18 Mac 2011

ISU BENCANA ALAM : BIJAK MENGURUS BENCANA

Oleh AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
UTUSAN MALAYSIA, 18 MAC 2011


Gempa bumi berukuran 8.9 skala Richter yang diikuti tsunami setinggi 10 meter di Jepun, seminggu lalu berjaya mengalihkan persepsi masyarakat antarabangsa yang sejak awal tahun ini tertumpu kepada bencana protes yang berlaku di Asia Barat. Berita mengenai Asia Barat sudah menjadi berita kecil, kerana ketakutan masyarakat antarabangsa menjadi semakin mendalam setelah berlakunya beberapa letupan loji nuklear di Fukushima akibat tsunami. Banyak juga laporan spekulasi mengenai kadar radiasi yang dianggap bakal mengancam manusia seluruh dunia apabila angin yang bertiup boleh membawa sisa-sisa radioaktif dan rakyat Malaysia dikatakan tidak terkecuali bakal menerima kesan negatif. Rakyat Malaysia ada juga yang panik apabila menerima pesanan ringkas (SMS) meminta agar tidak keluar rumah, mengelakkan terkena hujan dan menutup semua tingkap kerana angin yang membawa radiasi radioaktif akan sampai juga.

Buat masa ini, tahap keselamatan udara Malaysia belum terjejas, kerana kesan pembebasan gas hidrogen dari letupan reaktor nuklear itu belum sampai, malah agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan tahap kebocoran itu masih pada tahap yang selamat. Pengajaran yang kita peroleh daripada bencana tersebut adalah bagaimana kita boleh menguruskan kepanikan masyarakat tentang musibah yang berlaku. Kita mungkin dapat memahami jika perkara ini berlaku di Malaysia, suasana panik dan takut akan menyebabkan ramai pihak menyalahkan kerajaan, sebagaimana berlaku peringkat awal menyelamatkan pelajar dan rakyat Malaysia yang terperangkap dengan protes rakyat Mesir ke atas pentadbiran Presiden Hosni Mubarak pada Februari lalu. Bagi pihak kerajaan, segala upaya telah dilaksanakan termasuk mengenal pasti rakyat Malaysia di Jepun yang terbabit.

Upaya pertama ialah mendapatkan pengesahan mengenai keselamatan mereka sama ada menghubungi sendiri mereka yang terbabit ataupun merayu agar rakyat Malaysia menghubungi Kedutaan Malaysia ataupun menyalurkan maklumat melalui agensi berkaitan. Teknologi maklumat banyak membantu, termasuk pengesanan ke atas lebih 400 rakyat Malaysia yang masih trauma dengan gempa bumi dan tsunami di Miyagi. Apa yang menyedihkan ialah sekilat itu jugalah ada pihak terus memberikan sorotan mengenai kebocoran loji nuklear Chernobyl, Ukraine pada 1986, walaupun kesan buruk kepada rakyat Malaysia tidak berlaku. Bagi menguruskan bencana, kita mungkin boleh menyingkap sejarah bagaimana Nabi Yusuf a.s. memberi tafsiran terhadap dua mimpi Raja Firaun dalam sejarah Mesir kuno. Ini difirman oleh Allah SWT dalam Surah Yusuf ayat 43 yang bermaksud: “Dan (pada suatu hari), raja Mesir berkata: “Sesungguhnya aku bermimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir), terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang-orang yang pandai menafsirkan mimpi.”

Nabi Yusuf a.s. telah memberikan gambaran bahawa tujuh ekor lembu dan tujuh biji gandum yang baik melambangkan kemakmuran selama tujuh tahun, manakala tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh biji gandum yang busuk ialah tujuh tahun berada dalam kesukaran. Bagi menjamin kesejahteraan kehidupan, Nabi Yusuf a.s. mencadangkan agar seorang yang bijaksana dan berperibadi mulia dipilih bagi mentadbir Mesir agar dapat membuat simpanan ketika tujuh tahun dalam kemakmuran bagi kegunaan tujuh tahun yang sukar. Atas nasihat tersebut, akhirnya Nabi Yusuf a.s. telah dipilih oleh Raja Firaun mentadbir Mesir. Kemakmuran dan kesedihan merupakan putaran yang perlu dihadapi oleh semua manusia. Kemakmuran menyebabkan manusia lupa mengenai persiapan untuk menghadapi saat-saat yang sukar.

