JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



16 Disember 2018

YANG SALAH DAN YANG BETUL

YANG SALAH
Ada berbagai barang di kedai itu.
YANG BETUL
Ada berbagai-bagai barang di kedai itu.
Ada pelbagai barang di kedai itu.

YANG SALAH
Ada pelbagai barang-barang di kedai itu
YANG BETUL
Ada pelbagai barang di kedai itu.

YANG SALAH
Farihin dihadiahkan sebuah buku harian.
YANG BETUL
Farihin dihadiahi sebuah buku harian.
Sebuah buku harian dihadiahkan kepada Farihin.

YANG SALAH
Farihin menghadiahkan Zulkarnain sebuah kereta.
YANG BETUL
Farihin menghadiahi Zulkarnain sebuah kereta.
Farihin menghadiahkan sebuah kereta kepada Zulkarnain.

YANG SALAH
Mustakim menghadiahi baju kepada Muslim.
YANG BETUL
Mustakim menghadiahkan baju kepada Muslim.

YANG SALAH
Buku itu dihadiahi kepada Zulkarnain.
YANG BETUL
Buku itu dihadiahkan kepada Zulkarnain.

YANG SALAH
David Beckham merindukan anaknya.
YANG BETUL
David Beckham merindui anaknya.

YANG SALAH
Hakim menjatuhkan pembunuh itu hukuman gantung.
YANG BETUL
Hakim menjatuhi pembunuh itu hukuman gantung.

YANG SALAH
Hakim telah menjatuhi hukuman gantung kepada pembunuh itu.
YANG BETUL
Pembunuh itu dijatuhi hukuman gantung

YANG SALAH
Bola itu ditendang oleh Christino Ronaldo.
YANG BETUL
Bola itu Christino Ronaldo tendang.

YANG SALAH
Dalam bilik itu ada banyak nyamuk.
YANG BETUL
Di dalam bilik itu ada banyak nyamuk.

13 Disember 2018

DAUN KETUM MEMPUNYAI NILAI KOMERSIAL?



Ketum atau nama saintifiknya ‘mitragyna speciosa’ sering menjadi tajuk perbualan, seiring dengan konflik yang membelenggu tanaman kontroversi itu, sama ada ia benar-benar membawa manfaat atau mencetus mudarat. Bagi majoriti penduduk, khususnya di sekitar utara Semenanjung, ketum atau lebih dikenali sebagai biak sudah sebati dengan kehidupan mereka sejak turun-temurun. Namun begitu, penyalahgunaan ketum sehingga membawa kepada ketagihan untuk meminumnya mencetus kebimbangan. Cadangan kerajaan untuk mengharamkan penanaman ketum bagi mengelak penyalahgunaan berleluasa, antara langkah yang wajar disahut.

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kewujudan lebih 32 hektar ladang ketum di negeri Kedah yang menjadi sumber bekalan utama pengedaran di negara ini dan Thailand telah membawa pulangan keseluruhan yang dijana dianggarkan di antara RM500,000 hingga RM1 juta sebulan. Itu baru di Kedah, belum lagi di Perlis dan Perak. Persoalannya, mengapa begitu banyak ketum ditanam sehingga berskala ladang seolah-olah, mahu dijadikan komoditi untuk eksport dan tidak menghairankan apabila banyak kes daun ketum dirampas di sempadan negara oleh pihak berkuasa. Isu pengharaman ketum sudah lama disuarakan dan ramai bersetuju kesan mudarat akibat ketagihannya yang mengandungi bahan aktif mitragynine, iaitu sejenis alkaloid psikoaktif yang dikawal di bawah Akta Racun 1952.

Sehubungan itu, timbul gesaan supaya ketum disenarai di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, sebaris pokok ganja, kanabis, popi dan koka, malah pindaan Rang Undang-Undang Dadah Berbahaya 1952 juga pernah dibentangkan di Dewan Rakyat. Sehingga kini, tiada keputusan konkrit mengenai pengharaman ketum dan ia terus menjadi polemik dari semasa ke semasa. Satu fakta menarik perlu diambil kira iaitu apabila menanam pokok ketum tidak dikira sebagai kesalahan, melainkan saat daunnya dipetik. Seksyen 30 Akta Racun 1952 menetapkan kesalahan bagi aktiviti mengimport, mengeksport, mengilang, menjual dan memiliki bahan psikotropik termasuk ketum, namun tiada soal penanaman disenaraikan.

Ruang lompong sebegini membuka ruang kepada pekebun untuk beralih mengusahakan ketum, beranggapan memiliki status ‘kebal’ dan tidak boleh disentuh pihak berkuasa. Kelonggaran ini wajar diberikan perhatian oleh kerajaan dalam merangka undang-undang berkaitan pengharaman ketum. Cadangan kerajaan negeri Kedah untuk merampas tanah yang dijadikan ladang ketum boleh dilihat semula walaupun ia tidak sempat dilaksanakan atas sebab tertentu. Malah, Jabatan Perhutanan di Kedah dan Perak pernah mengambil tindakan memusnahkan ladang ketum yang diusahakan secara haram di atas tanah rizab kerajaan atau dalam kawasan hutan simpan.

Apapun keputusan yang akan dibuat, manfaat ketum dari segi komersial dan perubatan perlu diberikan perhatian terlebih dahulu oleh kerajaan sebelum langkah mengharamkannya secara total diambil.

SIAPAKAH JAMAL KHASHOGGI?


Kisah kehilangan dan kematian Jamal Khashoggi, seorang wartawan kelahiran Arab Saudi mendapat liputan meluas dalam berita dunia. Beliau dilaporkan hilang sejak 2 Oktober lalu selepas memasuki Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki dan Jamal sebelum ini memilih untuk hidup dalam buangan di Virginia, Amerika Syarikat (AS) selepas meninggalkan Arab Saudi pada tahun lalu. Pihak berkuasa Turki menegaskan bahawa Jamal dibunuh dalam konsulat tersebut dan Riyadh pula mengakui bahawa Jamal meninggal dunia akibat bergaduh dalam bangunan itu biarpun sebelum ini negara berkenaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan terbabit.

