JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



01 Ogos 2011

ISU PENYAKIT : MASYARAKAT MALAYSIA TAK ENDAH BAHAYA HEPATITIS B, C

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan dua bilion penduduk dunia dijangkiti virus Hepatitis B, manakala 130 juta pada tahap kritikal jangkitan Hepatitis C. Disebabkan kedua-dua virus itu, 350,000 pesakit dijangka meninggal dunia setiap tahun di seluruh dunia. Sukar mengenal pasti sama ada kita pembawa virus atau tidak jika tidak melalui pemeriksaan pengesan yang kini boleh dilakukan di hospital kerajaan atau swasta. Pembawa virus tidak sedar mereka ialah pembawa sehingga mendapat tanda status serangan virus pada tahap kritikal dan proses ini sebenarnya berlaku dalam masa puluhan tahun. Agak membimbangkan tahap kesedaran orang ramai yang kebanyakannya tidak sedar kepentingan menjalani ujian hepatitis. Hakikatnya, kebanyakan rakyat negara ini tidak mengamalkan gaya hidup sihat.  Pesakit mula merasai kesakitan dan kesengsaraan apabila hepatitis pada tahap kritikal dan kebiasaannya sudah menjadi barah. Umum pasti sedar, hepatitis ialah penyakit hati dan tidak asing kepada masyarakat Asia. Mungkin kerana penyakit ini tidak menunjukkan tanda menyakitkan punca ramai tidak mengendahkannya, apatah lagi melakukan pemeriksaan untuk memastikan diri bebas virus itu.

Dua bilion penduduk dunia dijangkiti Hepatitis B dan antara 300 hingga 400 juta pesakit pada tahap kronik. Lebih membimbangkan apabila 75 peratus daripada jumlah itu ialah penduduk Asia dengan 25 peratus (satu daripada empat pesakit) ialah mereka yang terdedah kepada kesan jangkitan untuk tempoh lama. Mereka yang dijangkiti juga berisiko tinggi mengalami kerosakan hati serius seperti sirosis, kegagalan fungsi hati dan barah hati. Kebanyakan virus hepatitis adalah jangkitan tersembunyi dan ia tidak memberi petanda mahupun kesan sampingan bertahun-tahun kepada pesakit sehingga ia sudah tidak berfungsi. Kebanyakan pesakit hanya sedar dijangkiti hepatitis selepas pemeriksaan doktor, namun dalam kebanyakan kes, pesakit berada pada tahap kritikal (barah) dan peluang untuk sembuh tipis Perunding Hematologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata pesakit dijangkiti virus hepatitis kebiasaannya tidak menampakkan kesakitan atau menderita.  Katanya, hepatitis terbahagi kepada A, B, C, D dan E. WHO setakat ini menggariskan jenis B dan C yang perlu diberi penekanan kerana angka jangkitan meningkat saban tahun dan dikelaskan antara ancaman terbaru dunia.

“Penularan jangkitan virus secara meluas berlaku di negara ini sebelum 1990-an kerana Malaysia mula menguatkuasakan pemeriksaan ke atas setiap bekalan darah yang diterima baik daripada individu mahupun organisasi hanya selepas itu,” katanya yang mengharapkan kesedaran orang ramai untuk segera melakukan pemeriksaan. Jangkitan virus hepatitis mengambil masa 30 hingga 50 tahun sebelum merosakkan sepenuhnya hati. Ia melalui beberapa peringkat bermula daripada jangkitan dengan pesakit tidak merasakan perubahan. Peringkat kedua iaitu jangkitan kronik dan kemudian membentuk sirosis (garisan atau kerosakan hati) dan akhirnya ia berakhir dengan barah hati yang agak dirawat. “Punca mahupun agen utama masalah jangkitan virus hepatitis ialah kepada golongan perokok. Tembakau antara punca yang boleh menyebabkan pengguna mengalami jangkitan. Mereka yang mengambil minuman keras berlebihan juga mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti hepatitis B. Hepatitis B boleh merebak menerusi sentuhan darah, cecair utama badan termasuk air mani dan bendalir faraj.