Oleh sebab kedudukan Malaysia yang tidak terletak dalam ‘Lingkaran api’, maka tidak ramai rakyat negara ini mengambil iktibar daripada peristiwa dan bencana yang berlaku di seluruh dunia. Mungkin rakyat negara ini sudah lupa mengenai bah air merah yang berlaku di Kelantan suatu ketika dahulu, banjir besar pada 1971, tragedi Pos Dipang (1996), runtuhnya Highland Tower (1993), taufan Greg (1996), tanah runtuh di Gombak (2004), banjir besar di Segamat, Kota Tinggi dan Batu Pahat (2007), tsunami di Kuala Kedah dan Batu Feringghi (2004), malah kemalangan maut melibatkan bas ekspres dan sebagainya. Secara umumnya, bencana boleh dikategorikan kepada dua, iaitu bencana alam dan bencana atas kelalaian manusia. Meskipun bencana alam dilihat sebagai mala petaka semula jadi, namun ia mempunyai kaitan rapat dengan aktiviti manusia yang menganggu kelestarian alam dan sistem ekologi.

Tragedi Pos Dipang pada 1996 membuktikan bagaimana pembalakan di hulu sungai menyebabkan perkampungan Orang Asli di Simpang Pulai, Perak musnah sama sekali. Tsunami pada 2004 membuktikan bahawa ketiadaan pokok bakau dan pokok api-api sebagai penahan pantai telah memusnahkan perkampungan nelayan di Kuala Kedah dan Batu Feringghi. Atas alasan mengeksploitasi keindahan semula jadi sebagai kawasan pelancongan, pantai Miami dan persekitaran Tanjong Bungah teruk dilandai badai ganas. Tragedi-tragedi ini walaupun berlaku secara semula jadi, ia ada kaitan rapat dengan tingkah laku manusia di bumi sebagaimana diingatkan oleh Allah SWT dalam surah ar-Ruum, ayat 41. Umat manusia sentiasa diingatkan supaya tidak mengundang bahaya, iaitu ‘mencampakkan dirimu ke dalam kebinasaan’ (al-Baqarah, 195), seperti mengganggu dan memusnahkan ekologi, tamak dan mengkhianati sesama manusia.

Setiap tindakan yang bakal diambil perlu memberikan perhitungan mendalam mengenai keseimbangan ekologi kehidupan, termasuk kesejahteraan orang lain. Ini bermakna, kaitan antara manusia dan alam sekitar begitu akrab sekali, seakrab hubungan sesama manusia. Benar segala apa yang ada di atas bumi dan di dalam bumi adalah untuk kegunaan manusia, tetapi penggunaannya hendaklah tidak melampau. Ingatan agar tidak melampaui batas itu adalah sebagai early warning system (EWS) yang seharusnya dikembangkan dalam memupuk kesedaran mengurus bencana. Kalau di Jepun, mereka menggunakan teknologi moden seperti menyalurkan secepat mungkin berita amaran tsunami dan gempa bumi melalui radio, meletakkan alat pengesan mala petaka, membuat pemantauan mengenai sebarang bentuk perubahan cuaca dan angin, membina rumah dan bangunan tahan gegaran telah banyak menyelamatkan nyawa manusia.

Namun tsunami kali ini nampaknya telah menyebabkan peralatan canggih telah tewas, langkah-langkah keselamatan reaktor nuklear tidak dapat dipertahankan, maka di sinilah kita harus akur bahawa keupayaan manusia tetap terbatas, masih belum mampu menghadapi dugaan alam dan kuasa Allah SWT. Tetapi, ini bukan bermakna Allah SWT mengharapkan manusia menjadi golongan yang tidak berfikir dan tidak perlu membuat persediaan. Allah SWT mengingatkan manusia ‘bersedialah dan berjaga-jagalah’ (an-Nisa, 71). Allah SWT mengingatkan agar manusia menjaga tingkah laku, tidak bersifat tamak dan lebih berhemah apabila berinteraksi dengan alam sekitar. Allah SWT mengingatkan manusia agar menghormati kelestarian alam, kerana alam itulah yang membekalkan kepada manusia udara untuk bernafas, menyuburkan tanaman dan memberikan zat kepada kehidupan.

Jika manusia mengganggu alam sekitar secara tidak berhemah, menebang pokok sesuka hati dan membuang sisa buangan (kimia, sampah dan benda-benda buruk), putaran ekosistem akan kembali menyebabkan nafas manusia sesak. Inilah putaran yang seharusnya difahami oleh manusia, kerana itulah Allah SWT sering memberikan ingatan, bersederhanalah dalam memenuhi keperluan, jangan melampaui batas. Bagi membolehkan alam sekitar sentiasa terjaga, manusia perlu memperkuatkan azam dan tindakan tidak mencerobohnya. Jika ingin dibangunkan kawasan penempatan, manusia perlu memahami hukum alam termasuk sistem aliran air bawah tanah, jenis-jenis tanah, kedudukan arah angin dan sebagainya bagi mengelakkan sebarang mala petaka. Manusia diminta untuk menguruskan kehidupan secara sederhana. Kesederhanaan itulah akan memberikan manusia kesejahteraan.