Berikut adalah beberapa perkara mengenai Jamal:

KENAPAKAH JAMAL PALING MENONJOL?

Jamal dilahirkan pada 13 Oktober 1958 di Arab Saudi dan kariernya sebagai wartawan sering mengkritik barisan kepemimpinan kerajaan Riyadh ketika ini dan beliau berkongsi pandangannya menerusi ruang kolumnis dalam akhbar Washington Post sejak setahun lalu. Kariernya juga menyaksikan Jamal pernah membuat laporan mengenai kumpulan militan al-Qaeda di Afghanistan termasuk kebangkitan pemimpinnya, Osama Laden pada tahun 1980-an. Beliau juga pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Pengarang di akhbar Arab News pada 2001 dan insiden serangan pengganas pada 11 September menjadikan Jamal sebagai ‘sumber paling berharga’ kepada media asing untuk mengetahui serta memahami situasi sebenar dalam serangan tersebut. Jamal sebelum ini pernah dipecat sebanyak dua kali sebagai Ketua Pengarang akhbar Saudi Al-Watan kerana berita yang dipaparkan sering mengkritik golongan pelampau dan pelaksanaan nilai agama di Arab Saudi.

KENAPAKAH BELIAU AMAT DIKENALI DI LUAR ARAB SAUDI?

Ketika berkhidmat dengan Saudi Al-Watan, Jamal juga merupakan penasihat kepada Duta Arab Saudi ke London iaitu Putera Turki Al-Faisal. Pada 2005, apabila Putera Turki dilantik pula sebagai Duta Arab Saudi ke AS, Jamal menjadi pembantu medianya dan kebanyakan masa Jamal bertugas sebagai kolumnis dan pengulas sebelum meninggalkan negara itu dan pindah ke AS pada Jun 2017.


KENAPAKAH JAMAL HIDUP DALAM BUANGAN?

Jamal memberitahu rakan dan wartawan bahawa ruang kebebasan bersuara di bawah pimpinan Putera Mahkota Arab Saudi iaitu Putera Mohammed Salman semakin mengecil dan beliau bimbang akan keselamatannya. Dalam satu temu bual bersama Al-Jazeera TV pada Mac lalu, Jamal memaklumkan bahawa dia akan meninggalkan Riyadh kerana enggan ditahan pihak berkuasa negara itu. Beliau juga menceritakan bagaimana dia dipecat sebanyak dua kali kerana mendesak reformasi dilakukan di Arab Saudi.

APAKAH YANG DITULIS OLEH JAMAL?

Jamal tidak menganggap dirinya sebagai seorang pengkhianat negara, sebaliknya sebagai seorang penulis yang melahirkan kebimbangan mengenai hala tuju Arab Saudi di bawah pimpinan Putera Mohammed yang berusia 33 tahun. Penulisan pertamanya dalam Washington Post pada 18 September 2017 menceritakan tentang keputusannya meninggalkan Arab Saudi. “Saya sudah tinggalkan rumah, keluarga, kerja saya. Untuk melakukan perkara sebaliknya akan mengkhianati pihak yang telah dipenjarakan. Saya ingin anda tahu bahawa Arab Saudi tidak seperti yang anda lihat ketika ini. Rak­yat negara itu berhak untuk dapat yang terbaik,” tulisnya.

Pada Februari lalu, Jamal menulis bahawa Putera Mohammed perlu belajar daripada kerabat diraja Britain bagaimana untuk mendapatkan kedudukan, kepercayaan, penghormatan dan kejayaan dengan bersikap rendah diri. “Jika Putera Mohammed bo­leh menerima segala kritikan rakyat, saya yakin beliau boleh tingkatkan kuasa serta pentadbirannya,” tulis Jamal. Selain itu, beliau juga menyamakan Putera Mohammed seperti Presiden Rusia, Vladimir Putin. Menerusi kolum terakhir sebelum beliau dilaporkan hilang, Jamal menggesa Putera Mohammed menamatkan perang terhadap Yemen yang dimulakan sejak lebih tiga tahun lalu.

KENAPAKAH JAMAL MEMASUKI KONSULAT ARAB SAUDI?

Jamal pergi ke Konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mengambil dokumen peribadi sebelum berkahwin dengan de­ngan tunangnya, Hatice Cengiz yang merupakan pelajar doktor falsafah warga Turki dan berusia 36 tahun. Beliau juga dilaporkan membeli sebuah rumah di Istanbul sebagai persiapan selepas berkahwin dengan Hatice.

APAKAH PANDANGAN ARAB SAUDI MENGENAI JAMAL?

Pihak berkuasa Arab Saudi sehingga kini tidak membuat sebarang kenyataan kritikal mengenai Jamal sejak kehilangannya. Putera Mohammed dalam temu bual bersama Bloomberg sebelum ini hanya memaklumkan bahawa Jamal merupakan warga Arab Saudi dan ingin tahu apa yang terjadi kepada wartawan tersebut. Putera Khalid Salman yng kini merupakan Duta Arab Saudi ke AS pula menyifatkan Jamal sebagai seorang rakan dan memuji beliau atas sumbangannya terhadap negara.

PERSON OF THE YEAR


Wartawan terkenal Arab Saudi, Jamal Khashoggi yang dibunuh kejam di Konsulat Riyadh di Istanbul dinamakan sebagai 'Person of the Year' oleh majalah Time pada 11 Disember 2018. Beliau turut berkongsi gelaran itu bersama beberapa wartawan lain yang digelar sebagai 'penjaga' kebenaran seperti Maria Ressa dan Wa Lon serta Kyaw Soe Oo yang kini dipenjarakan di Myanmar.

