01 Ogos 2021

PENGGUNAAN TEKNOLOGI UNTUK MEMERANGI RASUAH DAPAT MEMPERTINGKATKAN INTEGRITI

Berita Harian Online

1 Ogos 2021 (Ahad)

Butiran Penulis

Mohd. Azrul Mat Said

Perunding Latihan Kanan, Sub Kluster Etika, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN)

 

Ketika dunia sedang bergelut menghadapi pandemik COVID-19, rasuah dan salah guna kuasa juga mengubah sifatnya, khususnya dengan perkembangan teknologi maklumat. Keratan kajian Global Economic Crime and Fraud Survey 2020 oleh PricewaterhouseCoopers (PwC) menunjukkan peratusan kes penipuan membabitkan pengguna disenaraikan sebagai jenayah ekonomi tertinggi, iaitu 20 peratus, diikuti rasuah dan korupsi (18 peratus); jenayah siber (16 peratus) dan penyelewengan aset (16 peratus). Ini menunjukkan perlunya suatu dasar yang dapat memangkin serta mempersiapkan seluruh segmen masyarakat Malaysia untuk menelusuri dunia digital dan teknologi yang sentiasa berkembang.

 

Statistik Jabatan Perangkaan mengenai penggunaan dan capaian teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) individu dan isi rumah pada tahun lalu menunjukkan peningkatan kepada 91.7 peratus berbanding 90.1 peratus pada 2019. Capaian isi rumah terhadap telefon bimbit dan komputer juga meningkat kepada 98.6 peratus dan 77.6 peratus pada 2020. Ini membuktikan negara kini sedang mengadaptasi norma baharu bukan sahaja dari segi fizikal, bahkan secara dalam talian. Dasar Revolusi Industri Keempat (4IR) yang dilancarkan, 1 Julai 2021, memudahkan aliran maklumat antara institusi kerajaan, mengurangkan asimetri maklumat antara pegawai awam dan rakyat, mengehadkan budi bicara pegawai awam, pengautomasian proses, menghapuskan perantara dan mengurangkan kerenah birokrasi.

 

Namun begitu, cabaran utama bagi 1IR merealisasikan potensinya bergantung kepada kehendak politik, prasarana, faktor ekonomi dan sosial, capaian internet, faktor kerahsiaan serta kos implementasi ICT dari segi infrastruktur dan latihan. Atas dasar itu, kerajaan sentiasa mengoptimumkan inovasi teknologi dalam pentadbiran awam. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenalkan aplikasi MACCMobile agar aduan rasuah boleh dibuat menggunakan telefon pintar. SPRM merekodkan sebanyak 243 aduan berkenaan rasuah bagi Januari hingga Jun tahun lalu berbanding 521 bagi tempoh sama tahun ini. Pertambahan laporan ini kesan kesedaran masyarakat dalam memerangi rasuah.

 

Masyarakat juga boleh mendapatkan maklumat mengenai operasi kerajaan melalui pelbagai saluran seperti laman portal dan aplikasi telefon pintar seperti MySejahtera. Menurut Galeri Aplikasi Mudah Alih Malaysia (GAMMA), terdapat 190 aplikasi dibangunkan oleh 97 agensi kerajaan yang boleh dimuat turun setakat ini untuk memastikan masyarakat mendapat maklumat tepat terus daripada kerajaan. Hakikatnya, langkah mengoptimumkan teknologi rancak dilaksanakan di seluruh dunia. Openspending.org umpamanya, inisiatif mempromosikan pengetahuan dan data terbuka mengenai belanjawan sesebuah kerajaan atau syarikat korporat. Ia akan mencipta peta aliran belanjawan secara dalam talian. Slovakia dan Cameroon mengadaptasinya, sekali gus membolehkan rakyatnya dapat meneliti data kewangan negara secara dalam talian.

 

Rakyat Argentina melalui PoderCiudadano melancarkan laman web Dinero y Politica bertujuan untuk melihat kedudukan kewangan sesuatu parti politik Argentina. Slovakia dan Republik Czech pula menggunakan laman web KohoVolit untuk memantau cadangan dan kedudukan calon pilihan raya sebelum dan selepas pilihan raya. Ia juga memantau tindakan dilaksanakan calon menang apakah ia selaras janji diikrarkan selepas mendapat kuasa daripada pilihan raya. Guatemala ialah negara yang 'kekebalan' menjadi masalah sangat serius, sebahagiannya disebabkan mempolitikkan pelantikan hakim. Laman web Guatemala Visible ditubuhkan dan dikawal selia masyarakat, yang memantau pemilihan Juruaudit Negara, Peguam Negara, Peguambela Awam, Ombudsman dan pegawai kehakiman utama lain.

 

Pasukan Polis Afghanistan pada 2009 memperkenalkan sistem pembayaran gaji melalui telefon berbanding tunai sebelum ini. Kebanyakan anggota polis menganggap terdapat kenaikan dalam gaji mereka, namun hakikatnya ini adalah pertama kali mereka mendapat gaji penuh. Sepuluh peratus gaji mereka sebelum ini dibayar kepada 'polis hantu' yang mempunyai kaitan dengan pegawai atasan. Seoul memperkenalkan pangkalan data Online Procedures Enhancement for Civil Applications (OPEN) dalam talian sebagai usaha meningkatkan ketelusan operasi. Sistem ini membolehkan masyarakat memantau permohonan awam berkaitan 70 pihak berkuasa perbandaran mempunyai kadar rasuah tinggi berkaitan perumahan dan projek pembangunan, peraturan alam sekitar dan perancang bandar.


Pangkalan data ini membolehkan pemantauan permohonan dalam talian daripada pegawai memproses permohonan, masa diperuntukkan, sebab kelewatan memproses permohonan dan sebab permohonan ditolak. Hakikatnya, terdapat pelbagai lagi kemungkinan boleh kita garap dan adaptasikan kemajuan teknologi dibawa bersama 4IR dalam membasmi rasuah. Kerjasama setiap pihak baik kerajaan, swasta, ahli politik dan masyarakat diperlukan dalam memastikan sebarang tanggungjawab diamanahkan adalah telus dan berintegriti. Membasmi rasuah tidak sepatutnya terletak kepada kertas penarafan atau objektif sesebuah syarikat semata-mata. Selagi jati diri tidak disemai dari sekarang dikhuatiri kita akan selamanya dipersalahkan oleh generasi akan datang terhadap kelemahan kita membasmi rasuah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...