semula amalan bilik darjah yang sesuai dengan ciri serta situasi murid sekarang. ''Kreativiti dan inovasi amat dituntut untuk melahirkan generasi murid berfikiran kelas pertama dalam abad ke-21 ini untuk bersaing dalam abad penuh cabaran ini kita tiada pilihan kecuali meningkatkan keupayaan kreativiti dan inovasi. Dalam senario ini tugas guru semakin mencabar."

Sumber
Utusan Malaysia
10 Disember 2012

08 Disember 2012

ISU GLOBAL : SAMPAI BILA ISREAL DIBIAR MENYEMBELIH PALESTIN?


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Konflik berterusan antara dunia Arab, khususnya warga Palestin dan bangsa Yahudi yang menubuhkan negara haram Israel di atas tanah mereka nampaknya tidak akan berakhir dalam hayat generasi yang hidup kini. Sejak penjajahan yang meragut jutaan nyawa demi penubuhan Israel pada 1948 di tengah-tengah dunia Arab, orang Yahudi tidak dapat diusir lagi mahupun disabitkan atas sebarang jenayah dan kekejaman terhadap penduduk Palestin. Bukannya kerana tiada kerajaan Arab yang mahu bertindak tetapi jajahan Zionis itu dilindungi oleh kuasa-kuasa besar dunia. Warga Palestin sebenarnya terdiri daripada pelbagai puak yang beragama Islam, Kristian, Yahudi dan agama-agama lain sementara pendokong fahaman Zionisme pula rata-ratanya dilihat adalah bangsa Yahudi yang lari daripada penindasan di Barat.

Sejak perang Arab-Israel 1948, banyak siri serangan balas antara kedua belah pihak berterusan sebelum reda untuk seketika dan bermula semula. Antaranya krisis Suez 1956 yang menyaksikan Israel menduduki Semenanjung Gaza dan menghalau kerajaan Palestin ketika itu. Penubuhan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1964 oleh Allahyarham Yasser Arafat menerima sokongan kuat negara-negara Arab tetapi perang enam hari pada 1967 membantutkan usaha nasionalisme PLO. Israel sekali lagi menawan Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, sekali gus menyekat PLO daripada membentuk sistem pentadbiran sendiri di bumi Palestin, sekali gus memaksa anggota pertubuhan itu melarikan diri ke Jordan sebelum berpindah ke selatan Lebanon. PLO meneruskan tentangan dari Lebanon menyebabkan serangan balas dan penjajahan penuh negara itu oleh Israel pada 1978.

Selepas berundur, Israel menyokong pihak lawan PLO di Lebanon menyebabkan bermulanya perang saudara 1982 sehingga memaksa PLO berpindah ke Tunisia tetapi langkah itu turut memulakan konflik antara rejim zionis itu dengan Syria. Walaupun Israel berundur ke 10 kilometer sempadan Lebanon yang dijajah pada 1985, serangan daripada kumpulan Syiah yang disokong Iran mula meningkat seterusnya membawa kepada kebangkitan rakyat Palestin melalui Intifada pertama antara 1987 hingga 1993. Intifada pertama itu menyaksikan penentangan besar-besaran terhadap penjajahan Israel serta 'pembersihan' perisik Yahudi dalam kalangan penduduk Palestin. Selepas 1,100 warga Palestin dibunuh tentera Zionis, 1,000 rakyat Palestin yang dilabel pengintip terbunuh dan 164 warga Israel terkorban, Perjanjian Oslo ditandatangani kedua belah pihak pada 1993 yang akhirnya membolehkan PLO membentuk kerajaan sendiri di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza.

