JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 November 2011

ISU BAHASA : NILAI BAHASA MELAYU DI IBU KOTA KUALA LUMPUR


Usaha kerajaan dalam memartabatkan bahasa Melayu nampaknya tidak begitu dipedulikan oleh sesetengah kelompok di ibu negara yang lebih mengagungkan bahasa asing, terutama bahasa Inggeris. Kuala Lumpur merupakan lokasi terpenting bagi negara ini, jadi sudah sewajarnya ia menjadi tempat untuk menggambarkan identiti sebenar Malaysia dan rakyatnya, tetapi itu tidak berlaku apabila kita melihat kepada nama-nama tempat atau bangunan komersial yang kebanyakannya dalam bahasa Inggeris. Keadaan ini dapat dilihat apabila semakin banyak projek komersial yang menggunakan bahasa asing bagi menamakan tempat serta projek mereka yang sekali gus menafikan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara ini. Tinjauan di sekitar ibu negara mendapati banyak projek komersial yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai nama bangunan dan kawasan komersial yang dimajukan oleh pihak swasta.

Hinggakan kadang-kadang terasa kita seperti berada di United Kingdom, Itali, Sepanyol mahupun Hong Kong. Selain itu, beberapa papan iklan atau sepanduk iklan bersaiz gergasi turut sama ‘bersekongkol’ dengan perbuatan mengagungkan bahasa Inggeris ini. Antara tempat yang dapat kita lihat nama-nama asing ini adalah sekitar Jalan Chan Sow Lin, Jalan Duta, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Sultan Ismail, Jalan Loke Yew dan Lembah Pantai. Nama-nama dalam tempat dalam bahasa Inggeris ini dapat dilihat pada beberapa bangunan baru seperti Southgate, Viva Home, The Reef dan projek pembangunan Bangsar South. Walau apa pun alasan yang diberikan oleh pihak-pihak terbabit, sedar atau tidak mereka sendiri telah meletakkan bahasa rasmi negara di tempat yang lebih rendah berbanding bahasa asing. Adakah mereka yang memajukan projek-projek ini malu untuk menggunakan bahasa kebangsaan atau mungkin juga mereka menganggap bahasa Melayu tidak mempunyai nilai komersial.

Atau mereka sebenarnya tidak kreatif untuk mencari perkataan-perkataan yang enak didengar dan bernilai komersial untuk menamakan projek dimajukan mereka. Sebenarnya, dengan sedikit kreativiti dan memerah akal maka dapatlah kita nama-nama indah seperti Suria KLCC, Menara Dayabumi, Mutiara Damansara, Aman Suria Damansara atau Awana Genting Highlands contohnya. Seorang jurutera ukur tanah, Nashrul Adiey Habib, 33, berkata, semakin pesat pembangunan di negara ini, semakin terhakis identiti rakyat dan budayanya. Katanya, banyak tempat yang menggunakan bahasa asing yang menyebabkan kita umpama berada di negara luar dan bukan di bumi sendiri. Kerajaan haruslah memainkan peranan dengan mewajibkan projek-projek komersial ini menggunakan bahasa Melayu supaya bahasa ibunda ini dapat diperkasakan. Benar kata Nashrul Adiey, kerajaan melalui agensi-agensinya yang sepatutnya memainkan peranan dan menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memastikan bahasa Melayu berada pada tempatnya.

Sementara itu, seorang pemandu teksi, K. Parameswaran, 40, pula berpendapat, nama-nama tempat tersebut haruslah dibuat dalam dwi bahasa. Ini adalah bagi memudahkan pelancong-pelancong dari luar untuk memahami nama tersebut supaya mereka tidak keliru atau sesat dan sekali gus dapat menarik pelancong ke dalam negara. “Pengalaman saya apabila melancong di satu tempat di India yang hanya mempunyai papan tanda dalam bahasa tempatan di situ memang menyusahkan saya sebagai pelancong. Jadi saya berharap agar di Malaysia kita dapat buat dalam dwibahasa untuk memudahkan pelancong luar,” ujarnya. Seorang guru, Siti Nor Hamizah Hashim, 26, berkata, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi haruslah diutamakan dalam pemilihan nama projek komersial untuk menunjukkan identiti negara. Menurutnya, kita tidak sepatutnya menggunakan terlalu banyak bahasa Inggeris kerana negara lain seperti Thailand, Korea Selatan dan Jepun juga tetap berjaya walaupun masih mengekalkan serta mengutamakan bahasa kebangsaan mereka. “Mungkin pemaju-pemaju projek ini mahukan nilai komersial yang tinggi sehingga menyebabkan mereka memilih bahasa Inggeris bagi menarik pelabur dari luar negara. “Namun, pihak luar apabila datang ke negara ini perlulah mengikut cara kita dan bukan kita mengikut mereka pula,” tegasnya.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
18 NOVEMBER 2011


ISU IPT : PELAJAR YANG GIAT BERPOLITIK, HARUSLAH BERILMU DAN MATANG

Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my


MUZIUM BABA NYONYA DI MELAKA

Ramai graduan terbabit politik cetek pengetahuan, gagal berhujah secara ilmiah

Adakah  pelajar universiti berhak untuk bebas berpolitik; berhak untuk menyertai, memegang jawatan politik atau bergiat aktif dalam politik di dalam atau di luar kampus? Sebagai seorang yang agak lama dalam profesion pendidikan di universiti saya berasakan satu keperluan untuk saya berkongsi dengan pembaca mengenai pembabitan pelajar dalam politik. Saya melihat perkara ini daripada kaca mata seorang pendidik, tanpa sebarang kecenderungan atau prejudis kepada mana-mana parti politik. Apa yang ingin saya kongsi ialah pengamatan dan pendapat saya. Kebebasan berpolitik di universiti tidak boleh menjanjikan pencapaian yang baik dalam apa juga bidang, termasuk politik Disebabkan kursus yang saya mengajar membabitkan persoalan umum yang berkisar mengenai pentadbiran negara dan penguatkuasaan undang-undang, perbincangan dalam kelas memerlukan pemikiran kritis. Sudah tentu perbincangan sebegini menjadi hangat dengan pandangan, sokongan atau hentaman kepada pandangan ahli politik atau falsafah perjuangan parti politik.

Dalam proses ini, pelajar bukan saja perlu mengetahui undang-undang yang tertulis semata-mata, tetapi mereka juga hendaklah sentiasa sedar dan memahami salasilah dan falsafah undang-undang itu, seperti memahami persoalan kenapa sesuatu undang-undang itu diwujudkan. Kedua-dua perkara ini memerlukan perhatian pelajar kepada apa yang tertulis dalam undang-undang dan juga apa yang tidak tertulis. Melalui pengalaman saya, pelajar tidak begitu sukar untuk memahami atau mengingati apa yang tertera. Ia senang untuk dibaca dan dihafal.  Namun, pelajar sukar memahami falsafah di sebalik kewujudan sesuatu undang-undang. Bagi memahami falsafah itu, pelajar bukan saja mesti merujuk kepada penulisan dalam bidang kursus yang dipelajarinya, tetapi ia juga memerlukan pelajar mendalami apa yang tidak terdapat dalam buku rujukan utama. Pelajar harus membaca material di luar bidang.

Ramai pelajar sebenarnya gagal membaca buku atau terbitan di luar bidang kursus yang diambil, bahkan ada pelajar yang tidak membaca buku dan kes wajib dibaca dalam kursus yang diambil. Hakikatnya ramai pelajar yang hanya membaca nota yang dibuat oleh senior atau rakan sekelas. Ada juga yang hanya merujuk kepada nota power point yang disediakan pensyarah. Ramai antara mereka hanya menghafal dan mengeluarkannya kembali ke atas kertas jawapan dalam dewan peperiksaan. Selain itu, ada segelintir pelajar yang tidak menghadiri kuliah kerana aktiviti di luar. Dalam banyak keadaan pelajar ini gagal membahagikan masa dengan baik. Walaupun keadaan ini bukan saja berlaku kepada pelajar yang aktif berpolitik, mereka adalah sebahagian daripadanya. Saya tidak nafikan bahawa ada pelajar yang begitu berwibawa dan matang dalam melihat dan membuat penilaian berkaitan politik serta bijak membahagi masa, tetapi bilangan pelajar seperti ini amat sedikit.

Bagi pelajar yang terbabit dengan politik, bilangan yang lebih ramai ialah mereka yang taksub berpolitik, tetapi tidak begitu suka membaca dan tidak begitu bijak membahagi masa. Sekiranya pelajar mahu bergiat aktif menyertai parti politik di luar kampus, ia memerlukan kematangan dan kefasihan serta kebijaksanaan. Pelajar juga bukan saja perlu mengetahui sesuatu atas apa yang tertera dalam bentuk tulisan, tetapi juga harus dapat menilai dan memahami hasrat dengan ilmu pengetahuan. Mereka harus berbeza daripada orang lain yang tidak berpeluang menuntut di menara gading. Kualiti ilmu mereka harus lebih tinggi. Sudah tentu setiap individu, termasuk pensyarah di universiti yang sayangkan generasi muda dan masa depan mereka, tidak mahu melihat generasi akan datang berterusan berpolitik separa matang. Ini adalah untuk negara, bukan untuk diri sendiri. Kita memerlukan ahli politik yang mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi, banyak membaca, bijak dan memahami serta mempunyai falsafah yang tepat mengenai sesuatu perkara.

Selepas berkhidmat kira-kira 20 tahun di universiti, saya fikir, penuntut universiti masih lagi belum bersedia menghadapi sepak terajang arena politik sebenar. Dalam jangka itu juga saya melihat pelajar yang aktif dalam politik ketika di universiti menceburi politik selepas tamat pengajian. Ada di antara mereka menjadi wakil rakyat. Secara peribadi, saya masih belum berpuas hati dengan pencapaian mereka di bidang politik walaupun sudah lama berkecimpung dalam alam politik. Mereka masih gagal berhujah secara ilmiah atau menghulur pandangan bijaksana. Bukan tujuan saya merendahkan kebolehan pelajar universiti. Ini realiti. Oleh kerana putihnya kanvas kehidupan pelajar dan hijaunya pengalaman mereka, mereka begitu rapuh. Hakikatnya di sini, walaupun bermula cepat di dalam politik, ia tidak menjamin pelajar menjadi ahli politik yang hebat atau bijaksana apabila benar-benar terbabit dalam politik selepas tamat pengajian nanti. Kebebasan berpolitik di universiti tidak boleh menjanjikan pencapaian yang baik dalam apa juga bidang, termasuk politik. Apa yang terlebih utama ialah ilmu pengetahuan – pelajar akan lebih bijaksana.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 NOVEMBER 2011