11 November 2025

POHON RENDANG TUMBUH DARI BENIH DERITA


Di ceruk pedalaman yang jauh dari tar jalan dan huru-hara kota, terdapat sebuah lembah yang sering diselimuti kabus pada waktu pagi. Kabusnya tebal, seakan menyembunyikan segala derita penduduknya daripada pandangan dunia luar. Di sinilah sebuah pondok usang berdiri, bagai seorang tua yang melawan hembusan angin terakhir. Pondok itu tempat tinggal seorang anak bernama Heikal Fahmy, anak kecil yang lahir dalam kepompong kemiskinan, tetapi di dalam hatinya tersembunyi matahari yang sedang mencari ruang untuk bersinar.

Hidup Heikal bagaikan sungai yang mengalir di celah batu. Airnya tetap mengalir, walaupun sering dihimpit kerasnya takdir. Setiap pagi, sebelum cahaya matahari memancar dan burung pun belum memulakan hari, Heikal sudah bangun membantu ibunya mengutip pucuk paku di tebing sungai. Sungai itu menjadi saksi kepada keluhannya yang tidak pernah diluahkan, kepada doanya yang tidak pernah berbunyi. Dia mengutip pucuk paku itu seperti mengutip impian kecil yang masih hijau dan lembut.

Ayahnya pula sering terbaring akibat sakit yang panjang. Ada hari-hari di mana Heikal menatap wajah ayahnya yang pucat lalu bertanya dalam hati, “Bilakah semua ini akan berakhir?” Namun dia tidak pernah membenarkan air mata jatuh. Dia tahu keluarganya memerlukan dirinya untuk kuat.

Sebagai seorang murid, perjalanan ke sekolah bukanlah mudah. Dia meredah jalan tanah merah yang kadang-kadang bertukar bak lautan coklat setiap kali hujan menggila. Setiap langkahnya mengeluarkan bunyi lecak yang perlahan, seakan bumi sendiri memahami perit jerihnya. Kasutnya robek, tali begnya putus, bajunya lusuh. Namun jiwanya tetap teguh, tidak koyak walau diuji.

Setibanya di sekolah, Heikal duduk di hadapan. Mata kecilnya bersinar seperti bintang yang baru muncul di langit malam. Dia mencatat, dia mendengar, dia menyerap setiap ilmu seperti tanah kering meneguk air hujan pertama selepas kemarau panjang. Guru-gurunya melihat sinar itu, sinar yang sukar ditemui dalam dunia murid yang punya segala.

Namun hidup tidak pernah memberi ruang yang luas untuknya. Ketika usianya meningkat, ujian datang seperti ribut yang tidak diundang. Ayahnya menghembuskan nafas yang terakhir pada suatu malam yang hujan lebat. Langit menangis, bumi bergetar, dan Heikal tersungkur di sisi jenazah. Dia merasakan separuh daripada dirinya turut dikebumikan bersama ayahnya.

Pada malam itu, dia memandang langit gelap dan berbisik dalam hati, “Jika dunia mahu merobohkan aku, biarlah aku rebah atas jalan perjuangan. Aku tidak akan kalah.”

Selepas kematian ayahnya, hidup menjadi semakin menghimpit. Dia bekerja sambilan selepas sekolah. Dia angkut kotak, dia basuh pinggan, dia lap meja, dia pikul beban yang sepatutnya bukan untuk bahunya yang kurus itu. Pada malam hari, dia belajar di bawah cahaya lampu minyak tanah yang malap, seakan bintang yang tinggal satu di langit.

Ada hari dia terlalu letih untuk berdiri, namun dia tetap belajar. Dia tahu impian adalah pokok yang perlu disiram walaupun dengan air mata dan keletihan.

Walaupun sering dihina kerana pakaian buruk dan tubuh kurus, Heikal tetap berjalan dengan kepala tegak. Dia tahu nilai seorang manusia tidak terletak pada bajunya, tetapi pada impiannya.

Akhirnya, hari yang dinanti tiba. Keputusan peperiksaan diumumkan. Nama Heikal Fahmy bergema di seluruh dewan sekolah sebagai antara pelajar terbaik. Pada ketika itu, dia berdiri di pentas bagai pahlawan yang pulang daripada peperangan panjang. Sijil di tangan, air mata mengalir di pipinya. Dia mendongak ke langit, seakan berkata kepada arwah ayahnya, “Aku sudah berjaya melewati badai ini.”