Namun, penentangan usaha damai menyaksikan kumpulan seperti Hamas meneruskan serangan kecil ke penempatan Yahudi sementara di Israel, Presiden Yitzhak Rabin dibunuh seorang fanatik Yahudi menyebabkan kerajaan Zionis menarik diri daripada rundingan damai pada 1996. Tanpa rundingan yang berjaya, Intifada kedua bermula pada September 2000 dan berlanjutan sehingga 2005, menyaksikan lebih 7,000 nyawa terkorban termasuk lebih 6,000 warga Palestin, kira-kira 1,000 Yahudi dan lebih 60 orang warga asing. Konflik terbuka antara pihak berkuasa Palestin dan tentera Israel itu menyebabkan penduduk Yahudi di Gaza dipindahkan ke wilayah lebih selamat pada 2005 tetapi Israel tetap enggan melepaskan Gaza daripada genggamannya. 

Setahun selepas itu, Hamas memenangi pilihan raya di Gaza dan memulakan pergeseran baru dengan Israel yang memulakan sekatan laut ke wilayah tersebut sementara sekatan darat dibuat dengan kerjasama Mesir di pintu masuk ke Gaza. Konflik berterusan antara Israel dan Hamas yang menerima bantuan serta sokongan Iran memuncak dalam Perang Gaza pada 2008 yang berlanjutan sehingga Februari 2009, meragut 2,000 nyawa penduduk awam. Usaha pihak berkuasa Palestin untuk menjadi ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2011 gagal tetapi usaha tersebut diteruskan pada 2012 dan kini dipercayai menjadi punca Israel melancarkan serangan besar-besaran terbaru ke Genting Gaza.

Sumber
Utusan Malaysia
1 Disember 2012

ISU EKONOMI : SEBARKAN FAKTA EKONOMI SEBENAR


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Malaysia kini berada di tangga ke-12 dalam senarai kemudahan urus niaga; nombor 25 dalam indeks kompetitif, di tempat kesembilan sebagai destinasi pelancongan utama; pelindung pelaburan keempat terbaik; dan nombor satu untuk kemudahan kredit. Ini bukan sahaja meletakkan negara mengatasi negara maju seperti Jepun, Jerman, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) Sweden dan Itali malahan lebih baik daripada Thailand, China, Bahrain, Itali dan India. Sasaran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada kadar lima peratus juga berjaya dilepasi pada kadar semasa 5.2 peratus, lebih baik daripada KDNK Singapura, AS mahupun Korea, di samping pengiktirafan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam ulung dunia.

Kadar pengangguran semasa pula cuma sekitar tiga peratus sahaja berbanding 9.7 peratus di AS, sementara pelaburan swasta meningkat 22 peratus dan Indeks komposit Bursa Malaysia pula mencecah 1,600 mata atas kepercayaan pelabur seluruh dunia. Malaysia juga mempunyai hutang pada kadar 53.7 peratus berbanding KDNK tetapi jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan AS (73.6 peratus), Singapura (105.7 peratus) dan Jepun yang mencecah 219 peratus. Defisit fiskal pula pada kadar 4.5 peratus sahaja, jauh lebih baik daripada India, Sepanyol, AS, UK dan Jepun, malahan kerajaan akan cuba merendahkan lagi kadar itu kepada tiga peratus kelak. Walaupun masih banyak fitnah dan suara sumbang yang menuduh negara dalam keadaan begitu teruk kini, fakta-fakta tersebut membuktikan kedudukan ekonomi negara kukuh dan berjaya hasil usaha pentadbiran bijaksana para pemimpin sejak 55 tahun negara merdeka.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh dalam mengemukakan usul ekonomi pada Perhimpunan Agung UMNO 2012 antara lain menetapkan sokongan para perwakilan terhadap program transformasi inklusif yang dilaksanakan secara saksama untuk semua kaum. Sokongan turut dinyatakan terhadap falsafah pembangunan negara dan Model Baharu Ekonomi (MBE); Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB) dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) yang memberi kesan positif kepada ekonomi bumiputera; serta sokongan padu untuk pelbagai program rakyat di bawah jenama 1Malaysia. Usul itu turut menyeru pengukuhan agenda bumiputera melalui pusat sehenti di peringkat nasional dan wilayah untuk syarikat bumiputera serta menggesa syarikat milik kerajaan (GLC) melaksanakan agenda pembangunan ekonomi bumiputera dengan bersungguh-sungguh, bukan sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sahaja.

