Kisah manusia dan hutang telah wujud sejak
berzaman lamanya. Semua orang pernah berhutang. Kita berhutang disebabkan
pelbagai tujuan yang hanya kita sendiri yang tahu akan jawapannya. Kita
berhutang untuk membeli rumah, tujuannya adalah untuk menyediakan tempat
tinggal yang selesa untuk keluarga kita. Kita berhutang untuk membeli kereta,
tujuannya adalah untuk menyediakan pengangkutan bagi mempermudah urusan
seharian kita. Kita buat pinjaman peribadi di bank, tujuannya adalah untuk
membiayai pengajian atau mengatasi masalah kewangan akibat daripada keperluan
yang mendesak seperti membiayai perbelanjaan perubatan yang mencecah ribuan
ringgit. Oleh itu, pelbagai institusi kewangan ditubuhkan semata-mata untuk
mempermudah urusan kita untuk berhutang. Konsep hutang ini amat mudah untuk
difahami. Setelah kita berhutang, masalah kewangan kita dapat diselesaikan atau
apa yang kita mahukan dapat kita peroleh, dan sebagai balasannya kita perlu
membayar hutang pada setiap bulan berdasarkan jumlah yang telah dipersetujui. Jika
kita melanggar perjanjian itu, sudah pasti masalah akan timbul antara kita
dengan pihak tempat kita berhutang. Orang berhutang ini saya klasifikasikan
kepada dua kelompok, iaitu orang yang berhutang untuk tujuan yang positif dan
satu lagi kelompok ialah orang yang berhutang dengan tujuan yang negatif.
Orang yang berhutang dengan tujuan positif
biasanya tidak mendatangkan masalah kerana niat mereka berhutang amat jelas iaitu
untuk kesejahteraan dan keselesaan hidup. Mereka berhutang berdasarkan
kemampuan diri. Golongan ini berhutang untuk membeli rumah, kereta, dan
beberapa keperluan lain tetapi tidak sampai mengikat perut atau menyusahkan
diri sendiri dan orang lain. Mereka sedar akan kemampuan diri untuk membayar
hutang pada setiap hujung bulan. Golongan ini turut mempunyai kad kredit tetapi
bayaran bulanan tidak pernah tidak dilangsaikan justeru mereka memahami tujuan
mereka menggunakannya atau dengan kata lain mereka tahu sebab mereka berhutang.
Saya tidak mahu menyentuh dengan lebih lanjut kisah golongan yang berhutang
positif ini kerana mereka tidak menyusahkan hidup orang lain. Saya ingin
berbicara golongan yang berhutang tetapi mempunyai niat yang negatif. Golongan ini
kian bertambah dalam masyarakat kita kerana mereka hidup di luar paras
kemampuan diri sendiri. Mereka inginkan kemewahan tetapi bukan atas usaha gigih
diri sendiri sebaliknya dengan menokok hutang sehingga sanggup menjadi hamba
hutang. Apabila hutang bergayutan di kellling pinggang maka tercetuslah
pelbagai kisah atau drama kehidupan yang melondehkan maruah diri. Hidup jadi
berantakan. Mereka tidak sedar bahawa keseronokan hidup yang dinikmati dalam
seminit dua itulah yang bakal menghancurleburkan kesejahteraan dan kebahagiaan
yang didamba.