Kejayaan itu membuka jalan ke universiti. Di menara ilmu itu, Heikal tumbuh menjadi seorang lelaki yang matang dan berhati halus. Dia memilih menjadi guru kerana di dalam hatinya, pendidikan adalah pelita yang pernah menyelamatkan dirinya daripada gelap yang panjang.

Apabila kembali menjadi guru, Heikal tidak hanya mengajar menggunakan buku, tetapi menggunakan pengalaman hidup. Kata katanya lembut, nasihatnya jujur, dan setiap perbuatannya mencerminkan kasih yang lahir daripada luka. Dia memberi bantuan kepada murid yang memerlukan, bukan kerana kasihan, tetapi kerana dia memahami peritnya hidup tanpa apa apa.

Tahun demi tahun, aura kepimpinannya semakin menyerlah. Dedikasi dan ketulusannya akhirnya membawanya ke satu kedudukan yang tidak pernah dia impikan: Pengetua di Sekolah Menengah Kebangsaan Zulkarnain Farihin.

Pada hari pertama dia melangkah masuk ke pejabat pengetua, angin yang bertiup seakan memberi salam hormat. Dia berdiri lama, melihat sekeliling. Hatinya digenggam rasa syukur yang tidak mampu digambarkan dengan kata kata.

Heikal tidak pernah lupa dari mana dia datang. Dia menjadi pengetua yang memayungi anak anak miskin dengan kasih dan harapan. Dia melancarkan program bantuan makanan, kelas bimbingan percuma, tabung serba guna, dan pelbagai inisiatif yang memberi peluang kepada murid kurang berkemampuan untuk terus bermimpi.

Kadang kadang apabila melihat murid yang datang dengan pakaian lusuh dan mata yang redup, hatinya direntap memori lamanya. Dia merasakan dirinya sedang melihat pantulan masa lalunya.

Dan setiap kali itu berlaku, dia berjanji dalam hati,
“Aku tidak akan biarkan sesiapa pun berjalan dalam gelap seperti yang pernah aku lalui.”

Begitulah riwayat seorang anak yang pernah hidup di lembah derita, namun bangkit menggapai bintang. Heikal Fahmy adalah bukti bahawa kemiskinan bukan tembok, tetapi batu loncatan untuk siapa yang berani bermimpi.

Dia pernah kecil dan rapuh, namun hari ini dia menjadi pohon rendang yang menaungi ratusan anak yang dahaga harapan.

Langit yang pernah gelap itu akhirnya cerah, kerana ada seorang insan yang memilih untuk menjadi matahari.

"ANAK DUNIA TANPA PETA" : KE MANAKAH ARAH PENDIDIKAN?

 


Pada masa ini, dunia sedang berubah dengan kelajuan yang mengatasi jangkaan manusia. Landskap sosial, ekonomi, dan teknologi berkembang dalam bentuk yang tidak linear. Dalam keadaan ini, generasi yang sedang membesar hari ini bakal melangkah ke sebuah dunia yang tidak mempunyai peta tetap. Paradigma kerjaya, struktur masyarakat, dan cara manusia berfikir telah memasuki fasa baharu yang lebih kompleks. Pendidikan menjadi benteng terakhir untuk menyediakan mereka menghadapi masa depan yang tidak menentu. Namun persoalan yang semakin meresahkan ialah adakah sistem pendidikan kita mampu bergerak seiring perubahan yang pesat ini.

Dewasa ini, ramai tokoh pendidikan menekankan bahawa sekolah bukan lagi pusat penghantaran fakta. Sekolah merupakan medan pembentukan insan yang mampu membaca keadaan, menafsir makna, dan membuat keputusan dalam situasi yang berubah. Sehubungan dengan itu, peranan pendidikan telah berganjak daripada sekadar penyampaian ilmu kepada pembinaan keupayaan manusia. Perubahan ini menuntut sekolah untuk menilai kembali pendekatan yang selama ini menjadi amalan.

Berdasarkan pemerhatian harian, murid hari ini lahir dalam ekosistem digital yang membuat mereka jauh lebih terdedah kepada maklumat berbanding generasi terdahulu. Akses kepada teknologi memberi kelebihan tertentu, tetapi pada masa yang sama melahirkan cabaran baharu. Antara cabaran yang semakin ketara ialah tumpuan yang singkat, kebergantungan kepada hiburan segera, dan kecenderungan membuat keputusan tanpa analisis mendalam. Dalam nada yang berbeza, mereka turut menunjukkan kebijaksanaan visual, kemahiran intuitif, serta keberanian mencuba perkara baharu. Perubahan dominan ini perlu dibaca oleh sekolah dengan teliti agar strategi pembelajaran benar-benar selari dengan realiti perkembangan murid.