Tidak dilupakan, pendapatan tinggi dan peluang kerja untuk golongan muda dalam sektor awam mahupun swasta di samping memperkasakan skim pembiayaan mikro yang terbukti banyak membantu usahawan bumiputera. Idris yang juga Pengerusi Mara menegaskan, Malaysia kini telah menjadi satu 'jenama' dan dunia memperakui ekonomi negara ditadbir dengan baik oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) selama ini. "Kita telah mencipta nama tersendiri. Kerana negara ditadbir dengan baik, rakyat juga kini hidup sejahtera khususnya melihat kepada kemampuan rakyat berbelanja. Sekitar RM1 bilion dibelanjakan rakyat setiap tahun dalam mengerjakan umrah, anak-anak mampu dihantar belajar di luar negara, boleh beli kereta, bina rumah dan menjalankan ibadah korban sehinggakan boleh dihantar kepada penduduk Islam di negara lain," katanya.

Selain bantuan rakyat dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan dan banyak lagi, beliau menjelaskan Perdana Menteri turut melancarkan Indeks Kesejahteraan baru-baru ini yang merangkumi aspek kehidupan seperti nilai-nilai murni, alam sekitar, perpaduan, tangani kemiskinan dan sebagainya. Walaupun dunia telah mengakui kecekapan pentadbiran kerajaan, beliau berharap rakyat sendiri menyedari fakta tersebut melihat angka dan fakta sebenar kerana angka-angka tersebut tidak boleh menipu. "Perbandingan melalui angka-angka itu jelas menunjukkan prestasi pentadbiran ekonomi negara, jadi tak guna terus menjaja kononnya negara kita teruk sangat. Kadar pertumbuhan, pengangguran, KDNK, semua tunjuk perkara sama, kita dalam keadaan baik dan mungkin lebih baik daripada sesetengah negara-negara utama lain," ujarnya.

Tambahnya, pegangan ekuiti bumiputera dalam ekonomi negara juga telah bertambah hasil pelbagai program oleh Teraju dan agensi kerajaan yang lain. Namun, beliau mengingatkan rakyat agar memahami sebarang bentuk perancangan dan program akan mengambil masa untuk menampakkan hasil. "Projek-projek besar yang digerakkan menunjukkan komitmen kerajaan terhadap agenda ekonomi bumiputera tidak boleh dipertikai lagi, tetapi semua itu memakan masa untuk menunjukkan hasil yang diharapkan. Bagaimanapun, agenda bumiputera juga tidak boleh berjalan tanpa pembangunan dalam ekonomi negara, kedua-duanya perlu selari dan kerana itu kita bukan sekadar menekankan ekonomi bumiputera sahaja," tegasnya. Walaupun kerajaan menyatakan komitmen untuk terus membantu ekonomi bumiputera, Idris berharap usahawan bumiputera sendiri mempunyai komitmen untuk berjaya atau semuanya akan sia-sia.

Berkaitan peranan GLC, beliau berpendapat warga korporat tidak boleh disalahkan kerana dilihat kurang bersungguh-sungguh membantu agenda ekonomi bumiputera. "Mungkin mereka tidak begitu nampak perkara itu sebagai fokus utama, tidak boleh salahkan mereka. Kita akan berjumpa dan cakap dengan mereka agar agenda ini boleh dijadikan antara objektif utama GLC kelak. Kerana itu saya sebut perkara ini dalam usul tadi (semalam) untuk lebihkan peranan GLC. Jika ekonomi bumiputera menjadi antara objektif utama, ditambah dengan program CSR lagi, semua akan lebih baik," jelasnya. Beliau juga menyatakan keyakinan bumiputera mampu menjadi usahawan berjaya selagi ikhlas sepenuhnya menjadi usahawan tulen, berdisiplin, bersatu hati dan mengurangkan sikap-sikap negatif.

"Halangan itu di mana-mana pun ada. Janganlah mahu kerja senang sahaja, makan bahagian kecil dalam projek tetapi tidak mahu kerjakan projek itu sendiri, perlu ikhlas dan kerja kuat. Sudah jelas ramai usahawan bumiputera yang berjaya kerana mereka ini ada disiplin, kompetitif dan tidak mengharapkan bantuan kerajaan semata-mata," katanya. Beliau turut menyelar pihak yang mengatakan ekonomi Malaysia tidak inklusif melihatkan begitu ramai 'taikun-taikun' bukan bumiputera yang mengungguli senarai individu terkaya negara. "Kalau kita tidak inklusif, tak mungkin begitu ramai bilionair bukan bumiputera. Bila menyebut agenda ekonomi bumiputera, mungkin ada sikit-sikit isu perkauman dimainkan tetapi bukan bumiputera yang dinamik pasti bersedia berurus niaga dengan usahawan bumiputera. Mungkin kerana rakyat tidak diberikan makluman secukupnya sehinggakan ramai lagi yang mempercayai tuduhan dan penipuan kononnya pentadbiran ekonomi negara begitu teruk selama ini," ujarnya.

Idris turut mencadangkan lebih banyak usaha digerakkan dalam menunjukkan fakta sebenar kepada rakyat terutamanya dalam menyampaikan bukti ekonomi negara telah lama ditadbir dengan baik pemimpin BN. "Kita kena tunjuk perkembangan jangka panjang, selain kejayaan, tunjukkan krisis pada 1970-an, 80-an, 90-an, 2000 dan krisis ekonomi terbaru semuanya melibatkan faktor luaran sedangkan ekonomi dalam negara tetap kukuh. Asasnya balik kepada pembangunan ekonomi, jika ada pertumbuhan, ada kerja dan ada duit. Dengan pembangunan lebih lima peratus setahun itulah kerajaan boleh gerakkan bermacam program untuk kesejahteraan rakyat dan kini semua itu telah diperakui dunia," jelasnya.

Sumber
Utusan Malaysia
1 Disember 2012

16 November 2012

ISU UMUM : RAKYAT PERLU INSAFI BEBAN PERDANA MENTERI


Rencana ini ditulis oleh :
DZULKARNAIN TAIB
Presiden Kelab Wartawan Muda Malaysia dan
bekas Ketua Pengarang Suara Keadilan.


Kerusi Perdana Menteri merupakan jawatan tertinggi dalam strata pentadbiran negara. Jawatan Perdana Menteri dalam konteks Malaysia adalah sangat unik kerana jawatan tersebut menuntut pertanggungjawaban dari seluruh pihak yang berbeza latar belakang agama, bangsa, budaya, sejarah, bahasa dan orientasi yang bersifat dinamik dan berubah-ubah. Jawatan yang penuh cabaran dan bebanan ini memerlukan seorang yang benar-benar mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan untuk memenuhi tuntutan pelbagai pihak yang berbeza kepentingan dan keperluan mereka. Tidak sedikit negara yang meramalkan negara bangsa yang ditubuhkan pada 31 Ogos 1957 ini yang mempunyai struktur masyarakat yang begitu berkecamuk dan carca marba boleh bertahan.

