25 Julai 2013

ISU SOSIAL : RATU CANTIK DENGAN 1000 ALASAN


Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

Kita tidak akan habis memperkatakan polemik isu salah atau tidak penyertaan gadis Islam dalam pertandingan ratu cantik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'. Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh". Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun. Si penganjur pun satu hal. Maka keluarlah kenyataan untuk sekali lagi 'menghalalkan' penyertaan gadis-gadis Islam itu sebagai kononnya "anda tidak perlu memperagakan pakaian renang, cukup sekadar pakaian sukan".

Eh! kalau sebahagian besar peserta bukan Islam terbabit memakai pakaian renang, hampir terdedah payu dara manakala sebilangan lagi pakaian sukan, tidakkah janggal atur cara pertandingan itu? Seingat penulis, tidak ada kriteria pemilihan pemenang finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 yang sekadar untuk peserta yang tutup aurat. Akan pasti terpalit isu halal haram ke atas peserta ratu cantik Islam itu. Suatu masa lalu kita didedahkan dengan satu fatwa berkaitan hukum wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik. Fatwa ini dikeluarkan oleh Allahyarham Datuk Haji Ishak Baharom, bekas mufti Selangor sekitar 1997 dan disahkan oleh Sultan Selangor.

Fatwa ini dikeluarkan ekoran sekitar tahun itu banyak pertandingan ratu cantik yang telah dijalankan. Dan yang menyedihkan serta memalukan apabila terdapat ramai wanita yang beragama Islam tidak terlepas menyertainya. Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain. Atas dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan diperlihatkan kepada umum. Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.

Walaupun tidak ada undang-undang khusus yang mengharamkan peserta Islam dalam pertandingan ratu cantik, tetapi fatwa yang dikeluarkan dan diwartakan adalah undang-undang yang mengikat. Contohnya fatwa berkaitan yang telah diwartakan oleh Wilayah Persekutuan pada Februari 1996 memperuntukkan, "Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik." Berdasarkan kepada nas-nas yang dikemukakan, umat Islam di Malaysia bersetuju memutuskan bahawa menyertai dan menganjurkan peraduan ratu cantik adalah haram di sisi Islam. Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.

Lihatlah betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu. Isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan' ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak? Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.

Inilah kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri. Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung. Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya. Yang penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita. Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.

Wanita hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain. Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik. Penganjur Miss World Malaysia 2013, Datuk Anna Lim perlu konsisten - dengan berpegang kepada pendirian membatalkan penyertaan empat gadis Islam terbabit. Kita sudah muak dengan kedangkalan yang ditunjukkan daripada ungkapan-ungkapan yang keluar daripada mulut gadis-gadis Islam kacukan ini.

UTUSAN MALAYSIA
25 JULAI 2013

ISU SOSIAL : KESAN BURUK PENAGIHAN ARAK, DADAH, DAN SHISHA


TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)

Kepekaan dan keberanian Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengakui wujudnya masalah disiplin dalam kalangan atlet sukan dari sudut pengambilan minuman keras dan bahan terlarang harus disambut baik oleh semua pihak. Tindakan untuk menyiasat dan mengkaji punca permasalahan adalah pendekatan yang proaktif demi untuk merancang dan melaksanakan sistem dan proses yang lebih mantap dalam pengurusan sukan di negara ini. Kes rogol yang membabitkan pegawai pengiring wanita pasukan bola baling Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di perkampungan Sukan Malaysia (Sukma) adalah rentetan peristiwa malang yang mungkin menjadi pengajaran supaya budaya mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Budaya mencegah yang meletakkan sistem dan prosedur yang proaktif sebagai mengelak sebarang kemungkinan kejadian gejala anti sosial yang mengundang jenayah daripada berlaku dalam institusi sukan negara. Cadangan Menteri berkenaan untuk menetapkan bahawa pegawai pengiring pasukan sukan perlu dilantik dalam kalangan mereka yang lebih berusia juga adalah rasional kerana mereka yang lebih berusia akan dapat mengawal mereka yang di bawah seliaannya dengan lebih cekap dan adalah lebih proaktif jika pegawai pengiring terdiri daripada golongan gender yang sama. Bertitik tolak daripada itu isu penggunaan barang terlarang atau doping seperti steroid yang dilaporkan oleh akhbar ini pada 10 Julai 2013 juga perlu diambil perhatian berat supaya ia dapat dikekang bukan sahaja di peringkat awam malah kemungkinan penularannya membabitkan atlet negara pada masa akan datang.

Satu usaha bersepadu perlu dijalankan untuk memberi penerangan kepada golongan muda berkaitan penyalahgunaan bahan steroid kerana akibatnya amat serius seperti strok serangan sakit jantung dan darah tinggi secara senyap. Agensi penguat kuasa perlu bertindak segera mengekang penjualan bahan steroid secara terbuka dengan mengetatkan perlaksanaan undang-undang untuk membawa penjual dan pengedar bahan steroid ke muka pengadilan. Kementerian Penerangan dan Multimedia disarankan supaya mengambil tindakan proaktif untuk menghalang syarikat yang menjual steroid di laman sesawang sebagai langkah membendung gejala ini daripada terus berleluasa.

Jika ia terbukti mampu membawa keburukan kepada pengguna maka Akta Farmasi 2010 serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 (CDCR) di mana perdagangan steroid dikawal di Malaysia di bawah Akta Racun 1952 perlu dipinda untuk menambah peruntukan denda maksimum yang sedia ada kepada jumlah yang lebih tinggi. Klinik yang terlibat membekal dan menjual steroid secara berleluasa perlu memberhentikan aktiviti mereka sekiranya mereka sedar bahawa tindakan tersebut mengundang bahaya kepada pelanggan manakala pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera ke atas klinik-klinik yang tidak beretika yang beroperasi menjual dan membekal bahan steroid tanpa kawalan tersebut.

Mutakhir ini, pelbagai isu berkaitan juga perlu diteliti dan satu rumusan yang menyeluruh perlu dicari segera seperti isu e-cigarette, shisha dan penghiduan gam kerana kesemuanya tidak terangkum dalam Akta Dadah Berbahaya tetapi menjurus kepada masalah yang sama iaitu penagihan. Demikian juga isu shisha yang telah diharamkan di Perlis oleh Majlis Fatwa Perlis. Cadangan Kementerian Kesihatan untuk mengharamkan penggunaan shisha adalah langkah yang wajar. Tindakan Majlis Perbandaran Kota Bahru yang menguatkuasakan larangan jualan peralatan shisha mengikut Undang-undang Kecil Pengawasan, Penyeliaan Makanan 1987 (Pindaan 2003) yang tidak membenarkan penggunaan dan penawaran alat tersebut di premis yang dilesenkan adalah satu langkah yang perlu dituruti.

Ini adalah kerana peralatan shisha adalah mirip kepada peralatan penagihan dadah ganja dan jika tidak dibendung akan mengakibatkan penularan penyalahgunaan dadah ganja dalam kalangan belia. Lebih membimbangkan lagi adalah tabiat menghidu gam yang merupakan satu perbuatan yang menyumbang kepada penyakit sosial yang semakin berleluasa pada masa kini, yang melibatkan pelbagai peringkat umur sehinggalah kalangan pelajar sekolah. Perbuatan ini memberi kesan yang mendalam terhadap kesihatan seseorang terutama di bahagian otak sehingga boleh mengundang maut. Menurut peruntukan undang-undang menghidu gam bukanlah merupakan suatu kesalahan malah sumbernya iaitu gam merupakan bahan yang sah di sisi undang-undang untuk kegunaan harian.

Namun demikian sekiranya tabiat menghidu gam ini tidak dibendung lebih awal, ia akan membawa akibat yang lebih besar bukan sahaja kepada kesihatan, malah akan menjerumuskan individu tersebut ke arah penagihan dadah, seterusnya menimbulkan masalah sosial dalam masyarakat. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia memandang serius perkembangan ini dan berharap semua pihak berkuasa terutamanya masyarakat awam supaya sama-sama mengambil bahagian dalam usaha mengekang apa sahaja gejala yang mengundang bahaya kepada kita, terutama yang membabitkan belia warisan negara. Janganlah sudah terhantuk baru nak tengadah dan sudah patah baru hendak melantai.