Tambahan pula, sistem pendidikan hari ini sering terikat pada struktur peperiksaan yang linear. Keadaan ini menyebabkan murid dan guru lebih tertumpu kepada capaian markah berbanding penguasaan kemahiran sebenar. Sementelahan, dunia luar sekolah tidak lagi menilai individu berdasarkan keupayaan mengingat fakta, tetapi berdasarkan kecekapan menyelesaikan masalah, kreativiti, kemampuan bekerja dengan pelbagai perwatakan manusia, dan daya tahan dalam menghadapi ketidakpastian. Berbeza dengan era terdahulu, murid masa kini perlu belajar bagaimana untuk terus belajar.

Sehubungan dengan itu, kepimpinan sekolah perlu memainkan peranan yang lebih strategik. Perubahan pendidikan tidak boleh ditolak kepada guru semata-mata. Ia mesti bermula dengan visi yang jelas tentang hala tuju murid. Antara langkah utama yang sentiasa saya fikirkan ialah menyediakan budaya sekolah yang menggalakkan percubaan, bukan hanya pencapaian. Guru perlu diberi ruang bereksperimen dengan pendekatan baharu, termasuk pembelajaran berasaskan projek, pentaksiran autentik, dan pendekatan kolaboratif yang menuntut murid berfikir secara lebih luas.

Selain itu, saya melihat bahawa murid memerlukan kemahiran mengurus diri lebih daripada apa yang kita bayangkan. Dunia tanpa peta menuntut mereka memiliki kecerdasan emosi yang tinggi. Seperti yang kita sedia maklum, tekanan hidup dan dunia siber sering membawa murid kepada keresahan yang tidak terlihat. Oleh itu, sekolah tidak boleh hanya memberi fokus kepada akademik. Di samping itu, sekolah perlu membina kekuatan rohani, ketahanan mental, serta kemahiran interpersonal yang menjadi benteng diri bagi menghadapi realiti yang kasar dan mencabar.

Dalam konteks lebih luas, hubungan antara sekolah, keluarga, dan komuniti perlu diperkukuh. Sementelahan dunia luar sangat dinamik, kita tidak mampu lagi berfikir bahawa pendidikan hanya berlaku dalam bilik darjah. Murid belajar melalui pengalaman. Mereka belajar melalui interaksi. Mereka belajar melalui kegagalan. Oleh itu, program pendidikan mesti melibatkan persekitaran sebenar. Contohnya melalui projek komuniti, aktiviti kesukarelawanan, dan kolaborasi dengan dunia industri. Apabila murid terdedah kepada realiti sebenar, mereka lebih bersedia membina kerangka pemikiran yang holistik.

Dalam renungan yang lebih mendalam, perubahan pendidikan tidak akan berlaku dengan sendirinya. Ia memerlukan keberanian untuk meninggalkan cara lama. Bertitik tolak daripada hal ini, saya sentiasa percaya bahawa masa depan pendidikan terletak pada kesediaan sekolah untuk berubah mengikut arus. Guru perlu dibimbing supaya berperanan sebagai fasilitator pemikiran, bukan penyampai nota. Murid perlu dibimbing untuk membina minat, bukan hanya mengejar gred. Pemimpin sekolah pula perlu membuka jalan dengan menyediakan sokongan, latihan, dan persekitaran kerja yang seimbang.

Akhirnya, arah pendidikan akan menentukan nasib generasi masa depan. Sekiranya kita masih kekal dengan cara lama, murid akan melangkah ke dunia baharu dalam keadaan hilang arah. Jika kita berani membuat perubahan, sekolah boleh menjadi kompas yang memandu mereka menavigasi dunia tanpa peta. Langkah kecil yang konsisten akan membawa perubahan besar dalam jangka panjang.

Konklusinya, dunia masa depan tidak lagi memerlukan manusia yang sekadar pandai mengikut arahan. Ia memerlukan generasi yang mampu mencipta arah. Sekolah hari ini perlu menjadi titik mula untuk membina keberanian intelektual ini. Apabila pendidikan berjaya mengangkat potensi manusia, barulah anak hari ini mampu melangkah ke dunia esok dengan yakin dan berdaya.

KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI : RETORIK ATAU REALITI DI SEKOLAH


Dalam wacana pendidikan moden, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) sering dimomokkan sebagai pasak utama dalam melahirkan generasi yang mampu bersaing di peringkat global. Hakikatnya, dalam  seminar, dalam dokumen dasar, dan dalam wacana profesional, KBAT diangkat sebagai lambang kecanggihan pedagogi. Namun begitu persoalan yang lebih penting ialah sejauh manakah KBAT benar-benar hidup dalam bilik darjah? Adakah ia sebuah realiti yang tersusun dalam amalan guru, atau sekadar retorik yang indah di atas kertas tetapi hambar dalam pelaksanaan?

Realitinya, KBAT bukan istilah baharu. Ia telah lama diulang, diperkuat, dan dituntut dalam pelbagai gelombang transformasi pendidikan. Walau bagaimanapun, dalam banyak pemerhatian, pelaksanaannya tidak konsisten. Ada bilik darjah yang kaya dengan dialog intelektual, perbincangan terbuka, dan pemikiran kritis yang subur. Akan tetapi,  tidak kurang juga ruang pembelajaran yang masih terpaku kepada hafalan fakta, latihan mekanikal, dan pembelajaran berpusatkan guru. Jurang antara aspirasi dan realiti ini membentuk satu dilema pedagogi yang perlu ditangani secara jujur.

Dari sudut pandang kepimpinan sekolah, cabaran utama pelaksanaan KBAT sebenarnya terletak pada struktur dan budaya sekolah itu sendiri. Ramai guru memahami konsep KBAT secara teori, tetapi masih mencari cara untuk mengoperasionalkannya dalam konteks murid yang pelbagai tahap, silibus yang padat, dan tekanan peperiksaan yang tinggi. Kekangan masa merupakan faktor kritikal; apabila jadual pengajaran dipadatkan, guru cenderung memilih strategi paling “selamat”,  iaitu mengajar untuk memastikan murid lulus, bukan untuk mengajar murid berfikir.

Selain itu, memahami KBAT tidak semudah mempelajari satu formula. Ia bukan sekadar menambah soalan aras tinggi pada penghujung latihan. Ia memerlukan perubahan paradigma. Guru harus berani memberi ruang kepada murid untuk bertanya soalan yang mencabar, untuk berfikir secara divergenn, dan mencuba jawapan yang tidak semestinya tepat. Namun begitu, budaya pembelajaran kita secara tradisi lebih meraikan jawapan betul berbanding proses berfikir. Akibatnya, murid sering mengalami kegelisahan apabila berhadapan soalan yang tiada jawapan tunggal, manakala guru pula bimbang mengganggu “kelancaran” PdP apabila masa banyak dihabiskan kepada perbincangan.

Pengalaman di sekolah menunjukkan bahawa KBAT sebenarnya lebih mudah berkembang apabila guru mempunyai sokongan profesional yang kukuh. Ini termasuk komuniti pembelajaran profesional, bimbingan berterusan, dan ruang untuk mencuba kaedah baharu tanpa rasa bersalah jika percubaan pertama tidak sempurna. Guru yang yakin secara pedagogi akan lebih berani melaksanakan aktiviti pengayaan, projek kolaboratif, dan penilaian autentik, elemen-elemen yang menjadi roh KBAT tetapi jarang muncul apabila guru bekerja dalam keadaan tekanan dan kekangan.

Bagi murid pula, pelaksanaan KBAT menuntut mereka meninggalkan gaya belajar pasif. Mereka perlu lebih reflektif, lebih berani bersuara, dan lebih terbuka terhadap idea baharu. Walau bagaimanapun pembinaan budaya murid seperti ini memerlukan masa. Tidak semua murid dibesarkan dalam persekitaran yang memberi nilai kepada hujah, dialog, atau kreativiti. Ada yang sudah terbiasa dengan sistem “hafal dan ulang”. Oleh itu, peranan sekolah ialah membina persekitaran selamat untuk murid berfikir, tanpa malu, tanpa takut salah.

