JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



04 Jun 2023

NIKMAT CUTI BAGI SEORANG GURU


Orang bukan guru selalu mengucapkan kata-kata ini, "Awak seronok jadi Cikgu, banyak cuti. Boleh jalan-jalan, makan angin. Jalan-jalan cari makan. Jalan-jalan cari awek" Hakikatnya, benarkah guru banyak cuti? Saya berkongsi cerita cuti guru ini bukan untuk menyerlahkan kemuliaan profesion perguruan tetapi saya mahu membuka mata masyarakat  agar mereka tahu nikmat cuti bagi seorang guru. Pada waktu cuti, ramai guru dipanggil untuk menghadiri kursus, mesyuarat, taklimat atau mengiringi pelajar untuk menyertai pelbagai pertandingan kokurikulum. Saya sendiri sudah terbiasa cuti sambil kerja sejak tahun 2008 apabila saya mulai terlibat dalam kerja-kerja penyemakan kertas dan lain-lain urusan SULIT berkaitan dengan peperiksaan di peringkat kebangsaan. 

Saya naik kapal terbang dari Sibu ke Kuala Lumpur atau mana-mana lokasi mesyuarat yang dinyatakan dalam surat tetapi itu adalah untuk menghadiri mesyuarat. Jiran-jiran dan kawan-kawan yang kenal saya selalu berkata, “Cikgu Zul, naik kapal terbang macam naik bas”. Mereka melihat pada setiap hari Jumaat, selepas solat saya akan pergi ke Lapangan Terbang Sibu, balik pula pada malam Ahad. Saya bukan bercuti tetapi bekerja. Kenangan yang paling saya tidak akan lupakan sehingga kini, telinga saya rosak beberapa ketika kerana doktor kata salah satu penyebabnya ialah terlalu kerap naik kapal terbang. Alhamdulillah, kini sudah baik. Saya curi-curi jalan-jalan ke kompleks beli-belah masa waktu rehat sahaja dan waktu balik. Sepanjang tempoh mesyuarat semasa cuti itu, kepala saya penuh dengan pelbagai maklumat. Kami berbincang untuk mencari kata putus hingga beremosi (gaduh-gaduh ilmu, keluar bilik kami lepak-lepak minum kopi di warung berdekatan). Habis mesyuarat, masuk ke dalam bilik kena pula baca skrip yang pelbagai tulisan dan jawapan berserta skema atau sediakan slaid/ tugasan untuk esok hari. Itulah kehidupan yang saya tempuhi dan alami semasa waktu cuti. 

Ya, bukan semua guru dapat merasai hidup seperti kami tetapi saya percaya ramai guru yang terpaksa bersekang mata menyemak kertas peperiksaan peringkat sekolah semasa cuti. Hal ini dikatakkan demikian kerana dua minggu sebelum cuti, peperiksaan sekolah akan berlangsung. Penyemakan dilakukan semasa cuti. Guru-guru yang menyemak soalan esei, terutama guru Bahasa Melayu, kalau mengajar sekolah ramai murid, terpaksa menyemak sehingga 200 hingga 300 skrip. Beban menyemak ini berat, tidak mudah. Walaupun kami tidak perlu berada di tengah-tengah panas terik matahari tetapi kerja menggunakan otak ini amat sakit dan perit. Azabnya hanya kamilah yang mengerti selain isteri/ suami dan anak-anak kami yang hidup seharian dengan kami. Isteri selalu marah, apabila saya berjaga hingga lewat malam waima sedang bercuti tetapi sibuk memeriksa kertas ujian atau menaip pelbagai tugasan di laptop. Akan tetapi, itulah kehidupan seorang guru.

Kini, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu-satunya peperiksaan terpenting untuk pelajar melangkah ke peringkat yang seterusnya ekoran pemansuhan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3). Tanggungjawab guru yang mengajar Tingkatan 5 ialah memastikan pelajar lulus dalam Subjek Bahasa Melayu dan Sejarah bagi membolehkan mereka mendapat Sijil SPM. Semua guru pula bertanggungjawab untuk meningkatkan Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP) masing-masing. GPMP ini ditentukan berdasarkan jumlah pelajar yang mendapat gred cemerlang dan kepujian, yakni Gred C hingga A+. Peningkatan GPMP akan mempengaruhi Gred Purata Sekolah (GPS). Akibatnya, ramai guru menggunakan masa cuti untuk mengadakan kelas tambahan sama ada secara bersemuka atau dalam talian bagi memastikan pelajar mereka sentiasa fokus sehinggalah pelajar-pelajar mereka masuk ke bilik peperiksaan SPM sebenar.

Guru merupakan kumpulan kakitangan awam yang ramai bilangannya, melebihi 300,000 orang. Guru yang kerja sepenuhnya semasa cuti ini mungkin hanyalah 10 peratus. Saya tidak nafikan kata-kata bahawa jadi guru ini banyak cuti. Oleh sebab itu, saya tidak boleh menyangkal pendapat ini kerana kita selalu melihat perkongsian guru yang berniaga, bekerja sambilan, melancong, dan sebagainya semasa cuti sekolah. Namun begitu, janganlah beranggapan semberono, saya yakin mereka perlu hadir ke sekolah pada hari-hari tertentu. Kehidupan untuk tugas hakiki memang ramai guru yang selindungkan dari pengetahuan umum. Saya tidak akan sesekali berkongsi gambar memeriksa kertas di rumah semasa cuti, jauh sekali untuk saya memaklumkan kepada umum ketika saya sedang memeriksa. Jika saya lakukan itu maka hantarlah saya ke Hospital Bahagia. Walaupun selalu sibuk dan sering tidak menikmati cuti saya tetap setia dan sayang akan kerjaya perguruan ini. 

Semua kerjaya ada cabaran dan rintangan yang hanya dialami dan difahami oleh mereka yang berkecimpung dalam kerjaya tersebut. Oleh sebab itu, saya tidak akan sesekali menyebut mudah dan senang terhadap kerja sesiapa sahaja. Yang penting, saya mendapat gaji yang halal untuk menyara keluarga hasil daripada titik peluh saya sendiri. Cuma, guru ini istimewa sedikit ganjarannya, iaitu apabila melihat anak-anak didiknya berjaya hasil kesungguhan dan pengorbanan yang tidak dipandang atau dilupakan.