Sebilangan sarjana seperti Profesor Emeritus Clive Kessler, seorang Profesor Kajian Sosiologi dan Antropologi dari Universiti New South Wales, Australia menyebut Malaysia adalah umpama sebutir bom jangka yang menunggu masa untuk meledak. Ini merujuk kepada konteks masyarakat majmuk pelbagai kaum, agama, bahasa, tradisi, budaya, sejarah serta ideologi dan hala tuju. Justeru jawatan Perdana Menteri di Malaysia tidak hanya perlu dilihat dari sudut politik demokrasi sepenuhnya dalam erti kata negara bangsa di Barat. Ini juga menggambarkan watak Bendahara - ingat watak Tun Perak dan seumpama - yang disayangi rakyat dan pada masa yang sama melindungi kepentingan tradisi kenegaraan. Selain memikul tanggungjawab legasi lampau yang diperturunkan oleh Perdana Menteri sebelumnya, Perdana Menteri sekarang juga terpaksa berhadapan dengan persekitaran sosio-politik dunia baru yang amat berbeza dan penuh hambatan.

Inilah senario yang dihadapi oleh Perdana Menteri sekarang, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak. Dengan mengambil kira semua faktor ini kita boleh merumuskan dengan mudah, bukan calang-galang orang yang mampu memikulnya. Dalam keadaan diasak oleh tanggungjawab semasa yang begitu rencam dan getir serta dihimpit dengan peranan lalu yang wajib juga diteruskan, Perdana Menteri sekarang masih menunjukkan watak yang tenang, mesra dan waras dalam persekitaran sosiopolitik yang membuak-buak. Apakah pemegang jawatan ini harus dibiarkan untuk terus dihambat, dihimpit dan diasak tanpa henti? Serangan dan desakan bertalu-talu yang dilakukan tanpa henti dan silih berganti oleh pihak-pihak berkepentingan di dalam dan di luar kerajaan khususnya kelompok pembangkang tanpa sebarang rasa simpati dan peduli, seharusnya dikendurkan.

Sehubungan itu, penulis berpandangan amanah dan ujian yang dihadapi oleh perdana menteri sekarang tidak terbayangkan duri dan ranjaunya. Adalah diharapkan semua pihak menginsafi suasana yang dihadapi oleh Perdana Menteri dan memberikan beliau, atas prinsip keadilan, kemanusiaan dan keagamaan sedikit masa dan ruang untuk bertafakur dan beristirehat daripada segala kerenah yang menghujaninya. Maka itu kumpulan-kumpulan yang berkepentingan seperti Hindraf, Suaram, Bersih, SIS (Sisters In Islam), PUM, kumpulan anti dan pro-Lynas serta kumpulan anti dan pro-AES perlu bermuhasabah diri dan tidak memilih tindakan kebudak-budakan yang hanya tahu merengek, menjerit, merampus, menunjuk laku dan saling mendesak. Ini juga termasuk pihak-pihak dan individu-individu yang melemparkan idea kontroversi yang mencetuskan ketegangan seperti Melayu boleh tukar agama, kebebasan individu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dan simpati melulu terhadap fahaman pluralisme agama.

Pandangan pelampau yang menuntut hak royalti minyak yang keterlaluan serta kumpulan minoriti yang mendahulukan kepentingan satu pihak, juga perlu melihat kepentingan kolektif dan nasional di atas segala-galanya. Mereka sebaliknya harus menjadi lebih dewasa dan matang untuk mengusulkan apakah bentuk pendekatan yang boleh dikongsi bersama bagi mencari jalan penyelesaian yang sebaik mungkin. Seandainya semua pihak ingin mendapatkan hak mereka masing-masing dengan mengabaikan keutamaan yang merentasi kepentingan semua pihak, nescaya apa yang kita nikmati sekarang akan berkecai. Sebagai Perdana Menteri, tanpa menafikan perlu dan sahnya segala tuntutan satu pihak tadi, beliau tentunya lebih memikirkan dan menumpukan kepada tanggungjawab kolektif yang jauh lebih besar demi mempertahankan dan melindungi kepentingan bersama yang menjadi asbabul wujud (sebab-sebab keberadaan) negara Malaysia.

Oleh itu adalah menjadi harapan besar agar semua pihak membina jiwa dan pemikiran yang lebih besar untuk meletakkan keutamaan permuafakatan bersama di atas segala-galanya dan mendokong Perdana Menteri dalam melaksanakan tanggungjawab ini.