12 Disember 2018

HENTIKAN PENGGUNAAN KHIDMAT BAS SEKOLAH HARAM



Menteri Pengangkutan, Anthony Loke sendiri mengakui pengusaha bas sekolah yang tidak berdaftar sudah berlarutan sejak 30 tahun lalu. Berdasarkan statistik terkini, hanya 14,809 bas sekolah berdaftar, sekali gus tidak setimpal dengan jumlah 3.9 juta pelajar sekolah di seluruh negara. Perbandingan itu lebih membimbangkan apabila Tan Sri Syed Hamid Albar ketika menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pernah mendedahkan lebih 50,000 bas sekolah di seluruh negara dipercayai masih beroperasi secara haram dan belum berdaftar dengan agensi di bawah SPAD pada 2013. Mengambil kira angka itu, ini bermakna setiap bas sekolah berdaftar, ada dua dan tiga lagi kenderaan haram yang turut membawa anak-anak kita berulang-alik dari rumah ke sekolah.

Berleluasanya operasi bas sekolah haram itu sudah tentu turut berpunca daripada permintaan dan penawaran yang membabitkan ibu bapa sendiri. Dalam situasi ibu bapa sibuk mengejar dan membina kerjaya masing-masing sehingga terpaksa keluar awal pagi dan pulang malam. Kita ‘menyerahkan’ tanggungjawab menghantar dan mengambil anak di sekolah kepada pengusaha bas. Malangnya, hal itu dilakukan tanpa mengambil kira sama ada kenderaan terbabit berdaftar atau tidak dan tidak mengambil tahu adakah status kenderaan yang digunakan mengikut piawaian ditetapkan. Ini sekali gus mendedahkan anak-anak kepada risiko kemalangan yang berlaku akibat kecuaian pemandu atau kerosakan mekanikal. Mengikut peraturan, setiap pemandu bas sekolah perlu mempunyai Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV), manakala kenderaan pula wajib menjalani pemeriksaan berkala dan mendapat kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

Pengusaha juga perlu melakukan pemeriksaan dalam aspek keselamatan seperti cermin kenderaan yang berkeadaan baik dan alat pemadam api masih berfungsi. Dalam hal ini, sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan untuk memastikan hanya van serta bas sekolah berdaftar sahaja dibenarkan beroperasi dan memantau kehadiran kenderaan haram serta melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kerjasama dengan pengusaha berdaftar juga perlu dipergiatkan seperti mengedarkan senarai van serta bas yang sah kepada ibu bapa. Kerajaan juga tidak harus berkompromi dalam isu bas sekolah tidak berdaftar ini kerana ia membabitkan keselamatan pelajar. Langkah melakukan pemutihan bas yang tidak berdaftar selewat-lewatnya tahun depan dengan mewujudkan mekanisme terbaik untuk menjayakannya tidak boleh lagi hanya menjadi halwa telinga setiap kali pertemuan pihak kementerian dengan pengusaha bas. Sebaliknya memerlukan pelan yang komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya pelajar itu sendiri.

Kementerian Pengangkutan juga boleh memperkenalkan langkah tambahan untuk menambah baik perkhidmatan bas sekolah seperti pengenalan gred berdasarkan kualiti pemandu, kenderaan dan maklum balas daripada sekolah serta ibu bapa. Kita mengharapkan perbincangan mengenainya tidak hanya terarah kepada isu kos dan tambang sehingga perkara pokok dikesampingkan tetapi lebih kepada justifikasi menaikkan harga perkhidmatan. Persoalan sebenar mengenai keselamatan pelajar bermula ketika mengambil, membawa dan menurunkan mereka di sekolah serta rumah masing-masing seharusnya menjadi keutamaan. Kita juga berharap soal ini diatasi secepat mungkin dan tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk diselesaikan dengan mengulang kembali fiil lama, bak kata pepatah ‘terperlus maka hendak menutup lubang.’ Apatah lagi lubang yang belum ditutup itu boleh menjerumuskan anak-anak kita kepada bahaya.

11 Disember 2018

KEYAKINAN TERHADAP BAHASA MELAYU PERLU DIPERKUKUH

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE
TARIKH:3 DISEMBER 2018
PENULIS: SITI HALIZA YUSOP

Bahasa Iceland masih wujud meskipun dikatakan akan pupus dua abad yang lalu, tidaklah salah untuk mengatakan bahasa Melayu juga akan terus bertahan dalam menghadapi gelombang besar bahasa Inggeris ketika ini. Walau bagaimanapun, perkara yang mungkin lebih sukar di sebalik cabaran itu ialah ‘melayani’ krisis keyakinan yang nampaknya kuat berakar dalam diri sebahagian masyarakat sehingga ada menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu. Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Supyan Hussin, menyifatkan mereka yang menganggap bahasa Melayu bukan bahasa ilmu sebagai tidak berpijak pada bumi nyata. Beliau berkata, sebagai bahasa Malayo-Polinesia merentasi sempadan negara ini, bahasa Melayu yang dituturkan lebih 330 juta penduduk di seluruh Nusantara sudah lama digunakan untuk menyampaikan pelbagai ilmu melalui buku dan kitab.

Di negara ini, peranan itu terutamanya berlaku ketika bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar sepenuhnya di sekolah dan di universiti awam (UA) menyebabkan buku ilmiah, jurnal serta kuliah dan pengajaran disampaikan dalam bahasa Melayu. Sejak itu, berlaku pertambahan istilah baharu dalam daftar leksikon kamus dan bilangan buku ilmiah dalam bahasa Melayu daripada pelbagai bidang termasuk sains, teknologi, perubatan, seni bina serta kejuruteraan.

BAHASA MELAYU BAHASA ILMU

Menurut Prof Dr Supyan Hussin lagi, kehadiran buku ilmiah dan makalah dalam bahasa Melayu sebagai sumber ilmu ini turut membolehkan bahasa ini terus berkembang sebagai bahasa ilmu apabila semakin ramai sarjana Eropah, Amerika, dan Australia menguasai bahasa ini demi mendalami ilmu alam Melayu.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bahasa Iceland yang terus hidup di sebalik tekanan bahasa Inggeris yang dibawa teknologi moden, sama seperti apa yang berlaku kepada bahasa Melayu kini. Dituturkan 350,000 penduduk kepulauan Atlantik Utara, bahasa Iceland nampaknya terus hidup meskipun 200 tahun lalu ia diramalkan sesetengah pihak sebagai akan mati dan terus pupus. Ramalan kepupusan bahasa Iceland itu sebahagiannya berpunca daripada ketiadaan perancangan pemerintahnya dalam memulihara kelangsungan dan kekuatan bahasa sebagai usaha kelestarian bahasanya.