Seperti juga amaran memandu laju, cenderung kepada kemalangan, maka mempunyai nilai kehidupan yang tamak dan bongkak juga akan berakhir dengan kemusnahan dan malapetaka. Tragedi tsunami dan gempa bumi di Jepun memberikan banyak pengajaran, sekurang-kurangnya banyak negara Asia yang sedang bangkit mengukuhkan kedudukan ekonomi memikirkan semula keperluan kepada pembangunan reaktor nuklear. Meskipun Allah SWT turut mengingatkan bahawa “Katakanlah: Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Dia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Dia hendak memberikan rahmat kepada kamu?Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: Bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapa pun yang lain dari Allah yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka.” (al-Ahzaab, 17). Ia tidak bermakna manusia tidak perlu berikhtiar, yang lebih penting ialah bagaimana menguruskan trauma mangsa yang dilanda bencana. 

Manusia seharusnya semakin matang menguruskan kehidupannya sendiri, tetapi kadang kala manusia lupa apabila dilingkari kemakmuran sentiasa melupakan pusingan duka yang juga sebahagian daripada sejarah kehidupan. Inilah yang perlu ditanam dalam jiwa setiap insan, hidup ini bukan sahaja hanya untuk menguruskan kejayaan, perlu ada pengetahuan bagaimana menguruskan kekecewaan, kesedihan dan trauma akibat tertimpa malapetaka, bencana dan kemusnahan.

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah
Malaysia (Yadim)

ISU SOSIAL : BERWASPADA DARIPADA TERLIBAT DENGAN NODA DAN DOSA DI HUJUNG JARI

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON


Dunia di hujung jari adalah ungkapan yang sering didengar. Ia merupakan suatu fenomena yang mana segala perkara dan maklumat yang berlaku di segenap penjuru dunia boleh diketahui dengan segera melalui kepantasan pelbagai jaringan laman sesawang yang wujud ketika ini. Namun dosa di hujung jari jarang diperkatakan sehingga ramai yang tanpa sedar terjebak dengan elemen-elemen negatif di sebalik kecanggihan teknologi garapan akal pemikiran manusia yang terhad. Lebih membimbangkan apabila masyarakat Islam secara umumnya terdedah kepada perlakuan dosa di alam maya yang menyumbang pula kepada gejala sosial dan moral yang berpanjangan. Baru-baru ini, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim mendedahkan betapa perceraian di kalangan umat Islam di Malaysia semakin membimbangkan.

Purata satu pasangan Islam bercerai setiap 15 minit adalah satu statistik yang menunjukkan bagaimana nilai kasih sayang dan tanggungjawab dalam membina sebuah institusi kekeluargaan Islam mula tercemar dek kerana kurang pemahaman terhadap selok-belok dan peraturan agama. Akibatnya anak-anak jugalah yang menjadi mangsa dan berkemungkinan menyumbang pula kepada peningkatan statistik salah laku sosial dan moral di kalangan muda-mudi Islam. Ini ditambah lagi dengan kewujudan laman sembang sosial seperti Facebook, Twitter, MySpace dan lain-lain yang disalahgunakan. Ada pasangan suami isteri tanpa sedar telah bermain kayu tiga sambil memadu kasih di Internet. Akibat terlalu asyik bersembang lalu segala macam masalah rumah tangga diluahkan kepada individu maya yang tidak dikenali. Kemungkinan juga terdapat pihak tertentu yang mengambil kesempatan daripada situasi yang berlaku.

Ada pula yang telah bergelar suami dan isteri berlagak seperti anak muda apabila bertemu kekasih maya sehingga asyik bercinta walaupun anak berderet dan rumah tangga tidak terurus sehingga terlibat pula melakukan dosa zina dan mengundang perceraian yang dimurkai Tuhan. Kalangan pelajar sekolah juga turut terpalit sama. Ada yang leka bersembang siang dan malam sehingga tugasan mengulang kaji pelajaran terabai. Pelbagai laman sesawang yang berunsur pornografi juga mudah diakses di mana-mana lalu menimbulkan keghairahan dan keinginan untuk mencuba sekali gus membawa kepada jenayah seksual dan rogol yang menakutkan. Laporan akhbar juga menyebut bagaimana sindiket pengedaran dadah antarabangsa menggunakan laman Facebook untuk merekrut keldai dadah bagi penghantaran ke seluruh dunia. Penyalahgunaan ini juga turut melanda golongan pekerja apabila ada yang sibuk bersembang di alam maya daripada menyelesaikan tugasan yang diamanahkan.