UTUSAN MALAYSIA

25 JULAI 2013

24 Julai 2013

ISU SOSIAL : PEMBERSIHAN PATI LAKUKAN SECARA MENYELURUH


Oleh Fauziah Arof

Bukan susah pun untuk mencari tempat berkumpulnya warga asing di negara ini terutamanya di sekitar ibu kota Kuala Lumpur dan Lembah Klang. Semua orang pun tahu, mereka sudah lama bertapak di kawasan-kawasan tertentu. Ada tempat berniaga sendiri, berjualan di pasar-pasar borong, kedai runcit termasuk berniaga di bazar-bazar Ramadan. Mereka pun sudah ada kawasan perkampungan sendiri. Ada beberapa buah flat yang hampir keseluruhan dipenuhi oleh warga asing. Kawasan Chow Kit, Ampang, Selayang, Sunway dan Klang adalah antara lokasinya. Entah bagaimanalah rasanya rakyat tempatan yang terpaksa berjiran dengan warga asing. Kiri kanan, depan, belakang rumah penuh disewa oleh warga asing. Bagaimanakah agaknya anak-anak mereka membesar dalam suasana yang begitu?

Dengan kejadian pecah rumah, ragut dan samun yang meningkat di kawasan-kawasan perumahan yang didiami oleh warga asing ini, kita pun terfikir, selamat dan selesakah rakyat kita yang tinggal di kawasan-kawasan sebegini? Maka apabila Kementerian Dalam Negeri mengumumkan akan mengadakan operasi bersepadu memburu pendatang asing tanpa izin (PATI) selepas Hari Raya Aidilfitri ini, kawasan-kawasan inilah yang patut diserbu dulu. Memang ramai warga asing yang berniaga dan tinggal di situ, cuba periksa sama ada mereka mempunyai pasport dan dokumen perjalanan yang sah dan periksa sama permit berniaga mereka. Selepas itu, barulah cari di pusat-pusat hiburan, rumah urut, kawasan perladangan dan perkilangan. Membanteras kemasukan PATI di negara ini harus dilakukan secara menyeluruh.

Sebabnya, kita sudah ada terlalu ramai pekerja asing yang tinggal di negara ini. Yang berdaftar sudah mencecah 1.3 juta orang, itu belum dikira yang tidak berdaftar dan yang memasuki negara ini secara haram. Kita pun sudah banyak membazir wang dan tenaga untuk menghantar PATI ini pulang semula ke negara masing-masing. Banyak lagi perkara yang lebih berfaedah dan bermanfaat untuk rakyat tempatan boleh dilakukan dengan wang yang digunakan untuk menghantar mereka pulang. Jadi, sudah sampai masanya, (sepatutnya dari dulu lagi dilakukan secara berterusan) pembersihan sepenuhnya harus dilakukan. Kalau kita gemar menggunakan istilah pembersihan biarlah dilakukan dengan sebersih-bersihnya dan kalau pemutihan biarlah menjadi seputih-putihnya.

Dari dulu sampai sekarang masalah sosial yang dicetuskan oleh pekerja-pekerja asing ini adalah masalah sama. Mereka ini sesuka hati membuka penempatan mereka sendiri dan mewujudkan kawasan-kawasan setinggan yang turut ada bekalan elektrik dan air. Mereka turut menguasai kawasan perniagaan tertentu. Ini sehinggakan kita yang melalui kawasan itu terasa berada di Indonesia, Myanmar atau kawasan perumahan di Afrika. Bagi rakyat tempatan yang sudah membeli rumah di kawasan yang penuh disewa dengan warga asing, mereka ini lagilah haru. Hendak menyewa di kawasan lain, kadar sewa rumah di Kuala Lumpur dan Lembah Klang ini paling rendah pun RM700 sebulan di flat-flat yang sempit. Jadi setiap malam terpaksa tidur-tidur ayam kerana bimbang rumah mereka dipecah masuk.

Bila sudah duduk beramai-ramai mereka suka bergaduh sesama mereka atau dengan rakyat tempatan sekeliling. Bukan itu saja, mereka ini juga gemar menganggu anak isteri orang. Sudah ada beberapa kes anak dan isteri orang tempatan dilarikan bukan dekat-dekat jaraknya, dilarikan terus ke kampung halaman mereka. Dan usaha membawa mangsa yang dilarikan pulang semula bukannya mudah. Banyak rintangan dan prosedur perlu dilalui. Itu belum diambil kira kes-kes jenayah yang besar-besar, seperti membunuh, merogol dan merompak menggunakan senjata api. Kita juga mesti ingat setiap pekerja asing perlu menjalani saringan dengan dikenakan pemeriksaan kesihatan untuk bekerja di sini. Jadi kemasukan secara haram mereka ke negara ini mungkin membawa penyakit. Kemungkinan PATI itu menghidap penyakit tibi, AIDS, penyakit kelamin dan sebagainya. Mereka ini boleh menyebarkan penyakit-penyakit berkenaan.

Jadi sudah sewajarnya, isu kemasukan pendatang asing di negara ini diberi perhatian khusus dan kemasukan mereka ditapis. Dan majikan yang menggajikan PATI ini jangan dibiarkan terlepas. Kenakan tindakan undang-undang sedia ada. Sekarang pun kita sudah melihat kebanjiran warga asing di negara ini terutamanya pada hari cuti umum dan perayaan, mereka menguasai pusat-pusat membeli-belah dan kawasan rekreasi di ibu negara, kalau tidak disekat kemasukan mereka dari sekarang, setahun dua lagi entah macam mana pula meriah pemandangannya!

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

24 JULAI 2013

ISU SOSIAL : BENDUNG SEGERA JENAYAH REMAJA


NIZAM YATIM

Cukup mengejutkan! Itulah reaksi banyak pihak apabila membaca laporan akhbar baru-baru ini mengenai seorang remaja berusia 15 tahun yang ditahan polis kerana disyaki memiliki serta terlibat dalam kegiatan mengedar dan menyewa senjata api. Dengan tertangkapnya suspek dan seorang lagi rakannya berusia 29 tahun dalam serbuan di Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan, polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes tembak yang berlaku di negeri itu dipercayai dengan menggunakan pistol yang disewa mereka dengan bayaran sekitar RM500 hingga RM1,000. Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, hasil pemeriksaan rapi di kawasan rumah dan sebuah setor berhampiran tempat serbuan, polis telah menemukan tiga pucuk pistol termasuk sepucuk pistol buatan sendiri, alat renjatan elektrik dan satu peket plastik berisi tiga biji pil dipercayai pil kuda.

Beliau berkata, remaja terbabit yang sudah tidak bersekolah dan rakannya seorang penganggur disahkan positif dadah. Beberapa tahun lalu, turut berlaku kes seorang remaja lelaki berusia 15 tahun yang tergamak mengajak tiga rakannya untuk merompak rumah ibunya sendiri di Taman Tanjung Indah, Batu Pahat, Johor. Remaja yang tidak bersekolah dan telah lari dari rumah sebelum ini bersama-sama rakannya telah memecah masuk kediaman mangsa yang berstatus ibu tunggal dan melarikan wang tunai RM5,000 dan sebuah komputer riba. Kes berkenaan adalah sebahagian daripada kejadian jenayah melibatkan remaja yang masih berada di tahap membimbangkan dengan perangkaan pada 2010 menunjukkan golongan itu terlibat dengan 5,165 kes jenayah. Jenayah-jenayah yang dilakukan juga cukup serius termasuk rogol, ragut, samun berkumpulan dan bersenjata serta jenayah kekerasan.

Bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Shamsuri Arshad yang diminta mengulas kes terbaharu itu menyifatkan ia sebagai sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah berlaku ketika beliau menerajui pasukan itu. Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia (YPM) berkata, jenayah yang dilakukan golongan remaja sebelum ini banyak melibatkan kes pergaduhan dan peras ugut sahaja. Kes mengedar dan menyewa senjata api, ini adalah kali pertama saya dengar dan satu tindakan serius perlu dibuat bagi memastikan kes seperti ini tidak terus berleluasa," ujarnya. Beliau berkata, trend terbaharu tersebut harus menjadi peringatan kepada pihak polis dan agensi-agensi lain untuk meningkatkan pengawasan terutama di kawasan sempadan negara. Semua sudah sedia maklum bahawa penjenayah cenderung mendapatkan senjata api dengan cara menyeludupnya masuk dari negara jiran, Thailand.