Usaha konkrit untuk memulihara bahasa Iceland itu, hanya disedari selepas berpuluh-puluh tahun dan kewujudan badan penggerak ala Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di negara itu membantu Iceland untuk melihat semula kelangsungan bahasa mereka. Polisi bahasa, peruntukan wang untuk penggalakan bahasa, insentif dan penguatkuasaan bahasa, menjadikan bahasa Iceland kembali subur serta terus dilestari malah kini menjadi bahasa kebanggaan rakyat mereka. Oleh itu, pemerkasaan DBP perlu dilakukan termasuk melalui peruntukan belanjawan dan undang-undang bertujuan menguatkuasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi negara. Perkara yang paling penting, kita juga memerlukan iltizam politik oleh pemimpin negara untuk memartabatkan bahasa kebangsaan di negara sendiri, seperti berlaku dalam kes bahasa Iceland.

KERAJAAN BAHARU PERLU TEGAS

Prof Dr Supyan Hussin mengatakan antara cabaran terbesar bahasa Melayu pada ketika ini ialah untuk memastikan masyarakat terus berpegang kepada Perlembagaan terutamanya Akta 152 yang menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara. Kegagalan berpegang kepada akta ini termasuk Dasar Bahasa Kebangsaan akan memberi kesan yang sangat buruk kepada pembangunan negara bangsa. Kegagalan rakyat termasuk pemimpin parti politik untuk berpegang kepada Akta 152 dan Dasar Bahasa Kebangsaan akan menyebabkan berlakunya kecelaruan dalam pembangunan negara bangsa. Di sinilah pentingnya kerajaan baharu untuk tegas dalam mempertahankan Akta 152 dan Dasar Kebangsaan dalam sebarang urusan rasmi negara. Perlembagaan tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan tidak menghalang rakyat mahu mengembangkan bahasa ibunda mereka tetapi bukan untuk menggantikan bahasa kebangsaan dengan bahasa lain.

DEMOKRASI DI MALAYSIA YANG KELIMA TERBAIK DI ASIA

SUMBER : AGENSI
TARIKH: 9 DISEMBER 2018


Malaysia menduduki tangga kelima dalam senarai amalan demokrasi terbaik di Asia bagi 2017 yang diungguli Korea Selatan diikuti Jepun, India dan Filipina. Ini berdasarkan Indeks Demokrasi Unit Risikan Ekonomi yang mengambil kira lima faktor, iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, kebebasan sivil, tahap kerajaan berfungsi, penyertaan politik dan budaya politik. Berdasarkan indeks itu adalah disimpulkan bahawa negara Asia sudah mencapai kemajuan terbesar dari segi amalan demokrasi, meskipun ada beberapa negara yang masih ketinggalan. Selain itu, banyak negara Asia berada di kedudukan atas amalan demokrasi dalam kalangan 166 negara tetapi belum boleh disifatkan mencapai 'demokrasi penuh,' lapor portal Thailand, The Nation.

Negara melonjak ke tangga ke-20 terbaik dunia dari kedudukan ke-24 pada 2016, sebahagiannya berpunca daripada desakan rakyat membawa kepada pemecatan Presiden ketika itu, Park Geun-hye atas tuduhan menggelapkan wang. Jepun berkedudukan kedua di Asia tetapi ke-23 secara global, manakala India ketiga di Asia dan ke-42 secara global, satu penurunan daripada kedudukan ke-32 sebelumnya kerana pengaruh puak berhaluan kanan dan serangan ke atas minoriti dan pihak digelar 'penentang’. 'Filipina adalah ke-4 di Asia dan ke-51 secara global, manakala Malaysia ke-5 di Asia dan ke-59 secara global diikuti Mongolia dan Sri Lanka yang berada di tempat ke-60 dan ke-62 secara global.

Indonesia pula jatuh dari kedudukan ke-48 kepada ke-68, sebahagiannya disebabkan undang-undang menghina agama yang didakwa digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara. Ini diikuti Singapura di kedudukan ke-69 secara global, manakala Nepal dan Bhutan di nombor 94 dan 99 manakala Thailand di kedudukan 107. Pakistan yang mendapati demokrasinya terjejas kerana undang-undang menghina agama serta tapisan media, di tempat ke-110 diikuti Myanmar dan Kemboja.

APAKAH MAKNA ICERD?


SUMBER : UTUSAN ONLINE
TARIKH: 4 NOVEMBER 2018
PENULIS ARTIKEL: SHAMRAHAYU A. AZIZ
Pensyarah Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination, (ICERD) ialah perjanjian antarabangsa yang bertujuan untuk menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum. Ia telah dibuka untuk ditanda tangani dan seterusnya disahkan oleh negara-negara sejak 21 Disember 1965. Sehingga kini, 15 buah negara masih belum menandatangani dan membuat ratifikasinya, antaranya ialah Malaysia. Ratifikasi (ratification) dalam undang-undang antarabangsa bermaksud suatu negara menyatakan persetujuannya untuk terikat kepada suatu perjanjian jika pihak-pihak tersebut berhasrat untuk menunjukkan persetujuan mereka untuk terikat walaupun tidak dipaksa untuk mengikat. Perbincangan tentang ICERD memerlukan kefahaman pemakaian undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan Malaysia. Terdapat dua teori penerimaan dan pemakaian undang-undang antarabangsa dalam suatu negara; (1) Doktrin Diperbadankan (Doctrine of Incorporation) dan (2) Doktrin Transformasi (Doctrine of Transformation).

