Menteri Pengangkutan,
Anthony Loke sendiri mengakui pengusaha bas sekolah yang tidak berdaftar sudah
berlarutan sejak 30 tahun lalu. Berdasarkan statistik terkini, hanya 14,809 bas
sekolah berdaftar, sekali gus tidak setimpal dengan jumlah 3.9 juta pelajar
sekolah di seluruh negara. Perbandingan itu lebih membimbangkan apabila Tan Sri
Syed Hamid Albar ketika menjadi Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat
(SPAD) pernah mendedahkan lebih 50,000 bas sekolah di seluruh negara dipercayai
masih beroperasi secara haram dan belum berdaftar dengan agensi di bawah SPAD
pada 2013. Mengambil kira angka itu, ini bermakna setiap bas sekolah berdaftar,
ada dua dan tiga lagi kenderaan haram yang turut membawa anak-anak kita
berulang-alik dari rumah ke sekolah.
Berleluasanya operasi bas
sekolah haram itu sudah tentu turut berpunca daripada permintaan dan penawaran
yang membabitkan ibu bapa sendiri. Dalam situasi ibu bapa sibuk mengejar dan
membina kerjaya masing-masing sehingga terpaksa keluar awal pagi dan pulang
malam. Kita ‘menyerahkan’ tanggungjawab menghantar dan mengambil anak di
sekolah kepada pengusaha bas. Malangnya, hal itu dilakukan tanpa mengambil kira
sama ada kenderaan terbabit berdaftar atau tidak dan tidak mengambil tahu
adakah status kenderaan yang digunakan mengikut piawaian ditetapkan. Ini sekali
gus mendedahkan anak-anak kepada risiko kemalangan yang berlaku akibat kecuaian
pemandu atau kerosakan mekanikal. Mengikut peraturan, setiap pemandu bas
sekolah perlu mempunyai Lesen Memandu Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV),
manakala kenderaan pula wajib menjalani pemeriksaan berkala dan mendapat
kelulusan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Pengusaha juga perlu
melakukan pemeriksaan dalam aspek keselamatan seperti cermin kenderaan yang
berkeadaan baik dan alat pemadam api masih berfungsi. Dalam hal ini, sekolah
dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan untuk
memastikan hanya van serta bas sekolah berdaftar sahaja dibenarkan beroperasi
dan memantau kehadiran kenderaan haram serta melaporkannya kepada pihak
berkuasa. Kerjasama dengan pengusaha berdaftar juga perlu dipergiatkan seperti mengedarkan
senarai van serta bas yang sah kepada ibu bapa. Kerajaan juga tidak harus
berkompromi dalam isu bas sekolah tidak berdaftar ini kerana ia membabitkan
keselamatan pelajar. Langkah melakukan pemutihan bas yang tidak berdaftar
selewat-lewatnya tahun depan dengan mewujudkan mekanisme terbaik untuk
menjayakannya tidak boleh lagi hanya menjadi halwa telinga setiap kali
pertemuan pihak kementerian dengan pengusaha bas. Sebaliknya memerlukan pelan
yang komprehensif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak, khususnya
pelajar itu sendiri.
Kementerian Pengangkutan
juga boleh memperkenalkan langkah tambahan untuk menambah baik perkhidmatan bas
sekolah seperti pengenalan gred berdasarkan kualiti pemandu, kenderaan dan
maklum balas daripada sekolah serta ibu bapa. Kita mengharapkan perbincangan
mengenainya tidak hanya terarah kepada isu kos dan tambang sehingga perkara
pokok dikesampingkan tetapi lebih kepada justifikasi menaikkan harga
perkhidmatan. Persoalan sebenar mengenai keselamatan pelajar bermula ketika
mengambil, membawa dan menurunkan mereka di sekolah serta rumah masing-masing
seharusnya menjadi keutamaan. Kita juga berharap soal ini diatasi secepat
mungkin dan tidak perlu menunggu bertahun-tahun untuk diselesaikan dengan
mengulang kembali fiil lama, bak kata pepatah ‘terperlus maka hendak menutup
lubang.’ Apatah lagi lubang yang belum ditutup itu boleh menjerumuskan
anak-anak kita kepada bahaya.