Begitulah hebatnya kecanggihan teknologi masa kini yang seakan berjaya melalaikan umat Islam daripada tanggungjawab ibadah secara kolektif guna untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT. Tidak keterlaluan jika dikatakan ia sebagai musuh bentuk baru yang berusaha untuk merosakkan pemikiran dan hala tuju kehidupan umat Islam secara umumnya. Memang tidak dinafikan, kecanggihan teknologi ICT seperti ini boleh dimanfaatkan sebagai mekanisme perhubungan antara sesama kerabat, rakan dan taulan dengan kos yang murah, pantas dan menyeronokkan. Malah dalam konteks hubungan ukhuwah Islamiah pula ia boleh menjadi mekanisme untuk mempertaut hubungan yang diperintahkan agama sehingga menjadikan umat Islam benar-benar bersaudara walau di mana sahaja mereka berada. Sungguhpun demikian, umat Islam secara khususnya diminta berwaspada dan berhati-hati daripada terlibat dengan noda dan dosa saban hari.

Ini dapat dilakukan misalnya dengan pemantauan ibu bapa terhadap kegiatan anak-anak terutama ketika melayari internet di rumah. Amalan buruk seperti bersembang di internet tanpa mempedulikan solat mahupun tugasan yang dipertanggungjawabkan menyumbang kepada kemurkaan Allah SWT lagi ditegah oleh agama. Sedarlah juga betapa umur yang ada semakin meningkat setiap tahun sedangkan masa yang tinggal untuk memperbanyak amal semakin berkurangan. Pastinya sukar untuk pihak berwajib mengharamkan akses kepada pelbagai laman sesawang termasuk laman sembang sosial, pornografi dan lain-lain secara total. Namun begitu setiap individu Muslim diseru sentiasa memuhasabah dan menilai diri sendiri dalam apa jua kegiatan yang dilakukan. Ini penting bagi mengelak sesuatu yang memudaratkan berlaku ke atas pegangan akidah, amalan syariah dan akhlak umat Islam.  Ia juga sangat bertepatan dengan objektif syariah yang bertujuan untuk memelihara kepentingan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta manusia daripada diceroboh oleh anasir luaran yang merosakkan.

Penyalahgunaan Internet yang mula dibicarakan akhir-akhir ini jika tidak dibendung kemungkinan menyumbang pula kepada masalah-masalah lain yang lebih kronik jika tidak di atasi dengan segera. Mana tidaknya budaya fitnah-memfitnah, hasutan dan memburuk-burukkan sesama sendiri seakan-akan berkembang subur dan sukar dielakkan. Lebih membimbangkan lagi apabila rahsia-rahsia peribadi mula dijaja sana-sini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab guna untuk mengaibkan sesama sendiri. Keburukan ini semakin terserlah apabila ada pihak yang terlibat menyebarkan berita-berita palsu menerusi internet tanpa menyedari betapa mereka boleh tergolong dalam kelompok golongan fasik yang dimurkai Tuhan. Untuk itu berusahalah untuk memanfaatkan segala kemudahan yang ada untuk mengabdikan diri kepada-Nya dengan berhati-hati. Jika tidak ia bakal menjadi musuh dalam selimut yang boleh merosakkan keharmonian hidup manusia pada bila-bila masa dengan terlibat melakukan pelbagai dosa tanpa disedari.

PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru

ISU KESIHATAN : ETIKA PENGAMBILAN UBAT DARIPADA SUMBER HARAM

Oleh Mohamad A'sim Ismail


Kita beruntung kerana terdapat pelbagai badan bukan kerajaan (NGO), masyarakat awam dan kerajaan yang memantau dan sentiasa sensitif tentang keselamatan penggunaan ubat termasuk memastikan ubat yang dipasarkan adalah halal. Kementerian Kesihatan sendiri berusaha memastikan ubat yang digunakan di negara kita bukan sahaja selamat tetapi juga mengandungi kandungan yang halal. Baru-baru ini masyarakat didedahkan dengan isu ubat yang mengandungi bahan tidak halal mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan. Mengikut laporan sebuah akhbar arus perdana pada awal Mac ini, KKM memberi kelulusan kepada produk farmaseutikal yang mengandungi bahan tidak halal berdasarkan ketetapan fatwa Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) yang menyatakan penggunaan ubat atau vaksin itu adalah harus. Ini seperti kenyataan Bahagian Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan.