Pihak berkuasa tidak boleh bersikap leka dan membiarkan golongan remaja bebas melintasi sempadan negara kita dengan alasan mereka masih budak," katanya. Beliau berkata, perkara lain yang cukup penting adalah didikan dan pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa harus memerhatikan setiap gerak-geri anak-anak dan mesti sanggup meluangkan masa untuk mengetahui dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka. Mereka perlu mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak berkawan dengan golongan yang mempunyai akhlak baik," katanya. Bagi Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye yang sudah banyak kali membangkitkan isu berkenaan, beliau bersetuju dengan pandangan Shamsuri bahawa kesibukan ibu bapa mencari rezeki sehingga tidak meluangkan masa berkualiti dengan anak-anak adalah antara punca menyebabkan jenayah di kalangan remaja meningkat.

Beliau berkata, remaja mengalami masalah keruntuhan akhlak dan moral kerana ibu bapa yang sibuk bekerja tidak lagi memberi penekanan untuk menyemai nilai-nilai murni kepada anak-anak mereka. Remaja atau kanak-kanak ini merujuk kepada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah dan jenayah melibatkan golongan ini memang semakin membimbangkan berdasarkan banyak aduan yang diterima oleh MCPF. Kes melibatkan remaja menyewa senjata api adalah jenayah yang dilaporkan kepada pihak polis sedangkan banyak lagi kes yang melibatkan juvana seperti mencuri dan bergaduh tidak dilaporkan. Baru-baru ini kita juga menerima aduan peningkatan kes remaja mencuri wang daripada ibu bapa semata-mata untuk berjudi melalui Internet di kafe siber," ujarnya. Tegas beliau, jenayah melibatkan golongan remaja dijangka berterusan sekiranya tidak berlaku kebangkitan kesedaran di kalangan ibu bapa untuk berubah. Dalam pada itu, beliau berkata, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan jenayah remaja adalah berpunca daripada kegagalan pihak sekolah menguatkuasakan disiplin yang ketat di kalangan pelajar.

Setiap kes yang melibatkan soal disiplin harus diberi perhatian berat oleh pihak sekolah dan pelajar terlibat perlulah diberikan kaunseling. Sekiranya kaedah kaunseling ini gagal membuatkan pelajar berubah, pihak sekolah tiada pilihan lain kecuali mengenakan hukuman rotan walaupun ramai ibu bapa sebelum ini menentang kaedah ini yang dianggap mereka sebagai zalim," katanya. Menurutnya, tindakan memecat daripada sekolah harus dielakkan kerana ia tidak akan menginsafkan pelajar terbabit sebaliknya akan menyebabkan mereka lebih mudah terjerumus dengan jenayah lebih berat. Tambah beliau, sikap masyarakat yang tidak mengambil berat dan tidak mahu menegur apabila melihat remaja melakukan perbuatan tidak betul juga menyumbang kepada peningkatan jenayah di kalangan golongan berkenaan.

Sementara itu, dalam membincangkan isu jenayah melibatkan golongan remaja, kita juga tidak boleh melupakan untuk mengkaji fenomena ‘kanak-kanak indigo’ yang mungkin agak asing di Malaysia tetapi sudah lama diperdebatkan di Barat sejak 1980-an. Fenomena berkenaan yang turut dikaji kerajaan Singapura dan Indonesia mendapati ramai kanak-kanak yang dilahirkan sejak tiga dekad lalu mempunyai simptom psikologi kanak-kanak indigo. Antara ciri-ciri kanak-kanak terbabit adalah suka menyendiri, mahu dilayan seperti orang dewasa, mudah memberontak dan akan bertindak ganas jika mendapati ibu bapa dan sistem pendidikan cuba mengongkong mereka. Jika masalah psikologi ini tidak dibendung, kanak-kanak terbabit apabila mencapai usia remaja akan mudah terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pembunuhan, jenayah kekerasan dan membunuh diri.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

24 JULAI 2013

22 Julai 2013

ISU IPT : PILIH KEPEMIMPINAN MENARA GADING


PROF. DR. SHAHNOR BASRI
Profesor Kanan dalam bidang Kejuruteraan Universiti Malaysia Pahang
dan Felo Akademi Sains Malaysia.

Menelaah buku tulisan Dr. Judith McLaughlin dan Dr. David Riesman (1990) bertajuk Choosing a College President: Opportunity and Constraints menimbulkan persoalan kepada penulis mengenai pemilihan peneraju utama institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam negara kita. Ini termasuklah dari sudut integriti, kepimpinan, kriteria dan proses pemilihan. Penulis buku ini, Dr. McLaughlin adalah ahli akademik kanan di Sekolah Pengajian Siswazah Pendidikan, Universiti Harvard manakala Dr. Riesman ialah Profesor Sains Sosial di universiti yang sama. Dr. Riesman juga pemegang Kursi Kersarjanaan Henry Ford II yang pertama di universiti yang sama. Tulisan mereka membahaskan secara panjang lebar mengenai kepentingan proses pencarian dan pemilihan Naib Canselor atau Presiden sesebuah universiti dari sudut ketelusan, keterbukaan, kriteria calon yang cemerlang dan keperluan mendapat pandangan warga universiti mengenai kepimpinan yang mereka mahukan.

Walaupun Kementerian Pendidikan sejak beberapa tahun lalu membentuk pasukan pencarian setiap kali berlaku kekosongan Naib Canselor mahupun Timbalan Naib Canselor IPTA, namun prosesnya masih menjadi persoalan dari sudut ketelusan, calon pilihan serta kriteria pemilihan. Tulisan Dr. McLaughlin dan Dr. Riesman telah membahaskan isu-isu yang turut menjadi perbahasan malah kerap kali menimbulkan kontroversi dalam kalangan sarjana Amerika Syarikat (AS) mengenai kepimpinan universiti. Dalam Bab Pertama buku itu, bertajuk Do Searches Matters?, pengarang merumuskan bahawa proses pemilihan yang telus berasaskan kesarjanaan, integriti dan kepimpinan merupakan keperluan mandatori bagi sesebuah institusi pengajian tinggi.

Naib Canselor, Rektor atau Presiden merupakan tonggak utama yang akan menentukan hala tuju dan masa depan generasi keilmuan sesebuah negara. Pengarang telah mengambil contoh ketika Kenneth Keller mengambil alih kepimpinan Universiti Minnesota pada 1985, akibat kesilapan dalam pemilihan Keller yang gagal mengetengahkan polisi akademik yang cemerlang. Malah kemudian didedahkan telah menghabiskan lebih satu juta dolar Amerika untuk pengubahsuaian pejabat dan kediaman rasmi presiden universiti. Kesilapan dalam penentuan calon berakhir dengan 'tragedi' yang pada ketika itu meruntuhkan imej Universiti Minnesota dan menyebabkan ahli lembaga universiti berkenaan menetapkan kriteria dan saringan yang lebih ketat terhadap pengganti Keller. Maka, proses pemilihan adalah satu yang mesti dilakukan secara serius dan begitu juga dengan hasil daripadanya.

Di AS keterbukaan pemilihan ini begitu ketara sekali. Hinggakan pada 1983 apabila ahli Lembaga Pencarian dan Pemilih Presiden Universiti Florida membawa calon-calon finalis presiden melawat kampus, ramai ahli akademik mempersoalkan pula mengapa mereka tidak diberi peluang untuk mengadakan perjumpaan khas dengan calon tersebut. Mereka ingin berkongsi visi, harapan dan melihat ketokohan calon dalam menghadapai survival akademik di institusi berkenaan. Akhirnya sesi perbahasan terbuka turut diadakan dengan calon-calon ini dengan disertai oleh ahli akademik dan pimpinan mahasiswa yang turut memberikan sedikit pengaruh kepada keputusan Lembaga Pencarian dan Pemilih Presiden universiti berkenaan.

