Oleh Mior Kamarul Shahid
mkamarul@nstp.com.my
Sebagaimana biasa, ramai di kalangan mereka yang menetap di bandar balik kampung bagi menyambut Aidilfitri dijangka Selasa ini. Mereka balik kampung kerana keluarga mereka – ibu, ayah, datuk, nenek, abang, kakak, adik dan sanak saudara dana sahabat handai berada di kampung. Semua keluarga mereka yang juga berhijrah, bersama-sama memilih untuk berada di kampung. Inilah kesempatan terbaik untuk mengadakan pertemuan serentak. Pertemuan serentak ini hanya berlaku setahun sekali pada hari raya atau bila ada kenduri kendara atau kematian. Itu pun kadangkala pulang dalam keadaan tergopoh-gapah. Senario hari raya tahun ini juga adalah sama. Dalam kepesatan dan pembangunan negara hari ini, definisi balik kampung sudah banyak berubah. Balik kampung tidak semestinya lagi memberi gambaran mengenai pergerakan atau perjalanan seseorang dari bandar, di mana tempat mencari rezeki, pulang ke kampung asal mereka. Istilah balik kampung dalam konteks hari raya atau hari kebesaran ialah pulang ke tempat ramai saudara mara berhimpun, tidak kira lah sama ia pihak suami atau isteri. Contohnya, jika sepasang suami isteri terus kekal di tempat mereka menetap sehingga berpencen dan terus tinggal Kuala Lumpur, kampung bagi anak-anak mereka adalah Kuala Lumpur Ada orang yang pulang dari sebuah kampung lain di mana mereka meneruskan hidup bersama suami atau isteri, ke kampung tempat mereka dilahir dan dibesarkan. Begitu juga, umpamanya, seorang guru yang mengajar di sebuah kampung di pedalaman Sabah atau Sarawak pulang ke rumah keluarganya di sebuah taman perumahan di Johor Bahru. Atau, ada juga yang pulang dari sebuah cawangan universiti di Perlis kerana meneruskan pelajarannya, pulang ke sebuah kampung di Tawau, Sabah.
Dalam konteks balik kampung dalam masyarakat yang hidup berselerakan hari ini, kampung terletak di mana-mana saja. Status bandar besar atau ibu kota juga sudah menjadi kampung. Mereka yang pulang berhari raya di Kuala Lumpur atau Putrajaya juga adalah balik kampung. Dari segi makna asalnya, kampung bermaksud sebuah kawasan penempatan sekumpulan penduduk yang mengamal kehidupan tradisi. Setelah penempatan itu dibuka, penghuninya bermastautin di kampung itu dari satu keturunan kepada satu keturunan yang lain dengan mengamalkan cara hidup mengikut budaya dan kepercayaan masing-masing. Umumnya, penduduk kampung tinggal di rumah yang dibina secara ringkas dan sederhana. Cuma, kebelakangan ini, sudah banyak banglo dibina di kampung-kampung. Rumah di kampung pun sama cantik dengan rumah di kota. Keadaan kebanyakan kampung hari ini berbeza daripada keadaan 40 atau 50 tahun lalu. Rumah mewah sudah menjadi perkara biasa di kampung-kampung. Biasanya, kebanyakan kampung mempunyai kemudahan asas seperti jalan raya, air, elektrik dan talian telefon. Mereka juga mempunyai tempat beribadat masing-masing mengikut penganut agama yang menetap di kampung berkenaan. Bagi umat Islam, setiap kampung mempunyai masjid atau setidak-tidaknya surau. Kawasan tanah rancangan seperti FELDA, FELCRA dan RISDA juga adalah kampung bagi anak-anak peneroka yang menetap di tempat lain. Pada hari-hari biasa, kawasan perumahan tidak dianggap sebagai kampung. Ia mendapat gelaran kampung bila hari kebesaran. Di bandar besar, pinggir bandar dan daerah sudah banyak taman-taman perumahan dengan pelbagai nama. Penghuninya menetap di rumah-rumah teres yang sama bentuknya antara satu dengan lain tetapi tidak mempunyai banyak ruang tanah untuk bercucuk tanam atau menternak ternakan seperti yang biasa di kampung-kampung.
Namun, ciri-ciri hidup tradisional di kampung masih wujud. Bagi anak-anak yang bermastautin di tempat lain pulang ke taman perumahan turut dipanggil 'balik kampung' walaupun kampung mereka itu adalah sebuah taman perumahan. Penempatan rumah pangsa juga ada kampung bagi mereka yang pulang berhari raya di rumah ibu bapa mereka di rumah-rumah flet. Istilah kampung bukan terbatas kepada pulang ke kampung saja tetapi ia mungkin taman perumahan, kawasan mewah atau rumah pangsa. Istilah balik kampung dalam konteks hari raya atau hari kebesaran ialah pulang ke tempat ramai saudara mara berhimpun, tidak kira lah sama ia pihak suami atau isteri. Contohnya, jika sepasang suami isteri terus kekal di tempat mereka menetap sehingga berpencen dan terus tinggal Kuala Lumpur, kampung bagi anak-anak mereka ada lah Kuala Lumpur. Jika kampung ayah mereka di Kelantan, manakala kampung ibu mereka di Kedah, tetapi mereka menetap di Kuala Lumpur, pada setiap hari raya, Kuala Lumpur tidak lagi sesunyi dulu. Kuala Lumpur juga sudah menjadi kampung bagi anak-anak yang dilahir dan dibesarkan di banda raya ini. Keadaan ini berlaku terutama ayah dan ibu mereka tidak lagi pulang berhari raya di kampung halaman mereka setelah kedua-dua ibu mereka sudah tidak ada lagi. Jika pulang ke kampung asal mereka pun, hanyalah untuk menziarah kubur keluarga dan berkunjung ke rumah adik beradik, saudara mara dan kenalan lama yang masih ada di kampung. Balik kampung itu sendiri boleh dianggap sebagai satu pesta yang berlaku pada sebelum dan selepas perayaan hari raya sebenar. Jika menggunakan lebuh raya, kenderaan bersesak-sesak hinggakan perjalanan yang biasanya mengambil masa tiga jam menjadi berbelas-belas jam. Jika menaiki kereta api, bas atau teksi, mereka juga akan berasakan kesesakannya. Apa pun, balik kampung adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh ramai penduduk negara ini.
SUMBER
BERITA MINGGU
11 SEPTEMBER 2011