JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



19 Mei 2012

ISU PENGGUNA : REKOD KEJAYAAN TRIBUNAL TUNTUTAN PEMBELI RUMAH


Rencana ini ditulis oleh :
Oleh HASHNAN ABDULLAH


Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mungkin boleh dianggap sebagai 'hero yang dilupakan' walaupun telah beroperasi sejak 2003 dan sehingga kini mengendalikan lebih 6,000 kes. Juga dilaporkan bahawa kadar penyelesaian kes tuntutan yang difailkan kepada TTPR sejak ia ditubuhkan hingga Disember tahun lalu adalah sekitar 96.28 peratus. Jelas sekali dalam mana-mana pameran perumahan sama ada berskala kecil atau besar, kaunter TTPR jarang sekali dikunjungi atau diberikan perhatian oleh bakal pembeli, walaupun ia terletak di satu sudut yang agak strategik. Mungkin bakal pembeli 'sibuk' memenuhi impian memiliki rumah sendiri, sehingga terlupa peranan TTPR yang boleh membela mereka jika kediaman yang dihajati indah khabar dari rupa terutamanya apa yang diuar-uarkan dalam risalah promosi.

Rumah tidak dibina menurut pelan asal, ukuran kawasan tanah tidak menurut keluasan dalam perjanjian, projek rumah terbengkalai, kerosakan bahagian bangunan rumah, kemudahan tidak disediakan atau tidak lengkap dan rumah disiapkan lewat. Selepas berhadapan dengan masalah, barulah TTPR yang ditubuhkan berikutan pindaan Akta Pemajuan Perumahan (kawalan dan pelesenan) 2002 terlintas di fikiran selain mengadu kepada media massa atau orang politik. Pengerusinya, Shamsulbahri Ibrahim yang ditemui di pejabatnya, di Putrajaya baru-baru ini mengakui, biar pun sering dilupakan namun pihaknya tidak pernah jemu turun padang menyedarkan orang ramai tentang peranan TTPR. ''Bila kami pergi kempen atau promosi, barulah orang ramai tahu adanya TTPR dan kita juga buka kaunter pada pameran perumahan atau Ekspo Harta Malaysia (Mapex) tetapi pada masa itu, orang ramai tidak perasan kerana mereka sibuk nak beli rumah.

''Kurang kesedaran itu telah menyebabkan ada kes-kes tuntutan tertentu yang terpaksa kami tolak kerana ia difailkan selepas tempoh 12 bulan daripada tamatnya tempoh jaminan," katanya. Mulai 2007, tempoh jaminan sesebuah rumah adalah 24 bulan selepas tarikh serah kunci dan pembeli masih mempunyai tempoh 12 bulan lagi untuk membuat sebarang tuntutan selepas tempoh jaminan itu tamat. Dengan kata lain, pembeli mempunyai tempoh untuk membuat sebarang tuntutan selama tiga tahun iaitu 24 bulan dalam tempoh jaminan dan 12 bulan lagi selepas tempoh jaminan itu tamat. Bagaimanapun, Shamsulbahri tidak menyalahkan orang ramai dalam hal itu kerana bagi beliau, sudah menjadi lumrah setiap manusia teruja mahu memiliki rumah sendiri. Beliau berkata, ia sejajar dengan langkah kerajaan mewujudkan dasar pembelian rumah mengikut pendapatan penduduk iaitu kos rendah, sederhana dan mewah.

''Kini setiap orang mampu membeli rumah dan kemampuan itu turut menyebabkan harga rumah meningkat setiap tahun. Ditambah pula apabila pemaju memberi nilai tambah lain pada rumah yang dijual seperti percuma pendingin hawa, pemanas air, kolam mandi dan sebagainya," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya bidang kuasa TTPR diperkasakan lagi sebagai satu usaha mendidik pemaju agar bersifat jujur dalam membina rumah. Langkah itu, katanya, amat perlu kerana bidang kuasa TTPR kini hanyalah RM50,000 ke bawah dan ia dilihat tidak lagi sesuai dengan harga rumah yang kebanyakannya RM300,000 ke atas. ''Mungkin jumlah yang sesuai adalah sekitar RM70,000 hingga RM90,000 dan ia sejajar dengan peranan TTPR sebagai alternatif kepada pembeli yang tidak mahu menggunakan mahkamah untuk membuat tuntutan ganti rugi daripada pemaju,'' katanya.

Menurut Shamsulbahri, pembeli rumah yang teraniaya boleh membawa kes ke mahkamah tetapi tribunal boleh menjadi alternatif yang bagus kerana ia mudah, murah dan cepat sejajar dengan akta. Seperkara lagi, katanya, khidmat peguam tidak dibenarkan dalam perbicaraan TTPR kecuali dalam dua keadaan iaitu isu undang-undang yang rumit dan ada pihak akan mengalami keadaan kewangan yang teruk. Selaku individu yang mengetuai TTPR, Shamsulbahri mempunyai impian mewujudkan satu sayap yang akan menguatkuasakan perintah tribunal. Ini kerana, katanya, sejak Januari 2003, TTPR merekodkan sebanyak 4,431 kes ingkar perintah dan kesemuanya telah diserahkan kepada penguatkuasa Jabatan Perumahan Negara KPKT. ''Sejauh manakah ia selesai, kami tidak tahu kerana ia jabatan yang lain," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Mei 2012