JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 Ogos 2011

ISU SOSIAL : KITA HARUS MEMBANTU, BUKANNYA MENGHUKUM MEREKA


Tindakan seorang pastor warganegara Malaysia, Ou Yang Wen Feng, yang dilaporkan akan berkahwin dengan ‘kekasihnya’ seorang warga Afrika-Amerika di New York tidak lama lagi telah menggemparkan banyak pihak di negara ini. Ou Yang kini berkhidmat di Gereja Komuniti Metropolitan (MCC), New York pernah melakukan kejutan apabila cuba mengusulkan cadangan membina cawangan gereja MCC di Malaysia bagi memperjuangkan hak golongan homoseksual di negara ini. Apa yang menimbulkan persoalan kini Ou Yang turut mengumumkan akan melangsungkan majlis resepsi di negara ini sedangkan Malaysia tidak pernah mengiktiraf perkahwinan sejenis. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai gejala homoseksual, wartawan Mingguan Malaysia HAFIZAHRIL HAMID telah mewawancara Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Islam Universiti Malaya, Dr. Mohd Roslan Mohd Nor. Katanya walaupun gejala ini jelas haram namun pada masa yang sama beliau meminta agar masyarakat tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum malah membantu mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Manakala di Sabah wartawan TARMIZI ABDUL RAHIM pula menemubual tokoh Kristian, Webley Disim mengenai isu tersebut. Ujarnya adalah tidak salah untuk mengatakan mereka ini merupakan pengikut ajaran Kristian sesat tapi bagaimanapun mereka ini masih boleh diubati.

MINGGUAN: Bagaimana Dr. melihat kecenderungan golongan homoseksual yang semakin berani bertindak di luar batasan sekarang?

MOHD ROSLAN: Dalam hal ini ia sebenarnya rentetan dari masalah yang sudah berlaku begitu lama dan jika kita tidak menanganinya secara tuntas ia boleh menimbulkan mudarat yang lebih besar. Kalau kita lihat perjuangan golongan ini berteraskan pada hak asasi manusia. Secara fitrahnya gender hanya ada dua sahaja iaitu lelaki dan wanita tetapi mereka mendesak untuk golongan homoseksual. Sekarang ini jika kita lihat di Amerika Syarikat (AS) terdapat enam negeri yang mengiktiraf perkahwinan sejenis. Namun jika kita buat penilaian hanya enam negeri daripada 50 negeri di AS yang mengiktiraf perkahwinan sejenis. Maksudnya di sebuah negara yang begitu lantang menyatakan mereka sebagai negara kuasa dunia tetapi hakikatnya masih belum dapat menerima golongan homoseksual ini dalam kehidupan mereka. Malah pada satu ketika di AS golongan homoseksual ini dikategorikan sebagai mental disorder dan perlu diberikan rawatan. Namun kerana desakan kuat dari golongan ini mereka tidak dikategorikan dalam golongan tersebut dan diberi peluang untuk menjalani kehidupan seperti manusia biasa.

Cuma masalahnya yang paling jelas ialah bila masalah ini berhubung kait dengan agama. Islam secara jelas menentang kumpulan yang dipanggil gay, lesbian dan biseksual dan ia dinyatakan dalam nas-nas al-Quran dan hadis. Dalam al-Quran kisah yang menimpa kepada kaum Nabi Lut adalah rujukan yang sering dikemukakan dalam soal hukum terhadap golongan ini. Tapi kini mereka secara halus memperjuangkan hak melalui hak asasi manusia dan memohon untuk diiktiraf. Kalau kita lihat melalui Universal Declaration of Human Rights (UDHR), golongan ini diberi ruang untuk diiktiraf tetapi kita di peringkat negara-negara OIC mempunyai satu lagi dokumen hak asasi manusia yang dikenali sebagai Cairo Declaration of Human Rights in Islam. Ia telah diterima dan disepakati secara bersama pada tahun 1990 dan diiktiraf di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai satu dokumen untuk negara Islam. Dalam deklarasi ini ia dinyatakan secara jelas bahawa setiap perkara yang berkaitan dengan hak asasi manusia hendaklah berlandaskan kepada syariah. Dan segala perkara hak asasi manusia yang bercanggah dengan syariah tidak boleh diterima pakai.

Bagaimana pula dari sudut perundangan negara ini?

MOHD ROSLAN: Dalam soal perlembagaan negara ini, Islam adalah agama bagi persekutuan maka ia bermaksud Islam mempunyai kedudukan yang lebih tinggi berbanding agama-agama lain. Ini secara tidak langsung menolak gerakan-gerakan berkaitan homoseksual yang kini menggunakan pelbagai platform untuk mengelirukan orang ramai. Contohnya portal Merdeka Seksualiti.org, yang cuba memberi gambaran seolah-olah golongan homoseksual ini tertindas. Selain itu sebelum ini kita dikejutkan dengan pengakuan seorang lelaki Melayu Islam dalam youtube, bernama Azwan Ismail yang mengaku sebagai seorang gay dan dia okey. Pelbagai pihak telah menyatakan bantahan dan meminta supaya diambil tindakan terhadap lelaki ini namun tidak ada sebarang tindakan dari pihak berwajib. Kalau mengikut perundangan syariah lelaki ini boleh didakwa di bawah beberapa enakmen antaranya berkelakuan seperti perempuan atau sudah lari dari sifat asalnya. Kalau sudah ada pengakuan maka sudah jelas boleh diambil tindakan. Maka saya kira jika tidak ada tindakan-tindakan tegas dari pihak berwajib ia seolah-olah mereka ini dibenarkan bebas melakukan apa yang mereka mahu. Kita telah menyatakan bantahan supaya tindakan diambil tetapi ia seolah-olah dipinggirkan bila isu itu semakin senyap.

Apakah ini menunjukkan dari aspek perlaksanaan seolah-olah pihak berwajib tidak tegas?

MOHD ROSLAN: Memang saya melihat begitu kerana tidak ada sebarang tindakan dikenakan terhadap lelaki bernama Azwan Ismail dan beberapa kes lagi. Seharusnya pihak berkuasa perlu lebih tegas menjalankan tugas kerana ia boleh menimbulkan masalah yang lebih besar di kemudian hari. Namun saya juga sebenarnya tidak begitu menggalakkan supaya kita terlalu tertumpu kepada soal tindakan dan penguatkuasaan. Pada saya kita perlu mengambil beberapa langkah yang lebih teratur. Mungkin dalam soal tindakan dan penguatkuasaan biar pihak berwajib yang menjalankan tugas mereka. Pada masa yang sama kita perlu juga lebih menekankan pada aspek dakwah terhadap golongan ini. Ini kerana kita juga tidak boleh membiarkan golongan homoseksual ini begitu saja tanpa sebarang bantuan dan dakwah. Kita juga tidak boleh mengejek, mentertawakan apatah lagi melabel mereka sebagai kumpulan ahli neraka dan sebagainya. Ini sebenarnya bukan urusan kita sebagai manusia. Apa yang harus kita lakukan adalah lebih mendekati mereka dengan menggunakan pendekatan dakwah yang sudah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu, love and care. Ini boleh dijelaskan melalui kasih sayang dan prihatin sesama umat termasuklah pada golongan ini. Kita tidak boleh mendekati dalam keadaan mahu menghukum mereka tetapi dengan rasa kasih dan mahu menyelamat, memberi bantuan dan semangat supaya mereka kembali ke pangkal jalan. Pendekatan ini saya ambil berasaskan surah Al Hujerat ayat 11 yang bermaksud: “Jangan ada seseorang manusia cuba mengejek-ejek manusia yang lain”. Sebab itu Islam jelas dalam soal larangan dan pendekatan untuk golongan homoseksual ini.

Apa yang boleh golongan ini lakukan supaya tidak terus hanyut dengan cara hidup mereka?

MOHD ROSLAN: Bagi saya golongan ini sebenarnya perlu melakukan transformasi diri dan tidak boleh selama-lamanya menyatakan bahawa apa yang berlaku adalah takdir Tuhan semata-mata. Bagi saya itu tidak tepat kerana pihak kami telah melakukan perbincangan dengan pihak pakar perubatan dan syariah di JAWI baru-baru ini. Mereka ini melibatkan pakar seperti psikiatri, genetik dan beberapa lagi yang memberikan pandangan sama ada golongan ini sebenarnya boleh berubah atau tidak. Kesemua mereka ini bersetuju bahawa golongan ini sebenarnya tidak ada masalah untuk berubah. Cuma masalahnya sama ada mereka mahu atau tidak. Hanya alasan saja yang diberikan antaranya mereka sudah terlalu lama terlibat dalam kancah ini dan sukar untuk kembali normal. Namun kita sebagai orang yang lebih arif seharusnya mendekati golongan ini supaya mereka boleh melakukan transformasi untuk kembali menjadi manusia normal. Saya ingin menyentuh dalam soal Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, yang gagal dalam permohonan menukar namanya kepada Aleesha Farhana yang kemudiannya meninggal dunia kerana didakwa kemurungan akibat hukuman mahkamah.

Apabila berlaku isu tersebut seluruh negara membincangkan isu ini malah pihak media antarabangsa cuba memainkan isu ini seolah-olah negara ini melakukan diskriminasi gender. Dalam hal ini kita tidak boleh terpengaruh dengan gerakan-gerakan Barat yang mempunyai agenda terselindung kerana negara ini meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dan kita tertakluk kepada hukum-hukum yang telah ditetapkan. Maka disini jelas apabila berlaku kes-kes seperti ini kita tidak boleh membiarkan golongan ini terbiar tanpa sebarang bantuan malah perlu didekati dan diberi dakwah supaya mereka lebih jelas tentang hukum Islam dalam soal ini dan akhirnya tidak hanyut dalam membuat keputusan yang tidak sepatutnya. Mereka ini perlu diperjelaskan bahawa takdir yang mereka katakan itu adalah sesuatu yang boleh dinafikan. Hanya ada dua takdir yang kita tidak boleh tolak iaitu tua dan mati. Yang lain semua kita boleh menolaknya dengan kehendak Allah dan atas bantuan pakar-pakar yang berkaitan.

Seharusnya kita perlu memberi sokongan dan dakwah kepada golongan ini tetapi bagaimana pula dari sudut masyarakat itu sendiri, apakah mereka bersedia kerana ada yang lebih mudah menjatuhkan hukum daripada membantu?

MOHD ROSLAN: Memang ada di antara kita yang terlalu mudah menghukum dan melabel seseorang hingga membawa kepada ejekan dan penghinaan. Sememangnya kita perlu tukar pendekatan lama ini kepada pendekatan yang lebih mesra untuk semua golongan masyarakat. Kalau dalam bahasa politik kita dengar semua masalah dan pandangan akar umbi. Oleh itu bagi mereka yang terlibat dalam usaha menyebarkan agama Islam ini mereka tidak boleh berpendirian sebagai penghukum. Sebab itu ada ulama menyatakan, kami ini adalah pendakwah dan bukan penghukum. Maka jika mereka keluar berdakwah sebagai penghukum, ia menyebabkan orang yang mahu didekati menjadi lebih jauh dan takut untuk mendekati golongan pendakwah. Ini akan menyebabkan jurang yang lebih jauh antara kedua-dua pihak ini. Oleh itu pendekatan-pendekatan baru yang lebih terbuka, mesra dan lebih menerima golongan ini supaya pada masa yang sama mereka ini juga lebih berkemahuan untuk dekat dengan kita dan akhirnya kembali ke pangkal jalan. Jika ia melibatkan golongan homoseksual, mereka akan kembali kepada orientasi seksual yang sebenar dalam Islam.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
21 OGOS 2011

ISU ANTARABANGSA : HALA TUJU KEDAMAIAN GLOBAL SEJAK 39 TAHUN YANG LALU


Antara bahan bacaan penting dewasa ini ialah On China oleh Henry Kissinger, bekas Setiausaha Negara Amerika Syrikat, setelah mengunjungi negara itu lebih 50 kali. Ini ialah kerana Amerika masih kuasa dunia nombor satu dan China pula telah menjadi kuasa ekonomi nombor dua dan dengan itu berupa faktor penting dalam menentukan kedamaian global. Kunjungan paling penting Kissinger ialah manakala mengiringi Presiden Nixon mengadakan lawatan bersejarah ke Beijing untuk berunding dengan Mao Zedong, pemimpin besar China pada 21 Februari, 1972. Seperti dicatat oleh Kissinger, 88 tahun, pada peringkat awal bukunya (586 muka), terbitan Penguin Press pada awal tahun 2011: “Hampir 40 tahun dahulu adanya, Presiden Nixon menghantar saya ke Beijing untuk usaha memulihkan hubungan dengan sebuah negara penting dalam sejarah Asia.” Walhal selama sekian lama Nixon terkenal kerana pendiriannya yang anti-komunis. Maka berundinglah Nixon dengan Mao mengenai pelbagai perkara, termasuk masa depan benua Asia. Ia berkaitan dengan persaingan antara Amerika dan China hingga ke abad 21 tertumpu kepada jurusan ekonomi dan sosial.

Mengejutkan ialah satu kenyataan berulang dari Mao mengenai perang nuklear: “Kalau pihak imperialis melancar perang ke atas kami, maka kami mungkin kehilangan lebih dari 300 juta nyawa rakyat. Ada apa? Perang adalah perang. Pada tahun-tahun berikutnya nanti lebih ramai lagi bayi akan lahir”. Juga dicatat oleh Kissinger ialah kisah pertemuan Mao dengan Khrushchev, pemimpin Soviet Union pada satu masa lalu, yang bertanya kenapa pihak China membiarkan Dalai Lama melarikan diri dari Tibet pada tahun 1959: Negara kami tidak akan membenarkan dia lari. Kini ia berada di India dan mungkin pergi ke Amerika. Apakah ini memberi faedah kepada negara-negara sosialis? Mao menjawab: Kami tidak dapat menangkap semasa itu. Kami tidak boleh melarangnya meninggalkan negara kerana sempadan dengan India begitu jauh sekali dan beliau boleh menyeberang di mana saja. Mengenai satu aspek lain pula Mao menegaskan kepada Khruschev pada tahun 1958 bahawa China akan mendahului Soviet Union menjadi negara komunis sepenuhnya. Kenyataan itu dianggap oleh pihak Soviet Union sebagai sesuatu yang “bidaah” dari segi ideologi.

Kissinger juga menulis mengenai dialog antara Nixon dengan Zhou Enlai, Perdana Menteri China atas asas-asas hubungan negara, termasuk jurusan ekonomi. Lalu dicatat pelayaran Laksamana Zheng He (1405-1437), seorang warga Islam China, ke Pulau Jawa, India dan Afrika antara lainnya. Lalu beliau menyampaikan pelbagai hadiah istimewa dari Maharaja China. Tiada pun pihaknya menjajah mana-mana negeri seperti dilakukan oleh penjajah-penjajah Eropah kemudiannya. Pada satu peringkat Nixon memuji Mao kerana melaksanakan pelbagai transformasi atas tamadun China ribuan tahun. Lantas Mao membalas: “Saya tidak dapat mengubahnya. Saya hanya berjaya membawa beberapa perubahan kecil di tempat-tempat di pinggir Beijing”. Jelas dari karya Kissinger ialah tiada hasrat untuk Amerika melancarkan perang dingin seperti telah berlaku terhadap Soviet Union dulu. Hubungan di antara Amerika dan China ialah untuk menegakkan kedamaian dan kesejahteraan global. Masa depan Asia bergantung padanya. Pada peringkat akhir setelah Kissinger menulis; Setelah Perdana Menteri Zhou Enlai dan saya mencapai persetujuan mengenai kenyataan bersama kunjungan beliau berkata “ini akan mengejutkan dunia”. Mao menjadi pemimpin Parti Komunis China selama 40 tahun dan Zhou menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun.

Tan Sri Mazlan Nordin ialah Karyawan Tamu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
21 OGOS 2011

ISU EKONOMI : KEADAAN DUNIA JEJAS KOS SARA HIDUP

Haim Hilman Abdullah


Pasaran saham dunia melalui satu lagi ujian getir pada 2011. Hal ini dapat dilihat apabila nilai saham berjumlah lebih daripada 62 bilion pound sterling lenyap di pasaran saham London baru-baru ini apabila indeks FTSE-nya jatuh sebanyak 239 mata atau 4.5 peratus kepada 5092. Perkara serupa berlaku terhadap Dow Jones Industrial Averase (DJIA) AS apabila ia merekodkan kejatuhan lebih 419 mata atau 3.7 peratus kepada 10991. Sistem ekonomi dunia yang saling berkait telah menyebabkan apa yang berlaku di AS itu turut memberi kesan kepada pasaran saham lain di seluruh dunia termasuk Malaysia apabila KLCI turut jatuh iaitu di bawah paras 1500 mata. Kejatuhan pasaran saham dunia ini adalah kesan daripada pengumuman yang dibuat oleh agensi penarafan kredit terkemuka dunia iaitu Standard & Poor’s (S&P). Secara khususnya penurunan taraf kredit AS daripada AAA kepada AA+ iaitu pertama kali berlaku dalam sejarah bukan sahaja memburukkan ekonomi AS tetapi dunia kerana dunia boleh sekali lagi terjerumus ke dalam kancah krisis ekonomi jika tidak ditangani secara komprehensif oleh AS khususnya dan lain-lain negara atau kuasa ekonomi amnya.

Kesan langsung daripada penurunan taraf yang dibuat oleh Standard & Poor’s (S&P) itu telah membawa kepada kejatuhan nilai pasaran saham sebanyak AS$2.5 trilion dalam tempoh seminggu sahaja selepas ia diumumkan. Dengan kata lain penurunan taraf ini telah mengundang rasa panik, hilang kepercayaan dan keyakinan dalam kalangan pengguna terhadap perniagaan dan pasaran kewangan. Sesetengah pihak beranggapan usaha pemulihan ekonomi AS sebelum ini boleh diibaratkan sebagai ‘terhenti’. Andaian dan harapan sesetengah pihak bahawa ekonomi dunia akan pulih selepas AS melancarkan pakej pemulihan ekonominya pada 2007 ekoran krisis subprima mungkin boleh dianggap sebagai meleset. Hari ini harapan yang dimahsyurkan oleh AS kepada warganya dan seluruh dunia tentang perancangan pemulihan ekonominya itu bagaikan menuju jalan ‘mati’. Seperti diketahui jumlah hutang subprima AS pada Mac 2007 berjumlah AS$1.3 trilion telah meningkat sebanyak 79 peratus iaitu daripada AS$730 bilion pada 2006. Kesan daripada krisis ini telah membawa kepada krisis ekonomi dunia.

Negara terbabit telah memperuntuk sejumlah dana pemulihan ekonomi yang cukup besar. Sebagai contoh kerajaan AS memperuntukkan AS$700 bilion, Great Britain sebanyak 500 bilion pound sterling, China AS$586 bilion dan Malaysia sendiri sebanyak RM12 bilion atas nama untuk keluar dengan kadar segera dari kancah kemelesetan ekonomi. Namun demikian apa yang berlaku hari ini jelas menunjukkan bahawa dunia masih belum bebas sepenuhnya dan tidak mustahil terjerumus sekali lagi ke dalam kancah kejatuhan ekonomi kali yang kedua dalam tempoh tidak sampai sedekad. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa strategi menyuntik sejumlah dana pemulihan ekonomi yang besar belum mampu membebaskan mereka daripada kemelut kelembapan ekonomi. Dengan kata lain kerajaan setiap negara perlu memberi penekanan terhadap pembentukan polisi dan pakej rangsangan dan agihan yang lebih komprehensif dan cekap. Di samping itu satu usaha ke arah mewujudkan kerjasama lebih erat di peringkat serantau, antarabangsa dan global amat perlu diusahakan.

Pendekatan sedemikian mampu membantu negara terbabit membangunkan pelan pemulihan ekonomi yang komprehensif di ketiga-tiga peringkat pemulihan iaitu jangka pendek, sederhana dan panjang negaranya sahaja tetapi serantau, antarabangsa dan dunia. Namun demikian usaha memulihkan ekonomi bukan sahaja mengambil masa tetapi menuntut kerjasama politik yang tinggi (domestik, serantau, antarabangsa dan dunia). Ekonomi sesebuah negara akan lebih sukar untuk dipulihkan sekiranya ahli politiknya lebih gemar mencari keuntungan politik dari duduk bersama mencari jalan pemulihan terbaik. Hakikat jelas membuktikan bahawa realiti ekonomi negara hari ini banyak dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi dunia. Sebagai sebuah kerajaan yang diberi mandat oleh rakyat maka ia bertanggungjawab memastikan kelangsungan ekonomi Malaysia. Isu-isu seperti peningkatan inflasi, kos sara hidup, gejala sosial, jenayah dan kesukaran mendapat pekerjaan amat berkait rapat dengan masalah kemeleseten ataupun kelembapan ekonomi. Untuk itu ia harus ditangani secara terancang dan bukan bersifat ad hoc.

Mengambil kira kadar inflasi negara seperti dilaporkan pada Julai 2011 ialah 3.1 peratus berbanding purata untuk tempoh 2005 hingga 2010 iaitu 2.77 peratus jelas menunjukkan persekitaran ekonomi semasa dunia telah menyumbang kepada peningkat inflasi dan ekonomi negara. Dengan kata lain jika permasalahan ekonomi dunia hari ini tidak ditangani dengan baik maka tidak mustahil untuk negara sekali lagi terjurumus kepada kadar tertinggi yang pernah direkodkan dalam sejarah negara iaitu 8.50 peratus pada Julai 2008. Untuk itu agensi-agensi kerajaan dan swasta terutamanya yang berkaitan dengan penghasilan barangan pengguna perlu mengambil langkah proaktif dalam memastikan mereka dapat berperanan secara efektif dalam segala aspek berkaitan penghasilan barangan pengguna ataupun penghasilan negara dapat dilakukan pada tahap kecekapan tertinggi. Dengan kata lain agensi-agensi kerajaan berkaitan sewajarnya menyediakan polisi dan sokongan berkesan dalam mendokong pengamal industri menghasilkan produk mereka secara cepat, murah, berkualiti, selamat dan konsiten. Jika usaha kolektif ini (agensi kerajaan dan pengamal industri) dapat direalisasikan maka adalah tidak mustahil untuk negara menurunkan lagi kadar inflasinya iaitu ke tahap lebih rendah.

Di samping itu kerajaan turut perlu memastikan dasar monetarinya bersesuaian dengan persekitaran semasa, dasar fiskal yang berhemat dan menjurus kepada kecekapan maksimum, memastikan kawalan harga barangan melalui penguatkuasaan benar-benar berlaku dan secara berterusan, melakukan kawalan bekalan seperti melonggarkan kuota import bila perlu, mewujudkan stok penimbal kebangsaan, memastikan Pusat Panggilan Kebangsaan benar-benar berfungsi secara berkesan dalam menerima aduan pengguna dan menyalurkannya kepada pihak berwajib untuk tindakan penguatkuasaan. Majlis Harga Negara yang telahpun wujud wajar berperanan pada tahap kecekapan tertinggi dalam memantau paras harga dan merangka dasar bersesuaian bagi menjamin kestabilan harga dan kecekapan sistem bekalan dan pengedaran negara tercapai. Kos sara hidup rakyat yang semakin meningkat juga wajar ditangani secara serius. Menjadikannya sebagai satu lagi NKRA negara adalah satu langkah yang baik. Namun begitu ia sepatutnya lebih awal lagi telah menjadi salah satu daripada NKRA. Pada dasarnya banyak faktor yang menyumbang kepada isu peningkatan kos sara hidup ini. Salah satu punca utamanya ialah pendapatan perkapita rakyat yang masih rendah. Menguatkuasakan undang-undang berkenaan pembayaran gaji minimum adalah penyelesaian jangka pendek. Langkah yang lebih wajar diambil ialah mentransformasi sektor pembuatan dan perkhidmatan negara sepenuhnya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
21 OGOS 2011