Hepatitis C boleh tersebar dengan hubungan terus antara darah yang dijangkiti, namun agak jarang merebak menerusi bendalir dalam tubuh.  “Hepatitis C pula penularan begitu meluas di seluruh dunia dan angkanya mencecah sehingga 170 juta. Daripada angka itu, lebih 90,000 penduduk Asia.  Lebih 30 peratus pesakit dijangkiti virus ini berdepan masalah sirosis atau barah hati sepanjang usia mereka kecuali jika mendapatkan rawatan,” katanya.  Jangkitan Hepatitis C antara satu hingga empat peratus di Malaysia. Penularan penyakit ini hanya berada pada dua peratus (53 hingga 3,540 pesakit). Tiga peratus atau 11 daripada 363 kes berpunca daripada penderma darah dan 85 peratus (162 hingga 190) adalah dalam kalangan penagih dadah.  Kedua-dua virus ini juga boleh merebak melalui hubungan seks, luka terkena darah pesakit, perkongsian pisau cukur, berus gigi, bertindik, tatu, kongsi jarum akupuntur dan jangkitan terus ibu kepada bayi dalam dikandung iaitu antara punca jangkitan Hepatitis B yang biasa di rantau Asia Pasifik.

SUMBER
BERITA HARIAN
1 OGOS 2011

ISU BAHASA : KEWIBAWAAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) KIAN HILANG

Oleh Imlan Adabi


Seorang teman berjenaka: “Jika kita baling batu ke kaca jendela bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada dekad 60-an hingga 80-an, serpihan kacanya akan mengena bahu sasterawan dan pemikir budaya. “Hari ini serpihan batu itu sekadar kena tapak kaki birokrasi yang semakin menjauh daripada jiwa bahasa dan sastera.” Jenaka teman itu kerana meyakini DBP atau nama asalnya Balai Pustaka yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bukan lagi dominan untuk sasterawan, ahli bahasa dan pemikir budaya.  Pada era lampau, DBP sinonim sebagai pusat bahasa dan sastera. Ramai sasterawan tersohor pernah bertapak di bangunan lama DBP termasuk Usman Awang, Keris Mas, Kemala, Baha Zain, Anwar Ridhwan, Shamsuddin Jaafar, Jaafar HS, Johan Jaaffar, Maarof Saad, Sutung Umar RS, Zaen Kasturi, Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Razali Yusof, Zakaria Arifin dan Dinsman.  Kini nama sasterawan besar hampir tiada lagi di DBP kerana udara segar di menara yang serba gah itu mungkin tidak sesuai untuk seniman berkarya, apatah lagi menyuarakan idea kesenian dan kebudayaan. Segala-galanya sudah berubah seiring perjalanan waktu.

Jika dulu, masyarakat menganggap DBP milik mereka kerana agensi kerajaan itu mendekati rakyat dengan buku bermutu yang merata di setiap pelosok negara, kini buku terbitan DBP amat sukar ditemui di pasaran.  DBP, dilihat dari sudut mana pun hari ini, masih berkemelut untuk memulihkan reputasi sesuai matlamat asal untuk ‘menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.’  Krisis DBP dengan syarikat pencetak dan pengedar buku dan majalahnya, Dawama Sdn Bhd masih belum berkesudahan. Majalah terbitan DBP untuk keluaran Julai menjadi mangsa pergeseran kedua-dua pihak. Pengedaran buku teks untuk murid dan pelajar tahun depan masih rahsia umum. Bayangkan jika sesi persekolahan 2012 bermula tanpa buku teks terbitan DBP?  Isu bahasa, budaya dan sastera yang sering meribut sekarang tidak pernah reda. DBP tiada taring untuk menyuarakan isu penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik sebelum ini. Ia sekadar membiarkan isu berlalu dan mengharapkan pihak di luar Menara DBP bersuara atau menjerit di jalanan.  

Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein juga menguji kebijaksanaan pentadbir DBP mencari jalan penyelesaiannya. Malangnya, ia berlanjutan dan dipolitikkan dengan pelbagai versi siasah. DBP sebagai badan budaya, bahasa dan sastera kurang berperanan sebagai pihak yang wajar berada di tengah gelanggang untuk menyelamatkan karya besar Sasterawan Negara kita. Sampai bila harus begini?  Justeru, tidak menghairankan apabila Gerakan Darurat Bahasa (GDB) menggesa Putrajaya bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan kerugian berterusan.  Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan Ketua Pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola DBP yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.  GDB gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. 



Sejak 2002, DBP dianggarkan kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun. Sebelum penswastaan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun. Apakah penswastaan untuk mencapai kerugian berterusan? Bagaimana pula kesudahan krisis DBP dan Dawama?  Sebelum ini ramai yang merungut buku terbitan DBP tidak berada di pasaran. Kolum ini pada 16 November tahun lalu di bawah judul ‘DBP terbit, Dawama simpan buku’ mendedah pengalaman peribadi penulis yang tidak menerima sebarang royalti sejak beberapa tahun kerana buku tidak berada di pasaran.  Keadaan akan berterusan jika kerajaan tidak bertindak pantas menyelamatkan sebuah agensi yang sedang bermasalah itu. Bagi masyarakat terbanyak, buku terbitan DBP sewajarnya merakyat dan mudah diperoleh hatta di kedai mamak sekali pun!