Perkara yang sering tidak disebut ialah hakikat bahawa KBAT memerlukan suasana emosi yang stabil. Murid yang cemas, tertekan, atau tidak berasa diterima tidak akan berani menunjukkan pemikiran kreatif atau kritis. Begitu juga guru. Dalam pengamatan harian, budaya sekolah yang positif, hubungan interpersonal yang mesra, dan kepimpinan yang empati sangat membantu memulihkan keberanian intelektual dalam bilik darjah. KBAT tidak boleh berkembang dalam persekitaran yang keras, kompetitif secara melampau, atau terlalu menekan guru dan murid.

Beberapa inisiatif yang diperkenalkan di sekolah menunjukkan hasil positif. Contohnya, apabila guru diberi peluang merancang tugasan berasaskan projek (project-based learning) dalam kumpulan kecil, mereka lebih kreatif dalam mengintegrasikan elemen analisis, penilaian, dan penciptaan. Aktiviti debat, simulasi, atau tugasan berbentuk penyelesaian masalah dunia sebenar turut menunjukkan peningkatan dalam kualiti pembelajaran murid. Murid kelihatan lebih terlibat, lebih ingin tahu, dan lebih berani mencuba.

Satu cabaran besar masih kekal: penilaian. Selagi sistem penilaian awam menekankan jawapan tunggal dan format tetap, guru sukar memberi komitmen penuh kepada KBAT. Ini bukan soal keengganan, tetapi realiti praktikal. Guru mahu murid cemerlang dalam peperiksaan, maka strategi pengajaran sering kembali kepada teknik yang memaksimumkan skor, bukan teknik yang merancakkan pemikiran.

Walaupun begitu, perubahan tidak mustahil. Jika sekolah berjaya membangunkan ekosistem pembelajaran yang menghargai proses berfikir, bukan sekadar hasil akhir, KBAT akan berubah daripada slogan kepada budaya. Kekuatan sekolah terletak pada keupayaan memimpin perubahan kecil tetapi konsisten yakni memperbaiki cara bertanya soalan, menggalakkan dialog antara murid, menyediakan tugasan terbuka, dan merayakan kreativiti.

Dalam renungan yang lebih mendalam, KBAT ialah gambaran masa depan pendidikan. Dunia memerlukan generasi yang bukan sahaja mampu mencari jawapan, tetapi mampu mempersoalkan soalan. Sekiranya sekolah berjaya memupuk keberanian intelektual ini, maka KBAT bukan lagi retorik. Ia akan menjadi realiti yang hidup, realiti yang melahirkan murid berfikir, guru yang yakin, dan sekolah yang benar-benar bergerak ke hadapan.

"BURNOUT GURU" APABILA DEDIKASI MENJADI BEBAN


Dalam dunia pendidikan, kita sering mengangkat guru sebagai nadi sekolah, iaitu insan yang memacu perjalanan anak-anak menuju masa depan. Namun begitu, dalam keghairahan kita meraikan kejayaan, kita kadang-kadang terlupa pada sisi lain: keletihan yang senyap, yang perlahan-lahan menghakis semangat seorang guru. Sebagai pengetua, saya melihat fenomena burnout bukan lagi isu pinggiran. Ia realiti yang semakin meruncing, terutamanya selepas era pandemik yang mengubah landskap pedagogi secara drastik.

Burnout bukan sekadar rasa penat di hujung hari. Ia satu keadaan emosi, mental, dan fizikal yang memuncak sehingga mengganggu fungsi profesional dan kesejahteraan peribadi. Guru boleh hilang motivasi, semakin sinis, semakin mudah tersinggung, dan secara diam-diam, kehilangan rasa cinta terhadap profesion yang dulu mereka sayangi. Yang lebih membimbangkan, gejala ini tidak datang tiba-tiba; ia membina perlahan-lahan, seperti air yang saban hari menghakis tebing.

Sebagai pengetua, saya menyaksikan bebanan guru datang dari banyak arah. Pertama sekali, tuntutan kerja yang semakin kompleks. Dahulu, tugas guru lebih tertumpu kepada pengajaran. Kini, guru menjadi pendidik, kaunselor tidak formal, jurulatih pembelajaran digital, perekod data, dan kadang kala pengurus acara. Sistem pendidikan yang semakin berorientasikan pencapaian dan laporan telah menambah lapisan demi lapisan tugas pentadbiran, sehingga berlaku ketidakseimbangan antara pengajaran sebenar dan urusan dokumentasi. Ramai guru merasakan mereka terpaksa “mengajar atas kertas”, bukan di bilik darjah.