Jika kita meneliti pula pengalaman Universiti Rice sebuah universiti swasta tersohor di AS, di mana pada satu ketika berlaku kesukaran untuk mencari pengganti Prof. Norman Hackerman yang telah 15 tahun sebagai presiden. Sepanjang perkhidmatannya Hackerman bukan sahaja sebagai presiden universiti berprestij tersebut tetapi beliau masih mengekalkan aktiviti kesarjanaannya di dalam makmal penyelidikan dan masih terlibat penulisan dan penerbitan ilmiah. Sebagai presiden, beliau menjadi role model di universiti itu. Beliau tidak menghabiskan masanya untuk menandatangani puluhan memorandum persefahaman (MOU) sahaja tetapi sebagai pemikir yang terbuka, pemimpin yang disenangi, penyelidik yang agresif. Beliau membina hubungan strategik dengan pelbagai industri ternama AS di samping menjadi seorang sarjana contoh yang menjulang Universiti Rice sebagai universiti penyelidikan.

Apabila Prof. Richard Levin mengumumkan persaraan beliau sebagai Presiden Universiti Yale, Lembaga Pengarah universiti berkenaan mendapati sukar mencari tokoh setanding dengannya. Sepanjang 20 tahun perkhidmatannya, Prof. Levin dikenali sebagai peneraju yang amat berjaya. Dalam kesukaran mencari pengganti Levin, ahli-ahli komuniti Yale telah menetapkan piawaian yang tinggi bagi pengganti Richard Levin; antaranya memiliki etika dan moral yang tinggi dalam tadbir urus dan kepimpinan, presiden mestilah seorang sarjana yang dihormati dan mempunyai nilai integriti kesarjanaan, mampu mengekalkan Yale sebagai rakan strategik kepada komuniti New Haven serta dapat meluncurkan Yale dengan pantas di persada antarabangsa. Oleh itu, pengganti Richard Levin hendaklah mentadbir secara efektif, menolak sama sekali amalan kronisme dalam pelantikan mana-mana ahli fakulti terutamanya dalam proses kenaikan pangkat. Komuniti Yale mahukan juga presiden baru mesti merupakan pimpinan kepada inovasi pendidikan, presiden mestilah pendukung kuat kepada nilai pendidikan tinggi dan penyelidikan, dan beberapa nilai kegemilangan lagi yang diharapkan oleh komuniti Yale.

Begitulah nilai dan kriteria utama yang menjadi pengharapan bagi institusi pengajian tinggi dunia demi menjaga integriti institusi dan kepimpinannya serta kesinambungan universiti sebagai menara keilmuan dan kesarjanaan.Dari sisi lain pula, jika kita meneliti bagaimana pula calon presiden atau naib canselor universiti ternama apabila mereka dinamakan, kita akan mendapati bahawa mereka amat serius menerima amanah tersebut dan menyatakan dengan penuh tekat visi dan misi mereka. Perhatikan kenyataan Rebecca Blank yang pada satu ketika merupakan Pemangku Setiausaha Negara bagi Hal-Ehwal Perdagangan AS yang dicalonkan sebagai Canselor Universiti Wisconsin menyatakan: "Universiti merupakan sebahagian penting kepada masa depan ekonomi negara dan mestilah menjadi rakan kongsi strategik dalam usaha untuk menstimulasi perkembangan ekonomi dan mewujudkan pekerjaan baru".

Maka, bagi negara kita terutama dalam usaha meningkatkan penarafan dan kedudukan IPTA dan IPTS maka persoalan kepimpinan harus tidak dipandang mudah. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya di Pekan pada 12 Mac 2011 pernah menyuarakan keresahan beliau dengan meminta supaya warga akademik mengurangkan 'politiking' dalam perebutan jawatan naib canselor (Utusan Online, 13 Mac 2011). Beliau sendiri menekankan proses pemilihan naib canselor hendaklah melalui proses pencarian dan pemilihan. Cuma persoalan besar adalah sama ada Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih ini merupakan satu realiti dan berfungsi sepenuhnya. Namun, masih ramai yang mempersoalkan fungsi dan kewujudannya.

Sudah sampai masanya, kita melakukan satu lonjakan besar dalam dunia pendidikan negara. Negara memerlukan juga transformasi dalam soal kepimpinan pendidikan tinggi demi melonjakkan penarafan dan kedudukan universiti dalam negara ini agar setanding dengan Oxford, Yale dan MIT. Maka, kepimpinan yang kita mahukan juga harus yang setanding dari sudut kriteria dan proses pemilihannya.

Kita mahukan kepimpinan IPT yang berdaya fikir inovatif, dalam kalangan akademia terpilih, mempunyai semangat keusahawanan, memiliki integriti kepimpinan yang tinggi dan mampu melonjakkan negara ini sebagai hub pendidikan utama dunia. Dasarnya sudah ada dan infrastrukturnya sudah tersedia, maka kita perlulah serius mengenainya. Maka, pembentukan Jawatankuasa Pencarian dan Pemilih yang terdiri dalam kalangan ahli akademik kanan, usahawan, warga dalaman universiti, wakil industri dan ahli akademik tersohor antarabangsa perlulah direalisasikan. Proses pencarian dan pemilihan juga hendaklah telus, kriteria yang dikemukakan hendaklah jelas dan terlaksana ketika proses pemilihan dan pengiklanan terbuka juga hendaklah dilakukan. Jika ini dapat dilaksanakan dengan penuh keadilan dan integriti, maka ia akan menjadi salah satu pemangkin peningkatan institusi pengajian tinggi yang lebih cemerlang pada masa hadapan.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

22 JULAI 2013

21 Julai 2013

ISU SOSIAL : USAH AMBIL PEMBANTU RUMAH


Oleh
SHAHREN YUSRI
Setiausaha Akhbar Kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim

Baru-baru ini, ramai yang terkejut dengan pengumuman kos pengambilan pembantu rumah warga Indonesia dinaikkan kepada RM8,000 daripada caj RM4,511 yang dikenakan sebelum ini. Dalam hal ini golongan yang pening kepala ialah pasangan suami isteri yang bekerja dan mempunyai anak kecil. Ini kerana mereka bergantung sepenuhnya kepada amah untuk menjaga anak mereka sambil melakukan kerja sampingan seperti mengemas rumah, memasak dan mencuci pakaian sepanjang ketiadaan mereka di rumah. Ada cakap-cakap mengatakan disebabkan perkara ini ramai golongan isteri yang berstatus ibu terutamanya yang mempunyai anak kecil mahu berhenti kerja untuk menjaga anak-anak sambil menguruskan rumah tangga.

Tetapi bagi pasangan yang berpendapatan rendah, sekiranya si isteri berhenti kerja, ia akan mendatangkan masalah kepada pasangan tersebut kerana mereka memerlukan antara satu sama lain untuk menampung keluarga. Inilah dilema yang dihadapi oleh pasangan suami isteri yang hidup bergantung dengan amah apabila kos pengambilan tersebut dinaikkan. Bagaimanapun, golongan tersebut disarankan supaya tidak pening-pening kepala dan mengambil keputusan terburu-buru seperti berhenti kerja. Kenapa? Sebab ada jalan alternatif yang boleh difikirkan untuk mengatasi masalah tersebut. Caranya adalah menghantar anak ke Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska). Ia bukanlah satu cadangan yang baru, tetapi boleh dipertimbangkan dalam keadaan sebegini.