SUMBER
BERITA HARIAN
1 OGOS 2011

ISU SOSIAL : JENAYAH PEMERDAGANGAN MANUSIA


Sindiket pemerdagangan manusia di negara ini mengaut keuntungan besar dengan mencatatkan nilai perniagaan melebihi RM5 bilion, khususnya yang melibatkan warga Bangladesh. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika mendedahkan perkara itu berkata, pihaknya dimaklumkan ada sindiket ‘menjual’ pekerja warga Bangladesh pada harga RM10,000 seorang. Menurut Pesuruhjaya Bangladesh yang berada di Malaysia sekarang, (sama ada pendatang secara) sah dan tidak sah, mencatatkan bilangan seramai 500,000 orang. Kalau betul, jumlahnya besar dan (nilai) duitnya juga besar iaitu melebihi RM5 bilion.  Hishammuddin berkata, aktiviti pemerdagangan manusia adalah fenomena antarabangsa dan kerajaan berusaha keras bagi membanteras jenayah tersebut termasuk menerusi perjanjian dengan kerajaan Australia, baru-baru ini.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 OGOS 2011

ISU ICT : BUKAN SEKADAR ANGKA

Oleh FAUZIAH AROF
rencana@utusan.com.my


Siapa  kata penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak menghargai teknologi maklumat? Hakikatnya mereka lebih menghargainya dan memerlukannya. Mereka menganggap kemudahan itu sebagai satu rahmat yang besar. Melihat kepada riak wajah dan keterujaan pelajar-pelajar sekolah serta penduduk di kawasan terpencil yang bertepuk tangan dan bersorak gembira setiap kali Telekom Malaysia Berhad (TM), syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di negara ini membantu kerajaan melancarkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkenaan, ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga. Bagi Pengerusinya, Datuk Dr. Halim Shafie, menyaksikan sendiri kegirangan masyarakat pedalaman tersebut dengan sambutan mesra yang diberikan, membuatkan beliau merasa gembira sekali gus terharu. ‘‘Kemudahan ini bukan sekadar angka, tetapi lebih daripada itu. Anda akan merasakan kepuasan dengan melihat reaksi mereka, perjalanan yang jauh dan kepayahan kami untuk sampai ke kawasan-kawasan pedalaman yang terlibat dirasakan amat berbaloi,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Jelas Halim, ia bukan hanya misi untuk meluaskan kemudahan berkenaan ke kawasan terpencil, tetapi yang lebih utama memberikan perkhidmatan itu kepada masyarakat luar bandar dan pelajar-pelajar sekolah yang memiliki pelbagai potensi yang boleh dikembangkan menerusi kebaikan ICT. Betapa tidak, melalui kemudahan ICT mereka boleh menimba pelbagai ilmu, tidak hanya bergantung kepada buku teks selain meluaskan jaringan komunikasi mereka yang terhad. Bagi penduduk lainnya pula, mereka boleh berhubung dengan anak-anak, saudara-mara, rakan-taulan yang jauhnya beratus-ratus kilometer dari kawasan yang mereka diami. Melalui projek e-Bario, iaitu projek perintis Internet luar bandar yang dimulakan pada 1999 dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), ia sebenarnya adalah cabaran yang amat besar kepada TM, kerana bukan mudah untuk mengadakan kemudahan berkenaan di kawasan tanah tinggi pedalaman di utara negeri itu yang hanya boleh sampai dengan pengangkutan udara. Projek e-Bario yang pernah memenangi Anugerah e-Asia di Taipei pada 2004 itu membolehkan penduduk di kawasan berkenaan yang rata-ratanya masyarakat Kelabit berhubung dengan dunia luar.

‘‘Dengan kemudahan ini, ada masyarakat Kelabit di sana ada yang singgah dulu ke pusat Internet ini untuk berhubung dengan sanak saudara dan rakan-rakan di luar, sebelum mencari rezeki,” kata Halim yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 2006 hingga 2009 itu. Dalam merapatkan lagi jurang digital antara bandar dan luar bandar, TM juga memainkan peranannya membantu kerajaan menjayakan Program Internet Desa (PID) yang mula dilaksanakan dalam tahun 2000 dengan 14 lokasi perintis di seluruh negara bersama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) ketika itu dan Pos Malaysia Berhad. ‘‘PID menyediakan infrastruktur ICT termasuk peralatan komputer dan talian Internet, serta penyediaan latihan berterusan yang percuma kepada masyarakat luar bandar. ‘‘Setiap PID diuruskan oleh seorang penyelia dan penolong penyelia yang mempunyai ijazah dan diploma yang dilantik oleh kementerian untuk menyenggara PID,” jelas beliau. Kemudahan yang disediakan di setiap PID melibatkan antara lima hingga sembilan unit komputer, dua unit pencetak, masing-masing satu unit untuk pencetak warna, pengimbas, kamera digital dan talian Internet jalur lebar.

