Tahun
ini merupakan tahun ke-26 saya meraikan Hari Guru. Walau bagaimanapun jika
dikira dari tarikh saya menjadi Guru Sandaran (semasa menunggu keputusan STPM)
tahun ini merupakan tahun ke-30 saya meraikan hari guru. Saya mulakan hari ini
dengan membacakan al-fatihah untuk diri sebagai tanda kesyukuran. Nikmat dan
bahagia menjadi guru tidak dapat ceritakan satu persatu. Guru merupakan
cita-cita saya sejak mula mengenali erti kejayaan. Saya tidak mengimpikan
kerjaya lain walaupun saya tahu kehebatan sesuatu kerjaya kerana saya sedar,
anak orang miskin apatah lagi berasal dari kawasan pedalaman susah untuk pergi
jauh. Kekangan utama bukan keinginan dan keupayaan tetapi masalah kewangan.
Alhamdulillah,
setelah menjadi guru saya berjaya meningkatkan prestasi diri dalam bidang
akademik. Segala perbelanjaan untuk menampung kos pengajian saya menggunakan
gaji yang diperoleh daripada berkhidmat sebagai guru. Saya tidak pernah
mendabik dada tetapi saya amat bersyukur kerana penempatan pertama saya di
salah sebuah sekolah primer terkenal, iaitu SMK Sacred Heart telah memberikan
banyak peluang dan ruang untuk saya berkembang dalam bidang perguruan.
Sepanjang tempoh 19 tahun 5 bulan berkhidmat di SMK Sacred Heart saya pernah
mengajar Tingkatan Peralihan hingga Tingkatan Enam. Saya memegang pelbagai
jawatan atas kepercayaan pihak pentadbir daripada Guru Akademik Biasa hingga
menjadi Guru Kanan Mata Pelajaran.
Saya
menjawat jawatan Guru Cemerlang Bahasa Melayu dan dilantik menjadi Guru
Akademik Tingkatan Enam hingga menjadi Jurulatih Utama Bahasa Melayu STPM
Sarawak dan Malaysia. Saya terlibat dengan pelbagai tugas-tugas penting
berkaitan dengan mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan Enam di peringkat
daerah, negeri, dan kebangsaan. Saya tidak pernah bermimpi dapat duduk semeja
bertukar-tukar pendapat dan pandangan dengan guru-guru dan pensyarah-pensyarah
hebat di Malaysia. Semua ini berlaku dalam hidup saya bagai mimpi tetapi inilah
realiti yang betul-betul saya alami. Benarlah kata orang, jika kita ikhlas
mendidik Allah pasti balas dengan nikmat hidup dalam pelbagai bentuk. Saya
tidak pernah lupa bersyukur kepada-Mu, ya Allah.
Pada bulan Mei 2016, saya dengan berat hati berpindah dari SMK Sacred Heart ke SMK Sibu Jaya yakni sekolah yang mempunyai populasi murid terbesar di daerah Sibu. Jumlah murid di SMK Sibu Jaya mencecah 3000 orang. Saya datang ke SMK Sibu Jaya bukan sebagai guru biasa tetapi menjawat jawatan Penolong Kanan Kokurikulum. Tugas ini merupakan satu lagi tugas yang saya tidak pernah saya duga. Yang mengenali saya memang tahu bahawa saya mempunyai kepakaran dalam mengajar. Jika terlibat dalam kokurikulum, saya hanya jurulatih untuk pertandingan pidato, bahas dan berbalas pantun. Pengalaman di SMK Sacred Heart saya gunakan sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik. Pada awalnya, saya takut dengan jawatan PKKK ini, saya takut saya akan gagal. Walau bagaimanapun, saya cekalkan hati dan bulatkan azam untuk menerima amanah ini dengan tangan terbuka.
Alhamdulillah,
saya dikelilingi oleh ramai guru yang hebat dan komited di SMK Sibu Jaya.
Mereka membantu saya dalam banyak perkara, begitu juga dengan Pengetua pada
masa itu Encik Yusri Azhar bin Takip. Beliau memang tahu saya bukan guru yang
mahir dalam kokurikulum tetapi beliau selalu membimbing dan memberikan
dorongan. Sepanjang 4 tahun di SMK Sibu Jaya, banyak jugalah kejayaan dalam
bidang kokurikulum sekolah peroleh. SMK Sibu Jaya merangkul Naib Johan Sekolah
Cemerlang Kokurikulum Peringkat Kebangsaan (Kategori Luar Bandar) pada tahun
2017 dan 2018.
Pada
tahun ke-3 di SMK Sibu Jaya, saya sudah mulai minat menjadi Penolong Kanan
Kokurikulum kerana tertarik dengan sokongan ramai guru. Siapa sangka siapa
menduga, semasa orang sibuk berkurung dek bahana Covid-19, saya menerima surat
untuk berpindah ke SMK Durin pada Mei 2020. Ketika itu, saya sedang mengikuti
Kursus NPQEL dan berhempas pulas menyiapkan tesis PHD. Perjalanan hidup saya
agak mencabar sewaktu mula-mula sampai ke SMK Durin kerana Pengetua, Encik Law
Tua Beng dilantik menjadi SiPartner di Pejabat Pendidikan Sibu. Saya pula
dilantik memangku jawatan Pengetua. Cabarannya hanya Tuhan yang tahu. Setiap
hari saya kena susun jadual sebagai peserta kursus NPQEL, pelajar PHD dan
pemangku Pengetua. Ada kalanya, saya tertidur keletihan apabila balik ke rumah.
Pengalaman ini semua amat berharga buat saya. Saya tulis di diari perjalanan
hidup kerana bukan semua guru akan melalui jalan seperti yang saya lalui.
Hari
ini, 16 Mei 2023, saya masih di SMK Durin. Saya bahagia kerana guru-guru yang
bekerja dengan saya amat hebat dan komited. Saya juga mempunyai pentadbir yang
amanah, rajin, dan berwawasan. Kami sentiasa seia sekata sehati sejiwa mendidik
dan mengasuh anak murid seramai 577 orang. Saya mohon agar saya terus diberikan
kesihatan dan kesejahteraan agar dapat terus berbakti hingga hari bersara. Saya
suka menjadi guru. Walaupun bukan jutawan di dunia tetapi saya yakin saham
akhirat yang saya kumpul cukup sebagai bekalan apabila sampai waktunya. Saya
bukanlah guru hebat. Saya tidak pernah ada anugerah. Akan tetapi, dengan rezeki
yang diperoleh saya tidak pernah lupa untuk terus belajar dan belajar agar
dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada nusa dan bangsa.Saya tidak impikan
anugerah kerana anugerah terindah yang saya dapat ialah kejayaan anak-anak
didik saya. Sejarah yang paling hebat ialah apabila saya berjaya mendidik hingga
mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri dan menjadi insan yang berguna kepada
nusa dan bangsa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan