DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir
Disiarkan pada: Oktober 27, 2022 @ 7:00am
https://www.hmetro.com.my/rencana/2022/10/896529/nak-tolong-biarlah-cara-betul
Selepas Mamat, Minah naik pangkat. Selang dua tahun Mamat dengan Minah naik pangkat lagi, sedangkan yang lain sendu. Suara Munir kedengaran lantang, iaitu penguat kuasa otai yang terkeluar daripada senarai kenaikan atau senarai menunggu untuk dinaikkan pangkat. Kecewa dan sedih terpancar dalam dirinya. Apakah kerana dia kekurangan 'kabel' atau kurang kemahiran sosial hingga dirinya terpinggir atau rezekinya belum datang lagi?
Kekecewaan teramat sangat itu menyebabkan dia mengambil
keputusan untuk bersara awal.
Kemungkinan Munir bukan tergolong
dalam kumpulan berkemahiran sosial tinggi atau dia bukan dalam kroni atau
kumpulan yang menonjolkan diri hinggakan dirinya terpinggir. Kasihan nasib
Munir, begitu juga nasib Dollah, Minah dan lain-lainnya kita tidak tahu lagi.
Mereka ini pekerja yang lurus, hanya tahu pergi dan balik kerja. Main golf atau
bersosial tidak tahu (kayu golf pun tak kenal). Makan besar di restoran ternama
dengan bos tidak sama sekali kerana duit yang ada hanya boleh kata kais pagi
makan pagi, kais petang makan yang pagi tadi. Mereka ini tidak termasuk dalam
kumpulan atau kartel dan kroni.
Apakah itu kronisme?
Menurut Kamus Dewan, kronisme
bermaksud amalan mengutamakan atau mementingkan teman rapat atau kawan rapat
dalam pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya. Jika
diterjemahkan maksud 'kroni' ini kita mendapati ada perbezaan sedikit dengan terjemahan
Dewan Bahasa dan Pustaka.,Kronisme adalah bahasa Malaysia saduran daripada
bahasa Inggeris yang berasal daripada perkataan Greek. Perkataan asal dalam
bahasa Greek, chronios bermaksud 'long-lasting' atau tahan lama. Dalam bahasa Inggeris,
crony membawa maksud a close friend especially long standing. Dalam bahasa
Melayu menurut Kamus Dewan, kroni bermaksud kawan rapat (biasanya digunakan
dalam situasi negatif atau yang melibatkan kepentingan peribadi). Kronisme pula
memberi maksud amalan mengutamakan teman rapat dalam pelantikan sesuatu
jawatan, pemberian projek dan sebagainya.
Tiga contoh isu kroni menjejaskan sesuatu institusi.
Isu Pertama
Isu kroni di sesebuah jabatan
apabila pemimpin yang disebut pengarah suka memilih favourite worker. Wujudnya
kerana hubungan terlalu rapat antara pekerjanya dari negeri sama atau ayah
pekerja itu kawan rapat dan mungkin ada hubungan kekeluargaan dengan si pekerja
itu. Apabila keakraban ini menjadi penentu keputusan, maka segala kelulusan
diberikan dengan mudah. Wujud ketidakadilan, ketidaktelusan, ketidakpuashatian
dalam kalangan pegawai yang lain dengan situasi ini. Selain itu, berlaku
kenaikan pangkat yang dilihat berat sebelah.
Isu Kedua
Isu kroni di pejabat jangan
dipandang sebelah mata. Dalam suatu komuniti pekerja daripada serendah-rendah
jawatan sehingga setinggi-tinggi jawatan, dipilih secara adil. Sesiapa yang
baik dengan AJK tertinggi dan 'senegeri' (seideologi), (orang yang dapat
mengekalkan kedudukan) sebegitu mudah atau boleh dikatakan secara automatik
akan mendapat apa-apa jawatan dalam kelompok itu tanpa melihat kecekapan dan
pengalaman orang itu melaksanakan tugas.
Isu Ketiga
Isu kroni dalam politik, siapa
tidak tahu perkara ini? Kalau dikaji dengan teliti, apakah kekuatan parti
pemerintah sekarang ini, apa jawapan anda? Adakah rakyat bersatu padu, mungkin
betul, adakah ekonomi maju, mungkin betul. Adakah pemimpin kita berjiwa rakyat,
mungkin betul, semuanya betul tetapi mengapa rakyat kini semakin menyampah,
marah dan ada yang membenci?
Jika dihayati maksud kroni,
tidaklah seburuk mana maksudnya, tapi jika disebut kroni dalam politik, memang
akan membawa maksud buruk. Atas sebab kroni, berbilion duit rakyat habis atas
nama projek yang diberikan secara rundingan terus kepada kroni. Kos yang hanya
RM100 juta jadi RM500 juta. Lebihan itu akan dibahagikan sesama mereka. Jikalau
projek itu di bawah kroni, tiada siapa berani kacau sekalipun banyak yang tidak
kena atau ada penyelewengan di sana sini.
Pada pendapat peribadi penulis,
tidak salah menolong kawan. Apa maknanya kawan kalau tidak boleh tolong kawan. Siapa
lagi yang boleh tolong kawan kalau bukan kawan sendiri, tetapi kalau nak tolong
pun biar dengan cara yang betul dan amanah. Biarlah niat itu kerana Allah,
berlaku adil dengan semua orang kerana apa yang anda buat orang lain akan
menilai.
Isu kroni menjejaskan jabatan khususnya, apabila sesuatu
perkara berlaku dengan pantas dan anda berasakan tidak patut berlaku, maka isu
kroni menjadi penyebabnya dan wujudlah puak antikroni yang penuh kebencian. Isu
ini kalau dinilai daripada sudut negatif, maka negatiflah jadinya dan jika
dinilai daripada sudut positif, maka positiflah ia.
Kroni perlu dihapuskan untuk ketelusan, keadilan dan
keharmonian.
Kesan kronisme menyebabkan
peluang pekerja berbakat akan terbantut jika budaya kabel dan kroni terus wujud
dalam pengambilan sesuatu pekerjaan atau pemberian projek. Amalan seperti itu
akan menyebabkan sebilangan pekerja berhijrah ke tempat lain. Apabila sudah
putus asa, akhirnya menemui jalan buntu dan mengambil tindakan sama ada memilih
kerja lain dan yang otai akan pencen awal. Kesan kronisme ini memberi pilihan
pada masyarakat. Apabila masyarakat membuat pilihan lain mereka tidak lagi
berasa kebergantungan pada sesuatu pihak seperti kerajaan. Apabila tiada
kebergantungan pada kerajaan, maka sedikit demi sedikit kerajaan dan agensi
akan hilang kuasa dan tidak dihormati. Dengan adanya isu berkaitan rasuah dan
sebagainya seperti dijatuhi hukuman menambahkan lagi elemen tidak percaya pada
institusi itu.
Begitulah Munir, kehidupan perlu diteruskan tidak kira walau
bagaimana caranya. Jika kita rasa telah memancing sebegitu lama di sebuah
sungai tanpa hasil, rugilah kita hendak menunggu lebih lama lagi di situ.