Menariknya, mana-mana pasangan ibu bapa atau penjaga yang berpendapatan isi rumah perkapita RM500 dan ke bawah boleh memohon subsidi yuran pengasuhan kanak-kanak Taska untuk anak yang berusia di bawah empat tahun sebanyak RM150 hingga RM250 sebulan dan bagi kanak-kanak OKU sebanyak RM200 hingga RM300 sebulan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui permohonan untuk mendapatkan subsidi yuran ini telah dibuka sejak April tahun ini untuk membantu golongan berpendapatan rendah bagi membiayai kos pengasuhan anak-anak di Taska swasta. Bukan itu sahaja, bagi mengurangkan beban penjawat awam yang berpendapatan RM3,000 dan ke bawah pula, mereka berpeluang menikmati subsidi yuran pengasuhan sebanyak RM180 sebulan bagi setiap anak yang di hantar ke taska tempat kerja yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata pemberian subsidi oleh kerajaan melalui kementerian yang diterajuinya itu secara tidak langsung membantu rakyat yang dibebani dengan kenaikan kos pengambilan amah. "Dengan adanya subsidi ini, diharap beban rakyat akan berkurangan dan mereka mengambil peluang ini untuk menghantar anak-anak ke Taska tanpa perlu lagi menggunakan perkhidmatan pembantu rumah untuk menjaga anak-anak yang memerlukan kos yang tinggi," kata beliau. Tambah Rohani, bagi mendapatkan subsidi ini pengusaha taska atau ibu bapa atau penjaga kanak-kanak boleh mengemukakan permohonan dengan mudahnya melalui cara memuat turun borang YP1 yang terdapat di laman sesawang JKM di www.jkm. gov.my.

Pada masa sama, Rohani berkata, menjelang hujung tahun ini kerajaan mensasarkan sebanyak 1,000 buah lagi Taska baharu didaftarkan dengan JKM bagi menampung bilangan kemasukan kanak-kanak ke Taska yang semakin meningkat. Jelas beliau, ini merupakan inisiatif kerajaan di bawah Dasar Bajet 2013 dan Program Transformasi Kerajaan 2.0 (GTP 2.0). "Melalui inisiatif ini, pengusaha Taska baharu yang berdaftar dengan JKM akan diberikan geran permulaan sebanyak RM3,000 bagi Taska di rumah dan RM10,000 hingga RM20,000 bagi Taska institusi yang dikendalikan oleh swasta sebagai insentif untuk membiayai kos operasi Taska berkenaan. Selain itu, Rohani juga memberitahu cara yang paling penting untuk mengatasi masalah kenaikan kos pengambilan pembantu rumah ialah dengan menukar mindset masing-masing.

"Kita selalu berfikiran bahawa khidmat amah amat penting bagi menguruskan rumah tangga kita dan perkara ini menunjukkan kita terlalu bergantung kepada mereka sehingga mereka boleh demand harga jika ingin mengambil mereka bekerja. "Apa kata ubah mindset kita dengan menganggap bahawa amah tidak penting dan berfikiran bahawa banyak lagi cara lain untuk bantu kita menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Dengan cara ini, kita boleh mengelakkan beban daripada membayar kos pengambilan amah yang tinggi," jelas beliau.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA

27 JULAI 2013

20 Julai 2013

ISU GURU : PERTUKARAN GURU PERLU MEKANISME KEMANUSIAAN TERBAIK


Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

Setiap tahun, Jun dan Disember adalah dua bulan keramat yang sentiasa ditunggu-tunggu kelibatnya oleh para guru yang terpaksa berjauhan daripada keluarga termasuk isteri, suami dan anak-anak. Ini kerana dalam kedua-dua bulan itu, penantian mereka akan terjawab sama ada permohonan pertukaran sekolah diterima atau sebaliknya. Bagi yang berjaya, maka bergembiralah tetapi yang gagal, seperti biasa akan mengulangi permohonan sama sehingga berjaya. Mungkin bagi guru yang bertugas di Semenanjung dan keluarganya juga berada di sana, tidak seberat beban, keluh-kesah dan kerinduan melampau terpaksa ditanggung oleh para guru yang bertugas di Borneo tetapi keluarganya pula berada jauh di 'seberang laut'. Dalam kes pertama, alternatif pengangkutan banyak terhidang iaitu selain daripada jalan udara, jalan darat juga pada bila-bila masa boleh digunakan. Tetapi berbeza dengan mereka yang berada di Borneo, tiada pilihan melainkan hanya melalui jalan udara.

Semua sedia maklum bahawa kos 'hangus' yang terpaksa ditanggung bukannya murah, hingga terkadang boleh melangkaui gaji bulanan para guru tersebut. Bagaimanapun, situasi ini sedikit menampakkan jalan penyelesaiannya apabila Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mary Yap Kain Ching dalam jawapannya di Dewan Rakyat baru-baru ini mengakui bahawa guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing, dari segi kemanusiaannya tidak elok dan kurang sesuai. Sehubungan itu, beliau berkata, pihak kementerian sedia mengkaji semula isu tersebut bagi membolehkan masalah berkenaan dapat diatasi. Perkara ini sebenarnya agak kritikal dan perlu ditangani sebaik mungkin kerana dikhuatiri falsafah pendidikan negara yang antara lain bertujuan melahirkan modal insan terbaik gagal tercapai. Secara semula jadi, mana-mana manusia waras yang ditimpa kerinduan melampau, emosi mereka yang tidak stabil akan terganggu sekali gus menyebabkannya gagal memberikan persembahan atau output terbaik.

Situasi ini bukan berlaku secara satu hala tetapi sebaliknya dua hala iaitu anak-anak, suami atau isteri yang ditinggalkan itu juga mengalami permasalahan sama. Sila betulkan sekiranya penulis tersilap. Malah sekiranya dibiarkan, kebarangkalian berlakunya perkara yang tidak diingini juga agak tinggi, sesuatu yang tidak perlu dihuraikan kerana majoriti daripada kita maklum mengenainya. Penulis ingin berkongsi sedikit masalah seorang rakan yang pada masa ini hampir putus asa setelah bertahun-tahun usahanya untuk berada lebih dekat dengan keluarganya sehingga kini masih lagi belum tertunai!. Guru wanita di sebuah sekolah rendah di Sarawak ini mempunyai tujuh cahaya mata dan terpisah jauh daripada suaminya di Kota Bharu, Kelantan sejak enam tahun lalu. Anak-anaknya berusia antara 15 dan empat tahun, lima daripadanya tinggal bersama suami di Kelantan, manakala dua lagi tinggal bersamanya di Sarawak.

Guru tersebut, seorang guru JQAF mula ditempatkan di sini sejak Julai 2008, manakala suaminya bekerja di Kelantan. Sehingga bulan ini, beliau telah memohon pertukaran sebanyak 6 kali iaitu setiap tahun dan malangnya kesemuanya ditolak. "Saya takut kerana berjauhan, hubungan saya, suami dan anak-anak menjadi renggang. Sebagai seorang ibu, saya cukup sedih bila tidak dapat mengasuh dan berkongsi masalah dengan anak-anak yang semakin meningkat remaja. Sebagai pendidik saya ingin mendidik anak bangsa dengan penuh semangat tetapi memandangkan masalah saya yang berlarutan, membuatkan saya sentiasa tertekan kerana terpaksa menguruskan dua anak seorang diri dan pada masa sama teringatkan nasib anak-anak lain yang berada jauh, tambahan lagi anak sulung akan menghadapi Penilaian Menengah Rendah tahun ini," katanya.

Keluhnya lagi kepada penulis, beliau dan suami seboleh-bolehnya ingin berulang-alik antara Sarawak dan Kelantan sekerap mungkin tetapi masalah kewangan menjadi penghalang kerana kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung terlalu tinggi. Penulis beranggapan, kes guru ini mungkin hanya sekadar kes terpencil bagi pegawai-pegawai bertanggungjawab, tetapi percayalah bagi beliau dan keluarganya, kes ini adalah yang paling besar, paling utama dan amat ditagih oleh anak-anaknya. Terpulanglah kepada mereka yang terbabit untuk melakukan sesuatu yang wajar atau sebaliknya, ini kerana guru ini akan tetap sekali lagi melakukan rutin sama, iaitu mengisi permohonan pertukaran yang hanya boleh dilakukan secara online sahaja itu. Sementara anak-anaknya pula dalam masa beberapa kali setahun semasa berjumpa dengan ibunya akan mengulangi soalan sama, "bila ibu nak balik".