Menurut ‘Doktrin Diperbadankan’, undang-undang antarabangsa secara automatik dimasukkan dalam undang-undang domestik setelah ia diratifikasi sehingga undang-undang tempatan dan undang-undang antarabangsa menjadi satu, sama dan serupa (monism). “Doktrin Transformasi” pula bermaksud undang-undang antarabangsa tidak secara automatik menjadi undang-undang tempatan. Dalam teori transformasi ini, undang-undang antarabangsa dan undang-undang tempatan adalah dua entiti berbeza dan berasingan (dualism). Penerimaan undang-undang antarabangsa dalam sistem perundangan negara hanya boleh dibuat melalui proses perundangan negara. Malaysia menerima doktrin transformasi kerana tiada peruntukan Perlembagaan yang menetapkan penerimaan undang-undang antarabangsa secara automatik. Oleh itu, semua instrumen yang menjadi sumber undang-undang antarabangsa, seperti Triti, Perjanjian dan Konvensyen tidak akan menjadi undang-undang negara kita sehinggalah kita meminda atau membuat undang-undang tempatan berkaitannya.

Perkara 74 dan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan memberikan kesan bahawa kuasa untuk membuat atau menandatangi dan meratifikasi triti atau perjanjian di peringkat antarabangsa adalah terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan. Ia juga menunjukkan bahawa Badan Eksekutif mempunyai kuasa untuk membuat perjanjian antarabangsa atau menandatangani apa-apa perjanjian antarabangsa, manakala kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang antarabangsa tersebut adalah terletak hak kepada Parlimen. Oleh itu, bagi membolehkan suatu perjanjian antarabangsa itu berkuat kuasa Parlimen hendaklah meluluskan undang-undang bagi menjelmakan atau membuat pernyataan khusus tentang perkara-perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian tersebut bagi tujuan pelaksanaanya. Sekiranya tiada, maka instrumen antarabangsa yang telah dipersetujui oleh Badan Eksekutif tidak akan mengikat atau tidak boleh diamalkan atau tidak boleh diterima di mahkamah (prinsip berbeza dalam kes melibatkan Undang-Undang Adat Antarabangsa).

Perkara 76 Perlembagaan Persekutuan menyatakan, antara lain bermaksud, sesuatu undang-undang yang bertujuan melaksanakan perjanjian antarabangsa yang dipersetujui Malaysia di peringkat antarabangsa tidak boleh dibuat sekiranya undang-undang tersebut melibatkan hal-hal berkaitan hukum Syarak, adat orang Melayu atau undang-undang atau adat anak negeri Sabah dan Sarawak. Sementara itu, sesuatu rang undang-undang yang berkaitan dengan triti, perjanjian dan konvensyen yang ditandatangani oleh Persekutuan tidak boleh diperkenalkan dalam Parlimen tanpa rundingan dengan kerajaan mana-mana Negeri dalam Persekutuan. Peruntukan ini walau bagaimanapun masih belum ditafsirkan oleh mana-mana mahkamah di negara ini.

Bercanggah

Kesimpulannya, amalan Malaysia dalam penerimaan triti atau perjanjian antarabangsa adalah berdasarkan kepada ‘doktrin transformasi’. Walaupun Kerajaan (Eksekutif) telah mengesahkan perjanjian antarabangsa, tetapi ia tidak mempunyai kesan undang-undang dalam negara kecuali Parlimen telah meluluskan undang-undang untuk menguatkuasakan undang-undang bagi tujuan untuk perjanjian antarabangsa tersebut. Inilah hujah yang sering digunakan oleh pihak yang menyokong cadangan meratifikasi ICERD. Hujah lain yang kelihatan dalam bicara berkaitan ICERD ialah, sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk menandatangani dan meratifikasi sesebuah Perjanjian Antarabangsa, Kerajaan boleh meletakkan reservation atau pengecualian; atau kerajaan boleh membuat interpretative declaration.

Maksudnya kerajaan tidak perlu menerima keseluruhan perjanjian tersebut, tetapi boleh meletakkan pengecualian-pengecualian tentang perkara-perkara yang didapati bercanggah dengan undang-undang atau dasar negara, termasuk Perlembagaan Persekutuan, Akta atau Enakmen. Atau, kerajaan boleh menyatakan definisi tersendiri kepada mana-mana peruntukan dalam perjanjian antarabangsa. (Lihat Guide to Practice on Reservations to Treaties 2011). Namun begitu, menurut Guide to Practice on Reservations to Treaties 2011 pengecualian kepada suatu ratifikasi perjanjian antarabangsa akan hanya diterima sekiranya ia tidak ditolak oleh negara-negara lain dan antara alasan yang boleh diberikan oleh negara-negara lain ialah, pengecualian tersebut menyebabkan objektif suatu perjanjian tersebut tidak tercapai. Pengecualian tersebut juga hendakalh diterima oleh 2/3 daripada negara-negara lain (Perkara 20 ICERD).

Dalam kes ICERD, sekiranya kerajaan mahu menandatangani dan meratifikasi perjanjian ini, perincian-perincian tentang pengecualian tersebut perlu didedahkan dan dibahaskan dengan matang supaya ia dapat difahami dan diterima oleh rakyat terbanyak. Selain itu, PBB mempunyai mekanisme tertentu untuk pelaksanaan perjanjian-perjanjian yang ditandatangani. Mekanisme ini diwujudkan bagi memastikan setiap perjanjian yang diratifikasi oleh negara-negara mencapai objektifnya. Dalam kes ICERD, ia menyatakan dengan jelas bahawa suatu Jawatankuasa, yang dikenali sebagai Committee on the Elimination of Racial Discrimination (Perkara 8 ICERD). Walaupun mekanisme PBB ini umumnya tidak begitu cekap dalam amalannya, tetapi, ia mempunyai sisten dan kekuatan tersendiri.Perkara pokok yang perlu dibincangkan dalam kes cadangan kerajaan untuk menandatangani dan meratifikasi ICERD ini ialah, adakah keistimewaan-keistimewaan yang diberikan kepada Melayu dan Anak Negeri serta kepentingan sah komuniti-komuniti lain seperti yang ada dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan adalah berbentuk diskriminasi?

