AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD
Bekas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USM
Pensyarah Kanan Institut Aminuddin Baki
Tindakan sekumpulan pelajar yang menggelarkan diri mereka sebagai Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas) menurunkan bendera gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah suatu tindakan yang begitu luar biasa sekali. Dipercayai tindakan ini adalah usaha kedua kumpulan ini selepas kali pertama dilakukan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini. Jika sebelum ini di UIA, kumpulan pelajar ini menggunakan alasan memperjuangkan kebebasan akademik sebagai temanya, maka kali ini alasan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pula digunakan. Soal alasan yang digunakan bukanlah soal pokok yang perlu dibincangkan atau diselidiki kerana ia boleh dicipta oleh sesiapa sahaja atas kepentingan tersendiri tetapi yang lebih utama perlu diperhalusi adalah soal motifnya. Apakah tindakan ini bermotifkan kepada solidariti? atau bermotifkan transformasi akademik untuk rakyat?. Jika motifnya sebagaimana yang dinyatakan itu, lantas apa kaitannya dengan menurunkan bendera Perdana Menteri itu? Perdana Menteri adalah ikon politik Malaysia yang tertinggi dalam hierarki pemerintahan negara tidak ada kena mengena dengan agenda yang mereka perjuangkan, maka tidak susah untuk kita nilaikan bahawa kepada motif politik semata-mata. Apakah ini satu bentuk politik baru yang diagungkan dan jika benar maka ia adalah suatu yang agak menggerunkan.
Dalam konteks ini, bukanlah menjadi kesalahan pelajar mempunyai dokma dan idea politik tersendiri tetapi jika ke tahap sanggup menurunkan bendera orang tidak disukai ia memberi pentafsiran dan persepsi amat berbeza sekali kepada masyarakat. Justeru, kita tertanya-tanya, apakah ini satu eksperimen bagi gerakan politik pelajar terhadap AUKU yang dikatakan akan dipinda?. Jika benar, maka apakah wajar Seksyen 15 AUKU tetap dipinda atau kerajaan boleh membuat penilaian semula? Sama ada kita sedar atau tidak, kejadian ini cukup ironis sekali iaitu tatkala kerajaan baharu sehari mengotakan janjinya untuk memberikan peruntukan baucer buku percuma kepada semua pelajar IPTA. Soalnya, apakah pengotaan janji ini bukan satu kebaikan kepada pelajar IPTA?. Jika benar siswa dan siswi tetap mahu membuat perarakan, bukankah lebih elok dan logik jika perarakan dibuat ke pejabat Perdana Menteri untuk menunjukkan tanda terima kasih kepada beliau dan kerajaan di atas bantuan yang yang cukup bermakna pelajar iaitu duit buku? Tetapi kenapa tindakan itu tidak diinisiatifkan sebagai memanifestasikan kepada kematangan pelajar IPTA yang tahu berterima kasih kepada pihak yang memberi?. Jawapannya, tindakan yang baik sebegitu tidak memberikan laba politik kepada pihak yang membayangi pelajar-pelajar ini.
Akhirnya, di sebalik kesibukan pelajar IPTA lain berkira-kira tentang buku apa yang mahu dibeli, kedai buku mana yang mahu dikunjungi, amat menyedihkan terdapat sekumpulan pelajar Melayu begitu gah berdemo serta bertindak dengan gaya ala reformis Asia Barat. Perkara ini harus dilihat dengan serius oleh semua pihak terutamanya Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak pengurusan semua universiti awam. Isu ini tidak harus dikesamping dengan menganggap bahawa ia isu terpencil. Jika diteliti dengan mendalam kita boleh membuat konklusi ini adalah bibit-bibit keadaan yang bakal dihadapi selepas AUKU 1974 dipinda. Karektor politik pelajar IPTA dan lanskap politik kampus akan berubah selaras dengan perkembangan politik yang berlaku di luar kampus. Ini adalah senario perlu difahami oleh Kementerian Pelajaran Tinggi dan pihak universiti. Walaupun kelak kita dapati perubahan pada AUKU hanya meliputi Seksyen 15 dan tertera peraturan mengatakan itu boleh dan ini tidak boleh tetapi realitinya ia tidak akan menjadi begitu oleh pelajar IPTAi. Jika tidak diurus dengan baik oleh pihak Universiti dan KPT akan menghasilkan impak boomerang yang negatif kepada universiti khususnya dan negara amnya.
Kesan segera sudah kita lihat pada minggu ini. Kemungkinan-kemungkinan seperti pintu bilik asrama di IPTA akan dihiasi bendera parti politik juga akan berlaku dan elemen human right akan dijadikan justifikasi membolehkan tindakan sebegitu dibenarkan boleh terjadi. Jadi dalam hal ini, pihak KPT dan universiti harus lebih berani dan tegas dalam melaksanakan peraturan yang ada. KPT dan Universiti juga harus lebih bersedia berhadapan dengan pelajar yang mungkin membawa kes mereka kepada pihak ketiga seperti mahkamah, Suhakam dan seumpamanya. Oleh itu, orientasi pengurusan universiti juga tidak harus dihalakan kepada pembangunan akademik pelajar semata-mata malah harus menjangkau kepada dimensi lain seperti solidariti politik pelajar dan sebagainya. Dalam hal ini, Naib Canselor harus mempunyai panglima (Timbalan Naib Canselor HEP) yang cekap dan fahaman tentang perlunya kebebasan mutlak yang dicanang tangkas. Ini supaya setiap perkara negatif yang berlaku dalam kalangan pemimpin politik kampus dapat dihidu lebih awal demi memastikan iklim universiti sentiasa kondusif untuk pelajar. Namun, ini tidaklah bermakna, idealisme pelajar IPTA disekat. Idealisme pelajar tetap wajar dibiarkan menyubur tetapi ia perlu disarankan dan dipandu untuk diterjemahkan secara matang melalui perbincangan meja bulat dan seumpamanya.
Bagi pelajar IPTA, mereka harus memahami bahawa mereka hanya sekelompok kecil daripada pelbagai kelompok rakyat yang terdapat di negara kita. Negara kita mempunyai kelompok rakyat seperti penjawat awam, petani, nelayan, orang kampung, teknokrat, dan pelbagai lagi. Mereka tidak boleh merasakan bahawa mereka ialah kumpulan yang sentiasa wajib ditatang bagai minyak yang penuh. Disinilah pentingnya elemen kematangan. Rumusannya, pelajar IPTA harus memiliki falsafah kepimpinan politik kampus tersendiri yang tidak terkongkong dengan falsafah kepimpinan politik luaran dengan meletakkan elemen kedewasaan serta kematangan sebagai prasyarat penting dalam setiap tindakan yang diambil. Identiti pelajar IPTA negara tidak harus lagi dicemari dan diconteng dengan elemen-elemen kebobrokan dan picisan seperti demonstrasi tanpa berperaturan dan susila. Pelajar IPTA negara ini harus membentuk karektor tersendiri yang menjadikan kualiti, nilai diri serta nilai ilmu sebagai wadah atau pun nilai pasaran untuk bersaing di pentas antarabangsa mahu pun serantau yang selaras dengan imej negara sebagai negara membangun.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
20 DISEMBER 2011