JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



23 November 2010

PESANAN BUAT PELAJAR-PELAJAR TERSAYANG


Assalamualaikum, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia,

Cikgu Zul maklum bahawa sedikit sebanyak tekanan yang anda semua hadapi telah hilang selepas menduduki peperiksaan STPM bagi kertas Pengajian Am 2 dan Bahasa Cina sebentar tadi. Cikgu Zul harap tahap keyakinan anda semua semakin bertambah untuk menduduki peperiksaan STPM bagi Bahasa Malaysia Kertas 2 pada petang esok (24.11.2010). Untuk itu, Cikgu Zul nak beri beberapa peringatan penting kepada anda semua sebagai bekalan terakhir sebelum bertempur untuk kali kedua pada petang esok.

BAHAGIAN A : PENULISAN KARANGAN

01. Pilih soalan yang senang untuk mendapat markah. Misalnya, soalan yang menggunakan kata kunci "Pada pendapat anda", "Bincangkan", atau "Berikan pandangan anda". Elakkan daripada menjawab soalan yang menanya "sejauh manakah anda bersetuju" atau "Bersetujukah anda".

02. Berikan isi karangan antara 5 hingga 6 isi. Huraikan dengan baik. Ingat 1 isi 1 perenggan. Cuba elakkan memberikan dua isi dalam satu perenggan. Jika isi 1 ialah tentang ibu bapa maka huraian haruslah berkisar tentang ibu bapa sahaja. Isi seterusnya ialah rakan sebaya. Begitulah seterusnya.

03. Jangan menulis kurang daripada 650 patah perkataan. Jangan pula menulis melebihi 700 patah perkataan. Arahan ini wajib dipatuhi oleh calon. Kegagalan memahami arahan ini menyebabkan markah akan ditolak dan ada bahagian karangan anda yang tidak disemak.

04. Jangan terlalu taksub dengan soalan ramalan. Yang penting ialah teknik mengarang yang betul. Jawapan jangan terpesong. Huraikan karangan dengan baik, maka anda akan mendapat markah yang baik juga.

05. Bahagian A hendaklah dijawab dengan teliti dari pendahuluan hingga penutup. Bahagian ini penting kerana markah yang diperuntukan ialah 50%. 

06. Jangan lakukan terlalu banyak kesalahan ayat atau kesalahan sintaksis. Pastikan anda tidak memulakan ayat dengan "Hal ini kerana", :"Justeru itu", "Oleh kerana itu", "Malahan", "Maka", "Tetapi", "Pada masa kini" dan sebagainya.

07. Buat rangka dahulu sebelum menulis untuk memastikan tidak ada pengulangan isi dan huraian. Jangan terus menulis tanpa berpandukan rangka karangan. 

BAHAGIAN B : RUMUSAN KARANGAN

01. Tulis rumusan anda dalam tiga perenggan dan mengikut jumlah perkataan yang diminta dalam arahan. Jumlah patah perkataan hendaklah ditulis di akhir jawapan anda.

02. Bacaan kali pertama ialah untuk memahami petikan secara keseluruhan.

03. Bacaan kali kedua barulah untuk mengenal isi utama, isi sampingan, dan isi penutup dalam petikan tersebut.

04. Tulis isi yang telah diperoleh menggunakan ayat sendiri tanpa ada penambahan isi oleh calon. Anda tidak boleh menulis isi tersirat yang tidak dinyatakan dalam petikan.

05. Isi rumusan hendaklah ditulis mengikut urutan dari A hingga Z dengan ayat yang gramatis dan tatabahasa yang betul.

06. Elakkan daripada memasukkan contoh, statistik, komen, ulasan, laporan, peribahasa dalam rumusan anda. Anda cuma perlu memasukkan isi-isi penting dalam petikan sahaja.

07. Buat rumusan dengan teliti kerana anda boleh mendapat markah yang banyak dalam bahagian ini jika dibandingkan dengan bahagian-bahagian yang lain.

BAHAGIAN C : ALIH BENTUK TEKS

01. Jawapan anda hendaklah dalam ayat aktif atau ayat penyata sahaja.

02. Alihkan petikan mengikut urutan sehingga habis dengan menggunakan bahasa yang betul.

03. Ayat anda hendaklah gramatis.

04. Jangan masukkan frasa yang berupa laporan atau komen kerana jawapan sebegini adalah bersifat ulasan calon tersebut.

05. Kalau boleh baca petikan sebanyak 2 kali. Bacaan pertama untuk memahami maksud keseluruhan. Bacaan kedua barulah anda boleh mula menjawab.

06. Jangan sesekali menggunakan penanda wacana yang menjurus kepada penyataan memberi pendapat sendiri seperti "pada pendapat saya" dan sebagainya.

07. Jangan menyalin petikan secara bulat-bulat. Anda hendaklah membuat alih bentuk teks tersebut.

BAHAGIAN D : ANALISIS KESALAHAN BAHASA

01. Kesan  dahulu kesalahan kata sendi nama dalam petikan tersebut.

02. Pastikan anda mengesan sekurang-kurangnya 5 kesalahan bahasa dalam petikan. Jika lebih pun tidak mengapa. 

03. Apabila anda tahu kesalahan maknanya anda tahu memberikan sebab kesalahan dan membetulkan kesalahan tersebut. Buat kerja dengan teliti, jangan dibiarkan kosong pada ruangan sebab kesalahan.

* Pelajar-pelajar SMK Sacred Heart, sila baca koleksi kesalahan bahasa yang telah diberikan kepada anda.

PELAJAR-PELAJAR SEKALIAN

01. Pastikan anda menjawab semua bahagian A, B, C, dan D.

02. Pastikan anda cukup masa menjawab.

03. Pastikan anda sentiasa tenang dan boleh berfikir.

04. Pastikan anda datang awal ke pusat peperiksaan.

05. Pastikan anda berdoa sebelum menduduki peperiksaan.

06. Pastikan anda yakin dengan diri anda sendiri.

07. Pastikan anda mendapat Gred A dalam Bahasa Malaysia.


SEMOGA BERJAYA
JANGAN TERLALU PERCAYA KEPADA RAMALAN TETAPI KUASAILAH TEKNIK. ITU LEBIH AFDAL DAN BERMANFAAT UNTUK ANDA.