Sekiranya ia adalah diskriminasi maka kesannya nanti ialah, PBB boleh menggunakan mekanismenya untuk meletakkan tekanan ke atas negara kita untuk mengubah apa jua undang-undang serta polisi-polisi berkaitan. Namun begitu,  sekiranya Perkara 153 yang menjamin keistimewaan dan kepentingan sah tersebut adalah suatu special measures yang satu-satunya bertujuan “securing adequate advancement of certain racial or ethnic group or individuals…in order to ensure …(their) enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedom”, ia bukanlah suatu diskriminasi perkauman. Sekiranya begitu, ia masih boleh terus diamalkan negara sehingga tujuan tersebut telah dicapai. Sekiranya special measures tersebut telah mencapai objektifnya, ia hendaklah dimansuhkan untuk mencapai objektif ICERD (Perkara 1(4) ICERD). Ini adalah asas kepada mereka yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan meratifikasi ICERD.

Pandangan ini mempunyai asas yang kukuh untuk menangani kesan negatif ICERD ke atas sensitiviti bangsa Melayu untuk jangkamasa panjang kepada ratifikasi ICERD. Oleh kerana ICERD ini masih diragui tentang kesan jangka panjang ke atas nilai dan identiti bangsa, perbincangan dan wacana intelektual perlu diteruskan dalam khalayak warga Malaysia sebelum ia dibawakan ke Parlimen untuk dibincangkan oleh para elit politik. Malaysia tidak perlu terburu-buru menandatangani ICERD dan kita tidak perlu beremosi, menuding jari dan mengambil kepentigan kepartian, bincanglah dengan waras dan penuh wibawa. Ini soal nilai dan identiti bangsa dan negara kita yang berdaulat.

09 Disember 2018

NAHAS JALAN RAYA SEMAKIN BURUK DI SELURUH DUNIA, 1.23 JUTA KEMATIAN SETAHUN


Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Kemalangan jalan raya membunuh seseorang setiap 24 saat dengan keseluruhan 1.35 juta kematian trafik direkodkan di seluruh dunia pada setiap tahun. WHO berkata, angka korban tahunan melambung kepada kira-kira 100,000 orang dalam tempoh hanya tiga tahun, manakala kemalangan jalan raya kini pembunuh utama kanak-kanak dan belia berusia antara lima tahun hingga 29 tahun. Kematian ini adalah harga yang tidak patut dibayar untuk pergerakan manusia. “Tiada alasan untuk tidak bertindak,” kata ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan.

Menurutnya, Laporan Status Global Keselamatan Jalan Raya WHO yang diterbit berdasarkan data dari tahun 2016 menunjukkan situasi menjadi semakin teruk. Dalam laporan terakhirnya, berdasarkan data dari tahun 2013, bilangan kematian akibat kemalangan jalan raya dianggarkan seramai 1.25 juta orang setahun. Menurut WHO, korban kemalangan di Benua Afrika agak tinggi merangkumi 26.6 kematian trafik setiap tahun untuk setiap 100,000 penduduk berbanding 9.3 kematian di Eropah, rantau yang mencatatkan kadar kematian trafik paling rendah di dunia.


Laporan WHO yang diterbitkan semalam itu turut menunjukkan sikap tidak peduli pemilik kenderaan terhadap golongan paling lemah di jalan raya dengan lebih separuh daripada mereka yang terkorban dalam nahas trafik merupakan sama ada pejalan kaki atau penunggang dan pembonceng kenderaan dua roda seperti motosikal serta basikal. Pejalan kaki dan penunggang basikal merangkumi 26 peratus daripada keseluruhan kematian trafik, manakala angka tersebut mencecah 44 peratus di Afrika. Sementara itu, penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan 28 peratus daripada keseluruhan korban di jalan raya tetapi angka itu melonjak kepada 43 peratus di Asia Tenggara, demikian menurut laporan WHO.

08 Disember 2018

PENGETUA MESTI BUANG SIKAP JAGA NAMA BAIK SEKOLAH DAN LINDUNGI PENJENAYAH.


SUMBER : UTUSAN MALAYSIA ONLINE
TARIKH : 15 NOVEMBER 2018


Guru besar atau pengetua sekolah perlu membuang sikap menjaga nama baik atau imej sekolah sehingga melindungi perlakuan jenayah termasuk seksual yang melibatkan warga sekolah, kata seorang penganalisis jenayah, Datuk Akhbar Satar.  Menurut beliau, sikap sedemikian tidak membantu mana-mana pihak malah pelaku berkecenderungan mengulangi jenayahnya jika tindakan yang diambil hanya ditukarkan sekolah. Guru besar atau pengetua kena amanah apabila terima laporan. Perlu jalankan tanggungjawab tanpa kompromi. Apabila terima laporan daripada pelajar atau ibu bapa, terus lapor kepada pihak polis bukannya melindungi pesalah demi nak jaga nama atau imej sekolah.

Budaya ini beri peluang bukan pengajaran kepada pesalah. Jika dibiar atau kenakan tindakan tidak tegas seperti kaunseling sahaja, akan jadi serius selain jatuhkan nama baik warga pendidik. Akhbar mengulas pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai tawaran hubungan seks kepada guru sebagai habuan bagi mendapatkan keputusan peperiksaan yang cemerlang. Akhbar yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi Universiti HELP, berkata situasi itu tidak boleh dipandang remeh, malah pelajar yang menjadi mangsa juga harus berani tampil membuat laporan dan tidak menyembunyikan perkara itu.

Pelajar perlu jaga etika pemakaian, percakapan serta perlakuan yang boleh mendorong berlakunya jenayah seksual antara pelajar dan warga pendidik," katanya memetik tiga faktor mengundang jenayah hasil penyelidikan Cohen (amp) Felson iaitu 'motivated offender, suitable victim and absence of a capable guardian' (menggalakkan pelaku, mangsa sesuai dan ketiadaan penjaga berkemampuan). Presiden Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim pula berkata kes sedemikian tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan warga pendidik yang sememangnya dipandang mulia oleh masyarakat sejak dahulu lagi.