ISU UMUM : ANJAKAN MENUJU KEBEBASAN MEDIA

Ku Seman Ku Hussain


The Economist keluaran 16 Julai 2011 mungkin menjadi majalah atau akhbar luar negara terakhir yang dikenakan tapisan. Beberapa perenggan dalam The Economist keluaran itu telah “dihitamkan” sebelum diedarkan kepada pembaca di negara ini. Selepas ini media asing bebas menulis apa sahaja tentang negara ini sama ada baik atau buruk. Ini kerana kerajaan telah mengambil pendekatan tidak menyekat laporan dalam media asing yang boleh didapati di negara ini. Walaupun edisi bercetak The Economist ditapis, pembaca dengan bebas boleh mendapatkan rencana yang sama menerusi edisi dalam talian. Dengan penembusan Internet mencapai 17.5 juta pengguna, tapisan itu tentunya tidak memberi kesan. Malah makna “media” bukan lagi dirujuk hanya bercetak atau penyiaran malah media dalam talian. Disebabkan begitu luas makna media pada masa ini, tapisan seperti yang dikenakan atas The Economist tentulah memberikan gambaran ketiadaan kebebasan media, padahal edisi dalam talian tiada sekatan. Sebaliknya mendorong pembaca memilih edisi dalam talian yang bebas tanpa tapisan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini mengumumkan kerajaan tidak menyekat atau menapis media asing yang terdapat di negara ini. Ini antara tajuk perbualan kalangan wartawan selepas The Economist ditapis dan mencetuskan kontroversi. Pengumuman Perdana Menteri dilihat sebagai anjakan besar menjurus kepada kebebasan media. Pengumuman itu juga setidak-tidaknya membuktikan kerajaan menerima hakikat bahawa mengawal media pada era langit terbuka tidak boleh menghalang maklumat sampai kepada khalayak. Walaupun kelonggaran itu ditujukan kepada media asing , tetapi wartawan dan organisasi media menaruh harapan perkara yang sama juga dilakukan kepada media arus perdana tempatan. Mengambil semangat keterbukaan kepada ledakan lebuh raya maklumat dari segenap penjuru dunia, media tempatan juga perlu diberi peluang menikmati kebebasan yang sama. Malah beberapa akta yang melingkari media tempatan khususnya media cetak perlu dilihat semula kewajarannya. Ketika ini semasa menulis, wartawan perlu memikirkan tentang lingkungan yang diberikan menerusi peruntukan undang-undang kepada media.

Undang-undang sentiasa memerhati gerak geri wartawan, maka berlakulah konflik antara kepentingan rakyat dengan sekatan kerana kepentingan pihak tertentu. Seolah-olah media bukan berkerja untuk rakyat tetapi kepada pihak yang berkepentingan. Undang-undang ini telah lama wujud. Wartawan terpaksa berkerja dalam ruang terhad kerana kebebasan media masih jauh untuk menjadi kenyataan. Maka anjakan keterbukaan kepada media asing perlu dilebarkan kepada media tempatan. Ini penting supaya tidak ada pilih kasih apabila media asing dilepaskan tetapi media tempatan disekat menerusi peruntukan undang-undang. Tetapi pada masa yang sama , ada pula organisasi media kelihatan agak bebas, sementara yang lain tidak bebas kerana akur kepada undang-undang. Kesan buruknya media cetak yang akur dianggap khalayak sebagai tidak telus, sementara yang melanggar peraturan akan dianggap media yang bebas. Kewujudan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984), Akta Hasutan (1948) dan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998) antara undang-undang yang dianggap “mengikat” tangan wartawan dan organisasi media.