Fatwa penggunaan ubat tidak halal hukumnya harus oleh pihak Jakim sudah tentu bersyarat iaitu dengan wujud darurat. Bagi seorang Muslim yang sudah tentu merupakan pengguna atau bakal pengguna ubat, mereka sudah tentu tertanya-tanya status ubat yang diberikan kepada mereka. Jika ubat yang tidak halal digunakan, adakah mereka menggunakan dalam keadaan darurat sehingga melayakkan mereka mendapat kemaafan daripada Allah SWT? Adalah menjadi fardhu ain kepada individu Muslim apabila sakit perlu mencari penawar dan rawatan. Islam amat menitikberatkan soal kesejahteraan dan kesihatan manusia kerana dengan tubuh badan yang sihat akan memungkinkan manusia mengimarah muka bumi dan memenuhi peranan mereka sebagai khalifah Allah SWT. Umat Islam bertanggungjawab mengelakkan diri daripada terjebak dalam kemusnahan termasuk kerosakan jiwa. Maka mereka perlu mencari rawatan berlandaskan peraturan syarak iaitu menggunakan ubat yang baik dan bukan dengan sesuatu yang diharamkan.

Dalam sebuah hadis telah ditegaskan hal ini, maksudnya “Sesungguhnya Allah menurunkan penyakit dan ubat serta menjadikan setiap penyakit dengan ubat, maka berubatlah dan janganlah berubat dengan yang haram.” (Riwayat Abu Daud). Walaupun begitu, Islam sebagai agama yang sesuai dengan manusia, agama yang memudahkan bukan menyusahkan, pengecualian diberikan kepada kita untuk menggunakan perkara yang tidak halal untuk menjaga kemaslahatan agama, jiwa dan akal. Tiga perkara ini termasuk antara lima maqasid syariah yang perlu dijaga. Maqasid syariah bermaksud perkara-perkara yang menjadi matlamat perundangan Islam. Secara amnya, perundangan Islam bermatlamat menjaga maslahah manusia dan menolak mafsadah atau kerosakan daripada mereka sama ada dalam kehidupan di dunia atau akhirat nanti. Jadi dalam kaitan maqasid syariah dengan konteks perbincangan artikel ini, mereka yang sakit perlu berubat untuk mengelakkan kerosakan jiwa.

Berubat dengan perkara haram adalah diharuskan dengan syarat yang amat ketat iaitu ketika darurat. Mengikut tafsiran ulama, darurat adalah apabila seorang itu mencapai ke satu tahap jika ia tidak mengambil sesuatu yang diharamkan maka ia secara pasti atau dengan sangkaan akan mati atau hampir mati seperti seorang yang terpaksa makan kerana jika ia terus berlapar maka ia akan mati. Maka ketika ini wajib makan sesuatu yang diharamkan sekadar dapat menghilangkan ancaman kematian. Sebaliknya, jika pada ketika ini ia tidak makan sehingga membawa kepada kematian maka ia derhaka kerana mencampakkan diri ke dalam kebinasaan dan kerana tidak mengambil peluang berusaha menyelamatkan diri dengan makanan haram yang menjadi harus dimakan dalam keadaan darurat. Syarak secara jelas memberi keizinan dalam keadaan darurat untuk manusia makan sebarang haiwan demi menyelamatkan nyawa, memakai sutera bagi mereka yang mempunyai penyakit kulit, menguatkan gigi atau tulang dengan menggunakan emas, melafazkan pengakuan kafir sedangkan hati kukuh yakin dengan keislaman untuk elak dibunuh.

Perkara-perkara selainnya dianggap darurat melalui kaedah kias dan analogi kepada perkara di atas. Bagi ulama Hanbali, Maliki, jumhur Hanafi dan satu pandangan daripada Syafie, mereka menyatakan membuat rawatan menggunakan perkara yang diharam tidak diterima dalam apa jua keadaan sekali pun. Bagi sesetengah ulama, ia bukan termasuk dalam perkara darurat kerana berubat dengan perkara haram tidak semestinya dapat menyembuh dan mengelakkan kematian manusia. Walaupun begitu pandangan mazhab Syafie mengharuskan dalam keadaan darurat penggunaan ubat yang mengandungi perkara haram kecuali arak. Dalam fatwa Jakim sendiri ditegaskan bahawa dalam mempertimbangkan keharusan ini, syarat-syarat untuk memastikan bahawa keperluan tersebut berada di peringkat darurat perlu dipenuhi. Antara syaratnya adalah darurat itu benar-benar berlaku, bukan suatu yang tidak pasti.