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA

18 JULAI 2013

ISU SOSIAL : KEKANG TREND PEMBUNUH UPAHAN


Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

Menyebut tentang pembunuh upahan, mungkin tidak ramai menyangka trend kerjaya lumayan itu sudah mula menapak di Malaysia yang selama ini aman damai berbanding jiran-jirannya. Mereka yang pernah menonton filem ikonik, Kill Bill tentang hidup seorang pembunuh upahan mungkin berasa kagum dengan 'prinsip dan maruah' yang diamalkan golongan pembunuh profesional di peringkat antarabangsa. Namun, pembunuh upahan di Malaysia dikhuatiri terdiri daripada golongan amatur tanpa prinsip dalam memilih 'tugasan' mahupun maruah dalam melaksanakan 'hukuman' mangsa mereka. Ini khususnya bagi golongan muda yang baharu berjinak dengan dunia jenayah dan hanya memikirkan upah, kecil atau besar, tanpa ambil peduli alasan seseorang mengupah mereka membunuh asalkan ada bayaran.

Tidak kurang juga penjenayah muda yang membunuh demi kuasa dalam sesebuah kumpulan mahupun untuk menaikkan nama dalam kalangan kumpulan gengster dan samseng yang berebut kawasan atau semata-mata atas faktor dendam. Lebih membimbangkan, sementara mendapat 'tugasan baharu' pembunuh upahan juga terlibat dalam jenayah seperti rompak, ragut, culik dan sebagainya, meningkatkan kebarangkalian mereka menggunakan senjata api ke atas mangsa dan orang awam. Orang ramai semakin bimbang apabila kejadian pembunuhan dengan senjata api semakin banyak berlaku tetapi tangkapan dan penyelesaian kes tidak begitu menonjol. Adakah faktor manusia yang 'hati kering' menjadi punca peningkatan trend pembunuh upahan ini ataupun masalah senjata api yang semakin mudah diperolehi di negara ini?

Bagi Penasihat Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Datuk Mohd. Jamil Mohd. Hassan, kejadian pembunuhan bersenjata kini berlainan dengan zaman dahulu yang rata-ratanya dilakukan pengganas komunis. "Dahulu komunis pilih sasaran yang menghalang agenda dan rancangan mereka sahaja tetapi sekarang lain pula, golongan pembunuh ini semua datang daripada kumpulan-kumpulan muda. Mereka juga terdiri daripada banyak bangsa, mungkin Cina, India mahupun Melayu, sukar untuk tentukan bangsanya. Mungkin juga kerja warga asing khususnya dalam kes-kes berhampiran sempadan negara," katanya. Beliau melihat mangsa dalam beberapa kes di Pantai Timur melibatkan golongan peniaga yang mungkin terlibat dengan perniagaan mencurigakan, serta mereka yang terlibat dalam penguatkuasaan.

Jelas Mohd. Jamil, mangsa terdiri pelbagai peringkat daripada golongan kaya kepada pemandu lori yang mungkin dibunuh warga asing upahan atas faktor dendam ataupun persaingan perniagaan seperti judi dan pelacuran. "Pembunuh mungkin tidak fikirkan keuntungan dalam menerima tugasan membunuh ini. Mungkin melibatkan satu geng yang bermaharajalela ataupun lebih daripada satu geng tetapi rasanya kematian dalam kes rompakan bersenjata tidak melibatkan pembunuh upahan. "Saya tiada maklumat terkini tetapi polis mungkin tidak mahu dedahkan lagi maklumat atau bukti terhad tentang pembunuhan yang dilakukan kerana siasatan masih berterusan," ujarnya. Dalam soal penyeludupan senjata api, beliau berpendapat pihak yang mahu membawa masuk senjata mampu melakukannya dengan mudah walaupun telah banyak langkah pencegahan diambil pihak berkuasa di sempadan negara.

Tegas Mohd. Jamil, pergolakan dan penggunaan senjata api yang berleluasa tanpa kawalan di negara jiran memudahkan penyeludup mencuba pelbagai cara membawa masuk senjata ke Malaysia. "Kita lebih tegas dalam pemilikan senjata api di negara ini berbanding negara jiran. Mereka yang ditangkap membawa senjata api tanpa lesen (tetapi tidak digunakan) boleh didakwa, membawa kepada denda atau penjara. Mereka yang menggunakan senjata api tanpa lesen itu pula, khususnya dalam kegiatan jenayah seperti rompak dan ragut, boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup," jelasnya. Mohd. Jamil bagaimanapun melihat masalah pembunuh upahan banyak bergantung kepada faktor manusia kerana bukan mudah untuk seseorang membunuh manusia lain. "Untuk jadi pembunuh kena berani dan hati kena keras, bukan main tembak sahaja. Tidak semestinya ada senjata sudah boleh bunuh orang jika tiada kekuatan. Jika ada ketakutan dalam diri, tembak pun mungkin tidak kena. Itulah yang terjadi dalam kes tembak berkali-kali tetapi tidak kena pun pada sasaran," dakwanya.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Seri Zaini Mohd. Said pula menyifatkan trend baharu menjadikan rakyat Malaysia sasaran pembunuh upahan adalah sesuatu yang amat menakutkan. "Ini perlu dijadikan keutamaan pihak berkuasa untuk halangnya daripada berleluasa jika mahu sebuah masyarakat yang aman dan selamat. Jika peras ugut, curi, rampas, orang tidak begitu gerun berbanding ketakutan mangsa pembunuh upahan. Walaupun ada kes-kes melibatkan pembunuh individu, saya fikir punca utama adalah sindiket atau gengster tertentu yang meningkatkan kaedah mereka menakutkan sasaran dengan mengupah pembunuh upahan," ujarnya. Tambahnya, dahulu ramai yang berpendapat pembunuh upahan datang dari negara-negara jiran tetapi bagi beliau, kini pembunuh upahan ada dalam kalangan orang kita sendiri, lebih-lebih lagi senjata api begitu mudah diperolehi melalui sempadan negara jiran yang tidak stabil.

Menurut Zaini lagi, rakyat kita perlu ada kesedaran untuk tidak terlibat dengan aktiviti jenayah termasuk meminjam daripada pihak tidak berlesen. "Peminjam haram semakin cenderung gunakan kekerasan jika hutang tidak dibayar," katanya. Beliau turut mengesyaki terdapat kumpulan tertentu yang menyumbang kepada trend tersebut dengan menyediakan perkhidmatan menyewa senjata api untuk tempoh singkat. Zaini berharap pihak polis dapat menambah pasukan risikan untuk mencari orang yang terlibat dan menghalang mereka sementara pasukan-pasukan tindakan pula menangkap pembunuh upahan terbabit dengan segera. "Saya percaya polis kita mampu menangkap mereka jika cukup sumber risikan, tambahan pula penjenayah itu juga manusia biasa yang pasti akan tersilap langkah. Tingkatkan juga pengawasan keselamatan awam dan nasihati golongan berisiko tinggi menjadi mangsa. Saya sendiri bimbang dengan trend ini apatah lagi ia turut menjejaskan imej negara kita di mata dunia," tegas Zaini.

SUMBER :
UTUSAN MALAYSIA
17 JULAI 2013

SETITIS TINTA DARI EMPUNYA BLOG


Bismillahir Rahmannir Rahim
Alhamdullilahi Rabbil ‘Aalamien, Wassalaatu Wassalaamu ‘Ala Asyarafil Anbiaie Walmursaleen Sayyidina Muhammaddin, WaĆ”la Alihiee Wasahbihee Ajma’een. 

Sidang pembaca sekalian,

Lama rasanya saya membiarkan blog ini bersendirian tanpa perhatian, belaian, dan kasih sayang lantaran tidak mempunyai ruang waktu yang mencukupi untuk menghidangkan pelbagai maklumat untuk santapan minda kalian, dan diri saya sendiri. Sesungguhnya, pada masa ini, masa bagi diri saya amat berharga. Setiap detik yang datang begitu cepat berlalu pergi sehingga saya tidak tahu yang mana garis pemulaan dan garis pengakhiran kerja-kerja yang saya lakukan. Pada masa yang sama, saya kena peka dengan setiap tanggungjawab dan amanah yang terpikul di bahu, agar setiap kepercayaan, harapan, dan impian yang tersandar di bahu tidak tercicir dalam perjalanan untuk menyempurnakan semua itu ke tangga jaya. Alhamdulillah, setakat ini, saya rasa tiada yang kecewa mahupun berduka. Syukurlah ke hadrat ilahi kerana masih memberikan saya kesihatan untuk melalui liku-liku hidup yang kian mendesak ini.

