JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



15 September 2011

ISU EKONOMI : ADAKAH BENAR KEDAI RAKYAT 1MALAYSIA "BUNUH" KEDAI RUNCIT?

Oleh ZULKIFLI JALIL


Sebuah lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dibuka di tingkat bawah atau Aras G di bangunan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Presint 2, Putrajaya. Tiga kali Syabas! diucapkan kepada kementerian yang terajui Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu. Kedai berkenaan adalah yang keempat dibuka selepas projek perintis model KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya pada 22 Jun lalu, diikuti Bandar Tun Razak (21 Ogos) dan Pantai Dalam (26 Ogos). Kita semua yang tinggal di ibu kota atau Lembah Klang maklum bahawa di lokasi- lokasi berkenaanlah, kemiskinan bandar seringkali menjadi warna-warna hitam di ibu kota. Kehidupan menghimpit dengan kadar gaji yang rendah acap kali membataskan perbelanjaan menyara hidup terutama di kalangan golongan berpendapatan rendah. Malah, bukan golongan itu sahaja, mereka di peringkat pertengahan pun serupa nasibnya. Cuma baru kedai keempat dibuka, sudah timbul pula bunyi bising mempersoalkan KR1M ini. Ia dipertikaikan Isnin lalu oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Liong Group, Tan Sri William Cheng. Dakwanya, langkah itu sedikit sebanyak menjejaskan operasi peniaga-peniaga runcit kecil di bawah naungan Gabungan Dewan Perniagaan Perindustrian Cina (ACCIM).

Malah, seperti kenyataan Cheng yang ibarat ‘besi waja’, beliau dengan lantang pula menggesa kerajaan untuk berlaku adil dengan membekalkan produk harga patut yang sama kepada 30,000 kedai runcit sedia ada. Hakikatnya, ada kekeliruan dan salah faham yang perlu diperjelaskan dalam isu pewujudan KR1M. KR1M sebenarnya menjadi medium kepada kerajaan untuk mengawal harga barang dan mengurangkan monopoli sesetengah barang keperluan yang telah lama didominasi oleh pengilang-pengilang multinasional. Atas sebab itu, syarikat multinasional tersebut tidak akan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan tanpa sebab munasabah. KR1M diinspirasikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Ia atas keprihatinan beliau terhadap golongan penduduk berpendapatan rendah di kawasan bandar. Idea itu juga selari dengan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ yang telah diperkenalkan oleh beliau sendiri. Projek KR1M dipantau dan diuruskan oleh KPDNKK. Kementerian ini juga bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan lain dan pihak berkuasa untuk menyediakan lokasi kepada KR1M. Bercakap kepada Utusan Malaysia di pejabatnya semalam, Ismail Sabri menolak sama sekali tanggapan kononnya KR1M akan ‘membunuh’ kedai-kedai runcit.

Katanya, lokasi menempatkan kedai yang beroperasi menggunakan format pasar mini dengan menyediakan pelbagai barang keperluan pada harga rendah itu dipilih tidak terlalu hampir dengan kedai runcit. Kedai-kedai runcit yang lain pun pada masa sama boleh menjual barangan keluaran KR1M seperti beras, minyak masak, susu tepung dan lampin yang dipak menggunakan logo 1Malaysia. “Tak perlu bersaing sebab mereka (kedai runcit) boleh jual produk mereka sendiri, jadi kalau kata boleh ‘membunuh’ kedai runcit sedia ada, ia tidak benar sama sekali. “Lagipun tidak semua orang mahu beli produk tak berjenama,” kata beliau. Ada dua cara untuk membuka KR1M. Pertama, KR1M yang dibuka oleh kerajaan dan dimiliki kerajaan tetapi diselenggarakan oleh Syarikat Mydin Mohamed Holdings Bhd. (MYDIN). Jenama 1Malaysia yang tersarung pada produk itu pula berdaftar di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Cara kedua pula ialah produk-produk KR1M itu dibekalkan ke kedai-kedai, contohnya kedai di bawah flat kos rendah di Seremban dan WAKAF Mart yang beroperasi di Senawang. Ia juga akan dibekalkan ke 226 kedai D‘Mart Felda, 150 agro bazar dan juga 500 kedai TUKAR (projek transformasi kedai runcit). Ertinya ada dua konsep untuk mendapatkan barangan KR1M ini.

Dalam aspek ini, untuk memastikan projek KR1M berjaya dan memberi faedah kepada rakyat, tiga projek fasa telah digariskan untuk digerakkan. Fasa pertama melibatkan perluasan sehingga 84 kedai, Fasa Kedua berkaitan pemborongan dan pengedaran barangan/produk 1Malaysia dan Fasa Kedua melibatkan pengenalan ‘KR1M KedaiBergerak’. Dalam menjayakan hasrat untuk sampai kepada seluruh rakyat, perancangan 84 KR1M bermula Julai 2011 hingga Disember 2012. Antara yang bakal dibuka dan kini dalam perbincangan ialah di Pasar Besar Cheras (dianggarkan keluasan 5,000 kaki persegi). Dalam memastikan seluruh rakyat mendapat manfaat daripada program ini, seluruh pasar raya MYDIN akan melaksanakan konsep borong dan edar terhadap barang/produk terpilih 1Malaysia. Kedai TUKAR dan kedai pertama WAKAF Mart yang beroperasi di Senawang, Negeri Sembilan juga akan memasarkan produk 1Malaysia. Sehingga sekarang, sejumlah 17 kedai telah menjual produk 1Malaysia di premis-premis mereka. Idea untuk ‘KR1M Kedai Bergerak’ pula adalah untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat di kawasan kampung/pedalaman yang tidak dapat berhubung/mencapai ke KR1M.

Konsep di sebalik ini ialah “Jika anda tidak dapat pergi ke KR1M, KR1M akan datang kepada anda.” Dalam aspek ini, kementerian akan menggunakan bas sebagai kenderaan ‘KR1M Kedai Bergerak’ sambil dibantu 2 unit 3 tan lori trak sebagai pusat penyimpanan kepada bas itu. Bas tersebut akan diubah suai dan ditukarkan kepada ‘KR1M Kedai Bergerak’. ‘KR1M Kedai Bergerak’ akan dibawa ke tempat tertentu untuk berkhidmat kepada rakyat (konsep sama dengan mamak roti atas motosikal). Selain itu, KR1M juga akan digunakan sebagai projek tanggungjawab sosial korporat (CSR), selain daripada menunggu barang keperluan untuk sampai kepada mangsa banjir. Sebagai contoh, KR1M kedai bergerak juga dapat digunakan dan boleh dibawa ke sana untuk membantu mangsa- mangsa terbabit sementara menunggu bantuan tiba. Mengenai perkembangan projek perintis model KR1M di Stesen LRT Kelana Jaya, Ismail Sabri berkata, ia amat memberangsangkan dengan hasil jualan harian mencapai RM12,000 sehari. “Memang kos terutamanya melibatkan harga barangan ada peningkatan, kerajaan tak nafikan tapi di bandar lebih tinggi sebab di bandar, penduduknya terlibat dengan kos bayaran sewa rumah.

“Sebab itulah tumpuan awal pewujudan KR1M ini kita berikan kepada bandar besar sebelum ke bandar atau pekan kecil.” Yang pasti pembukaan KR1M di KPDNKK semalam akan memberi manfaat kepada para penjawat awam yang merupakan warga terbesar menghuni Pusat Pentadbiran Persekutuan tersebut. Dijangkakan sejumlah 21 lagi KR1M bakal dibuka sebelum akhir tahun ini. Difahamkan, KPDNKK akan mendapatkan lokasi itu sebelum akhir September ini dan akan memulakan pengubahsuaian sebelum memperluaskannya ke bandar-bandar kecil dengan harga barangan yang ditawarkan di KR1M ini 30 peratus lebih murah daripada harga biasa. “Kita pastikan juga produk-produk ini dihasilkan oleh usahawan-usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tempatan. Ini salah satu projek yang bukan saja mengurangkan bebanan rakyat tetapi dapat membantu IKS-IKS bumiputera untuk bekalkan produk KR1M,” kata Ismail Sabri. KPDNKK diyakini akan sentiasa memantau kualiti produk KR1M dengan sentiasa bekerjasama dengan MYDIN. Sebab itu MYDIN sahaja dilantik sebagai pengedar. Selain kualiti produk, yang lebih penting lagi untuk mengekang unsur mengaut keuntungan sewenang-wenangnya oleh orang tengah.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 SEPTEMBER 2011



ISU BAHASA : MARTABATKAN BAHASA MELAYU, PERKASAKAN BAHASA INGGERIS

PROF DATUK DR SIDEK BABA
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Akhir-akhir ini timbul lagi isu kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam pendidikan negara. Secara perundangan, statusnya adalah jelas dalam konteks Malaysia tetapi aspek penggunaannya menjadi isu antara integriti dan kemampuan mendapatkan ilmu menggunakan bahasa Inggeris atau kekal menggunakan bahasa Melayu. Apabila Kementerian Pelajaran, di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yasin mengkaji semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) setelah berlangsung perbincangan yang agak lama dan persidangan meja bulat, keputusan diambil untuk memartabatkan semula pengajarannya dalam bahasa Melayu menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Keputusan itu adalah langkah bijak supaya bahasa ibunda dimartabatkan dan bahasa Inggeris diperkasakan. Tetapi ada juga yang masih mengungkit termasuk kelompok orang Melayu ibarat rumah siap pahat berbunyi. Sejarah lebih 54 tahun Malaysia merdeka menghasilkan secara empirikal bahawa bahasa Melayu memiliki upaya tinggi menjadi salah satu bahasa tersohor di dunia. Namun begitu kepentingan bahasa Inggeris tidak dinafikan.

Janganlah kita berasa rendah diri bahawa tanpa menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, kita ketinggalan dalam proses maju dan membangun. Dalam memartabat bahasa Melayu kita tidak meninggalkan penguasaan bahasa Inggeris. Cara mana bahasa Inggeris dapat dikuasai, itu adalah cabaran yang perlu kita atasi. Bangsa Anglo-Saxon atau orang Eropah dulunya menghantar orang yang mahir berbahasa Arab untuk datang ke Andalusia mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu orang Islam dalam segala bidang, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Latin atau Ibrani sebagai asas maju dan berubah. Strategi mereka adalah mengekalkan integriti sebagai bangsa Eropah dan menguasai ilmu pengetahuan dari tamadun lain untuk maju. Mereka tidak mengambil ilmu Islam, sekali gus mengambil bahasa Arab sebaliknya mengekalkan penguasaan bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew sebagai bahasa ilmu. Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu berada dalam kedudukan amat unik untuk dijadikan bahasa integrasi dan bahasa ilmu. Uniknya bahasa Melayu dalam konteks umat Melayu, ia terpancar istilah dan makna yang berasaskan sistem nilai.

Sejak merdeka terbukti bahasa ini digunakan di pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan. Lulusan sekolah-sekolah dan institusi yang menggunakan bahasa Melayu terbukti berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara tidak saja di universiti yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi juga bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya. Persoalan yang berbangkit ialah memperkasa bahasa Inggeris dalam subjek-subjek penting boleh menyebabkan status aplikasi Bahasa Melayu beransur-ansur dipinggirkan. Penggunaanya dalam subjek Sains dan Matematik dan 100 lagi cabang disiplin ilmu, tidak saja memberi kesan pencapaian dalam akademik tetapi menjadikan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak penting dan lebih membimbangkan lagi ia menjadi bahasa rojak dalam kegunaan harian. Ia bakal menyentuh integriti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks sebuah negara yang merdeka. Memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, malah bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk menghadapi cabaran perubahan tidaklah ditolak. Ia menuntut pendekatan pengajaran-pembelajaran yang dinamik dan kreatif di bilik darjah dan kuliah supaya kesan penguasaannya terserlah.

Kemajuan teknologi dan modul-modul terkini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan ketiga terbuka luas untuk diaplikasikan supaya tidak saja penguasaan bahasa ibunda menjadi teguh dan kukuh tetapi dalam masa yang sama penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik. Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam menguasai ilmu dan mendakap bahasa kedua menjadi bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa sama amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju. Sekian lama Filipina menggunakan bahasa Inggeris tidak pula mencapai model negara maju yang boleh dijadikan rujukan. Strategi Malaysia untuk terus tidak mengubah peruntukan perundangan mengenai status bahasa ibunda baik dalam Perlembagaan atau Akta Pelajaran adalah sesuatu yang bijak. Memberi keutamaan untuk memperkasa bahasa Inggeris dan bahasa lain adalah langkah strategik untuk terus maju. Psikologi ini harus diperkukuhkan dengan teguh dan mantap sebagai warga Malaysia tidak saja dalam dasar tetapi juga dalam amali dan aplikasi.

Memberi fokus tentang Sains dan Matematik adalah penting dari sudut ilmu dan akademik. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar boleh memberikan dua implikasi besar. Pertama, bidang sains dan matematik amat rapat hubungannya dengan corak ilmu pengetahuan dan kemahiran berkembang pada masa kini dan depan. Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menyebabkan jangka panjangnya meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga menyentuh tentang persoalan integriti kerana bahasa itu dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa. Melaksanakan strategi memperkasa bahasa Inggeris tanpa melakukan projek perintis, persiapan guru-guru dalam penguasaan bahasa, prasarana pembelajaran yang tidak kondusif di luar bandar menyebabkan wujudnya jurang pencapaian yang berbeza dan boleh menyebabkan keciciran yang melebar. Oleh itu, langkah Kementerian Pelajaran untuk menyusun kembali pendekatan memperkasa proses pengajaran-pembelajaran dalam bahasa Inggeris adalah suatu langkah yang dialu-alukan. Petanda yang ada dalam keputusan peperiksaan lalu menjadi bukti bahawa pelajar- pelajar akan lebih mudah menguasai ilmu dan kemahiran menggunakan bahasa ibundanya dan dalam masa yang sama pemerkasaan bahasa Inggeris memerlukan perancangan dan strategi pembelajaran-pengajaran yang lebih berkesan.

Sekiranya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengekal dan mengembalikan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai wibawa mempertahan dan mengembangkan faktor-faktor teras sebagai bangsa merdeka dan dalam masa sama amat terbuka untuk menguasai elemen-elemen luar lingkungan untuk maksud keilmuan dan kemajuan menggunakan bahasa-bahasa penting dunia. Tidak timbul isu patriotik atau tidaknya dalam soal penggunaan bahasa Inggeris dan kurang patriotik apabila tidak menggunakan bahasa Melayu. Umat Melayu bersetuju bahasa memperkasa bahasa kedua dan ketiga yang kaitannya dengan ilmu adalah penting. Ilmuwan Islam tersohor yang mampu mencetus tamadun menguasai banyak bahasa. Menguasai sesuatu bahasa adalah menguasai ilmu yang ada pada bangsa itu. Dalam masa sama, sesuatu bahasa itu akan menjadi bahasa yang matang, bahasa ilmu sains dan teknologi apabila ia digunakan dalam penghasilan karya, kerja-kerja penyelidikan, pengajaran dan pelajaran.

Sejak merdeka, bahasa Melayu mampu dimartabatkan di universiti-universiti Malaysia dan memerlukan azam dan tekad politik dan ilmiah yang tinggi bahawa tidak harus wujud psiki rendah diri atau rasa ketinggalan untuk menguasai sekiranya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam penerokaan ilmu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa penting untuk dipelajari dan dikuasai. Sempena kemerdekaan negara 54 tahun ini, warga Malaysia yang taat harus meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap bahasa Melayu dan penguasaan yang baik terhadap bahasa Inggeris. Makna kemerdekaan harus diisi dengan mengukuhkan asas-asas fundamental yang terdapat di dalam Perlembagaan negara supaya asas bernegara kita menjadi lebih jelas, berintegriti dan berwibawa. Bangsa Jepun dan China umpamanya menghantar ribuan tenaga muda belajar di Barat dalam berbagai cabang ilmu tetapi kepakaran yang mereka miliki mengalami proses penjepunan dan pencinaan di mana bahasa ibunda mereka amat diutama dan menyebabkan kemajuan. Bangsa yang tidak mengenal faktor jatidirinya adalah bangsa yang tidak mempunyai integriti dan daya juang. Bangsa seperti ini hanya sanggup menjadi bangsa penciplak, kagum melulu terhadap faktor orang lain sehingga hilang daya kreativiti dan inovatifnya untuk memajukan bahasa sendiri dan mengambil manfaat berbanding dari kekuatan orang lain.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
15 SEPTEMBER 2011


ISU KENEGARAAN : SEJARAH NEGARA WAJAR JADI IKHTIBAR BERGUNA

Oleh Ahmad Azan Ridzuan


Pemimpin patriotik semestinya mempelajari dan memahami sejarah kerana ia menunjukkan asal usul kita dan menjadi pengajaran pada masa lalu. Sejarah menjadi cermin perjuangan demi mencapai kecemerlangan masa depan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah berkata “kalau kita lupa sejarah, ia akan berulang semula. Mereka yang lupa sejarah akan dihukum dengan melakukan kesalahan sama berulang kali.” Negara kita merdeka pada 31 Ogos 1957 merangkumi Semenanjung Tanah Melayu dan pada 1963, Singapura, Sabah dan Sarawak menganggotai negara ini, maka wujudnya Malaysia. Namun pada 1965, Singapura berpisah daripada Malaysia. Rakyat yang memperjuangkan tanah air tercinta dianggap musuh oleh penjajah, di tanah air sendiri walaupun mereka berjuang demi agama, bangsa dan negara Malaysia mengalami sejarah yang begitu lama dijajah jika dibandingkan dengan usia kemerdekaan yang baru mencecah 54 tahun. Sejarahnya bermula dengan Portugis menawan Melaka pada 1511, diikuti pula oleh Belanda, seterusnya British.  Ketika Perang Dunia Kedua, Jepun menjajah dari 1941 sehingga tamat peperangan 1945. British mulai menjajah semula negara ini sehingga rakyat berjaya memperjuangkan kemerdekaan dengan satu hati, satu jiwa, satu langkah, satu nada dan satu suara serta gandingan bahu orang Melayu, Cina dan India.

Konvensyen Memperingati 500 tahun Kejatuhan Empayar Melayu Islam Melaka (1511-2011) yang dianjurkan di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka 29 Januari lalu mengimbas kembali kesengsaraan yang pernah dilalui oleh nenek moyang kita terdahulu. Amat menyayat hati ketika zaman penjajahan keperwiraan pahlawan tanah air seperti Mat Lela, Mat Kilau dan lainnya digelar pengkhianat oleh penjajah. Rakyat yang memperjuangkan tanah air tercinta dianggap musuh oleh penjajah, di tanah air sendiri walaupun mereka berjuang demi agama, bangsa dan negara.  Rakyat yang berjuang ini didera, diseksa, dianiaya, dipenjarakan dan ada yang dibuang negara, begitu kejam penjajah melakukan kekejaman ke atas anak bangsa yang mahukan tanah airnya tidak dicemari oleh penjajah British.  Kekejaman ke atas pejuang kebebasan negara ini berterusan pada zaman pemerintahan Jepun, ramai yang dizalimi, dikasari dan dibunuh, ada diantaranya dipenggal kepala dan dipamerkan untuk tontonan umum yang lalu lalang di sepanjang jalan. Menjadi perkara biasa rakyat dilempang dan diterajang, dikerah minum air sabun lalu dipijak perutnya dan direbus hidup-hidup di dalam kawah besar. Ini kekejaman yang diterima di tanah air sendiri, rakyat menjadi musuh kepada penjajah yang menjadi tuan rumah.

Penjajah yang menjadi tuan rumah ini bukan saja kejam kepada rakyat yang menjadi wira untuk menuntut kebebasan malah mereka merobek nilai budaya masyarakat, mengaut hasil bumi untuk memenuhi temelok mereka, meminggirkan hak masyarakat dan memperbodoh-bodohkan rakyat demi kepentingan mereka. Musuh dengan mudah menjadi tuan rumah kerana kebodohan masyarakat, bukannya penjajah itu cerdik sangat tetapi disebabkan masyarakat yang kurang ilmu tidak berdaya menentang penjajah yang lebih cerdik sedikit.  Ilmu yang tidak diterokai oleh masyarakat ketika itu, yang tidak tahu selok-belok penjajah yang berjaya memperdayakan masyarakat demi survival mereka di bumi ini. Lihat saja di Iraq, bagaimana Amerika Syarikat menceroboh, menyerang dan me-naklukinya, mereka menggelarkan pejuang di kalangan rakyat Iraq sebagai musuh. Amerika Syarikat pula menjadi tuan rumah. Keadaan yang sama juga berlaku di Afghanistan, AS mengisytiharkan bahawa Osama Bin Laden terbunuh dalam serbuan yang mereka lancarkan, menuduhnya menjadi perancang kemusnahan World Trade Centre di New York pada 11 September 2001. Contoh terdekat ketika peperangan Vietnam, kemusnahan berpanjangan ke atas negara itu, namun Amerika Syarikat tidak berjaya di peperangan berkenaan, malah mengalami keruntuhan dan kemusnahan besar ke atas rakyat dan tenteranya dalam jangka masa panjang.

Penulis adalah Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

SUMBER
BERITA HARIAN
15 SEPTEMBER 2011