Tambah beliau, TM juga terlibat dalam Rangkaian Penyelidikan dan Pengajaran Kebangsaan (Myren) yang menyediakan jalur lebar khusus berkapasiti tinggi yang menghubungkan 28 institusi pengajian tinggi, masing-masing 20 buah politeknik dan kolej komuniti, institut penyelidikan dan makmal saintifik untuk menjalankan penyelidikan dan pendidikan yang dilancarkan pada 2003. Rangkaian itu berhubung terus dengan komuniti penyelidik dan pendidik yang berada di Asia Pasifik, Australasia, Eropah dan Amerika Utara melalui Trans Eurasian Information Network 3 (TEIN 3). ‘‘Bermula 2004 pula, TM terlibat dalam projek SchoolNet yang ideanya dicetuskan oleh KTAK dan Kementerian Pelajaran. Ia melibatkan penyediaan capaian Internet jalur lebar untuk 10,000 buah sekolah di seluruh negara,” jelas beliau. Dengan SchoolNet, pelajar-pelajar di seluruh negara sama ada di sekolah rendah dan sekolah menengah mendapat faedah daripada akses jalur lebar dan aplikasi-aplikasi Internet. SchoolNet mewujudkan satu persekitaran pembelajaran lebih dinamik yang memberikan akses pantas kepada maklumat pendidikan online serta komunikasi interaktif.

Para pelajar juga boleh bertukar-tukar data dan maklumat dengan pengguna lain menerusi rangkaian tersebut. Bagi memastikan SchoolNet dimanfaatkan sepenuhnya, pada Januari 2008, satu program sekolah angkat yang dikenali sebagai GITN TechnoGogy Learning in Schools (GTL Schools) dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran. Program GTL ini melibatkan sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar di seluruh negara. Sekolah-sekolah ini dipilih berdasarkan kadar penggunaan SchoolNet yang rendah. TM juga, kata Halim, terlibat dalam program Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility atau PINTAR yang dicetuskan oleh Kementerian Kewangan bersama-sama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Program itu yang bermula pada Januari 2007, menyaksikan TM mengambil dua buah sekolah di Pulau Pinang sebagai sekolah angkatnya iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda (SKBIM) dan Sekolah Kebangsaan Seri Penanti (SKSP) di Bukit Mertajam. 


TM memperuntukkan RM400,000 untuk tempoh 3 tahun bagi kedua-dua sekolah tersebut mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah latihan dan bengkel peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bengkel Bahasa Inggeris, bengkel pengurusan dan penyelenggaraan komputer, kursus-kursus motivasi dan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur. Melalui projek itu, TM melengkapkan sekolah-sekolah berkenaan dengan komputer – komputer yang dilengkapi dengan sambungan jalur lebar untuk akses Internet yang lebih baik. Kelas-kelas Aplikasi Internet dan Penyelenggaraan Komputer serta kursus motivasi turut disediakan untuk manfaat para pelajarnya Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan jurang informasi antara sekolah-sekolah di kawasan bandar dan luar bandar dalam mewujudkan masyarakat berasaskan pengetahuan bagi membawa negara ke peringkat yang lebih tinggi.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 OGOS 2011

ISU UMUM : HALA TUJU NEGARA DAN R&D

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.


Malaysia  masih terlalu jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju dari segi membudayakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kehidupan rakyatnya. Dalam banyak proses membuat keputusan, R&D jarang sekali digunapakai. Keputusan lebih banyak dibuat dalam bentuk ad-hoc atau tergesa-gesa yang mana ia jarang sekali berdasarkan suasana sebenar. Sebab itulah, di negara ini kita sering lihat sesuatu perkara berlaku berulang-ulang kali tanpa ada penyelesaian yang jitu. Sebagai contoh, kadar kemalangan terlalu tinggi di Malaysia seringkali diulang tayang dan ditekankan di media massa terutamanya ketika musim perayaan. Penulis percaya terdapat kajian yang dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia tetapi kenapakah kadar kemalangan masih lagi tinggi? Di manakah silapnya? Penulis berpendapat antara punca utamanya adalah tiada penghayatan dan pelaksanaan sepenuhnya berteraskan kajian-kajian yang dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara kita. Kajian-kajian tersebut hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan dunia akademik. Inilah kelemahan yang perlu diperbetulkan segera.

Jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang maju, hala tuju kita ke arah matlamat itu mestilah berteraskan R&D. Di Amerika Syarikat (AS), umpamanya, banyak keputusan dibuat berdasarkan kajian. Sebab itulah AS cukup hebat dari segi R&D. R&D di sana bukanlah sekadar untuk memenuhi keperluan menamatkan pengajian di universiti, tetapi R&D digunakan untuk membantu membina negara agar lebih kukuh dalam pelbagai segi. R&D juga bukan sahaja bertujuan dibentangkan di seminar atau persidangan kebangsaan mahupun antarabangsa. Sekadar membentangkan di seminar tanpa ada penghayatan dari segi pelaksanaan untuk kebaikan manusia, penyelidik kajian tersebut seolah-olah berada dalam zon syok sendiri. Akhirnya, kajian-kajian ini hanya memenuhi rak-rak di perpustakaan-perpustakaan universiti untuk digunakan oleh penyelidik-penyelidik lain pada masa hadapan. Kalau kajian itu berada dalam kategori bermutu tinggi, maka, ia akan diterbitkan di jurnal-jurnal terkemuka yang dikategorikan sebagai terbaik berstatus A dan diindekskan oleh ISI, Scopus dan sebagainya.

Tujuan utama diterbitkan pula hanyalah untuk mengejar 'rangking' yang dicipta oleh barat seolah-olah kita mengikut telunjuk barat. Sedangkan dunia akademik perlu bebas daripada sebarang telunjuk yang boleh menjumudkan ilmu itu sendiri. Hanya mengejar rangking sedangkan kajian tersebut tidak langsung dipedulikan atau dihargai oleh kebanyakan rakyat, ia umpama ilmu yang terperap. Tidakkah ini menunjukkan kajian hanya untuk 'menggembirakan' segelintir golongan yang rutin hidupnya berada di menara-menara gading? Berapa ramaikah orang biasa yang membaca jurnal-jurnal tersebut? Itu belum diambil kira sejauh manakah mereka memahaminya. Bagi penulis, apalah gunanya ilmu yang dikaji jika tidak disebarkan kepada orang ramai untuk diamalkan. Tidakkah kita mengetahui bahawa terdapat banyak kajian yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik Malaysia boleh membantu negara menyelesaikan masalah yang menyelubungi rakyat negara ini? Begitu juga terdapat banyak kajian yang boleh membantu kerajaan menjadikan negara ini lebih baik. Lebih-lebih lagi, kini pelbagai transformasi sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam konteks ini kajian dalam bidang sains sosial seharusnya ke hadapan. Kajian-kajian dalam bidang sains sosial lebih ke arah untuk membantu pihak atasan dalam pembuatan keputusan. Ramai yang mungkin menyangka kajian yang hebat mestilah sehingga menghasilkan produk yang boleh digunapakai. Produk fizikal yang boleh dilihat dan digunakan dalam kehidupan seharian. Ya, ini hanya sebahagian daripada R&D dalam bidang sains dan teknologi. Untuk menjadi negara maju, kita tidak boleh meminggirkan kajian sains sosial. Sebab itulah, kerajaan bercadang untuk menubuhkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial. Sekali lagi, keputusan untuk menubuhkan universiti ini juga sudah tentulah berdasarkan kajian. Jika tidak, implikasi negatif akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang. Yang rugi nanti rakyat dan negara. Tetapi jika sudah ada kajian menyeluruh dilakukan dan penubuhan universiti ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara, maka, teruskanlah niat tersebut.

Dengan kata lain, setiap tindakan yang hendak dilakukan terutamanya untuk mencapai hala tuju dan wawasan negara, kajian adalah perintis kejayaan awal. Maka, tidak menghairankan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan sebanyak RM741 juta untuk dana penyelidikan bagi 2011 dan 2012. Ini tidak termasuklah dana penyelidikan yang disediakan oleh kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB). Selain dana penyelidikan yang mencukupi, negara juga memerlukan lebih ramai penyelidik yang mana ketika ini hanyalah dalam sekitar 30,000 orang sahaja. Semuanya ini untuk memastikan budaya R&D dapat dihayati bukan sahaja di kalangan penyelidik tetapi juga untuk agenda yang lebih luas lagi bagi memenuhi keperluan dan hala tuju negara dalam menuju ke arah sebuah negara maju, makmur dan mapan pada 2020.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 OGOS 2011