Beliau mahu tindakan lebih tegas dan hukuman setimpal dikenakan ke atas pelaku sekiranya didapati bersalah selain menggesa ibu bapa agar menjadi pendengar setia kepada anak masing-masing dan bukan sekadar memastikan hanya memberi pendidikan dan wang ringgit sahaja. Adalah menjadi kewajipan orang dewasa untuk lapor sekiranya menerima aduan. Warga pendidik yang ada sikap atau terima habuan seks tidak perlu ada dalam industri," katanya. Berkongsi mengenai Akta Kanak-Kanak 2001, Noor Azimah berkata individu yang mengambil sikap 'berpeluk tubuh' daripada melaporkan sebarang kes penderaan kanak-kanak juga berdepan hukuman kerana mereka wajib melindungi golongan itu. Mengikut Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, tiga pihak iaitu pengamal perubatan, anggota keluarga dan pengasuh, masing-masing wajib melaporkan sebarang kes penderaan. Sekiranya gagal, hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap mereka.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia Kamarozaman Abd Razak menyifatkan perlakuan itu sebagai mencemari profesion guru yang selama ini sinonim dengan pepatah 'guru ibarat lilin, membakar diri menerangi orang lain'. "Perkara seumpama ini tidak patut berlaku kerana ia secara langsung menjadi titik pencemaran keperibadian guru itu sendiri. Sedikit sebanyak menghakis kepercayaan dan penghormatan masyarakat terhadap warga pendidik," katanya. Beliau berharap warga pendidik menjaga nama baik profesion selain merealisasikan saranan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang mahu melihat sekolah sebagai tempat yang selamat dan selesa untuk pelajar dan guru.



GURU MALAYSIA PALING BERDEDIKASI DI DUNIA. TAHNIAH



Bancian Pendidikan Global yang pertama kali diadakan mendapati guru di Malaysia paling menyukai pekerjaan mereka dan antara golongan pendidik di dunia paling berdedikasi bagi memastikan pelajar mereka mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Kumpulan pendidikan dari Penilaian Pendidikan Antarabangsa Universiti Cambridge yang menjalankan bancian itu berkata, sebanyak 70 peratus guru di negara ini merasakan tugas mendidik mempunyai ganjaran tersendiri. Bancian juga mendapati sebanyak tiga daripada empat guru di Malaysia mengadakan kelas tambahan untuk membantu murid mereka mencapai keputusan peperiksaan yang baik. Keputusan peperiksaan dicapai oleh murid-murid di Malaysia juga yang paling tinggi dicapai antara negara-negara terlibat dalam bancian ini. Bancian itu melihat keadaan persekolahan pelajar berumur antara 12 hingga 19 tahun dan guru di 10 negara termasuk Argentina, China, India, Indonesia, Pakistan, Sepanyol, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat. Sebanyak 477 pelajar dan 634 guru di negara ini terlibat dalam bancian tersebut.




HUTAN HUJAN AMAZON BAKAL MUSNAH?



Kadar kemusnahan hutan hujan Amazon dilaporkan sudah mencapai tahap tertinggi dalam tempoh sedekad pada tahun ini yang berpunca daripada kegiatan pembalakan haram dan pencerobohan hutan secara berleluasa. Imej satelit yang dikumpul dalam tempoh 12 bulan sehingga hujung Julai 2018 me­nunjukkan kira-kira 7,900 kilometer per segi kawasan hutan Amazon dimusnahkan dan ke­luasan itu bersamaan lebih separuh daripada wilayah Jamaica. Keadaan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 13.7 pe­ra­tus dari tempoh yang sama dalam tahun 2017.

Pemusnahan hutan disifatkan sebagai satu daripada punca kepada pemanasan global di seluruh dunia. Kerajaan Amerika Syarikat (AS) melaporkan perubahan iklim akan menyebabkan kerugian sehingga berbilion dolar kepada negara itu menje­lang penghujung abad ini. Menteri Alam Sekitar Brazil, Edson Duarte berkata, kegiatan pembalakan haram merupakan faktor utama kepada kemusnahan hutan Amazon, sekali gus mendesak supaya kerajaan memperkasakan undang-undang berkaitan perhutanan. Negeri Par dan Mato Grosso merupakan penyumbang terbesar kepada peningkatan pemusnahan hutan.

Dalam pada itu, Pemantau Iklim Brazil menyatakan, pe­ningkatan tahap kemusnahan hutan Amazon bukan lagi satu perkara yang mengejutkan ke­rana pembangunan sektor komuniti di negara ini turut me­­nyumbang kepada perma­salahan tersebut. Selain itu, beberapa badan kebajikan alam sekitar mengkritik kerajaan Brazil yang tidak mengambil langkah sepenuh­nya untuk mengatasi masalah kemusnahan hutan. Polisi baharu yang diper­kenal sebelum ini iaitu mengurangkan kawasan hutan yang terletak bawah perlindungan Persekutuan juga dilihat hanya meningkatkan masalah terbabit.





BUDAK BERUMUR 8 TAHUN RAIH PENDAPATAN RM91.7 JUTA SETAHUN



Walaupun baru berusia lapan tahun, namun Ryan mampu menjadi pencipta kandungan video YouTube yang meraih pendapatan tertinggi daripada laman terbabit. BBC yang memetik laporan majalah Forbes sebagai berkata, Ryan yang mewujudkan saluran Ryan ToysReview memperoleh pendapatan sebanyak AS$22 juta (RM91.7 juta) sepanjang tahun 2017. Ini menjadikan Ryan muncul sebagai penerima bayaran ter­tinggi YouTube selepas berada di tempat kelapan. Pendapatan Ryan, tidak termasuk cukai dan bayaran kepada ejen serta peguam, telah meningkat dua kali ganda berbanding tahun sebelumnya. Ketika ditanya oleh saluran televisyen NBC mengapa kanak-kanak suka melihat videonya, Ryan menjawab: “Kerana saya menghiburkan dan kelakar.”