MEWAH DENGAN BERHUTANG
Orang yang berhutang dengan tujuan untuk
mempertontonkan kemewahan dan kesenangan kepada orang lain sebenarnya bakal
mengundang bala kepada masa depan diri sendiri. Kita selalu melihat orang yang
bergaji kecil tetapi datang ke tempat kerja dengan memandu kereta yang berharga
ratusan ribu. Bayaran bulannya bukan sedikit! Kita yang melihat pun
tertanya-tanya tetapi kita hanya mampu menumpang bangga dengan kemampuannya
itu. Tidak cukup dengan itu, pakaian yang membalut badan bukannya pakaian yang
dibeli di pasar malam tetapi pakaian berjenama yang berharga ratusan ringgit
yang dibeli di butik mewah di kota. Golongan ini suka menunjukkan kemewahan
sehingga ada yang sanggup menghina dan mencaci orang lain yang konon-kononnya
tidak setaraf dengan mereka. Bagi golongan ini, selagi ada jalan untuk
berhutang mereka akan terus berhutang sehingga akhirnya mereka terperangkap
sehingga berhutang dengan along atau rakan sekerja disebabkan had untuk
berhutang melalui potongan gaji sudah mencapat tahap maksima. Jika membuat
majlis perkahwinan mereka sanggup berhutang hingga ribuan ringgit semata-mata
untuk menunjukkan bahawa mereka berkemampuan tetapi sebenarnya majlis
perkahwinan itu ibarat jurang derita yang akan menerkam mereka sebaik sahaja
majlis itu berakhir. Itulah tabiat orang suka berhutang. Mereka tahu kemampuan
diri mereka tetapi disebabkan terdesak untuk mendapatkan pujian dan sanjungan
mereka lupakan semuanya. Yang pasti, hidup mereka tidak pernah tenang kerana
menjadi hamba hutang.
Sama ada mereka sedar atau tidak, hidup orang yang menjadi hamba hutang ini tiada keberkatan. Semua yang mereka lakukan selalu gagal walaupun pekerjaan itu mudah. Mereka sentiasa didatangi masalah. Habis satu, datang satu lagi, dan satu lagi. Mungkin kerana hutang yang tidak dibayar itulah mereka jadi sukar menempuhi perjalanan hidup seharian di bumi Allah ini.
Budaya hidup di luar kemampuan diri ini
kian merebak dalam masyarakat kita apatah lagi kemudahan untuk berhutang ini
mudah terdapat di mana-mana dan urusannya amat mudah. Golongan yang hidup mewah
dengan adanya kemudahan perkhidmatan pinjaman peribadi ini biasanya tidak akan
kekal bahagia selamanya kerana suatu ketika mereka akan rasa terhimpit dan
tercekik kerana gaji bulanan hanya tinggal cukup-cukup makan. Hal ini demikian
kerana orang yang ketagih meminjam ini drama helahnya akan berpanjangan kerana
mereka akan gali lubang tutup lubang sehinggalah tidak ada lagi lubang yang
boleh digali dan ditutup barulah mereka sedar bahawa mereka sudah terpenjara
dalam perangkap orang berhutang. Jika tempoh bayaran hutang-hutang itu mencecah
20 tahun pula, yang kasihan bukan sahaja dia malahan anak isteri pun turut
terkena juga. Tabiat suka berhutang ini baik jika nawaitu kita berhutang itu
betul. Akan tetapi, jika kita berhutang semata-mata untuk berbelanja mewah, itu
salah. Setelah pinjaman diluluskan kita beli barang perhiasan jenama
antarabangsa yang harganya ratusan ringgit, kita harus sedar duit yang kita
guna itu duit yang kita pinjam, bukannya hasil titik peluh kita bekerja dan
menyimpan. Jika selepas pinjaman diluluskan kita ghairah mengadakan jamuan
semata-mata untuk menunjukkan kemampuan kita kepada orang lain, sedarlah bahawa
selepas habis jamuan itu kita menangis manakala orang lain akan ceria tertawa.
