JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



12 September 2010

ISU ALAM SEKITAR : PEMANASAN GLOBAL : PUNCA, KESAN, DAN LANGKAH UNTUK MENGATASI

Pemanasan global ialah keadaan alam sekitar yang mengalami peningkatan suhu yang tinggi berbanding suhu normal. Pemanasan berlaku di seluruh dunia yang diakibatkan oleh aktiviti manusia seperti penebangan hutan, kegiatan perkilangan dan industri, permotoran, penerokaan hutan, pembangunan hutan batu dan pengautan khazanah-khazanah alam sama ada di atas atau di dalam perut bumi. Kesan saintifik pemanasan global ialah tahap pencairan salji di Kutub Utara semakin tinggi, paras air laut meningkat dan keluasan saiz daratan semakin mengecil. Kesan material ialah kejadian bencana alam seperti kemarau, banjir dan kebakaran manakala kesan kemanusiaan termasuklah kehilangan nyawa dan kecederaan. Sebenarnya, terdapat banyak faktor lain yang mempengaruhi pemanasan alam sekitar ini.



Ahli-ahli sains dan geografi sependapat mengatakan punca utama pemanasan global ialah nipisnya lapisan ozon yang diakibatkan oleh pelepasan gas khususnya klorofluorokarbon (CFC). Jika kita prihatin dan sedar, tahun 2005 adalah musim berlakunya ribut taufan yang sangat aktif. Difahamkan sebanyak 26 kejadian ribut dan 14 kejadian puting beliung telah berlaku. Buat pertama kali, taufan ganas iaitu Katrina, Rita dan Wilma terjadi dalam satu musim. Kejadian ribut taufan ini bukan sahaja melanda Benua Amerika, malahan menyerang juga negara China, Korea, dan pantai sekitar Laut China Utara. Penduduk di beberapa negara di Afrika yang lazimnya terkenal sebagai negara panas kerana mempunyai kawasan gurun yang sangat luas telah menyaksikan salji dalam tempoh 25 tahun.



Di Eropah pula, diberitakan bahawa banyak kematian berlaku yang berpunca daripada kepanasan melampau pada bulan Julai lalu dan di Paris sahaja, seramai 29 orang telah maut. Walaupun kejadian ini tidak tidak seburuk kepanasan yang berlaku pada tahun 2003 yang menyebabkan kira-kira 15,000 maut di Perancis dan 20,000 telah maut di Itali. Sebuah jurnal terkenal melaporkan bahawa keadaan kemarau panjang serta panas dan kering telah menyebabkan kebakaran hutan yang memusnahkan lebih daripada 8.5 juta ekar kawasan dunia dan menghapuskan lebih 1 juta spesies hidupan di darat dalam jangka masa 50 tahun. Kejadian ini ada kaitannya dengan pemanasan global.



Sebenarnya, isu peningkatan suhu atau pemanasan terjadi disebabkan pelbagai faktor. Selain daripada penipisan ozon, kejadian kemarau dan jerebu, kejadian pulau haba dan kesan rumah hijau juga memberi galakan kepada isu pemanasan global. Kesan rumah hijau terjadi kerana berlakunya peningkatan pelepasan gas seperti karbon dioksida, nitrogen monoksida dan metana ke atmosfera seumpama pembebasan CFC. Pulau haba pula berlaku apabila pelepasan haba di kawasan membangun khususnya di bandar-bandar terlalu banyak dan tersekat oleh bangunan-bangunan tinggi pencakar langit. Haba yang tidak dapat dilepaskan ke atmosfera itu akan membahangi kawasan sekitar. Kesan dan bahang pemanasan global juga telah mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita secara tidak langsung. Iklim Khatulistiwa dengan panas dan lembap sepanjang tahun telah tidak berada pada paras yang normal.



Kejadian banjir besar di Johor adalah antara kejadian yang membuka mata banyak pihak di negara kita. Peristiwa banjir besar yang menenggelamkan sebahagian petempatan di Lembah Klang seperti di Batu Tiga dan Taman Tun Dr. Ismail juga memberi kesan mendalam dan seolah-olah mahu memberikan amaran kepada negara kita bahawa peristiwa besar itu tidak akan berhenti malah akan terjadi pada bila-bila masa. Umpama peribahasa, ‘sediakan payung sebelum hujan’ dan ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’, langkah-langkah awal pencegahan atau meminimumkan kesannya adalah perlu supaya kejadian seperti itu tidak memburukkan imej pengurusan alam sekitar dan pembangunan negara. Negara tidak boleh berkompromi dengan tanggungjawab sosial menjaga dan memelihara alam sekitar. Pendidikan alam sekitar kepada generasi muda perlu dimulakan sejak di rumah atau di bangku sekolah lagi.



Pendidikan kepada generasi tua juga penting dilakukan kerana ada golongan yang kaya, mewah dan berpelajaran tetapi tidak mengambil berat soal alam sekitar. Pusat pengajian tinggi atau jabatan-jabatan tertentu mesti melakukan kajian agar kejadian yang disebabkan oleh fenomena alam termasuk pemanasan dunia dapat boleh diminimumkan kesannya. Langkah-langkah lain boleh juga dilakukan seperti penanaman hutan semula, kitar semula, kempen kesedaran dan penggunaan sumber tenaga yang mesra alam. Kejayaan melaksanakan tugasan ini akan memberi keselesaan dan keselamatan kepada penduduk.



Langkah-langkah negara lain seperti sistem Green Dot di Jerman, cukai bahan buangan di Denmark dan mengharamkan pengedaran beg plastik dan alas meja pakai buang di Taiwan patut menjadi teladan dan dorongan ke arah mesra alam sekitar di negara ini. Green Dot di Jerman ialah sistem kitar semula bahan-bahan pembungkus. Bahan-bahan pembungkus yang mempunyai green dot ini akan dikutip, diasingkan dan dikitar semula. Cukai bahan buangan di Denmark yang dihantar ke pusat pelupusan dan insinerator akan dikenakan tetapi tidak kepada bahan buangan yang akan dikitar semula. Pembuangan, dan pembakaran beg plastik pula memberi kesan buruk kepada persekitaran kerana menjadi punca sampah dan kekotoran.



Isu pemanasan global adalah isu dunia dan bukan sahaja negara kita yang terlibat. Sumbangan negara kita ke atas pemanasan global mungkin tidak seberapa namun, sebagai satu sumbangan global, negara kita juga perlu melaksanakan ikhtiar agar tidak menyumbang untuk memanaskan alam sekitar.

ISU JENAYAH RAGUT : PUNCA DAN LANGKAH-LANGKAH MENGATASI

Sejak dahulu masyarakat tidak ambil kisah mengenai kes ragut biarpun ada kalanya individu terbabit kehilangan sejumlah besar wang tunai dan barang kemas. Ketika itu, kes ragut masih dianggap sebagai terpencil dan tidak memudaratkan mangsa. Namun perubahan masa telah menyaksikan ragut sebagai satu jenayah serius yang sejak akhir-akhir ini turut meragut nyawa manusia. Kematian dua wanita, Chin Wai Fun, 38, yang koma 18 jam akibat terhantuk pada benda keras ketika bergelut dengan peragut beg tangannya di Brickfields dan seorang kerani akhbar Nanyang Siang Pau Chong See Cheng, 37, pada 14 Jun 2004 menyedarkan masyarakat bahawa jenayah ragut bukan lagi isu remeh sebaliknya jenayah yang harus diberi perhatian serius khususnya oleh kaum wanita.



Kenapa hanya wanita yang menjadi mangsa kebanyakan kes ragut? Pada hal selama ini mereka langsung tidak pernah terfikir bahawa ragut boleh mengancam nyawa. Fenomena ini telah membawa satu lagi amaran kepada wanita supaya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka terutama kala berada di khalayak. Banyak pihak apabila memperkatakan tentang jenayah ragut ini meletakkan kesalahan kepada wanita kerana leka dan tidak peka kepada jenayah yang akan mereka hadapi. Menurut mereka peragut terpanggil melakukan jenayah kerana didorong oleh penampilan mangsa yang membawa beg tangan dengan penuh gaya tanpa memikirkan keselamatan atau memakai barang kemas yang tidak sepatutnya semasa berada di tempat awam.



Menurut Profesor Mahmood Nazar Mohamad, Pensyarah Fakulti Pembangunan Sosial dan Manusia, Universiti Utara Malaysia (UUM), kejadian maut yang berlaku membabitkan ragut ini adalah amaran awal kepada wanita supaya mengambil langkah memperkasakan diri untuk menentang kejadian seumpama itu. Jenayah ragut kini sama kejamnya dengan jenayah genre lain seperti rogol dan pembunuhan kejam yang dilakukan kepada wanita. Sudah sampai masanya wanita memberi perhatian serius terhadap perkara ini dan mengambil langkah berjaga-jaga apabila berada di luar rumah terutama di tempat awam. Wanita perlu peka dan menanamkan dalam jiwa mereka bahawa kes ragut kini adalah serius dan kemungkinan akan berlaku kepada diri mereka pada bila-bila masa. Selama ini wanita terkenal dengan sikap mengambil mudah dan berperasaan tidak apa.



Wanita patut memulakan usaha melengkapkan diri dengan langkah-langkah keselamatan sewajarnya. Contohnya apabila hendak ke tempat meletak kereta, pastikan anda telah bersedia untuk melakukan sesuatu apabila diserang. Pada masa yang sama, mereka harus peka kepada keadaan keliling serta mengawasi orang-orang yang mencurigakan di samping berusaha mendapatkan maklumat tentang cara-cara mengendong beg yang betul, cara berjalan dan elakkan daripada menghampiri kawasan yang tidak perlu. Sebagai contohnya, apabila berjalan di kaki lima jalan, pastikan beg tangan yang dipegang atau dikendong berada pada sebelah kiri. Ini bagi menghalang peragut daripada menghampiri dengan mudah untuk merentap beg tangan yang sedang disandang atau dipegang itu.



Wanita juga perlu membina kesedaran untuk sentiasa berhati-hati tidak kira masa dan tempat. Bagi mereka yang pernah mengalaminya, hendaklah berhati-hati supaya kejadian itu tidak akan berulang. Sehubungan itu, wanita harus mempelajari seni mempertahankan diri untuk berdepan dengan peragut sekiranya mengalaminya Dalam hubungan ini, wanita terbabit perlu bijak membuat keputusan pada saat itu sama ada hendak melepaskan beg yang diragut atau mempertahankan beg tersebut bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap mereka. Wanita seharusnya tidak membawa dokumen penting dan wang tunai yang banyak di dalam beg tangan kerana peragut lebih gemar meragut beg tangan berbanding barang kemas. Begitu juga dengan barang kemas, kalau hendak pakai juga biarlah patut padan kecuali jika berada di tempat yang terjamin selamat.



Sudah sampai masanya wanita melancarkan gerakan pre-mansion untuk mengingatkan kaum wanita akan bahaya ragut terhadap mereka. Ini boleh dilakukan melalui kempen di tempat kerja, kawasan perumahan, di surau dan majlis-majlis rasmi. Wanita yang pernah menjadi mangsa peragut boleh tampil bercerita tentang pengalaman mereka untuk dikongsi bersama dengan rakan-rakan sejenis. Seperkara lagi, masyarakat juga harus lebih prihatin dengan keadaan sekeliling. Mereka patut tampil memberi bantuan apabila berada di dalam situasi seperti itu. Sekiranya ternampak seakan-akan sesuatu yang buruk akan berlaku di kawasan anda berada, segeralah bertindak dan berusaha untuk menghalangnya. Jangan hanya menjadi pemerhati. Selanjutnya, undang-undang untuk pesalah kes ragut ini ditimbang semula dan perketatkan supaya mereka yang mungkin akan melakukan jenayah tersebut merasa takut dan berfikir banyak kali sebelum melakukannya.



Peragut adalah mereka yang yang suka mencuri. Mereka hanya inginkan barang daripada mangsa dan tidak ambil kisah yang perbuatan mereka itu boleh mendatangkan mudarat kepada mangsa. Seperkara yang perlu diingati oleh wanita adalah bertindak bijak semasa diserang tetapi jangan melawan untuk keselamatan diri. Apabila diragut, elak diri daripada bergelut dan sebaik-baiknya lepaskan beg yang disentap kerana menjadi resam peragut akan berusaha mendapatkan apa yang mereka ingini. Jika terus melawan, kemungkinan mangsa akan tercampak atau berpusing-pusing kerana kekuatan peragut telah berlipat ganda akibat kelajuan motor yang dipandu. Dalam apa juga keadaan, langkah terbaik adalah sentiasa berhati-hati. Berpeganglah kepada pepatah, berjimat sebelum habis, beringat sebelum kena.