Sumber
Utusan Malaysia
16 November 2012

ISU GURU : NILAI PENGHARGAAN DALAM PENDIDIKAN


Rencana ini ditulis oleh :
DR. JESSICA ONG HAI LIAW
Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan Pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.


Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan pada Isnin depan. Peperiksaan yang diperkenalkan pada 1987 menggantikan peperiksaan Penilaian Darjah Lima itu merupakan program pengujian untuk menilai pencapaian kognitif pelajar di akhir sekolah rendah di negara ini dan diambil oleh pelajar-pelajar di akhir Tahun Enam pendidikan rendah. Kepada ibu bapa merekalah yang lebih risau menunggu keputusan UPSR berbanding anak-anaknya. Bukan kerana risau lulus atau gagal sangat tetapi lebih kepada berapa A yang dicapai. Adakah berapa A itu sangat penting dalam membentuk jatidiri anak-anak kita pada hari ini untuk menentukan keperibadiannya yang akan berjaya di sekolah menengah nanti? Walau apapun keputusannya, anak-anak kita perlu diberi peluang untuk terus dihargai kerana banyak lagi pengukur kejayaan mereka kelak. Mungkin di sekolah menengah atau di universiti nanti mereka akan lebih berjaya.

Saya sering diasak dengan soalan, kenapa mereka yang cemerlang di sekolah tetapi di tempat kerja tidak secemerlang manapun? Di mana silapnya? Nilai sebuah penghargaan amat besar dan ucapan terima kasih sudah cukup yang menjadi inspirasi kita semua kerana nilai penghargaan memberikan seseorang itu nilai yang menyentuh jiwanya dan memberikan semangat untuk terus berusaha. Menghargai atau dihargai tidak kira usia atau di mana sahaja memberi seribu pengertian. Bidang pendidikan paling sesuai untuk diberi penghargaan kerana ilmu sukar dinilai dengan wang ringgit. Penghargaan sering dikatakan sama dengan ganjaran di mana adanya ganjaran ekstrinsik atau instrinsik dan yang mana lebih penting dalam kehidupan kini di hati anak-anak kita. Ganjaran ekstrinsik meliputi ganjaran kewangan atau ganjaran yang memberi kesan berbentuk material penting untuk memotivasikan anak-anak kita jika berjaya dalam setiap peperiksaan. Sementara itu, ganjaran instrinsik sebagai satu bentuk ganjaran yang tidak boleh dilihat intangible reward atau sebagai ganjaran psikologi.

Kalau hendak mengulas tentang ganjaran memang sukar dinilai dari aspek wang ringgit kerana apa yang diberi bukan kita menunggu untuk menerima sahaja tanpa berusaha. Zaman sekarang, semua melihat kepada ganjaran ekstrinsik meliputi ganjaran kewangan atau ganjaran yang memberi kesan sebagai penting untuk memotivasikan anak-anak kita jika berjaya dalam setiap peperiksaan. Percaturan sebegini dikatakan dapat memberikan semangat kepada mereka sebab nampak dari segi material dan berjaya menaikkan semangat mereka mengejar kebendaan dalam kehidupan. Segelintir ibu bapa berkata kalau mampu apa salahnya. Berilah kepada anak-anak apa yang mereka mahukan asalkan cemerlang. Contohnya, jika anak yang mendapat 1 A mendapat RM100 atau lebih dan jika dapat 5A akan diberikan sebuah iPad, iPhone5 atau apa-apa sahaja yang mereka inginkan asalkan sapu bersih 5A di Sekolah Kebangsaan atau 7A di Sekolah Jenis Kebangsaan. Nilai ganjaran sebegini adakah praktikal diterapkan di jiwa anak-anak kita?

Pada 2 November lepas, saya sempat menghadiri Majlis Konvokesyen sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan di Puchong, di mana Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) dan pihak sekolah sepakat menganjurkan Majlis Penghargaan dengan meriah sekali walaupun keputusan UPSR belum diumumkan. Perarakan guru-guru masuk ke dewan amat dirasakan sangat apabila diberikan tepukan gemuruh oleh ibu bapa yang hadir dan pelajar-pelajar sekolah sebagai tanda mengucapkan terima kasih kepada guru-guru. Selepas majlis, saya sempat mengintai suasana di sebuah kelas yang penuh emosi apabila ucapan seorang guru meluahkan perasaannya kepada pelajar-pelajarnya dengan meminta maaf kepada pelajar-pelajarnya kerana bersikap terlalu mendesak dan tidak pernah cuba memahami perasaan pelajar-pelajarnya kerana ingin melihat mereka berjaya dalam UPSR. Air mata guru itu diiringi tangisan dan beliau turut meminta maaf kepada ibu bapa kerana sering menelefon mereka dan menegur kerana tidak menyemak kerja sekolah anak-anak mereka.

Terfikir sejenak, seorang guru yang garang menangis meminta maaf menunjukkan keikhlasan yang diluahkan oleh guru tersebut membuatkan saya memahami nilai pengorbanan beliau yang menggunakan cara ganjaran yang negatif seperti mendenda dan memarahi untuk mendesak pelajar-pelajarnya berusaha ke paras maksimum. Semua pelajar yang memeluk beliau seorang demi seorang sebagai tanda penghargaan membuatkan suasana sangat mengharukan. Seorang pelajar yang berbisik kepada rakannya, dia tersalah menilai guru yang paling garang, tegas dan dibencinya selama setahun adalah guru yang terbaik sebenarnya. Jasa guru-guru memang tiada nilainya kerana gelaran cikgu akan dibawa hingga ke akhir hayat. Sebab itu kerajaan sangat prihatin dengan profesion perguruan.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran menyatakan guru besar dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada secara separuh masa atau di bawah program Pengajian Jarak Jauh akan dilantik terus ke Gred DG41 tanpa perlu hadir temu duga boleh memohon terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) untuk dikecualikan daripada proses temu duga. Begitu juga dengan graduan yang berprestasi cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas menamatkan pengajian, akan dilantik terus tanpa proses temu duga sebagai guru pelatih mulai tahun depan. Berita ini amat dihargai dengan memotivasikan guru-guru sanggup berkorban wang ringgit untuk belajar ke peringkat tertinggi. Satu penghargaan yang tiada nilainya. Salam Deepavali, Salam Awal Muharam dan Salam 1Hati.

Sumber
Utusan Malaysia
14 November 2012

ISU UMUM : 1MOCC, CABARAN KEPADA SEKTOR AWAM PADAM PERSEPSI LEMAU


Rencana ini ditulis oleh :
Fauziah Arof


Sewajarnya, Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin yang bertujuan memberi kemudahan kepada orang ramai diambil sebagai satu lagi cabaran oleh warga kerja sektor perkhidmatan awam yang terlibat untuk membuktikan kemampuan mereka. Langkah kerajaan mewujudkan satu talian rujukan tunggal yang beroperasi selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan 365 hari setahun ini termasuklah pada hari cuti umum untuk orang ramai mengemukakan pertanyaan, aduan atau cadangan sememangnya amat baik sekali. Sebagai permulaan, fasa perintis 1MOCC melibatkan 21 agensi kerajaan yang merangkumi Jabatan Perdana Menteri dan agensi di bawahnya, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Justeru, orang ramai sebagai pengguna kemudahan ini sudah pasti meletakkan harapan yang sangat tinggi terhadap keberkesanannya dan mahu ia berfungsi seperti yang diinginkan dan dikatakan oleh Perdana Menteri. Sektor perkhidmatan awam perlu sedar bahawa apa jua kemudahan yang diwujudkan oleh kerajaan kepada orang ramai, tentunya tidak akan memberi sebarang makna atau hanya menjadi satu pembaziran sekiranya penggerak-penggeraknya tidak bersungguh-sungguh, tidak ada semangat atau menjalankan amanah yang diberikan secara sambil lewa. Sektor ini perlu membuktikan kepada orang ramai bahawa mereka bukan golongan yang ‘lemau’ untuk menjalankan tugas dalam memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Walaupun mutu perkhidmatan sektor awam di negara ini menunjukkan peningkatan, namun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki dan pelbagai persepsi buruk orang ramai terhadap mutu perkhidmatan awam sebelum ini perlu dipadamkan.