Wujud satu keadaan di mana kemusnahan atau kemudaratan pada lima perkara asas maqasid syariah akan berlaku secara pasti ataupun berdasarkan kepada sangkaan yang kuat berpandukan pengalaman-pengalaman atau pengetahuan. Tidak terdapat sesuatu yang diharuskan oleh syarak untuk menghilangkan kemudaratan melainkan dengan perkara yang ditegah, mestilah dipastikan bahawa kewujudan benda-benda halal yang lain tidak dapat menghindarkan kemudaratan yang menimpa pesakit dan pengambilan yang haram itu sekadar keperluan sahaja. Inilah garis panduan yang perlu diambil kira dan diamalkan oleh pihak berkenaan dalam penggunaan ubat yang mengandungi bahan haram. Memenuhi garis panduan ini merupakan satu tanggungjawab pihak berkuasa kepada umat Islam. 

Ini merupakan hak asasi keagamaan mereka yang dijamin oleh Perlembagaan negara. Jika alasan menggunakan ubat yang mengandungi perkara haram dibuat dengan tidak memenuhi syarat darurat maka ia perlu dielakkan. Alasan seperti perlu menggunakan ubat yang mengandungi bahan haram kerana alternatif kepada ubat berkenaan terlalu mahal dan mungkin di luar kemampuan sesetengah pesakit bukan termasuk dalam kategori darurat atau sebab-sebab lain yang tidak pun mencapai tahap darurat. Bagi masyarakat Islam, makan atau memasukkan suatu benda yang haram ke dalam tubuh badan dilarang oleh agama. Banyak nas yang memberi tempelak dan akibat yang buruk kepada mereka yang berbuat demikian tanpa ada keperluan darurat.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian
Syariah, Undang-undang dan Politik,
Institut Kefahaman Islam Malaysia.

ISU NUKLEAR : PERLUKAH LOJI NUKLEAR UNTUK MENJADI NEGARA MAJU?

Oleh TAN MELAKA
Berita Harian, 18 Mac 2011


JEPUN adalah "rakan strategi" Amerika Syarikat (AS) paling setia di Asia sama seperti Jerman di Eropah. Mereka tertunduk kepada AS kerana bantuan Marshall Plan yang memulihkan dan membangunkan semula negara-negara itu oleh tangan yang menghancurkan mereka dalam Perang Dunia Kedua. Bencana tsunami yang menimpa Jepun yang sedang berada dalam keadaan ekonomi yang lemah dibandingkan dengan China, tentunya telah menjejaskan lagi kekuatannya sebagai negara harapan AS dari segi keselamatan ekonomi dan pertahanan. Jepun tidak dibenarkan membina senjata berat tetapi diizinkan oleh AS untuk mempunyai loji nuklear. Suatu hal yang menarik bahawa bencana tsunami yang paling dahsyat menimpa Jepun dalam keadaan Asia Barat dan Afrika Utara digugat oleh revolusi rakyat yang diharapkan oleh AS akan meningkatkan taraf demokrasi sesuai dengan konsep globalisasinya.

Revolusi rakyat yang bermula di Tunisia telah menjalar ke Mesir, Yemen, Bahrain dan dalam keadaan terhalang di Libya. Tidak jelas 'tangan' AS dalam kebangkitan rakyat yang menuntut peletakan jawatan Presiden yang telah menjadi "Raja" dan Raja-raja yang menjadi Maharaja di dunia Arab. Malah dalam kebangkitan ini, AS nampaknya tidak menjadi sasaran serangan rakyat. Tidak ada poster, pemidang atau pun jeritan slogan anti AS dalam tunjuk-tunjuk perasaan yang diadakan. Persaudaraan Islam di Mesir (Ikhwan Muslimin) dan Al-Qaeda juga bijak tidak mahu terperangkap dalam permainan AS yang mahu kelihatan "orang baik" ketika kebangkitan rakyat ini. Adalah mustahil untuk menolak sama sekali ada tangan di sebalik suatu kebangkitan teratur yang berlaku hampir serentak. Apakah tidak ada pihak yang mengkoordinasikan? Yang jelas menjadi korban dalam kebangkitan ini ialah orang Islam.