Sidang pembaca yang dimuliakan,

Pujangga Seneca pernah mengungkapkan tidak ada hal yang paling menyibukkan orang sibuk selain kehidupan, tidak ada yang sulit dipelajari. Kata-kata ini banyak memberi makna dalam kehidupan diri saya. Seorang pendidik seperti saya selalu tidak mempunyai ruang waktu untuk diri sendiri kerana perlu terkejar ke sana dan ke mari untuk memenuhi pelbagai aspirasi pihak atasan yang tidak terungkap dek mulut dan terhitung dek tangan. Dalam keghairahan negara memacu roket pembangunan untuk menjadi sebuah negara maju, bidang pendidikan merupakan indikator terpenting untuk dipacu ke persada jaya kerana melaluinya akan lahir anak-anak merdeka yang mampu menyimbang khidmat dan bakti merentasi benua. Lantaran itu, bidang pendidikan sentiasa mengalami anjakan paradigma dengan pelbagai perubahan yang kadang-kala mampu menyesakkan nafas para guru seperti saya. Persepsi masyarakat yang suka dikikis yang mengatakan bahawa tugas guru amat mudah adalah salah. Tugas mendidik dan memperbetul manusia merupakan tugas yang paling besar maknanya. Jika silap didik dan andai silap memperbetul, yang bakal lahir bukannya cendikiawan tetapi manusia yang ibarat melukut di tepian gantang!

Sidang pembaca yang saya sanjungi,

Baru-baru ini, Keputusan STPM Penggal 2 telah diumumkan. Saya ucapkan syabas kepada anak-anak kita yang berjaya. Saya juga ucapkan syabas kepada mereka yang gagal kerana telah mencuba sedaya upaya tetapi apakan daya nasib masih belum menyebelahi. Saya amat terharu dengan pelajar-pelajar yang mendapat semua Gred F untuk semua subjek bagi Penggal 1 dan Penggal 2 tetapi masih bersemangat untuk meneruskan pengajian di Penggal 3. Pinta saya, berusahalah selagi terdaya untuk memperoleh yang terbaik untuk masa hadapan. Para pelajar harus maklum, apabila anda mengambil keputusan untuk memasuki Tingkatan Enam, bermakna anda memilih untuk melanjutkan pelajaran di IPTA di negara kita. Jadi, anda harus berazam dan berusaha. Sesungguhnya, tiada waktu untuk berbulan madu sebaik sahaja STPM baharu diperkenalkan. Masa amat singkat untuk kita membimbing dan mendidik anda kerana setiap lima bulan anda akan diuji. Komitmen yang tinggi amat diperlukan untuk maju ke hadapan.

PBS sana PBS sini
Tak habis-habis pening kepala
STPM baharu menguji kami
Bijak berusaha untuk berjaya

"SELAMAT BERPUASA"

Sekian, terima kasih.

Daripada :
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sacred Heart, Sibu

20 Julai 2013

02 Julai 2013

Kerajaan wajib campur tangan dalam pasaran hartanah

Penulis : ROHAMI SHAFIE
Jawatan : Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 1 Julai 2013

Menurut Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS), Datuk Omar Osman, kira-kira 45 peratus atau 650,000 daripada 1.5 juta penjawat awam masih tidak mampu memiliki rumah. Faktor utama penjawat awam tidak memiliki rumah adalah kerana faktor harga rumah yang terlalu tinggi. Meneliti kepada angka ini, sesuatu tindakan yang benar-benar konkrit dan realistik perlu dirancang dan dilaksanakan dengan baik agar ia tidak menjadi masalah yang meruncing dalam sektor awam negara. Kakitangan awam negara yang diiktiraf antara yang terbaik di dunia tidak boleh berhadapan dengan masalah kewangan sampaikan tidak mampu memiliki keperluan asas dalam hidup iaitu memiliki rumah.

Sebagai golongan pelaksana dasar-dasar kerajaan, nasib mereka ini perlu dibela dengan sewajarnya. Sememangnya kerajaan telah melakukan pelbagai manfaat kepada kakitangan awam, namun melihat situasi terkini, rata-rata harga rumah yang terlalu tinggi merunsingkan kakitangan awam untuk memiliki rumah. Ini tidak termasuk kos sara hidup yang semakin menekan hidup mereka terutamanya di bandar-bandar besar. Segala-galanya memerlukan wang dalam menjalani kehidupan seharian. Natijahnya, memungkinkan kakitangan awam terlibat dalam kerja-kerja sampingan untuk memastikan kelangsungan kehidupan mereka dan keluarga agar dalam keadaan yang lebih baik. Rata-rata juga, kebanyakan penjawat awam bergred rendah dan gaji mereka tidak mencukupi untuk membeli rumah.

Cuba bayangkan harga rumah yang melebihi RM250,000 pun mereka tidak mampu membelinya, bagaimana pula untuk membeli rumah yang melonjak tinggi sehingga berjuta-juta ringgit di bandar-bandar besar. Senario ini jugalah yang menyebabkan ada antara mereka terpaksa meminjam dengan ah long dan sudah tentu implikasi negatif yang lebih teruk lagi akan berlaku kepada mereka dan juga perkhidmatan sektor awam. Mahu tidak mahu, penyelesaian jangka masa panjang wajar dilaksanakan segera. Penulis berasakan bagi Bajet 2014, kerajaan wajib menumpukan kepada perumahan bukan sahaja untuk penjawat awam tetapi juga seluruh rakyat Malaysia yang masih tidak mampu memiliki rumah. Penyelesaian ini termasuklah kerajaan wajib campur tangan dalam pasaran hartanah Malaysia dan bukan sekadar mengenakan kadar cukai hartanah yang lebih tinggi tetapi juga perlu berani untuk mengawal harga rumah.

Alasan-alasan yang diberikan oleh pemaju perumahan tidak boleh lagi diterima kerana mereka ini sudah lama mengaut keuntungan ke atas rakyat. Tindakan mengawal harga rumah seperti mengenakan harga siling adalah antara tindakan terbaik. Kerajaan tidak perlu gentar untuk mengawal harga rumah kerana sebelum ini terdapat banyak barangan terutamanya makanan dikawal harganya oleh kerajaan. Apa bezanya rumah dengan makanan sedangkan kedua-duanya adalah barangan keperluan asas manusia? Penulis juga melihat sektor pembinaan negara sudah menjadi lubuk untuk sektor korporat mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Bayangkan ada syarikat yang sememangnya terkenal dalam pertanian juga terlibat dengan sektor hartanah dan pembinaan, sudah tentu ia menunjukkan sektor ini memberi keuntungan yang amat tinggi. Umum mengetahui hakikat ini.

Keberanian kerajaan untuk mengawal harga rumah dengan menggenakan harga siling pastinya akan disokong oleh majoriti rakyat. Percayalah rakyat akan sentiasa berada di samping kerajaan jika kerajaan benar-benar membela nasib rakyat. Sudah tentunya, penjawat awam yang merupakan agen pelaksana dasar dan polisi kerajaan akan berasakan nasib mereka terbela jika mereka dapat memiliki rumah seawal perkhidmatan mereka dalam sektor kerajaan. Kerajaan perlu mengutamakan rakyat terlebih dahulu dan bukannya pemaju-pemaju perumahan yang tidak mempedulikan nasib rakyat. Siapa lagi yang akan menjaga nasib rakyat kalau bukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat itu sendiri? Kerajaan juga perlu memikirkan dasar menjual harga rumah kepada warga asing sebagaimana kerajaan negeri Johor yang mula ingin bertindak agar harga rumah berada dalam paras yang benar-benar mampu milik. Usah terlalu memberi pelbagai insentif kepada warga asing yang berwang semata-mata inginkan pelaburan mereka, sedangkan rakyat sendiri pun tidak mampu memiliki rumah.