Bagaimanapun apabila makna media itu bukan sahaja dirujuk media cetak sahaja malah media dalam talian, maka ada yang bertanya masih sesuaikah Akta Mesin Cetak digunakan untuk mengawal media? Kalau digunakan juga ini sudah tentu tidak adil kepada media cetak. Ada pula orang berkata, media dalam talian juga ada kawalan yang sama iaitu menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Tetapi hakikatnya media cetak dikawal oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) tetapi media dalam talian terutamanya portal berita tidak dikawal sepenuhnya menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Ini terbukti apabila beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak kerajaan mengambil tindakan atas beberapa portal berita yang melanggar etika kewartawanan dan menyiarkan berita yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama. Ini menunjukkan media dalam talian terlepas dari kawalan Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Sementara media cetak terpaksa berdepan dengan sekatan dan pelanggaran sudah pasti menyukarkan organisasi media. Portal berita seperti Malaysiakini dan Malaysian Insider misalnya mendapat ruang kebebasan jauh lebih besar berbanding media arus perdana.

Kedua-dua portal itu seolah-olah diberikan ruang untuk melontarkan kecaman terhadap kerajaan, menyiarkan berita-berita yang menyinggung sensitiviti kaum serta agama. Malah bebas pula memetik berita dari media arus perdana untuk “dihentam” di kedua-dua portal berkenaan. Portal ini bukanlah bebas kerana lebih condong kepada pembangkang. Bagaimanapun setakat ini Malaysiakini dan Malaysian Insider tidak dikenakan tindakan bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (1998). Tetapi portal inilah yang memberi gambaran seolah-olah di negara ini langsung tidak ada kebebasan. Ini belum lagi laman-laman sosial yang menyentuh isu agama dan kaum seperti yang dilakukan oleh seorang pemuda, Namawee tidak lama dulu. Perbuatan Namawee menghina lagu Negaraku menjadi Negarakuku seolah-olah tidak ada sebarang akta yang boleh dikenakan kepadanya. Adakah ini disebabkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak mempunyai kepakaran yang cukup untuk menyekat “penghinaan melampau” ini atau sememangnya sudah tidak ada sekatan? Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata, kerajaan perlu menjelaskan sama ada kajian dasar penapisan media itu hanya melibatkan media asing atau meliputi media tempatan.

Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan menegaskan, satu faktor yang perlu diambil kira ialah “kebebasan” yang diberikan kepada portal berita tempatan menyebabkan media cetak yang mempunyai permit seolah-olah tidak diberi keadilan yang sewajarnya. Maka keterbukaan kerajaan yang sedar perubahan suasana politik, sosial dan kecanggihan teknologi bahawa tapisan bukan kaedah berkesan adalah suatu yang bermakna kepada wartawan dan organisasi media. Mereka berharap diberikan kebebasan untuk menjalankan tanggungjawab kepada rakyat. Dengan ledakan teknologi maklumat, menapis apa yang kita kelaskan sebagai “bahaya” kepada rakyat atau mungkin kepada politik tidak mungkin mampu dilaksanakan. Media arus perdana (cetak dan dalam talian) perlu diberi kebebasan menyampaikan maklumat kepada rakyat. Kalau mereka tidak diberi kebebasan sewajarnya, rakyat pasti beralih kepada laman-laman sosial seperti blog yang sebahagian besarnya tidak ada wibawa untuk menyampaikan maklumat. Keadaan akan menjadi lebih buruk apabila rakyat menganggap blog-blog persendirian yang tidak ada pasukan editorial berwibawa dianggap satu saluran maklumat yang sebenarnya.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
21 OGOS 2011