JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



14 Oktober 2010

ISU SOSIAL : HIDUP KANAK-KANAK TERANCAM

Sidang Kemuncak Wanita-Wanita Pertama 2010 yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir di Kuala Lumpur Rabu lalu menjadi medan bagi Wanita Pertama dari pelbagai negara berkongsi pengalaman mengenai pelbagai usaha membentuk dan menyediakan kanak-kanak di negara masing-masing menjadi pemimpin akan datang. Kesemua Wanita Pertama yang berucap pada persidangan berkenaan bersetuju bahawa pendidikan dan pendedahan kepada pelbagai kemahiran sebagai aspek yang perlu diberikan keutamaan dalam melatih kanak-kanak supaya mampu menjadi pemimpin. Namun, ada juga Wanita Pertama dari beberapa negara yang membangkitkan isu berbeza yang mungkin tidak dihadapi oleh golongan kanak-kanak di rantau ini. Antara isu-isu yang dimaksudkan ialah perubahan iklim, perang saudara dan pengaruh keganasan yang mengancam golongan kanak-kanak di negara mereka.

Wanita Pertama Republik Kiribati, Meme Tong dalam ucapan ringkasnya berkata, isu alam sekitar seperti perubahan iklim perlu diberi perhatian demi memastikan kanak-kanak hari ini terutamanya di negaranya mempunyai tempat tinggal yang selamat dan selesa pada masa akan datang. ''Perubahan iklim merupakan satu ancaman besar kepada golongan kanak-kanak dan Kiribati sebagai sebuah negara pulau kini menghadapi masalah peningkatan aras laut dan pelbagai hakisan. ''Kedudukan pulau kami kini hanyalah dua meter dari aras laut dan ada kawasan kampung di Kiribati yang terpaksa dipindahkan kerana masalah tersebut. Justeru, saya merayu kepada semua Wanita Pertama yang hadir pada sidang kemuncak ini untuk memberi perhatian kepada masalah perubahan iklim kerana ia melibatkan masa depan kanak-kanak di negara yang terlibat," jelasnya.

Jika tidak, tambah Tong, penduduk Kiribati berisiko kehilangan kampung halaman malah negara mereka sendiri jika pulau berkenaan tenggelam satu hari nanti. Kiribati adalah sebuah negara pulau seluas 3.5 juta kilometer persegi yang terletak di Lautan Pasifik. Sementara Menteri Kebajikan dan Keselamatan Sosial Sudan, Amira Al-Fadil Mohamed Al-Fadil dalam ucapannya berkata, Sudan mewujudkan talian bantuan kepada golongan kanak-kanak di negaranya bagi membantu mereka yang menjadi mangsa perang saudara. ''Sebuah jawatankuasa peringkat kebangsaan juga ditubuhkan untuk melaksanakan pelbagai program dan memelihara golongan kanak-kanak di Sudan daripada direkrut sebagai tentera kanak-kanak oleh kumpulan pemberontak.

''Kempen kesedaran mengenai hak kanak-kanak juga giat dijalankan bagi memelihara golongan ini daripada menjadi mangsa pertempuran yang berlaku," tambah beliau. Menteri Wanita, Kanak-Kanak, Keluarga dan Warga Emas Tunisia, Bebia Chichi berkata, Tunisia mementingkan aspek hak asasi manusia dan perundangan kepada golongan kanak-kanak di negara tersebut. ''Komitmen ini dapat dilihat melalui mahkamah untuk kanak-kanak yang diwujudkan supaya golongan ini boleh mendapat keadilan," jelasnya. Sementara Pengerusi Jawatankuasa Keluarga, Wanita dan Hal Ehwal Kanak-Kanak Azerbaijan, Hijran Huseynova berkata, keselamatan golongan kanak-kanak di negaranya terancam ekoran konflik bersenjata yang berlaku di kalangan jiran terdekat Azerbaijan. ''Cabaran kerajaan Azerbaijan ialah memastikan semua kanak-kanak mendapat perhatian yang secukupnya dan bukannya terbiar merayau di jalan-jalan raya serta tidak mendapat pendidikan," jelasnya.