Selain itu, sikap masyarakat yang semakin kritikal turut memberi tekanan. Harapan ibu bapa melonjak tinggi, manakala ruang empati kadang-kala mengecil. Anak gagal, guru dipersoal. Murid bermasalah, guru dituding. Dalam keadaan sebegini, guru terperangkap dalam dilema untuk memenuhi semua permintaan, hingga memijak batas kemampuan sendiri.

Faktor ketiga ialah cabaran murid masa kini. Anak-anak generasi digital muncul dengan set keperluan yang lebih kompleks yakni daripada isu tumpuan, gangguan emosi, sehingga masalah sosial yang merentas sempadan sekolah. Guru-guru yang prihatin akan merasakan tekanan emosi apabila berdepan murid yang memerlukan perhatian pemulihan, tetapi masa dan sumber tidak mencukupi.

Namun begitu, sebagai pengetua, saya tidak mahu hanya melihat masalah ini; saya mahukan penyelesaian yang realistik dan manusiawi. Langkah pertama ialah mengiktiraf burnout sebagai isu sebenar, bukannya kelemahan. Guru yang penat bukan bermaksud guru itu tidak cekap atau hilang komitmen. Mereka hanya manusia biasa dengan kapasiti yang ada hadnya. Menghapus stigma terhadap keletihan adalah langkah penting untuk membuka ruang perbincangan terbuka.

Seterusnya, saya percaya kepimpinan sekolah memainkan peranan yang besar dalam meredakan tekanan guru. Seorang pengetua perlu peka terhadap emosi warga sekolah. Ini bukan bermaksud memanjakan, tetapi menyediakan ruang sokongan yang tulus. Dalam pengalaman saya, guru hanya perlukan dua perkara asas: pemahaman dan penghargaan. Apabila guru tahu mereka dilihat, dihargai, dan disokong, separuh daripada beban emosinya terangkat dengan sendirinya.

Saya juga berusaha menstruktur tugasan sekolah secara lebih bijaksana. Tugas pentadbiran yang terlalu membebankan perlu dirasionalisasikan. Tidak semua perkara perlu diminta dalam bentuk laporan panjang berjela. Kadang-kadang, satu perbualan refleksi lebih bermakna daripada sepuluh muka surat dokumentasi. Pengurusan masa mesyuarat juga perlu lebih mesra guru, iaitu ringkas, fokus, dan relevan.

Selain itu, budaya kerja yang sihat perlu dipupuk. Guru tidak boleh sentiasa bekerja dalam suasana tekanan. Mereka juga perlu ruang untuk berkembang secara profesional melalui latihan yang menyeronokkan, bukan membebankan. Aktiviti kebajikan warga sekolah, sesi santai, dan inisiatif kesejahteraan mental perlu diberi perhatian. Mungkin nampak kecil, tetapi kesan emosinya besar.

Sebagai pengetua, saya turut percaya bahawa memupuk komuniti sekolah yang positif adalah penawar jangka panjang. Sekolah bukan hanya tempat bekerja; ia organisasi yang berdenyut dengan hubungan manusia. Apabila guru saling menyokong, bergurau, berkongsi idea, dan merasakan mereka sebahagian daripada keluarga profesional, burnout sukar bertapak. Komuniti yang kuat ialah benteng paling ampuh melawan keletihan.

Akhirnya, apabila kita bercakap tentang burnout, kita bercakap tentang masa depan pendidikan. Jika guru rebah, seluruh sistem runtuh. Jika guru hilang semangat, murid hilang masa depan. Oleh sebab itu, menjaga guru bukan sekadar isu kebajikan; ia adalah strategi pembangunan negara. Guru yang sejahtera akan melahirkan murid yang sejahtera.

Sebagai pengetua, saya melihat peranan saya bukan hanya sebagai pentadbir, tetapi sebagai penjaga ekosistem kerja yang sihat. Saya mahu guru-guru di sekolah saya datang bekerja dengan hati yang ringan, pulang dengan rasa puas, dan tidur dengan tenang. Saya mahu mereka merasakan bahawa profesion ini masih mulia, dan mereka masih wira yang dihormati, bukan robot yang mengejar data, bukan buruh akademik yang tertekan. Burnout boleh diurus. Akan tetapi ia memerlukan empati, kepimpinan yang berhikmah, dan keberanian untuk meletakkan manusia kembali di tengah sistem pendidikan. Dan selagi guru-guru saya terus berjuang untuk anak-anak bangsa, saya akan terus berjuang untuk mereka.