Perlu diingat, harga rumah bagi warga asing adalah cukup murah tetapi bagi rakyat Malaysia harganya amat mahal. Faktor utamanya, gaji rakyat Malaysia tidak langsung seiring dengan peningkatan harga rumah. Sebaliknya, warga asing ini pula dibayar dengan gaji yang tinggi melebihi rakyat Malaysia. Bukan semua warga asing ini bagus-bagus belaka sehinggakan mewajarkan mereka dibayar gaji yang melebihi rakyat Malaysia. Ada antara mereka tidak menunjukkan kepakaran dan kemahiran dalam bidang masing-masing namun oleh kerana mereka ini datangnya dari Barat, maka mereka ini dianggap lebih hebat daripada warga tempatan itu sendiri. Pemikiran sebeginilah yang perlu dibuang jauh-jauh. Ini kerana jika mereka ini terlalu hebat sudah tentu mereka dapat menyelesaikan krisis hutang negara mereka dalam tempoh yang lebih pantas dan bukannya berpanjangan sehingga kini.


Justeru, gaji yang lebih baik wajar dibayar kepada rakyat Malaysia berbanding warga asing dan pada masa yang sama perketatkan undang-undang agar warga asing tidak begitu mudah untuk membeli rumah. Barulah isu perumahan ini dapat diselesaikan dalam jangka masa panjang dan bukannya sekadar penyelesaian jangka masa pendek yang akhirnya memburukkan lagi keadaan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat. Inilah yang sebenarnya yang rakyat mahukan.

Kuasa politik, ekonomi mendokong kepentingan sesuatu bahasa

Penulis rencana : Zin Mahmud
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 30 Jun 2013

Pada tahun-tahun 1970-an, ada seorang pemimpin Asia yang mendidik anaknya supaya belajar bahasa Rusia. Ini kerana beliau yang terkenal bijak menjangkakan bahawa Soviet Union bukan saja terus menjadi kuasa besar tetapi bertambah kepentingannya pada masa akan datang termasuk bagi benua Asia. Jika Soviet Union bertambah kuat, malahan dapat menyaingi Amerika Syarikat, maka tentulah bahasanya juga menjadi penting dan terpaksa dipelajari oleh banyak orang asing, termasuk di kalangan tokoh-tokoh Asia. Maka tidak hairanlah Pusat Kebudayaan Soviet pernah dibuka di Jalan Tun Razak pada tahun-tahun 70-an. Kedudukannya hanya beberapa langkah daripada Pusat Kebudayaan Lincoln di Jalan Ampang, iaitu pusat bagi mengembangkan maklumat dan pengetahuan mengenai Amerika Syarikat.

Penulis sendiri pernah cuba belajar Rusia di pusat itu tetapi hanya mampu membaca ejaan bahasa itu yang menggunakan tulisan Cyrillic. Pada satu ketika sememangnya Soviet Union dilihat sebagai kuasa yang sedang menguasai banyak bahagian dunia. Maka bahasa Rusia yang merupakan bahasa rasmi negara itu bukan saja menjadi penting di seluruh republik-republik di dalamnya seperti Kazakhstan, Ukraine dan seumpamanya tetapi juga negara-negara komunis yang berada di bawah pengaruh Moscow seperti yang berada di Eropah Timur dan juga Mongolia, China, Korea Utara dan Vietnam Utara, Malah republik-republik bukan Rusia berasal Islam yang mempunyai bahasa sendiri turut mengambil Cyrillic sebagai tulisannya bagi menggantikan tulisan Arab. Mereka tidaklah mengambil tulisan rumi seperti mana Turki, Indonesia dan bahasa Melayu.

Siapa sangka ketika itu bahawa Soviet Union akan tumbang dan republik-republik di dalam gabungannya mengisytiharkan kemerdekaan. Tanpa Soviet Union, Rusia tidak lagi dianggap penting di luar daripada Persekutuan Rusia. Sebaliknya negara-negara Eropah Timur dan Asia Tengah yang terlepas daripada cengkaman Moscow kini lebih berminat menguasai bahasa Inggeris daripada Rusia. Malah negara-negara yang menggunakan tulisan Cyrillic seperti Kazakhstan bagi bahasa mereka sedang merancang untuk menukar tulisannya kepada rumi. Itulah yang akan dilakukan oleh Kazakhstan dalam masa lima tahun akan datang. Itulah nasib bahasa Rusia dan tulisannya, Cyrillic apabila Soviet Union kalah kepada Amerika Syarikat dalam Perang Dingin. Atas keunggulan Amerika, bahasa Inggeris menjadi bahasa global dan kini semua bangsa mahu menguasainya.

Maka anak pemimpin Asia yang menguasai bahasa Rusia itu mendapati bahasa itu sudah hilang kepentingannya. Bahasa Inggeris sememangnya sudah dikuasai oleh negara itu. Tetapi kuasa yang menggantikan Soviet Union untuk mencabar Amerika Syarikat adalah China. Maka Mandarin juga meningkat kepentingannya. Justeru tidak hairanlah bahawa republik kecil Asia itu sudah sekian lama menekankan kepentingan Mandarin. Kesedaran kepentingan Mandarin turut sampai ke Australia, sebuah negara yang dikuasai keturunan Inggeris tetapi mahu dianggap sebagai sebuah negara Asia. Malah ada pemimpin utama Australia keturunan Inggeris yang menguasai Mandarin bagi memudahkan hubungan mereka dengan China. Keunggulan ekonomi membawa kekuatan bahasa. Bagi orang Malaysia, tidak ada siapa yang berminat untuk mempelajari bahasa Rusia ketika Soviet Union berada di kemuncaknya pada tahun-tahun 1970-an.

Kalau ada tawaran daripada kerajaan Soviet kepada pelajar Malaysia untuk menuntut di universiti di sana, tentulah dipandang curiga khususnya di Universiti Lumumba di Moscow, kerana ia mendidik para pelajar antarabangsa untuk menjadi profesional komunis. Tetapi kini, suatu yang dahulu tidak dijangka, sudah banyak orang Malaysia yang pandai berbahasa Rusia. Ini kerana sejak Soviet Union tumbang, banyak anak-anak Malaysia yang dihantar ke sana untuk mempelajari perubatan. Maka untuk itu, penguasaan bahasa Rusia tentulah menjadi penting. Tetapi di Eropah, bahasa Rusia mempunyai kepentingannya tersendiri. Ini kerana di atas runtuhan komunis Soviet, maka muncul jutawan-jutawan kapitalis Rusia yang banyak berbelanja dan melabur di Eropah. Dari Jerman, Austria, Switzerland hinggalah ke Greece, jutawan-jutawan ini membuat pelaburan dan berbelanja hinggakan bahasa mereka juga dipandang penting.

Justeru pada keseluruhannya, politik dan ekonomi yang menyebabkan sesuatu bahasa itu meningkatkan kepentingannya. Tetapi bagaimana pula dengan kepentingan bahasa Melayu? Apabila berakhirnya Perang Dunia Kedua, maka ternyata kuasa-kuasa Barat tidak boleh kembali menjajah seperti sebelum Jepun menawan Asia. Setiap negara yang merdeka dari penjajahan Barat mahukan bahasa sendiri sebagai bahasa rasmi. Indonesia yang bebas daripada penjajahan Belanda mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasanya dengan nama Bahasa Indonesia. Dengan kuasa politik menguasai sebuah negara besar dan penduduk banyak, tentulah bahasa Melayu dalam bentuk Bahasa Indonesia menjadi penting dan dipandang mempunyai masa depan cerah. Maka begitu juga dengan Malaya yang merdeka pada tahun 1957. Dengan memiliki bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ia juga dipercayai pada masa itu akan turut menjadi penting pada masa depan.


Ia menjadi lebih penting apabila Malaysia ditubuhkan dengan bahasa Melayu dikenali sebagai Bahasa Malaysia dengan turut dianggap sebagai bahasa rasmi di Sarawak, Sabah dan Singapura. Bahasa Melayu wajar menjadi kuat apabila Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia bersatu. Maka penyelarasan ejaan yang dilakukan oleh Tun Razak dan Suharto adalah langkah awal untuk itu. Tetapi sayangnya Indonesia tidak muncul sebagai kuasa ekonomi yang besar baik pada zaman Sukarno mahupun Suharto. Andai kata ekonomi Indonesia maju, maka kepentingan Bahasa Indonesia meningkat. Jika kedua-dua Malaysia dan Indonesia maju, maka akan majulah juga bahasa Melayu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails