NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my
Keputusan pilihan
raya kampus bagi pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013
minggu ini menunjukkan dominasi kumpulan proaspirasi yang memenangi 17 daripada
20 perwakilan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA). Jumlah itu melibatkan
kemenangan besar di 13 kampus IPTA, kemenangan calon individu yang cenderung
kepada proaspirasi di empat kampus dan hanya kalah kepada kumpulan promahasiswa
di satu kampus. Dua kubu kuat promahasiswa yang diselubungi khabar angin akan
tumpas terpaksa melalui pemilihan semula, satu daripadanya atas masalah
teknikal sementara satu lagi bergantung kepada dua kerusi yang seri untuk
menentukan kemenangan tipis kepada promahasiswa atau proaspirasi.
Secara rasminya,
kumpulan proaspirasi mahupun promahasiswa tidak mewakili senario politik
kepartian negara tetapi bagi warga kampus dan rakyat Malaysia secara umumnya,
telah lama melabelkan kedua-duanya mewakili kumpulan prokerajaan atau
propembangkang. Memandangkan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) semakin hampir,
pilihan raya kampus kali ini menarik perhatian ramai bagi melihat kecenderungan
muda-mudi yang dikatakan bakal menentukan pemimpin dan hala tuju negara selepas
2013. Seperti mana dalam sebuah PRU, kemenangan satu pihak mengatasi lawannya
dalam pilihan raya kampus bukan sahaja menunjukkan sokongan pengundi muda
malahan menggambarkan penolakan terhadap pihak lawan yang kalah.
Walaupun tiada
hubungan rasmi calon MPP dengan kumpulan tertentu di luar kampus, persepsi
warga IPTA terhadap calon terbabit akan tercalit sama dengan pandangan mereka
terhadap kumpulan politik di luar, terutamanya melihatkan taktik berkempen dan
isu yang dibangkitkan. Secara keseluruhan, proses berkempen dan pengundian pada
pemilihan kali ini dilihat berjalan dengan lancar dan lebih baik berbanding
tahun-tahun sebelumnya, menggambarkan para mahasiswa yang semakin matang. Hanya
beberapa kejadian dikesan mencemar suasana pilihan raya kampus seperti seorang
pelajar mendakwa dipukul dan surat layang menggunakan nama Perdana Menteri yang
disyaki taktik pihak tertentu mempengaruhi sentimen warga IPTA. Bagaimanapun,
kebanyakan calon MPP kali ini bertindak sebagai cendekiawan muda dan lebih
fokus kepada isu dalaman IPTA serta kebajikan pelajar berbanding retorik
berkaitan agenda mahupun politik kepartian di luar kampus.
Lebih membanggakan,
ramai antara calon muda ini juga menyahut seruan tidak membawa politik
kepartian ke dalam kampus agar MPP di setiap IPTA dapat memberi fokus kepada
isu-isu pelajar tanpa campur tangan pihak luar. Ini termasuk menyekat
ketaksuban warga IPTA kepada mana-mana pergerakan politik sehingga mengabaikan
tugas serta menyalahguna platform untuk memperjuangkan kebajikan para pelajar. Bagi
tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah, keputusan pilihan raya kampus kali
ini menunjukkan trend kematangan di kalangan mahasiswa yang kebanyakannya telah
sedar dan memahami realiti negara.
"Mereka
nampaknya sudah tahu dan faham tanggungjawab diri sendiri selaku pelapis serta
implikasi buruk kepada negara jika bertindak tanpa berfikir secara waras. Kemenangan
besar kepada kumpulan proaspirasi juga menunjukkan adanya kecenderungan orang
muda menyokong kerajaan dan menolak pembangkang,"
Walaupun ada pihak
yang menyarankan kumpulan mahasiswa tidak diberikan label, beliau merasakan
semuanya perlu bergantung kepada suasana dan realiti semasa. Tegasnya, golongan
pelajar sendiri yang melabelkan diri sendiri apabila mahu mahasiswa dibenarkan
berpolitik dan memegang jawatan politik di luar kampus sehingga memaksa
kerajaan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). "Suka atau
tidak, pelajar-pelajar ini cenderung untuk menunjukkan sokongan dan mahu
dibenarkan menyokong parti politik tertentu. Dahulu tidak jelas tetapi sekarang
label kumpulan tertentu ini adalah jelas. Walaupun ada buruk baiknya, realiti
semasa memerlukan adanya label tersebut kerana mahasiswa perlu membuat
keputusan yang jelas. Dengan menyokong proaspirasi, boleh diumpamakan mereka
menyokong kerajaan," ujarnya.
Walaupun bersetuju
politik kepartian dihalang daripada mengganggu mahasiswa yang sepatutnya fokus
kepada pelajaran, beliau berharap semua pihak menerima realiti label tertentu
asalkan politik luar tidak dibawa ke dalam kampus. Menurut Ibrahim, walaupun
kumpulan promahasiswa dilihat lebih vokal, berani dan agresif, keputusan
pemilihan menunjukkan kumpulan majoriti yang senyap selama ini tetap menyokong
kumpulan proaspirasi dan kerajaan. "Trend tersebut berkait rapat dengan
kejayaan program transformasi oleh Perdana Menteri yang memilih cara terbuka
dan telus terutamanya dengan generasi muda dan pelajar. Perdana Menteri juga
kerap turun padang dan menggunakan media baru dalam memahami kehendak rakyat.
Pendekatan ini membolehkan orang muda dan pelajar berfikir dengan lebih baik
dan matang," jelasnya. Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa
Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah pula berpendapat apa yang
berlaku dalam pilihan raya kampus tahun ini merupakan satu manifestasi kepada
apa yang akan berlaku pada PRU13.
"Kita lihat
kemenangan besar proaspirasi menunjukkan isyarat jelas iaitu anak-anak muda
kini kembali memberikan keyakinan kepada kepimpinan negara dengan
mempertaruhkan masa depan dan kebajikan mereka kepada calon yang mendokong
aspirasi universiti dan kerajaan. Ini menunjukkan apa yang Perdana Menteri
lakukan selama ini memberi kesan mendalam dan keterbukaan beliau telah menjamin
lakaran harapan orang muda akan tercapai,"
Beliau juga yakin
momentum pilihan raya kampus itu akan berterusan di luar apabila masyarakat
melihat golongan berilmu di kampus juga menyokong kerajaan. Jelasnya, sebanyak
85 peratus daripada sekitar 620 kerusi yang dipertandingkan tahun ini dimenangi
calon proaspirasi dan itu menunjukkan warga IPTA mahu mengekalkan keadilan
semulajadi bagi memboleh mahasiswa duduk belajar dan bukannya ditarik menyertai
rusuhan jalanan. "Ini adalah petunjuk jelas modus operandi pembangkang
ditolak mahasiswa IPTA yang lebih mengutamakan belajar di kelas dan menimba
ilmu di perpustakaan. Para pelajar mempunyai impian masa depan masing-masing.
Mereka sudah bijak memilih selepas menilai apa yang Perdana Menteri laksanakan
selama ini seterusnya memilih calon yang menjaga kepentingan mereka,"
ujarnya. Beliau juga berbangga calon-calon proaspirasi menunjukkan kematangan
dalam memenangi hati mahasiswa melalui kaedah kempen yang lebih tersusun dan
jelas.
Mohd. Shahar
bagaimanapun sekali lagi mengingatkan semua warga IPTA agar tidak membawa masuk
politik kepartian ke dalam kampus walaupun mereka sudah boleh berpolitik di
luar. "Selepas selesai pilihan raya kampus, saya berharap semua calon yang
menang tunaikan manifesto masing-masing, tunaikan janji dan buat kerja
bersungguh-sungguh dalam satu tahun berikutnya tanpa mengira proaspirasi
mahupun promahasiswa. Selain itu, jangan lupa menilai kemampuan diri dalam
persatuan dan sebagai pelajar, seterusnya beringat agar membawa suara akar umbi
di perwakilan kebangsaan dan bukannya suara 'orang lain'," tegasnya.
Beliau turut
menasihatkan para perwakilan bersedia berinteraksi dengan isu antarabangsa
kerana mereka juga bakal menjadi duta negara yang akan membawa imej Malaysia di
mata dunia.
Sumber
Utusan Malaysia
27 September 2012