SUMBER : UTUSAN MALAYSIA
TARIKH : 22 MAC 2015
Video hudud
stesen radio kontroversi BFM memang sengaja mencari pasal. Barangkali setelah
menyedari kesilapan itu dan mendapat reaksi negatif orang ramai, klip video
tersebut kemudiannya ditarik balik. Kemarahan orang ramai membuak-buak sehinggakan
pengacara video bertajuk "Hudud Isi Periuk Nasi?" itu, Aisyah
Tajuddin menerima ugutan bunuh dan rogol di media sosial. Rasanya tidak mengapa
jika video yang dianggap BFM sebagai satira itu hanya mengkritik Kerajaan Pas
Kelantan seperti masa untuk hukum hudud dilaksanakan tidak sesuai, tidak
mematuhi Perlembagaan dan perlu mendahulukan usaha membantu mangsa banjir. Itupun
aliran propaganda yang dilakukan oleh pengkritik hudud Pas termasuk oleh DAP
dan PKR. Orang boleh menerima perbezaan pandangan seperti itu kerana yang
dikritik ialah pelaksanaannya bukan hukum tersebut.
Akan tetapi, jangan
memperlekeh hukum hudud apatah lagi menyamakannya dengan sebungkus nasi lemak
yang berisi batu. Jangan katakan hudud tidak mampu mengisi perut. Ini satu
provokasi terhadap Islam. Tentu sekali provokasi seperti itu akan mengundang
kemarahan. Apatah lagi video itu menyentuh urusan agama yang akan ada pihak
sanggup bertindak ekstrem demi mempertahankan kesuciannya. Orang tua-tua dulu
pun berpesan jangan dijolok sarang tebuan. Peristiwa serangan ke atas pejabat
akhbar mingguan satira Charlie Hebdo di Paris yang mengorbankan 12 orang
rasanya baru sahaja berlalu. Serangan pada 7 Januari lalu itu akibat daripada
perbuatan akhbar tersebut yang membuat provokasi dengan menerbitkan karikatur
Nabi Muhammad. Dunia mengutuk serangan tersebut dengan catatan perlakuan ganas
itu akibat ulah Charlie Hebdo sendiri yang hanya memikirkan hak kebebasan
mereka sahaja. Samalah juga dengan kempen "Saya Mahu Sentuh Anjing"
di Central Park, Bandar Utama, Petaling Jaya Oktober tahun lalu yang
menimbulkan kemarahan orang ramai. Penganjurnya yang juga kumpulan anak muda
turut menerima ancaman bunuh.
Berfikir
Tentu kita
juga mengecam ancaman bunuh dan rogol terhadap Aisyah. Tetapi bagaimanakah kita
boleh mengawal kemarahan orang ramai jika kita sendiri yang sengaja mahu
mencari pasal? Malangnya sebagaimana juga penganjur program sentuh anjing,
video BFM itu cuba dipertahankan oleh kumpulan hak asasi manusia. Mereka
menganggapnya sebagai kebebasan bersuara dan satu hak mutlak individu untuk
memberikan pandangan. Seperti lazimnya, kumpulan pemuja kebebasan itu hanya
melihat sisi mereka sahaja. Mereka tidak berfikir dan melihat Malaysia dalam
konteks yang tersendiri, lantas mengambil secara melulu model kebebasan
bersuara daripada Barat. Kini, perbuatan provokasi itu seperti menjadi mainan
kumpulan tertentu yang hujung-hujungnya dikaitkan dengan isu kebebasan
bersuara. Yang hujung-hujungnya juga ada kaitan dengan cita-cita sebuah parti
politik itu.
Nampaknya
mereka telah berjaya melahirkan anak muda yang boleh sesuka hati mencari pasal
atas nama kebebasan bersuara. Perjuangan pihak-pihak ini nampaknya tidak
pernah luntur dan sentiasa membuat asakan. Arah tuju mereka semakin jelas. Januari
lalu juga kita dikejutkan dengan kenyataan seorang peguam hak asasi manusia
yang juga pengasas bersama Lawyers for Liberty, Eric Paulsen menuduh Jabatan
Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi ekstremisme dalam khutbah Jumaat.
Kita juga belum lupa video menghina Islam oleh Alvin Tan yang kini melarikan
diri ke Amerika Syarikat. Dalam kes terbaharu ini, BFM dan Aishah harus dipertanggungjawabkan.
Jika mahu kritik hudud, kritiklah dalam konteks yang betul. Tentu sekali
mengkritik hukum agama tidak sama seperti mengkritik hal-hal lain. Banyak
sensitiviti perlu diambil kira.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad
juga pernah mengkritik dan memberi pandangan berbeza tentang hudud Pas ini.
Begitu juga dengan kumpulan ulama termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri
Zainul Abidin. Jadi tidak ada masalah untuk mengkritik hudud yang bakal
dilaksanakan oleh Pas itu. Dan seperti kes-kes terdahulu, ada kecenderungan
untuk menyalahkan pihak lain. Mereka menyalahkan pemerintah bahkan institusi
pendidikan yang gagal mendidik masyarakat Malaysia untuk menerima perbezaan
pandangan. Percayalah jika video seumpama itu disiarkan di Indonesia, reaksinya
mungkin akan lebih ekstrem lagi. Masyarakat Malaysia masih mempunyai toleransi
yang tinggi tetapi janganlah terus-terusan melakukan provokasi. Provokasi
yang berlebihan akan membenihkan anarkis dan menyuburkan ekstremisme. Soalnya
bukan berbeza pandangan tetapi video BFM itu satu provokasi. Yang jelas,
masyarakat Malaysia meraikan perbezaan pendapat tetapi pada masa sama menolak
provokasi. Malaysia juga bukanlah tempat yang tidak selamat. Malaysia adalah
tempat paling selamat. Menjadikan Malaysia tempat selamat adalah tanggungjawab
semua pihak termasuk pemuja hak kebebasan bersuara.