Wanita Pertama Mauritius, Sarojini Jugnauth berpendapat kerajaan, sekolah dan ibu bapa perlu memainkan peranan masing-masing dalam membentuk kanak-kanak sebagai pemimpin masa depan. ''Di Mauritius, kanak-kanak yang tinggal di bandar dan di perkampungan nelayan di pesisir pantai adalah sangat berbeza. Walau apa pun persekitaran mereka, kanak-kanak perlu diberikan galakan untuk membuat pilihan sendiri dan mencorakkan kehidupan yang mereka mahukan," katanya. Di akhir sesi perkongsian pengalaman oleh delegasi dari pelbagai negara, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang mempengerusikan majlis tersebut membacakan deklarasi sidang kemuncak berkenaan yang menggariskan tiga aspek yang perlu dipenuhi iaitu pendidikan, perhatian keluarga dan sokongan komuniti dalam memelihara kepentingan golongan kanak-kanak.  ''Wanita Pertama yang terlibat dalam sidang kemuncak ini juga akan bekerjasama dalam menggerakkan pelbagai sumber dan membolehkan matlamat bersama dicapai," katanya. Bercakap kepada pemberita, Rosmah menjelaskan, beliau berpuas hati dengan sidang kemuncak yang berlangsung dan cadangan turut dikemukakan supaya persidangan berkenaan menjadi acara dwitahunan dengan Malaysia sebagai tuan rumah. Rosmah berharap pada sidang 2012 jumlah penyertaan akan meningkat terutamanya di kalangan wanita pertama dari negara maju. ''Deklarasi yang diumumkan pada hari ini akan disampaikan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secepat mungkin," jelas isteri Perdana Menteri.


Hidup kanak-kanak terancam

Oleh ROHANI IBRAHIM
UTUSAN MALAYSIA
14 OKTOBER 2010

ISU PENDIDIKAN : MEMPERKASA PENDIDIKAN VOKASIONAL

Isu pendidikan sejak kebelakangan ini sering menjadi paparan media dan antara yang terbaru diperkatakan ialah soal transformasi dalam pendidikan vokasional. Atas hakikat penting mengarusperdanakan pendidikan vokasional, maka kena pada masanyalah satu transformasi jitu mesti diambil bagi mengangkat martabat pendidikan vokasional sebagai aliran pendidikan yang menjadi pilihan pelajar.  Kemajuan pesat dalam sektor industri yang sedang rancak berjalan sekarang sudah pasti akan mengalami gangguan sekiranya tenaga mahir tidak dapat disediakan. Justeru, langkah transformasi itu mesti digerakkan dengan lebih tersusun dan memerlukan perancangan yang rapi.

Soal mengapakah penyertaan pelajar masih rendah dalam bidang vokasional itu dapat diatasi sekiranya segala informasi selengkapnya dapat diberikan lebih awal kepada para pelajar. Selain itu, pihak Kementerian Pelajaran melalui sekolah seharusnya membetulkan persepsi negatif terhadap pelajar bidang vokasional. Kerana selama ini, umum menganggap para pelajar vokasional itu tergolong dalam kalangan yang lemah. Jika halangan persepsi sebegini dapat di atasi, tidak mustahil, pendidikan vokasional menjadi rebutan pelajar sebagaimana yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara Eropah. Di sana, penyertaan pelajar dalam bidang vokasional sudah mencapai 50 peratus. Dengan ura-ura untuk menjadikan bidang vokasional sebagai mata pelajaran di sekolah rendah lagi, diharapkan ia akan menjadi faktor pemangkin kepada tumbuhnya minat mendapat generasi muda kepada pendidikan vokasional itu.

Tetapi, satu hal seharusnya difikirkan oleh kerajaan ialah transformasi pendidikan aliran vokasional biarlah dilaksanakan dalam kerangka yang menepati kehendak pasaran kerja di bidang industri. Oleh itu, subbidang mata pelajaran hendaklah menjuruskan kepada keperluan semasa dan anggaran masa depan. Dalam merencanakan perkara ini, peranan sektor swasta (industri) seharusnya dibawa bersama dalam transformasi tersebut. Contoh peranan yang boleh dimainkan oleh sektor industri dalam merancakkan pendidikan vokasional ialah menjemput tenaga pakar industri sebagai tenaga pengajar jemputan di sekolah-sekolah vokasional. Dengan kaedah seperti itu, pendedahan awal dan maklumat secara langsung dapat disalurkan kepada pelajar. Selain itu, para lepasan pendidikan vokasional juga hendaklah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan cadangan menaikkan taraf politeknik sebagai universiti baru-baru ini, maka dirasakan ruang boleh disediakan untuk pelajar aliran vokasional itu menyambung pendidikan mereka.

Jadi, kita berharap kesungguhan kerajaan dalam menyemarakkan pendidikan vokasional akan memberi ruang dan peluang yang lebih besar kepada para pelajar. Rancangan penstrukturan semula sistem pendidikan vokasional pasti ditunggu-tunggu oleh semua pihak kerana semua ingin melihat bidang ini menjadi teras utama dalam sistem pendidikan negara. Kita juga berharap kerajaan melalui Bajet 2011 akan menyalurkan peruntukan yang lebih besar agar segala perancangan dan agenda mengarusperdanakan pendidikan vokasional tidak terbantut.


Oleh MOHD. RIZAL AZMAN RIFIN Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal,


Politeknik Mukah, Sarawak.