PAPA KATA BOLEH RUNDING
Pemangku Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Jeffrey Foo berkata penetapan gaji amah Indonesia sebanyak RM700 sebulan dengan pengkhususan kepada satu tugas hanyalah prinsip berdasarkan kurikulum latihan di Indonesia untuk membekalkan amah berkualiti dan profesional. Katanya, masih terdapat kelonggaran dan ruang untuk majikan berunding dengan agensi berhubung bidang tugas pembantu rumah yang bakal berkhidmat dengan mereka. "Yang dimaksudkan (Indonesia) amah hanya dilatih khusus untuk satu bidang, sebagai menjelaskan tugas utama mereka kerana prinsip dan peraturannya begitu. Saya percaya majikan masih boleh berunding dan menerangkan tentang tugas-tugas sampingan yang mungkin diperlukan daripada amah yang bakal digaji," katanya. Menurut Foo, persetujuan daripada pembantu rumah diperlukan terhadap tugas utama, selain kerja sampingan lain yang ditetapkan majikan sebelum mereka dihantar bekerja di negara ini.
Mana-mana pembantu rumah yang tidak bersetuju dengan tugas utama yang ditawarkan majikan atau enggan melakukan sebarang tugas di luar bidang utama tidak akan dihantar berkhidmat dengan majikan berkenaan. "Kalau mereka sudi dan sukarela apa salahnya. Kalau tak ada bantahan dan mahu terima tugas, mereka akan dibawa datang bekerja di sini. Semuanya ikut persetujuan amah," katanya. Bagaimanapun Foo berkata, majikan harus terlebih dahulu memaklumkan kepada agensi pembantu rumah mereka berkaitan tugas utama dan kerja sampingan yang perlu dilakukan pembantu rumah mereka bagi mengelakkan timbulnya masalah. "Selepas agensi terima maklumat daripada majikan, kita akan sampaikan kepada Indonesia dan pihak di sana pula akan tanya mereka yang bakal jadi amah sama ada bersetuju dengan syarat majikan. Syarat dan permintaan adalah secara bertulis oleh majikan. Inilah yang akan dipersetujui amah," ujarnya.
Foo berkata beliau tidak melihat perkara ini menjadi masalah besar kepada kerajaan Indonesia atau pembantu rumah yang dilatih memandangkan gaji yang ditawarkan Malaysia agak tinggi. "Malaysia tawar gaji RM700. Bayar lebih...tak ada masalah mendapat lebih sedikit (khidmat) daripada pembantu mereka," beliau memberi pandangan. Justeru, Foo meminta majikan yang bercadang mendapatkan khidmat pembantu rumah Indonesia supaya tidak melihat penetapan ini sebagai isu besar. Pada Khamis, Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara kerajaan Indonesia dan Malaysia mencapai kesepakatan yang menetapkan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) akan dihantar mengikut bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah. Ini bermakna seorang amah yang diupah hanya akan melakukan tugas khusus di rumah majikan dengan gaji minimum RM700.
Mengulas lanjut tentang gaji, Foo percaya penetapan itu dibuat sebagai menghadapi persaingan dari negara-negara lain seperti Hong Kong, China dan Singapura yang membayar lebih untuk khidmat pembantu rumah asing termasuklah dari Indonesia. Katanya, sebagai negara membangun majikan harus akur dengan keputusan sebulat suara yang dicapai oleh kerajaan Malaysia dan Indonesia. Dalam masa yang sama beliau turut mengakui angka tersebut dilihat tinggi bagi majikan berpendapatan sederhana. "Bagi majikan yang kurang mampu, mereka anggap gaji sebanyak itu tak berpatutan. Tapi jika dibandingkan dengan latihan kemahiran yang mereka perlu lalui, sudah pasti kerja mereka lebih berkualiti berbanding amah sebelum ini," katanya. Hasil persetujuan Malaysia - Indonesia, kesemua amah harus mengikuti latihan selama 200 jam di pusat bimbingan yang diiktiraf di Indonesia yang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh 21 hari.
Di Indonesia 12 daripada 176 agensi pekerjaan bersedia melatih pembantu rumah berkenaan manakala lima daripada 221 agensi pekerjaan di Malaysia bersetuju menguruskan penempatan mereka. Kumpulan amah pertama seramai 106 orang akan tiba di Malaysia bulan depan selepas selesai menjalani latihan yang bermula, Khamis. Sambil berharap masalah dan rungutan majikan berkaitan kualiti pembantu rumah Indonesia selesai atau sekurang-kurangnya berkurangan, Foo berkata majikan masih boleh menukar pembantu rumah mereka sekiranya mendapati mereka bermasalah.
MAMA KATA TAK RELEVAN
Pengkhususan satu tugas oleh pembantu rumah Indonesia hanya relevan dilaksanakan pada bidang-bidang tertentu yang bersesuaian, kata Ahli Majlis Penasihat Persatuan Majikan Pembantu Rumah Malaysia (Mama), Sabariah Abdullah. Beliau berkata, dengan gaji minimum RM700 bagi pembantu rumah melakukan satu tugas khusus sahaja dianggap sebagai tidak berpatutan. Bukan semua majikan di Malaysia berkemampuan untuk menggambil ramai pembantu rumah pada satu-satu masa. Kebiasaannya, seorang majikan hanya ambil seorang pembantu rumah sahaja. Sebagai contoh, jika majikan mengambil seorang pembantu rumah untuk mengemas rumah, kalau 10 jam waktu dia bekerja dalam sehari, mungkin hanya dua jam masa yang diperuntukkan untuk mengemas. Selebihnya, dia buat apa? Tak kan dia goyang kaki sahaja menonton televisyen? Banyak waktu dia berehat mengalahkan orang lain yang bekerja di pejabat, itu belum lagi dikira dengan satu hari cuti seminggu yang diberikan kepada mereka,” katanya.
Beliau mengulas laporan media pada Jumaat mengenai Indonesia yang mula melatih pembantu rumah untuk dikirim ke Malaysia di mana mereka hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji minimum RM700. Laporan itu berdasarkan hasil yang dicapai pada pertemuan Pasukan Petugas Bersama (JTF) Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indnonesia serta majikan Malaysia. Kesepakatan yang dicapai itu menjelaskan mengenai empat jawatan khusus untuk pembantu rumah Indonesia iaitu tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua dan pengemas rumah. Setakat ini, seramai 106 pembantu rumah Indonesia mula dilatih selama 200 jam atau 21 hari dengan kemahiran khusus masing-masing. Sabariah berkata, pihak Indonesia perlu mengamalkan pendekatan yang lebih fleksibel dalam soal tugas pembantu rumah untuk majikan di Malaysia.
“Dalam mana-mana kerja pun perlu ada ruang untuk rundingan dan budi bicara antara majikan dan pekerja dalam melaksanakan tugas dan peranan mereka. Jika pembantu rumah itu sanggup dan secara sukarela serta berkeupayaan untuk melakukan lebih daripada satu tugas tanpa menjejaskan tugas yang lagi satu, saya rasa ia tidak menjadi masalah. Menjaga orang tua dan mengasuh bayi mungkin boleh dikhususkan untuk satu tugas sahaja. Namun saya berpendapat bahawa tugas memasak dan mengemas boleh diletakkan di bawah satu kategori,” katanya yang turut memaklumkan Mama kini mempunyai keahlian hampir 1,000 majikan di seluruh negara. Beliau menambah, Mama mungkin akan bertemu dengan kerajaan dan pihak Kedutaan Besar Republik Indonesia di Malaysia bagi membincangkan mengenai perkara tersebut terutama cadangan untuk menjadi tugasan pembantu rumah fleksibel. "Majikan dan bakal majikan di negara ini juga boleh bertemu dan menyertai Mama bagi menyuarakan masalah, pandangan dan cadangan yang melibatkan isu pembantu rumah," katanya.
Sabariah bagaimanapun menjelaskan, tujuan pengkhususan tugas yang dibuat oleh pihak Indonesia itu sebenarnya merupakan usaha negara jiran untuk meningkatkan kualiti pekerja domestik mereka yang akan berkhidmat dengan majikan di Malaysia. Beliau berkata, ini terutama soal keselamatan dan kesihatan bayi majikan, apabila pengasuh bayi merupakan salah satu jawatan yang dikhususkan. “Menjaga bayi tidak sama dengan menjaga kanak-kanak berusia 10 tahun. Mereka memerlukan pengawasan dan pemerhatian sepanjang masa. Pembantu rumah tidak boleh buat dua kerja dalam satu masa sekiranya mereka mengasuh bayi. Aspek keselamatan ini yang perlu dititikberatkan oleh pembantu rumah, juga majikan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku. Justeru, pengkhususan satu tugas bagi pembantu rumah hanya bersesuaian untuk bidang tertentu,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Saba Islamic Domestic Help Advisory (SAIDHA) yang mewujudkan sebuah program kesejahteraan menyeluruh membabitkan pembantu rumah Indonesia di negara ini. Program tersebut dinamakan Sistem Perlindungan, Pemantauan dan Kebajikan Hal Ehwal Pembantu Rumah Indonesia (Helper).
TIADA PINDAAN MoU
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata tiada sebarang pindaan dilakukan terhadap memorandum persefahaman (MoU) mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia antara kerajaan Malaysia dan Indonesia setakat ini. Beliau berkata Mou antara Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Tenaga Buruh Indonesia yang termaktub pada November lepas masih kekal. "Namun sekiranya ada pindaan dilakukan, perkara berkenaan akan diumumkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam," katanya. Maznah mengulas laporan yang memetik Ketua Pengarah Pembinaan dan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman berkenaan gaji minimun RM700 kepada pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia.
Reyna juga dilapor berkata amah terbabit hanya akan melakukan satu tugas khusus sama ada sebagai tukang masak, pengasuh bayi, penjaga orang tua atau pengemas rumah. Menurut Reyna lagi keputusan itu adalah antara persefahaman yang dicapai dalam pertemuan Pasukan Petugas Bersama Malaysia-Indonesia mengenai pengambilan, penempatan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia serta majikan Malaysia. Mengulas lanjut, Maznah berkata kementeriannya tidak menerima sebarang usul rasmi dari kerajaan Indonesia berhubung permohonan gaji minimum RM700 kepada pembantu rumah mereka yang bekerja di negara ini. "Apa yang kita telah MoU itu (sebelum ini) bahawa bayaran dan upahan adalah mengikut pasaran, telah termaktub dalam MoU bulan Disember yang kita tandatangani semula.Jadi selepas itu kalau ada banyak macam-macam (kenyataan) itu, biasalah, komen kiri dan kanan. Yang penting apa mesti dibuat melalui jawatankuasa task force dibawa ke jawatankuasa induk, selagi tak sampai pada kami (kementerian), tiada apa-apa perubahan," katanya.
Indonesia sebelum ini melaksanakan pembekuan sementara penghantaran amahnya ke Malaysia berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu negara itu oleh majikan Malaysia. Pembekuan sementara itu ditarik balik pada 1 Dis lepas, susulan kesepakatan yang dicapai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono dalam pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lepas. Indonesia dijangka memulakan penghantaran amah ke negara ini mulai April 2012.
IKUT PERSEFAHAMAN DAHULU
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam menyifatkan kenyataan bahawa pembantu rumah dari Indonesia hanya akan melakukan satu tugas yang khusus dengan gaji bulanan minimum RM700 sebagai tidak mengikut persefahaman yang dicapai antara Malaysia dengan negara jirannya. Mengulas mengenai laporan dari Jakarta yang memetik seorang pegawai tinggi kerajaan Indonesia yang menyatakan seorang amah hanya menjalankan satu tugas, beliau berkata wakil kedua-dua negara berhubung pembantu rumah berkenaan akan mengadakan mesyuarat di Jakarta untuk menyelesaikan perkara itu. Katanya kementerian berkenaan telah meminta pihak di Indonesia memberi latihan secara lebih luas dalam semua bidang supaya pembantu rumah yang dihantar ke negara ini boleh bekerja dengan baik.
"Kita setuju latihan dijalankan dan dalam pada itu ada bidang pengkhususan untuk mereka yang mahukan kerja khusus. Yang (mahu) am, mereka boleh dapatkan pembantu am. Kita akan jelaskan apa yang diputuskan dalam jawatankuasa bersama," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan dokumen kewarganegaraan Malaysia kepada 212 penerima di bawah program MyDaftar kebangsaan di sini, Jumaat. Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun, 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan Malaysia. Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan yang dicapai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu. Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan peruntukan-peruntukan, terutamanya berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.
MAJIKAN PRIHATIN KEBAJIKAN AMAH
Majikan di negara ini amat bertimbang rasa terhadap pembantu rumah dengan menanggung keperluan asas mereka, selain gaji bulanan yang ditetapkan mengikut perjanjian. Malah, ada majikan tidak memotong bayaran pengambilan atau levi yang mencecah ribuan ringgit daripada gaji pembantu rumah bagi memastikan mereka tidak mengalami kesempitan wang setiap bulan.CPekerja swasta, Herlina Ahmad, 32, berkata beliau tidak pernah lewat memberi gaji kepada pembantu rumah, selain menyediakan makanan dan keperluan diri seperti kelengkapan mandian dan keperluan diri yang diminta. C“Saya mengambil pembantu rumah terus dari Indonesia dengan kos menyediakan permit, pasport, pemeriksaan kesihatan, dan keperluan lain mencecah RM4,000.
Kos tambahan yang diperuntukkan bagi ‘menanggung’ pembantu rumah dianggarkan RM100 hingga RM200 sebulan tetapi tidak pernah terfikir untuk memotong gaji mereka,” katanya. CBeliau juga tidak bersetuju jika gaji pembantu rumah dibayar minimum RM700 kerana ia tidak adil kepada majikan yang selama ini tidak pernah berkira dalam pelbagai keperluan pekerja mereka. CPekerja swasta, Jessina Jaafar Sidek, 35, yang mempunyai pembantu rumah sejak setahun lalu, berkata beliau tidak pernah membezakan layanan kepada pekerja dengan ahli keluarganya. “Pembantu rumah dianggap sebahagian daripada keluarga. Malah, saya tidak memotong kos pengambilan awal mereka daripada gaji bulanan bagi memastikan keperluan mereka sentiasa cukup,” katanya.
PAPA CADANG HENTI AMBIL
Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) mungkin menghentikan pengambilan pembantu rumah dari Indonesia kerana tidak bersetuju dengan penetapan gaji minimum RM700 sebulan dengan hanya melakukan satu tugas khusus saja. Presidennya, Jeffrey Foo, berkata peraturan baru itu amat keterlaluan dan tidak masuk akal, sebaliknya akan membebankan majikan yang terpaksa membayar upah tinggi. Beliau berkata, ketika memorandum persefahaman (MoU) mengenai pengambilan dan penempatan pembantu rumah Indonesia 2006 yang ditandatangani dua negara itu pada Mei tahun lalu, syarat baru itu langsung tidak ada. Jika kini ada pula syarat baru ditetapkan, maka ia jelas melanggar perjanjian yang ditetapkan sebelum ini, kami berharap perkara ini akan diteliti semula dan jika tiada perubahan PAPA tiada cara, selain mencari alternatif baru untuk memenuhi keperluan rakyat kita,” katanya.
Jeffrey berkata, berikutan peraturan baru itu, PAPA juga dalam pertimbangan untuk mengambil pembantu rumah dari negara lain, antaranya Filipina dan Kemboja yang tidak meletakkan sebarang pengkhususan kerja. Beliau berkata, sejak pembekuan sementara pembantu rumah dari Indonesia pada 2009, PAPA kini menerima lebih 3,000 permohonan baru untuk mendapatkan khidmat mereka. Sementara itu, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan berkata, tidak adil kepada majikan yang perlu membayar gaji bulanan RM700 tetapi pembantu rumah hanya melakukan satu tugas khusus saja. “Ini membebankan majikan yang kemudian terpaksa melakukan tugas lain sebaik mereka pulang ke rumah selepas bekerja. MEF melihat keputusan kerajaan Indonesia itu amat tidak logik,” katanya. Pengarah Komunikasi FOMCA, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata jika keputusan itu tidak dikaji semula, pihaknya bimbang lebih ramai wanita terpaksa berhenti kerja dan menjadi suri rumah.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
Utusan Malaysia
16 dan 17 Mac 2012