Jangan kerana sikap beberapa pekerja yang tiada ‘jiwa’ untuk bekerja dan berdepan dengan orang ramai ini merosakkan imej semua sektor awam. Dan sudah sewajarnyalah sektor perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang kerajaan dipandang tinggi dan dihormati rakyat melalui mutu kerja yang ditunjukkan. Maka pihak yang terlibat perlu memastikan, talian hotline, faks, e-mel, laman web, facebook dan twitter yang disediakan untuk menghubungi 1MOCC berfungsi dengan sebaiknya. Berfungsi di sini bermaksud ada maklum balas yang diterima dan tindakan yang diambil terhadap aduan, pertanyaan dan cadangan yang diberikan agar perkhidmatan ini benar-benar memberi manfaat kepada orang ramai dan juga kerajaan dalam melakukan penambahbaikan terhadap mana-mana bidang perkhidmatan awam.

Tentunya orang ramai tidak mahu talian 03-80008000 yang disediakan 24 jam itu, sama seperti talian-talian khidmat pelanggan lain yang disediakan sebelum ini - tidak berjawab atau menunggu begitu lama untuk dijawab dan paling membuat orang ramai panas hati apabila disambungkan ke sana ke mari dan akhirnya dimatikan sambungannya begitu sahaja. Melalui pengalaman-pengalaman sebegini sebelum ini membuatkan orang ramai marah dan yang akan terpalit dengan kemarahan ini, sudah tentulah kerajaan. Kerajaan juga yang sudahnya dikatakan lembap dan dipersalahkan. Dan orang ramai juga mahukan pengendali talian ini terdiri daripada pihak atau pegawai yang benar-benar boleh membantu dan tahu bidang kerja mereka. Berkhidmat di kaunter-kaunter atau bertindak sebagai penjawab talian hotline memerlukan orang yang berkemahiran dan berpengetahuan, bukan sekadar menjawab perkara-perkara asas dan menyambungnya kepada pihak lain atau meminta memanggil semula kemudian kerana pegawai yang ditugaskan keluar entah ke mana.

Begitu juga kita tidak mahu laman-laman web, facebook dan twitter yang disediakan, sunyi tanpa pengendali dan yang ‘membuat bising’ ialah orang ramai yang menjadikan laman sosial itu sebagai medan untuk mengutuk atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap mana-mana agensi perkhidmatan awam atau diambil kesempatan oleh ‘kaki-kaki yang gila berpolitik’ untuk menabur fitnah dan berpolitik di situ. Saya pasti semua mengharapkan perkhidmatan 1MOCC yang dijangka diperluaskan di semua kementerian pada Januari tahun depan ini dapat memberi lonjakan dan dimensi baru dalam sektor perkhidmatan awam di negara ini. Seperti yang dikatakan oleh Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa, jatuh bangun, maju mundur dan hina mulia sektor perkhidmatan awam terletak di bahu setiap penjawat awam di semua peringkat. Dan sebagai sektor awam yang amat berkaitan rapat dengan imej kerajaan manakala kebajikannya sentiasa diberi perhatian oleh kerajaan dengan pelbagai imbuhan dan keistimewaan berbanding sektor swasta, mereka seharusnya lebih bersemangat, kehadapan dan cekap dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

Sumber
Utusan Malaysia
14 November 2012
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...