Sejak salurannya diwujudkan oleh ibu bapanya pada Mac 2015, sebanyak 26 bilion tontonan telah dicatat dan Ryan kini mempunyai 17.3 juta pengikut di laman tersebut. Menurut Forbes, AS$1 juta (RM4.1 juta) daripada pendapatan keseluruhannya diperoleh menerusi iklan dan selebihnya menerusi tajaan pelbagai pihak. Walmart mula menjual pelbagai barangan eks­klusif milik Ryan seperti pakaian dan patung permainan dikenali sebagai Ryan’s World. Hasil jualan barangan eks­klusif milik Ryan bersama Walmart itu akan meningkatkan lagi jumlah pendapatannya pada tahun 2019. Namun begitu, 15 peratus daripada jumlah pendapatannya akan dimasukkan ke dalam bank akaun, yang hanya boleh diakses ketika Ryan sudah dewasa.

22 November 2018

FAKTA TERKINI : RAMAI HILANG KERJA 2025?



SUMBER : AFP (18 SEPTEMBER 2018)

Menjelang 2025, robot akan melakukan 52 peratus daripada tugas yang ada di seluruh dunia iaitu dua kali ganda daripada yang dilakukan sekarang, menurut kajian Forum Ekonomi Dunia (WEF). Peningkatan mendadak itu memberi kesan kepada peranan manusia dalam tugas terbabit kerana mereka kini perlu memantapkan kemahiran. Ini bagi memastikan manusia tidak ketinggalan ekoran ‘pertukaran gelombang’ berhubung cara manusia mengendali kerja menggunakan program komputer dan mesin. Menjelang 2025 lebih separuh daripada tugas-tugas di tempat kerja sekarang akan dilakukan oleh mesin yang hari ini melakukan 29 peratus daripada tugas itu.

Secara beransur-ansur, perubahan mendadak proses mesin dan algoritma atau komputer yang direka untuk menyelesaikan masalah boleh mencipta sebanyak 133 peranan baharu di 75 juta tempat yang akan diganti, antara sekarang dan 2022,” lapor kajian tersebut. WEF yang beribu pejabat di Geneva terkenal melalui pe­nganjuran mesyuarat tahunan dalam kalangan individu kaya, ahli politik dan pemimpin perniagaan di Davos, Switzerland. Melalui laporannya, The Future of Jobs 2018, forum itu meramalkan robot akan pantas menggantikan manusia dalam bidang perakaunan, pengurusan pelanggan, industri, pos dan kesetiausahaan.

Kerja-kerja yang memerlukan kemahiran manusia seperti jualan, pemasaran dan perkhid­matan pelanggan termasuk e-dagang dan media sosial akan mewujudkan permintaan tinggi. Kajian itu mendapati, cabaran utama ialah untuk me­latih semula pekerja yang akan ditekan agar meningkatkan kemahiran terutama dalam bidang kreativiti, pemikiran kritikal dan pujukan. Kajian tersebut dilakukan terhadap pengarah kakitangan dan eksekutif kanan daripada pelbagai syarikat di seluruh dunia yang mewakili 70 peratus pengeluaran global.

Antara hari ini dan 2022, mereka percaya sektor pelancongan, pengembaraan dan penerbangan perlu melatih semula pekerja dan mengenal pasti trend keseluruhan ke arah pembelajaran sepanjang hayat dan adaptasi. Kerajaan di seluruh dunia juga dinasihatkan untuk menyediakan jaringan keselamatan bagi pekerja dan masyarakat yang diancam oleh ‘anjakan penting’ dalam kualiti dan pengekalan kerja baharu.

FAKTA TERKINI : 8 BUAH BANDAR SEMAKIN TENGGELAM



SUMBER : AFP (6 OKTOBER 2018)

Kerajaan setiap negara perlu melakukan satu pelaburan besar dalam usaha mengurangkan risiko banjir bagi melindungi bandar-bandar yang terletak berhampiran pantai di seluruh dunia. Badan kebajikan yang berpangkalan di London, Christian Aid menyatakan bahawa keadaan paras laut yang semakin meningkat ketika ini boleh menjejaskan kira-kira tiga juta penempatan. Beberapa bandar tepi pantai seperti Jakarta direkodkan tenggelam sebanyak 25 sentimeter setiap tahun manakala Bangkok, Houston dan Shanghai berisiko ditenggelami banjir dalam tempoh beberapa dekad akan datang serta keadaan diburukkan lagi dengan perancangan tidak rapi dan bencana alam.

Kajian yang dilakukan oleh badan kebajikan tersebut juga mendapati sebanyak lapan bandar tepi pantai di seluruh dunia semakin tenggelam, sekali gus menyokong kenyataan peningkatan paras laut boleh menjejaskan kehidupan. Ketua Iklim Global Christian Aid, Kat Kramer berkata, kesan perubahan iklim boleh dilihat di seluruh dunia dengan petunjuk paling jelas adalah bahagian hemisfera utara sangat panas dan keadaan itu tidak normal. Banyak bandar besar di negara-negara maju semakin terdedah dengan perubahan iklim dan adalah sangat penting untuk semua pihak memberikan mereka sokongan serta membina sistem ketahanan yang kukuh.

Seruan tersebut sejajar dengan laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang akan dikeluarkan pada minggu depan berhubung gesaan terhadap kerajaan semua negara untuk meningkatkan usaha bagi menangani isu peningkatan suhu global. Panel Perubahan Iklim Kerajaan Dalaman akan memeriksa kesan yang diakibatkan oleh pemanasan global setinggi 1.5 darjah celsius iaitu di atas paras pra industri. Semua negara yang menandatangani Perjanjian Paris 2015 berusaha untuk memastikan had kenaikan suhu tidak akan melebihi dua darjah celsius menjelang hujung abad ini.