Mereka bergaduh dan berbunuhan sesama sendiri untuk kepentingan demokrasi ala-AS. AS tidak mahu Presiden menjadi raja dan pemerintahan beraja terus kekal di Asia Barat. Apakah kebangkitan ini tidak akan berlaku di Arab Saudi dan apakah Mekah akan kekal di bawah penguasaan Saudi? Di Libya, rakyat yang berperang dengan Muammar Gaddafi adalah rakyat yang tidak terlatih dalam ketenteraan dan mudah untuk dibunuh oleh tentera Gaddafi. Orang ramai menonton di TV bagaimana penentang Gaddafi menembak ke arah tentera pemerintah seperti mainan perang sahaja. AS jelas memihak kepada rakyat Libya dan memperalatkan mereka untuk menentang Gaddafi tetapi Barat juga takut kepada Gaddafi seperti mereka takut kepada Korea Utara. Keadaan yang berlaku ini tidak dapat diimbangi oleh kuasa manusia tetapi oleh hanya kuasa Allah yang tidak diduga.

Kematian di Jepun adalah lebih besar daripada kematian dalam kebangkitan revolusi di Asia Barat. Ancaman nuklear ciptaan manusia tiba-tiba menjadi ancaman yang lebih besar kepada orang Jepun setelah tsunami. AS telah mempersenjatai mereka untuk membunuh diri sendiri. Dalam keadaan ini, Republik Rakyat China pula kelihatan lebih mantap menapak sebagai kuasa besar ekonomi dunia ketika Jepun kini menghadapi kelumpuhan jentera ekonominya akibat tsunami. China akan bergerak lebih cepat lagi mencapai matlamatnya. Mala petaka yang berlaku di Jepun ini harus menyedarkan Malaysia yang 'melulu' untuk meniru sistem dan strategi pembangunan ekonomi Barat. Jika mahu maju maka kita mesti mempunyai loji nuklear? Apakah ini masih benar pada pandangan para saintis dan pakar pembangunan Malaysia. Sangat wajar bagi Malaysia untuk berfikir semula secara serius apakah wajar baginya untuk terus berkempen meyakinkan rakyat bahawa ia perlu mempunyai loji nuklear jika mahu menjadi negara maju atau mahu mencapai Wawasan 2020?

Apakah kita tidak boleh membangun mengikut acuan sendiri tanpa loji nuklear?Pembangunan Jepun yang begitu mengagumkan dunia berakhir dengan manusia seluruh dunia mengagumi kuasa Allah, meletakkan jutaan manusia Jepun dalam kemusnahan, kecemasan, ketakutan, kesengsaraan dan penderitaan yang belum diketahui penghujungnya. Tidak seperti Acheh sebaik-baik sahaja dilanda tsunami, CNN terus menghebahkan beratus ribu orang telah terbunuh. Tetapi CNN cuba memperkecilkan jumlah kematian sebaik-baik sahaja tsunami melanda Jepun, dikatakan hanya beratus orang sahaja yang mati. Tidak dapat diterima oleh logik akal tetapi akhirnya CNN tidak dapat menyembunyikan keadaan sebenar. Harta benda dan manusia yang lenyap bersama tsunami di Jepun adalah lebih besar dari segi nilai materialisme Barat. Sekalipun keruntuhan negara hamba setianya akan dapat diatasi tetapi moral dan semangat AS telah terjejas dan amat memedihkannya. Belajarlah daripada petunjuk Allah sebelum rakyat atau generasi masa depan negara ini menjadi mangsa kegelojohan menghambat pembangunan yang tidak mementingkan nilai-nilai kemanusiaan.

SEKADAR MENULIS DARI HATI : KASIH SAYANG DAN NILAI KEMANUSIAAN : PENGAJARAN DARIPADA KESETIAAN SEEKOR ANJING


Kasih sayang merupakan anugerah Tuhan yang paling berharga kepada manusia. Ia tidak dapat diukur dengan wang, harta, atau kedudukan, tetapi ia terpancar melalui tindakan, pengorbanan, dan keikhlasan. Dalam konteks ini, sebuah video yang merakamkan seekor anjing setia menjaga rakannya selepas bencana tsunami di Arahama, Jepun, telah memberikan mesej mendalam tentang makna kasih sayang sejati. Walaupun haiwan tidak dikurniakan akal seperti manusia, tindakannya jelas membuktikan bahawa kasih sayang melampaui batas bahasa dan budaya, malah ia adalah fitrah semula jadi yang ditanam dalam setiap makhluk ciptaan Tuhan.