DRAMA HIDUP AKAN BERMULA
Pernahkah anda berhadapan dengan kawan
yang suka berhutang? Disebabkan dia tidak bayar duit yang dia hutang kita rasa
malu hendak menagih hutang dengan dia? Jika kita meminta dia membayar hutang,
dia akan memberikan bermacam-macam alasan atau dia pula akan memarahi kita
seolah-olah kita yang memberikan wang untuk menolongnya waktu kesempitan itu
pula yang bersalah!. Mengapakah mereka tergamak bersikap sedemikian? Mereka
tahu mereka bersalah tetapi mereka malu untuk mengakui kesalahan itu? Mereka
sentiasa melarikan diri daripada kita? Janji-janji manis yang ditabur semasa
meminjam daripada kita cuma dusta belaka. Semasa hendak meminjam wang daripada
kita, kata-katanya semanis madu. Kitalah dewa. Kitalah penyelamat. Kitalah
segalanya. Puji-pujian ke atas kita melangit tingginya. Akan tetapi, yang terindah
itu hanyalah sementara, seminggu, sebulan, atau setahun kemudian dia boleh
bertukar menjadi sebaliknya. Lantaran ketidakmampuan membayar hutang, dia
tergamak menyingkirkan kita atau lebih parah dia mereka-reka pelbagai cerita
yang bukan-bukan tentang kita. Hatinya penuh dengan kejahatan lantaran ingin
lari daripada hutang yang menghantui hidupnya. Dia tidak sedar bahawa Tuhan itu
maha kaya. Dia mungkin menang di dunia tetapi dia tidak sedar nikmat hidupnya
ditarik sedikit demi sedikit kerana setiap sen duit kita yang dihutang olehnya
itu kita bagi dengan ikhlas tetapi dia tidak jujur dalam membalas. Oleh itu,
setiap sen duit kita yang mendarahdaging dalam tubuhnya akan menjadi parasit
yang akan menolak setiap rezekinya kepada kita.
Jangan mudah memberikan peluang kepada orang untuk berhutang dengan kita walaupun kawan rapat sendiri jika kita tidak mahu masalah seterusnya akan wujud di antara kita dengannya. Jangan lupa, kerana hutang manusia sanggup melakukan pelbagai penganiayaan dan kekejaman ke atas manusia lain yang tidak bersalah.
Orang yang sudah terkurung dalam sangkar
suka berhutang ini tidak pernah sunyi daripada masalah hidup. Dia bukan sahaja
berhutang dengan kita malah dengan sesiapa yang dikenali olehnya kerana
koceknya sentiasa kosong manakala masalah tidak pernah berhenti daripada
menjenguk hidupnya. Hal ini demikian kerana dia sanggup berbohong semata-mata
untuk mendapatkan seratus dua daripada kawan-kawan. Duit-duit itu pula tidak
terbalas olehnya kerana hutang keliling pinggang. Akibatnya, fikiran berserabut
sehingga dia sanggup melakukan tindakan yang membelakangkan maruah dirinya.
Rahsia hidup orang berhutang ini walau macam manapun ditutup pasti akan terbuka
juga kerana pembalasan daripada Allah tidak pernah berhenti selagi mereka tidak
jujur atau mengubah jalan hidup yang salah itu. Ramai juga yang diisytiharkan
muflis dan dibuang kerja sebab tidak pandai menguruskan kewangan mereka
sendiri, malahan ada yang masuk penjara disebabkan menipu, memperdaya, atau
menggunakan orang lain untuk menyelesaikan masalah mereka. Untuk orang yang
berhutang, kehidupan ini tidak mudah dan manis. Jalan hidup mereka akan terus
bercelaru dan haru biru. Di sana hutang di sini hutang. Duduk di kedai makan
pun dia tidak akan tenang kerana mindanya asyik teringatkan hutang atau dia
duduk dikelilingi oleh pemberi hutang!
Pembohongan berantai yang dilakukan oleh
orang yang suka berhutang ini kadang kala amat melucukan kerana dia sendiri
boleh terlupa dengan apa yang terkeluar daripada mulutnya sendiri. Apabila
nafsu untuk berhutang ini mengatasi pertimbangan akal, maka cerita-cerita yang
diungkapkan daripada bibirnya memang tidak boleh dipercayai. Hutang-hutangnya
itu akan melenyapkan sedikit demi sedikit kebahagiaan hidup yang dia kecapi
sehingga suatu ketika dia mula bertindak untuk berhutang dengan Along yang mengenakan
kadar faedah yang bukan sedikit kepadanya. Hidupnya ibarat jatuh ditimpa
tangga. Apabila sudah sampai ke tahap ini, yang menjadi mangsa bukan hanya dia
sendiri malahan seluruh ahli keluarganya turut menjadi mangsa. Kisah-kisah
sedih golongan ini akibat along tidak perlu saya ceritakan kerana di laman
media sosial amat banyak. Mereka tahu jalan itu boleh membunuh tetapi mereka
terus juga memilih jalan itu untuk dilalui kerana mereka tiada jalan lain yang
boleh diikuti. Mereka bukannya tidak bijak tetapi segala kebijaksanaan itu
telah lenyap dari minda bestari lantaran sudah menjadi hamba hutang. Mereka
jadi tidak keruan kerana sentiasa melihat masa hadapan yang kelam dan hitam
sebab telah dikelambui hutang-hutang mereka.
HUTANG MESTI BAYAR
Jika kita berhutang, kita harus sedar
siapakah diri kita? Kenali kemampuan kita. Kita harus berjimat cermat dalam
berbelanja. Yang paling penting, kita tidak boleh lari daripada membayar hutang
kerana sekali tertunggak maka bajet bulanan kita akan lari sebab hutang itu
akan berganda. Jika niat kita berhutang itu tidak membawa kepada kemaslahatan
hidup kita pada masa depan, moleklah dihentikan niat itu kerana hutang ini
sebenarnya membuka jalan untuk kita melakukan pelbagai dosa setelah terdesak
dan terhimpit nanti. Rezeki orang berhutang ini sebenarnya tidak akan kekal
kerana tanpa mereka sedari rezeki mereka diambil dengan pelbagai cara oleh Yang
Maha Berkuasa. Orang berhutang ini boleh menghabiskan RM1000 dalam masa sejam
atau kurang daripada itu kerana dia sentiasa dihasut untuk berbelanja dan terus
berbelanja selagi wang masih memenuhi kantung dompetnya. Dia mungkin tidak
sedar kena duniawi telah mengaburi matanya tetapi Allah sentiasa memerhati dan
menghukum setiap perlakuan silapnya itu. Jika dia sentiasa ingat akan hutangnya
dan membayar hutangnya secara tersusun dan sistematik, insyallah Allah akan
memudahkan urusannya dan menggandakan lagi rezekinya. Seandainya dia memilih
laluan ingkar, percayalah jalan itu tidak mudah untuk dia lalui. Dia mungkin
berjaya melarikan diri daripada kita (tempat dia berhutang) tetapi dia tidak
boleh melarikan diri daripada takdir yang akan menghukum dirinya.
Semakin banyak nilai hutang yang tidak
dilangsaikan maka semakin banyaklah masalah akan muncul dalam kehidupannya.
Semakin jauh dia lari daripada hutangnya itu, maka semakin sukarlah perjalanan
hidupnya di kemudian hari. Hutang-hutannya itu tidak akan melepaskannya untuk
mengecapi nikmat hidup di dunia tanpa masalah. Dia mungkin tertawa dan bekerja
seperti biasa tetapi jiwanya akan berkecamuk dengan pelbagai masalah yang
menerpa. Itulah azab hidup orang yang menjadi hamba hutang. Oleh itu, jika kita
berhutang walaupun dengan keluarga sendiri, kita perlu berusaha membayarnya
sehingga habis. Walaupun nilai hutang kita itu hanyalah RM1.00 sahaja, jika
kita tidak membayarnya mungkin secara tidak sedar rezeki kita akan berkurang
RM100.00 sebagai balasannya. Hutang tetap hutang. Orang yang berhutang harus
faham konsep hutang dan pemberian ikhlas. Mereka harus faham konsep halal dan
haram setiap rezeki yang diraih saban hari. Kegagalan kita memahami diri
sendiri dan makna hutang mungkin akan menjadikan hidup kita selalu berliku dan
bercelaru selepas itu nanti. Orang mungkin tidak menagih hutang daripada kita
kerana rasa hormat dan simpati tetapi kita tidak boleh mengambil kesempatan di
atas kebaikan orang lain semata-mata untuk melarikan diri daripada hutang.
PILIH KAWAN ATAU HUTANG
Orang yang suka berhutang ini akan
kehilangan ramai kawan-kawan yang amat menghormati dan menyayanginya, Mereka
menyisihkan dirinya kerana dia telah mengkhianti ikatan silaturrahim yang
terbina antara mereka. Yang akan kekal bersamanya hanyalah rakan-rakan yang
hanya bersama ketika gembira tetapi angkat kaki apabila dia berduka. Bagi orang
yang sebegini, niat dia berkawan dengan semua orang bukannya iklhas tetapi
hanya untuk mengambil kesempatan iaitu meminta hutang. Dia berkawan dengan kita
hanyalah sementara. Selepas mendapat hutang (tujuannya hanya untuk berhutang)
dia akan pelahan-lahan bersembunyi atau menyisihkan diri daripada kita. Dia
tidak sedar perbuatannya itu salah kerana syaitan dan iblis telah beraja di
hatinya. Orang seperti ini tidak tahu makna pengorbanan dan keihlasan orang
yang membantunya kerana niatnya hanya untuk melunaskan keinginan hati untuk
berhutang. Mereka tidak mementingkan persahabatan dan persaudaraan kerana
terlalu terdesak untuk mengecapi nikmat hidup yang tidak berpanjangan. Mereka
ibarat embun, hanya membasah rumput di pagi hari tetapi lenyap dan kering
menjelang tengah hari. Jika ditanya, mereka pilih kawan atau hutang? Orang
berhutang ini akan pilih hutang kerana tanpa hutang hidupnya akan kontang dan
gersang. Kawan bagi mereka ini tidak penting.
Saya menulis artikel ini bukan atas
pengalaman diri sendiri tetapi bersumberkan pengalaman yang diperoleh daripada
pembacaan di laman-laman sosial tentang keluhan dan luahan hati orang yang
selalu menjadi tempat orang berhutang ini berhutang. Saya bersimpati apabila
terbaca, pada zaman ini bukan orang yang berhutang itu malu tetapi orang yang
menjadi tempat dia berhutang malu menagih hutangnya sendiri. Jika orang yang
memberikan hutang itu kaya dan banyak duit, mungkin tidak mengapalah jika
hutang itu tidak dibayar. Dia mungkin halalkan atau tidak kisahpun sebab dia
memang membantu kita dengan ikhlas. Akan tetapi, sekiranya kita berhutang
dengan kawan-kawan yang hidupnya sederhana atau kurang berkemampuan maka kita
perlulah membayar wangnya dengan kadar segera. Dia membantu kita dengan ikhlas
walaupun dia tahu dirinya tidak mampu. Oleh itu, jika kita manusia yang punya
akal yang waras, kita harus membayar hutangnya itu. Jika orang sanggup
berkorban untuk kita maka kita janganlah malu-malu atau pura-pura tak tahu
untuk berkorban bagi membalas jasanya itu. Kita harus ingat, hutang tetap
hutang. Jika orang yang memberi hutang tidak menghalalkan hutang yang tidak
dibayar itu, di akhirat nanti kita akan tanggung azabnya sendirian. Jika tidak
mampu membayar hutang, jangan berhutang! Hidup ikut kemampuan sendiri. Hutang
tiada. Masalah lari. Hidup ceria selamanya. Lebih baik tidur di pondok buruk
berbantalkan lengan atau bertilamkan papan daripada tidur di katil empuk tetapi
tidur berbantalkan hutang, bertilamkan hutang, dan berselimutkan hutang.
Semuanya hutang dan hutang belaka! Amboiiiii ….
Cetusan Pendidik Bestari
Cikgu Zulkarnain
Sibu Sarawak.