Kasih Sayang dalam Perspektif Kemanusiaan

Sebagai seorang guru, saya mengakui pernah menitiskan air mata ketika menonton video seekor anjing yang tetap setia disisi kawannya yang menyentuh hati saya sebagai manusia yang berperasaan. Menurut Fromm (1956), kasih sayang adalah satu seni yang memerlukan kefahaman, usaha, dan tanggungjawab. Ia bukan sekadar emosi sementara, tetapi sebuah komitmen untuk menjaga dan melindungi. Tindakan anjing dalam video tersebut yang tetap berada di sisi rakannya yang lemah walaupun dalam keadaan bahaya telah mengingatkan kita bahawa kasih sayang sejati hadir tanpa mengira keadaan atau balasan.

Manusia seharusnya belajar daripada peristiwa ini. Kehidupan yang dibina dengan kasih sayang akan lebih tenteram, sejahtera, dan bahagia. Malah, psikologi positif menunjukkan bahawa individu yang mengamalkan kasih sayang dalam kehidupan seharian lebih berkemungkinan memiliki kesihatan mental yang baik serta jangka hayat yang panjang (Seligman, 2011).

Empati dan Solidariti dalam Situasi Krisis

Rakaman video tersebut juga menunjukkan reaksi spontan manusia yang menyaksikan peristiwa itu. Ada yang berasa sebak, ada yang menitiskan air mata, dan ada yang segera menghulurkan bantuan untuk menyelamatkan kedua-dua ekor anjing berkenaan. Reaksi ini membuktikan bahawa empati ialah asas kepada tindakan kemanusiaan. Menurut Hoffman (2000), empati merupakan keupayaan untuk berkongsi emosi orang lain, dan ia sering menjadi pendorong utama dalam tingkah laku prososial.

Dalam konteks bencana alam seperti tsunami, rasa empati dan solidariti amat penting untuk memastikan semua mangsa — manusia atau haiwan — mendapat perlindungan dan pertolongan sewajarnya. Ia juga mencerminkan nilai universal bahawa setiap kehidupan adalah berharga.

Kasih Sayang sebagai Nilai Asasi Pendidikan

Sebagai pendidik, saya melihat nilai kasih sayang ini harus dijadikan teras dalam pendidikan. Sekolah bukan sekadar tempat menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga ruang membentuk akhlak dan keperibadian. Menurut Noddings (2005), pendidikan berasaskan kasih sayang dan etika kepedulian mampu melahirkan pelajar yang bukan sahaja pintar, tetapi juga berhati mulia.

Kasih sayang dapat membentuk persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif. Pelajar yang merasakan dirinya disayangi akan lebih bersemangat untuk belajar, lebih berdisiplin, dan lebih menghormati orang lain. Nilai kasih sayang inilah yang harus dipupuk agar generasi masa depan tidak hanya cemerlang dalam akademik, tetapi juga dalam kemanusiaan.

Pengajaran kepada Manusia

Hakikatnya, manusia yang tidak memiliki kasih sayang lebih hina daripada binatang. Hal ini kerana binatang sekalipun masih tahu erti setia, melindungi, dan berkorban. Jika manusia kehilangan nilai kasih sayang, mereka akan hilang jati diri dan gagal menjalani kehidupan dengan bermakna. Oleh itu, video ini seharusnya menjadi cermin kepada kita: sejauh manakah kasih sayang yang kita tunjukkan kepada keluarga, rakan, jiran, bahkan kepada semua makhluk Tuhan di bumi ini?

Kesimpulan

Kesetiaan seekor anjing kepada rakannya dalam situasi getir tsunami membawa mesej yang amat besar kepada manusia. Ia membuktikan bahawa kasih sayang adalah fitrah yang perlu dipelihara. Dengan kasih sayang, manusia akan hidup lebih bahagia, dihormati, dan dirahmati. Tanpa kasih sayang, manusia hanya akan menjerumuskan diri ke lembah kebencian dan kehinaan.

Sebagaimana firman Allah dalam al-Quran (Ar-Rum:21), kasih sayang adalah tanda kebesaran-Nya: “Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasangan dari jenismu sendiri, supaya kamu merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang...” Ayat ini membuktikan bahawa kasih sayang adalah asas kepada keharmonian kehidupan, sama ada dalam kalangan manusia mahupun sesama makhluk.


Rujukan

  • Fromm, E. (1956). The Art of Loving. Harper & Row.

  • Hoffman, M. L. (2000). Empathy and Moral Development: Implications for Caring and Justice. Cambridge University Press.

  • Noddings, N. (2005). The Challenge to Care in Schools: An Alternative Approach to Education. Teachers College Press.

  • Seligman, M. E. P. (2011). Flourish: A Visionary New Understanding of Happiness and Well-being. Free Press.

  • Al-Quran, Surah Ar-Rum:21.